lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Tindakan Susulan Jamin Kesejahteraan Penduduk
Tindakan Susulan Jamin Kesejahteraan Penduduk
Oleh : Adli Mohamad DUNGUN, 4 Julai- Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi yang menerima bantuan peralatan hospitaliti termasuk kerusi roda dan katil wakaf tidak dibiarkan sahaja malah ada tindakan susulan bagi menjamin kesejahteraan penerima. Pembantu Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Mohd Noor Azian berkata sebaliknya perkembangan kesihatan mereka diambil tahu. "Seramai 30 orang yang menerima manfaat daripada bantuan wakaf ini kita pantau dari semasa ke semasa. "Sebagai tanda kecaknaan serta kita benar-benar prihatin terhadap mereka. Apabila mendengar mereka semakin baik dan menunjukkan perkembangan positif kita tumpang gembira," ujarnya. Beliau berkata demikian, ditemui pihak media selepas menziarahi kesemua penerima alatan bantuan secara wakaf diagihkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, baru-baru inim Katanya, mereka yang sudah sembuh, kembali sihat seperti sediakala dan tidak memerlukan lagi alatan berkenaan akan dikembalikan semula. "Dimana kita memberikan pula kepada mereka yang lain, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa cakna dan prihatin terhadap masyarakat," ujarnya. Katanya perkara berkenaan sangat dititikberatkan oleh Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman supaya kecaknaan dan keprihatinan perlu dipertingkat setiap masa. "Tidak seronok jika kita ambil tahu kebajikan mereka hanya kali pertama tanpa ada susulan. "Paling tidak jika sekiranya sibuk, dapat memantau perkembangan mereka melalui MPKK. Kita sentiasa bersedia dan komited menghulurkan bantuan kebajikan tanpa pilih kasih," ujarnya.
06 Jul 20
399
Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 4 Julai - Seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemberian borang tersebut adalah hentian terakhir sebelum penerima mendapat geran hak milik kekal. "Selepas penerima menjelaskan bayaran premium tanah, peserta akan dapat geran hak milik dengan tempoh pajakan selama 99 tahun. "Sebelum ini tempoh pajakan tanah pertanian ialah 60 tahun. Kerajaan Terengganu sekarang telah naikkan kepada 99 tahun," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Jadual 5A RTB Belimbing Api, RTB Bukit Tasik dan RTB Pasir Tawar Jabi di Dewan Sivik Jabi di sini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, para peserta juga perlu menjelaskan kadar bayaran premium dalam masa tiga bulan. "Sekiranya tidak mampu, buatlah surat rayuan untuk lanjutan bayaran selama tiga bulan. Sebaiknya kita mahu selesaikan pemberian geran dengan cepat. "Usahalah sedaya yang mampu untuk menjelaskan bayaran premium tanah dan jangan bandingkan dengan premium tanah 20 tahun dulu. Malah, jangan bandingkan dengan RTB Belimbing Api kerana ia merupakan RTB Terkilan," ujarnya. Katanya lagi, bagi yang berpendapatan rendah atau RM 1,700 ke bawah sebulan, penerima boleh membuat rayuan untuk membayar secara ansuran selama tiga tahun. "Bagi penerima yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), e-Kasih pula, boleh mohon bayaran premium pada kadar nominal (RM100). Satu lagi usaha kerajaan untuk permudahkan urusan," katanya. Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat mengharapkan penerima tanah pertanian memajukan sebaik mungkin tanah yang diperolehi.
06 Jul 20
192
Warga Emas Hilang Ditemui
Warga Emas Hilang Ditemui
Oleh : Alfian Mamad KEMAMAN, 3 Julai - Seorang warga emas yang dipercayai hilang di Tasik Gajah Marah, Ibok beberapa hari lalu telah ditemui oleh Pasukan Mencari Dan Menyelamat (SAR). Mangsa yang dikenali sebagai Pok Nor atau nama sebenarnya Mohd Noor Salleh, 56, ditemui dalam keadaan lemah setelah tiga hari tidak pulang ke rumahnya sejak 30 Jun yang lalu. Perkara itu dimaklumkan oleh isterinya, Rusiah Husin, 51, yang membuat laporan di Balai Polis Kemaman setelah motosikal suaminya ditemui di tepi tasik tersebut oleh penduduk kampung. Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar, Zawawi Mohamed, pihak berkuasa dan penduduk kampung telah memulakan misi mencari dan menyelamat pagi tadi. "Pasukan SAR yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK serta penduduk kampung pagi ini telah mengerakkan pasukannya dalam usaha mencari mangsa yang hilang tersebut. "Alhamdulillah, mangsa sudah ditemui di tepi tasik tersebut dalam keaadan yang agak lemah dan terpaksa diangkat keluar setelah tiga hari tidak makan," ujarnya lagi. Dalam perkembangan sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh turut bergegas ke Pondok Polis Kampung Ibok sebelum itu serta melahirkan rasa simpati di atas kejadian itu. "Saya bersimpati dan bersyukur dengan apa yang berlaku. Syabas dan tahniah kepada para petugas yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi setelah penemuan itu. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Seri Bandi untuk rawatan selanjutnya.
