lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

18 Tahun Tertangguh, Akhirnya 134 Terima Hak Milik Dan Borang 5A Tanah Terkilan Gong Cempedak - MB Terengganu
18 Tahun Tertangguh, Akhirnya 134 Terima Hak Milik Dan Borang 5A Tanah Terkilan Gong Cempedak - MB Terengganu
MARANG, 22 Julai - Seramai kira-kira 134 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, hari ini. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 84 penerima hak milik tanah dan 50 penerima Borang 5A untuk RTB Gong Cempedak setelah proses penyerahan hak milik RTB itu tertangguh hampir 18 tahun lamanya. "Tanah berkelompok ini adalah tanah terkilan mukim Pulau Kerengga yang telah pun diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun 2002 dan proses penyerahan hak milik RTB ini tertangguh hampir 18 tahun lamanya. "Alhamdulillah, pada hari yang bersejarah ini, kita telah berjaya merealisasikan janji dan manifesto kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sekali gus mengembalikan tanah-tanah terkilan selepas pemerintahan kerajaan tahun 2004," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmi dan menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A RTB Terkilan, Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga DUN Rhu Rendang Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), hari ini. Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut menjelaskan, kerajaan negeri berusaha memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan memudahkan rakyat. "Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hak milik hartanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan mudah. Akan tetapi, saya juga harap yang tuan-tuan dan puan-puan semua memahami satu perkara. "Iaitu, semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. Bukan sahaja di Terengganu, tetapi di mana-mana sahaja di seluruh negara. "Ia sememangnya memakan masa dan harus diuruskan dengan berhati-hati dan teliti mengikut Kanun Tanah Negara (KTN)," katanya. Justeru, beliau amat berterima kasih kepada semua permohon yang sentiasa bersabar dan memahami komitmen semua pihak dalam usaha menyelesaikan perkara berkenaan.
22 Jul 20
3740
Sasaran 20 Ribu Unit RMM Tercapai Menjelang 2022
Sasaran 20 Ribu Unit RMM Tercapai Menjelang 2022
Kerajaan Terengganu optimis akan mencapai sasaran 20,000 unit Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun menjelang 2022.
21 Jul 20
191
Penduduk Pulau Redang Terima Sumbangan Musaadah COVID-19
Penduduk Pulau Redang Terima Sumbangan Musaadah COVID-19
KUALA NERUS, 18 Julai - Seramai 100 penduduk Pulau Redang menerima sumbangan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung akibat pandemik COVID-19 yang melanda hebat seluruh dunia baru-baru ini. Pek barangan keperluan dengan nilai keseluruhan RM100,000 itu disumbangkan melalui kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dalam program Musa'adah COVID-19 yang dilaksanakan kedua-dua pihak berkenaan di negeri itu. Dr. Zulkifli menyampaikan sumbangan Musa'adah Covid-19 kepada salah seorang penerima di Pulau Redang. Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada penerima dalam Majlis Jalinan Mesra sempena lawatan kerjanya di Pulau Redang, Sabtu lalu. Pemangku Ketua Pengarah YaPIEM, Parihah Hassan menyatakan, selain daripada bantuan di Pulau Redang, program Musa'adah Covid-19 turut diadakan di Marang dan Kuala Nerus. "Kita juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM26,500 bagi membantu masyarakat di sana dengan kerjasama JAWHAR yang juga menyumbang RM25,000," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.        
