Artikel "Komuniti" Terkini
Abdul Hadi Tinjau Lembu Sado Milik Keluarga Eman Manan
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 27 Jun - Rutin turun bertemu rakyat bagi ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kali ini sedikit istimewa dengan melawat Ladang Lembu Sado yang terletak di Kampung Atas Tol, di sini.
Lebih menarik lagi, pemilik ladang tersebut adalah adik kepada pelakon otai terkenal tanah air iaitu Abdul Manan Embong atau lebih dikenali dengan nama gelaran Eman Manan.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Cikgu Haron Yusof berkata, lawatan Abdul Hadi buat julung kalinya itu kerana dilihat usaha tersebut mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan lebih-lebih lagi ia menepati hasrat kerajaan negeri ini dalam mewujudkan Hub Pengeluaran Lembu Sado Terengganu.
"Alhamdulillah hadirnya Ahli Parlimen ke ladang ternakan lembu sado ini antara lain bertujuan memberi sedikit suntikan modal bagi menaikkan lagi pengusahaan lembu sado di daerah ini.
"Pihak kami (Parlimen Marang) sangat mengalu-alukan penternak dan pengusaha lembu sado untuk sentiasa mengorak langkah maju setapak demi setapak selaras dengan dasar kerajaan," katanya kepada UPDI selepas mengiringi Abdul Hadi meninjau ladang lembu sado, di sini baru-baru ini.
Terdahulu, Abdul Hadi yang diiringi anaknya, Khalil Abdul Hadi tiba di ladang berkenaan dan disambut oleh Eman Manan sendiri dan juga ADUN Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
02 Jul 20
1440
Pasangan Warga Emas Terharu Terima Katil Boleh Laras
Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad
MARANG, 27 Jun – Pasangan warga emas yang menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok menerima katil boleh laras yang disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah semalam.
Suami isteri itu Hussin Awang, 66, dan Zaimah Chik, 59, menetap di Kampung Titian Baru, di sini.
Husin berkata, bantuan itu dapat meringankan sedikit beban selepas kedua-dua mereka tidak lagi mampu bergerak kerana penyakit yang dihadapi.
“Alhamdulilah, kami bersyukur, dengan adanya katil beroda ini, ia sedikit sebanyak memberikan keselesaan selain memudahkan lagi urusan,” katanya.
Mohd Nor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri turut berharap agar mereka akan terus tabah menghadapi dugaan itu.
"Semoga dengan sumbangan katil ini dapat menambahkan sedikit keselesaan kepada mereka dan tabahkan hati dalam mengharungi ujian ini," katanya
Hadir sama dalam penyerahan tersebut, Pegawai khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Payong, Mat Ghani Jusoh, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) Bukit Payong, Mat Noh Ismail, Pengerusi MPKK Kampung Titian Baru, Abdul Halim Wahab dan hadir sama Masyarakat setempat.
02 Jul 20
131
'Terima Kasih Ustaz'
Oleh: Amiirullah Mansor
DUNGUN, 17 Mei - 'Terima kasih ustaz atas bantuan ini, alhamdulillah boleh la saya beli pakaian raya tanpa bebankan keluarga," kata Asmawi Abdullah,15.
Asmawi yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah salah seorang daripada 988 penerima sumbangan Dana Amal Ramadhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka.
Majlis Taklimat dan Penyerahan Sumbangan Dana Amal Ramadhan DUN Paka itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan, Satiful Bahri Mamat di Dewan Sekolah Rendah Islam Darul Bayan.
Remaja tersebut yang tinggal di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Gemia turut memanjatkan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan kepadanya.
"Saya rasa amat bersyukur serta akan guna dengan sebaik mungkin pemberian rezeki ini dan tidak boros,"ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di majlis tersebut.
Sementara itu, Satiful yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri berkata, jumlah kutipan Dana Amal Ramadhan itu telah berjaya mengumpul RM100,000 hasil kempen dan sumbangan orang ramai.
