Artikel "Komuniti" Terkini
Kesusahan Keluarga Mohd Izduan Dapat Perhatian
Oleh : Amiirullah Mansor
DUNGUN, 1 September- Kesempitan hidup Mohd Izduan Setapa, 40, yang tidak mampu bekerja kerana masalah kesihatan bakal mendapat pembelaan.
Kesusahannya sekeluarga mendapat perhatian Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Mohd Izduan berkata, disebabkan masalah kesihatan yang dihadapinya, dia tidak lagi mampu untuk melakukan kerja-kerja berat sejak tiga tahun lalu.
"Pendapatan saya kini sangat terhad, kadang nak dapat RM100 pun susah dalam sebulan tu disebabkan sekarang ini hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung sahaja seperti mengambil upah mesin rumput di sekitar kampung ini," ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan daripada Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Muhammad Wirdan Shahidan, dan isteri ADUN Paka, Sabariah Ilyas, di rumah sewanya di Kampung Nyior,Paka, baru-baru ini.
Katanya, dia nasihatkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan bagi memastikan kesihatannya kembali pulih namun terpaksa ditangguh disebabkan masalah kewangan.
“"Saya terpaksa menangguh dulu pembedahan atas faktor pendapatan saya yang hanya cukup untuk menyara keluarga saya dan membayar sewa rumah sahaja," ujarnya.
Sementara itu, Muhammad Wirdan berkata, kehadiran beliau yang mewakili ADUN Paka, Satiful Bahri Mamat bersama pihak YPKT dan Maidam adalah untuk menyampaikan bantuan dan menyalurkan maklumat berkaitan bantuan yang boleh dimohon oleh keluarga Mohd Izduan.
"Alhamdulillah, hari ini pihak kami bersama 'Mobile Team', Maidam, YPKT dan wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Nyior berkesempatan menzirahi keluarga Mohd Izduan dan memberikan maklumat kepadanya berkaitan bantuan-bantuan yang boleh dimohon.
"Pihak kami akan "follow up" status permohonannya selepas ini dan berharap proses meluluskan bantuan dapat dipercepatkan," ujarnya.
01 Sep 20
198
400 Kaum Tiong Hua Kemaman Sambut Merdeka
KEMAMAN, 31 Ogos - Seramai 400 orang kaum Tiong Hua Kemaman menyatakan rasa cinta kepada negara dengan menyambut Hari Kebangsaan yang Ke-63 dalam satu Majlis Makan Malam yang berlangsung di Dewan Sri Amar, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata dengan kehadiran yang ramai melibatkan 25 persatuan dan sebahagian lagi daripada anak muda Kaum Tiong Hua di Kemaman ini membuktikan sokongan mereka kepada kerajaan negeri yang memerintah ketika ini.
"Kita mengharapkan sempena kemerdekaan yang disambut pada malam ini menandakan jati diri kita dan keyakinan dalam menyokong dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan," ujarnya.
"Ia selari dengan ucapan yang sentiasa diungkapkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dimana semua rakyat Terengganu tidak kira agama, bangsa ataupun berbeza ideologi politik akan dilayan dengan baik dan sama rata," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Kemerdekaan Bersama Kaum Tiong Hua Kemaman.
Majlis tersebut merupakan anjuran oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Pejabat Penerangan Daerah Kemaman serta seluruh persatuan kaum Tiong Hua di Daerah Kemaman.
Turut bersama, Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
31 Aug 20
749
Lahirkan Kesedaran Semarak Kemerdekaan
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-63, kerajaan negeri menyarankan seluruh rakyat Terengganu bersama-sama menyemarakkan kempen sambutan kemerdekaan dengan memasang bendera di premis kediaman dan kedai masing-masing.
30 Aug 20
167
Kemerdekaan Perlu Selari Dengan Tuntutan Islam
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos- “Kemerdekaan yang dibawa oleh Islam ialah kemerdekaan manusia dari hati syirik kepada beriman kepada Allah, daripada jiwa yang kotor, lalai kepada jiwa yang tenang dan daripada akal yang penuh dengan kejahilan kepada akal yang penuh dengan pencerahan ilmu,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Katanya, rakyat Malaysia harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini kerana mereka telah berjaya menguasai, memimpin dan mengatur hidup, negeri dan negara ini berasaskan cara mereka sendiri.
“Tetapi harus diingat, jika merdeka cuma dalam konteks penjajahan fizikal khususnya penjajahan ketenteraan terhadap sesebuah negara, tetapi pemikiran mereka sama dengan pemikiran penjajah dan hati masih lagi dibelenggu dengan hati penjajah, mereka masih lagi tidak merdeka pada konsep Islam yang sebenar.
