Artikel "Komuniti" Terkini
40 Kawah Bubur Asyura Sambut Bulan Muharam
KEMAMAN, 21 September - Sebanyak 40 kawah bubur asyura dimasak dalam Program Memasak Bubur Asyura Peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai sempena menyambut bulan Muharam.
ADUN Chukai, Hanafiah Mat berkata, antara objektif diadakan program tersebut adalah bagi merapatkan silaturahim di antara MPKK dan agensi kerajaan di Kemaman.
"Program ini diadakan bagi memastikan seluruh gerak kerja dilaksanakan dengan sebaiknya, bukan sahaja di peringkat lapangan tetapi di seluruh jabatan kerajaan," ujarnya.
Katanya lagi, setiap MPKK dan agensi kerajaan diberikan RM500 bagi membeli bahan-bahan untuk memasak bubur asyura dan sebagainya.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan turut mengambil bahagian dalam menjayakan program pada kali ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan gimik perasmian program yang berlangsung di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, baru-baru ini.
Sebanyak 40 kawah dimasak melibatkan 29 MPKK dan selebihnya melibatkan agensi-agensi kerajaan yang ada di Kemaman.
Antara agensi kerajaan yang terlibat ialah Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Pejabat Kesihatan Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan & Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain.
Sebahagian bubur asyura yang dimasak telah diagihkan kepada pengguna jalan raya berhadapan Padang Astaka Kemaman. Manakala sebahagian lagi dibawa pulang oleh pihak MPKK untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.
Program tersebut turut menyediakan jamuan tengah hari dan pelbagai hadiah cabutan bertuah untuk semua peserta yang hadir.
13 Sep 20
876
Tingkatkan Ilmu Menerusi Program Keagamaan
DUNGUN, 12 September- Masyarakat Islam didaerah ini khususnya digalakkan untuk mendalami dan meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan fardu ain dan kifayah menerusi program-program keagamaan yang dianjurkan pelbagai pihak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, Dungun adalah daerah yang strategik untuk menjadi pusat ilmu.
“Alhamdulillah disamping pembangunan yang kian meningkat naik, kuliah dan pengajian kitab sentiasa subur diadakan pelbagai pihak di daerah ini.
"Abang, adik, mak dan ayah boleh turut serta dalam majlis-majlis seperti ini. Boleh bawa belaka mari dengar, dunia dapat, akhirat dapat," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Daurah Mutun Islamiyah Matan 40 Hadis Galakan Berjihad yang disampaikan oleh Mudir Maahad Tahfiz Darul Fikri, Khairul Azmi Ismail di Masjid Pak Sabah, semalam.
Program tersebut dianjurkan Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Dungun.
Wan Hapandi berkata, beliau sentiasa mendapat maklum balas yang positif setiap kali program sebegini dianjurkan.
“Kita terima respon yang baik setiap kali mengadakan program-program begini.
"InsyaAllah selepas ini lebih banyak siri daurah kitab akan diadakan khas buat warga Dungun yang cintakan ilmu,” katanya.
12 Sep 20
296
Pembangunan Infrastruktur Pulau Perhentian Diharap Tidak Jejaskan Keindahan Alam
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 11 September - Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu, Dato' Yahaya Ali mengharapkan pembangunan infrastruktur yang mahu dilaksanakan di Pulau Perhentian tidak akan menjejaskan ekosistem pulau berkenaan.
Katanya, pembangunan infrastruktur di pulau tersebut perlu dilakukan dengan perancangan yang teliti dan bersifat jangka panjang.
"Ianya hendaklah tidak merosakkan keindahan alam semula jadi dan menjejaskan kehadiran para pelancong ke negeri ini," jelasnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Pelancongan Komuniti di Pulau Perhentian, semalam
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda.
Sementara itu, Yahaya berkata, penduduk pulau berkenaaan juga perlu menjaga kebersihan dan menyantuni pelancong dengan pendekatan agama Islam dan budaya melayu.
"Mereka tidak boleh mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan kepada pelancong yang datang dengan sewenang-sewenangnya," ujarnya.
Katanya, antara kemudahan infrastruktur di pulau tersebut yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan adalah seperti kemudahan jeti dan lampu jalan.
11 Sep 20
1049
Kampung Langgar Juarai Pertandingan Program Bubur Asyura Kuala Berang
Hulu Terengganu, 11 September - Kampung Langgar muncul johan dalam pertandingan Program Bubur Asyura anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang setelah berjaya mengetepikan pesaing kampung lain dalam DUN Kuala Berang yang bertanding.
ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh berkata dua perkara utama telah dibuktikan oleh Kampung Langgar untuk muncul johan pertandingan ini.
