Artikel "Komuniti" Terkini
550 Murid Bakal Masuk Darjah Satu Terima Beg Sekolah
BESUT, 8 Februari- Seramai 550 anak-anak yang akan melangkah masuk ke darjah satu menerima sumbangan beg sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata inisiatif tersebut bukan sahaja membantu keluarga yang memerlukan, tetapi juga menjadi simbol
kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti.
Ujarnya, Pendidikan merupakan asas kepada masa depan yang lebih cemerlang, dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan setiap anak-anak ini mendapat permulaan yang baik di awal alam persekolahan.
"Ini adalah salah satu usaha bagi membantu mereka membuat persiapan awal sebelum melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar," katanya semasa ditemui di program tersebut, baru-baru ini
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar sumbangan kecil ini dapat memberikan kegembiraan serta menyuntik semangat kepada murid-murid
untuk belajar dengan lebih tekun.
"Saya mendoakan agar anak-anak kita berjaya
dalam pelajaran dan menjadi insan yang
berguna kepada agama, bangsa, dan negara," tambahnya.
Untuk rekod, sumbagan tersebut diberikan kepada semua anak-anak di DUN Hulu Besut yang akan melangkah masuk ke darjah satu tanpa mengambil kira dari kategori asnaf mahupun senang.
08 Feb 25
79
Bantuan Awal Persekolahan Bantu Ringan Beban Keluarga
KUALA TERENGGANU, 6 Februari- Rata-rata penerima bantuan awal persekolahkan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan yang sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga.
Salah seorang penerima, Aisyah Mohammad Isa Raja, 33, berkata, dia sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan kepada golongan memerlukan.
"Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana pihak Yang Berhormat (YB) telah meringankan beban kami sekeluarga. Sepanjang perkhidmatan YB, kami telah menerima pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan, dan ini sangat membantu kami," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan tersebut dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong di Mydin Mall Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Menurut Aisyah, bantuan tersebut diharap dapat diteruskan dan diperluaskan kepada lebih ramai keluarga yang benar-benar memerlukan.
"Dengan kos hidup yang semakin tinggi, ramai rakyat yang sedang menghadapi kesusahan. Bantuan seperti ini amat bermakna buat kami," ujarnya.
Sementara itu, Sulaiman berkata, bantuan awal persekolahan itu diberikan kepada keluarga yang memerlukan bersempena dengan sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula tidak lama lagi.
"Bantuan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak bagi menghadapi seisi persekolahan yang baru.
"Bantuan yang diberikan tidak hanya berupa pakaian sekolah, tetapi juga kelengkapan lain yang diperlukan," ujarnya.
Katanya, program tersebut adalah salah satu usaha berterusan pihak kerajaan untuk memastikan tidak ada anak yang tercicir daripada pendidikan walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
06 Feb 25
686
Khatan Perdana di Hulu Besut Meriah
BESUT, 6 Februari – Seramai 100 kanak-kanak telah menyertai Program Khatan Beramai-Ramai yang berlangsung dengan penuh meriah di Masjid Bukit Payong, Dewan Undangan Negeri (DUN)Hulu Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin berkata pelbagai gelagat peserta yang dapat disaksikan, ada yang ceria, tenang, dan tidak kurang juga yang sedikit gementar tapi pengalaman ini pasti menjadi kenangan terindah sepanjang hayat mereka.
"Program ini bukan sahaja menjadi simbol keberanian kanak-kanak yang melangkah ke fasa baru dalam kehidupan, tetapi juga memperkukuhkan amalan sunnah dalam Islam.
"Selain itu, khatan turut diiktiraf sebagai satu amalan yang bermanfaat dari sudut kesihatan dan kebersihan.
"Ia bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah memupuk ukhuwah Islamiah serta semangat keberanian dalam diri anak-anak,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu beliau mengucapkan Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini yang turut melibatkan ibu bapa, petugas kesihatan dari Farmasi Ibnu Sina, Bomba Jerteh, pihak Masjid Bukit Payong serta semua yang telah menjayakannya.
"Tanpa usaha dan komitmen mereka, program ini tidak akan dapat direalisasikan dengan jayanya..
"Semoga semua peserta khatan diberikan kesembuhan yang cepat dan kembali aktif seperti biasa. Selamat berpantang, dan semoga Allah SWT melimpahkan keberkatan kepada kita semua,"katanya.
