Artikel "Komuniti" Terkini
JPKK Perlu Lebih Peka Keperluan Mangsa Banjir
DUNGUN, 27 Disember- Semua pimpinan masyarakat perlu lebih peka terhadap kebajikan rakyat setempat yang memerlukan bantuan dalam tempoh sukar ketika ini.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, tanggungjawab itu perlu diberi perhatian oleh semua pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang penduduknya turut terkesan susulan banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu.
"Kita harap semua kawasan JPKK yang terlibat dengan banjir dapat memastikan penduduk di kawasan mereka berada dalam keadaan selamat dan bersiap sedia jika berlaku sebarang kemungkinan ketika musim tengkujuh ini.
"Marilah sama - sama kita doakan semoga Allah S.W.T jauhi kita dari bencana banjir selepas ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan khas bersama Ketua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang dan Bukit Besi.
Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan tersebut, Wan Hassan berkata, ianya bertujuan untuk mendapatkan laporan mengenai keadaan semasa yang berlaku di PPS di DUN masing-masing.
"Makluman laporan yang diterima dari Bukit Besi adalah mengenai pemotongan elektrik yang terpaksa dilakukan oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) atas faktor keselamatan di beberapa kampung iaitu Kampung (kg) Kuala Jengal, Kg Rantau Panjang, Kg Minda, Kg Talong dan Kg Tepus.
"Bagaimanapun, bantuan generator telah di hantar oleh TNB, " ujarnya.
Sementara itu katanya, laporan dari Rantau Abang pula memaklumkan, keadaan ketika ini terkawal.
"Cuma penduduk setempat masih berwaspada oleh kerana pada malam ini dijangka air pasang besar, " ujarnya.
27 Dec 23
137
Jabatan Amal Dungun Bantu Alih Pokok Tumbang
DUNGUN ,26 Disember – Jabatan Amal Dungun segera menggerakkan anggotanya untuk turut sama membantu pihak Angkatan Pertahanan Awam dan Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Seberang Pintasan setelah dimaklumkan kejadian pokok tumbang di kampung itu.
Ketua Operasi Jabatan Amal Kawasan Dungun, Utbah Hassan berkata, setelah dimaklumkan tentang kejadian pokok tumbang yang menyebabkan halangan buat kenderaan untuk melalui jalan tersebut, seramai lapan anggota Jabatan Amal telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sudah menjadi kebiasaan apabila masuk musim tengkujuh banyaklah laporan dan aduan berkenaan dengan bencana termasuklah pokok tumbang.
"Justeru, kita telah bersiap sedia lebih awal lagi dengan melakukan persediaan barangan logistik sekiranya terdapat aduan berlakunya pokok tumbang mahupun bencana yang lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi mengalihkan pokok tumbang di Kampung Seberang Pintasan, semalam.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli turut merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota Jabatan Amal yang terlibat dalam operasi membantu mengalihkan pokok tumbang itu.
“Semua masyarakat perlulah berganding bahu dan saling bekerjasama apabila berlakunya bencana agar ia dapat diselesaikan dengan segera," ujarnya.
26 Dec 23
333
Mangsa Banjir Di PPS Durian Mentangau Meningkat
DUNGUN, 26 Disember - Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Durian Mentangau di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau semakin bertambah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, ketika ini terdapat 90 orang mangsa daripada 22 keluarga yang ditempatkan PSS berkenaan.
“Jika paras air sungai semakin meningkat, kemungkinan jumlah rumah mangsa ditimpa banjir juga akan meningkat.
"Kita bimbang tengok pada keadaan cuaca hari ini masih lagi mendung dan kadangkala hujan lebat berterusan yang akan merisikokan lagi penduduk Kampung Durian Mentangau dengan bencana banjir kali ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir di PPS Durian Mentangau yang bertempat di SK Durian Mentangau.
Tambahnya, keadaan semasa di Kampung Durian Mentangau ini sentiasa akan dipantau oleh pihak berwajib.
"Semua pihak diingatkan agar sentiasa peka terhadap keperluan dan keadaan mangsa banjir serta bersedia untuk memberikan bantuan sebaik mungkin," ujarnya.
26 Dec 23
163
JAM Paka Gerak Anggota Bersih Rumah Mangsa Banjir
DUNGUN, 26 Disember - Skuad Jabatan Amal Malaysia (JAM) Paka segera menggerakkan anggotanya untuk misi membersih rumah mangsa yang terjejas banjir di gugusan Felda Rasau Kerteh.
Ketua Operasi JAM Paka, Hafizuddin Norul Azhar berkata, selepas banjir yang melanda kawasan gugusan Felda Rasau Kerteh yang terdiri daripada Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4 dan Ketengah Jaya mulai surut sejak semalam, ramai mangsa memerlukan khidmat mereka untuk membersih rumah.
