lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Sukan Sebagai Inisiatif Daftar Pengundi
Sukan Sebagai Inisiatif Daftar Pengundi
Oleh : Nooreni Abu Bakar  DUNGUN,12 Julai- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) diseru menjadikan program sukan sebagai inisiatif untuk mendaftar pengundi sebagai pemilih. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia DUN Rantau Abang, Abdullah Fahim Hussin berkata, penganjuran sukan di komuniti masing-masing sewajarnya dijadikan platform untuk mendaftar mereka yang layak mengundi dan masih belum berbuat demikian. "Mereka kadang-kadang menganggap rumit kerana terpaksa ke pejabat pos untuk mendaftar, jadi kita bantu untuk memudahkannya," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jersi kepada 28 MPKK di DUN Rantau Abang di Pusat Komuniti DUN di sini, baru-baru ini. Majlis penyerahan tersebut disampaikan oleh ADUN Rantau Abang, Alias Harun. Sementara itu, Alias berharap kerjasama yang erat antara orang muda dan orang tua hendaklah sentiasa terjalin. "Saling hormat menghormati perlu ada dan jika ada rasa tidak puas hati, bawa berbincang, jangan dengar sebelah pihak," katanya ketika berucap di majlis itu.
13 Jul 20
56
Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!
Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Individu yang mempunyai niat untuk melakukan maksiat di bumi Terengganu termasuk di sekitar jambatan angkat di sini disaran supaya membatalkan hasrat tersebut. Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR), Nasaruddin Samsudeng menegaskan, pihaknya akan sentiasa mengadakan operasi pencegahan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral terus berleluasa. Katanya, dalam operasi di Drawbridge semalam, 15 pasangan telah diberikan amaran keras manakala satu pasangan ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu. "Pasangan yang dibawa ke Pejabat Agama Kuala Terengganu itu akan disiasat untuk kesalahan di bawah seksyen 36, Mewatie, enakmen kesalahan jenayah syariah (Takzir) (Terengganu) 2001. "Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi berkenaan. Menurut beliau, pemantauan itu tertumpu di beberapa lokasi mencurigakan, kawasan gelap dan mereka yang berdua-duaan di dalam kereta atau sebagainya. "Skuad Amar juga akan membuat cegahan secara berterusan, malah bunting-bunting penerangan tentang kesalahan jenayah syariah serta perbuatan tidak sopan di tempat awam turut digantung di setiap lokasi tertentu," ujarnya. Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau anak-anak terutamanya anak perempuan lebih-lebih lagi pada waktu malam "Jangan sampai mereka terikut-ikut dengan hawa nafsu, dan terjerumus dalam pemikiran yang menyebabkan mereka terlanjur atau mendekatkan diri ke arah pengzinaan," jelasnya. Operasi yang bermula 8.00 malam itu mendapat kerjasama penuh daripada Pegawai Penguatkuasa Syariah serta Sukarelawan Amar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan penglibatan seramai hampir 60 orang. Terdahulu, pada 8 Julai, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu memaklumkan penubuhan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat bagi mengelakkan kejadian tidak bermoral berlaku
13 Jul 20
914
Bersegeralah Dalam Ziarah Dan Salurkan Bantuan
Bersegeralah Dalam Ziarah Dan Salurkan Bantuan
Oleh : Aslam Wira MARANG, 8 Julai - Program ziarah sewajarnya dijadikan aktiviti wajib bagi pihak berkepentingan terutama membabitkan kepimpinan kampung dan  jabatan berkaitan. Pendekatan itu dilihat mampu menyelesaikan pelbagai masalah, termasuk menyegerakan bantuan kewangan, keperluan makanan dan perubatan bagi mereka yang memerlukan. Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, langkah seumpama itu turut diamalkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menjenguk, bertanya khabar mana-mana penduduk uzur, Orang Kurang Upaya dan warga emas sebagai aktiviti harian atau mingguan. Katanya, pihaknya turut menziarahi Mohamad Hakimi Othman yang terlibat kemalangan pada 2 Julai lalu dan Maziah Abu Bakar yang mengalami lumpuh sebelah badan di Kampung Kijing. “Ziarah ini bukan sekadar tertumpu pada kunjungan semata-mata tetapi juga untuk menyalurkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang. “Ini adalah keperluan kepada mereka yang ditimpa musibah sebagai meringankan sedikit beban di atas ujian yang menimpa mereka,” katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika selesai aktiviti ziarah di Kampung Kijing, kelmarin. Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.  
