lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Skuad Anti Dadah Dungun Tekad Perangi Dadah
Skuad Anti Dadah Dungun Tekad Perangi Dadah
D​​​​​UNGUN, 21 Disember- Skuad Anti Dadah Dungun terus bertekad untuk memerangi kes dadah di daerah tersebut.  Pengerusi Skuad Anti Dadah Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, beliau yakin dengan wujudnya skuad tersebut kes dadah akan lebih terkawal.  “Kesedaran bahayanya dadah ini juga perlu diberi penekanan seawal di bangku sekolah lagi kerana salah satu faktor kes dadah ini juga berpunca daripada rakan sebaya” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.  Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berharap kes dadah di negeri ini khususnya dan negara amnya terkawal menjelang tahun 2025. Menurutnya lagi, skuad yang merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu akan terus merangka dan melaksanakan pelbagai program yang lebih dekat bersama masyarakat bagi memberi kefahaman yang lebih jelas tentang bahayanya pengambilan dadah. “Saya melihat kefahaman agama juga perlu diterapkan dengan lebih meluas kepada masyarakat hari ini agar ia tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang membawa kerosakan kepada diri sendiri,” katanya.
21 Dec 23
145
Bot JAM Paka Sedia Menyelamatkan Mangsa Banjir Terperangkap
Bot JAM Paka Sedia Menyelamatkan Mangsa Banjir Terperangkap
DUNGUN, 21 Disember - Bot Jabatan Amal Malaysia (JAM) Paka akan digunakan untuk perkhidmatan menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap. Ketua JAM Paka, Abdul Latif Abdul Rashid berkata, ujian kesiapsiagaan yang dikenali sebagai "Test Drive Boat" menjadi sebahagian daripada persediaan menyeluruh mereka untuk menghadapi kemungkinan banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka khususnya. "Pentingnya ujian ini sebagai langkah awal dalam memastikan semua bot dalam keadaan baik sebelum terlibat operasi menyelamat atau bantuan banjir yang kemungkinan terjadi pada bila-bila masa sahaja ketika musim tengkujuh ini.  "Ujian "Test Drive Boat" ini adalah langkah proaktif kami untuk meminimakan risiko dan memastikan keberkesanan operasi menyelamat," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita semasa menjalankan ujian ke atas bot berkenaan. Selain itu, komitmen penuh dari JAM Paka menunjukkan persiapan mereka untuk bertindak cepat dan efisien dalam menghadapi bencana banjir yang mungkin melanda kawasan tersebut pada musim hujan ini. "Kita sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk melindungi dan membantu komuniti dalam mendepani cabaran musim tengkujuh yang dijangka akan berlaku lagi bagi gelombang yang seterusnya, " jelas beliau. 
21 Dec 23
277
13 Rumah Terlibat Banjir Lumpur Terima Bantuan
13 Rumah Terlibat Banjir Lumpur Terima Bantuan
DUNGUN, 20 Disember - Pihak perlombongan kuari Tebing Tembah iaitu TI Properties, dan Persona Venture Sdn Bhd mengambil inisiatif memberikan bantuan kepada 13 buah rumah mangsa banjir lumpur di Tebing Tembah. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pihak tersebut telah menyampaikan sumbangan keperluan harian serta wang tunai kepada keluarga yang terkesan akibat bencana alam itu. "Usaha ini diharapkan dapat membantu mereka yang kehilangan harta benda dan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," katanya. Salah satu keadaan sebuah rumah mangsa ditimpa banjir lumpur. Terdahulu, pengusaha perlombongan kuari Tebing Tembah menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) melakukan kerja-kerja menggali kembali sistem perparitan dan membina benteng penghadang bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat daripada terjadi lagi kejadian banjir lumpur. Masalah hakisan tanah runtuh dari bukit di kawasan itu telah menyebabkan parit di Kampung Panchor disini yang memiliki kedalaman dua meter tertimbun dan menyebabkan 13 buah rumah mangsa ditimpa musibah banjir lumpur. Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menunjukkan keprihatinan terhadap mangsa banjir. "Kerjasama dan sokongan dari pihak swasta adalah penting dalam bersama-sama membantu komuniti yang terjejas oleh bencana alam. "Selain itu, usaha ini turut mencerminkan tanggungjawab sosial korporat yang dipegang oleh syarikat-syarikat terlibat," ujarnya. Katanya, orang ramai juga diminta untuk terus bersatu padu dan memberikan pertolongan dan sokongan kepada pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir lumpur.
