lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi
Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi
  SETIU, 4 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menampilkan kelainan pada ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini dengan menyembelih lapan ekor lembu jenis Charolais, Belgian Blue dan Limousine semalam. Apa yang menarik, haiwan korban atau digelar lembu sado itu mempunyai saiz yang besar dengan berat keseluruhan kira-kira 3.2 tan. Dr Azman berkata, ia merupakan program korban yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dengan melibatkan skala besar. "Di hari Tasyriq yang terakhir, program Korban Perdana DUN Jabi disempurnakan dengan penyembelihan lapan ekor lembu sado baka bernilai kira-kira RM100,000. "Ia mencukupi untuk dipastikan daging korban ini sampai ke setiap 6,000 buah rumah dalam DUN Jabi, kuantiti daging yang mampu kita agihkan ke setiap rumah tidaklah banyak. Tapi bolehlah sama-sama merasa keenakkan daging lembu sado," katanya. Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Korban Perdana peringkat DUN Jabi di Dataran Pekan Jabi, di sini. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas yang bertungkus-lumus bermula daripada awal persiapan, proses penyembelihan serta pengagihan ke setiap rumah penduduk. "Kunci kejayaan program yang paling utama ialah semangat kerjasama para petugas dari Pusat Khidmat ADUN Jabi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Amal, Jabatan Keselamatan, Pemuda, Muslimat, Ameerah dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu," tambah beliau.
04 Aug 20
1269
Gara-Gara Lelaki Berbasikal, Mok Nah Dah Popular
Gara-Gara Lelaki Berbasikal, Mok Nah Dah Popular
  Oleh : Adli Mohamad HULU TERENGGANU, 3 Ogos- Fatimah Jusoh, 71,  atau lebih mesra dikenali sebagai 'Mok Nah' dari Kampung Matang tidak menyangka dirinya tular di media sosial, gara-gara  lelaki berbasikal dari Kuala Lumpur yang singgah di kediamannya. Mok Nah berkata, layanan baik terhadap tetamu merupakan kebiasaan pada dirinya termasuklah kepada lelaki datang dari Kuala Lumpur tersebut.  "Tidak perlu nak dihebohkan, kalau boleh biarlah tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Lagi pula Mok Nah lihat lelaki itu tercegat di hadapan kedai dalam kepenatan. Masa nak bayar tu Mok Nah bergurau dengan dia, Mok Nah kata raya-raya ni mana ada kedai, tak bagitau hal sebenar bahawa kediaman itu juga merupakan kedai sebenarnya. "Mok Nah terkejut apabila dimaklumkan oleh anak dan cucu bahawa seluruh Malaysia dah tahu mengenai perkara ini. Kebetulan ketika lelaki itu datang, dia dijamu dengan Nasi Dagang. Kalau hari biasa memang Mok Nah berjualan Nasi Minyak, Nasi Kerabu, Nasi Dagang, dan Nasi Lemak," ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Kampung Matang, hari ini.  Katanya, kerana peristiwa yang ditularkan Mohd Karbi Mominin, 51, dari Kuala Lumpur itu yang berbasikal seorang diri ke Kuala Berang, dia menerima panggilan tidak henti-henti sejak hari itu.  "Semalam sahaja lebih dari 13 panggilan yang diterima, dan ada juga dari wartawan-wartawan, tapi Mok Nah tidak selesa menjadi hebahan,"jelasnya. Mengulas mengenai lelaki berkenaan, katanya pada hari tersebut, lelaki berkenaan kelihatan agak penat.  "Berhenti di depan rumah, dia kata payah nak temui kedai makan, jadi jemputlah dia makan, suka sangat dia makan Nasi Dagang dari Terengganu, tambah pula saya bercakap didalam 'loghat' Terengganu lagi dia suka, ketika hendak balik saya hendak bagi dia makanan sebagai bekalan takut lapar tengah jalan. "Dia kata sukar hendak bawa bekal makanan kerana dia hanya berbasikal. Sebelum balik sempat dia ambil gambar saya, saya kata pada dia buat apa hendak ambil gambar orang tua ni, tak sangka untuk dihebahkan di media sosial menceritakan pengalamannya," ujarnya. Terdahulu, Mohd Karbi telah memuatnaik status di facebook miliknya tentang kejadian tersebut  selepas singgah di rumah yang disangkakan kedai  selepas melakukan kayuhan 70 km, dari Tasik Kenyir setelah kepenatan dan ingin mendapatkan makanan.  