06 Feb 25
153
Terengganu Bukan Negeri Kebajikan Tetapi Berkebajikan
Konsep negeri berkebajikan terus diperjuangkan di Terengganu dengan penekanan bahawa bantuan kepada golongan memerlukan adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat.
05 Feb 25
309
Terengganu Perkukuh Penguatkuasaan Larangan Hiburan dan Kawalan Jualan Di Bulan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Kerajaan negeri tetap teguh dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berasaskan Islam dengan menekankan larangan hiburan di premis tertentu serta kawalan ke atas aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam.
Menurutnya, ia termasuk penguatkuasaan larangan hiburan di premis-premis tertentu serta kawalan terhadap aktiviti jualan di bulan Ramadan.
"Antara tindakan yang bakal diambil termasuklah larangan penganjuran hiburan di premis-premis tertentu sepanjang Ramadan bagi memastikan umat Islam dapat menumpukan perhatian kepada ibadah.
"Dalam menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang bersyariat, penekanan bukan sahaja perlu diberikan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat.
"Malah aspek penguatkuasaan undang-undang Islam juga perlu ditekankan," ujarnya dalam satu hantaran Facebook rasminya baru-baru ini.
Terdahulu beliau telah mengadakan satu mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi bagi membincangkan pengisian dan penguatkuasaan aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi.
Menurut Wan Sukairi, penguatkuasaan ini juga akan melibatkan pemantauan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan semua premis mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
"Langkah-langkah ini juga sejajar dengan dasar kerajaan negeri dalam mengekalkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat.
“Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan membuahkan hasil yang positif dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam,” tambah beliau.
04 Feb 25
321
Kerajaan Negeri Komited Bangunkan Sukan Badminton
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kerajaan negeri komited membangunkan sukan badminton dalam usaha melahirkan atlet berkaliber yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan sukan di pelbagai peringkat bagi melahirkan lebih ramai atlet berkaliber.
“Sukan badminton wajar untuk bangkit sekali gus dapat membekalkan anak negeri yang berpotensi dalam mewakili negara suatu hari nanti,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Barang Tajaan Persatuan Badminton Terengganu di Hotel Permai, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Badminton Terengganu, Azmi Mamat serta Pengasas REKEK, Syed Kamal Rizuan Syed Omar.
Majlis tersebut juga menyaksikan penyerahan set lengkap keperluan atlet oleh Syarikat Protech Sports Malaysia Sdn Bhd.
Katanya, dengan sokongan daripada syarikat-syarikat yang prihatin seperti Protech Sports dan REKEK diharapkan Terengganu akan dapat melahirkan lebih ramai atlet badminton yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
02 Feb 25
150
Aset Koperasi Di Terengganu Cecah RM700 Juta
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Gerakan koperasi di Terengganu semakin berkembang dengan 839 koperasi berdaftar melibatkan lebih 240,000 ahli dan aset bernilai RM700 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, koperasi memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi rakyat, terutama dalam keusahawanan dan kebajikan.
"Koperasi ini milik masyarakat dan jika diurus dengan baik, ia boleh memberi manfaat besar kepada ahli serta komuniti," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kedai Serbaneka Koperasi Masjid bertempat di Masjid Padang Mengkuang, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Awang Ruslli Mohammad.
Sementara itu, Awang Ruslli berkata, pihak SKM menyediakan pelbagai bantuan kepada koperasi.
"Bantuan tersebut seperti geran percuma hingga RM300,000 dan pinjaman tanpa cagaran hingga RM200,000.
"Tahun lalu saja, lebih RM100 juta pinjaman diberikan kepada koperasi di Terengganu. Ini membuktikan potensi besar koperasi dalam menjana ekonomi rakyat.
"Di Terengganu ada lebih 500 masjid. Jika setiap masjid ada koperasi dan jalankan aktiviti ekonomi, kita boleh lihat perubahan besar dalam ekonomi umat Islam," ujarnya.
02 Feb 25
1329
Aktiviti ATV Di Bukit Lubuk Batu Bantu Ekonomi Penduduk Setempat
MARANG, 26 Januari - Aktiviti ATV antara tarikan terbaharu di Bukit Lubuk Batu yang berupaya membantu ekonomi penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Batu, Mohd Zaid Ibrahim berkata, laluan yang disediakan termasuk terowong lumpur, jalan berbatu serta air terjun yang pastinya menguji kemahiran pemandu ATV disamping menjanjikan keindahan alam sekitar.
