lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Terengganu Rancakkan Aktiviti Pelancongan Berasaskan Penyu
Terengganu Rancakkan Aktiviti Pelancongan Berasaskan Penyu
KEMAMAN, 16 Julai - Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman komited merancakkan aktiviti sektor pelancongan berasaskan penyu di daerah ini. Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata usaha itu adalah wajar kerana kegiatan tersebut akan memberi impak yang besar di daerah terbabit.  "Ini akan memberikan tarikan kepada pelancong luar dan juga domestik untuk datang ke Kemaman dengan tujuan melihat penyu. "Dengan itu industri hiliran sektor pelancongan di daerah ini juga perlu dilibatkan seperti menyediakan bilik penginapan yang baik, tempat makan yang dipantau kebersihannya serta menjaga mutu makanan yang disajikan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Kempen Penggalakkan 'Terengganu Turtle Tourism' Peringkat Daerah Kemaman Sempena Sambutan Hari Penyu Sedunia Tahun 2023, di Pantai Teluk Mak Nik, di sini, baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya bersempena dengan sambutan hari penyu sedunia, kerajaan Terengganu bertekad merancakkan aktiviti pelancongan berasaskan pengalaman bersama reptilia itu di negeri ini. "Justeru dalam mengalakkan aktiviti pelancongan ini sebagai sumber ekonomi kita perlulah menjaga ekosistemnya agar tidak tergugat yang akan mengakibarkan kerugian kepada kita semua. "Matlamatnya adalah untuk terus melihat sepanjang pantai di negeri Terengganu ini di Kemaman ini akan terus menjadi lokasi paling banyak berlaku pendataran penyu dan terus kekal di masa akan datang,"ujarnya.  
16 Jul 23
328
YaPIEM, PSMZA Penuhi Hasrat B40 Tunai Ibadah Korban
YaPIEM, PSMZA Penuhi Hasrat B40 Tunai Ibadah Korban
DUNGUN, 4 Julai- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Cawangan Terengganu dengan kerjasama Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) berjaya menunaikan hasrat golongan B40 untuk menyertai ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha kali ini. Ketua Unit Komunikasi PSMZA, Mohd Khairul Azman Abu Bakar berkata, menerusi Program Infak Qurban YaPEIM 1444H/2023 , dua ekor lembu telah diserahkan sendiri oleh Pengurus YaPIEM Terengganu, Kartina Ahmad dan Yusridin Md Nor kepada pihaknya.  "Lembu ini dinamakan 'lembu wakalah' dimana untuk pihak kami mencari peserta seramai 14 orang iaitu mereka yang sebelum ini tidak pernah menyertai ibadah korban,  " Peserta terpilih terdiri daripada empat orang kakitangan PSMZA, lima orang daripada Unit Pembersihan dan lima orang lagi daripada Unit Keselamatan," ujarnya.  Menurut beliau yang juga pengarah program itu, pengagihan daging korban telah disempurnakan oleh Pengarah PSMZA, Zamra Derahman. "Daging korban diagihkan kepada kakitangan PSMZA, keselamatan dan kebersihan, juga pelajar serta komuniti sekitarnya.  Salah seorang peserta Asmazita Shaikh Ahmad, 44, gembira terpilih sebagai peserta untuk menyertai ibadah korban terbabit yang menjadi keinginannya selama ini.  "Sebelum ini tidak pernah korban, maklumlah kita tak mampu tapi alhamdulillah, terima kasih ada orang yang sudi bantu menunaikan hasrat saya dan kawan-kawan," katanya. 