03 Aug 20
23768
Mesin ATM Anak Ikan Beri Manfaat kepada Lebih 10,000 Penduduk
Mesin ATM Anak Ikan Beri Manfaat kepada Lebih 10,000 Penduduk
Oleh : Muhammad A Rahman SETIU, 29 Julai – Kewujudan Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Stesen Minyak Petron Kampung Anak Ikan bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk di sekitar kawasan terbabit. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, rata-rata rakyat di kawasan terbabit melahirkan rasa lega apabila tidak perlu lagi bergerak sejauh 15 hingga 20 kilometer untuk melakukan transaksi harian. “Sebelum ini penduduk dari kampung-kampung sekitar seperti dari Kampung Bintang, Felda Selasih, Kampung Anak Ikan dan Kampung Tok Dor terpaksa ke Pekan Jabi. “Saya berterima kasih atas kesabaran penduduk setempat yang sudah terlalu lama menanti kehadiran sebuat mesin ATM di kawasan ini,” katanya selepas merasmikan mesin ATM Bank Simpanan Nasional di sini kelmarin. Menurut beliau lagi, kesukaran yang dihadapi rakyat itu sering diadu kepadanya dalam setiap pertemuan. “Alhamdulillah, hari ini masalah itu dapat diselesaikan dengan baik, semoga orang ramai dapat memanfaatkan mesin ATM ini,” tambahnya.
29 Jul 20
970
110 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
110 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 29 Julai - Seramai 110 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang cemerlang bidang akademik juga agama tahun lalu menerima anugerah kecemerlangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata ia selari dengan kehendak kerajaan negeri yang mengutamakan modal insan seperti pelajar cemerlang dan sangat komited untuk membantu meningkatkan akademik pelajar yang mempunyai pelbagai potensi untuk diketengahkan. “Agama Islam sentiasa memuliakan dan meninggikan kedudukan orang yang berilmu dan ilmu merupakan anugerah Allah SWT yang  sangat bernilai bahkan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. “Bertambah beruntung andai kita menjalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT," katanya.  Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Anugerah Kecemerlangan di Dewan Utama Dato' Tuan Guru Harun Taib, Kompleks Al-Kawthar kampung Kubang Lembek. Turut hadir Penyelia i-MiTs Manir, Ustaz Mohd Harun Esa, Penghulu Mukim Belara, Mazlan Ismail, Penghulu Mukim Lot Manir, Khairul Shahril Othman dan Guru-guru sekolah dalam DUN Manir. Sementara itu, pelajar-pelajar yang diraikan kali ini merupakan mereka yang berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syahadah Thanawi , Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz 30 juzuk.
29 Jul 20
892
Kanser Hati Hantui Keluarga Mad Nah
Kanser Hati Hantui Keluarga Mad Nah
Oleh: Mohd Haniff Abas KUALA NERUS, 28 Julai - Mohammed Muhammed Min atau lebih dikenali sebagai Mad Nah, terpaksa redha dengan ketentuan Ilahi apabila kehilangan dua orang tersayang dalam tempoh dua bulan yang lepas kerana kanser hati. Kehilangan pertama dirasai apabila isterinya, Minah Salleh, 60, yang pada mulanya hanya menghidap sakit batu karang dalam hempedu, meninggal dunia pada Mei lalu setelah diketahui menghidap kanser hati tahap tiga melalui ujian darah yang dilakukan. “Pada mulanya arwah hanya buat rawatan laser untuk buang batu karang dalam hempedu sebanyak tiga kali pada akhir tahun lepas, namun kesihatannya mula merosot selepas itu. Kakinya bengkak dan matanya kekuningan. “Kesihatannya makin merosot selepas seminggu dimasukkan ke hospital. Bila ujian darah dan x-ray dilakukan, barulah diketahui arwah menghidap kanser hati tahap tiga," ujar beliau. Menurutnya, arwah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir genap sepuluh hari selepas diketahui menghidap penyakit berkenaan. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, keadaan yang sama pula menimpa anaknya, Mohd Hasrulhisham Mohammed, 34, yang turut menghidap batu karang dalam hempedu. Hasrulhisham turut mengalami gejala yang sama iaitu bengkak kaki dan mata kekuningan, genap sebulan selepas pemergian ibunya. "Selepas diketahui menghidap kanser tahap tiga seperti arwah ibunya, kami juga ikhtiar anak saya berubat cara kampung. "Alhamdulillah nampak sedikit perkembangan positif selepas berubat, tapi tidak lama. Kesihatannya juga merosot dan akhirnya meninggal pada minggu lepas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika diziarahi oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Ridzuan Hashim di rumahnya di Kampung Tetambah, baru-baru ini. Mad Nah telah disaran oleh pihak hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan berikutan kehilangan dua orang ahli keluarga atas sebab yang sama.. Mengulas tentang keadaan Mad Nah, kata Ridzuan, beliau bersimpati di atas nasib yang menimpa. "Besar ujiannya kehilangan dua orang ahli keluarga dalam masa yang singkat. Semoga Mad sekeluarga dapat menjalani hidup dengan penuh tabah, diiringi kesejahteraan serta sentiasa mendapat redha Ilahi," ujarnya pada akhir pertemuan.