"Antara faktor kemenangan Kampung Langgar adalah kerjasama berpasukan yang baik dalam mengendalikan pasukan untuk memenangi pertandingan yang julung kalinya diadakan di Kuala Berang setelah setengah penggal pemerintahan kerajaan yang baru ini.
"Resipi bubur asyura juga merupakan faktor utama kepada kemenangan ini dan kampung lain pun tidak kurang hebat untuk menghasilkan bubur asyura yang terbaik, sangat sukar untuk memilih yang paling sedap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan hadiah dan saguhati kepada wakil kampung yang menyertai Program Bubur Asyura ini di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang.
Menurut Dr Mamad, beliau sangat gembira dengan penyertaan kampung yang terlibat dalam program ini dan bubur asyura ini telah diagihkan kepada orang ramai yang melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang setelah selesai program.
"Saya gembira kerana program ini mendapat sambutan meriah dari kampung-kampung yang terlibat menjayakan program ini. Ini satu perkembangan yang baik buat warga Kuala berang kerana mereka menyertai program ini sebenarnya bukan sekadar mahu menang, tapi lebih kepada untuk mengeratkan ukhuwah.
"InsyaAllah tahun depan kita akan buat lagi dengan lebih meriah dan saya berharap lebih banyak lagi penyertaan dari kampung-kampung yang lain," tambahnya.
Sebanyak sebelas kawah bubur asyura berjaya dibuat dan telah diagihkan sendiri oleh Dr Mamad kepada penduduk Kuala Berang yang melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Berang.
11 Sep 20
1869
Madrasah Khairul Insan Gigih Pulihkan Penagih Dadah
HULU TERENGGANU, 11 September - Tanpa pagar, kawalan keselamatan yang ketat serta kerahan atau arahan tegas serta keras, ramai berpendapat tentunya agak mustahil untuk membimbing serta merawat penagih dadah terutama yang kronik apatah lagi pernah menghuni tirai besi beberapa kali.
Namun, bagi Madrasah Khairul Insan yang sudah membantu ratusan penagih dadah kembali ke masyarakat dan menjadi insan lebih baik, kaedah yang keras serta paksaan bukanlah jawapan bagi menyelesaikan masalah itu.
Mengimbau kembali penubuhan Madrasah yang berkeluasan 6 ekar ini, Zainal Abidin Saidin berkata, dengan keinginan membantu masyarakat terutama remaja Melayu, Allahyarham Ustaz Zulkifli Ismail menubuhkan Madrasah ini pada 1997.
Sementara itu, penghuninya terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kerjaya berjaya merawat ribuan penagih yang datang secara sukarela dan dihantar oleh pihak keluarga bagi melepaskan diri daripada cengkaman dadah.
Beliau berkata disini rutin harian penghuni disini mewajibkan solat lima waktu berjemaah,bertalaqi dan diajar dengan ilmu agama seperti membetulkan solat, amalan zikir dan puasa bagi mendekatkan diri dengan Tuhan.
"Selepas solat subuh mereka yang sudah dibahagi tugasan untuk memasak, bertani, kebersihan kawasan madrasah dan mengangkut air sungai Jenagor untuk kegunaan harian," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media UPDI selepas melawat Madrasah di sini, hari ini.
Tambah Zainal Abidin, mereka yang masuk ke situ, ada yang datang dari Terengganu, Kedah, Selangor dan Pahang terdiri daripada remaja, dewasa dan yang sudah berumur.
"Disini tiada dikenakan bayaran khusus dikenakan untuk menghuni, sumber kewangan operasi madrasah ini mendapat sokongan dari pihak MAIDAM dan Infaq dari orang perseorangan dan keluarga penghuni itu sendiri.
"Sekarang ini pihak Madrasah sedang membina pusat pengajian Al Quran untuk penghuni dan anak anak orang kampung yang ingin belajar Al Quran.
"Pihak kami amat mengalu-alukan sebarang kerjasama mahupun bantuan yang ingin dihulur individu, syarikat atau badan berkaitan di negara ini bagi kelangsungan Madrasah itu dan membantu anak bangsa belajar Al Quran selain untuk memulihkan diri dari penagihan Dadah," ujarnya.
Sementara itu Pengerusi JKPD Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim, berkata pihaknya menyanjung tinggi usaha pihak persendirian mendirikan pusat pemulihan dadah seperti Madrasah Khairul Insan ini kerana ia perlu bagi mengembalikan semula bekas penagih kepada kehidupan biasa.
"Selain kegigihan penghuni disini yang gigih untuk membina tempat pengajian Al Quran untuk kegunaan mereka dan anak anak penduduk sekitar.
