lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

PKM ADUN Batu Buruk Hantar Bantuan Kepada Mangsa Banjir Telemong
PKM ADUN Batu Buruk Hantar Bantuan Kepada Mangsa Banjir Telemong
KUALA TERENGGANU, 20 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKM ADUN) Batu Buruk dengan kerjasama PKM DUN Telemong telah menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di sana, semalam.  Rombongan yang diketuai oleh ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi telah menghantar kira-kira 250 pek makanan dan 300 pek barang mentah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Jenderis dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Jenderis.  Selain itu, rombongan misi bantuan tersebut juga menghantar sebahagian bekalan makanan di Politeknik Hulu Terengganu untuk dimanfaatkan oleh warga politeknik tersebut.  bantuan bekalan makanan untuk Politeknik Hulu Terengganu “Suasana banjir yang berlaku di sini agak luar biasa dan Hulu Terengganu antara daerah yang sangat terkesan pada ketika ini selain Besut dan Kemaman. “Kita diperingkat Kerajaan Negeri Terengganu dan juga Parti Islam Se-Malaysia (PAS) akan terus menyantuni rakyat yang ditimpa musibah ini untuk membantu mereka,” kata Dr. Muhammad Khalil ketika ditemui pemberita. Beliau turut menasihatkan agar semua menjaga keselamatan sepanjang tempoh musim tengkujuh ini.  Bantuan bekalan makanan untuk dihantar ke PPS SK Jenderis dan PPS SMK Jenderis “Bagi yang berpindah ke PPS, matikan suis elektrik utama sebelum meninggalkan rumah dan elakkan bermain air banjir kerana kita bimbang ia akan menjejaskan kesihatan,” katanya lagi.  Terkini, seramai 2,133 keluarga telah ditempatkan di 58 buah PPS dalam Daerah Hulu Terengganu.
20 Dec 22
258
Majlis Khatan Ramai-Ramai Bantu Ringan Kewangan Ibu Bapa
Majlis Khatan Ramai-Ramai Bantu Ringan Kewangan Ibu Bapa
DUNGUN, 18 Disember - Inisiatif mengadakan Majlis Berkhatan Beramai-ramai oleh beberapa JPKK DUN Rantau Abang telah berjaya membantu ibu bapa menunaikan tanggungjawab keatas anak-anak yang hampir cukup umur atau akil baligh sekali gus meringankan beban kewangan mereka.  Seorang ibu muda, Aima Nazuha Ibrahim berkata, memandangkan kos berkhatan yang dikenakan di klinik - klinik swasta adalah tinggi tetapi dengan adanya program yang dianjurkan oleh JPKK sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan ibu bapa yang berpendapatan rendah sepertinya.  "Saya bersyukur sungguhlah, bila Pok Husnu (Pengerusi JPKK Gong Pasir) telefon tanya anak hendak berkhatan dok, saya terus jawab 'nok', sebab sebenarnya saya sudah telefon macam-macam klinik , nok cari yang bawah RM200, tetapi tidak ada," katanya sambil memberitahu suaminya hanya bekerja sebagai juru kimpal.  Aima Nazuha  bersama anaknya Adam Mikhail Rizqi  Ibu kepada Adam Mikhail Rizqi Mohd Fairul, 8, yang juga seorang surirumah itu berkata demikian ketika ditemui di Majlis Khatan Beramai-ramai Anjuran JPKK Gong Pasir di Dewan PASTI Gong Pasir di sini baru - baru ini. Sementara itu bagi, Suliza Salleh, 37, memuji usaha JPKK yang sentiasa memahami masalah ibu bapa yang tidak berkemampuan sepertinya. "Saya berasa sangat lega, saya lepas tanggungjawab sebab berkhatan ni kan wajib kepada anak lelaki yang hampir akil baligh, mana fikir tidak mampu, sebab suami hanya bekerja sebagai tukang rumah, memang kena banyak berjimatlah," ujarnya.  Daripada tinjauan didapati antara JPKK yang mengada program tersebut ialah JPKK Kampung Paya, Gong Pasir dan Kampung Rantau Abang dimana hanya mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RM50 atau RM60 sahaja berbanding bayaran di klinik swasta sekurang-kurangnya RM250. "Kita hanya mengenakan pendaftaran sebanyak RM60, disamping menyediakan cenderahati kain pelekat serta wang tunai," kata Pengerusi JPKK Gong Pasir, Husnu Hussin. 
