Artikel "Komuniti" Terkini
30 Buah Rumah Dibadai Ribut Dibaiki Segera
SETIU, 18 September - Sebanyak 30 buah rumah yang rosak di Jabi akibat dibadai ribut semalam akan dibaiki segera bermula hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kejadian pada waktu asar itu menjejaskan beberapa buah kampung di sini.
"Ribut melanda beberapa kampung di Jabi waktu asar semalam disertai hujan lebat. Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Oh, Kampung Renek, Kampung Bharu Tok Dor, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Sri Aman dan beberapa kampung lain.
"Terdapat beberapa buah rumah ditimpa pokok tumbang. Tujuh batang pokok di atas pembahagi jalan Pekan Jabi turut rebah.
"Alhamdulillah, hanya atap, syiling dan sebahagian dinding sahaja yang rosak. Setakat ini, tiada kecederaan dan kematian yang dilaporkan akibat daripada ribut berkenaan," katanya.
Ribut turut merosakkan sawah padi.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke beberapa rumah penduduk di sekitar Jabi, petang semalam.
"Saya sangat berterima kasih atas tindakan segera kakitangan Pejabat ADUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyelesaikan apa yang perlu disegerakan terutama mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan.
"Kita buat operasi secara menyeluruh untuk baik pulih rumah yang rosak. Jumlahnya setakat dilaporkan sekitar 30 buah rumah. Harap bersabar semua," katanya.
Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Idustri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri berkata, beberapa ekar sawah padi di Baruh Kampung Oh Jabi juga ranap akibat angin yang kuat itu.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri," jelasnya.
18 Sep 20
866
Bekas Mekanik Terima Bantuan Kerusi Roda
DUNGUN, 17 September - Seorang bekas mekanik yang mengalami sakit dibahagian lutut menerima bantuan kerusi roda yang diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Wan Hapandi berkata, masalah yang dihadapi oleh Afandi Muhammad dalam perhatian pihaknya.
“Kami dapat aduan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 48 memaklumkan ada seorang bekas mekanik perlukan sebuah kerusi roda.
"Dengan beberapa syarat yang dipenuhi, kami dapat menyumbang sebuah kerusi roda untuk kegunaan harian beliau,” katanya.
Wan Hapandi ditemui pemberita ketika program ziarah sebagai usaha menyantuni golongan yang memerlukan.
“Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga para penerima kerusi roda,” ujarnya.
Sementara itu, Afandi melahirkan rasa syukur dan terharu dengan sumbangan ini.
“Saya sangat bersyukur, gembira dan terharu dengan pemberian kerusi roda ini walaupun saya tidak pernah minta namun atas keperihatinan MPKK Batu 48 dan YB Sura, saya dapat merasainya.
Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban kami sekeluarga,” ujarnya.
17 Sep 20
255
RM29,000 Untuk APSES
KEMAMAN, 18 September - Kerajaan menambah baik astaka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh atau dikenali Ayer Puteh Secondary School (APSES) yang menelan belanja RM29,000.
Astaka APSES yang terbengkalai selama lapan tahun berubah wajah hari ini selepas peruntukan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid digunakan untuk menyiapkan astaka APSES.
Katanya, seramai 500 lebih orang murid di APSES mendapat manfaat.
"Selepas ini tidak perlu lagi pasang dan cabut kanopi setiap kali program diadakan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Astaka APSES semalam.
Gimik perasmian disempurnakan Che Alias dengan memecahkan ketulan air batu yang diselit kain rentang bergulung tertulis SMK Ayer Puteh, Astaka APSES dan berlatar belakangkan astaka yang siap dinaik taraf.
Sementara itu, Pengetua SMK Ayer Puteh, Mohd Sadri Tengah mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang sentiasa turun padang bersama masyarakat.
"Alhamdulillah atas kecaknaan Ahli Parlimen Kemaman, Astaka APSES mampu berdiri megah," ujarnya.
Astaka APSES dibina untuk mewujudkan suatu tempat kegiatan kokurikulum dan sukan bagi melahirkan murid-murid yang lebih aktif.
