Artikel "Komuniti" Terkini
71 Sekolah Dan Tadika DUN Rantau Abang Terima Kek
DUNGUN, 21 Mei-Sebanyak 71 buah sekolah, tadika, kelas jahitan dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) menerima kek sempena Hari Guru 2023.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun adalah tanda penghargaan dan pengiktirafan negara terhadap jasa dan bakti guru dalam mendidik anak bangsa menjadi insan yang berguna.
"Kita berterima kasih kepada pengetua, guru besar dan guru-guru yang sudi menerima kehadiran kami, harapan kami guru-guru sentiasa bersemangat untuk mendidik dalam melahirkan modal insan negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui seusai kunjungan tersebut yang dijayakan oleh kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung dan ahli jawatankuasa PAS Cawangan yang dibahagikan kepada 11 kumpulan
"Jadi di pihak pelajar pula mestilah sentiasa berdisiplin, menghormati guru dan sentiasa berusaha untuk menjadi pelajar yang berguna kepada agama, bangsa dan negara," katanya.
18 May 23
309
Warga Politeknik Dungun Tabur Bakti Di Batam
DUNGUN, 16 Mei- Pelajar dan pensyarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) bukan sahaja menggunakan kemahiran mereka untuk masyarakat Malaysia malah juga turut menyalurkannya kepada penduduk desa di sekitar kepulauan Batam.
Unit Komunikasi Korporat PSMZA dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi International TVET Skill Exchange Programme (PSMZA-UIS-STAI) seramai 19 orang pelajar dan 14 pensyarah serta pegawai kanan PSMZA berada di sana pada 11 hingga 20 Mei lalu.
"Program CSR Antarabangsa ini merupakan kolaborasi tiga institusi iaitu PSMZA, Universiti Ibnu Sina (UIS) dan Sekolah Tinggi Agama Islam (STAI) Ibnu Sina Batam bertempat Dewan Utama, Universitas Ibnu Sina, Batam Indonesia," ujarnya.
Katanya lagi, peserta PSMZA telah dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan mensasarkan aktiviti khidmat berlainan kepada komuniti.
"Satu kumpulan telah membuat kerja-kerja pendawaian elektrik di beberapa surau terpilih, kumpulan kedua membantu dalam khidmat 'sharing knowledge',
"Dan kumpulan ketiga menyumbang khidmat urusetia dalam seminar kepada pengusahaan kerepek nenas, Alhamdulillah segala perancangan yang di atur berjalan dengan baik dan mencapai objektif program," jelasnya dalam kenyataan itu.
15 May 23
727
Ikhlas Berkhidmat Untuk Anak Pasti
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 14 Mei- Terpaksa berjalan kaki apabila motosikal yang biasa dinaikinya tiba-tiba rosak, sedikit pun tidak melemahkan semangatnya untuk berbakti kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Penerima Anugerah Guru Paling Lama Berkhidmat, Salmah Ismail, 55 tahun menyingkap kembali kenangan sepanjang 33 tahun berkhidmat sebagai guru, mendidik anak-anak PASTI Kampung Kijing.
"Matlamat saya nak mendidik anak bangsa menjadi insan berguna kepada bangsa, agama, negara dan masyarakat serta ingin menjadi guru PASTI sehingga dipanggil Allah, " ujarnya yang mula berkhidmat pada tahun 1990.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UPDI Daerah Marang di Sambutan Hari Guru dan Jamuan Hari Raya PASTI Kawasan Marang yang diadakan di Dewan Sivik Wakaf Tapai di sini. M
Manakala penerima Anugerah Guru Cemerlang PASTI Kawasan Marang, Zaida Mohd Zalzali berkongsi kenangan manisnya apabila bersua mantan anak-anak murid yang masih mengingatinya.
"Selepas tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) saya bertugas sebagai guru PASTI sehinggalah sekarang.
"Hasrat saya sudah tentu ingin melihat semua anak-anak PASTI ini berjaya" ujarnya yang mengajar di PASTI Rusila.
15 May 23
345
Terapkan Sikap Sayang Alam Sekitar Kepada Generasi Muda
DUNGUN, 12 Mei- Golongan muda perlu diterapkan dengan kepentingan menjaga khazanah alam sekitar agar warisan negara itu terus dinikmati oleh generasi akan datang.
Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Zamra Derahman memuji program yang dianjurkan Kelab Pelajar Kejuruteraan Awam PSMZA dalam menjaga khazanah alam sekitar.
Katanya, program bertemakan 'Selamatkan Warisan Bakau Kita Melalui Pemulihan' itu merupakan inisiatif jabatan akademik PSMZA dalam melahirkan pelajar yang mempunyai ciri-ciri modal insan berminda kelas pertama.
"Sekaligus melahirkan graduan yang mempunyai daya pemikiran kritis, berkarakter global, sifat kepemimpinan tinggi, boleh bekerja dalam satu pasukan serta nilai tambah dalam aspek kemahiran insaniah," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat PSMZA.