19 Dec 23
181
KPKKT Hargai Kakitangan
KPKKT Hargai Kakitangan
KUALA TERENGGANU, 20 Disember -Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) Dato' Satiful Bahri Mamat menyeru warga KPKKT agar terus menawarkan perkhidmatan terbaik pada masa akan datang. "Kita berharap tahun hadapan kita akan melangkah ke arah yang lebih baik dengan hala tuju yang jelas. "Sebagai salah satu anak syarikat negeri Terengganu, kita harus terus bersatu padu untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Malam Anugerah Penghargaan Kakitangan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) 2023 di Camelia Hall, Paya Bunga Square. Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar KPKKT, Ahmad Bazli Razali, berkata, majlis penghargaan tersebut merupakan satu langkah penting dalam memupuk semangat kerjasama dan meningkatkan motivasi ahli-ahli pasukan untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam tahun-tahun mendatang. "Malam Anugerah Penghargaan Kakitangan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) 2023 diadakan bagi menghargai usaha dan penat lelah kakitangan yang telah bekerja keras. "Kena tegur atau marah sedikit-sedikit itu biasalah dalam setiap organisasi. Masa kerja, kita kerja. Masa bergembira kita bergembira. "InsyaAllah, kita akan terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan kita dan melangkah ke arah yang lebih baik dari sebelum ini,"katanya.
19 Dec 23
334
48 Pasukan Bakal Rebut Piala ADUN Sura
48 Pasukan Bakal Rebut Piala ADUN Sura
DUNGUN, 19 Disember - Seramai 48 pasukan bola sepak pantai dari seluruh negara bersiap sedia untuk berentap merebut Piala ADUN Sura yang akan berlangsung di Pantai Teluk Lipat pada 22 dan 23 Disember ini. Kehadiran 48 pasukan berprestij tersebut menandakan perhimpunan terbesar dalam dunia bola sepak pantai di Malaysia, menjadikan acara ini sebagai tontonan menarik dan dijangkakan memukau peminat bola sepak pantai dari pelbagai lapisan masyarakat. Pengarah kejohanan, Nakhaie Nafis berkata, aksi yang sengit dijangkakan bakal ditampilkan oleh pasukan yang bertanding, selepas masing-masing membariskan pemain yang berkualiti. "Acara ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi juga satu platform untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti permainan bola sepak pantai di Malaysia. "Kami sangat gembira melihat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pasukan-pasukan yang telah mendaftar dalam kejohanan ini. Piala ADUN Sura bukan hanya mengiktiraf pasukan terbaik, tetapi juga membuka peluang kepada pasukan lain untuk meningkatkan tahap permainan mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian sewaktu melakukan persiapan di lokasi pertandingan berkenaan. Tambahnya, kejohanan ini akan menarik perhatian penggemar bola sepak pantai dengan persembahan pasukan-pasukan unggul dari seluruh Malaysia. "Dengan berbagai strategi dan taktik yang digunakan, pertandingan dijangkakan akan berlangsung dengan ketegangan tinggi, dan setiap pasukan perlu bersaing dengan sepenuh kemampuan untuk meraih kejayaan," ujarnya. Nakhaie turut mengalu-alukan kehadiran para peminat bola sepak pantai dan orang awam untuk turut serta menyaksikan aksi-aksi menarik pasukan-pasukan terbaik Malaysia yang bersaing untuk mendapatkan gelaran juara di Pantai Teluk Lipat ini. 
19 Dec 23
275
Pesiapan Padang Sempena Pertandingan Piala Adun Sura Rancak Berjalan
Pesiapan Padang Sempena Pertandingan Piala Adun Sura Rancak Berjalan
DUNGUN, 18 Disember - Pesiapan padang sempena pertandingan Bola Sepak Pantai Piala ADUN Sura yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini di Pantai Teluk Lipat disini sedang rancak berjalan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, ketika ini semua pihak terlibat berganding bahu menyiapkan padang bola berkenaan bagi memperlihat suasana yang cantik kepada para pengunjung.  "Lokasi padang ini merupakan lokasi yang baharu. Kita cuba meneliti dengan baik setiap aspek bagi menjamin keselesaan pengunjung yang hadir dengan menitikberatkan beberapa perkara termasuklah dari sudut keselamatan memandangkan ianya berdekatan dengan pantai.  "Semua langkah ini dititikberatkan demi menyajikan pengalaman sepak bola pantai yang tidak hanya menambah daya tarik pertandingan, tetapi juga sempurna dan memberi impak positif kepada setiap pengunjung," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan. Tambahnya, penduduk Dungun khususnya di kawasan Sura, turut diharapkan akan menikmati limpahan ekonomi melalui peningkatan aktiviti pelancongan dan perniagaan tempatan. "Kejayaan penganjuran acara ini bukan sahaja membawa kegembiraan sukan kepada masyarakat tetapi juga membawa manfaat positif dalam jangka panjang kepada ekonomi setempat," ujarnya. Beliau turut mengharapkan program tersebut berjalan lancar memandangkan sekarang ini musim tengkujuh.