Majlis diadakan di Dewan Utama SMK Ayer Puteh. Hadir sama, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Sekolah (PPD) Sektor Pengurusan Sekolah Menengah, Tajol Abidin Abdullah, Penghulu Mukim, Mohd Azlan Ibrahim, Yang Dipertua PIBG, Nazar Sidek dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
Che Alias turut melawat Astaka APSES dan menandatangani plak perasmian disaksikan guru-guru dan pelajar-pelajar APSES.
17 Sep 20
1942
Dua Pesakit Terharu Terima Katil Wakaf
DUNGUN, 17 September - Seorang warga emas dan pesakit terlantar terharu menerima sumbangan katil wakaf yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, baru-baru ini.
Mereka ialah Abdullah Mohamad , 72, dari Kampung Sura Gate dan Wan Mohd Suffian W Mohamad, 43, Kampung Molek.
Wan Hapandi berkata, melalui konsep wakaf, orang ramai boleh menyumbang dan katil tersebut akan diserahkan kepada pesakit.
“Sumbangan katil wakaf ini bertujuan memastikan mereka selesa dan mudah diuruskan oleh anggota keluarga masing masing.
Pemberian ini sedikit sebanyak menceriakan dan meringankan beban keluarga,” katanya kepada pemberita.
Ini membuktikan keprihatinan ADUN Sura yang memberi fokus kepada usaha meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Sementara itu, salah seorang penerima berkata, dia terharu menerima sumbangan berkenaan.
“Katil baharu ini memberi keselesaan kepada saya. Kalau nak beli sendiri memang saya tidak mampu.
Terima kasih banyak Yang Berhormat (YB). Sedikit sebanyak mudahkan urusan kami sekeluarga,” katanya.
17 Sep 20
245
Ihsan Osman Terharu Dapat Rumah Baharu
DUNGUN, 17 September - Tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan Ahmad Ihsan Osman apabila rumah yang didiami terbakar awal tahun lalu, kini berwajah baharu.
Beliau berkata, sebelum ini dia tidur tidak lena memikirkan keadaan rumah yang tidak sempurna.
“Rumah saya terbakar awal tahun lalu dan saya sangat sedih apabila mengenangkan tiada tempat tinggal.
Saya sangat terharu apabila permohonan rumah baharu di bawah program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diluluskan,” ujarnya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi penyerahan kunci rumah PPRT dirumahnya.
Ihsan memaklumkan yang impian untuk memiliki sebuah rumah telah tercapai walaupun sedih mengenangkan rumah asalnya.
“Saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rumah dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu merealisasikan impian ini termasuk YB Wan Hapandi, JKM Dungun, I-Mits Sura, kerajaan negeri dan semua,” katanya.
Sementara itu, majlis penyerahan rumah itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
17 Sep 20
577
Hari Malaysia : 350 Peserta Meriahkan 'Fun Ride'
Kira-kira 350 peserta termasuk individu dari Kemaman memeriahkan Program 'Fun Ride' Sempena Hari Malaysia di Kampung Banggol Cempedak, Serada, Marang.
17 Sep 20
340
Wan Sukairi Rai 102 Bakal Mahasiswa Dari DUN Wakaf Mempelam
KUALA TERENGGANU, 17 September – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah mengambil peluang meraikan 102 orang bakal mahasiswa dan mahasiswi dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri berkata, program ramah mesra ini bertujuan untuk meraikan kejayaan 102 orang pelajar terbabit melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA,IPTS) bersama ibu bapa mereka.
“Saya mengharapkan anak-anak kita ini akan membentuk masyarakat yang berilmu, dan menjadi pelapis dalam membangunkan kampung, daerah, negeri dan negara kita pada masa hadapan.
“Pada peringkat pertama kira-kira dua bulan yang lepas, kita telah sambut dari rumah ke rumah seramai 100 orang pelajar keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2019. Lawatan melalui 34 buah kampung itu untuk meraikan para pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke pelajaran matrikulasi, asasi dan diploma,” ulasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program ramah mesra ADUN Wakaf Mempelam bersama para pelajar ijazah pertama sesi 2020/21 di Dewan Camelia, Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu, pagi ini.