Menurut jurucakap itu lagi, program CSR tersebut telah diadakan pada 8 Mei lepas di Ecocare Environmental Education Centre, Kertih dan melibatkan 30 peserta dalam kalangan pelajar serta sepuluh pensyarah.
"Menerusi program itu peserta telah diberikan pendedahan tentang kepentingan aktiviti penanaman pokok bakau.
"Program sebegini mampu memupuk pelajar untuk lebih menghargai alam sekitar dan kepentingan menjaga ekosistem alam sekitar dengan lebih mendalam seperti yang terkandung dalam silibus kursus DCC50262 Environmental Pollution and Control," tambahnya lagi.
12 May 23
424
Lebih Lima Ribu Meriahkan Rumah Terbuka PKM Kijal
KEMAMAN, 11 Mei - Lebih 5,000 pengunjung hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di sini semalam.
Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pengunjung dan petugas yang telah menjayakan majlis tersebut.
Katanya, majlis itu menerima kunjungi daripada masyarakat setempat, wakil setiap Pejabat DUN dan Parlimen, Ketua-ketua Jabatan, semua agensi kerajaan pusat dan negeri yang sudi sama-sama memeriahkan majlis ini.
"Tak lupa juga kepada semua agensi swasta, anak syarikat kerajaan negeri, Perguruan Silat, Penghulu Mukim, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan seluruh jawatankuasa panatia program dan para petugas, pada majlis tersebut," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal bertempat di Perkarangan Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal semalam.
Diantara sebahagian tetamu yang hadir.
Tambah Hazri Jusoh, beliau mengharapkan agar majlis ini dapat merapatkan lagi ukhwah islamiyah sesama insan dengan tidak mengira fahaman politik.
"Politik-politik juga tapi silaturrahim sebagai umat Nabi Muhammad SAW perlu diteruskan bagi membentuk sebuah negara, negeri dan masyarakat yang harmoni," katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa pilihanraya negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat dan mengharapkan ianya akan berlaku dengan aman.
"Tidak lama lagi PRN akan diadakan bagi memilih kerajaan untuk penggal baru dan kita mengharapkan agar setiap penyokong parti perlu berlapang dada supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini," ujarnya.
11 May 23
239
Lebih 5 Ribu Hadir Rumah Terbuka DUN Batu Rakit
SETIU, 9 MEI – Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit berlangsung dengan meriah apabila dikunjungi lebih 5,000 masyarakat sekitar Batu Rakit.
Pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat telah memenuhi Dataran Gong Lingai bermula sejak pukul 10 pagi lagi untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri pada kali ini.
Pelbagai sajian dan juadah raya tradisi Terengganu dihidangkan seperti Nasi Minyak, Opok-opok, Laksa dan kuih-muih serta dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu raya.
Pegawai Penyelaras (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, majlis rumah terbuka diadakan kali pertama di Dataran Gong Lingai merupakan tempat yang berada agak pedalaman sedikit berbading kampung-kampung lain di dun batu rakit ini.
“Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini seperti biasa setiap tahun dihadiri masyarakat di kawasan ini dan Alhamdulillah ramai juga orang luar daerah turut hadir.
“Terima kasih kepada semua yang hadir yang mana makanan dan juadah disediakan oleh UDM di kawasan ini,” katanya di sini hari ini.
Turut hadir memeriahkan majlis Datuk Bandar Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MBKT), Ybhg Tuan Haji Rosli Latif, serta Ahli Parlimen Setiu, Yang Berhormat Shaharizukirnain Abdul Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Yang Berhormat Hishamuddin Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Yang Berhormat Maliaman Kassim.
Dalam pada itu seorang pengunjung, Faiz Awang, 36, berkata, dia bersama keluarga dan rakan-rakan hadir ke rumah terbuka Aidilfitri DUN Batu Rakit seawal pukul 11 pagi.
"Sambutan Hari Raya kali ini amat bermakna sekali di sini kami dapat bersama menikmati pelbagai makanan seperti lemang dan ketupat bersama masyarakat selain bertemu dengan Pegawai Penyelaras Dun.
“Kami amat teruja sekali dan berharap sambutan hari raya seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
09 May 23
430
Lebih 3,000 Hadiri Sambutan Raya DUN Rantau Abang
DUNGUN, 1 Mei - Lebih 3,000 orang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Rantau Abang yang menyaksikan tetamu hadir seawal 9.30 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, majlis yang sepatutnya bermula pada jam 11 pagi terpaksa diawalkan kepada 10 pagi memandangkan tetamu sudah ramai menunggu.
" Alhamdulillah sambutan orang ramai sangat baik dan gulai dua ekor kerbau dan seekor lembu habis begitu juga juadah-juadah yang lain," katanya.