06 Jul 20
69
Ahli Parlimen Kemaman Isi 50 Tabung Masjid
Ahli Parlimen Kemaman Isi 50 Tabung Masjid
Oleh : Alfian Mamad/Wan Hadi KEMAMAN, 2 Julai - Sebanyak 50 buah masjid di seluruh Kemaman menerima sumbangan bagi menampung perbelanjaan pengurusannya setelah tiada kemasukan dana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari. Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid melalui Pusat Khidmat Masyarakatnya telah menyalurkan sejumlah wang tunai bagi meringankan bebanan sesetengah masjid. Menurut Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam, peruntukan sebanyak RM125 ribu telah dikeluarkan bagi menyuntik dana tabung masjid yang agak berkurangan di seluruh Kemaman. "Menyedari perkara tersebut kami bermesyuarat dan merancang bagi memulihkan setiap tabung masjid yang ada di seluruh kawasan Kemaman. "Sepanjang tempoh PKP tiada sumbangan daripada orang awam yang kebiasaannya dikutip pada setiap solat Jumaat yang berjumlah tiga hingga empat ribu seminggu," ujar beliau. Mohd Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sesi penyerahan dana 14 buah masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Masjid Jamek Kijal semalam. Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut, Pegawai Agama Daerah Kemaman, Aizi Saidi Abd Aziz, Ketua Unit Pengurusan Masjid Daerah Kemaman, Ustaz Hassan Harun, Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Masjid, Ustaz Abdul Hakim Mohd Nasir dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad. Dalam pada itu, Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Parlimen Kemaman di atas inisiatif mereka dalam membantu kesemua masjid yang terjejas. "Alhamdulillah, saya mewakili pihak pengurusan masjid di DUN Kijal merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid di atas sumbangan ini," katanya.
06 Jul 20
1353
MBKT Ketatkan Penguatkuasaan Terhadap Pemilik Haiwan Ternakan Berkeliaran
MBKT Ketatkan Penguatkuasaan Terhadap Pemilik Haiwan Ternakan Berkeliaran
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik yang membiarkan binatang ternakan mereka berkeliaran sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya mulai esok, 1 Jun. Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Shahidan Embok berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beberapa perkara dari segi penguatkuasaan dan peraturan dinilai bagi mengelakkan berlakunya insiden yang boleh meragut nyawa. “Sebelum ini, kita telah maklumkan kepada semua pemilik haiwan bahawa MBKT telah menaikkan kadar tebusan bagi tangkapan haiwan berkeliaran berkuatkuasa 1 Mac lalu. “Bagaimanapun, notis berkenaan seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kerana masih ada pemilik haiwan yang berdegil dengan membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran tanpa sebarang pengawasan. “Justeru, kita akan buat operasi penguatkuasaan berkala yang lebih tegas selepas ini memandangkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka ini (pemilik haiwan) memberi kesan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya sehingga terjadinya kemalangan dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita. Menurut beliau, kadar kompaun yang berkuatkuasa dari tarikh berkenaan adalah RM250 seekor untuk haiwan ternakan dari jenis kerbau, lembu, dan kambing/biri-biri, manakala kadar penebusan pula sebanyak RM1,500 seekor untuk kerbau dan RM1,000 untuk lembu sementara RM500 untuk kambing/biri-biri. Justeru, pihaknya mengharapkan pemilik haiwan ternakan mematuhi garis panduan yang dikeluarkankan oleh MBKT demi keselamatan orang  ramai.