20 Jul 20
247
NGO Tidak Berorientasikan Keuntungan - Wan Sukairi
NGO Tidak Berorientasikan Keuntungan - Wan Sukairi
KUALA TERENGGANU, 19 Julai- Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah organisasi yang ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam dan bukannya berorientasikan keuntungan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penubuhan NGO mungkin tercetus daripada pengalaman, minat, idea dan semangat perjuangan yang kuat daripada individu atau kumpulan tertentu untuk bertindak terhadap sesuatu fenomena yang terjadi atau keinginan dalam masyarakat.  "Mereka ini bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka letakkan sebagai tanggungjawab dan apa yang dirasakan sebagai kewajipan akan dilakukan seikhlas hati walaupun tidak diberi upah. "Di pihak kerajaan negeri, kami hanya bertindak sebagai pemudahcara kepada NGO yang berdaftar di negeri ini demi manfaat masyarakat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan sempena Forum Bicara NGO: 'Cabaran NGO Pada Masa Kini' di Bangunan TD 1303, hari ini. Wan Sukairi berkata, NGO turut memainkan peranan besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi dengan perkhidmatan kerajaan.  Katanya, peranan kerajaan di sebalik penubuhan sesebuah NGO adalah memberikan fokus dalam mencapai objektifnya seperti menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran, memperkasa ekonomi wanita, mengawal dan mengurus penyakit, membantu mangsa bencana alam, memperjuangkan isu berkaitan hak kemanusiaan, sosial, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya.  "Sebagai contoh, berkaitan isu ibu tunggal, apa sahaja masalah yang dihadapi golongan ini contohnya kemahiran yang diperlukan, dana dan sebagainya boleh dipanjangkan kepada pihak kerajaan oleh NGO berkaitan dan akan diberikan perhatian yang sewajarnya," ujar beliau.      
19 Jul 20
384
DUN Bukit Tunggal Peruntuk RM100 Ribu Biaya Lembu Korban
DUN Bukit Tunggal Peruntuk RM100 Ribu Biaya Lembu Korban
Oleh: Safwan Syakir KUALA NERUS, 19 Julai - Sebanyak RM100 ribu diperuntukkan bagi pembiayaan lembu korban yang disalurkan kepada 10 buah masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, sumbangan tersebut adalah untuk meraikan semua rakyat DUN Bukit Tunggal dengan diamanahkan kepada pihak pengurusan masjid untuk menjayakannya. “Kita sasarkan dua ekor lembu untuk setiap masjid dengan peruntukan RM10 ribu, namun ianya juga bergantung kepada kepadatan penduduk setempat,” ujarnya. Dr Alias Razak. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pembelian Lembu Korban kepada pengerusi-pengerusi masjid di Duyong Marina & Resort di sini kelmarin. Hadir sama, Pegawai Khidmat DUN Bukit Tunggal (bahagian Kerajaan Persekutuan), Zaharudin Zahid dan Pegawai Khidmat DUN, Wan Mohammad Nasiruddin Wan Ahmad. Dalam majlis yang sama, beliau turut memberi sumbangan termometer digital untuk kegunaan masjid-masjid di kawasan DUN Bukit Tunggal. Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mengingatkan supaya pihak masjid dan ahli kariah sentiasa mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan memandangkan wabak COVID-19 masih belum reda. "Terima kasih kepada semua pengerusi masjid yang hadir dan semoga sumbangan yang terhad ini dapat menceriakan semua pihak khususnya golongan yang kurang berkemampuan selain dapat sama-sama memeriahkan sambutan Aidiladha mengikut garis SOP yang ditetapkan," jelasnya.
19 Jul 20
549
Libatkan Diri Dalam Pertanian
Libatkan Diri Dalam Pertanian
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Kerajaan negeri menyeru semua lapisan masyarakat khususnya kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melihat sektor pertanian sebagai sektor penting sama ada mereka yang terlibat secara sara diri ataupun komersial. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka hendaklah membuat satu perubahan dan menjadikan bidang ini diberi perhatian khusus. “Kerajaan sedang bergerak cergas untuk memajukan sektor pertanian sebagai salah satu sektor penting dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang berakhir pada 2030. “Dalam titah ucapan Diraja dalam sidang DUN yang lepas, Tuanku Sultan Mizan juga telah mengisytiharkan tahun 2021 sebagai tahun pertanian negeri Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kursus Pertanian Bandar yang dianjurkan oleh NGO Muafakat Sejahtera bersama Pejabat Pertanian Negeri di Pertanian Bandar, baru-baru ini. Menurutnya, dari segi komersial sebagai sumber pendapatan, manakala secara sara diri bagi menggalakkan makanan berkhasiat dari rumah serta mengelakkan makanan yang menggunakan bahan kimia dan membahayakan kesihatan. "Apa yang kita mahukan hasil daripada kursus ini adalah kesedaran dalam kalangan peserta mempraktikkan ilmu yang diperoleh dengan mulakan bercucuk tanam di rumah contohnya dengan kaedah teknologi moden tanpa memerlukan tanah yang luas. "Dalam pertanian kita hanya perlu memahami dari segi teknologinya seterusnya manfaatkan barang yang ada di seliling  rumah untuk bercucuk tanam," tambah Yahaya.