13 Jul 20
57
Mangsa Ribut Terima Sumbangan KETENGAH
Mangsa Ribut Terima Sumbangan KETENGAH
Oleh : Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 8 Julai-Sebanyak lima buah rumah di dalam wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang rosak dipukul ribut baru-baru ini menerima sumbangan daripada pihak KETENGAH. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif KETENGAH yang bersama-sama mengambil peranan membantu mereka yang ditimpa musibah. “Minggu lepas sebanyak lima buah rumah di dalam wilayah KETENGAH iaitu di Kampung Padang Pulut, Delong dan Bukit Merah telah rosak disebabkan ribut dan KETENGAH dengan diketuai Pengerusinya, Datuk Razali Idris telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa ribut tersebut. "Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana KETENGAH sangat mengambil berat kawasan di bawah kelolaan mereka di mana Ramadhan lalu, KETENGAH juga telah menyampaikan sumbangan zakat kepada keluarga asnaf di kawasan tersebut," ujarnya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Ribut Wilayah Ketengah, baru-baru ini. Sementara itu, mangsa ribut Azira Pa, 34 berkata, ketika kejadian dia yang tinggal bersama dua anaknya yang masih kecil kerana suaminya bekerja di Melaka berasa  sangat cemas apabila atap rumahnya diterbangkan angin ribut ketika suaminya tiada di sisi. "Masa tu lepas asar, saya terkejut dan ketakutan bila atap rumah tiba-tiba terbang, alhamdulillah jiran datang membantu," cerita ibu dua anak yang sedang mengandung anak ketiga. Bagi warga emas, Tengah Abdul Rahman, 73, berkata dia menggeletar apabila menyedari atap rumahnya tiba-tiba terangkat dan diterbangkan ribut. "Tambahan mak cik ada sakit, sakit paru-paru, mari rasa tidak bermaya," ujarnya sambil berterima kasih kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang menghulurkan sumbangan untuk membaiki kerosakan bumbung rumahnya.
13 Jul 20
141
RM15 Juta Selesaikan Hakisan Pantai Rusila
RM15 Juta Selesaikan Hakisan Pantai Rusila
MARANG, 6 Julai - Sebanyak RM15 juta diperuntukkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai penyelesaian jangka pendek kepada isu hakisan yang berlaku di Pantai Rusila. Menurut Menteri Alam Skitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, proses penyuburan pantai (beach nourichment) iaitu menambak semula persisir pantai dengan pasir dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun. "Kita akui bahawa menjelang musim tengkujuh kuasa ombak ini sangat besar dan dijangka akan menyebabkan hakisan besar pada pantai jika tidak disegerakan. Yang pertama ialah strategi jangka pendek yang kita perlu segerakan bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.   "Saya berterima kasih kepada pihak kementerian kerana mengambil inisiatif awal meletakkan batu-batu untuk penyelesaian semasa dan kita akan beri perhatian serius terhadap isu ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Taklimat Hakisan Pantai di Rusila oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, hari ini. Dr.Zaini menunjukkan gambar struktrur hakisan kepada Dr. Samsuri dan Tuan Ibrahim. Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri. Jelas Tuan Ibrahim lagi, pantai dengan jajaran sepanjang enam kilometer itu memerlukan strategi yang tersusun sebagai penyelesaian menyeluruh. "Untuk jangka masa panjang, kita perlukan satu peruntukan lebih kurang dalam RM150 juta untuk melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12) untuk penyelesaian menyeluruh berdasarkan kajian Pelan Pantai Bersepadu (Intergrated Shoreline Management Plan-ISMP). "Kita ada kajian menyeluruh bagi negeri Terengganu kerana negeri ini mempunyai pantai yang panjang iaitu 244km dan kita perlu tengok secara keseluruhannya," katanya. Sementara itu, Dr. Samsuri sempat menzahirkan penghargaan di atas kunjungan menteri berkenaan ke negeri itu. “Terima kasih atas kunjungan menteri bersama seluruh anggota pentadbiran dan atas pengumuman yang dibuat sebanyak RM15 juta untuk menyelesaikan secara segera hakisan di sini. “Secara dasarnya, kita juga berkerjasama dengan pihak kementerian untuk menyelesaikan masalah hakisan di seluruh negeri ini,” katanya.
