Artikel "Komuniti" Terkini
Lebih 350 Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir Taman Rakyat Jaya
DUNGUN, 5 Disember- Lebih 350 orang sukarelawan berganding tenaga membantu mangsa-mangsa banjir di Taman Rakyat Jaya menerusi operasi Pasca Banjir KM (KHIDMAT Malaysia) Dungun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, pelbagai pihak hadir bagi membersihkan rumah penduduk yang terkesan banjir.
"Ada dari Skuad Khidmat, Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi-agensi kerajaan dan pusat - pusat pengajian tinggi hadir ke Taman Rakyat ini yang hampir 90 peratus ditenggelami banjir," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Menurut beliau, sebanyak lebih 200 buah telah dibersihkan semalam dan bakinya akan diteruskan hari ini, memandangkan air tidak surut sepenuhnya.
"Banjir kali ini air naik sangat cepat dan boleh dikatakan di luar jangkaan, walaupun ada yang sudah bersiap sedia dari awal lagi, tapi itulah macam perabut , tilam terpaksa dibuang," ujarnya.
05 Dec 24
243
PPS Kebor Besar Sediakan Pelbagai Aktiviti Untuk Mangsa Banjir
Oleh: Syahida Mohd
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kebor Besar menyediakan pelbagai aktiviti kepada mangsa banjir yang berlindung di PPS berkenaan.
Timbalan Penyelia i-MiTS DUN Buluh Gading, Paridah Muda berkata, antara aktiviti yang di adakan kepada kanak-kanak dan wanita dewasa adalah pertandingan mewarna, soal jawab kuiz fiqh solat dan bacaan Yaasin.
"Penghuni di PPS ini dilihat ceria apabila bukan sahaja diberikan keperluan yang baik tapi turut disediakan aktiviti kepada mereka bagi memenuhi masa terluang.
"Tujuan utama diadakan adalah bagi memastikan penghuni tidak berasa bosan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara penghuni di sini," ujarnya.
Terdahulu, banjir besar telah melanda kawasan DUN Buluh Gading di mana dua PPS telah diaktifkan di kawasan berkenaan.
04 Dec 24
251
Rumah Masih Belum Siap, Pagar Pula Musnah Dihempap Tanah Runtuh
MARANG, 3 Disember - 'Rumah masih belum lagi siap pagar pula dihempap tanah runtuh', begitulah nasib yang menimpa seorang penduduk di Kampung Jenang, Pengkalan Berangan di sini.
Menurut Jiran terdekat Muhamed Yusuf, kejadian sekitar jam 1 pagi 29 November lalu itu walau bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan fizikal.
"Tuan rumah berasal dari Jerong, rumah itu belum lagi siap hanya pagar yang siap, jadi runtuhan itu hanya terkena pagar.
"Nasib baik rumah itu masih belum diduduki, bayangkan jika penghuninya ada, pasti ia membahayakan keselamatan nyawa, kita tidak mahu tragedi di Bukit Apit berulang kembali," ujarnya.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata pihaknya melalui pusat khidmat akan menyelesaikan pembersihan untuk tanah tersebut dengan peruntukan RM1,000 sehari.
"Jika diselesaikan dalam dua hari kosnya RM2,000 dan kita akan menanggung segala kos pembersihan ini," ujarnya.
03 Dec 24
253
PPS SMK Seri Payong Ditutup
MARANG, 3 Disember - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong secara rasminya ditutup pada petang ini setelah penghantaran pulang mangsa banjir terakhir selesai dilakukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata operasi pemindahan terakhir itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain yang terlibat dalam membantu mangsa banjir.
“Alhamdulillah, bantuan penghantaran balik mangsa banjir yang terakhir di PPS SMK Seri Payong sebentar tadi. Secara rasminya petang ini PPS SMK Seri Payong ditutup,” kata beliau dalam suatu kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Mohd Nor berkata dengan Penutupan PPS berkenaan menandakan situasi banjir di kawasan tersebut semakin pulih serta membolehkan mangsa kembali ke kediaman masing-masing.
Mohd Nor turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi ini.
"Terima kasih kepada usaha dan pengorbanan pelbagai pihak, mangsa banjir kini dapat memulakan langkah pemulihan selepas menghadapi bencana tersebut," ujarnya.
03 Dec 24
229
Semua Mangsa Banjir Terima Layanan Baik
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 3 Disember - Walaupun penat dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ia tidak dijadikan alasan oleh para petugas untuk tidak memberikan layanan yang terbaik kepada mangsa banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, keadaan itu dapat dilihat sepanjang beliau melakukan tinjauan serta melawat PPS dan situasi itu memberikan keselesaan kepada mereka yang berada di situ.
"Malah mereka turut memuji makanan yang disediakan dikatakan sedap untuk dimakan selain menerima layanan yang baik daripada setiap petugas," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan di situ, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, petugas yang dimaksudkan itu adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), anggota rela dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"Kesemua mereka telah bertungkus lumus bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang masa berlakunya bencana banjir.
