lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

189 Anak Yatim Ceria Menjelang Aidilfitri
189 Anak Yatim Ceria Menjelang Aidilfitri
Oleh : Izzat Al Qushairi SETIU, 19 Mei - Seramai 189 anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit di sini ceria selepas menerima sumbangan berbentuk barangan harian, kuih raya dan wang tunai semalam. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib dan kesukaran yang dihadapi golongan anak yatim. "Jadi, bantuan berjumlah RM19,700 yang disumbang orang ramai dan juga dana Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit ini diharap mampu meringankan beban golongan anak yatim khususnya menjelang Syawal. "Pelaksanaan program pada tahun ini dibuat agak berbeza dengan tahun sebelum ini yang dilaksanakan secara jamuan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). "Namun kita juga sedang berusaha untuk terus menyantuni mereka dari satu rumah ke satu rumah semua anak yatim di sini," katanya kepada pemberita. Sementara itu, Pengerusi Batu Rakit Care, Mohd Pauzi yang hadir sama berkata bilangan anak yatim pada tahun ini meningkat dua kali ganda dari tahun sebelumnya. "Sudah tentu tanggungjawab kita untuk membantu juga perlu dilipatganda dan ditambah baik setiap masa. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang menghulurkan bantuan kepada anak yatim ini khususnya kepada Mohd Shafizi yang bukan sahaja menyumbang duit malah turut bersama turun padang memberikan sumbangan kepada anak yatim ini," tambah beliau.
02 Jul 20
272
Pertima Raikan Penduduk Kampung Tok Adis
Pertima Raikan Penduduk Kampung Tok Adis
Oleh: Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Pertima Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Adis telah mengadakan Program Kacau Bubur Lambuk untuk diagihkan kepada penduduk kampung berkenaan. Menurut Pengurus Pertima Sdn. Bhd., Syed Asdi Tuan Ngah, program tersebut bertujuan merapatkan hubungan kakitangan syarikat terbabit bersama masyarakat di samping mengadakan aktiviti kebajikan bersempena bulan Ramadan yang mulia ini. Syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang merupakan pengeluar utama makanan dalam tin terkemuka negara itu telah mengagihkan sebanyak 250 bekas bubur lambuk kepada penduduk Kampung Tok Adis. “Pertima merancang untuk perbanyakan lagi program kemasyarakatan bersama masyarakat setempat di masa akan datang,” kata Syed Asdi ketika ditemubual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Dalam pada itu, aktiviti tersebut mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung. Timbalan Pengerusi MPKK Tok Adis, Talib Manap mewakili penduduk turut melahirkan rasa terima kasih kepada pihak Pertima dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan lagi di masa akan datang.
02 Jul 20
427
Proses Pendalaman Muara Sungai Kuala Ibai Permudah Nelayan Ke Laut
Proses Pendalaman Muara Sungai Kuala Ibai Permudah Nelayan Ke Laut
Oleh: Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Kerja-kerja mengorek pasir yang dijalankan di muara Sungai Kuala Ibai sejak 16 Mei lalu, memudahkan laluan nelayan bot kecil keluar masuk untuk menangkap ikan. Proses pendalaman muara tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi membantu para nelayan turun ke laut sementara menunggu kelulusan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memulakan proses penuh. "Kajian telah dijalankan bagi memastikan proses ini tidak memberi kesan kepada alam sekitar dan persekiraran disini. "Keputusan kajian tersebut akan diserahkan kepada ibu pejabat JPS bagi mendapatkan kelulusan untuk meneruskan proses pendalaman muara ini secara menyeluruh. "Jadi untuk sementara waktu ini, kita akan korek pasir di muara ini untuk membuat laluan sementara bagi para nelayan ke laut," kata Pengurus De Jaya Sdn. Bhd., Hanafi Ismail kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Mohd Soud Said turut hadir ke lokasi muara tersebut bagi melihat proses tersebut dijalankan.
02 Jul 20
866
PDRM, ATM Ronda Kawasan Rumah Pada Aidilfitri
PDRM, ATM Ronda Kawasan Rumah Pada Aidilfitri
PUTRAJAYA, 19 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan rumah pada Hari Raya Aidilfitri nanti bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Ketua Polis Negara memaklumkan pihak PDRM dan ATM bersetuju untuk melakukan rondaan di kawasan rumah khususnya pada hari raya pertama dan hari-hari selepas itu. “Kita mungkin tidak dapat buat pemeriksaan di setiap rumah, tetapi jika semasa rondaan dibuat banyak kenderaan di luar rumah, kita akan semak kediaman terlibat. “Apabila kenderaan banyak berkemungkinan ramai orang dalam rumah tersebut, jadi kita akan semak jumlah penghuni rumah tersebut,”  katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) di sini hari ini. Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Hari Raya Aidilfitri nanti.
