Artikel "Komuniti" Terkini
ADUN Batu Buruk Agih 7,000 Kotak Kurma
KUALA TERENGGANU, 23 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengagihkan 7000 kotak kurma beserta takwim berbuka puasa, semalam.
Agihan tersebut telah dilakukan melalui 36 buah Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN itu.
Menurut ADUN Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, agihan kurma ini merupakan program tahunan sebagai persiapan untuk menyambut ketibaan Bulan Ramadan.
“Setiap tahun kita akan agihkan kurma kepada warga DUN Batu Buruk diikuti dengan program-program kebajikan lain yang telah dirancang sepanjang Bulan Ramadan ini.
“Antara program yang dirancang ialah agihan lauk berbuka puasa, bakul Ramadan, berbuka bersama anak muda, agihan kuih raya dan lain-lain lagi,” kata Dr. Muhammad Khalil ketika ditemui pemberita.
Beliau turut memberikan pesanan agar masyarakat dapat menjaga kesihatan dengan baik sepanjang bulan ini.
“Saya doakan semoga semua diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan dalam menjalani ibadah puasa,” katanya lagi.
23 Mar 23
405
Lebih 400 Hadir Temuduga Karnival Pemadanan Kerjaya
DUNGUN, 21 Mac- Kira-kira 480 orang menghadiri temuduga di Karnival Pemadanan Kerjaya yang menyediakan 500 peluang kerja yang ditawarkan 10 buah syarikat.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) berkata, ianya terdiri daripada kalangan pelajar semester lima pusat pengajian itu, alumni PSMZA dan orang ramai yang datang dari seluruh Negeri Terengganu.
"Sebanyak 10 syarikat telah membuka kaunter untuk temuduga secara terbuka yang menawarkan lebih 500 peluang pekerjaan.
" Antara syarikat yang terlibat ialah SRC Global Resources, TMM Engineering Services, HI-Freeze, Seri Dinamik Enginering, Lezzeti Empire, HRSB Engineering & Construction, Bank Simpanan Nasional, China Communication Construction (ECRL), AMJ Technique dan SIG Tech, daripada 480 orang calon, sembilan orang telah berjaya dan 232 orang lagi berjaya dalam simpanan, " jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Program yang berlangsung di Dewan Dagang, PSMZA merupakan anjuran PSMZA bersama PERKESO dan SRC, diadakan selama sehari pada 20 Mac, bermula 8 pagi hingga 4.30 petang.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah PSMZA. Zamra Derahman dan hadir sama Pengurus PERKESO Dungun, Mohd Sabri Ramli, dan CEO SRC Group, Dato' Norhisham Mohd Arifin.
Di dalam ucapannya Zamra merakamkan ucapan terima kasih kepada majikan dari pelbagai industri yang membuka tapak pameran juga menawarkan sesi temu duga secara bersemuka.
"Besar harapan saya, kolaborasi seperti ini tidak hanya terhenti disini tetapi dapat diteruskan lagi pada masa- masa akan datang.
" Ini kerana, kita sedia maklum peluang sebegini sememangnya amat ditunggu-tunggu para graduan khususnya yang masih lagi belum mendapatkan peluang
pekerjaan," katanya.
21 Mar 23
536
60 Sahabat UPDI Sertai Pemukiman
Oleh: Fatimah Din
Marang 21 Mac-Seramai 60 orang Sahabat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Marang dan Hulu Terengganu menyertai pemukiman yang diadakan selama dua hari di Seberang Marang, baru-baru ini.
Penyelia UPDI Daerah Marang, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, Sahabat UPDI merupakan ejen penerangan kerajaan negeri yang membantu menyebarkan pencapaian, inisiatif dan program yang dilaksanakan kerajaan kepada orang ramai.
"Pemukiman ini adalah untuk memberi pendedahan kepada Sahabat UPDI berkaitan tugasan mereka agar dapat dilaksana dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di program tersebut.
Menurutnya, pelbagai kemahiran yang dikongsi tenaga pengajar profesional bagi meningkatkan mutu kemahiran dan penyebaran maklumat kepada masyarakat
"Mereka juga diajar cara untuk menggunakan aplikasi Tik Tok, Canva dan banyak lagi" ujarnya.