"Kita juga akan memberikan komitmen untuk bersama walaupun dengan kekangan kewangan,tetapi kita akan membantu dan memberikan kerjasama," katanya.
11 Sep 20
5372
Leher Ditebuk Angkara Penyakit Misteri
SETIU, 11 September – "Leher dia terpaksa ditebuk, baru dia boleh bernafas sendiri tanpa bergantung dengan alat bantuan pernafasan," ujar Shakirah Elias ibu kepada Muhammad Akif Darwisy, 10, yang menderita penyakit misteri sejak berumur enam tahun.
Kata Shakirah, 32, kejadian yang berlaku pada Disember 2016 itu benar-benar menguji mereka sekeluarga apatah lagi ia berlaku secara mengejut dan pantas.
"Waktu itu, Akif nak main di luar rumah, namun dia tiba-tiba pengsan terduduk, mukanya berubah menjadi biru, kemudian saya dan suami, Ayub Fauzi (ketika itu berumur 43 tahun) membawanya ke klinik kesihatan terdekat.
"Di klinik, Akif diberikan bantuan pernafasan selama dua jam, apabila semuanya sedikit terkawal dia dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama sebulan, sepanjang di sana pihak hospital tidak mengetahui punca Akif pengsan dan doktor mengesahkan dia tidak mengalami apa-apa penyakit.
"Di hospital semuanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan, selepas doktor melakukan pembedahan (menebuk) leher akhirnya dia boleh bernafas seperti biasa," jelasnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim baru-baru ini.
Menurut ibu muda itu, dia redha dengan nasib menimpa anak sulung daripada dua beradik itu meskipun terpaksa melalui ujian tersebut secara sendirian pada dua tahun lalu selepas kehilangan suami tercinta.
Ujarnya, keprihatinan semua pihak sedikit sebanyak mengurangkan beban ditanggung termasuk untuk membeli keperluan Akif seperti pampers dan susu boleh mencecah RM2,000 sebulan.
"Terima kasih kepada semua termasuk Dr Azman yang menyumbangkan sebuah katil baharu untuk anak saya, ia sedikit sebanyak mengurangkan beban kekuarga mereka. Sudah lama cuba membuat permohonan katil baru memandangkan katil yang sedia ada sudah uzur, tambahan pula, Akif sudah semakin besar.
"Akif hanya mampu terlantar, minum susu melalui tiub dan dipakaikan pampers sejak 2016. Dengan bantuan katil baharu ini ia memberi keselesaan serta akan lebih memudahkan kerja saya untuk menguruskan dia," katanya yang menginap di PAKR Anak Ikan di sini.
Jelas Shakirah, kesihatan Akif beransur baik berbanding tahun-tahun sebelum ini yang agak menyukarkan mereka sekeluarga.
"Daripada kaku, kini sudah boleh pusingkan kepala, kaki dan tangan, malah ada ketika dia menangis dan senyum," jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Azman menzahirkan rasa simpati terhadap ujian yang menimpa keluarga kecil berkenaan dan akan memberi pehatian sewajarnya.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Semoga kedua Akif dan keluarga tabah menjalani liku-liku kehidupan di hari mendatang. Hari ini kita bagi katil baharu agar Akif lebih selesa," katanya lagi.
Untuk rekod, wanita tabah terbabit turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan dan telah membuat permohonan baru kepada Tabung Darul Iman.
11 Sep 20
931
Kaedah ‘Special Cut’ Jana Untung Lumayan Buat Penternak Muda
KUALA TERENGGANU, 11 September – Penternak muda di Terengganu diberi peluang mempelajari kaedah memotong daging lembu sado dengan betul (special cut) supaya keuntungan yang diperolehi mencapai tahap maksima.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kaedah 'special cut' yang diterapkan itu mampu menghasilkan potongan daging bernilai tinggi seperti daging untuk dibuat stik.
"Sebenarnya pada seekor lembu ada daging yang bernilai ratusan ringgit sekilo apabila dipotong dengan cara yang betul. Sayangnya apabila semua dipotong halus dan masuk kawah atau kuali dengan nilai RM30 sahaja sekilo.
"Hasil yang kita ada perlu diberikan nilai tambah untuk meningkatkan pendapatan penternak.
"Ada orang yang sedia membayar dengan harga yang tinggi atas kualiti daging yang dinikmati terutama di restoran-restoran ternama atau hotel-hotel. Yang penting penternak kita menikmati hasil yang lumayan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kursus 'special cut' itu dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Jahhet Fine Meat di Rumah Sembelihan Veterinar Gong Badak di sini.
Sementara itu katanya, dakwaan harga daging tinggi akan membebankan orang kampung hanyalah salah faham yang berlegar dalam kalangan masyarakat.