13 Jul 20
326
Sekolah Di Pedalaman Kelima Terbaik SPM 2019
Sekolah Di Pedalaman Kelima Terbaik SPM 2019
Oleh: Aminji KEMAMAN, 10 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cerul dinobatkan sebagai sekolah kelima terbaik di Terengganu dalam pencapaian mata pelajaran SPM pada tahun 2019 dengan pencapaian 13.64 peratus semua A. Ab. Razak Ibrahim berkata, kejayaan yang mereka perolehi tidak dijangka kerana SMK Cerul merupakan sekolah yang berada dalam kawasan felda dan terpencil. Justeru kejayaan tersebut sudah pasti menggembirakan hati semua orang. Mendahului carta Senarai Sekolah Semua A Terbaik tersebut, Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud dan SM Sains Kuala Terengganu di mana masing-masing mengungguli tempat pertama dan kedua. Seterusnya SM Sains Hulu Terengganu di tempat ketiga dan SM Sains Dungun di tempat keempat. Dalam pada itu, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih mengadakan Majlis Kesyukuran Lonjakan SPM 2019 buat semua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 Sekolah Menengah Cerul, Kemaman, semalam. "Kita menyumbangkan sedikit cenderahati dan wang ringgit kepada semua pelajar SPM 2019 ini tanda ingatan dan penghargaan kepada pelajar tersebut. "Saya berharap agar kejayaan yang diraih ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan guru-guru terus bersemangat untuk mengekalkan kejayaan ini," ujarnya. Hadir sama dalam majlis itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin dan Pengetua SMK Cerul, Alias Salleh.
12 Jul 20
823
Baik Pulih Hakisan Pantai Teluk Lipat Bermula Oktober
Baik Pulih Hakisan Pantai Teluk Lipat Bermula Oktober
DUNGUN, 6 Julai - Proses baik pulih hakisan di Pantai Teluk Lipat yang semakin kritikal akan dimulakan selewat-lewatnya Oktober ini. Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan baik pulih di seluruh kawasan sepanjang empat kilometer itu. "Ada empat peringkat proses pemulihan pantai ini dan bagi peringkat pertama, kita pecahkan kepada dua bahagian untuk melindungi kawasan-kawasan kritikal di sini yang dijangka siap tahun ini. "Bagi keseluruhan projek pemulihan di pantai Teluk Lipat dijangkakan siap pada pertengahan tahun 2022," katanya. KSU KASA, Dr. Zaini memberikan penerangan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan di lokasi terbabit, hari ini. Lokasi itu merupakan salah satu agenda Tuan Ibrahim dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu, hari ini. Dalam lawatan tersebut, menteri berkenaan yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut meninjau hakisan tanah dan projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Rusila, Marang. Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan wakil-wakil jabatan terlibat.  
12 Jul 20
489
Jalan Baharu Untuk Jemaah Surau Tanjung Kedepan
Jalan Baharu Untuk Jemaah Surau Tanjung Kedepan
Oleh : Izzat Al Qushairi SETIU, 6 Julai - Impian Jemaah Surau Kampung Tanjung Kedepan di sini untuk menikmati kemudahan jalan berturap sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan hari ini. Pegawai Penyelaras (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, keperitan jemaah  yang terpaksa melalui jalan berdebu sejak 15 tahun lalu kini berakhir. Menurutnya, komitmen untuk menangani isu jalan menghubungkan kampung itu dengan jalan raya utama di Tanjung Kedepan dimulakan sebaik sahaja dilantik sebagai Pegawai Penyelaras. "Sebaik diberi amanah, saya telah berbincang dengan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menyelesaikan masalah rakyat di kampung berkenaan. "Selepas PRU14, saya sangat bersyukur kepada kerana usaha ini akhirnya berkaya direalisasikan walaupun terpaksa melalui proses yang panjang dan berliku," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Kedepan, Mustfar Che Ali berkata, penduduk di kampung itu lega kerana tidak lagi perlu risau akan keselamatan diri. Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana impian penduduk akhirnya tertunai selepas berjuang dan berdepan dengan proses yang agak rumit. "Jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menyelesaikan masalah itu walaupun baru hanya beberapa tahun mengambil alih tampuk kepimpinan. "Syukur sekarang proses penurapan jalan sedang berjalan, kita sujud syukur kepada Allah," tambah beliau.