06 Jul 20
795
PKPB : Aktiviti Ziarah Kubur Di Terengganu Tidak Digalakkan - Exco
PKPB : Aktiviti Ziarah Kubur Di Terengganu Tidak Digalakkan - Exco
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Kerajaan Terengganu tidak menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti ziarah kubur semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ini kerana risiko pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKPB semasa aktiviti tersebut adalah tinggi. Jelasnya, meskipun belum ada keputusan rasmi di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berhubung perkara itu setakat ini, pihaknya tetap tidak menggalakkan aktiviti tersebut dilakukan. "Apabila diadakan aktiviti tersebut, ia pasti melibatkan jumlah perhimpunan ramai dalam satu-satu masa. "Oleh itu, kita melarang sebarang pertemuan atau perhimpunan diadakan di mana-mana lokasi termasuk tanah perkuburan kerana ia melanggar peraturan ditetapkan sepanjang PKPB," katanya ketika dihubungi media hari ini. Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya menangguhkan dahulu hasrat berkenaan sehingga keadaan kembali pulih. "Lawatan ke lokasi itu boleh dilakukan selepas tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada wabak COVID-19," tambah beliau.
06 Jul 20
54
Lima Beranak Tidur Berlantaikan Rumput Terima Rumah Baharu
Lima Beranak Tidur Berlantaikan Rumput Terima Rumah Baharu
Oleh: Aslam Wira MARANG, 30 Mei - Selepas tiga hari dua malam hidup berlantaikan rumput dan beratapkan kanvas, lima beranak di Kampung Sungai Kerak di sini akhirnya menerima rumah baharu semalam. Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, keputusan itu dicapai setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama pihak lain dan keluarga tersebut. Katanya, keluarga terbabit akan berpindah ke rumah baharu dalam masa terdekat dan segala urusan berkait perkara itu diuruskan pihaknya. "Bayaran sewa rumah tersebut sebanyak RM300 juga akan ditanggung dengan persetujuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Marang. “Dengan bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat keluarga ini akan ditempatkan di Taman Dato' Ibrahim, dan mereka telah dibawa untuk melihat rumah tersebut, kunci rumah kita serahkan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga berkenaan. Turut hadir adalah, Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, MPKK Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Kerak, dan MPKK Gong Nangka. Mengulas lanjut, Wahad berkata, tindakan pantas MPKK menyalurkan maklumat banyak membantu pihaknya. “Pagi ini juga, mewakili Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, tinjauan dan siasatan segera terhadap keadaan keluarga ini dibuat setelah mendapat maklumat daripada MPKK. Menurut Wahad lagi, sedikit sumbangan seperti keperluan asas, tilam dan makanan turut diagihkan kepada mereka untuk berpindah ke rumah sewa baharu. “Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Rhu Rendang juga akan berusaha untuk membantu menyiapkan rumah miliknya melalui agensi-agensi terbabit," jelasnya. Sementara itu, penghuni rumah tersebut, Mohd Taufiq Mohd Alias, 44, terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri yang membantu keluarganya. "Kerana hilang mata pencarian, saya bersama isteri dan tiga orang anak mengambil keputusan untuk tinggal di rumah milik saya yang saya bina tiga tahun lalu tetapi belum siap sepenuhnya," tambahnya.
06 Jul 20
47
Minggu Kedua Solat Jumaat, Jemaah Patuh SOP
Minggu Kedua Solat Jumaat, Jemaah Patuh SOP
Oleh: Fahmi Izzuddin SETIU, 29 Mei - Semua jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di masjid di daerah ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk menggunakan cecair sanitizer dan melakukan pemeriksaan suhu. Pegawai Agama Daerah Setiu, Ustaz Muhamad Ash-Shafie Abd Manan berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan terhadap para jemaah yang hadir bagi mengelakkan sebarang pelanggaran SOP. "Hanya jemaah terpilih dan mendapat surat kebenaran sahaja hadir menunaikan solat Jumaat dengan kehadiran direkodkan, memakai penutup hidung dan mulut, pemeriksaan suhu dan penggunaan 'hand sanitizer' turut dilakukan di pintu masuk masjid. "Jemaah juga dikehendaki membawa sejadah dan berwuduk dari rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Menurut beliau, pihak Polis Diraja Malaysia, RELA, Penguatkuasa Syariah, Penguatkuasa Majlis Daerah Setiu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu memantau perjalanan solat Jumaat. Untuk rekod, Masjid Bandar Permaisuri, Setiu dipilih sebagai masjid yang dibenar mengadakan solat Jumaat dengan kapasiti jemaah adalah tidak lebih 40 orang.
