Artikel "Komuniti" Terkini
Media Sosial Rapatkan Silaturahim Di Aidilfitri
Oleh: Adli Mohamad
DUNGUN, 28 Mei - Penggunaan media sosial dilihat menjadi penghubung silaturahim ketika Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa ketika hari kebesaran umat Islam itu.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tidak seperti tahun sebelum-sebelumnya suasana sambutan lebaran kali ini berbeza dalam keadaan negara masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.
"Bagaimanapun kemanisan sambutan Aidilfitri tahun ini masih dapat dirasai dengan cara berbeza.
"Paling kurang dapat menghilangkan perasaan rindu di hati ibu dan ayah apabila anak-anak tidak dapat pulang beraya seperti tahun-tahun yang lalu.
"Ketika diziarahi mereka (si ayah) gembira menceritakan akan anak-anak buat 'video call' atau menelefon mengucapkan selamat hari raya dan berkongsi pengalaman beraya jauh di kota, bertapa anak-anak merindui ketupat rendang, lemang dan pelbagai kuih muih yang menjadi hidangan 'wajib' setiap kali menyambut lebaran, "ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menziarahi warga emas sempena Aidilfitri, semalam.
Katanya, hakikat kehidupan norma baru perlu diterima oleh seluruh umat Islam dengan penuh keimanan.
"Serta sama-samalah kita berdoa tanpa ada perasaan jemu dan berputus asa daripada rahmat Allah agar rantaian wabak ini dapat diputuskan," ujarnya.
Sementara itu, seorang perantau Mohd Rizal Azizi, 35, berkata sambutan hari raya pada tahun ini agak janggal apabila tidak dapat pulang berhari raya serta memberi suatu pengalaman baru kepadanya.
"Memang perasaan rindu pada anak dan isteri serta keluarga tidak dapat disembunyikan, namun menyedari akan kesan buruk yang tidak dijangka akan berlaku sekiranya saya berdegil maka lebih baik saya menetap sahaja di ibu kota.
"Sempat juga saya melakukan 'video call' pada raya pertama, memang sebak dan pilu, memandangkan ini kali pertama beraya tanpa keluarga," ujarnya merupakan anak kelahiran Bukit Besi.
Mohd Rizal turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mematuhi PKPB dengan sebaiknya agar suasana akan kembali sejahtera selepas ini.
06 Jul 20
105
Tiga Beradik Lemas : Mayat Terakhir Ditemui
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat terakhir tiga beradik yang dikhuatiri lemas semalam ditemui 12.40 tengah hari tadi.
Mangsa, Khalif Naim Mohd, 16, ditemui kira-kira 170 meter dari lokasi kejadian yang turut meragut nyawa dua abangnya.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi berkata, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mayat Umar Iskandar Mohd, 21, serta Khairil Firdaus Mohd, 17, ditemui jam 9.45 dan 11.35 pagi tadi.
Mayat mereka ditemui sekitar 100 dan 150 meter dari lokasi kejadian.
Ketiga-tiga jenazah itu dijangka akan dikebumikan petang ini di kampung ibunya di Kampung Alur Limbat, Marang.
Semalam, pada jam 6 petang tiga beradik itu dikhuatiri lemas ketika mandi di muara Sungai Telemong yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka.
06 Jul 20
127
Mayat Pertama Tiga Beradik Ditemui
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat pertama kes lemas membabitkan tiga beradik ditemui jam 9.52 pagi ini.
Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, dijumpai di dasar sungai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan perkembangan itu.
Terdahulu, tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai berkenaan lewat petang semalam.
Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 9 malam semalam.
06 Jul 20
41
DUN Air Putih Agih 4,500 Ayam Dan Beras
Oleh: Aminji
KEMAMAN, 28 Mei - Sebanyak 4,500 ekor ayam dan 4,500 kampit beras diagihkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada penduduk di sekitar kawasan itu.
MPKK Kampung Bukit Mentok, Bandar Baru Bukit Mentok, Bandar Baru Bukit Mentok 2, Pengkalan Binjai, Rumah Murah/Taman Semarak Binjai, Tok Kapor, Kampung Batu 4, Kuala Tayor, Air Putih dan Teladas adalah antara MPKK yang terlibat dalam agihan sumbangan tersebut.
ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang turut turun padang menzahirkan kelegaannya tatkala sumbangan sampai ke tangan penerima.
“Saya berharap dengan sumbangan yang diagihkan sedikit sebanyak mampu menceriakan para penerima memandangkan Syawal kali ini disambut dalam suasana yang berbeza dan kita masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujar beliau.
Beliau juga mengingatkan penduduk DUN Air Putih agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang tempoh perayaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Ab Razak turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Pemuda PAS DUN Air Putih, Jabatan Amal DUN Air Putih dan semua MPKK yang terlibat kerana telah bertungkus-lumus menjayakan proses agihan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.
06 Jul 20
100
Air Mata Gembira Seorang Kakak
KEMAMAN, 27 Mei - “Berderai air mata apabila diberitahu kami akan diberi rumah baharu dan semua bayaran sewa rumah akan dibayar pihak kerajaan negeri,” kata Sofea Hanani Manaf ketika ditemui semasa operasi pemindahan.