18 Dec 22
416
PKM Kijal, Ar Rijal Care Rai 120 Kanak-kanak
PKM Kijal, Ar Rijal Care Rai 120 Kanak-kanak
KEMAMAN, 17 Disember - Seramai 120 orang kanak-kanak diraikan didalam Program Khatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal 2022 yang diadakan Masjid Meraga Beris, Kijal kelmarin.  Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal dengan kerjasama Ar Rijal Care dan Masjid Meraga Beris dengan mengenakan separuh bayaran mendapat sambutan masyarakat setempat.  Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh berkata ianya salah satu inisiatif serta Corporate Social Responsibility (CSR) daripada pejabat PKM Kijal dalam membantu rakyat kawasan Kijal dimana masalah kewangan kebanyakan keluarganya masih belum pulih sepenuhnya akibat pendemik COVID-19.  Hazri Jusoh (dua dari kiri) menyantuni para petugas.  "Saya mengharapkan dengan program sebegini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan keluarga dalam memastikan ahli keluarga kita dapat meneruskan hidup dengan sempurna," ucapnya.  Beliau hadir merasmikan program tersebut turut menasihati ibubapa agar lebih cakna dan mengambil tahu kemana anak-anak pergi bermain di musim tengkujuh ini.  "Kepada anak-anak yang kini memasuki cuti akhir tahun persekolahan, jangan pergi bermain di paya, sungai atau tali air. Saya juga mengharapkan agar ibubapa mengambil lebih perhatian kemana anak kita pergi bermain di musim hujan begini. Sebahagian daripada peserta program.  "Dua tiga hari lepas kita mendengar berita seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati lemas didalam tali air di Kampung Kebor Besar, Manir amat mengharukan semua masyarakat di Terengganu." ujarnya.  Turut hadir, Penyelia IMITS DUN Kijal, Haji Wahab Ahmad, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zawawi Mohamed, Pengerusi Ar Rijal Care, Zulkifli Nara dan Ahli Jawatankuasa JPKK Meraga Beris.
16 Dec 22
224
Kraf Epoxy Rezeki Lumayan Safaridzuan Selepas Hilang Kerja
Kraf Epoxy Rezeki Lumayan Safaridzuan Selepas Hilang Kerja
KUALA TERENGGANU, 11 Disember- Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu, sememangnya memberi kesan besar kepada masyarakat, apatah lagi ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Bagi anak muda dari Kampung Kota, Manir di sini, Ahmad Safaridzuan Mohamad, 36, berkata dirinya tidak terkecuali apabila terpaksa berhadapan dengan kesan COVID-19. Impian untuk melebarkan perniagaan perkhidmatan perancang perkahwinan yang diusahakan terkubur apabila industri perkahwinan yang sebelum ini cukup meriah bertukar suram apabila banyak majlis terpaksa dibatalkan atau ditunda disebabkan pandemik. Bagaimanapun Safaridzuan bersyukur, keputusan berhenti menjalankan perkhidmatan perancang perkahwinan pada tahun 2020 dan beralih kepada membuat barangan kraf epoxy kini menjadi pintu pembuka rezeki baharu buat dirinya apabila seni kraf kayu yang diusahakannya itu kian mendapat sambutan. “Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa ketika itu, perniagaan tidak boleh dijalankan dan saya tidak mempunyai pendapatan lain dan apa pun terjadi saya tetap perlu mencari rezeki untuk keluarga. “Kebetulan, saya suka tengok seni kraf epoxy yang ‘mat salleh’ buat, dan lihat tidak ramai orang Malaysia ada kemahiran menghasilkannya jadi cuba belajar cara pembuatannya di Youtube dari luar negara dengan harapan dapat mahir supaya boleh jalankan perniagaan itu," ujarnya ketika ditemui di Bengkel Pembuatan Barangan Kraf Epoxy miliknya, baru-baru ini. Katanya, dia pernah