Artikel "Komuniti" Terkini
200 Rakyat Terengganu Berpeluang Kerja Dengan Sony
KUALA NERUS, 16 Februari - Sony EMCS Malaysia Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 200 anak muda negeri ini yang berusia tidak lebih 35 tahun untuk bekerja dengan syarikat terkemuka dunia dari Jepun.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, temuduga untuk rakyat negeri ini bekerja di syarikat berkenaan bermula semalam sehingga 19 Februari ini membabtikan tiga daerah, Kuala Nerus, Besut dan Setiu.
Katanya, syarikat tersebut bersetuju membuka peluang pekerjaan bagi rakyat negeri ini setelah kunjungan hormat oleh pihak Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC).
"Saya meharapkan supaya ramai lagi datang di Pusat Cari Kerja di Jalan Lapangan Terbang ini di mana hari ini (semalam) dan esok (hari ini) diadakan temuduga secara 'outreach' di sini sebelum ke Besut dan Setiu.
"Syarikat Sony ini menyediakan pelbagai inisiatif yang menarik dengan menyediakan penginapan yang kondusif, menyediakan bas untuk menghantar kesemua yang berjaya ditemuduga ini selain akan menyediakan bas untuk pulang dan pergi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Tawaran gaji yang diberikan juga cukup menarik dengan menyediakan elaun asas yang sangat tinggi sesuai dengan keadaan semasa, melalui taklimat yang diberikan tadi saya melihat peluang untuk melakukan pekerjaan lebih masa ada jika dicampur gaji asas berserta elaun yang lain boleh mencecah RM3,000," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri Walkabout Outreach Kerjaya di THRDC ( Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud), di sini, semalam.
Turut Hadir Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid.
Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata walaupun pada permulaan syarikat tersebut hanya menawarkan perkhidmatan sebagai Operator Pengeluaran namun peluang untuk naik pangkat dan diserap ke bahagian yang lebih baik bagi menempatkan diri di Sony EMCS itu ada.
"Jika untuk menjadi operator pengeluaran ini hanya melalui sijil PMR, namun dengan memiliki SPM, Diploma dan Ijazah jika didapati bekerja dengan baik semasa menjadi operator di masa akan datang akan ditawarkan ke jawatan yang lain.
"Ini merupakan peluang yang sangat baik untuk bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangasa yang berpengalaman dalam mengeluarkan barangan elektronik berasal dari Jepun," katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui THRDC akan terus merintis kerjasama dengan mana-mana majikan dalam negara ini bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini mendapatkan pekerjaan.
"Program secara 'outreach' ini kita akan terus lakukan bertemu seramai mungkin bertemu dengan mana-mana majikan yang ingin mencari pekerja," ujarnya.
16 Feb 24
7180
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
KUALA NERUS, 15 Februari - Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) memperkenalkan satu aplikasi Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang menjadi platform untuk rakyat Terengganu mencari pekerjaan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui aplikasi berkenaan rakyat negeri ini dapat maklumat yang betul mengenai info semasa jawatan kosong yang diiklankan sekali gus dapat mengelakkan diri menjadi mangsa 'scammer'.
"Setiap hari akan dikemaskini maklumat semasa tentang syarikat, agensi, jabatan, organisasi sama ada kerajaan ataupun swasta yang memerlukan pekerja bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.
"Bukan sahaja akan dapat mengetahui tentang info semasa jawatan kosong di negeri ini tetapi akan mendapat maklumat seluruh malaysia akan dipaparkan melalui peranti yang dicipta khas oleh THRDC yang ditempatkan di Pusat Cari Kerja, di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Walkabout Outreach kerjaya bertempat di T-HRDC, Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid.
Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat manfaat peranti itu, paparan aplikasi berkenaan akan ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Pusat Khidmat Masyarakat selepas ini.
"Apa yang penting hasrat kerajaan negeri hendak memastikan rakyat mendapat pekerjaan seramai mungkin," ujarnya.
15 Feb 24
1071
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
SETIU, 14 Februari - Sepasang beruang liar mengancam keselamatan penduduk dengan mengakibatkan beberapa serangan dan gangguan di Kampung Pengkalan Gelap.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Setiu, Rosdi Che Lah berkata, serangan berlaku sejak tiga hari lepas menyasarkan haiwan ternakan, kawasan pertanian dan terbaru sarang lebah kelulut.
Rosdi Che Lah, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Setiu
"Saya telah memberi peringatan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati dengan kehadiran beruang liar ini yang boleh memberikan ancaman keselamatan.
"Sejak tiga hari lepas setiap malam berlaku serangan dan gangguan dan saya menaruh rasa bimbang yang amat dengan kehadiran binatang liar ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Gelap.
Ekoran aduan yang telah dibuat, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap bagi menangkap binatang liar ini supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
Tambahnya, beliau berharap situasi itu segera berakhir dan penduduk kampung bebas daripada ancaman.
