Artikel "Komuniti" Terkini
Ameerah DUN Sura Sumbang Kit kebersihan Kepada PASTI
DUNGUN, 27 Ogos- Ameerah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menyerahkan sumbangan kit kebersihan percuma kepada anak-anak Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di DUN berkenaan sebagai tanda sayang dan usaha murni menangani penularan pandemik COVID-19.
Ketuanya, Khadijah Tahar berkata, pemberian terbabit adalah untuk memastikan pelajar dan guru PASTI sentiasa kekal bersih.
“Kita namakan ini sebagai ‘Projek Kami Sayang Sekolah’ dimana kami turun ke semua PASTI dalam DUN Sura dan agihkan kit kesihatan yang mengandungi pelitup muka, pensanitasi tangan dan pencuci tangan," ujarnya kepada pemberita selepas mengagihkah kit di beberapa PASTI, baru-baru ini.
Munurut Khadijah lagi, projek ini akan diteruskan lagi ke tadika dan sekolah-sekolah di DUN berkenaan
“InsyaAllah kami akan teruskan sumbangan ini ke tadika dan sekolah sekolah terpilih pada masa akan datang.
"Kami juga membuka peluang dan ruang kepada warga Dungun dan sesiapa sahaja untuk terus memberi sumbangan kepada kami untuk kami sampaikan kepada anak-anak diluar sana,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, bendera jalur gemilang turut diedar sempena bulan kemerdekaan dan hari merdeka yang akan tiba tidak lama lagi.
27 Aug 20
449
Kuala Kemaman: 37 Unjam dilabuhkan
Sebanyak 37 unit unjam dilabuhkan di Kuala Kemaman bagi menambahkan lagi hasil tangkapan ikan sekaligus berupaya membantu menyelesaikan kemiskinan nelayan pantai kawasan sekitar.
27 Aug 20
225
Pejabat Daerah Kemaman Anjur Kembara Merdeka
KEMAMAN, 26 Ogos - Pejabat Daerah Kemaman telah menganjurkan program Kembara Merdeka Kemaman sempena penyerahan jalur gemilang kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi seluruh daerahnya, semalam.
Pegawai Daerah Kemaman, Tuan Haji Mohamad A. Rahman @ Othman berkata, Penyerahan jalur gemilang pada kali ini melibatkan 125 MPKK.
"Tujuan Kembara Merdeka Kemaman diadakan untuk menyemarakkan sambutan kibaran jalur gemilang pada tahun ini," ujarnya.
Katanya lagi, ia selari dengan sambutan kemerdekaan pada tahun ini yang bertemakan "Malaysia Prihatin".
"Malaysia Prihatin membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat samada pihak kerajaan, pembangkang, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan ataupun individu.
Malaysia Prihatin juga membawa pengertian keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia melalui inisiatif Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelansungan hidup rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kepada hadirin di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai.
Program tersebut telah disertai oleh 67 orang peserta konvoi motorsikal 250cc ke bawah melibatkan kakitangan Pejabat Daerah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Dalam program tersebut, rombongan kembara motosikal ini menuju ke empat destinasi iaitu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi daerah Kemaman. Ianya bermula dari Pejabat Daerah Kemaman menuju ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih. Seterusnya meneruskan perjalanan ke Dewan Orang Ramai, Kampung Baru Kertih Zon 1. Manakala meneruskan perjalanan ke Pejabat Pegawai Penyelaras DUN Kijal dan menamatkan kembara ke destinasi terakhir di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai.
Turut serta dalam kembara tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
26 Aug 20
1272
Terengganu Terus Komited Beri Lesen Motosikal Percuma
SETIU, 24 Ogos - Kerajaan negeri terus komited dalam meneruskan pemberian lesen motosikal percuma di bawah Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) kepada belia di negeri ini.
Pegawai Peyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kerajaan telah berjaya melaksanakan janji itu tidak sampai tiga tahun memerintah dengan memberi manfaat kepada 880 peserta bagi DUN berkenaan.
“Daripada jumlah itu, DUN Batu Rakit mencatatkan permohonan 570 permohonan di semua 42 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Bagi pemohon yang gagal untuk tahun ini, mereka boleh mohon lagi tahun depan dengan mengisi kembali borang, jika ada sebarang maklumat yang perlu diubah dan diperbaharui. Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang gagal pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) Tahun 2020 di Dewan Sivik Pantai Batu Rakit, di sini kelmarin.
Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera i-MiTs Batu Rakit, Mohd Pauzi Muda dan Inspektor Balai Polis Batu Rakit, Tuan Aizul Abdul Karim.
Jelas Mohd Shafizi, sebanyak 12 institut memandu telah terlibat bagi menjayakan program di seluruh Terengganu.
“Melalui pemberian lesen motosikal kepada belia ini, kita harap ia dapat mengurangkan gejala rempit, dengan pendedahan melalui taklimat-taklimat yang telah diatur sepanjang menjalani ujian untuk mendapatkan lesen, supaya golongan ini lebih peka akan bahaya-bahaya di jalan raya dan kesannya.
“Selain itu, kerajaan juga mahu mengurangkan beban keluarga yang sebelum ini terpaksa membayar RM300 untuk mendapatkan lesen berkenaan,” katanya.