mengikuti kursus berkaitan epoxy di Pahang pada tahun 2019 dan kerana minat mula mencari ‘trademark’ sendiri untuk mempromosikan hasil kraf yang diusahakan sebaik terbabit secara serius dalam seni pembuatan barangan kraf epoxy itu sejak April 2020. “Kerana mempunyai nilai estetika tersendiri, saya hanya menggunakan kayu jenis cengal dan merbau sahaja untuk menghasilkan barangan kraf menggunakan teknik epoxy seperti meja, jam dinding dan lain-lain. "Paling mahal pernah dijual ialah meja kayu merbau epoxy dengan harga RM50,000 di Perak pada Oktober 2021. "Alatan kraf lain yang juga mendapat sambutan tinggi ialah jam dinding epoxy dengan harga RM400 hingga RM700 setiap satu,” ujarnya. Ahmad Safaridzuan berkata, disebabkan harga bahan mentah seperti kayu yang digunakan dan alatan termasuk cecair epoxy yang mahal menyebabkan harga barangan kraf yang dihasilkan agak tinggi. "Biasanya, satu-satu tempahan itu dapat disiapkan dalam tempoh sebulan hingga dua bulan dengan dibantu dua pekerja. “ Untuk mendapatkan hasil yang berkualiti pula, saya hanya membuat barangan kraf epoxy apabila mendapat tempahan, dan dalam setahun lebih kurang 30 produk dapat dijual,” ujarnya.  
11 Dec 22
397
RM40 Juta Agihan Zakat Perkasa Pendidikan
RM40 Juta Agihan Zakat Perkasa Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 27 November - Menyedari melalui pendidikan akan dapat mengubah nasib dan kehidupan seseorang terutama yang datang dari keluarga miskin setiap tahun Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengagihkan lebih RM40 juta bagi memperkasakan pendidikan anak-anak Terengganu. Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, strategi Maidam membasmi kemiskinan yang dialami dalam kalangan keluarga berkenaan ialah menerusi pendidikan dengan harapan sekurang-kurangnya 80 peratus anak Terengganu menyambung pengajian ke universiti. "Sebagai galakan kerana itu sebelum ini kita berikan RM1,000 kepada setiap anak -anak yang dapat masuk ke institusi pengajian tinggi untuk menampung keperluan mereka dan baru-baru ini kita telah merangka kertas kerja untuk turut memberikan memberikan laptop berharga RM3,000 kepada anak-anak orang miskin. "Peringkat diploma pula kita berikan RM800 dan kita sedang merangka satu kertas kerja untuk memastikan anak Terengganu yang dapat memasuki ke sekolah berasrama penuh dapat RM 500,"ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas merasmikan Kursus Umrah Perdana dan Bantuan Zakat Ikhlas dengan kerjasama AMCARE, di Dewan Masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), di sini, semalam. Tambanya lagi, anak-anak Terengganu yang cemerlang dalam pelajaran jika tidak mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan di Terengganu atau dalam negara, jangan takut untuk mencuba nasib bekerja di luar negara terutamanya di Timur Tengah. "Kerana di sana memerlukan tenaga dari Malaysia terutamanya dalam bidang ekonomi, ini kerana Malaysia menjadi pakar rujuk kepada dunia Islam kerana kita memiliki sistem kewangan yang terbaik di dunia,"katanya. Dalam pada itu menurutnya, sebagai langkah untuk membasmi kemiskinan melalui anak-anak yang kurang berjaya dari sudut akademik pula katanya kaedah lain sedang difikirkan. "Terutama mereka yang tidak minat hendak belajar, hendak buat itu tidak boleh, buat ini tidak boleh kita hendak kumpulan mereka dan kenalpasti kemahiran apa yang mereka miliki untuk mengikuti sebarang kursus bagi mendapatkan pekerjaan yang baik untuk membantu dan mengubah nasib keluarga,"katanya.