19 Dec 23
310
Masalah Perparitan Tebing Tembah Dapat Perhatian
Masalah Perparitan Tebing Tembah Dapat Perhatian
DUNGUN, 19 Disember - Pengusaha perlombongan kuari Tebing Tembah menjalankan tanggungjawab sosisal (CSR) melakukan kerja-kerja menggali kembali sistem perparitan dan membina benteng penghadang bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, masalah hakisan tanah runtuh dari bukit di kawasan itu telah menyebabkan parit di Kampung Panchor disini yang memiliki kedalaman dua meter tertimbun. "Saya berterima kasih kepada pihak perlombongan kuari Tebing Tembah kerana mengambil tanggungjawab dalam membaikpulih sistem perparitan dan membina benteng penghadang. "Semoga langkah ini dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan ini dan memberikan kesejahteraan kepada penduduk setempat," katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di kawasan parit tertimbun berkenaan bersama pengusaha projek kuari. Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif CSR ini dapat memberikan impak positif dalam meningkatkan sistem saliran air dan mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut. "Langkah ini diambil untuk mengelakkan berulangnya kejadian banjir dan melindungi penduduk setempat dari risiko yang serupa di masa hadapan," ujarnya. Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berhati-hati terutama ketika musim hujan, serta berharap agar masyarakat dapat bekerja sama dalam usaha pemulihan dan pencegahan bencana alam.
18 Dec 23
599
Kes Covid-19 Yang Mendadak, Kerajaan Tidak Laksana PKP
Kes Covid-19 Yang Mendadak, Kerajaan Tidak Laksana PKP
PUTRAJAYA, 18 Disember - Malaysia kini sedang mengalami peningkatan kes Covid-19 yang mendadak namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap situasi ini dapat diatasi tanpa diadakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP). Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkuatkan Pelan Pengurusan Covid melalui lima strategi yang berkaitan. "Pertama, melibatkan pengesanan awal kes Covid-19 dan variasi melalui High Alert System (HIS). “Kedua, pemantauan sentinal di seluruh negara. Ketiga, pemantauan persekitaran i-kumbahan dan pintu masuk antarabangsa. “Selanjutnya, kita memperkasakan komuniti melalui amalan Test Report Isolate Inform Seek (TRIIS)," katanya dalam sidang media petang tadi. Walaupun mengakui cabaran ketika ini, Menteri Kesihatan menegaskan bahawa pihaknya bersedia untuk bertindak dengan cergas dan menyeluruh bagi mengekalkan kawalan ke atas penularan virus.  Beliau menyeru rakyat untuk terus patuh kepada SOP yang telah ditetapkan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan kesihatan.
18 Dec 23
96
305 Pelajar Menyertai Tuisyen Rakyat Percuma DUN Paka
305 Pelajar Menyertai Tuisyen Rakyat Percuma DUN Paka
DUNGUN, 18 Disember- Seramai 305 orang pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menyertai Program Tuisyen Rakyat secara percuma. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, berkata, kelas pembelajaran alternatif secara percuma khusus untuk calon SPM sangat membantu pelajar yang kurang berkemampuan.  "Inilah masanya kita kerajaan negeri membantu memberi sokongan dan bimbingan tambahan kepada mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan ke empat - empat zon Tuisyen Rakyat yang diadakan di tempat berlainan mengikut zon Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Paka. Sehubungan dengan itu, beliau selaku EXCO Pendidikan negeri yang telah melihat pentingnya mengadakan di seluruh 32 DUN Tuisyen Rakyat secara percuma khas untuk pelajar SPM agar mereka tidak tercicir dari menerima proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) di luar waktu sekolah. "Inisiatif ini adalah langkah positif dalam meningkatkan prestasi pelajar dan memberi peluang kepada mereka untuk meraih kejayaan dalam peperiksaan SPM," ujarnya. Selain itu juga, beliau yang juga ADUN Paka berharap agar program-program bimbingan seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi untuk manfaat pelajar-pelajar negeri ini. "Hasil yang kita dapat lihat ialah jelas tentang keperluan dan harapan pelajar, dan diharapkan tindakan dapat diambil untuk memastikan kecemerlangan pendidikan di negeri ini terus ditingkatkan.
18 Dec 23
221
MPD Tebang Pokok Berisiko Tumbang
MPD Tebang Pokok Berisiko Tumbang
DUNGUN, 18 Disember- Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengambil langkah segera dengan menebang pokok-pokok yang telah berusia di laluan utama Kampung Sura Lapangan Terbang bagi mengelak kejadian tidak diingini terutamanya ketika berlaku ribut dan angin kencang pada musim tengkujuh ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, langkah tersebut sekali gus dapat meminimakan risiko kepada penduduk dan pengguna jalan di sekitar kawasan tersebut daripada dihempap pokok. "Saya telah menerima aduan daripada penduduk mengenai dahan-dahan pokok yang berpotensi tumbang, yang telah menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka yang melalui kawasan ini. "Keselamatan rakyat adalah keutamaan kami. Saya mengalu-alukan tindakan cepat MPD dalam menangani isu ini dan bersyukur kerana pihak berkuasa sentiasa peka terhadap keperluan rakyat," ujarnya kepada pemberita sewaktu membuat tinjauan di lokasi pokok berisiko tumbang berkenaan. Beliau turut menyeru penduduk setempat untuk terus mengadukan sebarang isu keselamatan kepada pihak berkuasa agar tindakan lanjut dapat diambil dengan segera. Beliau juga menyatakan komitmen untuk terus bekerja keras demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sura.  
18 Dec 23
185