"Mudah-mudahan ia dikira sebagai amal ibadat yang dihitung sebagai amanah yang akan dipertanggungjawabkan," katanya.
Untuk rekod, semalam masih mencatatkan 209 keluarga di Seluruh Marang masih berada di sembilan PPS.
03 Dec 24
137
Hanafiah Iring Zahid Santuni Mangsa Banjir
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni mangsa banjir di Terengganu.
02 Dec 24
92
Syukur,Tiga Projek Baharu Atasi Banjir Lulus Di Kuala Besut - Azbi
BESUT, 3 Disember - Sebanyak tiga projek baharu yang dipohon kepada Menteri Kerjaya Raya, Dato' Seri Alexander Nanta Linggi telah diluluskan serta merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh Salleh berkata, pihaknya sebelum telah memohon kepada Menteri Kerja Raya itu semasa beliau hadir melakukan tinjaun Projek Tiub Tebatan Banjir baru-baru ini.
"Tiga projek itu ialah membesarkan longkang di sekitar Kem Tentera Udara DiRaja Malaysia Gong Kedak, pembinaan longkang baru di sempadan Pachakan dan yang terakhir pembinaan longkang daripada Masjid Kayu Jerteh ke Kampung Pusu Tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Azbi merakamkan jutaan terima kasih kepada Elexender yang telah sudi meluluskan projek terbabit serta merta bagi memastikan masalah banjir di Dun Kuala Besut dapat dikurangkan.
02 Dec 24
307
Kebajikan Pesakit Tidak Terabai Di Musim Banjir
Oleh : Abay Cik
MARANG, 2 Disember - Bagi memastikan kebajikan pesakit tidak terabai walau berhadapan situasi banjir, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong telah mengadakan misi menyampaikan bantuan dan menghantar barangan keperluan.
Pembantu Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payong, Kamanordin Md Jusoh berkata, pasukan dari pusat khidmat turun ke lapangan bersama Penghulu Mukim, Zafiri Ahmad Zaki membantu menyampaikan barangan keperluan daripada Tabung Darul Iman (TDI).
Ujarnya, antara barangan yang disampaikan seperti lampin pakai buang dan susu khas untuk pesakit.
"Kami berusaha untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan bantuan yang diperlukan terutamanya kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran kesihatan dan bencana.
"Misi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami dalam membantu komuniti setempat," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyertai misi menghantar bantuan kepada pesakit, di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, misi yang dijalankan tersebut turut menyasarkan rumah-rumah penduduk yang terkesan banjir.
Seorang penduduk, Zakaria Mohamad berkata telah menjadi lumrah berhadapan situasi itu saban tahun setiap kali menjelangnya musim tengkujuh.
"Tetapi banjir pada tahun ini tidak sebesar sebagaimana yang terjadi pada beberapa tahun lepas," katanya.
02 Dec 24
83
Hanafiah Iring Zahid Santuni Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 30 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni mangsa banjir di Terengganu hari ini.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan kini sedang membina 14 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di setiap negeri.
"Di Hulu Terengganu kita telah menerima permohonan daripada pemimpin tempatan dan kita akan pertimbangkan untuk fasa kedua.
"Saya telah minta pegawai daerah untuk kenal pasti kawasan yang sesuai bagi pembinaan PPKB ini.
"Peruntukan telah pun ada dan Perdana Menteri sendiri berikan peruntukan keseluruhan kepada NADMA bagi belanjawan tahun depan sebanyak RM600 juta iaitu melebihi RM100 juta daripada peruntukan tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Matang di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan mengagihkan bantuan RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir di seluruh negara termasuk negeri ini bermula hari ini.
Kata beliau, pihaknya akan memastikan bantuan yang diagihkan kepada setiap KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengikut syarat ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diterima oleh semua yang terjejas banjir secara berfasa.
"Kita juga meminta kerajaan negeri untuk mengusahakan bantuan dan juga mengadakan dana kecemasan sudah tentu kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri yang sangat baik ini akan ditingkatkan.
"Mesti mencari jalan bagi meringankan beban keluarga yang dipindahkan serta rumah-rumah yang mengalami kerosakan serta segala peralatan di rumah yang mengalami kerosakan dapat dibaiki dan diganti.
"Adalah mustahil untuk mana-mana kerajaan sama ada pusat atau negeri untuk memberikan pampasan secara keseluruhan kerana ini adalah 'hand of god', takdir yang melanda dan kita harus istiqamah untuk menentukan bahawa kerjasam semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini," ujarnya.
Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa kerajaan mempunyai peruntukan secukupnya untuk diagihkan kepada seluruh KIR yang terkesan banjir.
30 Nov 24
176
Pemerhati Orang Asli Curi Tumpuan Pembentangan Belanjawan Terengganu
Kehadiran 37 pemerhati daripada kalangan komuniti orang asli Kampung Sungai Pergam, Kemaman mencuri tumpuan dalam Pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman.
19 Nov 24
94