"Hasil kerjasama dengan Darul Aitam, program kutipan amal ini adalah inisiatif bersama untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan antaranya penjaga anak yatim, anak yatim, fakir miskin, OKU, mualaf dan guru Pasti.
"Terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membantu golongan ini," katanya.
Dari segi pelaksanaannya menurut beliau, para penerima akan menerima sumbangan ini melalui MPKK setempat.
"Program yang diadakan saban tahun ini berbeza pada tahun ini disebabkan kekangan daripada wabak COVID-19, dimana agihan terpaksa disalurkan melalui MPKK setempat.
"Semoga ianya sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka yang memerlukan untuk membeli kelengkapan raya sempena sambutan lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi" ujarnya.
02 Jul 20
56
Sultan Mizan Solat Jumaat Bersama 550 Rakyat
Oleh : Aslam Wira
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Kira-kira 550 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Masjid Sultan Ismail, Chendering di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Baginda jam 1.10 tengah hari yang diiringi puteranya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Sultan Mizan dan jemaah menunaikan solat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
02 Jul 20
230
Kerajaan Akan Tetapkan Harga Ayam Jika Terus Naik Tanpa Kawalan
KUALA NERUS, 26 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan penetapan harga syiling ayam sekiranya para peniaga terus menaikkan harga tanpa kawalan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid menyatakan pihak kementerian kini sedang meneliti makluman daripada pembekal dan peniaga ayam yang dikatakan menyebabkan harga ayam naik sehingga mencapai RM9.60 sekilogram, hari ini.
“Kita bagi jaminan bekalan ayam mencukupi, cuma rungutan oleh rakyat adalah harganya yang naik semakin tinggi. Kalau betul kos naik kerajaan akan cari jalan, tapi kalau tidak betul kita minta pembekal dan peniaga mengkaji balik harga dalam pasaran hari ini.
“Difahamkan peningkatan harga ini berlaku kerana bekalan ayam berkurangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru- baru ini dan kita jamin bermula awal bulan julai bekalan akan cukup serta harga akan turun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan ke Haji Din Ayam Poultry Sdn. Bhd. di Batu Rakit, bersama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato' Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Turut hadir, Pengarah Penguat Kuasa, Dato' Iskandar Halim Sulaiman serta Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Menurut Rosol, setakat hari ini harga ayam direkodkan mencapai sehingga RM9.60 di Pulau Pinang. Manakala, di Terengganu terdapat peniaga di Kuala Berang mencatatkan jualan setinggi RM9.50/kg.
“Kita beritahu industri, kalau naik melampau kita akan menetapkan harga dan akan ambil tindakan bagi yang ingkar.
“Sekarang kita bergantung kepada harga semasa, kalau harga terus naik kita akan buat tindakan. Kalau industri mengatakan kos menyebabkan naik harga, kenapa pasaraya-pasaraya boleh jual murah?” katanya.
Tambah beliau, sejak pemeriksaan di peringkat rantaian pembekalan ayam bermula 18 Jun lalu, sebanyak 529 individu terdiri dari peladang, pemborong dan peruncit dikenakan notis Seksyen Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 di seluruh negara dan 31 daripadanya di Terengganu.
02 Jul 20
105
Denda RM1,000 Jika Berkumpul Di Tempat Awam
KUALA TERENGGANU - Polis mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul bagi tujuan berbuka puasa dan melepak di tempat awam kerana perbuatan itu dianggap mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, buat masa ini tindakan kompaun RM1,000 akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati berkumpul di tempat awam seperti di Pantai Batu Burok, Dataran Syahbandar, Pesisir Payang dan kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat.
“Peringkat awal ini kita akan kenakan kompaun terlebih dahulu seperti yang kita kenakan semasa PKP fasa kedua, kalau ada yang masih berdegil kita akan tangkap, reman dan dakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tular dalam media sosial baru-baru ini, foto yang menunjukkan sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan lapang sebelah muara utara Jambatan Angkat.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok baru-baru ini berkata, pihaknya menerima aduan mengenai orang ramai yang keluar bersantai di kawasan rekreasi seperti Taman Awam Batu Burok pada waktu malam.
