Artikel "Komuniti" Terkini
Terengganu Tubuh Urus Setia Wanita
Jawatankuasa Urus Setia Wanita Terengganu secara rasmi ditubuhkan oleh kerajaan negeri melalui portfolio Pembangunan Wanita & Keluarga bagi menjaga kedudukan golongan berkenaan seiring dengan hasrat dan kehendak rakyat.
10 Aug 20
339
Semarakkan Rasa Sayang Dan Cinta Kepada Negara
KEMAMAN, 10 Ogos - Setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan politik perlu mengambil peluang untuk membuktikan rasa sayang dan cinta kepada negara melalui sambutan bulan kemerdekaan dan kempen jalur gemilang bagi memperingati tarikh bersejarah 31 Ogos.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menyeru rakyat Terengganu khususnya di kawasannya agar mengibarkan jalur gemilang di premis dan rumah masing-masing bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri.
"Kibarkanlah jalur gemilang yang menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia. Zahirkan patriotisme yang tinggi dalam jiwa dan semoga kita dapat mengukuhkan lagi jati diri serta memupuk semangat cintakan negara secara konsisten untuk dicontohi oleh generasi akan datang.
"Musuh kita sekarang bukan hanya semata-mata dalam medan perang, tetapi melalui tipu muslihat dan peperangan minda dalam media dan sebagainya," ujarnya ketika merasmikan Program Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Cukai, semalam.
Katanya lagi, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri melalui MPKK untuk memastikan rakyat generasi hari ini memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan.
"Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang diperoleh menjadi rapuh," ujarnya.
Dalam majlis tersebut, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menyerahkan sebanyak 3,000 batang jalur gemilang kepada 30 MPKK DUN Cukai untuk dipasang di kawasan kampung masing-masing.
10 Aug 20
429
Pupuk Kesedaran Jauhi Dadah Seawal Usia
HULU TERENGGANU, 11 Ogos - Setiap rakyat seharusnya memupuk kesedaran menjauhi dadah seawal usia serta bermula dengan pendidikan di rumah dan juga sekolah rendah.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Hulu Terengganu, Maliaman Kassim berkata, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan lebih banyak program penerangan jauhi dadah.
"Kita merancang untuk mengadakan lebih banyak program penerangan jauhi dadah kerana kita mahu kanak-kanak seawal usia di sekolah rendah mendapat pendedahan terutama berkaitan masalah dadah.
"Kita khuatir anak-anak kita akan terjebak kerana kurangnya pendedahan dan ia pasti akan mempengaruhi prestasi pelajaran mereka.
"Kesibukan ibu bapa bekerja menjadi antara punca pelajar terjebak dengan penagihan dadah.
“Ibu bapa ketika ini sibuk bekerja dan tumpuan sepenuhnya tidak dapat diberikan kepada anak-anak. Apa yang berlaku anak-anak ini cuba mencari tumpuan di luar, selain menggunakan platform media sosial dan terjebak dalam perkara negatif," ulasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Integrasi Masyarakat : Gotong-Royong Bersama Dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Terengganu di Kampung Menerong di sini baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, kurangnya perhatian ibu bapa juga mendorong pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti tidak sihat.
"Ibu bapa orang yang paling dekat serta perlu berperanan dalam pembentukan peribadi dan sahsiah anak-anak.
"Kita bimbang jika berlaku kemungkinan di rumah anak-anak kelihatan berbeza dan ibu bapa tidak perasan anak mereka terlibat dengan dadah.
"Maka timbul kerisauan dalam kalangan semua pihak apabila realiti yang berlaku adalah mereka yang terlibat dengan dadah bermula dari peringkat umur yang terlalu muda.
"Justeru kita perlu berusaha mencegah masalah ini dari awal lagi. Besar harapan saya agar ibu bapa meluangkan banyak masa cuti hujung minggu bersama anak yang dahagakan belaian kasih sayang," ujarnya.
Untuk rekod, antara punca penagihan dadah termasuk disebabkan pengaruh rakan sebaya manakala selebihnya akibat keinginan untuk mencuba, tekanan hidup, kurang pengawasan dan disiplin diri tidak kukuh.
08 Aug 20
226
Ibu Bapa Mainkan Peranan Penting Untuk Kemenjadian Pelajar
HULU TERENGGANU, 5 Ogos - Ibu bapa diharap dapat memainkan peranan dalam terus membantu pihak sekolah melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim berkata, beliau yakin menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa akan membantu kemenjadian murid dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah.
