Artikel "Komuniti" Terkini
Impian 69 Penduduk Milik Tanah Sendiri Tercapai
KUALA NERUS, 2 Julai - Penantian 69 penduduk daerah ini untuk memiliki tanah sendiri yang dipohon sejak lebih 20 tahun lalu berakhir apabila masing-masing menerima surat hak milik tanah itu hari ini.
Rata-rata penerima teruja dengan berita gembira tersebut serta bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri menyerahkan surat hak milik dinantikan-nantikan sejak sekian lama.
Seorang penerima, Meriam Yusof, 75, berkata, dia memohon tanah di kawasan Kampung Baroh Tok Jiring pada tahun 1999 ketika berusia 54 tahun bersama penduduk lain untuk diusahakan sebagai tempat penanaman padi.
"Hari ini, saya cukup gembira dan bersyukur kerana penantian untuk memiliki tanah sendiri akhirnya tercapai walaupun sedikit terkilan kerana arwah suami, Mohamad Abdullah tidak dapat melihatnya.
"Sukar untuk menggambarkan perasaan saya selepas surat hak milik yang tertera nama sendiri sudah berada di tangan.
"Lebih bermakna, ia diserahkan sendiri oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, alhamdulillah terima kasih banyak-banyak," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis penyerahan Dokumen Hak Milik Peserta Tanah Rancangan Berkelompok Baroh Tok Jiring, disini, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengarah Tanah Dan Galian,Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim
Seramai 69 penduduk daripada 102 pemohon menerima surat hak milik tanah masing-masing pada majlis yang disempurnakan Ahmad Samsuri.
Perasaan sama turut dikongsi warga emas, Kelsom@Semek Ismail,74, yang turut melahirkan rasa syukur kerana masih berkesempatan menikmati saat penuh bermakna dalam hidupnya itu apabila turut menerima surat hak milik tanah.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang berusaha untuk mengembalikan hak kami,” ujarnya.
02 Jul 20
78
OKU Ditemui Selamat Selepas Hilang Lima Hari
Oleh : Muhammad A. Rahman
SETIU, 30 Jun - Orang kurang upaya (OKU), Ahmad Safharul Yusuf, 32, yang hilang sejak lima hari lalu ditemui selamat oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kampung Langkap Baru pukul 4.30 petang hari ini.
Ibunya, Siti Zahara Awang Kechik, 71, atau lebih dikenali sebagai Mok Roh berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pahit pertama yang dialami kerana Safharul tidak pernah berjauhan darinya.
"Fanuki (Ahmad Safharul) tidak berani keluar rumah seorang diri dan akan selalu meminta saya menemaninya jika mahu ke mana-mana, namun kejadian ini benar-benar mengajar saya.
"Syukur kepada Allah dia telah dijumpai. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak dan anggota penyelamat yang bertungkus-lumus," ujar Mok Roh ketika ditemubual di Hospital Setiu di sini.
Safharul kini berada di Hospital Setiu bagi menerima rawatan, dan dia dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Misi SAR melibatkan empat anggota polis, tiga anggota bomba, empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Amal dan Rela telah dikerahkan.
Misi mencari hari ini telah dijalankan pada jam 10 pagi dan tamat pada jam 4.30 petang.
Pada 25 Jun lalu, Ahmad Safharul hilang dari rumah dan kejadian itu disedari ibunya selepas tiada di dalam bilik.
Kemudian Mak Roh cuba mencarinya di sekitar rumah namun gagal dan akhirnya meminta bantuan pihak berkuasa.
02 Jul 20
52
Golongan Veteran Perlu Kuasai Bidang IT
Oleh: Syazwana M.Zohir
Foto: MASWIN
KUALA TERENGGANU, 30 Jun – Golongan veteran disarankan menguasai kemahiran dalam bidang teknologi maklumat bukan hanya eksklusif untuk golongan muda sahaja.