"Saya dah nyatakan di atas, target pasaran daging bernilai tinggi bukan untuk orang kampung. Ada orang yang berduit sedia membayarnya dan orang kampung yang jadi penternak dapat hasil. Untuk pasaran orang kampung harga tetap macam biasa saja," tambah beliau.
10 Sep 20
649
50 Sekolah Terima Sumbangan MP Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Sept - Sebanyak 50 buah sekolah di kawasan Kuala Terengganu telah menerima sumbangan Ahli Parlimennya, Ahmad Amzad Hashim dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4 juta.
Amzad ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Majlis Serahan Replika Cek Sumbangan untuk Program Pengindahan Dataran Alamanda di SMK Chung Hwa Wei Sin, di sini, baru-baru ini menjelaskan, sumbangan tersebut merupakan salah satu cara pihaknya menyampaikan bantuan kepada rakyat.
"Dalam tempoh enam bulan, kita telah membelanjakan sebanyak RM4 juta dan menjadi antara parlimen yang cergas menyampaikan bantuan serta sumbangan kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, selain sekolah bantuan turut diagihkan kepada 108 buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang berada di Kuala Terengganu.
"Bantuan tersebut adalah dalam bentuk Projek Mesra Rakyat (PMR) berupa peralatan pengurusan pejabat atau pembangunan fizikal yang masing-masing bernilai antara RM10,000 hingga RM20,000 dengan perbelanjaan lebih dari RM2 juta.
“Kita juga banyak memberi bantuan kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ada di Kuala Terengganu ini,” jelasnya.
10 Sep 20
161
Kebun Bandar Jana Hasil Lumayan
DUNGUN, 10 September- Siapa sangka tanaman sayur sayuran dalam bandar atau lebih dikenali sebagai kebun bandar mampu menjana hasil yang lumayan kepada yang mengusahakannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau menyokong penuh usaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kubang Miang yang bermuafakat menjayakan projek berkenaan.
"Kesungguhan ahli dan jawatankuasanya menjayakan projek ini telah mengubah imej kawasan terbiar kepada kebun bandar yang bukan sahaja menghasilkan tanaman bebas racun, tetapi memperlihatkan komitmen untuk memajukan projek secara sukarela..
“Dalam bandar pun kita boleh bercucuk tanam walaupun tanah yang agak terhad tetapi hasilnya sangat memberangsangkan bukan saja dapat dimakan oleh pengusaha sendiri bahkan boleh dijual kepada kedai di sekitar kawasan Dungun ini,” ujarnya.
Beliau ditemui pemberita ketika membuat lawatan ke kebun bandar di Balairaya Kampung Kubang Miang, baru-baru ini.
Katanya, projek tersebut turut mendapat perhatian dan bimbingan dari Jabatan Pertanian Negeri Terengganu.
Menurut Wan Hapandi lagi, kebun bandar ini mampu mengawal impak karbon serta menyediakan persekitaran selesa dan harmoni.
"Amalan pertanian bandar yang biasanya hanya dapat dilihat di kampung dapat dihidupkan di kawasan kediaman yang terletak di tengah tengah bandar ini dengan muafakat bersama.
“Kerajaan juga ada menyediakan beberapa bantuan dan sokongan untuk sesiapa yang ingin memulakan bidang pertanian ini, dan kalau dibuat bersungguh sungguh, saya yakin kita mampu mengubah sesebuah kawasan itu menjadi kebun bandar sekaligus bandar bersih dan hijau”. katanya.
10 Sep 20
1699
Hargai Masa Dengan Aktiviti Bermanfaat
DUNGUN, 10 September - Golongan muda diseru agar menghargai masa dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat untuk diri dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, mereka adalah aset negara dan bakal pemimpin masa depan sewajarnya tidak terjebak dengan aktiviti yang akan merugikan negara.
"Sebagai galakan kepada orang muda agar beriadah maka pihak Pusat Khidmat ADUN Rantau Abang terpanggil untuk menyerahkan set meja ping-pong. ," jelasnya.
Alias berkata demikian selepas menyerahkan meja ping-pong kepada empat buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Rantau Abang dan juga Persatuan Ping-Pong Dungun.
Menurut beliau, empat MPKK tersebut adalah MPKK Balik Bukit, MPKK Seberang Pintasan, MPKK Teluk Bidara dan MPKK Taman Rakyat Jaya.
"Set meja ping-pong ini akan diletakkan di tempat yang mudah dikunjungi masyarakat setempat dan insyaAllah disamping mengisi masa dengan aktiviti sihat ianya juga dapat mengeratkan silaturahim sesama orang kampung,"ujarnya.
09 Sep 20
331