06 Jul 20
221
Setiap Keluarga Satu Hafiz
Setiap Keluarga Satu Hafiz
Oleh : Adli Mohamad DUNGUN, 6 Julai - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman mengimpikan agar setiap keluarga memiliki satu hafiz. Bagi merealisasikan perkara berkenaan katanya, kesedaran daripada ibu bapa amat penting. "Dimana ibu bapa perlu mengubah persepsi bahawa pengajian secara pondok atau maahad tahfiz yang melahirkan mereka yang menghafal al-Quran tidak menjamin masa depan. "Sedangkan setiap rezeki itu telah ditetapkan oleh Allah lebih-lebih lagi kepada mereka yang mendekati al-Quran ataupun ajaran Islam yang menjadi penyuluh yang membawa kepada kesempurnaan hidup," jelasnya. Beliau berkata demikian ditemui pihak media, selepas menyampaikan sumbangan didalam majlis ringkas meraikan 68 anak-anak Bukit Besi yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA, kelmarin. Katanya, telah ramai anak-anak dari setiap keluarga menyambung pengajian tinggi. "Namun didalam bidang hafiz, kita masih ketandusan. Bukanlah bermaksud saya tidak mahu melihat anak yang menyambung pengajian didalam bidang yang lain. "Cuma saya juga ingin melihat lahirnya hafiz daripada setiap satu keluarga," jelas beliau. Kekurangan itu katanya dapat dikesan melalui perolehan dapatan secara rawak dilakukan beliau dengan ibu bapa di DUN berkenaan. "Dimana mereka mengatakan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini tidak ramai anak-anak yang mampu menjadi imam dengan menghabiskan keseluruhan juzuk al-Quran ketika terawih pada Ramadhan yang lalu," ujarnya. Katanya, pengajian pondok, maahad tahfiz sekarang ini telah berlakunya revolusi. "Dimana banyak pengajian pondok yang turut menawarkan pengajian moden. Malah kerajaan Negeri Terengganu turut memberi jaminan. "Mana-mana pelajar yang mengikuti pengajian hafiz di pondok juga berpeluang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di TATI UC. Sebagaimana ramai yang maklum mengenai hal ini, dimana diberi jaminan tamat pengajian pondok boleh mengikuti pengajian didalam bidang kemahiran. "Mungkin kesedaran disini masih kurang, bagaimanapun perkara ini akan cubalah saya tekankan, dan akan cuba promosikan kepada ibu bapa," ujarnya. Selain itu katanya, tanggapan bahawa pengajian hafiz hanya diikuti oleh anak yang bermasalah tidak tepat. "Kerana sesetengah ibu bapa akan menghantar anak mereka selepas anak mereka bermasalah di sekolah kebangsaan. "Sedangkan anak yang paling pintar paling elok dihantar bagi mengikuti hafiz. Kerana berupaya untuk menghafal didalam waktu yang singkat. "Lagipun jaminan kepada hafiz ini tinggi bukan hanya akan hidup mengikut panduan, malah menjamin terlahirnya anak soleh yang akan membahagiakan ibu bapa di akhirat kelak," ujarnya.
06 Jul 20
234
Paizal Bakal Miliki Tanah, Rumah Sendiri
Paizal Bakal Miliki Tanah, Rumah Sendiri
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 4 Julai – Seorang petani, Mohd Paizal Abdul Majid, 48, menarik nafas lega selepas cita-citanya untuk memiliki tanah dan rumah kediaman sendiri akhirnya tercapai. Ujar peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Belimbing Api itu, tanah pemberian kerajaan negeri akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan membina tempat berteduh untuk isteri dan lima anaknya. Katanya, disebabkan masalah kewangan sebelum ini, dia hanya menumpang di teratak ibu dan ayahnya sejak mendirikan rumahtangga pada tahun 1994. "Hari ini rasa gembira sangat. Penantian dari tahun 1999 lagi, akhirnya tahun 2020 ini saya dapat tanah daripada kerajaan negeri. "Sebelum ini belum pernah dapat lagi tanah dan hari ini menjadi sejarah. Alhamdulillah syukur kepada Allah. "Insya-Allah apabila mendapat geran kekal nanti, saya akan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga. Bila ada rezeki lebih, kita akan bina dengan segera," katanya kepada pemberita UPDI selepas menerima borang 5A di Dewan Sivik Jabi, semalam. Sementara itu, menurut seorang lagi peserta RTB Belimbing Api, Ab Rahim Ghazali, 53, dia sangat bersyukur dan teruja kerana impian yang dinanti-nantikan sejak sekian lama akan tercapai. "RTB Belimbing Api menunjukkan sejarah yang panjang dan amat memilukan. Ramai peserta asal dah ramai meninggal dunia. Namun berkat kesabaran serta keyakinan terhadap rezeki akhirnya impian dikembalikan kepada kami. "Saya amat berterima kasih kepada Dr Azman Ibrahim yang berjaya menyelesaikan isu ini. Ia merupakan kejayaan yang besar bagi rakyat biasa seperti kami. "Memang perasaan ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Benda yang kita tidak tahu bila akan menemui hujung pangkal, akhirnya menemui penyelesaian hari ini," tambah Rahim. Dalam program itu seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A RTB.  
06 Jul 20
151