Pegawai Seranta Sekretariat Akhbar Menteri Besar Terengganu, Daing Siti Norbaity Abdul Latif berkata tanggungjawab untuk mengendalikan bidang berkaitan teknologi dan maklumat, tidak mampu untuk digalas sepenuhnya oleh kaum muda.
Jelasnya, kaum yang lebih berusia juga memberi kerjasama dengan melibatkan diri secara aktif dalam mempelajari ilmu berkaitan multimedia.
“Pasca COVID-19 menyaksikan bahawa perlunya kita kepada aplikasi teknologi yang membantu memudahkan komunikasi dan dalam hal ini, semua peringkat umur perlu menyesuaikan diri berkomunikasi mengikut normal baharu iaitu secara atas talian.
“Celik teknologi ini tidak merugikan, bahkan banyak manfaat yang kita akan perolehi insya-Allah terutamanya bila kita niatkan untuk membantu agama.
“Dalam keadaan dunia langit terbuka hari ini, pelbagai kelas dan bengkel tersedia. Sesiapa pun boleh sertai, bukan muda belia sahaja, tinggal lagi mahu atau tidak,”ujarnya.
Beliau yang juga merupakan tenaga pengajar bengkel berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Bengkel Pendedahan Teknologi tersebut telah dianjurkan oleh Kelab Penggiat Media Sosial Insipirasi Wanita Terengganu (MASWIN) yang menyasarkan golongan yang berusia 40 tahun ke atas di TD1303 dan melibatkan 15 orang peserta serta dibantu oleh lima orang fasilitator.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan Wanita Negeri Terengganu (MAWADDAH), To’ Puan Hajah Zarani Othman melahirkan rasa gembira dan syukur atas penganjuran bengkel tersebut.
Beliau yang juga merupakan isteri kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahya Ali berkata pembangunan yang pesat dalam bidang teknologi komunikasi telah didorong oleh proses globalisasi.
“Banyak kesan perkembangan teknologi kepada sesebuah organisasi, antaranya termasuklah memudahkan interaksi sesama ahli dan juga berfungsi sebagai medium menyampaikan maklumat.
“Selain berperanan melancarkan lagi tugasan dalam organisasi, teknologi juga dilihat sebagai satu wadah bagi memastikan objektif berjaya dicapai,” tambahnya.
02 Jul 20
292
Rumah Hangus, Ibu Tunggal Tinggal Sehelai Sepinggang
KUALA NERUS, 30 Jun - Seorang ibu tunggal termasuk seorang anak kelainan upaya tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di kampung Pulau Duyong Kecil hangus dijilat api, hari ini.
Dalam kebakaran kira-kira jam 1.40 petang itu, rumah pusaka yang didiami Rohaini Yusof, 52, musnah seratus peratus.
Menurut Rohaini, ketika kejadian dia bersama empat lagi anaknya berada di kawasan halaman rumahnnya.
Katanya, sejurus selepas itu dia terlihat asap dari ruang tamu sebelum disusuli api besar membakar kediamannya.
"Selepas itu, kita beritahu jiran dan suaminya menelefon Bomba.
"Jadi, tak sempat hendak ambil belaka surat beranak ke apa, lari sehelai sepinggang," katanya ketika ditemui di lokasi, petang ini.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mokhtar Dollah memaklumkan menerima panggilan pada jam 1.44 petang sebelum jentera bomba dengan kekuatan 23 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya ketika sampai ditempat kejadian api marak sedang membakar kediaman berkenaan.
"Di lokasi, kita dapati kebakaran 100 peratus melibatkan rumah jenis sementara kekal dan kita gunakan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu water tanker dan satu Emergency Medical Rescue Services (EMRS).
"Kita mengalami sedikit kesukaran untuk sampai di lokasi kebakaran akibat jalan terlalu sempit dan juga pili bomba berada lebih kurang 400 kaki dari tempat kejadian," katanya.
Tambahnya, setakat ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian.