02 Jul 20
571
Dadah Boleh Musnah Institusi Keluarga
Dadah Boleh Musnah Institusi Keluarga
Oleh : Syazwana M.Zohir KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Masyarakat diperingatkan supaya sentiasa berwaspada dan cakna mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kehidupan berumahtangga. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata pelbagai jenayah boleh timbul berpunca daripada penyalahgunaan dadah. Jelasnya, statistik menunjukkan bahawa lebih 50 peratus  daripada penghuni penjara di Malaysia disabitkan dengan pertuduhan berkaitan dadah. “Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana penyalahgunaan dadah memberi kesan yang negatif kepada rumahtangga sehinggakan ada kes keganasan rumahtangga yang berlaku disebabkan pasangan atau anak-anak mereka terlibat dengan najis dadah. “Isu ini, saya saksikan sendiri apabila turun berziarah ke rumah-rumah tak kira sama ada di kawasan kampung atau bandar, pasti ada sahaja cerita keganasan dalam perkahwinan disebabkan dadah. “Apabila terdesak kerana tiada wang untuk mendapatkan bekalan dadah, maka suspek akan mula melakukan tindakan secara luar kawalan,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam. Tambah Zuraida, lebih menyedihkan apabila 80 peratus daripada jumlah penagih di Malaysia berbangsa Melayu dan kebanyakan mereka berasal dari negeri Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu. “Jika anda salah seorang daripada mangsa keganasan rumahtangga, segera laporkan kepada pihak berkuasa, jangan pendamkan seorang diri. “Saya suarakan hal ini demi memberi kesedaran kepada rakyat  sempena dengan Hari Sambutan Menentang Penyalahgunaan Dadah hari ini (semalam) ,”ujarnya.  
02 Jul 20
566
ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk
ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk
SETIU, 18 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menyembelih empat ekor lembu sado untuk diagihkan kepada sekitar 5,800 penduduk di kawasan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri itu berkata, daging yang dimasak singgang itu diagihkan kepada rakyat untuk lauk berbuka puasa. "Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing memasak secara gotong-royong. "Kemudian masakan daging lembu ini akan dihantar sampai ke depan tangga rumah 5,800 penduduk. "Ia sebagai satu daripada gerakan kebajikan kemasyarakatan kita dalam bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyembelih keempat-empat lembu sado di Kampung Cabang Tiga Oh, Jabi, semalam. Menurut beliau lagi, pihaknya juga akan sedaya upaya menyantuni penduduk Jabi yang dilanda musibah seperti kematian, bencana alam dan sebagainya walaupun berdepan dengan sedikit keterbatasan akibat ancaman virus COVID-19. "Alhamdulillah, kes COVID-19 semakin menurun. Malah, Pusat Kuarantin di Pusat Latihan Pengembangan Pertanian (PLPP) di Kampung Tok Dor, Jabi pun telah ditutup sejak awal bulan lalu," tambahnya.
02 Jul 20
67
OKU Jaga Ibu Sakit Saraf
OKU Jaga Ibu Sakit Saraf
Oleh : Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 27 Jun - Walaupun bergelar orang kelainan upaya (OKU), kekurangan diri tidak menjadi penghalang kepada seorang pemuda untuk menjaga ibu tercinta yang menderita sakit saraf semampunya. Md Shamsuddin Ramli, 42, OKU pekak dan bisu mampu menjaga ibunya yang tidak dapat berjalan sejak setahun lalu. Semasa kunjungan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood ke rumahnya di Kampung Delong kediaman tersebut kelihatan terurus rapi. "Semuanya dialah buat, menyapu, basuh kain, lipat kain dan memasak, dia pandai buat semua sebab dia bersekolah," cerita ibunya, Nek Mohd, 77 yang bergerak dengan bantuan tongkat. Nek atau lebih mesra dipanggil Mak Nek  ditemui wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika rutin ziarah mingguan isteri YB Alias Harun di rumahnya baru-baru ini. Katanya, Shamsuddin yang bersekolah di Program Pemulihan  Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Merah, Padang Pulut bukan sahaja pandai mengurus diri sendiri malah menjaganya dengan baik. Menurut Mak Nek, anak kelapan daripada sembilan beradik itu menjadi pekak dan bisu selepas demam panas semasa kecil. "Dia juga suka bercucuk tanam dan kerja-kerja pertukangan tangan," ujar warga emas itu sambil menunjukkan kerja tangan anaknya.