Turut hadir, Ketua Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) Wakaf Mempelam, Radzali Abdul Ghani, kakitangan daripada I-MITS Wakaf Mempelam dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam
Katanya lagi, program peringkat kedua yang diadakan itu melibatkan 32 pelajar lelaki dan 60 pelajar perempuan yang bakal melanjutkan pelajaran dalam ijazah pertama di IPTA dan IPTS sesi 2020/2021.
“Selepas majlis hari ini, dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN, kita akan mengikuti perkembangan para pelajar melalui pembentukan kumpulan dalam aplikasi Whatsapp. Inisiatif ini berperanan sebagai satu saluran untuk para pelajar berkongsi perkembangan pembelajaran masing-masing.
"Selain itu, pihak kami turut merancang untuk berjumpa dengan anak-anak DUN Wakaf Mempelam di Universiti IPTA dan IPTS, untuk melihat perkembangan pelajaran mereka dan mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar yang sedia ada di sana,” katanya.
17 Sep 20
696
Lebih 5,000 Bekas Bubur Asyura Diagihkan DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 September – Dianggarkan lebih 5,000 bekas bubur Asyura telah diagihkan kepada masyarakat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerusi Program Kacau Bubur Asyura Perdana Peringkat DUN berkenaan, semalam.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu telah dijalankan secara serentak oleh 21 buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kawasan terbabit.
“Apa yang penting dalam membuat bubur Asyura ini ialah semangat kerjasama dan muafakat yang ditonjolkan antara petugas dalam menyiapkan bubur Asyura ini.
“Sekiranya dalam perkara kecil ini kita dapat bermuafakat, lebih-lebih lagi apabila muafakat yang melibatkan perkara besar seperti perjuangan menegakkan Islam dan perjuangan menjaga hak umat Islam,” kata ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika turun meninjau perjalanan program tersebut di setiap MPKK.
17 Sep 20
317
Mobile Team PPNT Santuni Peserta eKasih Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 September – Program Lawatan Mobile Team anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT) kali ini mengambil kesempatan turun menziarahi tujuh peserta eKasih di sekitar Kuala Terengganu.
Wakil PPNT memaklumkan, para penerima bantuan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Ladang, Wakaf Mempelam dan Bukit Payong menerima bantuan sara hidup, bantuan perubatan, bantuan elaun pekerja cacat dan bantuan pesakit terlantar.
Program berkenaan merupakan aktiviti berkala dengan kerjasama Pejabat Daerah di mana Mobile Team PPNT akan turun ke setiap daerah bagi menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada penerima sumbangan.
Bantuan disumbangkan melalui beberapa agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Sekretariat Tabung Darul Iman (STDI) dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk.
17 Sep 20
587
ADUN Alur Limbat Bantu Pak Khamis
KUALA TERENGGANU, 16 September -
"Saya berasa lega dan terharu apabila ada pihak yang tampil memberikan sumbangan bagi membiayai kos menanam bangkai kerbau," kata Khamis Jusoh.
Katanya, dia memperuntukkan lebih RM300 sehari untuk menyewa jengkaut bagi menanam bangkai kerbau dikandangnya itu.
Khamis berkata demikian ketika ditemui ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat Ariffin Deraman yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu di Kampung Kubang Bujuk, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ariffin berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana untuk meringankan urusan keluarga itu.
Sehingga pagi tadi, 50 kerbau milik Pak Khamis, 64, mati termasuk 'Semek', yang paling disayangi anaknya Muhammad Syukur, 15, atau lebih dikenali sebagai 'Mowgli Malaysia'.
Syukur mula terkenal apabila gambar-gambar yang menampilkan kemesraannya dengan lebih 100 kerbau peliharaan
keluarganya tular, selain gambar itu turut tersenarai sebagai antara 20 yang terbaik dunia.
17 Sep 20
799