04 Jul 23
377
70 Calon Cemerlang SPM, STAM DUN Rantau Abang Dirai
70 Calon Cemerlang SPM, STAM DUN Rantau Abang Dirai
DUNGUN, 27 Jun – Seramai 70 orang pelajar di DUN Rantau Abang yang memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2022 telah diraikan dalam satu majlis yang diadakan di Dungun Escapade Resort di Pulau Serai, di sini. Kesemua calon cemerlang SPM dan STAM itu menerima hadiah berupa wang tunai yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun dan isteri, Rugayah Mahmood.  Alias dalam ucapannya mengharapkan para pelajar menanam azam untuk meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi demi mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang. "Sekarang ramai yang tidak mahu menyambung pelajaran mereka, sedangkan di usia remaja ini kita perlu gunakan peluang yang ada untuk belajar seberapa tinggi, untuk masa depan," katanya.  Sementara itu, salah seorang pelajar cemerlang SPM 2022 yang memperoleh 12A mengakui, setiap orang berhak berjaya tetapi mestilah berusaha untuk memperolehinya.  Nur Arisyah Syafiqah Mohd Zain, 18, berkata, tiada alasan terlambat berusaha untuk mencapai kejayaan dalam SPM selagi belum tiba hari peperiksaan. "Berusahalah disamping jaga hubungan kita dengan Allah dan kedua ibubapa, solat awal waktu, banyakkan selawat dan  sentiasa 'call' ibu atau ayah minta ampun serta doa dan restu dari mereka, " kata bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu itu. Manakala rakan sekolahnya juga berjaya mendapat keputusan yang sama, Nur Arifah Mohd Sabri,18, merakamkan ucapan terima kasih kepada guru-guru yang sentiasa ada ketika diperlukan.  "Selain mengadakan kelas tambahan, mereka juga meluangkan masa untuk kami bertanya apa yang tidak difahami walaupun di luar masa sesi persekolahan," katanya yang bercita-cita untuk menjadi akauntan.                     A
27 Jun 23
383
Remaja Terharu Terima Dana Putera
Remaja Terharu Terima Dana Putera
DUNGUN, 21 Jun- Simpati dengan kesusahan ibunya yang membanting tulang seorang diri menyara hidup mereka sekeluarga, seorang remaja cuba meringankan beban dengan menjadi pembantu gerai minuman selepas waktu sekolah.  Mengimbas kembali, remaja berkenaan Muhammad Ariff Hakimi Shahrizan, 20, berkata, ketika itu dia di tingkatan empat dan dari situlah dia belajar selok belok berniaga.  "Tapak tu asalnya tauke saya dulu tapi setelah dia berpindah ke Kuala Terengganu, saya berbincang dengan ummi saya, Faizal Azlina A. Rahman, 42,  untuk berniaga sendiri," kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang merupakan salah seorang penerima Dana Putera ketika ditemui di rumahnya di Gong Pasir di sini.  Muhmaad Ariff yang terharu dengan sumbangan peralatan berniaga, Dana Putera yang diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menganggap ianya sebagai pendorong untuknya berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya dan menggembirakan ibunya.  Sementara itu, Alias menjelaskan, Dana Putera yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membuka peluang kepada rakyat untuk membaiki taraf kehidupan.  "Kerajaan Terengganu telah memberi joran kepada rakyatnya, tidak memberi ikan agar mereka mampu berdikari. "Tetapi apapun usaha kita, solat jangan tinggal, walaupun sibuk atau penat macamana sekalipun, solat lima waktu wajib ditunaikan,  " Yang memberikan rezeki itu Allah S.W.T, jika kita tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tuan punya rezeki, ianya tidak akan membawa apa-apa makna kepada kita" ujarnya. 