20 Mar 23
177
Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru
Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah 9 tahun penubuhannya apabila muncul juara 'treble' bagi tahun 2023 setelah menang tipis 2-1 ke atas seteru utama, Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2023.
20 Mar 23
239
Nelayan Dikhuatiri Lemas Ketika Menguji Bot
SETIU, 19 Mac - Seorang nelayan dikhuatiri lemas ketika menguji bot lewat petang semalam.
Mangsa Mahamad Harun, 63 nelayan tempatan dikatakan turun ke pengkalan bot Kampung Baru Penarik untuk memeriksa serta menguji keadaan bot untuk keluar menangkap ikan.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan 9.52 malam tadi.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah bermula malam tadi dan diteruskan pagi ini dengan penglibatan jabatan dan agensi lain dengan melibatkan agensi penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahan Awam, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA).
Serta unit anjing pengesan K-9 Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Sementara itu, Isteri mangsa, Kamariah Ali, 65 ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, tiada sebarang petanda pelik ditunjukkan sebelum kejadian dan suaminya turun ke pengkalan bot seperti biasa.
19 Mar 23
359
UPDI Marang Anjur Bengkel 'Microsoft Excel'
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 19 Mac- Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang telah menganjurkan Bengkel 'Microsoft Excel' sebagai usaha untuk mendedahkan peserta terhadap penggunaan aplikasi komputer tersebut dengan lebih mendalam.
Ketua Koordinator UPDI Daerah Marang, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, bengkel kali ini dikhususkan kepada tenaga pengajar PASTI di seluruh Daerah Marang.
"Harapan kita untuk melahirkan guru-guru yang berkemahiran dan berinovatif dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak dan ini kursus siri 1, nanti akan ada bengkel Excel Microsoft siri 2 untuk Tahap 2, " katanya ketika dihubungi pemberita.
Sementara itu seorang peserta, Noriah Koter, 60, memuji bengkel yang diadakan dapat memberi pendedahan kepadanya dan rakan-rakan dalam memperkasakan lagi pengajaran di PASTI.
" Memang molek kursus ini diadakan, sikit-sikit sahaja saya boleh buat dulu, tapi masuk kelas dapat ilmu lebih lagi", ujarnya.
Bengkel yang diadakan pada 16 Mac di pejabat PAS Kawasan Marang di sini telah dihadiri seramai 41 orang peserta.
Manakala Zubaidah Ghani yang teruja dengan ilmu baharu yang dipelajari merakamkan ucapan terima kasih kepada mentor yang menunjuk ajar pada hari itu, Supervisor Information Technology Team, Afifah Razak.
"Dari jauh datang, dari Negeri Johor untuk memberi tunjuk ajar kepada kami semua, semoga para peserta dapat mengaplikasikan ilmu ini sebaiknya," katanya.
19 Mar 23
369
PSMZA, Kolej Vokasional Dungun Jayakan Khidmat Komuniti Dabong
DUNGUN, 19 Mac- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) bersama Kolej Vokasional, Dungun bergabung tenaga menjayakan khidmat komuniti di Kampung Dabong, Jeli, Kelantan.
Pengarah Program Khidmat Komuniti (CSR), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET ) PSMZA dan Kolej Vokasional Dungun, Yaswadi Mat Yasim berkata , antara khidmat yang diberikan ialah membaikpulih pendawaian elektrik di rumah-rumah penduduk yang terpilih.
"Program kolaborasi di antara PSMZA dan Kolej Vakasional Dungun yang diadakan selama tiga hari bermula 15 Mac itu telah melibatkan 40 orang pelajar daripada kedua-dua institusi terbabit serta enam orang pensyarah pengiring,"katanya.
Beliau memberitahu demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat PSMZA, semalam.
Beliau yang juga Pengurus Pembangunan Pelajar seterusnya berkata program yang julung - julung kali diadakan itu akan diteruskan di masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman turut merasa bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan tersebut.
"Pihak kami amat menyokong penuh program sebegini diadakan" katanya.
