Artikel "Komuniti" Terkini
"Serahkan Kepada Pihak Polis Menjalankan Siasatan" - EXCO Terengganu
KEMAMAN, 20 Januari - Serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan dan mahkamah mengadili dengan sebaik-baiknya, demikian ujar EXCO Kerajaan Terengganu.
Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai mengharapkan kejadian seperti Jumaat lalu melibatkan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Cukai tidak akan berulang lagi.
"Mereka yang ada ahli keluarga mempunyai masalah mental perlulah memberikan perhatian dan menjaganya dengan baik serta manfaatkan dengan sebaiknya ubat yang dibekalkan oleh pihak doktor.
"Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat kita ini agar mempunyai etika kehidupan yang lebih berhemah dan tidak melepaskan geram terutama di khalayak ramai serta perlu mempunyai sifat-sifat kesabaran dan memaafkan dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Katanya lagi, walaupun dalam keadaan spontan dan rasa sangat marah, janganlah mengambil tindakan yang dilihat seperti ganas yang boleh mendatangkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan masyarakat.
"Jadi saya harap peristiwa yang berlaku ini akan menjadi satu pengajaran ataupun pedoman kepada masyarakat khususnya di Kemaman dan juga seluruh negeri Terengganu, ujarnya.
Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada semua golongan samada OKU, persatuan penjaja ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
20 Jan 25
146
Kerajaan Negeri Kukuhkan Hubungan Strategik Dengan Penjara Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan negeri mengorak langkah baru bagi mengukuhkan lagi hubungan strategik bersama pengurusan Penjara Negeri Terengganu baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan bersama pihak pengurusan Penjara Negeri Terengganu itu diadakan bagi membuka ruang untuk memastikan keterjaminan kelangsungan hidup prospek (banduan).
“Dalam pertemuan ini, pelbagai isu penting telah dibincangkan, termasuk kerjasama strategik, inisiatif rehabilitasi, dan pembangunan modal insan.
“Khususnya bagi prospek dan bekas prospek, serta langkah-langkah memperkasa keselamatan dan pemulihan komuniti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya semalam.
Turut hadir Pengarah Penjara Negeri Terengganu, PKK Mohd Nasir Yusof, Ketua Institusi Penjara Negeri Terengganu dan pegawai-pegawai kanan Penjara Negeri Terengganu dalam kunjungan itu.
Mohd Nasir juga memaklumkan tentang kerjasama Penjara Negeri Terengganu dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam pelaksanaan program iTEKAD kepada prospek yang akan dibebaskan kelak.
“Program ini, yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan sokongan beberapa Institusi Kewangan Islam (IKI), bertujuan membangunkan usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan B40.
“Semoga usaha murni ini dipermudahkan," katanya.
20 Jan 25
118
Lucas Isa Tarik Perhatian Ramai, Kanak-Kanak Termuda Sertai Khatan Perdana
MARANG, 19 Januari – Penyertaan Lucas Isa Ahmad,4, seorang kanak-kanak kacukan Perancis-Malaysia yang menyertai Program Khatan Perdana 2025 DUN Rhu Rendang menarik perhatian ramai.
Lucas merupakan cahaya mata kepada pasangan Danial Benoit Julian seorang warga Perancis yang berkahwin dengan penduduk tempatan, Noraini Anwar merupakan peserta termuda menyertai progam berkhatan secara beramai-ramai yang diadakan di Masjid Rhu Muda, semalam.
Menurut Noraini, dia memilih untuk mendaftarkan anaknya mengikut program tersebut kerana tertarik dengan pengisiannya.
“Program khatan perdana ini adalah cadangan daripada ibu saudara saya selepas mengetahui hasrat saya untuk mengkhatankan anak saya (Lucas).
“Di Perancis, proses khatan dilakukan seorang demi seorang di klinik, tetapi di sini suasananya sangat berbeza dan menyeronokkan. Berkhatan beramai-ramai memberikan pengalaman yang sangat berharga buat anak saya,” kata Noraini ketika ditemui pemberita pada program tersebut.
Sementara itu, suaminya Danial Benoit Julian turut melahirkan rasa kagum terhadap program tersebut.
“Saya sangat teruja dengan suasana meriah ini. Doktor yang mengkhatankan Lucas kelihatan sangat profesional dan tenang, dan keseluruhan program ini sangat tersusun.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas pengalaman yang luar biasa ini,” katanya.