25 Aug 20
597
Jangan Lupa Jasa Pejuang Kemerdekaan Terdahulu
KEMAMAN, 24 Ogos - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh menyeru kepada seluruh rakyat agar tidak melupakan pengorbanan pejuang terdahulu yang memerdekakan Malaysia.
"Kita jangan lupa pengorbanan nyawa dan darah yang telah dicurahkan oleh pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara kita yang tercinta ini.
"Antara mereka adalah Tuan Guru Haji Hasan Munas (Tok Janggut), Tuan Guru Haji Abd Rahman Limbong, Dato' Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Dol Said, Dato' Maharaja Lela dan lain lag.
"Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah sesuatu yang sukar, maka kitalah generasi yang mengisi kemerdekaan dan kita jangan lupa dan leka dengan anugerah ini," ujarnya dalam program Konvoi Merdeka anjuran Pejabat daerah Kemaman di Bukit Kuang kelmarin.
Ustaz Hazri (paling kanan) dan Mohamad A. Rahman (dua dari kanan)
Turut hadir dalam program tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A. Rahman, wakil Pejabat Penerangan Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Kemaman.
Dalam program berkenaan, pihak Pejabat Daerah Kemaman juga turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Kijal dalam usaha menyemarakkan suasana kemerdekaan di setiap kampung menjelang 31 Ogos nanti.
24 Aug 20
579
Penduduk Sangka Air Sungai Pueh Tercemar Angkara Kilang Sawit
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Dakwaan penduduk di sekitar Sungai Pueh yang menyangka sungai tersebut tercemar akibat operasi Kilang Sawit Vila Sutera, Bukit Kapah mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.
Dr Alias Razak.
Beliau turun sendiri ke kilang itu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu dan penguatkuasa bagi meninjau keadaan sebenar yang berlaku. Dakwaan itu turut mengaitkan pencemaran sungai mengakibatkan kematian ikan sangkar yang diternak oleh penduduk di sini.
Hasil tinjauan pihaknya mendapati tiada pencemaran air sungai yang berlaku seperti yang disangka. Daripada pemerhatian yang telah dilakukan serta dibantu dengan penerangan oleh pihak JAS dan pihak kilang, didapati air Sungai Pueh masih selamat untuk didiami hidupan.
"Hari ini kita melawat kilang sawit di Bukit Kapah kerana beberapa kali kita terima aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini mengatakan air Sungai Pueh tercemar kerana operasi kilang dan disyaki air itu menyebabkan ikan dalam sangkar yang diternak mati.
"Bagaimanapun itu hanya sangkaan orang kampung, JAS yang mengambil perhatian isu ini telah beberapa kali turun dan mengambil sampel air sungai ini. Setelah mendapat taklimat, siasatan telah dibuat dan tinjauan ke lokasi mendapati air Sungai Pueh memenuhi kriteria JAS.
"Kita juga telah melakukan penilaian oksigen dan sebagainya, hasil pemeriksaan tersebut mendapati bahawa pelepasan efluen terolah ke dalam alur air (Sungai Pueh) adalah mematuhi had piawai yang telah ditetapkan oleh pihak JAS sekalipun warna air yang dilepaskan daripada takat pelepasan akhir sistem pengolahan efluen berwarna agak gelap.
"Dapat disimpulkan bahawa dengan cuaca panas dan kering pada masa sekarang menyebabkan air sungai menjadi cetek dan warna air sungai kesan dari pelepasan efluen terolah kilang sawit berkenaan adalah tampak ketara gelapnya.
"Justeru bagi pihak kerajaan negeri, saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengadu dan pihak JAS Terengganu atas tindakan pantas yang diambil," jelasnya kepada pemberita selepas tinjauannya ke lokasi di sini baru-baru ini.
Untuk rekod, sebanyak tiga kali pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak JAS ke atas premis tersebut pada tahun ini dan dua daripadanya merupakan pemeriksaan secara mengejut.
Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah JAS Negeri Terengganu, Ramli Abd Rahman.
23 Aug 20
12922
Ubah Persepsi Masyarakat Tentang Penagihan Dadah
HULU TERENGGANU, 24 Ogos – Stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah perlu diubah, terutama terhadap bekas penagih yang sedang bergelut untuk kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah(JKPD) Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata sokongan masyarakat sekeliling sangat diperlukan oleh golongan ini untuk sentiasa kekal positif dan bersemangat menjauhi gejala penyalahgunaan dadah.
Katanya, gejala penyalahgunaan dadah ini sememangnya satu isu besar yang perlu ditangani segera. Walaupun terdapat agensi ditubuhkan untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini, tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul setiap warga Malaysia.
"Kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku dan bermula di mana-mana sahaja. Jadi, komuniti setempat boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka.
"Usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah memerlukan bantuan setiap individu. Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan tindakan yang sepatutnya dilakukan bagi sesuatu keadaan, ia boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti polis ataupun agensi bertanggungjawab untuk membanteras penyalahgunaan dadah iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Semoga segala usaha yang kita dilakukan mampu mengatasi gejala penyalahgunaan dadah seterusnya menjadikan Malaysia negara yang bebas dadah demi kemakmuran bersama," katanya dalam program Outreach bersama JKPD, Ajil baru-baru ini..