21 Jun 23
215
Terengganu Inc Belanja RM11 Juta Bantu Masyarakat
Terengganu Inc Belanja RM11 Juta Bantu Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Sepanjang tahun lalu anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) telah membelanjakan lebih RM 11 juta untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi manfaat pelbagai anggota masyarakat. Selain memberikan peruntukan kebajikan dan pendidikan rakyat, Terengganu Inc turut aktif menaja Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Terengganu Football Club (TFC), badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi lain. Presiden dan pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sebagai GLC, pihaknya peka terhadap pembangunan modal insan tempatan. "Inisiatif bersepadu ini telah disertai oleh anak-anak syarikat kumpulan dengan melibatkan semua lapan daerah dalam negeri Terengganu yang telah membantu anak-anak pelajar serta badan pendidikan yang memerlukan dalam bentuk tajaan dan sumbangan pelbagai bentuk. "Antara sumbangan berimpak tinggi dalam kemajuan pendidikan pada tahun 2022 antaranya 'YT-TI Young Talent Scholarship programme' bagi menaja 10 pelajar tempatan yang berkelayakan daripada keluarga B-40 untuk menyambung pelajaran ke peringkat tinggi dengan peruntukan sebanyak RM500,000. " Terengganu Inc- UniSZA Islamic Investment Project iaitu pelaburan sebanyak RM300,000 bagi meneroka dan menyelidik panduan syariah dan ekonomi mampan serta memfokuskan penyelidikan, pelantikan profesor pelawat dan program tanggungjawab sosial dan penerbitan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program 'Kick-Off BSAS Aeronautics UAV in School-Programme' kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, di Wisma Darul Iman, di sini semalam. Tambah Burhanuddin lagi, antara sumbangan berimpak tinggi dalam membantu kemajuan pendidikan negeri ini diantaranya lagi ialah menyumbang dalam Yayasan Diraja Sultan Mizan untuk program akademik bagi meningkatkan kemahiran dan komuniti setempat melalui peruntukan sebanyak RM200,000 . "Pihak kami turut menyumbang kepada 'National Stem Association Chapter' sebanyak RM110,000 bagi menganjurkan program peningkatan prestasi STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik)," ujarnya.  
15 Jun 23
388
150 Peserta RTB Terima Geran Tanah
150 Peserta RTB Terima Geran Tanah
DUNGUN, 13 Jun- Seramai 150 peserta dari Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Paya Apek dan RTB Paya Rengit menerima geran tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, penerima geran tersebut merupakan mereka yang telah membuat bayaran premium tanah sebanyak 10 peratus daripada harga asal yang telah diserahkan borang 5A pada pertengahan November tahun lepas. "Apa yang dijanjikan kita dalam menifesto telah kita tunaikan. Dan ia jelas membuktikan PAS Terengganu mampu mentadbir negeri. "Janji sudah kita ditepati. Kita tidak cakap saja bahkan kita telah melunaskan janji manifesto justeru, kepada peserta lain yang sudah terima borang 5A tu, cepat - cepatlah selesaikan bayaran premium tanah, jangan sampai satu masa pihak Pejabat Daerah menarik balik nama peserta," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Serahan Geran RTB Paya Apek dan Paya Rengit DUN Paka 2023 di Dewan Sivik Paka, semalam. Dalam ucapannya, Satiful turut berpesan kepada penerima agar berusaha membuat pembersihan kawasan tanah yang diberikan. "Bincanglah bersama-sama, tubuh satu 'group komuniti' atau 'group whatsapp' dan berpakatlah dengan buat pungutan duit untuk bersih kawasan tanah. "Dan juga diharapkan berusahalah bina rumah, jangan sampai empat, lima tahun akan datang, masih lagi naik semak samun," ujarnya.
13 Jun 23
540
Budaya Hidup Bersyariat Tanggungjawab Bersama
Budaya Hidup Bersyariat Tanggungjawab Bersama
DUNGUN, 12 Jun- Pembudayaan hidup bersyariat  yang  menjadi identiti dan jati diri kepada kerajaan Negeri Terengganu dan seluruh rakyatnya adalah tanggungjawab bersama.  Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, Islam merupakan suatu agama rahmat dan kasih sayang, bukan suatu pendekatan yang berbentuk kekerasan.  "Islam juga sebagai agama yang membawa rahmat seluruh alam bukan sahaja kepada manusia malah juga kepada alam semesta.  "Sistem pemerintahan, perundangan syariah dan permasalahan masyarakat baik orang Islam dan bukan Islam.  "Pemerkasaan Islam merupakan asas  kepada pentadbiran dan pembangunan negeri Terengganu Darul Iman," ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat peringkat daerah Dungun 2023M/1444H di Masjid Pak Sabah di sini. Turut hadir, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Penolong Pegawai Daerah Dungun, Fairul Hisham Mat.  Katanya, beliau difahamkan program yang diadakan selama dua hari itu, sangat berkait rapat dengan tema kerajaan negeri iaitu Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.  "Secara umumnya untuk mencapai sebuah negeri Terengganu yang berkat, maka  seluruh komponen yang ada dalam kerajaan negeri, pentadbiran, jentera-jentera, agensi-agensi dan seluruh rakyatnya mestilah membudayakan syariat Allah SWT," jelasnya lagi. 