“Kepesatan teknologi hari ini telah memudahkan ancaman penjajahan bentuk baharu terutamanya dalam bentuk budaya dan pemikiran, justeru inilah yang kita hendak sedarkan kepada seluruh umat Islam dan rakyat negara ini bahawa selamat merdeka itu, selamat pemikiran dan hati kita dari penjajah, bukan zahir semata tetapi jiwa kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung pada program Salam Chit Chat Santai Daie yang dianjurkan oleh Akademik Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) di Galeri Drawbridge, hari ini.
Katanya, erti kemerdekaan ada kalanya dicemari ideologi ekstrim seperti liberalisme hingga ada terpesong daripada penghayatan kemerdekaan sebenar.
“Justeru, kemerdekaan perlu disambut menurut tuntutan Islam yang membezakan diri daripada pihak penjajah serta golongan menyalahi Islam serta kembali kepada ajaran Islam sebenar,” ujarnya.
30 Aug 20
322
DUN Buluh Gading Juara Konvoi Ambang Merdeka
KUALA NERUS, 29 Ogos- Pasukan bermotosikal dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dinobatkan sebagai konvoi terbaik dalam program Konvoi Ambang Merdeka bersama Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato' Dr. Khairuddin Aman Razali, hari ini.
Konvoi yang berakhir di Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge) disertai kira-kira 200 penunggang daripada empat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Nerus iaitu DUN Buluh Gading, Seberang Takir, Tepoh dan Bukit Tunggal.
Seawal jam tiga petang, konvoi motosikal tersebut diketuai Dr. Khairuddin sendiri selaku Ahli Parlimen Kuala Nerus melalui DUN-DUN di kawasannya dengan mngibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan di kalangan masyarakat sekitar.
Turut serta menunggang motosikal ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah.
Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kuala Nerus itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Penerangan Malaysia Terengganu, Jabatan Kerja Raya, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa tempatan.
29 Aug 20
1222
Bernama Radio, Manis FM Terbit Program ‘Khabar Pantai Timur’
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Radio dan Husa Network Sdn Bhd, Manis FM bakal menerbitkan program ‘Khabar Pantai Timur’ bermula 3 September ini selepas kedua-dua entiti ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) di Wisma Darul Iman pada 27 ogos.
29 Aug 20
672
250 Peserta Meriahkan Program Kayuhan Ambang Merdeka
KUALA NERUS, 29 Ogos- Seramai 250 peminat sukan berbasikal menyertai program Kayuhan Ambang Merdeka di sini, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 yang bakal disambut Isnin ini.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir itu bermula dari Dataran Budaya Pantai Teluk Ketapang.
Kayuhan sejauh 17.1 kilometer (km) melalui Kampung Teluk Ketapang, Kampung Telaga Daing, Kampung Baru, Kampung Seberang Takir, Jambatan Drawbridge, Pasarnita dan berakhir di lokasi pelepasan disertai oleh pelbagai peringkat usia termasuk warga emas, belia serta kanak-kanak.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman berkata, selain menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas program ini juga dapat mewujudkan semangat perpaduan di kalangan peserta.
"Peserta dapat menyemarakkan semangat patriotik dan perpaduan melalui aktiviti berbasikal dan paling penting semangat cintakan negara.
"Malah, aktiviti sebegini juga salah satu cara mempromosikan pelancongan negeri, kerana laluan lokasi ini sememangnya merupakan daya tarikan pelancong, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan 'flag-off' Program Kayuhan Ambang Merdeka di Dataran Budaya Pantai Teluk Ketapang, hari ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.
Ariffin berkata, walaupun tiada acara besar-besaran sempena sambutan kemerdekaan di peringkat negeri disebabkan pandemik COVID-19, namun setiap DUN tetap mengadakannya dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
"Sebagai contoh, program kayuhan basikal diadakan hampir di semua daerah dalam skala kecil iaitu tidak melebihi 250 orang seperti ditetapkan.
"Penganjur terpaksa menghadkan penyertaan biarpun permintaan dari orang ramai begitu menggalakkan demi menjaga keselamatan semua pihak," ujarnya.
29 Aug 20
820
ADUN Sura Peruntuk RM34,500 Sebulan Bantu Asnaf
DUNGUN, 29 Ogos - Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura memperuntukkan lebih RM34,500 sebagai bantuan kepada 345 golongan asnaf setiap bulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, asnaf yang terdiri daripada keluarga susah, ibu tunggal, ibu terabai dan sesiapa yang mencukupi syarat layak menerima bantuan berkenaan.
“Bermulai Julai 2020 lepas, setelah kita bermesyuarat, kita putuskan untuk tambah lagi jumlah penerima sumbangan bulanan ini.
