lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

200 Sertai Jelajah Kasih Bersama YBC
200 Sertai Jelajah Kasih Bersama YBC
KEMAMAN, 17 September - Seramai 200 peserta memeriahkan konvoi motosikal Jelajah Kasih Bersama YBC (Yang Berhormat Cukai) sempena sambutan Hari Malaysia, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kejayaan mengadakan program tersebut. "Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengadakan program di antara agensi kerajaan bersama masyarakat bagi merapatkan silaturahim di antara satu sama lain. Mana yang jauh kita dekatkan dan yang dekat kita rapatkan demi mencapai keredhaan Allah S.W.T," ujarnya. Katanya lagi, selain daripada itu program yang diadakan ini bagi menyatakan jati diri kepada negara Malaysia yang aman dan makmur samada di bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan juga politik. "InsyaAllah, kita mengharapkan kemakmuran yang ada pada hari ini merupakan nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T," ujarnya ketika merasmikan program tersebut sebelum pelepasan peserta konvoi di Pekarangan Pejabat Daerah Kemaman. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu. Konvoi motosikal tersebut menyaksikan para peserta memulakan perjalanan bermula dari Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman menuju ke Pantai Kemasik. Di sana seramai 50 orang fakir miskin menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur. Manakala, Hanafiah turut menyampaikan beberapa kotak mengandungi lampin pakai buang kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemasik untuk diagihkan kepada sebahagian mereka yang memerlukan. Selepas daripada itu, konvoi motosikal itu bertolak menuju ke destinasi terakhir iaitu di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai. Di sana seramai 50 orang anak yatim menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan cenderahati. Antara pihak yang turut terlibat dalam menjayakan program tersebut ialah Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Penerangan Malaysia, Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemasik, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal, Alternative Riding Club (ARC) Kemaman, Jabatan Amal Kemaman dan lain-lain.
17 Sep 20
1847
Aksi Gaban Gamatkan Himpunan Bermotor Kota Putera 2020
Aksi Gaban Gamatkan Himpunan Bermotor Kota Putera 2020
KUALA TERENGGANU, 16 September - Aksi lagak ngeri bermotosikal Mohd Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Gaban berjaya menggamatkan suasana Himpunan Bermotor Kota Putera 2020. Sebagai seorang pelagak ngeri atau 'stuntman' bermotor, Gaban bermurah hati beraksi sebanyak dua kali dalam program anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera buat tatapan peminat sukan bermotor setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman memaklumkan, aksi Gaban tersebut merupakan salah satu acara yang dibawakan dalam program sempena sambutan Hari Malaysia ke-57, hari ini. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri berkata, program sehari itu turut menyajikan pelbagai pengisian bagi seluruh lapisan masyarakat setempat antaranya pertunjukan silat, dikir barat dan akan diakhiri dengan Forum Perdana bersama Ustaz Haslin Baharim, malam ini. "Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengadakan perhimpunan bermotor yang mana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini anak muda lebih perlukan pengisian.  "Objektif kita adalah untuk melihat anak muda dari perspektif Islam. Kita beri peluang untuk mereka beraktiviti bersama kita supaya kita cakna dan dengar pendapat mereka dalam program ini yang kita selitkan dengan pengisian seperti tatacara mengambil wuduk dengan air yang terhad yang ditunjukkan sebentar tadi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi sembang santai bersama pengunjung dalam program yang berlangsung di Pantai Air Tawar Besut itu. Tambahnya, program terbabit mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 20 penaja dan kelab bermotosikal tampil memberikan sokongan melalui penyertaan dan penajaan. "Pada asalnya, kita sasarkan bawah 500 pendaftaran peserta bermotor, tetapi dimaklumkan lebih 800 peserta telah hadir namun terima kasih kepada petugas dan pihak berkuasa yang berjaya mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya. Jelasnya, penganjuran program berkenaan di sambutan Hari Malaysia turut membawa mesej kepada masyarakat.  "Kadang-kadang kita cuti sahaja pada hari-hari tertentu tetapi kita tidak faham dan menghayati sebabnya. Kami adakan program ini supaya mereka menghargai apa yang dimiliki, kita juga paparkan ucapan kemerdekaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berikan semangat patriotik kepada mereka," katanya.  