“Ibu bapa merupakan tulang belakang di samping guru untuk memastikan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang yang mereka hadapi iaitu akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Kerjasama ibu bapa juga sangat penting dalam memastikan kejayaan pendidikan di negeri ini.
"PIBG hendaklah sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan kelancaran pendidikan di sekolah berlangsung dengan baik.
“Saya juga mahu murid memiliki nilai-nilai yang murni seperti hormat menghormati, kasih sayang dan berhati mulia, murid yang dididik secara holistik dalam pengurusan sekolah yang cekap berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Felda Jerangau Barat, hari ini.
Tambah beliau lagi, kemenjadian murid itu adalah 'outcome' atau rupa bentuk insan yang mahu dihasilkan daripada usaha dalam mendidik sama ada ia benar-benar terjadi dengan sempurna, kurang sempurna atau tidak menjadi langsung.
Katanya, rupa bentuk insan yang diperlukan itu telah digaris secara sempurna dalam Falsafah Pendidikan
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
"Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara," ujarnya.
05 Aug 20
2111
Malaysia Sedia Beli Vaksin Dari China, Russia Atau UK
Oleh: Ahmad Luqman
KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Malaysia bersedia membeli vaksin COVID-19 dari mana-mana negara yang berjaya membangunkan rawatan itu terlebih dahulu termasuk dari China, Russia dan United Kingdom.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembelian vaksin akan dilakukan secara pukal dengan proses pembotolannya dibuat di dalam negara sebaik sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menentukan vaksin yang mana akan diguna pakai.
"Setakat ini, kementerian melalui perbincangan dengan pelbagai negara, antara lain terbabit dalam Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) yang mana membolehkan kementerian berhubung rapat dengan kajian dijalankan pelbagai pihak dalam mendapatkan vaksin yang sedang dibangunkan.
"Ia membolehkan sekiranya ada mana-mana negara yang mencapai tahap fasa tiga iaitu kajian klinikal selesai dan mendapat kelulusan, serta KKM menentukan yang mana vaksin diterima untuk dipakai di Malaysia, kita akan beli secara pukal dengan proses pembotolan dilakukan di dalam negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam berhubung soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) sama ada pihak kementerian ada membuat kerjasama strategik dengan negara di rantau ASEAN untuk mendapatkan vaksin mampu milik di negara ini.
Ahmad Amzad berkata, kementerian melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi membantu negara ketika berdepan cabaran COVID-19.
Katanya, melalui NTIS ia berperanan sebagai satu platform yang membolehkan syarikat permulaan (start-up), Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan usahawan berteknologi tinggi menguji produk dan perkhidmatan mereka dalam persekitaran yang sebenar.
"Selain itu, agensi di bawah kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memasang lapan unit 'COVID-19 screening booths' menggunakan teknologi 'nano-coating' nyah-kuman di beberapa hospital dan pusat kesihatan daerah (PPD).
"Kita juga menyelaras makmal diagnostik saringan dan pengesahan COVID-19 untuk meningkatkan kapasiti makmal yang terbabit dalam pengesanan virus ini. Sebanyak 10 makmal diagnostik bergerak aktif menjalankan ujian saringan COVID-19 sejak 30 Mac lalu," katanya.
Beliau berkata, kerjasama strategik dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu KKM melalui Pasukan Khas Saringan COVID-19 yang terdiri daripada saintis pakar dalam bidang virologi, mikrobiologi, biologi molekul dan penyakit berjangkit turut dilaksanakan untuk menjalankan saringan COVID-19.
"Juga kerjasama dengan rakan strategik dalam pembangunan beberapa penyelesaian digital untuk kerajaan, contohnya Pusat Maklumat COVID-19 Malaysia (MyC19) bagi penjejakan kontak dan analisis sentimen melalui sistem analisis teks berasaskan kecerdasan buatan (AI)," jelasnya.
SUMBER: BERITA HARIAN
05 Aug 20
588
Hanafiah Agih 2,500 Daging Korban Untuk Penduduk Cukai
KEMAMAN, 5 Ogos - Sebanyak 2,500 bungkusan daging korban telah diagihkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat di kawasannya sempena program Qurban Perdana DUN Cukai.