Wanita berusia 23 tahun itu mengakui terharu apabila empat adiknya kini mampu hidup dalam keadaan yang lebih selesa selepas setahun menyewa di rumah daif.
Memahami kesulitan yang diharungi lima beradik itu setelah mengadakan tinjauan semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat hadir membantu menyiapkan segala keperluan rumah Sofea hari ini.
“Sofea bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai di Bandar Cukai dan hanya bergaji sekitar RM1,000 sebulan dalam keadaan menjaga empat orang adiknya sejak setahun yang lalu.
“Ibu bapanya pula bercerai dua tahun lalu dan membawa haluan masing-masing. Kini tinggallah Sofea yang menjaga dan membesarkan adik-adiknya,” ujar Hanafiah.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu, keadaan rumah yang disewa mereka tidak lagi sesuai dan mereka telah dibawa berpindah ke Kampung Besut 1.
“Setelah berbincang, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pula bersetuju untuk membayar sewa bulanan rumah (baru) ini.
“Saya juga telah membeli sebuah peti sejuk, televisyen, dapur gas, tilam, cadar, bantal dan sedikit buah tangan buat mereka. Rumah tersebut turut digantikan dengan tikar getah yang baharu
“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), MAIDAM dan pihak-pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membantu keluarga ini. Semoga bulan Syawal ini memberi sinar kehidupan yang baharu buat mereka sekeluarga,” tambah beliau.
06 Jul 20
58
Kekal Tradisi Pelita Raya Walau Dalam PKPB
KUALA NERUS, 27 Mei - Meskipun Syawal kali ini disambut dalam suasana berbeza susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun bagi penduduk Kampung Padang Air di sini, kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai dengan suasana tersendiri.
Mohamad Jailani Haron, 50, berkata, dia sanggup berhabis sekitar RM1,200 bagi memasang pelita dengan pelbagai bentuk di sekitar halaman rumahnya dan ia bukan hanya semata-mata untuk pertandingan.
Katanya, dia bersama keluarga terdekat mengekalkan tradisi itu yang dimulakan sejak 80-an oleh datuk dan bapanya dengan memasang kira-kira 200 pelita bulat.
“Bezanya tahun ini kami buat dengan lebih meriah bagi mengembalikan ‘mood’ raya yang sedikit suram akibat COVID-19.
“Kami turut memasang pelita di basikal dan kereta klasik serta mewujudkan taman pelita ibunda supaya orang ramai boleh merasai suasana Aidilfitri,” katanya semasa ditemui pemberita semalam.
Sementara itu, kemeriahan sama turut dirasai di sekitar Kampung Padang Hangus apabila beberapa penduduk kawasan itu bersama-sama memasang pelita raya.
Suri rumah, Zaleha Mat Min, 58, sangat bersyukur kerana kehangatan perayaan itu masih terasa walaupun tidak semeriah tahun-tahun terdahulu.
“Dalam musim PKPB dan wabak pandemik, kami tetap mengambil keputusan membuat pameran pelita bagi menceriakan kampung.
“Ini adalah tradisi yang patut dikekalkan jadi kami buat dalam bentuk olahan yang kecil jadi kami selain menyertai pertandingan pelita yang dianjurkan kerajaan negeri.
“Kami mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan semua ini,” tambahnya.
06 Jul 20
218
Dua Exco Terjah Pasar, Pantau Harga Barang
Oleh: Hidayah Azlin
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Dua exco kerajaan Terengganu melakukan lawatan mengejut ke Pasar Borong Gong Pauh di sini semalam bagi memastikan peniaga mematuhi harga siling barangan kawalan yang ditetapkan baru-baru ini.
Tinjauan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah mendapati lebih 90 peratus peniaga mematuhi pelaksanaan itu.
Walau bagaimanapun, Dr Azman berkata, masih terdapat segelintir peniaga yang ingkar dan mereka telah diberikan teguran serta amaran.
"Kami hadir untuk melihat sendiri stok bekalan barangan dan pematuhan harga barangan kawalan seperti ayam, daging, telur, kelapa dan sebagainya.
"Pasar borong ini dimanfaatkan oleh peniaga dan pengguna dari sekitar daerah ini, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.
"Boleh saya katakan harga barangan di Pasar Borong Gong Pauh adalah gambaran harga purata untuk Terengganu," jelasnya kepada media selepas lawatan.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok, Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh, Pengarah Veterinar Negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri, YM Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmod.
Menurut Dr Azman, bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan sebelum mengenakan sebarang tindakan penguatkuasaan harga, pihaknya mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Kalau peruncit jual mahal, bukan terus dikenakan tindakan. Perlu diteliti dahulu berapa harga yang mereka dapat dari pemborong dan berapa harga yang pemborong dapat dari pembekal.
"Semua peringkat rantaian pengeluaran akan diteliti. Termasuk juga yang dipantau ialah harga sumber input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan," ujarnya.
Sementara itu, mengulas tentang bekalan makanan menjelang Aidilfitri esok, beliau berkata semuanya adalah mencukupi.