16 Sep 20
3460
Buang Sikap Tidak Ambil Peduli-Maliaman
Buang Sikap Tidak Ambil Peduli-Maliaman
HULU TERENGGANU, 16 September – Masyarakat perlu membuang sikap tidak ambil peduli terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka bagi bersama-sama menangani isu penyalahgunaan dadah yang kian menular dalam kalangan anak-anak muda masa kini. Pengerusi ( JKPD) Jawatankuasa Pemulihan Dadah Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, sikap enggan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda berdekatan dengan tempat tinggal mereka adalah tidak wajar. “Janganlah malu untuk melaporkan penagihan dadah kerana ia dapat mengelak mereka terjebak dengan lebih teruk. "Setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka dan melapor segera kepada pihak berkuasa sekiranya ada yang terbabit dengan dadah.Kita ketepikan masalah dengan jiran sekiranya kita mempunyai tanggungjawab untuk membanteras dadah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Institusi Keluarga Bebas Dadah anjuran AADK bersama komuniti Kampung Pela., hari ini. Tambahnya, kesan penagihan dadah menyebabkan berlakunya kes-kes jenayah seperti samun, curi dan bunuh yang memberi impak kepada kehancuran generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Menurut beliau lagi, kerjasama erat daripada ibu bapa serta pihak sekolah termasuk masyarakat adalah amat penting bagi membanteras gejala penyalahgunaan dadah yang kian menular dalam kalangan remaja. Justeru itu katanya, AADK dan JKPD  mengambil langkah proaktif bagi menangani isu itu dengan melancarkan beberapa program yang menjurus kepada golongan sasar berkenaan.  “Melalui setiap program yang dilaksanakan, kita telah melakukan kajian dan menerusi usaha itu, kita dapat mengetahui masalah yang berlaku di peringkat komuniti seterusnya mengambil langkah proaktif bagi menanganinya.  “Saya yakin dan percaya agensi seperti AADK  berupaya menangani isu terbabit di peringkat awal lagi sekiranya sikap ambil peduli dipraktikkan didalam masyarakat sebelum  ia menjadi lebih parah,” ujarnya.   
16 Sep 20
1058
Lima Jam Susuri Sungai Dengan Semangat Pahlawan
Lima Jam Susuri Sungai Dengan Semangat Pahlawan
  HULU TERENGGANU, 16 September - Berbekalkan semangat pahlawan dan ulamak melayu yang memperjuangkan kedaulatan bangsa dan tanahair, Belia Sahabat Sejahtera Telemong dengan kerjasama Pusat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong telah menganjurkan Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu. Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata antara objektif program bagi menghidupkan kembali nostalgia berakit, menyelami pengorbanan generasi dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dalam serta menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan penduduk. Tambahnya, ekspedisi kali kedua yang diadakan ini akan bermula di kampung Dusun dan berakhir di kampung Mesah, Kuala Telemong.  “Ekspedisi berakit pada kali ini akan menyusuri Sungai Telemong dan Sungai Terengganu sejauh lebih kurang 30 kilometer yang mengambil masa hampir lima jam. "Seramai 150 peserta mengambil bahagian dengan menggunakan 25 buah rakit yang mengandungi enam orang peserta bagi setiap rakit  pada kali ini. "Ia melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan jabatan termasuk polis, bomba dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan pematuhan norma baharu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan akibat wabak pandemik Covid19,"katanya. Beliau berkata demikian selepas Perasmian Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu, di Kampung Dusun hari ini. Menurut Safari, setiap rakit dinamakan dengan nama-nama pahlawan dan ulama yang mempunyai jasa dalam perjuangan kedaulatan agama, bangsa dan negara. "Kita namakan rakit-rakit ini dengan nama mereka yang banyak berjasa antaranya Tok Gajah, Dato' Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Raja Ri dan Mat Kilau. Tambah beliau lagi, sejarah pernah membuktikan laluan yang dilalui pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan penting daripada pedagang dahulu serta para tabligh dalam menyampaikan syiar Islam. Menurutnya kawasan itu perlu dibangunkan semula tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisionalnya untuk tatapan pelancong dan generasi baharu mengenai sejarah kegemilangan lokasi berkenaan.