02 Jul 20
48
Rumah Terbakar, Duit Dalam Surah Yasin Tidak Hangus
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 29 Jun – Sejumlah wang yang diselitkan dalam surah Yasin dan ditempatkan dalam almari di sebuah bilik tidak hangus walaupun rumah yang didiami tiga beranak itu terbakar secara keseluruhannya.
Mangsa kebakaran, Azizah Muda 60, berkata ketika menerima perkhabaran daripada anak yang tinggal bersebelahan kira-kira jam 11.40 pagi itu, dia hanya berfikir, duit raya pemberian anak-anak dan duit kutu itu pastinya hangus.
“Untuk melegakan hati yang sedih dan rasa terkilan, saya perlu bersabar, selain menganggapnya sebagai tiada rezeki tanpa berusaha mencari di lokasi yang menempatkan duit itu.
“Dengan kuasa Allah S.W.T, rezeki saya masih ada, bukan saya duit tidak hangus malah barangan kemas yang diletakkan ditempat sama juga masih elok, tidak terbakar dan perkara itu dimaklumkan oleh pihak Bomba sebaik selesai memandam kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman, di lokasi kejadian di Kg. Baru Rhu Muda, di sini, petang semalam.
Katanya, ketika kejadian, dia bersama anak dan seorang cucu baru saja meninggalkan rumah kira-kira 15 minit untuk ke rumah anak yang tinggal di Kampung Gong Chempedak.
“Saya panjatkan penuh kesyukuran, walaupun barangan berharga lain tidak sempat diselamatkan, masih ada terselit rezeki, selain umur saya, anak dan cucu yang tinggal bersama masih panjang.
“Pada masa sama, mahu mengucapkan pujian dan tahniah kepada Bomba di atas sikap jujur tidak mengambil kesempatan dengan penemuan duit yang belum sempat dimasukkan ke dalam bank,”katanya.
Sementara itu, beberapa agensi terbabit hadir meninjau keadaan rumah sekeluarga dan menghulurkan bantuan segera dari segi kewangan, dan juga barang keperluan asas.
Antaranya adalah Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Marang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Marang dan MAIDAM Marang serta wakil Ahli Parlimen Marang, Cikgu Haron Yusof.
02 Jul 20
153
Pasar Tani Kuala Besut Kembali Beroperasi Hari Ini
Oleh: Saifullah Jusoh
BESUT, 29 Jun - Para peniaga Pasar Tani Kuala Besut menarik nafas lega apabila pasar berkenaan sudah dibenarkan kembali beroperasi mulai hari ini.
Hampir tiga bulan Pasar Tani Kuala Besut ditutup untuk urusan jual beli susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Situasi tersebut menjejaskan para peniaga yang bergantung sepenuhnya pendapatan dengan hasil jualan di pasar-pasar tani dan
pasar pagi.
Walaupun iasudah beroperasi, namun para peniaga perlu mengikut garis panduan SOP yang sudah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (BPT).
Seorang peniaga yang dikenali sebagai Fadhli sangat bersyukur kerana dapat berniaga seperti biasa.
“Alhamdulillah saya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana sudah membenarkan kami untuk kembali berniaga disini.
“Insya-Allah kami akan sedaya upaya mematuhi SOP agar rantaian wabak COVID-19 ini dapat diputuskan,” ujarnya.
02 Jul 20
1517
MB Zahir Takziah Kepada Mangsa Kebakaran
Oleh: Aslam Wira
MARANG, 28 Jun - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Baru Bukit Kecil, semalam.
Pada masa sama Ahmad Samsuri turut menghulurkan sumbangan yang disampaikan oleh Pegawai Khasnya, Sabri Zakaria bagi meringankan beban mangsa.
Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dan beberapa jabatan lain turut bersama-sama memberikan sumbangan segera berbentuk kewangan dan keperluan asas.
Antaranya adalah Pejabat Ahli Parlimen Marang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang, Tabung Darul Iman serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Marang.
Ketika kejadian, mangsa tiada di rumah kerana berada di rumah anaknya. Kebakaran yang bermula daripada sebuah bilik menyebabkan keadaan rumahnya itu hangus secara keseluruhannya.