12 Jun 23
107
Gotong Royong Berkala Di Tempat Tumpuan Ramai
Gotong Royong Berkala Di Tempat Tumpuan Ramai
Oleh/Foto:  Najwan Asif   MARANG, 8 Jun- Penduduk yang tinggal di kawasan tumpuan ramai digalakkan mengadakan program gotong royong secara berkala untuk memberi keselesaan kepada pengunjung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, selain menarik kedatangan pengunjung secara tidak langsung aktiviti gotong royong juga mampu mengeratkan hubungan di kalangan penduduk setempat. "Seperti di Lubok Batu ini yang menjadi tumpuan orang ramai bagi menjalankan aktiviti mendaki bukit, masyarakat disini perlu bersatu menjaga kebersihan dan keharmonian. ""Apatah lagi di kawasan ini, kami menerima banyak aduan tentang haiwan perosak seperti kera dan tupai yang telah merosak dan memakan tanaman seperti durian yang boleh memberi hasil kepada pekebun," ujarnya ketika ditemui pada program gotong royong itu. Beliau turut memuji usaha penduduk melakukan aktiviti gotong royong tersebut dan diharapkan ia dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan tanaman dapat dipelihara. "Segala aktiviti gotong-royong ini berjalan dengan lancar dan semoga tahun ini para pekebun mendapat hasil yang lumayan sekaligus menjadi pilihan bagi mereka yang sukakan raja buah,"katanya lagi.
08 Jun 23
247
Mesti Berani Bersaing Di Media Sosial
Mesti Berani Bersaing Di Media Sosial
DUNGUN, 30 Mei- Untuk  berjaya, usahawan mestilah sanggup  bersaing dan  tidak mudah mengalah di dalam mempromosikan produk menerusi medium media sosial.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, mereka mestilah sentiasa mengikut trend pelanggan secara atas talian.  "Jika kita menceburi bidang ini, ada turun naiknya dan kita mesti sanggup menanggung risiko, produk kita mestilah sentiasa berubah mengikut citarasa pelanggan yang berubah-ubah," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Dana Putera di Balai Raya Kampung Pulau Serai di sini. Di DUN Rantau Abang seramai 42 orang layak menerima bantuan yang dikhususkan oleh kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan(YPU) kepada peniaga-peniaga kecil.  Disamping itu, mereka juga mestilah menitik beratkan keberkatan hasil jualan yang diperolehi. "Sebagai seorang Islam janganlah kita mementingkan keuntungan semata-mata kerana kita akan mati, kita akan dihisab dan ada balasan syurga dan neraka," ujarnya lagi. 
03 Jun 23
175
Hanafiah Rai Lebih 10,000 Pengunjung Aidilfitri
Hanafiah Rai Lebih 10,000 Pengunjung Aidilfitri
KEMAMAN, 22 Mei - Seramai lebih 10,000 orang warga Terengganu terutamanya di daerah ini telah diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, semalam. Pengerusinya, Hanafiah Mat melahirkan rasa keterujaannya serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program ini. "Terima kasih kepada semua pihak samada daripada seluruh agensi kerajaan, mahupun masyarakat terutamanya yang tinggal di daerah ini kerana sentiasa memberikan sokongan yang baik kepada setiap program yang kami anjurkan. "Sepanjang 5 tahun memerintah, kami telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya. Saya berharap seluruh masyarakat akan sentiasa memberikan sokongan kepada kami untuk terus menerajui pemerintahan di negeri ini," ujarnya ketika ditemui pemberita. Hanafiah juga turut mengharapkan agar seluruh masyarakat di negeri ini mendoakan kebaikan buat seluruh pimpinan pentadbiran kerajaan negeri.  "Semoga ukhwah sesama kita akan terus terjalin erat, Insya-Allah," katanya lagi. Majlis yang diadakan di Kemaman Arena Square itu berlangsung dalam suasana sangat meriah dimana orang ramai mula memenuhi pekarangan bermula jam 11.00 pagi sehinggalah jam 3.00 petang. Majlis ini juga turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
22 May 23
412