19 Jul 20
287
PKM Manir Agih RM15,000 Sumbangan Persiapan Buka Sekolah
PKM Manir Agih RM15,000 Sumbangan Persiapan Buka Sekolah
Oleh: Ahmad Mawardi KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Manir mengagihkan sumbangan kewangan berjumlah kira-kira RM15,000 kepada 29 buah badan pendidikan bagi persiapan pembukaan sekolah. ADUN Manir, Hilmi Harun berkata, sumbangan tersebut bagi membantu persiapan semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa untuk pembukaan semula sekolah secara berperingkat setelah hampir empat bulan terhenti akibat COVID-19. Beliau berharap agar pihak sekolah tegas dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). "Cuma suasana yang akan dilalui adalah berbeza sebab selama ini sekolah ditutup dan akan dibuka semula. Mereka hanya perlu masa untuk membiasakan diri dengan norma baharu ini, sama seperti sektor-sektor lain," jelasnya ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini. Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Manir, Mohd Harun Esa mewakili beliau menyampaikan sumbangan kepada semua sekolah. Pihaknya mengharapkan komitmen daripada guru, pelajar dan ibu bapa bagi memastikan COVID-19 tidak menular di sekolah dan bersama mendoakan agar Malaysia khususnya dapat bebas daripada wabak itu. Badan pendidikan tersebut terdiri daripada sebuah kolej, sebuah sekolah menengah, tujuh buah sekolah rendah, 20 buah prasekolah termasuk Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Tadika Permata.
19 Jul 20
491
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Pencegahan berterusan terhadap aktiviti kurang sopan di kawasan-kawasan tumpuan mendatangkan kesan positif berikutan tiada tangkapan dibuat dalam operasi di Drawbridge semalam. Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, perubahan baik yang berlaku itu memberi isyarat bahawa orang ramai mula sedar tentang kesalahan jenayah syariah. "Walau bagaimanapun, operasi dan pemantauan secara berterusan akan sentiasa dilakukan bagi membendung aktiviti tidak bermoral di sini. "Sekali gus menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menyifarkan aktiviti tidak sihat dalam masyarakat," tambahnya lagi. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melakukan operasi yang dibuat di perkarangan Drawbridge, semalam. Dalam operasi berkenaan, Skuad Amar Wanita turut digerakkan bagi membantu pemantauan. Menurutnya, pendedahan skuad Amar Wanita adalah sebagai pendekatan dakwah kepada kaum ibu terutamanya berkaitan penutupan aurat dengan sempurna mengikut tatacara Islam yang sebenar. "Langkah ini juga untuk menyambut seruan kempen indahnya hidup bersyariat yang sedang berjalan dalam negeri," ujarnya. Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Amar, Pegawai Penguatkuasa Syariah dan sukarelawan Syariah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus terlibat dalam operasi berkenaan. Operasi yang bermula sekitar jam 8 malam sehingga 1.00 pagi itu merupakan operasi kali kedua yang dijalankan di sekitar Drawbridge.