06 Jul 20
64
Kebun Cili Khairunnisa' Mula Keluarkan Hasil
Kebun Cili Khairunnisa' Mula Keluarkan Hasil
Oleh: Daing Siti Norbaity SETIU, 29 Mei - Projek penanaman cili secara fertigasi yang diusahakan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') di atas tanah seluas dua ekar di Kampung Mengabang Lekor, di sini mula mengeluarkan hasil. Pengerusi Khairunnisa', To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman yang mesra dengan panggilan Kak Zah berkata, tuaian pertama cili pada bulan Ramadan lalu mencecah hampir 110 kilogram. "Hasil tuaian tersebut telah dijual kepada pemborong sayur-sayuran. "Kak Zah ingin buktikan dan mengajak rakyat Terengganu untuk memanfaatkan kawasan tanah terbiar dengan dijadikan kebun komuniti. "Bermula dari laman kecil, jika bersungguh-sungguh usaha ini boleh mendatangkan manfaat jika kita tekun dan berazam untuk berjaya," ujarnya kepada pemberita kelmarin. Turut hadir ke kebun cili Khairunnisa' beberapa hari lalu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pembangunan Insan dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Tidak memadai dengan laman kediaman rasmi yang dipenuhi pelbagai tanaman sayur-sayuran dan bunga, Kak Zah yang juga isteri Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus mengorak langkah 'mempromosikan' pertanian bandar secara lebih kormesial. Jelas terbukti, usaha beliau dan ahli Khairunnisa' telah berjaya menukarkan kawasan semak samun dan manfaatkan tanah terbiar milik Khairunnisa' seluas dua ekar itu kepada kebun cili. Sementara itu menurut Kak Zah, suaminya turut mengagumi inisiatif Khairunnisa' yang mengusahakan tanah terbiar untuk projek yang bermanfaat. "Sebagai tanda sokongan dan penghargaan, Dr. Sam juga turun ke kebun bagi memetik hasil cili yang lebat. "Dr Sam suka sangat kalau diajak ke kebun ni, dia pun puas hati tengok hasil usaha daripada 'zero'. Dah dua tiga kali turun membantu, antara terapi beliau juga," jelas Kak Zah.
06 Jul 20
300
Hukuman Kepada Pemandu Mabuk Perlu Diperketatkan
Hukuman Kepada Pemandu Mabuk Perlu Diperketatkan
Oleh: Mohd Rizauddin DUNGUN, 28 Mei - Kejadian kemalangan yang melibatkan orang awam tidak bersalah angkara perbuatan pemandu mabuk harus dipandang serius dan sudah tiba masanya untuk kerajaan bertegas serta mempertingkatkan lagi hukuman sedia ada terhadap pelaku. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berpendapat, undang-undang sedia ada bagi menghukum pelaku kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dilihat terlalu ringan dan menyebabkan ramai memandang remeh. Katanya, tindakan drastik harus diambil oleh pihak kerajaan dalam menggubal undang-undang yang lebih tegas dengan mengenakan hukuman mandatori yang setimpal bagi memberi kesedaran kepada semua pesalah. "Isu kemalangan maut yang melibatkan orang awam dan pemandu mabuk bukanlah lagi suatu perkara yang baru bagi kita, namun ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. "Bahkan dalam pada kita menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, masih ada kejadian kemalangan maut melibatkan seorang pegawai polis yang sedang bertugas. Ini semua angkara pemandu yang tidak bertanggungjawab," ujarnya ketika dihubungi pemberita. Menurut beliau, mungkin lebih ramai orang awam akan menjadi mangsa pemandu mabuk ini, maka amat wajarlah jika tindakan awal diambil oleh pihak berkuasa terlebih dahulu memandangkan penggubalan undang-undang baru yang lebih ketat belum dilaksanakan. Dalam pada itu, Wan Hassan turut menggesa agar rakyat Malaysia lebih bersikap bertanggungjawab serta bertimbang rasa terhadap orang lain agar kejadian seperti ini dapat dielakkan.
06 Jul 20
79