15 Feb 24
381
70 Warga PSMZA Sertai Misi Bantuan Banjir Di Hulu Dungun
DUNGUN, 31 Januari - Seramai 70 warga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) terlibat dalam Misi Pasca Banjir Hulu Dungun bagi membantu operasi pasca banjir di daerah itu yang merupakan antara daerah terkesan dilanda bencana banjir di Negeri Terengganu.
Pengarahnya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir PSMZA, Zamra Derahman berkata, tumpuan utama misi bantuan yang disertai kakitangan dan pelajar PSMZA itu untuk membersihkan sekolah yang terjejas akibat banjir.
"Kita telah menggerakkan pasukan bantuan seramai 70 orang ke Sekolah Kebangsaan Pasir Raja.
"Selain bantuan berbentuk tenaga fizikal, bantuan berupa pakaian, bekalan makanan dan peralatan asas elektrik turut dihulurkan hasil sumbangan warga PSMZA yang sangat prihatin," katanya yang turut sama dalam program gotong - royong sehari itu.
Beliau turut sama menyampaikan sendiri bantuan kepada mangsa - mangsa banjir di kampung tersebut dan sekitarnya.
Zamra berkata, misi tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pancuan Empat Roda Dungun (PADAT) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Dungun yang turut membantu dalam kerja - kerja pembersihan.
"PSMZA akan sedia memberi bantuan dalam apa - apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan kepada institusi pendidikan seperti sekolah yang banyak terjejas akibat banjir dan mengakibatkan proses pembelajaran tidak dapat dijalankan,
"Insya-Allah selepas ini kita akan gerakkan misi yang kedua sekiranya keadaan sekolah yang terjejas ini tidak pulih sepenuhnya bagi memberi keselesaan kepada proses pembelajaran anak - anak di sini," ujarnya lagi.
31 Jan 24
294
PKM Batu Rakit Teruskan Tradisi Solat Hajat SPM
KUALA NERUS, 22 Januari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Batu Rakit meneruskan tradisi meraikan dan mendoakan pelajar yang bakal berdepan peperiksaan melalui Majlis Solat Hajat Perdana SPM.
Majlis yang dilaksanakan di Masjid As Salam, di sini, semalam melibatkan masyarakat setempat dan ibu bapa pelajar bermula pada jam 7.30 malam dan berakhir pada jam 9.00 malam.
Berkaitan program terbabit, Pengarahnya, Azharuddin Shafee menjelaskan bahawa sememangnya telah menjadi tradisi bagi PKM Batu Rakit bersama-sama mengadakan solat hajat.
Azharrudin berkata, majlis itu dapat merapatkan hubungan antara masyarakat sekitar dengan pihak sekolah, warga pendidik dan juga ibu bapa pelajar.
“Program sedemikian bukan baru tetapi telah sebati dan menjadi tradisi kita di Batu Rakit, bukan hanya untuk peperiksaan namun banyak lagi program-program kemasyarakatan yang lain kerana PKM Batu Rakit adalah satu keluarga besar bagi masyarakat di sini.
"Seterusnya, majlis ini secara tidak langsung dapat mendidik pelajar agar sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam semua urusan hidup," ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan terlaksananya program sebegini, pelajar akan sentiasa menghormati guru-guru dan mengenang jasa serta pengorbanan mereka dalam mendidik dan mengasuh pelajar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa serta negara.
Dalam hal ini beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Masjid As Salam Batu Rakit, JPKK setempat dan orang ramai yang bersama-sama hadir serta mendoakan kejayaan anak-anak yang berdepan peperiksaan.
22 Jan 24
152
80 JPKK Daerah Setiu Terima Watikah Pelantikan
SETIU, 17 Januari - Sebanyak 80 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Setiu menerima watikah perlantikan bagi sesi 2023/2024, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pelantikan itu turut dilaksanakan di seluruh negeri Terengganu melibatkan 1,050 JPKK.
"Hari ini, kita menjadi sebahagian daripada itu dalam memikul amanah dan tanggungjawab kepimpinan di peringkat komuniti.
"Setiap masalah yang timbul mesti ada puncanya dan bagi menyelesaikan masalah tersebut, duduklah berbincang untuk sama-sama mencari puncanya.
"Amalkan setiap apa yang nak dibuat adakan mesyuarat dan daripada itu kita akan dapat bekerja dengan sebaiknya,"jelasnya ketika ucapan perasmian di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom semalam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri dan Langkap, Yusop Majid dan Azmi Maarof.
Terdahulu, taklimat berkenaan Pengkalan Data Utama (PADU) disampaikan oleh wakil Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu, wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH).
17 Jan 24
272
Program Ladang Sejahtera Kurangkan Tekanan Golongan Susah
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Program Ladang Sejahtera #KakDaCakne menerima respon positif selepas berjaya membantu mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi masyarakat kurang bernasib baik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus membantu melalui pelbagai insentif bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat.
Zuraida ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Katanya, program itu merupakan salah satu cara beliau membantu rakyat dengan mengagihkan pek keperluan makanan seperti beras, tepung dan gula yang secara keseluruhannya bernilai lebih RM10,000.
"Selain daripada memberikan bantuan secara 'one-off' (sekali beri), kita juga menggalakkan rakyat untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dengan memberi suntikan insentif daripada agensi kerajaan negeri.