Susulan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengambil beberapa langkah bagi menghalang orang ramai daripada berkumpul di kawasan berkenaan dengan memantau dan menutup taman itu supaya tidak dimasuki orang awam selepas tamat waktu operasi kios dan kedai jualan pada jam 10 malam. - Bernama.
02 Jul 20
80
Anak Autisme Bakal Diami Rumah Baharu
Oleh : Aslam Wira
MARANG, 25 Jun – Dua kanak-kanak yang menghidapi autisme bakal menghuni rumah kediaman yang baharu dan lebih selesa selepas ibunya menerima Rumah Mampu Milik (RMM) di Taman Bukit Gasing.
Ibu ‘anak syurga’ terbabit, Hanipah Jusoh, 41, menyatakan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri yang mengutamakan keluarganya untuk memiliki rumah berkenaan
Hanipah yang turut mengalami depresi berkata, sejak 10 tahun lalu dia berharap untuk memiliki kediaman sendiri kerana memerlukan ruang yang lebih privasi bagi menguruskan dua anak lelakinya, Iqbal Muhaimin Saharuddin, 14, dan Muhammad Aisy Maashir Saharuddin, 9,.
“Saya sendiri menghidap kemurungan (anxiety disorder) dan dirawat di Hospital Selayang sebelum ini serta masih berada dalam pantauan pakar Psikiatri untuk ubat-ubatan.
“Ada orang yang nampak biasa tapi kita sebenarnya menderita daripada dalam, tambahan pula anak-anak autisme juga susah untuk dijaga, kerana kadang-kadang mereka sangat agresif,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini dia dan keluarga menyewa sebuah rumah namun disebabkan keadaan dua anak lelakinya itu yang tidak sama seperti anak orang lain ia memberi suasana tidak selesa kepada jiran-jiran.
“Malah kami juga tidak selesa dengan tuan rumah apabila mendapat aduan daripada jiran-jiran yang tidak memahami. Walaupun kami cuba memberi kefahaman kepada mereka tentang autisme, tetapi situasi sebenar tidak sama seperti apa yang diharapkan,” ujarnya.
Tambah Hanipah, situasi menjadi lebih rumit apabila suaminya, Saharuddin Danial, 41, dibuang kerja sebanyak hampir 10 kali kerana kerap mengambil cuti untuk menguruskan anak hingga menyebabkan kewangan terjejas.
“Kadang-kadang berlaku konflik antara keluarga, apabila menumpang di rumah ibu bapa, dengan keadaan anak yang seperti ini, sedikit sebanyak mengundang rasa tidak selesa terutamanya apabila adik beradik dan saudara mara pulang menjenguk ibu bapa lebih-lebih lagi ketika cuti perayaan,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, proses pemilihan kepada mereka yang berkelayakan untuk memohon tiga kekosongan di Taman Bukit Gasing itu adalah melalui jawatankuasa khas.
“Jawatankuasa ini dipengerusikan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang dihadiri oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), SUK Perumahan dan wakil Pejabat ADUN Rhu Rendang.
“Kelayakan permohonan mereka ini dikaji melalui siasatan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, dan jabatan-jabatan terbabit, sebelum dihantar kepada PMINT untuk ditemuduga,” tambah beliau.
02 Jul 20
189
Besut Disinari 'Nur' Ramadan
Oleh: Jusmawari Jusoh
BESUT, 16 Mei - Seluruh kawasan Besut akan disinari cahaya apabila program Nur Ramadan 11.0 dilaksanakan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS).
Penyelia i-MiTS Kawasan Besut, Hakim Zulfikri berkata, program itu adalah penanda aras sebagai tanda menzahirkan keprihatinan kepada asnaf di penghujung bulan yang mulia ini.
“Setiap tahun program ini diteruskan di bulan yang penuh keberkatan dan keampunan, Ramadan al-Mubarak.
"Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan orang ramai untuk diagihkan kepada yang memerlukan di seluruh Besut secara berperingkat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada 14 Mei.