02 Jul 20
37
Anak Yatim Tetap Dirai
Anak Yatim Tetap Dirai
Oleh: Adli Mohamad DUNGUN, 18 Mei - Seramai 135 anak yatim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi diraikan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi walaupun negara menjalani kehidupan dengan norma baru disebabkan Pandemik COVID-19. Anak-anak yatim yang terpilih daripada 23 cawangan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu menerima duit raya serta senaskah al-Quran yang disampaikan Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman dalam satu pertemuan ringkas yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Tersusun Rantau Panjang, semalam. Ghazali berkata, hasrat mengembirakan anak yatim tetap diteruskan dengan mengadakan pertemuan ringkas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan. “Kebiasaannya, tahun-tahun sebelum ini kita adakan majlis berbuka puasa untuk meraikan mereka, namun tahun ini sedikit berbeza disebabkan wabak COVID-19 belum pulih sepenuhnya," ujarnya kepada pemberita selepas program berkenaan. Katanya, bagi meminimakan kehadiran pada satu-satu masa, ianya telah diadakan selama tiga hari dengan dibahagikan kepada enam zon. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang untuk Tabung Prihatin DUN Bukit Besi kerana melaluinya program seumpama itu terus dapat dijayakan pada tahun ini.
02 Jul 20
39
Agihan Amal Bubur Lambuk
Agihan Amal Bubur Lambuk
Oleh: Jusmawari Jusoh BESUT, 17 Mei - Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Besut bergotong-royong bersama-sama memasak bubur lambuk untuk program 'agihan amal' dihadapan Pasaraya Pantai Timur Jertih. Ketua Komandan Amal Kawasan Besut Luqman Hakim Hashim berkata, program  ini yang dianjurkan oleh JAM dibuat secara serentak di seluruh negeri Terengganu. "InsyaAllah, selesai memasak kita akan edarkan bubur lambuk ini sekitar hadapan Pasaraya Pantai Timur Jertih sebagai lokasi pilihan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada 16 Mei. Menurutnya, seramai 20 orang anggota amal terlibat dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Besut, Hakim Zulfikri Awang dan Naib Ketuanya Ustaz Mukhlis Hasin. "Program ini bermula seawal jam lapan pagi dengan menyediakan bahan-bahan sehingga jam dua petang siap dibungkus," ujar Hakim. Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar tetap patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kekal di rumah jika tiada urusan dan menjaga jarak 1 meter serta memakai 'face mask'.
02 Jul 20
87
Sekumpulan Wanita Pamer Bakat Candat Sotong
Sekumpulan Wanita Pamer Bakat Candat Sotong
Oleh: Aslam Wira MARANG, 26 Jun - Seramai 18 peserta wanita mempamerkan bakat masing-masing dalam aktiviti mencandat sotong di Marang hari ini yang sekali gus mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu. Aktiviti anjuran persendirian itu, mendapat penyertaan daripada kalangan pelancong luar negeri Terengganu seperti Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang. Pengarah Program, Nur Hidayah Ali berkata, apa yang menarik dalam program ini adalah kesemua peserta adalah merupakan wanita, isteri dan ibu kepada anak-anak. "Mereka yang turun untuk aktiviti kali ini adalah yang sukakan aktiviti luar dan mencabar di samping untuk menambah kemahiran serta ilmu berkaitan kelangsungan hidup di laut," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program. Menurutnya lagi, perempuan tidak boleh menghadkan diri daripada aktiviti yang bermanfaat dan memberikan kemahiran seperti ini. Aktiviti mecandat sotong di kalangan wanita itu merupakan anjuran kali kedua, setelah mendapat sambutan yang baik. Sementara itu, pemilik bot Romzi Ramlee berkata, aktiviti mencandat sotong mula mendapat sambutan selepas diumum oleh Kerajaan Negeri berkenaan kebenaran aktiviti tersebut. "Pelancong luar dari luar Terengganu yang meminati aktiviti ini sudah mula menyewa bot-bot nelayan seperti tahun-tahun sebelum ini. "Ia sekali gus memberikan peluang untuk menambah rezeki setelah menempuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengatasi pandemik COVID-19. “Walau bagaimanapun aktiviti nelayan menangkap ikan dan meneruskan rantaian makanan hasil laut tetap diteruskan dan dibenarkan,” ucapnya lagi.
02 Jul 20
322