26 Nov 22
268
Wanita Tionghua Terharu Ibu Tunggal Dihargai
Wanita Tionghua Terharu Ibu Tunggal Dihargai
DUNGUN, 14 November - Seorang wanita berbangsa Tionghua melahirkan rasa terharu kerana Kerajaan Negeri Terengganu begitu menghargai golongan ibu tunggal seperti ibunya melalui pemberian bantuan untuk ibu tunggal. "Saya berterima kasih kepada kerajaan yang ingatkan orang tua, hargai 'single mom' ( ibu tunggal) macam mak saya," ujar Chow See Wee, 47, dengan nada terharu.  Wee ditemui ketika menemani ibunya di Dewan Arena Merdeka di sini semalam.  Sementara itu seorang penerima pencen rakyat, Mohd Ali Mohamad, 75 bersyukur dengan rezeki di hari tuanya yang kini tidak mempunyai pendapatan.  "Pak Cik buat macam-macam kerja masa muda, tapi tak dok pencen, sebab kerja swasta, bersyukurlah kepada Allah dengan kerajaan yang memberi tidak kira fahaman politik, semoga kerajaan ini kekallah," ujarnya yang tinggal di Seberang Pintasan.  Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun yang berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pencen Rakyat, Ibu Tunggal dan OKU itu berkata kerajaan Terengganu tidak pernah menyisihkan setiap golongan yang menjadi rakyatnya.  "Hari ini seramai 574  orang penerima bantuan  terdiri daripada 369  orang menerima Pencen Rakyat, 153 orang ibu tunggal dan 52 orang Orang Kelainan Upaya(OKU), guna lah sebaiknya sumbangan tanda keprihatinan kerajaan itu," katanya. 
14 Nov 22
168
181 Pelatih Dirai Dalam Konvokesyen Perantis Jahitan
181 Pelatih Dirai Dalam Konvokesyen Perantis Jahitan
Seramai 181 orang pelatih diberikan pengiktirafan dan penganugerahan Sijil Tamat Latihan Pelatih Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
20 Oct 22
290
EPIC Agriprentice Bantu Golongan B40 Jana Pendapatan
EPIC Agriprentice Bantu Golongan B40 Jana Pendapatan
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) telah menganjurkan EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut untuk membantu meningkatkan ekonomi golongan berpendapatan rendah (B40) melalui ternakan kelulut.  Sebanyak RM30,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial koperat tersebut melibatkan penyertaan 10 peserta terpilih dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ridzuan Ali, objektif utama program itu adalah membantu golongan pendapatan rendah yang ingin menjana pendapatan sampingan serta menggalakkan mereka menceburi industri kecil dan sederhana. “Pelaksanaan EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut merupakan sebahagian dari program tanggungjawab sosial syarikat dalam menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Terengganu. "Ia juga bertujuan membimbing pengusaha ternakan kelulut yang baru bermula dan kita turut membantu menambahbaik peralatan bagi memenuhi kehendak pasaran dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis. Menurut beliau lagi, program tersebut diisi dengan tujuh modul pengendalian dan latihan praktikal asas memasang ‘topping’ serta proses penyedutan hasil madu kelulut oleh Pengasas Galeri Madu Kelulut Bukit, Sufian Mat Nor. Di samping itu, para peserta juga diberikan tiga set sarang lebah kelulut dan alat penyedut madu selepas menghabiskan kursus ternakan kelulut itu.  Program tersebut telah diadakan di Galeri Madu Kelulut Bukit dengan kerjasama Galeri Madu Kelulut Bukit dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk. Turut hadir dalam program ini Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah & Kelulut dari Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu, Mohamad Wisam Mejam dan Pegawai Khas ADUN Batu Buruk, Abdul Fatah Ghani @ Abdul Ghani.  