"Aktiviti ATV ini tercetus apabila ramai pengunjung yang datang untuk mendaki bukit tersebut, dan kini mereka boleh menikmati pengalaman baru yang lebih mencabar dan menyeronokkan.
"Kami mahu memberi satu pengalaman yang berbeza kepada pengunjung dan pada masa yang sama, menarik lebih ramai pengunjung ke Bukit Lubuk Batu.
"Ini juga membantu ekonomi penduduk setempat, seperti penyediaan perkhidmatan dan produk tempatan," katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut katanya, sambutan terhadap produk baharu tersebut sangat menggalakkan dan pihaknya bercadang memperluaskan aktiviti tersebut pada masa akan datang.
"Dengan sambutan yang positif, aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam, tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi kampung dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Pengunjung yang ingin mencuba aktiviti ATV ini boleh hadir ke pejabat urusan yang terletak di kaki bukit Lubuk Batu.
"Pejabat dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang dan untuk pendaftaran serta maklumat lanjut boleh hubungi talian 019-5101681," ujarnya.
26 Jan 25
266
Anak Bukit Payong Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri
MARANG, 24 Januari- Dua anak kelahiran Bukit Payong, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dan Wan Amirul Shamnie Wan Rosli dinobat johan qari dan qariah pada pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Arena Merdeka, Dungun, malam tadi.
Wan Sofea Aini mempamerkan bacaan yang merdu dengan penghayatan mendalam, tajwid yang tepat, dan suara yang memukau sekali gus menjadikannya johan qariah pada pertandingan tersebut.
Sementara itu, Wan Amirul Shamnie turut mencuri tumpuan dengan bacaan yang penuh tertib, intonasi yang indah serta penguasaan yang cemerlang terhadap seni tarannum, melayakkannya bergelar johan qari.
Kedua-dua mereka akan membawa nama Terengganu ke peringkat kebangsaan, bersaing dengan wakil negeri lain dalam mengagungkan seni bacaan Al-Quran.
Sebagai penghargaan, mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai, trofi, dan sijil penghargaan.
Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu dianjurkan bertujuan memperkasakan hubungan masyarakat dengan Al-Quran, di samping mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda.
Kemenangan dua wakil dari DUN Bukit Payong ini menjadi kebanggaan buat penduduk setempat.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mendalami dan memuliakan Al-Quran.
24 Jan 25
4932
Lebih 40 Peserta Berentap Dalam 'Cabaran 4x4 Kapong Kiter'
MARANG, 21 Januari - Lebih 40 peserta dijangka akan berentap dalam 'Cabaran 4x4 kapong Kiter' yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Januari ini di trek Bukit Jelulong, di sini.
Presiden Kelab 4x4 Kapong Kiter, Amran Zakaria berkata, sehingga kini jumlah peserta yang telah mendaftar seramai 40 orang.
"Kita anggarkan jumlah itu akan bertambah kerana di hari pertandingan juga kami masih menerima peserta yang ingin mendaftar secara '‘walk-in’," ujarnya.
Katanya, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu kenderaan panjang dan pendek manakala jenis litar yang akan digunakan nanti hanyalah litar jenis 'light core'.
"Doakan kami supaya dapat mempertandingkan litar jenis 'hard core' pada masa akan datang," ujarnya.
Tambah beliau, pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi dalam usaha pihaknya menganjurkan program berkenaan.
“Cabaran untuk anjur program ni banyak, antaranya kewangan, cuaca, lokasi dan bekalan elektrik. Tapi yang paling mencabar adalah dari segi kewangan kerana kelab kami ini masih baru," ujarnya.
Menurut Amran, program berkenaan turut medapat perhatian Exco Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
"Kita harap pertandingan sebegini dapat mewujudkan satu lagi produk pelancongan di daerah ini sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga setempat dan dalam masa yang sama menaikkan imej kampung.
"Oleh itu, kita sangat mengalu-alukan penduduk setempat hadir memeriahkan pertandingan malah hadiah cabutan bertuah yang disediakan juga sangat menarik," ujarnya.
20 Jan 25
173