Setiap bungkusan daging seberat 850 gram dengan empat ekor lembu sado dan dua ekor kerbau dikorbankan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui kesemua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Cukai.
Menurut Hanafiah, besar harapan dan cita-cita Kerajaan Negeri Terengganu agar golongan fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) dapat merasai kenikmatan daging korban sempena hadirnya Aidiladha.
"Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program pada hari ini. Semoga ibadah korban yang disunatkan ke atas diri kita ini diterima oleh Allah SWT," katanya lagi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata demikian pada program tersebut di kawasan sembelihan lembu di Teluk Kalong, baru-baru ini.
04 Aug 20
760
Hasrat Kahwin Tetap Diteruskan Walaupun Cedera
DUNGUN, 4 Ogos - Kecederaan serius pada pergelangan kaki dihadapi seorang pemuda dari Kampung Kuala Jengai tidak menghalang semangat dan rancangannya untuk berkahwin.
Ismalizan Salim, 33,berkata, keluarga bakal pasangannya dari Kedah juga sudah mengaturkan segala persiapan.
"Walau macammana sekalipun ia mesti diteruskan. Insya-Allah kalau panjang umur perkahwinan itu akan dilangsungkan pada Oktober nanti. Kecederaan yang saya alami ini terjadi ketika di tempat kerja, yang mana saya bekerja di tempat pemasangan paip dan gas di salah sebuah syarikat di Ipoh Perak, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediaman orang tuanya di Kuala Jengai, baru-baru ini.
Mengimbas kembali apa yang dialami katanya, ianya cukup menguji kesabaran.
"Dimana apabila ditanya oleh doktor ketika menerima rawatan bagaimana tahap kesakitan yang dialami tidak terasa sangat, tapi apabila ditanya mengenai waris, itu membuatkan saya tidak tahan sehingga menitiskan air mata kerana berada berjauhan daripada keluarga.
"Kerana luka serius yang dialami itu saya diberikan cuti panjang, mungkin Oktober nanti sakit yang saya alami belum tentu sembuh, namun sedar ada hikmah di sebalik apa yang terjadi," katanya.
Ghazali berharap agar kecederaan yang dialami Ismalizan segera sembuh.
"Juga kita turut mendoakan agar perkahwinannya nanti dipermudahkan oleh Allah SWT, agar dapat menempuhi hari-hari bahagia dengan pasangannya dari Negeri Kedah. Perasaan saya sangat tersentuh apabila dimaklumkan mengenai dirinya akan berkahwin pada Oktober nanti, semoga Allah memberikannya kekuatan, insyaAllah," ujar Ghazali.
04 Aug 20
484
300 Fakir Miskin Terima Sumbangan Raya
KEMAMAN, 4 Ogos - Seramai 300 orang fakir miskin menerima bantuan hari raya sempena program Santuni Fakir Miskin & Mengambil Ibrah Aidiladha bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjatkan kesyukuran di atas kejayaan program itu yang diadakan, baru-baru ini.
Katanya, program itu diadakan bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi mereka yang sangat memerlukan dalam menyambut Hari Raya Aidiladha.
"Hari ini pula merupakan Hari Arafah, jadi saya mengambil peluang ini bagi mengadakan program yang boleh memberikan manfaat buat sebahagian rakyat yang memerlukan," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai program.
Dalam majlis tersebut, kesemua fakir miskin menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan dapur.
04 Aug 20
743
NGO Tidak Berorientasikan Keuntungan - Wan Sukairi
Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah organisasi yang ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam dan bukannya berorientasikan keuntungan.
04 Aug 20
189
DUN Batu Buruk Agih 2,000 Kilogram Daging Korban
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Sebanyak dua tan daging korban diagihkan dalam Program Korban Perdana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, sebanyak 12 ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan melalui setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
"Sebanyak 36 MPKK dalam DUN ini telah turun memberikan kerjasama dan mengambil bahagian dalam tugas-tugas membungkus daging korban untuk diagihkan.
"Sebanyak 100 beg daging disalurkan kepada setiap MPKK untuk diagihkan kepada masyarakat setempat," katanya kepada Urus Setia Darul Iman (UPDI), di lokasi program tahunan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk itu dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha.
Di samping itu jelasnya, semua petugas yang hadir telah mengikuti garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan.
04 Aug 20
175