"Daripada 230 orang meningkat kepada 345 iaitu hampir sekali ganda dan jumlah peruntukan juga bertambah kepada RM34,500,” katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, program yang dinamakan sebagai Sumbangan Bulanan Al Mustadh’afin ini telah bermula sebelum pilihanraya umum (PRU) 14 dan diteruskan sehingga sekarang.
Tambah beliau lagi, penerima sumbangan sentiasa ditukar setiap bulan.
“Kita buat sistem giliran dimana nama yang sama tidak boleh dapat berturut turut kecuali atas beberapa sebab dan faktor.
"Setidak-tidaknya dengan cara ini hampir semua orang akan merasainya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Wan Hapandi memaklumkan sekiranya ada pihak yang mengetahui atau mengenali keluarga yang terabai atau layak, segera maklum kepada MPKK terdekat untuk dibantu.
29 Aug 20
401
EPIC Terengganu Anjur Cakna Dan Prihatin 2020 Siri 2
KEMAMAN, 27 Ogos - Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan penganjuran Program EPIC Cakna dan Prihatin 2020 Siri 2, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Saabi Wahab berkata, program ini telah dijalankan sejak tahun 2019. Program ini adalah salah satu dari kepelbagaian program di bawah CSR EPIC.
"Kami akan cuba untuk menjadikan program ini sebagai salah satu program CSR tahunan syarikat kami bagi membantu untuk meringankan beban dan kesusahan yang ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan," ujarnya.
Katanya lagi, program pada kali ini adalah salah satu inisiatif Tanggungjawab Korporat EPIC dan mendapat kerjasama dengan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd dan Syarikat Air Terengganu (SATU) untuk membantu 30 keluarga miskin dan kurang berkemampuan di kawasan Kemaman.
"Program di DUN Cukai hari ini juga merupakan siri kedua selepas siri pertama telah diadakan di DUN Bandar, Kuala Terengganu pada Julai lalu. Selepas ini, program ini akan diteruskan di daerah Besut dan Hulu Terengganu".
Program hari ini menyaksikan semua mereka yang terlibat, telah menghantar sumbangan wang tunai dan barang keperluan ke rumah 10 orang penerima di Kg Besut 2. Manakala 20 orang lagi menerima sumbangan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Turut bersama memeriahkan majlis, Pegawai Daerah Kemaman, Tuan Haji Mohamad A. Rahman @ Othman, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) DUN Cukai, Dr Megat Suhaimi Megat Idrus, Pengurus Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd Cawangan Kijal, Rohaya Idris, wakil daripada SATU serta Ahli Pengurusan Kanan Kumpulan EPIC.
Epic Berhad merupakan sebuah syarikat kerajaan negeri Terengganu yang menjalankan perkhidmatan sokongan utama kepada industri minyak dan gas, pelabuhan, tenaga serta perkhidmatan sampingan yang lain.
27 Aug 20
833
Kibar Jalur Gemilang, Terjemahkan Semangat Cintakan Negara
Oleh: Mohd Rizauddin
DUNGUN, 27 Ogos- Rakyat Malaysia diminta terus menterjemah semangat patriotik cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang selain menyambut bulan Kemerdekaan dengan penuh penghayatan.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, ia perlu dilakukan masyarakat untuk mempamerkan perasaan cintakan tanah air dan sebagai tanda terhutang budi kepada negara yang menjamin keamanan dan keharmonian rakyat selama ini.
“Apa maknanya sambutan Hari Kebangsaan sekiranya tiada kibaran Jalur Gemilang secara meluas dan meriah. Ia adalah ‘roh’ yang menghidup suasana dan lambang kecintaan kita kepada Negara.
“Amalan kibar Jalur Gemilang amat penting bagi menunjukkan semangat patriotisme, sekali gus menyemarakkan sambutan serta menjadi bukti bahawa rakyat kita cintakan bumi Malaysia,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada program agihan Jalur Gemilang, baru-baru ini.
Katanya, tema sambutan ‘Malaysia Prihatin’ harus dijadikan landasan kesedaran bahawa setiap rakyat perlu mengambil berat antara satu sama lain dan bersatu-padu dalam apa jua perkara lebih-lebih lagi apabila seluruh dunia sedang berusaha menentang pandemik COVID-19.
Beliau juga turut menyatakan bahawa pemimpin dan rakyat mesti ‘sehati sejiwa’ dalam merealisasikan perkara berkaitan semangat patriotisme ini.
“Perasaan menyayangi dan mencintai Malaysia akan menjadikan kita lebih kuat dan berdaya tahan dalam mengharungi segala cabaran.
“Ia wajar dijadikan prinsip kehidupan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Hakikatnya tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini melambangkan semangat kesepaduan, solidariti rakyat tidak kira di mana juga mereka berada,” ujarnya.
27 Aug 20
167