"Beginilah kebiasaannya selepas air surut dari banjir. Habis bersepah dalam dan luar rumah.
"Oleh sebab itu, kita segera gerakkan skuad kita untuk membersih kotoran lumpur yang ada masih lagi tidak keras dan memudahkan untuk membersihnya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kerja pembersihan di kawasan Felda Kerteh 4, semalam.
Tambahnya lagi, kerja-kerja pembersihan agak memakan masa bagi sesebuah rumah.
"Jadi, kita teruskan lagi dengan tenaga anggota yang ada kira-kira 20 orang untuk membersih beberapa lagi buah rumah yang tinggal," ujarnya.
Terdahulu, kejadian banjir yang melanda gugusan Felda Rasau Kerteh pertama kali dalam sejarah sehingga mengakibatkan ramai penduduk menjadi mangsa banjir.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato' Satiful Bahri Mamat merakamkan penghargaan kepada JAM Paka atas usaha mereka yang pantas dalam menangani situasi pasca banjir.
"Terima kasih Jabatan Amal Malaysia (JAM) Paka yang segera melancarkan skuad misi bersih pasca banjir Felda Kerteh 4 sejak dari pagi tadi lagi," katanya.
Beliau juga menyeru kepada penduduk setempat agar terus bersatu dalam menghadapi ujian ini.
"Kita harus bersama-sama melalui cabaran ini dengan penuh kesabaran dan kekuatan. Semoga bantuan dan sokongan terus mengalir untuk membantu mereka yang memerlukan," tambahnya.
26 Dec 23
193
100 Sukarelawan Dungun Siap Sedia Hulur Tenaga Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 26 Disember- Seramai 100 sukarelawan di daerah ini yang terdiri daripada anggota Khidmat Malaysia Dungun, Jabatan Amal Kawasan sentiasa bersedia untuk digerakkan susulan banjir gelombang ketiga melanda Terengganu secara berperingkat sejak Sabtu lalu.
Pengerusi Khidmat Malaysia Kawasan Dungun, Khairul Ismail berkata, pihaknya dan beberapa NGO lain ketika ini lebih menfokus kepada memberikan khidmat tenaga demi memastikan keselamat penduduk setempat selamat daripada bencana banjir.
“Semalam, kita telah aktifkan Emergency Respond Team (ERT) bagi persiapan menghadapi banjir gelombang ketiga ini.
"InshaAllah pihak kami akan menyalurkan bantuan dari segi khidmat bot penyelamat, khidmat tenaga bantu dan khidmat pasca banjir iaitu membersih rumah mangsa banjir,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Bilik Operasi Khidmat Malaysia Kawasan Dungun, semalam.
Dalam pada itu katanya, orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku ketika musim tengkujuh ini.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, setakat pukul 10 pagi ini, sebanyak 27 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini bagi menempatkan seramai 1,993 mangsa daripada 507 keluarga yang terjejas banjir.
25 Dec 23
122
Mangsa Banjir Diharap Tabah, Sabar Hadapi Ujian
DUNGUN, 25 Disember- Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengharapkan mangsa banjir khususnya di daerah itu yang kini mengalami banjir gelombang ketiga bersabar dan tabah dengan ujian yang dihadapi.
Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir.
"Saya berharap semoga mangsa banjir di sini bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian yang diberi. Semoga Allah gantikan yang lebih baik dari sebelum ini.
"Juga jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjalankan tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Semai Bakti Felda Kerteh 4, malam tadi.
Menurut Wan Hassan, seramai 303 mangsa banjir daripada 55 keluarga telah dipindahkan ke PPS terbabit setakat jam 12 malam.
"Kesemua mangsa yang ditempatkan di situ terdiri daripada empat kampung iaitu Felda Kerteh 1, Felda Kerteh 4, Felda Kerteh 4A dan Ketengah Jaya.
"Alhamdulillah, malam tadi saya melihat pelbagai bantuan dari segi makanan dan barangan keperluan harian di hantar dengan segera kepada mangsa banjir yang berada di PPS tersebut," katanya.
25 Dec 23
303
21 PPS Dibuka, Tempatkan Mangsa Banjir Dungun
DUNGUN, 25 Disember- Sebanyak 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini susulan banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu ketika ini.
Menurut laporan Bilik Gerakan Bencana Daerah Dungun, PPS terbabit melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sura, Paka, Rantau Abang dan Bukit Besi.
"Dungun mencatatkan mangsa banjir tertinggi ketika ini ekoran hujan lebat berterusan dan air sungai melimpah ke paras berbahaya.
"Setakat pukul 7 pagi tadi, seramai 1,149 orang mangsa banjir daripada 299 keluarga ditempatkan di 21 PPS daerah ini, " ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli memohon agar semua penduduk di daerah Dungun mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan hujan masih berterusan dan air sungai meningkat ke paras berbahaya.