16 Sep 20
1308
Penting Dan Indahnya Kehidupan Bersyariat
Penting Dan Indahnya Kehidupan Bersyariat
KEMAMAN, 15 September - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat meluahkan harapannya kepada Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu agar dapat memberi fokus kepada penting dan indahnya kehidupan bersyariat. Katanya, di sinilah peranan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat berhubung tanggungjawab dalam menyalurkan maklumat mengenai kesalahan syariah serta kesediaan masyarakat untuk tampil menjadi saksi dalam sesuatu kes terutama melibatkan kes jenayah syariah. "Kerajaan sangat mengambil berat kekangan yang dialami oleh pihak penguatkuasa syariah dalam menguatkuasakan perundangan syariah, antaranya kerjasama daripada orang awam yang tidak mahu butiran didedahkan setelah menyalurkan maklumat tentang suatu kesalahan. "Ia akhirnya boleh menyebabkan siasatan tidak lengkap dan pihak pendakwaan tidak dapat mengendalikan kes dengan baik di mahkamah. "Menyedari kekangan tersebut, satu langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan mewujukan satu pasukan yang dinamakan dengan Sukarelawan Syariah yang telah dilancarkan pada 12 Mac yang lalu," ujarnya ketika berucap di hadapan 125 peserta dalam seminar tersebut di Dewan Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong, semalam. Dalam perkembangan sama, tambah Hanafiah, tujuan penubuhan Sukarelawan Syariah antara lain adalah untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak penguatkuasa syariah dan bersedia tampil memberi keterangan di mahkamah. Bagaimanapun, bidang tugas mereka tidaklah sehingga mengambil alih tugas pihak penguatkuasa syariah dalam usaha untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang syariah di dalam negeri ini akan berjalan lebih baik dari sebelumnya. "Oleh kerana sukarelawan syariah ini akan bekerjasama secara langsung dengan pihak penguatkuasa syariah, mereka ini akan tertakluk sepenuhnya di bawah arahan dan kawalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu ataupun dibawah kuasa Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu agar semua tindakan sukarelawan syariah ini bertepatan dengan peruntukan undang-undang," katanya lagi.
15 Sep 20
249
Gelanggang Serbaguna Gong Gemia Kini Beroperasi
Gelanggang Serbaguna Gong Gemia Kini Beroperasi
DUNGUN, 15 September- Gelanggang serbaguna di Gong Gemia kini mula beroperasi setelah siap dibangunkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Gemia telah menganjurkan pertandingan bakat baru tertutup sepak takraw 2020 sempena pembukaan gelanggang serbaguna berkenaan. "Tahniah MPKK Gong Gemia atas penganjuran pertandingan bakat baru tertutup sepak takraw 2020 sebagai perasmian gelanggang serbaguna yang baru disiapkan walaupun dalam suasana norma baru," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Tertutup Sepak Takraw 2020 di Gelanggang Serbaguna Gong Gemia, baru-baru ini.  Satiful mengharapkan pihak pemuda dan MPKK perlu sentiasa menghidupkan gelanggang berkenaan dengan aktiviti yang berfaedah kepada masyarakat setempat. "Pihak pemuda mahupun MPKK perlu lebih kreatif untuk mengisi aktiviti khususnya pemuda-pemuda agar terisi waktu mereka dengan program yang lebih berfaedah dan bermanfaat," jelasnya.
15 Sep 20
559
Wanita B40 Teruja Mulakan Kelas Jahitan Sulam Tampal
Wanita B40 Teruja Mulakan Kelas Jahitan Sulam Tampal
KUALA TERENGGANU, 15 September – Para peserta kursus jahitan sulam tampal yang terdiri daripada wanita berpendapatan rendah (B40) di sekitar daerah ini sudah tidak sabar untuk memulakan pembelajaran mereka. Kursus anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Nor itu dilaksanakan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Negara ‘Human Resources Development Fund’ (PENJANA HRDF) dan akan memberi manfaat kepada individu untuk jualan secara atas talian. Wakil Richmind Legacy Sdn Bhd (penyedia latihan), Zuraina Ahmad berkata program ini dinamakan sebagai program jahitan ‘patchwork’ ataupun tampal cantum yang tidak memerlukan sebarang modal.   Zuraina Ahmad. “Kita hanya menggunakan kain perca yang sedia ada seperti lebihan-lebihan kain jahitan dan kemudian dijadikan satu produk yang baru seperti beg ataupun kotak pensil, beg sandang, bakul dan sebagainya. “Produk-produk ini boleh dijual dengan harga yang sangat tinggi, jadi kita berharap kemahiran baharu yang dipelajari oleh wanita B40 Kuala Terengganu ini dapat digunakan untuk menjana pendapatan dengan lebih lumayan kerana produk-produk ini dapat dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi walaupun tanpa menggunakan modal. “Wanita-wanita ini asalnya sudah mempunyai kemahiran menjahit, jadi apa yang dilakukan ialah menambah kemahiran menjahit ke satu tahap yang baru,” ujarnya. Zuraina berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Jahitan Sulam Tampal Untuk Jualan Secara Online Bagi Program Pembangunan B40 Daerah Kuala Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Wakaf Mempelam semalam. Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, serta Pengarah Urusan Richmind Legacy Sdn Bhd, Ahmad Jafny Jusoh. Menurut Zuraina lagi, daerah Kuala Terengganu adalah ‘pilot programme’ (program pertama) yang dijalankan. Katanya, kejayaan program tersebut akan menjadi kayu ukur untuk dipertimbang dan dikembangkan ke daerah-daerah dan negeri lain.   ADUN Wanita bersama sebahagian peserta. “Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya kepada ADUN Wanita yang menyambut baik program ini dan sebenarnya idea ini sudah lama, tetapi tidak dapat dilaksanakan sebaliknya kali ini, ADUN Wanita telah membantu merealisasikannya. “Pihak mereka banyak membantu kami dari segi untuk mendapatkan dan mengenal pasti peserta yang layak sebab kita tahu, golongan B40 ini ramai tapi kita sasarkan golongan yang betul-betul memerlukan untuk dibantu, tambahnya lagi. Beliau turut melahirkan harapan agar peserta dapat belajar dengan bersungguh-sungguh di samping dapat dilatih sebagai usahawan wanita yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk keluarga tanpa perlu mengharapkan orang lain. ADUN Wanita bergambar bersama peserta kursus.  