Majlis tersebut telah diadakan di tapak Pasar Malam Pulau Serai dekat sini dan turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman dan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Sementara itu, dalam ucapan ringkasnya Ariffin menyatakan Pilihan Raya Negeri dijangka akan diadakan pada akhir Ogos.
"DUN Terengganu, insya-Allah akan dibubarkan pada bulan Jun nanti," katanya.
01 May 23
201
i-Fiitri Bantu Ibu Bapa Sediakan Kelengkapan Raya Anak
DUNGUN - Warga Dungun yang menerima Bantuan i-Fitri melahirkan kesyukuran kerana kerajaan negeri telah meringankan perbelanjaan mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Azizah Mat Salleh, 58 melahirkan rasa syukur diatas keprihatinan kerajaan Terengganu membantu rakyat yang terpaksa berhadapan dengan harga barang yang semuanya meningkat.
"Saya berbangga sangat menjadi rakyat Negeri Terengganu kerana kerajaan sentiasa bantu rakyatnya, hari ni tolong rakyat untuk sambut raya dengan lebih meriah," kata ibu enam orang anak itu.
Azizah adalah salah seorang daripada 5,114 orang penerima Bantuan i-Fitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang menerima wang tunai sebanyak RM300 di Majlis Penyerahan Bantuan i-Fitri Peringkat DUN Rantau Abang di Dewan Arena Merdeka di sini.
Majlis yang disempurnakan oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun itu turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah Dungun, Fairul Hisham Mat dan wakil Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) Alif Aiman Mohd Zaki.
Manakala seorang ayah sembilan orang anak, Mohd Riduwan Mamat, 45, berkongsi kegembirannya menerima bantuan tersebut sekurang-kurangnya dapat meringankan kewangan untuk membeli baju raya untuk anak-anaknya.
"Syukur Alhamdulillah, dapatlah beli baju raya anak-anak dan buat persiapan raya dalam keadaan harga barang mahal sekarang ni," katanya yang tinggal di Kampung Gong Pasir.
Sementara itu, dalam ucapannya Alias mengingatkan orang ramai yang hadir supaya tidak lupa untuk membayar zakat fitrah.
" Jangan sampai luput waktu untuk bayar zakat fitrah iaitu selepas solat hari raya, sediakan satu peruntukan dalam keluarga yang mampu bagi hendak membayar zakat fitrah, mesti ingat tu," ujarnya.
18 Apr 23
138
PSMZA Agih Sumbangan Kepada 150 Golongan B40
DUNGUN, 18 April- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) mengagihkan sumbangan menerusi Program Bakul Kasih Ramadan kepada 150 kakitangannya serta komuniti setempat di kalangan B40.
Pengarahnya, Zamra Derahman berkata, pogram tersebut sedikit sebanyak meringan beban mereka sekaligus mendekatkan hubungan PSMZA dengan masyarakat setempat.
"Golongan sasaran penerima bantuan ini terdiri daripada kalangan warga PSMZA, pengawal keselamatan, pekerja am dan komuniti sekitar," katanya.
Tambah beliau, Program Bakul Kasih Ramadan merupakan pemberian bantuan berbentuk barangan keperluan dapur bagi meringan beban golongan tersebut.
"Pengagihan di Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Akademik, Mohyiddin Salleh.
" Bakul yang berisi keperluan asas dapur itu adalah hasil daripada sumbangan kakitangan jabatan itu sendiri dan juga staf PSMZA,"ujarnya.
18 Apr 23
294
Belajar Al-Quran Sepanjang Hayat
DUNGUN, 17 April - Ibu bapa diseru untuk mengubah mentaliti anak bahawa mempelajari al-Quran adalah sepanjang hayat bukannya berhenti belajar apabila menginjak ke Tingkatan Satu.
Teguran itu disuarakan Pengerusi Masjid Al Mustaqim, Wan Mazli Wan Dagang diatas sikap sambil lewa sesetengah ibu bapa kepada pengajian al-Quran anak-anak mereka sehingga akhirnya apabila meningkat dewasa gagal membaca kalamullah.
"Hantar anak belajar mengaji sehingga mereka boleh membacanya sendiri atau sehingga khatam," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pendek sempena Majlis Sumbangan Ramadan Anak Yatim DUN Rantau Abang di Dewan Al Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini kelmarin.
Dalam majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu seramai 300 orang anak yatim menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang.
Wan Mazli berharap ibu bapa mengambil iktibar daripada diri sendiri.
"Kalau kita pandai mengaji, contohi macam mana ayah dan emak kita buat untuk memastikan kita boleh mengaji, begitu juga sebaliknya, jangan ulangi kesilapan kita dulu," ujarnya.
Sementara itu Alias memberitahu program tersebut diadakan setiap tahun sejak 2011.
"Tetapi sebelum ini bawa cucu-cucu ini 'shopping' baju raya, tetapi kali ini, dalam bentuk wang tunai, "katanya lagi.
16 Apr 23
335