"Saya mengharapkan mereka sabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini. Terima kasih diucapkan kepada pihak keselamatan yang menjalankan tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat.
"Marilah kita berdoa agar dijauhkan dan diselamatkan diri dan keluarga daripada bencana ini," ujarnya lagi.
25 Dec 23
189
Terima Kasih Semua Pihak Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 25 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemindahan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam kawasan tersebut sejak malam semalam.
Menurut beliau, Rantau Abang sekali lagi diuji dengan bencana banjir bagi gelombang ketiga yang bermula Sabtu lalu.
"Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam membantu mangsa banjir untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.
“Kerjasama dari semua lapisan masyarakat yang turun membantu mangsa banjir ini sangat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat tinjauan di PPS Burung Baru di sini, semalam.
Menurut beliau, setakat semalam sebanyak 14 buah PPS telah dibuka.
"Sudah ramai yang sudah berpindah ke PPS yang mana rumah mereka sudah dimasuki air berikut hujan yang tidak berhenti bermula pagi semalam” ujarnya.
Katanya, kalau dilihat keadaan sungai semalam, air masih lagi bertahan tetapi dibimbangi ianya semakin naik berikutan mengikut trend air di sebelah Hulu Dungun mengalir turun ke kawasan-kawasan tersebut .
“Apa yang cukup membimbangkan apabila hujan masih berterusan dan air semakin naik tetapi masih ada segelintir penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir enggan berpindah ke PPS, " ujarnya.
25 Dec 23
195
40 Tahun Hidup, Ini Kali Pertama Dilanda Banjir
DUNGUN, 25 Disember - "Selama 40 tahun hidup, ini kali pertama rumah saya dilanda banjir," kata salah seorang penduduk Ketengah Jaya.
Hafiza Zakaria,42, memberitahu, banjir besar yang melanda kawasan itu juga merupakan pertama kali dalam sejarah.
"Saya tinggal di sini sudah 40 tahun, dan ini adalah kali pertama kami menghadapi banjir sebesar ini.
“Saya pun terkejut juga apabila menerima khabar ini dari kumpulan WhatsApp yang mengatakan jalan masuk ke Ketengah Jaya tersekat air,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat tinjauan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Ketengah Jaya, Shamsuddin Mamat, berkata kejadian banjir yang melanda kawasan berkenaan berpunca daripada limpahan air sungai yang mengalir ke kawasan itu.
“Banjir yang tiba-tiba ini telah menyebabkan banyak penduduk terkejut dan tanpa bersedia menghadapinya.
“Air sungai yang naik dengan cepat juga menyebabkan mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan telah merosakkan beberapa barangan eletronik,” ujarnya.
Katanya, kawasan JPKK lain yang berada berhampiran seperti kawasan JPKK Felda Kerteh 1, JPKK Felda Kerteh 4, dan JPKK Ketengah Jaya turut terjejas.
“Kita telah menghubungi pihak berwajib bagi menyediakan dengar kadar segera tempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang bertempat di Dewan Semai Bakti Felda Kerteh 4 bagi mangsa berpindah sementara,” jelasnya lagi.
24 Dec 23
1480
303 Orang Mangsa Banjir Gugusan Ketengah Jaya Berada Di PPS
DUNGUN, 25 Disember - Seramai 303 daripada 55 keluarga di Gugusan Ketengah Jaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Felda Kerteh 4 di Dewan Semai Bakti FK4 setakat 11 malam tadi disebabkan banjir gelombang ketiga yang melanda daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, mangsa yang ditempatkan di PPS itu terdiri daripada penduduk yang terjejas banjir di empat Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) iaitu JPKK Felda Kerteh 1, JPKK Felda Kerteh 4, JPKK Felda Kerteh 4A dan JPKK Ketengah Jaya.
“Mangsa banjir yang paling ramai ditempatkan di PPS ini ialah daripada JPKK Felda Kerteh 4 dengan menempatkan 136 orang terdiri daripada 28 keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Felda Kerteh 4 di Dewan Semai Bakti Felda Kerteh 4.
Katanya, trend air di kawasan tersebut semakin menurun setakat malam semalam.
“Apa yang kita bimbang ialah perkara sebegini akan berlaku lagi jika keadaan cuaca masih lagi hujan berterusan.
“Apa pun kita doakan agar keadaan cuaca semakin baik, dijauhkan daripada perkara tidak diingini dan dupermudahkan urusan mereka yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir dengan cepat.
“Sokongan dari masyarakat juga yang saling tolong menolong antara satu sama lain sama ada secara langsung atau tidak langsung, amat dihargai,” jelasnya.
24 Dec 23
276