15 Sep 20
938
Pembesaran Jambatan Gong Baru Akan Disegerakan
Pembesaran Jambatan Gong Baru Akan Disegerakan
KUALA TERENGGANU, 15 September –Jambatan di Kampung Gong Baru akan diperbesarkan segera selepas proses permohonan bagi tujuan tersebut mendapat kelulusan pihak berkuasa. Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Mohd Izzat Abdullah berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Batu Buruk telah menghantar permohonan untuk meluaskan jambatan itu pada Ogos yang lalu. "Insya-Allah perkara ini akan diambil tindakan susulan bagi memastikan ia dapat disegerakan demi kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui pemberita semalam. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Baru, Mohd Rashid Ibrahim memaklumkan isu ini telah dibangkitkan sejak 20 tahun lalu namun tidak ada tindakan susulan diambil. "Penduduk kampung menghadapi kesukaran apabila melalui jambatan ini dan terbaru pihak bomba tidak dapat melaluinya ketika berlaku kebakaran di sini baru-baru ini. "Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak DUN Batu Buruk yang telah mengambil perhatian akan isu ini dan saya harap ia dapat disegerakan," katanya lagi. Untuk rekod, berdekatan jambatan itu, sekitar 50 dan 100 meter terdapat dua lagi jambatan yang lebih luas untuk kemudahan masyarakat. Jambatan tersebut merupakan infrastruktur penting bagi penduduk kampung kerana ia menghubungkan beberapa buah kampung di sekitarnya.
14 Sep 20
476
Ghazali Santuni Warga Emas
Ghazali Santuni Warga Emas
DUNGUN, 14 September- Menyantuni golongan warga emas menjadi rutin wajib kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Baru-baru ini beliau berkesempatan menziarahi beberapa orang warga emas di DUN berkenaan yang berusia 85 tahun ke atas. Menurut Ghazali, ziarah kebajikan berkenaan diadakan khusus bagi mendekati golongan yang telah lanjut usia bagi mengetahui hal ehwal serta  keperluan mereka di dalam usia berkenaan. "Dimana maklumat mengenai warga emas yang kita ziarahi ini diperolehi melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Diharapkan dengan ziarah ini mampu menghiburkan mereka dan sebagai tanda kecaknaan serta keprihatinan daripada saya yang telah diamanahkan sebagai Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi. "Sepertimana program menjejaki warga emas yang berusia ini, dengan objektif dan matlamat supaya mereka sedar bahawa masih ada yang sayang kepada mereka dan semoga kesemuanya sentiasa berada didalam rahmat Allah SWT," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mengadakan ziarah berkenaan. Katanya mendekati golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, anak yatim merupakan program wajib diadakan pada setiap bulan dengan menyasarkan seramai mungkin untuk diziarahi.  
14 Sep 20
315
Remaja Mengidap Kanser Tulang Terima Sumbangan
Remaja Mengidap Kanser Tulang Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 14 September – Muhammad Amirin Sofi, 18, remaja yang menderita sakit kanser tulang sejak tahun lalu telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi. Dalam kunjungannya ke kediaman remaja berkenaan, baru-baru ini beliau menyatakan kesediaan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk untuk membantu melalui sumber yang ada dan setakat ini pusat khidmat DUN telah menyerahkan sumbangan segera bagi membantu keperluan Muhammad Amirin. “Beliau kini memerlukan khidmat doktor pakar untuk menjalani pembedahan di bahagian lutut dan insya-Allah, kami di pihak DUN akan membantu sebaik mungkin bagi meringankan bebanan beliau sekeluarga,” kata Muhammad Khalil kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).       Ibu remaja terbabit memaklumkan, kanser tulang itu telah ‘memakan’ tulang beliau setiap hari dan memerlukan pembedahan yang segera. Muhammad Amirin Sofi bakal menjalani pembedahan pada Oktober nanti di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
13 Sep 20
938