Terdahulu, seramai lapan klien CCIC disantuni melalui program komuniti untuk bertanya khabar serta menghulurkan sumbangan kepada klien-klien di bawah seliaan AADK.
" Kita mahu mereka ini merasakan masih ada diluar sana yang masih mengambil berat terhadap mereka.orang ramai terutama sekali ahli keluarga dan kawan-kawan bekas penagih untuk tidak mengasingkan, memulaukan mereka kerana tanpa bantuan ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat, mereka tidak akan berjaya jadi “baik” dan pulih sepenuhnya.
“Jiwa mereka sangat sensitif, yang perlukan perhatian dan pemedulian, penagih tidak selamanya jahat atau kotor, maka jangan dilabel seratus peratus jahat, dan beri peluang untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan sebab itu golongan penagih dadah di negara ini tidak sepatutnya dihukum sebaliknya dibantu untuk keluar daripada masalah ketagihan yang membelenggu diri mereka.
Tambah beliau lagi, kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab untuk menghentikan pengedaran dadah tetapi juga memberi lebih tumpuan kepada kempen pencegahan dadah yang berkesan dan menyediakan rawatan ketagihan dadah yang lebih mudah untuk diakses.
22 Aug 20
1052
Semarakkan Jiwa Merdeka Anak Muda
HULU TERENGGANU, 22 Ogos - Golongan muda hari ini perlu menghargai kemerdekaan yang dikecapi berkat keberanian dan kesungguhan pejuang-pejuang terdahulu membebaskan negara ini daripada penjajah.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata penglibatan anak muda yang peduli dalam isu masyarakat mencerminkan keadaan semasa sesebuah negara itu.
"Masyarakat khususnya anak muda perlu menanamkan semangat cintakan negara dan mempertahankan keamanan negara yang dilihatnya semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat.
"Marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Santai Mat Motor Merdeka di Dataran Kuala Berang, semalam.
Sembang Santai Mat Motor turut
mendapat sentuhan istimewa daripada Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama selebriti dan Pendakwah Bebas, Ustaz Ahmad Muzani Abdul Rahman dengan moderator Ustaz Kamaruzaman Abdullah yang juga Pengarah i-MiTS.
Antara pengisian bertujuan memberi penerangan tentang kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh penungang motosikal disamping memberi nasihat agar sentiasa mematuhi peraturan Jalan Raya.
22 Aug 20
508
Hijrah Bukan Pelarian
DUNGUN, 22 Ogos - Hijrah Rasulullah SAW adalah perintah Allah dan bukanlah satu pelarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, hijrah Nabi Muhammad SAW adalah bagi menjamin kelansungan dan kemenangan Islam.
“Saban tahun kita pasti akan menyambut awal Muharram dan yang paling penting kita kena mengambil pengajaran dari kisah hijrah itu.
"Jika diamati, dapat disimpulkan dari kisah hijrah nabi adalah satu gabungan gerak langkah yang akan memastikan Islam akan terus mendominasi dan mentransformasikan kekuatan umat Islam kepada lebih istiqamah, sentiasa bertawakal dan berkemampuan tinggi,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan konvoi motosikal anjuran Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah Dungun disini.
Tambah Wan Hapandi lagi, hijrah juga membuktikan perubahan dari yang lama kepada yang yang lebih baharu.
“Walaupun COVID-19 sedang melanda kita, saya menaruh harapan yang tinggi kepada seluruh umat islam untuk terus istiqamah dengan program keagamaan sama ada di masjid, surau, pusat pusat pengajian dan seumpamanya,” ujar beliau.
“Bersempena dengan tema sambutan tahun ini Ummah Rabbani, Negara Harmoni, marilah kita bersyukur atas nikmat iman dan Islam yang dikecapi sehingga hari ini," ujarnya.
22 Aug 20
363
Jadikan Ziarah Orang Sakit Sebagai Amalan
DUNGUN, 22 Ogos -Amalan menziarahi orang sakit perlu dijadikan amalan oleh masyarakat Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, bersegeralah menziarahi orang sakit kerana padanya terdapat rahmat.
"Amalan menziarahi orang sakit adalah hak yang mesti ditunaikan buat orang yang sihat.
“Masyarakat Islam tidak boleh pentingkan dirinya sahaja tanpa memikirkan sedikit pun nasib jiran yang dalam kesusahan atau ditimpa musibah,” ujarnya kepada pemberita selepas melakukan rutin ziarah, baru-baru ini.
Tambahnya, keadaan itu terjadi kerana terlalu sibuk dengan urusan duniawi sehingga tidak punyai masa untuk melawat.
“Kehadiran kita itu pastinya akan meninggalkan kesan kepada jiwanya dan sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban penderitaan yang dialami,” katanya.
Jelasnya lagi, amalan menziarahi orang sakit sangat penting dan cara terbaik untuk menziarahi orang sakit ialah segera datang melihat ketika mendengar berita sakitnya.
22 Aug 20
1875