Turut hadir ialah Pegawai Hal Ehwal Belia Kota Putera, Suhaimi Mohd dan Pegawai IT i-MiTS Kota Putera Abdul Aziz Che Kop.
Menurutnya, ini merupakan tahun yang kedua i-MiTS Kawasan Besut menjayakan program itu selepas beliau menyandang jawatan tersebut.
Kata Hakim, orang ramai dialu-alukan untuk memberi sumbangan kepada golongan memerlukan bagi sama-sama meningkatkan pahala bersedekah agar Ramadan yang akan berakhir membawa makna buat diri.
"Program ziarah Nur Ramadan 11.0 ke rumah asnaf bermula 13 Mei di DUN Kuala Besut dan 14 Mei di DUN Kota Putera.
“Insya-Allah kita akan teruskan di DUN Jertih dan Hulu Besut,” jelas Hakim.
02 Jul 20
43
FAMA Bantu 32 Usahawan Tembikai Dan Labu Manis Di Setiu
SETIU, 25 Jun - Seramai 32 peserta yang mengusahakan 39.8 hektar ladang tembikai dan labu manis lega apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu membantu memasarkan sebanyak 654 tan metrik tembikai yang dianggarkan bernilai lebih RM512,000.
Bantuan dalam bentuk perjanjian jual beli buah tembikai dan labu manis berkenaan dibuat bagi mengatasi masalah lambakan serta harga tembikai yang tidak menentu termasuk jaminan harga yang ditawarkan juga membantu pengusaha tembikai tetap beroleh keuntungan pada setiap musim.
Sementara itu, Ketua Kelompok Tanaman Tembikai Rhu Sepuluh, Baharudin Ibrahim berkata perjanjian yang dibuat dengan FAMA memberi jaminan kepada petani untuk memasarkan tembikai selain mengurangkan masalah lambakan buah di pasaran.
Katanya, ia juga membantu meringankan beban mereka yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pada 18 Mac yang lalu disebabkan wabak pandemik Covid 19.
"Sepatutnya penyemaian benih dilakukan lebih awal namun bila kerajaan umum PKP, semuanya terhenti menyebabkan hasil tidak dapat dituai mengikut tarikh yang sepatutnya.Dari segi kerugian, cuma melibatkan masa kerana lewat dan sekarang kami mula tabur benih secara berperingkat.
“Harga di pasaran masih lagi bertahan lagipun hanya tembikai dari ladang di Rhu Sepuluh yang berada di pasaran setakat ini dan harga jualan di kebun cuma RM1.80 sekilo manakala harga di pasaran mampu mencecah RM3.50 sekilo,” ujarnya.
Dia berkata demikian kepada pemberita di Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Antara FAMA Dengan Usahawan Ladang Kontrak MOA Negeri Terengganu di Kelompok Tanaman Rhu Sepuluh, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin dan Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed.
Bekalan tembikai dan labu manis tersebut akan dipasarkan di 40 pusat operasi di seluruh Malaysia
termasuk 100 ‘outlet’ jualan runcit FAMA di seluruh negeri.
02 Jul 20
658
Guru Di Bukit Payong Terima Barangan Keperluan
Oleh: Mohd Fakhrullah Mohamad
MARANG, 17 Mei - Barangan keperluan dapur bukan sahaja diagihkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan malah turut diagihkan kepada 77 guru terpilih yang berkhidmat di kawasan Bukit Payong.
Agihan berupa beras, minyak, gandum, susu, gula, kurma dan sehelai kain tuala kepada 44 guru Tabika Kemas, 28 guru Tadika Yayasan Islam dan lima guru Taska Permata itu sempena sambutan Hari Guru semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat dan melihat setiap kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang terjejas termasuk guru yang berkhidmat di Bukit Payong.
"Bersempena juga dengan hari guru yang baru sahaja diraikan semalam, 16 Mei, jadi kita menghargai jasa dan pengorbanan mereka," katanya kepada pemberita.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada semua staf dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payung yang turut serta membantu dalam menyalurkan sumbangan terbabit.
02 Jul 20
57