Noraini turut berkongsi, suaminya pertama kali menyaksikan tradisi khatan ini, termasuk acara siraman air bomba yang menghidupkan suasana.
“Saya menerangkan kepada suami bahawa inilah cara khatan di Malaysia. Kalau dulu, budak-budak akan mandi sungai sebagai persediaan. Tradisi ini sangat berbeza daripada apa yang biasa dilihat di Perancis,” ujarnya.
Kehadiran Lucas Isa Ahmad dan keluarganya memperlihatkan bagaimana tradisi ini dapat merentas sempadan budaya dan memberi pengalaman bermakna kepada semua.
19 Jan 25
253
116 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana Rhu Rendang
MARANG, 19 Januari- Seramai 116 kanak-kanak menyertai Program Khatan Perdana 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang diadakan di Masjid Rhu Muda, di sini, semalam.
Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, program berkenaan bukan sahaja memenuhi tuntutan agama tetapi turut mencipta suasana penuh keceriaan dengan pelbagai aktiviti menarik.
“Ini adalah acara tahunan yang akan terus kita laksanakan dan alhamdulillah, sambutan pada tahun ini sangat luar biasa dengan 116 penyertaan, lebih ramai berbanding tahun sebelumnya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir dan mendaftarkan anak-anak mereka dan juga Masjid Rhu Muda yang bekerjasama erat menjayakan program ini.
“Syukur kepada Allah SWT, hari ini anak-anak kita menjalani salah satu ibadah penting dalam Islam. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan demi kebaikan dan manfaat masyarakat di DUN Rhu Rendang,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut.
Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof.
Menurut Hassan, sempena program berkhatan secara beramai-ramai itu, para peserta diarak mengelilingi kampung, diiringi oleh ahli keluarga dan penduduk setempat.
“Acara diteruskan dengan siraman air bomba yang menghidupkan suasana ceria dan menjadikan pengalaman ini lebih bermakna buat anak-anak,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, Program Khatan Perdana turut diserikan dengan Mini Karnival Jom Ke Masjid, yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk semua lapisan masyarakat.
“Antaranya ialah ceramah agama, permainan Supa Dupa, dan penyertaan pelbagai agensi seperti KWSP, AADK, YAPEIM, dan lain-lain.
“Kehadiran agensi-agensi ini memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan informasi dan khidmat nasihat secara terus,” ujarnya.
19 Jan 25
189
Dua Keluarga Mangsa Rumah Dibadai Ombak Besar Terima Bantuan
KEMAMAN, 15 Januari - Dua keluarga yang merupakan mangsa rumah yang dibadai ombak besar di Kampung Geliga Baru akan menerima bantuan bayaran rumah sewa secara bulanan.
Dua keluarga ini adalah Mohd Shazmie Izwan Safiyee, 35 tahun dan W.Ahmad Ritmauddeen W.Abu Bakar, 45 tahun yang akan mencari rumah sewa di kawasan yang lebih selamat untuk didiami.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata laporan yang diberikannya kepadanya mendapati kedua-dua keluarga mangsa ini layak menerima bantuan ini.
Menurutnya, bantuan rumah sewa secara bulanan ini akan ditanggung oleh pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
"Saya telah memanggil pihak MAIDAM untuk menyelesaikan perkara ini dan permohonan akan diproses secepat mungkin.
"Satu keluarga lagi yang terlibat telah mempunyai rumah yang lain manakala sebahagian besar yang tinggal di sini merupakan penyewa rumah. Saya menasihati mereka ini agar mencari rumah sewa yang lain," katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.
Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada pemilik rumah di kawasan tersebut agar tidak lagi memberikan rumah mereka kepada penyewa lain.
"Ianya adalah bagi memastikan keselamatan penduduk setempat diutamakan agar tidak ada perkara yang tidak diingini akan berlaku,"jelas beliau.
15 Jan 25
971
MPK-IGNIS Meterai Perjanjian Konsesi Bagi Pengurusan Sisa Pepejal
KEMAMAN, 15 Januari - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Syarikat Ignis Wawwa (Terengganu) Sdn.Bhd telah memeterai Perjanjian Konsesi Bagi Pengurusan Sisa Pepejal di Tapak Pelupusan Bukit Takal, Mak Chili dan Tapak Pelupusan Bukit Gelugor, Kerteh di Hotel Saujana Subang, Shah Alam, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata MoU antara kedua-dua pihak itu mampu memberi impak yang sangat baik dan berjaya mencapai objektif bagi memastikan sampah lama dan baru dapat diurus dengan sempurna.