28 Jul 20
409
Terima Kasih IPD Kemaman
Terima Kasih IPD Kemaman
Oleh: Alfian Mamad KEMAMAN, 27 Julai - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh berterima kasih kepada semua kakitangan dan pegawai Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kemaman di atas kejayaan membenteras beberapa siri jenayah dan perjudian di kawasan DUN Kijal. "Kami ucapkan syabas dan setinggi tahniah kepada pihak Polis Kemaman di atas usaha berserta komitmen tinggi yang telah ditunjukkan dalam membanteras jenayah di daerah Kemaman ini terutama di DUN Kijal. "Setelah sekian lama sindiket dadah, aktiviti judi ekor dan sabung ayam ini bergerak aktif di Kijal, alhamdulillah akhirnya mereka tumpas juga," ujarnya pada Majlis Keraian Bersama Ketua Polis Kemaman di Resort World Kijal di sini baru-baru ini. Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abd Hamid yang bergegas pulang dari sidang Dewan Rakyat di ibu negara untuk menghadiri majlis tersebut turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan itu. "Saya ucapkan tahniah kepada pasukan Polis Kemaman kerana telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan begitu baik walaupun terpaksa menghadapi risiko dan pelbagai cabaran. "Alhamdulillah dengan kerjasama yang mantap ini akan terus membuahkan kejayaan pada masa akan datang dan saya yakin dan percaya Allah akan berikan kelapangan, kesenangan dan kekuatan kepada anda semua," katanya. Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Abd. Rahman dan Ahli Majlis Perbandaran Kemaman. Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan merasa terharu dan berbangga kerana usaha pasukan beliau dihargai oleh pemimpin masyarakat setempat. "Kami akan lakukan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaik mungkin dan ianya tidak akan terhenti di sini. Kami berpegang pada perlembagaan negara, kedaulatan undang-undang serta amar makruf nahi mungkar. "Jika kita letih kerana kebaikan, maka sesunguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan akan kekal. Namun jika kita bersenang-senang dengan dosa, maka sesungguhnya kesenangan itu akan hilang dan dosa itu akan kekal," tambahnya lagi.
27 Jul 20
609
Kerjasama Bernama Radio, ManisFM Bakal Mantapkan Usahawan Bumiputera
Kerjasama Bernama Radio, ManisFM Bakal Mantapkan Usahawan Bumiputera
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menyarankan ManisFM menjalinkan kerjasama dengan Bernama Radio bagi memantapkan lagi rancangan-rancangan berkaitan perniagaan dan keusahawanan bumiputera terbitannya.
27 Jul 20
72
Kerajaan Peruntuk RM270,000 Laksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak
Kerajaan Peruntuk RM270,000 Laksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menghargai inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan bajet sebanyak RM270,000 bagi pelaksanaan 9 siri kursus asuhan awal kanak-kanak. Wan Mohd Zaki Wan Abdullah. Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, pelaksanaan kursus tersebut adalah bertujuan untuk menyediakan pengasuh-pengasuh yang berkelayakan dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak secara atas talian (online) terutama di musim penularan COVID-19. "Kerajaan negeri berterima kasih kepada JKM Negeri dan Malaysia yang memberi kepercayaan dan amanah kepada YPKT sebagai pusat akreaditasi dan pelaksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) secara online. "Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP merupakan kursus wajib di bawah Akta TASKA 1984 dan peraturan-peraturan TASKA 2012, di mana ia memberi penekanan kepada enam bidang perkembangan utama kanak-kanak di bawah umur empat tahun. "Modul tersebut diubah suai dan ditambah baik bersesuaian dengan kaedah terkini untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Objektif utama KAP adalah bagi meningkatkan kualiti pengasuhan kanak-kanak serta meningkatkan profesionalisme para pengasuh," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP Secara Atas Talian (Online) Melalui Program Insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Dewan Utama YPKT di sini hari ini. Simulasi kursus secara online. Seramai 10 orang peserta dari semua kawasan mendapat pentauliahan sebagai jurulatih dalam majlis tersebut. Turut diadakan simulasi kursus secara online dengan disaksikan oleh Wan Mohd Zaki. Hadir sama, wakil Pengarah JKM Negeri, Nurul Shahida Md Salleh, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Md Hilman Abd Rashid, wakil Pengarah Kesihatan Negeri, Azlina Ngah, Penolong Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Saiful Bahri Ramli dan wakil Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu, Maryana Jusoh. Sehingga akhir tahun ini, dijangka seramai 300 orang peserta akan menyertai enam siri kursus secara online yang akan diadakan selama tiga bulan bermula 3 Ogos ini dan berakhir awal November nanti. Zalina Mohd. Sementara itu, menurut jurulatih kursus, Zalina Mohd, 52, pengasuh yang berkelayakan sangat digalakkan mengikuti kursus tersebut yang memberi pendedahan mendidik untuk meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak. "Ia sekali gus membantu perkembangan anak-anak sekali gus menyumbang pembentukan modal insan mereka," ujarnya. 