06 Oct 22
454
Cucu Lahir Baru Dapat Lot Rumah
Cucu Lahir Baru Dapat Lot Rumah
DUNGUN, 5 Oktober - "Cucu lahir baru dapat lot rumah," itulah luahan seorang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pinang Stesen dengan nada penuh kesyukuran setelah sekian lama menanti dengan penuh harapan akhirnya menjadi kenyataan. Sulaiman Essa, 56 yang tinggal di Paya Kemudi berkata, dia pernah memohon tanah lot rumah pada tahun 1999 di mana anaknya yang sulong ketika itu berusia enam tahun. "Sekarang dia dah kahwin dan mempunyai tiga orang anak. "Tak kisahlah tanah itu jauh sikit daripada yang dulu, dulu berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut tetapi sekarang di Pinang Stesen, " ujar ayah kepada empat orang anak itu.  Suliman berkata demikian ketika ditemui wakil UPDI selepas Majlis Penyerahan Borang 5A dan Geran Tanah Bagi DUN Rantau Abang di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini.  Di majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu, seramai 81 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tapak Rumah Pinang Stesen yang merupakan peserta Terkilan RTB Tapak Rumah Padang Pulut menerima Borang 5A.  Selain itu, 42 orang peserta RTB Tapak Rumah Kampung Batu Putih turut menerima borang berkenaan.  Manakala Che Muhammad Che Pa, 65 yang tinggal di Jalan Lembah dalam DUN Sura bersyukur ke hadrat Allah setelah lama menunggu akhirnya dia mendapat balik tanah yang pernah dipohonnya sekian lama.  "Saya juga berterima kasih kepada Cikgu Alias dan YB Cikgu Wan Hapandi yang banyak menolong sehingga saya dapat balik tanah, walaupun bukan di DUN Sura seperti sebelum ini tetapi di DUN Rantau Abang," ujarnya.  Sementara itu, Alias berharap kepada yang baharu memohon dapat bersabar kerana prosesnya memakan masa. "Mereka yang terima hari ini telah memohon sejak sekian lama, bukan baharu memohon, kerajaan Terengganu hendak beri kepada semua yang layak tanpa mengira pegangan politik," katanya.  
05 Oct 22
261
PSMZA Bantu Pelajar Pondok Dan Tahfiz Timba Kemahiran
PSMZA Bantu Pelajar Pondok Dan Tahfiz Timba Kemahiran
DUNGUN, 5 Oktober - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) komited membantu pelajar pondok dan pusat tahfiz menimba kemahiran menerusi Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA, program latihan kemahiran kepada pelajar tahfiz, sekolah pondok dan Techno Huffaz dikendalikan oleh Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) di  Makmal Komputer JTMK .  "Kursus Asas Microsft Office Siri 1 melibatkan pelajar-pelajar Akademi Pengajian Al-Bahjah, Kijal, Kemaman.  "Manakala Kursus Asas Editing Menggunakan Canva Siri 1 bersama pelajar Madrasatul Quran Pinang Baru, Bukit Besi Dungun, " katanya.  Menurutnya, kursus yang telah diadakan pada 29 dan 30 September 2022 bagi sesi pertama akan berlangsung beberapa siri berikutnya iaitu pada 14 hingga 15 Oktober dan 20 dan 21 Oktober ini.  Sementara itu, Jabatan Kejuruteraan Awam pula telah mengadakan Program  Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran Latihan  Teknikal dan Vokasional (TVET) Kementerian Pengajian Tinggi(KPT) bersama Pelajar Institusi Tahfiz, Sekolah Pondok dan Pelajar Techno Huffaz Politeknik.  Menerusi program ini seramai  40 orang pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Bayan, Paka yang berlangsung selama dua hari pada 1 dan 2 Oktober 2022.  "Mereka telah menyertai Kursus Asas Pemasangan Paip, Kursus Asas Kerja Konkrit dan Ikat Bata yang berjalan secara serentak.  "Dengan menyertai kursus-kursus berkenaan, pihak kami berharap ianya berjaya memberi pendedahan dan manfaat kepada mereka berkaitan dengan kemahiran asas yang menjadi keperluan dalam kehidupan seharian.  "Secara tidak langsung, ia juga menjadi permulaan yang baik dalam menarik minat pelajar untuk menyambung pengajian di politeknik," katanya.   
04 Oct 22
498