17 Jul 20
5609
EPIC Cakna & Prihatin Bantu Keluarga Miskin Secara Bersiri
EPIC Cakna & Prihatin Bantu Keluarga Miskin Secara Bersiri
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) dalam siri demi siri yang dilaksanakan melalui program EPIC Cakna & Prihatin 2020 untuk membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan di kawasan-kawasan tertumpu di Terengganu. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Saabi Wahab berkata, program tersebut merupakan program tahunan dan siri kali ini mendapat kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Sabasun Hyperuncit dan Syarikat Air Terengganu (SATU). Saabi Wahab. "Program ini merupakan aktiviti tahunan EPIC Berhad. Untuk tahun ini kita merancang empat siri, jadi akan ada tiga siri lagi sehingga Disember ini berdasarkan keperluan dan maklumat yang disalurkan. "Yang terdekat dalam jangka masa dua bulan lagi, insya-Allah kita target sama ada di kawasan Hulu Terengganu atau Besut. Hari ini kita agihkan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM350 dan barangan keperluan kepada 20 keluarga miskin bandar di kawasan Kuala Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas program berkenaan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu di sini hari ini. Tambah Saabi, Kumpulan EPIC Berhad memperuntukkan bajet untuk program CSR sebanyak kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap siri dan kawasan demi membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan. Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed berterima kasih kepada EPIC atas usaha tersebut yang diserikan lagi dengan kehadiran isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman. "Alhamdulillah program pada hari ini sangat berjaya di mana 10 tempat telah dilawati sementara 10 lagi keluarga menerima bantuan di dewan ini. Bagi pihak DUN Bandar, kami sangat berterima kasih di atas penganjuran program ini yang sangat baik dan patut diteruskan. "Walaupun kita berada dalam kawasan bandar, hakikatnya rakyat yang susah bilangannya masih besar. Bagaimanapun, program yang dibuat adalah menjurus kepada usaha menaik taraf kehidupan rakyat di sini di samping bantuan berterusan daripada kerajaan negeri. "Kami amat bertuah EPIC dapat turun ke DUN Bandar hari ini bersama isteri Menteri Besar. Ianya sudah tentulah merupakan satu penghormatan buat kami," ujarnya. Turut hadir, isterinya, Norizah Ngah, ADUN Wanita, Zuraida Md Noor, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengurus Perancangan Strategik Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, Abdul Basir Embong.
15 Jul 20
1422
Ajal Ketika Mencandat Sotong
Ajal Ketika Mencandat Sotong
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Seorang nelayan orang kelainan upaya (oku) di Pantai Batu Buruk di sini ditemui meninggal dunia di atas bot miliknya selepas dipercayai keluar mencandat sotong kelmarin. Mayat Ahmad Saufie Mohamed, 34 tahun, ditemui adiknya kira-kira jam 5.10 petang semalam sekitar jarak lima batu nautika dari kawasan darat. Rakan mangsa, Mohd Sahid Said berkata, sekitar pukul 6 petang pada Ahad, dia bersama mangsa serta seorang lagi rakan menaiki bot berasingan untuk mencandat sotong dan berlabuh berdekatan antara satu sama lain. “Kemudian sebelum bergerak untuk pulang, kami menghampiri bot Ahmad Saufie dan cuba mengejutkan mangsa yang kami sangka sedang tidur, namun tiada respon balas. “Semalam, dalam pukul 1 pagi, terjadi hujan lebat dan angin kencang. Lebih kurang pukul 4 pagi, lampu generator candat sotong mati. Kemudiannya, dalam 10 minit selepas itu, ia hidup balik. “Dua kali perkara itu berlaku dan kami pergi untuk kejutkan dia, tak bangun, kami pun tinggalkan dia kerana menyangka dia tidur seperti biasa macam sebelum-sebelum ini,” kata Mohd Sahid. Kata Mohd Sahid lagi, kebiasaannya selesai mencandat mereka akan berjumpa di pengkalan selepas waktu Subuh, namun sehingga petang semalam mangsa masih tidak pulang. Sementara itu, pagi semalam, adik mangsa yang turut keluar menangkap ikan sekitar jam 11 pagi mengesan bot abangnya sedang berlabuh namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka abangnya sedang tidur. Walau bagaimanapun, sekitar jam 5 petang, adik mangsa mendapat panggilan telefon daripada ahli keluarga memaklumkan Ahmad Saufie masih belum pulang, dia bergegas kembali ke bot milik abangnya dan mendapati mangsa telah meninggal dunia. Kejadian tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Astro Awani. “Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambah Abdul Rahim.  
15 Jul 20
355