27 Jul 20
1140
Pekebun Berkelompok Terima Bantuan Alatan Pertanian
Pekebun Berkelompok Terima Bantuan Alatan Pertanian
Oleh: Mohd Haniff Abas KUALA NERUS, 27 Julai - Seramai lapan pekebun berkelompok menerima bantuan alatan pertanian berupa kereta sorong dan juga pam penyembur racun, hasil sumbangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Buluh Gading, baru-baru ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan kepada mereka atas inisiatif yang disifatkannya sebagai sesuatu yang hebat. “Syabas dan tahniah kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Sabtu kerana mengambil inisiatif yang hebat ini, menukarkan kawasan semak samun kepada kebun tanaman pisang. “Ianya bukan suatu yang mudah memandangkan kawasan yang diusahakan sangat luas iaitu kira-kira lapan ekar, dan setiap pekebun mengusahan satu ekar seorang," ujar beliau lagi. Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penyampaian alatan bantuan berkenaan di kawasan kebun pisang yang diusahakan di Kampung Tanjung Sabtu. Ridzuan turut mengharapkan agar warga belia khususnya melibatkan diri dalam bidang pertanian sebegini agar dapat mengurangkan pergantungan kepada warga asing di samping dapat menambahkan pendapatan seharian. “Semoga usaha begini dapat diikuti dan menjadi contoh kepada MPKK lain agar dapat memanfaatkan tanah terbiar sekali gus menambahkan pendapatan," katanya.
27 Jul 20
1415
Raya Dengan Rumah Baru
Raya Dengan Rumah Baru
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Seramai 18 rakyat Terengganu bersyukur dan teruja dapat meraikan Aidiladha yang bakal menjelang dengan rezeki berganda selepas menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) secara rasmi daripada kerajaan negeri, semalam. Seorang penerima, Zaini Harun, 37, dari Teluk Kalong, menyifatkan rezeki tersebut sebagai hadiah yang tidak ternilai baginya kerana impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai. "Saya terlalu gembira pada hari ini. Tak sangka impian saya dan suami akhirnya menjadi kenyataan," ujarnya ceria. Penyerahan kunci itu sekali gus menamatkan penantiannya yang telah memohon selama 14 tahun. Zaini dan suami, Muhammad Zakri Zakaria, 37, sebelum ini pernah menumpang rumah orang tuanya dan turut menyewa beberapa buah rumah. Che Nor Haslida Deraman (kanan). Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Perumahan Rumah Kos Rendah (RKR) PMINT, Che Nor Haslida Deraman menjelaskan, majlis pengundian lot dan penyerahan kunci RMM kepada 18 penerima itu membabitkan lima kawasan. "Ia termasuk projek perumahan di kawasan RMM Perasing Jaya (3), RMM Teluk Kalong (4), RMM Batu 7 (3), RMM Paya Lawas (5) dan RMM Bukit Gasing (3)," katanya ketika ditemui pemberita di PMINT, semalam. Ahmad Waliyuddin Johari (dua dari kiri) menyampaikan kunci rumah kepada penerima dari DUN Bukit Besi. Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ahmad Waliyuddin Johari yang mewakili Pegawai Penyelarasnya, Haji Ghazali Sulaiman. Mengulas lanjut, katanya, majlis itu adalah inisiatif kerajaan negeri melalui PMINT untuk memudahkan penerima yang diluluskan mendapatkan kunci rumah secepatnya sebelum hari raya. "Hari ini hanya majlis ringkas melalui PMINT sebagai pemudah cara kepada 18 penerima ini. Ia disebabkan yang terlibat hanya sebahagian kecil di beberapa kawasan. Sekurangnya mereka dapat menarik nafas lega sebelum Aidiladha. "Mereka boleh pergi terus ke rumah hari ini. Isikan borang kerosakan jika ada dan laporkan dalam tempoh seminggu," tambahnya.    
24 Jul 20
5116