Punca kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi itu masih belum dikenal pasti, namun tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
02 Jul 20
187
400 Buah Rumah Diagih Singgang Daging
Oleh: Saifullah Jusoh
BESUT, 20 Mei - Sebanyak 400 buah rumah diagihkan lauk singgang daging untuk juadah berbuka puasa di kawasan Perumahan Kos Rendah Kampung Gong Tengah.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, ia adalah untuk meringankan sedikit beban penduduk di penghujung bulan ramadan.
“Walaupun tidak banyak namun sekurang-kurangnya semua penduduk dapat merasa," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada semalam.
Menurutnya, program ini adalah kerjasama pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Tengah.
Turut hadir ialah Pengerusi MPKK Kampung Gong Tengah, Wan Asriazwa Husin.
“Ini adalah acara tahunan bagi peringkat supaya kita dapat mendekati penduduk DUN Kuala Besut.
"Agihan lauk berbuka ini diadakan secara berperingkat bagi seluruh DUN Kuala Besut melalui MPKK masing-masing," tambah beliau.
02 Jul 20
116
Kerisauan Penduduk Berakhir
Oleh: Mohd Fakhrullah Mohamad
MARANG, 28 Jun - Kerisauan penduduk terhadap pokok yang hampir tumbang di pinggir jalan Kampung Alur Parit, telah berakhir.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Tok Rimau, Mansor Mamat berkata, banyak aduan yang mengatakan pokok-pokok besar di pinggir jalan dahannya terlalu rendang dan boleh membahayakan rumah dan kedai berhampiran terutama ketika hujan ribut.
"Kebelakangan ini kita terima terlalu banyak aduan daripada penduduk setempat di mana dahan-dahan pokok tersebut terlalu rendang dan mereput malah dikhuatiri boleh tumbang ketika ribut kencang," katanya.
Tambahnya lagi, kerja-kerja itu sebenarnya sudah lama ingin dilaksanakan, cuma atas faktor keselamatan dan peralatan yang perlu digunakan terpaksa ditangguhkan dahulu.
"Penduduk setempat telah turun beramai-ramai bergotong-royong kerja-kerja memotong dan membersih pokok-pokok tersebut menggunakan van lori yang disediakan," katanya
Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh, Timbalan Pengerusi MPKK Kampung Tok Rimau, Mohd Amin Ismail, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk sekitar.
Sumbangan berupa wang ringgit yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah sedikit sebanyak membantu aktiviti gotong -royong itu.
02 Jul 20
97
YB Jelajah Kampung Hulur Bantuan Keluarga Miskin
MARANG, 20 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah melakukan jelajah ke setiap kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu berkata, jelajah tersebut turut memberi keutamaan terhadap rumah rakyat yang mempunyai masalah kesihatan.
Katanya, melalui aktiviti turun padang sebegitu beliau sendiri dapat merasai kesukaran hidup yang dialami penduduk di sana.
“Alhamdulillah sebanyak 14 buah kampung sudah menerima sumbangan berupa kad raya, beras, dan kek. Insya-Allah sebanyak 11 lagi kampung yang masih berbaki akan turut menerima sumbangan sama.
“Agihan sumbangan ini akan diagihkan mengikut bilangan rumah pada setiap kampung dan sumbangan disalurkan sendiri oleh saya atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bertugas. Insya-Allah tidak akan ada rumah yang tercicir dan tidak dapat,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Turut hadir dalam aktiviti ziarah dari rumah ke rumah tersebut adalah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru masyarakat supaya memanfaatkan hari yang berbaki dalam bulan Ramadan untuk beramal ibadat.
“Harapan saya di bulan mulia yang masih lagi berbaki beberapa hari dan hari raya yang kian tiba, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadat dan mengislahkan diri kita pada Allah agar setiap hidup dan amalan kita diterima oleh Allah. Insya-Allah,” tambah beliau.
02 Jul 20
99