"Agensi kerajaan negeri adalah seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ladang Sejahtera #KakDaCakne di Dewan Serbaguna Bukit Kecil, kelmarin.
Suasana ketika agihan berlangsung.
Ujar Zuraida, program tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang, melibatkan 105 orang penduduk DUN Ladang yang terpilih.
"Dalam program itu, kita juga bawakan Penghulu Kanan Mukim Bukit Besar untuk memberi taklimat mengenai proses permohonan eKasih dan subsidi air Syarikat Air Terengganu (SATU).
"Di samping turut diberikan taklimat oleh Pegawai Cawangan TNB Terengganu mengenai rebat bulanan bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Turut kita selitkan taklimat mengenai kepentingan mengisi Profail Rakyat Terengganu (PRT20) oleh wakil dari Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Ladang," tambahnya lagi.
Zuraida turut menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam usaha memberi kebajikan kepada rakyat.
Zuraida menyantuni peserta Ladang Sejahtera.
16 Jan 24
191
Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Tali Air
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Mayat seorang lelaki telah ditemui dalam keadaan terapung di tali air di Kampung Tetambah, Manir dekat sini semalam.
Mayat Syed Mohd Azmi Sikh Ismail, 39, dari Kampung Pujuk telah ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung yang sedang mencari etok dalam keadaan terlentang kira-kira jam 4.45 petang.
Menurut saksi, Muhammad Farid Aiman bin Yussof, 20, berkata, dia menjumpai mangsa ketika berpindah tempat mencari etok dari seberang tali air tersebut bersama rakan-rakan.
“Mula-mula saya cari di sana, apabila kurang berhasil, saya berpindah ke sini dan menjumpai mayat tersebut,” ujarnya sambil menunjukkan arah kawasan mayat tersebut dijumpai kepada pemberita.
Sementara itu, seorang lagi saksi, Mohamad bin Jusoh, 52, berkata, dia ada ternampak motosikal mangsa di kawasan kejadian sejak petang semalam lagi.
“Memang biasa orang parking motosikal di sini untuk memancing, dan ia bukannya sesuatu yang pelik,” ujarnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
16 Jan 24
828
Seramai 399 Calon SPM Sertai Tuisyen Rakyat
Besut, 15 Januari - Seramai 399 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Undangan Negeri(DUN) Hulu Besut menyertai tuisyen rakyat sebagai persiapan terakhir untuk menghadapai peperiksaan pada 18 Januari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, inisiatif mengadakan tuisyen rakyat itu merupakan usaha pihaknya bagi memastikan pelajar terbabit memperolehi keputusan yang baik kerana SPM merupakan penentu langkah seterusnya selepas tamat alam persekolahan.
"Di mana ia akan membawa hala tuju kita untuk menyambung pelajaran hingga ke menara gading ataupun sebaliknya.
"Walaupun rezeki tidak melihat kita berpelajaran tinggi atau rendah tetapi kita disyariatkan untuk berusaha terlebih dahulu kemudian kita berserah dan bertawakal kepada Allah SWT",ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar bagi DUN berkenaan pada ahad 14 Januari, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya,Program Motivasi Kecemerlangan tersebut merupakan kemuncak program tuisyen rakyat yang telah diadakan selama dua hari pada jumaat dan sabtu baru-baru ini melibatkan tiga buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) iaitu SMK Agama Wataniah, SMK Putra dan SMK Bukit Payong.
"Kepada adik- adik calon SPM, jangan lupa kita dekatkan diri kepada Allah swt serta selalu berdoa, memohon maaf mintak restu kepada kedua ibubapa serta guru dan kita berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya kita berjaya didunia dan di akhirat, insya-Allah,"katanya.
15 Jan 24
94
Pusat Autisme Terengganu Capai Matlamat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang dirasmikan setahun yang lalu terus mengorak langkah dalam membantu anak-anak autisme dalam Negeri Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata Pusat Autisme Sejahtera Terengganu itu telah hampir genap setahun usia pelancarannya,
Pelancaran Pusat Autisme Terengganu pada 25 Julai 2023 yang lalu.
"Setelah empat tahun kita bertungkus-lumus untuk menubuhkan pusat ini akhirnya, Allah mengizinkan jua untuk pusat ini berdiri megah.
"Baru-baru ini, kami telah pun selesai permukiman (retreat) Pusat Autisme Sejahtera Terengganu untuk kita perincikan gerak kerja, meliputi pelan tindakan strategik juga program-program yang bakal dilaksanakan," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Zuraida turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada pusat tersebut.
Peserta pemukiman Pusat Autisme Sejahtera Terengganu.
"Saya sangat terhutang budi kepada semua individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penubuhan pusat ini.
"Kesemua kesusahan dan kesulitan kita harungi bersama, elemen inilah yang menjadi penaut kepada kita untuk terus kuat bersama.
"Insya-Allah, kita cuba bantu ibubapa yang mempunyai anak autisme untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik," ulasnya lagi.
09 Jan 24
411