"Perkara utama adalah menjaga alam sekitar dan ia mampu memberi impak yang lebih positif dan memenuhi keperluan industri dan negara selaras dengan prinsip alam sekitar, kestabilan, dan tadbir urus," katanya yang juga menyaksikan majlis yang bersejarah itu.
Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) MPK, Fadli Yusof Zakaria berkata kapasiti sampah yang dapat dijana di Daerah Kemaman adalah 200 tan per hari.
"Keadaan kedua-dua tapak memerlukan proses pemulihan yang stabil dan terurus bagi memastikan sampah lama dan baru dapat diurus dengan sempurna.
"Oleh yang demikian, pihak MPK telah bersetuju melantik Syarikat Ignis Wawwa (Terengganu) Sdn.Bhd bagi menjalankan proses pemulihan tersebut.
"Projek yang dijalankan ini adalah bertepatan dengan konsep kerajaan negeri bagi mengguna pakai kaedah "Waste To Energy" yang memberi pulangan tinggi kepada pihak MPK," ujarnya.
Katanya lagi, dengan memproses sisa pepejal di tapak pelupusan sampah, jangka hayat tapak pelupusan lebih panjang.
"Ianya juga mampu memberi penjimatan perbelanjaan pengurusan sisa buangan yang ditanggung oleh MPK.
"Selain itu, ia akan mengurangkan pencemaran air bawah tanah melalui teknologi hijau yang digunakan dan juga akan merancakkan ekonomi melalui penghasilan pelbagai produk dan hasil serta menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada penduduk setempat,"jelas beliau.
15 Jan 25
455
Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
Kebanyakan dilema ibu bapa kelahiran Terengganu di perantauan adalah berkait dengan bantuan pendidikan anak-anak mereka.
14 Jan 25
296
Warga Marang, Polis Gotong Royong Bersih Kubur
Marang, 13 Januari- Program gotong-royong membersih tanah perkuburan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini mendapat kerjasama yang menggalakkan daripada masyarakat setempat termasuk Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) kijing, warga IPD Marang dan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang.
Ketua Polis Marang, Supt Mohd Sofian Redzuan, berkata program gotong royong yang diadakan di kawasan perkuburan itu bertujuan memastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga.
“Membersihkan kawasan perkuburan yang lama terbiar ini adalah satu tanggungjawab mulia. Ia bukan sahaja untuk kebersihan tetapi juga sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah pergi,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Najmuddin Rani menyeru waris kepada mereka yang telah dikebumikan di tersebut berkenaan agar aktif dalam menjaga dan menziarahi tanah perkuburan itu.
“Marilah kita bersama-sama menjaga kawasan perkuburan ini agar tidak lagi terbiar. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program gotong-royong ini,” katanya.
Katanya, mereka yang menyertai gotong-royong berkenaan memberikan komitmen tinggi dalam kerja-kerja pembersihan seperti memotong rumput, mengutip sampah, dan merapikan kawasan sekitarnya.
"Ia diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan kawasan perkuburan sebagai salah satu bentuk penghormatan dan kebajikan," ujarnya.
12 Jan 25
96
Lebih 300 Nelayan Terima Bantuan
KEMAMAN, 10 Januari - Seramai lebih 300 orang nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai menerima bantuan sempena Program Santuni Nelayan DUN Cukai 2025 yang diadakan, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata bantuan seperti itu diberikan setiap tahun kepada para nelayan, di sini.
"Kami memahami apa yang dirasai oleh para nelayan. Di musim tengkujuh, mereka tidak dapat turun mencari rezeki akibat ombak yang kuat. Keselamatan mereka perlu diutamakan.
"Oleh yang demikian, program sebegini diadakan bagi membantu mereka. Semoga dapat meringankan sedikit bebanan yang mereka sedang hadapi," katanya.
Program tersebut telah berlangsung di pekarangan Surau Haji Muda, Kampung Geliga.
Dalam majlis ini, Hanafiah telah menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai dan beras kepada setiap penerima.
Semua nelayan yang hadir turut diraikan dengan jamuan tengah hari.
10 Jan 25
126
Peniaga Santan Terharu Terima Sumbangan
Seorang peniaga santan, Rozimah Abdullah, 47 tahun, dari Kg Gong Kekabu, Bukit Payung, tidak dapat menahan perasaan sebak apabila menerima sumbangan berharga melalui Program Komuniti Usahawan.
05 Jan 25
71