"Aneka jualan sayur-sayuran dan buah-buahan di sini adalah keluaran dari sendiri dan luar Terengganu. Setakat ini, belum ada aduan tentang bekalan tidak cukup," tambah beliau.
06 Jul 20
113
5,200 Kit Aidilfitri Tanda Prihatin Diagihkan Di DUN Manir
Oleh: Ahmad Mawardi
HULU TERENGGANU, 23 Mei - Memahami keperitan yang dilalui rakyat di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat penularan wabak Koronavirus (Covid-19), Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir tampil membantu untuk meringankan beban menjelang Aidilfitri yang akan disambut esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, melalui peruntukan kerajaan negeri, pihaknya mengagihkan 5,200 kit barangan keperluan asas Aidilfitri kepada seluruh ketua isi rumah sebagai tanda ingatan bersama.
Katanya, penyampaian sumbangan itu bukan atas nama mana-mana parti, sebaliknya kesepakatan dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut Hilmi lagi, wakil-wakil parti kompenan PN juga dijemput pada penyampaian sumbangan kepada penduduk setelah diedarkan kepada seluruh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam DUN Manir.
Jelas beliau, sumbangan kerajaan negeri diagih kepada semua rakyat yang terjejas tanpa mengira fahaman politik bersama-sama dapat meraikan Aidilfitri.
06 Jul 20
93
DHPP ‘Jambatan’ Non-Muslim - Ahmad Amzad
Oleh: AHMAD SABRI YUSOF
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) merupakan ‘jambatan’ antara komuniti non-muslim dengan masyarakat Melayu Islam khususnya di Terengganu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, DHPP Kuala Terengganu bertindak cemerlang dalam memelihara kesejahteraan rakyat terutama di kalangan bukan Islam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu.
Katanya, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu melalui DHPP Kawasan Kuala Terengganu berjaya mengagihkan bantuan kepada masyarakat non-muslim dalam kawasan tersebut.
Menurut Amzad, bantuan disalurkan kepada semua yang layak tanpa mengira latar belakang parti dan kaum bukan Islam banyak tertumpu di kawasan Kampung Cina, Kuala Terengganu.
“Ramai yang terkesan akibat arahan PKP itu sejak dua bulan lalu akibat penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
“Tahniah kepada DHPP Kuala Terengganu kerana cemerlang dalam usaha memelihara perpaduan nasional yang positif di Kuala Terengganu, termasuklah sepanjang musim Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan facebook, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata, titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengenai kesan terhadap ekonomi amat menyentuh rakyat.
“Tuanku Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong semasa istiadat perasmian pembukaan penggal sidang parlimen pada 18 Mei lalu, ramai rakyat yang terkesan terutamanya dari segi ekonomi.
“Alhamdulillah, kerajaan Perikatan Nasional sekarang sudah pun melakukan usaha keras bagi membantu rakyat dengan lebihkan bekerja berbanding politicking.
“Kita sebagai warga Malaysia perlu sentiasa menyemaikan budaya positif untuk kesejahteraan rakyat di negara ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, kata Amzad, daerah Kuala Terengganu pernah diumumkan kawasan paling ‘gembira’ berdasarkan indeks kebahagiaan menurut Laporan Kebahagiaan Dunia 2019 (WHR).
Menurutnya, kejayaan itu turut disumbangkan oleh peranan DHPP Kuala Terengganu yang dapat memelihara kesejahteraan di kalangan masyarakat non-muslim.
“Tahniah kepada Jefri Chua dan DHPP Kuala Terengganu yang membuktikan dan menolak isu bahawa PAS adalah ‘racist’ dan tidak mementingkan kaum lain selain Melayu sahaja adalah tidak benar,” tegasnya.
Hadir sama dalam pertemuan itu, Ketua DHPP Kuala Terengganu, Chua Kim Huat atau Jefri Chua, Setiausaha DHPP Kuala Terengganu, Ketua Pemudanya, Alex Chan Fook Yew, Ketua Wanita DHPP Kuala Terengganu, Angeline Mak Yun Yah dan Setiausaha DHPP Kuala Terengganu, Wong Foot Yoke.
05 Jul 20
196
123 Pasukan Khas Pantau Pematuhan SOP Aidilfitri Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Polis Terengganu akan memantau aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini dengan 123 pasukan khas terdiri daripada 531 anggota dan pegawai daripada polis, tentera, Pertahanan Awam dan RELA.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata pemantauan ini dilaksanakan agar sambutan Aidil Fitri di negeri ini tidak melanggar Prosedur Standard Operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.
"Ia bertujuan memastikan sambutan tidak melebihi 20 orang di dalam setiap rumah dipatuhi sepenuhnya bagi mengelak risiko penularan Covid-19.
"Bagi menguatkuasakan peraturan, cuti hampir 3 ribu 200 anggota dan pegawai polis di negeri itu dibekukan sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB ini," katanya dalam satu siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau juga meminta penduduk Terengganu sentiasa mematuhi arahan dan tidak melakukan perjalanan merentas negeri tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, mereka masih boleh bergerak merentas daerah dan sentiasa mengambil serius langkah pencegahan Covid-19.
05 Jul 20
111