Majlis penutup program disempurnakan oleh ADUN Dabong, Ku Mohd Zaki Ku Hussin. Hadir sama, Pengarah Kolej Vokasional Dungun, Mohd Nazri Hashim.
18 Mar 23
570
2,502 Terima Pakaian Sekolah Baharu
SETIU, 16 Mac - Seramai 2,502 telah menerima bantuan pakaian sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata bantuan kerajaan melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) selama ini sangat ibu bapa mengurangkan perbelanjaan bagi menghadapi sesi pembukaan sekolah pada minggu hadapan.
"Alhamdulillah, melihat reaksi gembira anak-anak yang hadir menerima bantuan pakaian sekolah hari ini diharap memberikan kelegaan kepada semua ibu bapa,insyaa Allah."
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Dewan Terbuka Sungai Tarom, di sini semalam.
Terdahulu Pegawai Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu Kawasan Setiu, Zaidah Ahmad@Jusoh berkata, dengan kekuatan tenaga bantu YPK seramai 23 orang telah melancarkan urusan pembahagian dan Permaisuri merupakan lokasi terakhir pengagihan bantuan tersebut.
Qurratul Ain Umairah Abdullah, 11 dan Mursyid El Mukhlisin Abdullah, 8 dua beradik antara penerima bantuan pakaian sekolah ditemui masing-masing gembira dan teruja menerima bantuan tersebut dan bersemangat untuk memulakan sesi persekolahan nanti.
Terdahulu, sebanyak RM9.46 juta diperuntukkan kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan keluarga Terengganu (YPKT) untuk bantuan pakaian sekolah yang memberi manfaat kepada 86,000 pelajar di negeri ini pada tahun ini.
15 Mar 23
382
KHIDMAT Dungun Sertai Misi Pasca Banjir Johor
DUNGUN, 11 Mac- Khidmat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (KHIDMAT Malaysia) Kawasan Dungun turut bersama KHIDMAT Negeri Terengganu menyertai misi pasca banjir ke Johor.
Pengerusinya, Khairul Ismail berkata seramai 25 orang sukarelawan iaitu 19 orang lelaki dan enam orang wanita menyertai misi tersebut.
"Turut menyusul 16 orang lagi sukarelawan dan KHIDMAT Dungun ditugaskan di Segamat," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Perlepasan Misi Bantuan Banjir ke Negeri Johor yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli di hadapan pejabat Parlimen Dungun di sini baru - baru ini.
Menurutnya lagi, mereka bertolak dengan lima buah kenderaan iaitu van dan kenderaan pancuan empat roda dimana para sukarelawan turut membawa kelengkapan untuk membersihkan rumah mangsa banjir.
"Misi mereka kali ini untuk membersihkan rumah-rumah dan premis - premis dimana air sudah pun mulai surut di sana," katanya lagi.
11 Mar 23
275
Lebih 300 Kaum Tionghua Terima Bantuan
DUNGUN, 8 Mac - Lebih 300 orang kaum Tionghua yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) di seluruh Dungun menerima bantuan wang tunai.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Alias Harun berkata, sumbangan berkenaan disalurkan menerusi portfolionya menandakan kerajaan sangat mengambil berat kebajikan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama mereka.
"Di mana bantuan yang kita agihkan tidak bermusim macam hari ini walaupun Tahun Baharu Cina dan lepas, bila ada peruntukan kita segera agihkan kepada mereka ," ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu berkata demikian ketika ditemui sejurus berakhirnya Majlis Prihatin dan Cakna Warga Emas , OKU dan Ibu Tunggal di Dewan Sivik Batu 5 di sini, semalam.
Majlis tersebut turut dihadiri ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Seorang penerima, Tan Lee Ngee, 70 terharu dengan kecaknaan kerajaan negeri walaupun Tahun Baharu Cina sudah lama berlalu, kerajaan tetap memberi sumbangan.
"Mana lagi hendak cari kerajaan prihatin macam ni kepada orang cina, duit dapat, makanan pun dapat" katanya.
Sementara itu Lee Ka Yam 78 berterima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah lupa golongan warga emas sepertinya.
08 Mar 23
339