lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Taman Negeri Boardwalk Setiu Dinyahkuman
Taman Negeri Boardwalk Setiu Dinyahkuman
SETIU, 14 Oktober - Majlis Daerah Setiu (MDS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu selesai melakukan operasi disinfeksi atau nyahkuman di Taman Negeri Terengganu, Boardwalk Setiu Wetlands, Kampung Pengkalan Gelap di sini hari ini. Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran, Majlis Daerah Setiu, Nurul Asmera Binti Zamli berkata, operasi itu melibatkan 10 anggota bagi keseluruhan kawasan dan laluan pejalan kaki yang memakan masa hampir 2 jam. "Operasi disinfeksi ini adalah bagi menghapuskan agen-agen bawaan wabak COVID-19 sekali gus mencegah penularan wabak ini," katanya ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Untuk rekod, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu baru-baru ini telah mengeluarkan arahan notis penutupan sementara kepada orang ramai dalam mengambil langkah berjaga-jaga situasi semasa akibat pandemik COVID-19. Dalam pada itu, masyarakat terus dinasihatkan untuk mematuhi 'Prosedur Operasi Standard' (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan 'handsanitizer' dan mengamalkan penjarakan fizikal.
14 Oct 20
1546
PINTAR Catat 4,080 Pengguna Bulanan, Sentiasa Ditambah Baik - Ariffin Deraman
PINTAR Catat 4,080 Pengguna Bulanan, Sentiasa Ditambah Baik - Ariffin Deraman
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Kerajaan negeri sentiasa menambah baik dan mengesyorkan masyarakat agar memanfaatkan kemudahan akses internet dan perkhidmatan sampingan di Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) yang beroperasi di seluruh negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sehingga Julai 2020, 38 pusat sehenti komuniti tersebut telah menerima jumlah pengguna seramai 16,323 orang. “Jumlah dan sambutan pengguna amat baik sekali di mana purata bulanan adalah seramai 4,080 orang, kecuali dalam tempoh penutupan sementara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga 1 Julai lalu. “Di samping kemudahan internet, PINTAR turut menyediakan perkhidmatan ‘PINTAR Pay’, Ejen Agro Bank serta servis pembayaran bil, tambah nilai kad prabayar dan lain-lain lagi. “Bagi memastikan kualiti prasarana dan perkhidmatan berjalan lancar, pihak kerajaan telah meluluskan bajet kira-kira RM700,000 untuk penyelenggaran prasarana seperti komputer yang rosak di sesetengah pusat PINTAR. Kita turut merancang pembaharuan lain seperti penambahbaikan papan tanda PINTAR. Keperluan penambahbaikan sentiasa akan diteliti dari semasa ke semasa,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, petang semalam. Tambahan lagi, beliau berkata, beberapa PINTAR yang dahulunya mempunyai lokasi kurang strategik dan pengunjung akan dikaji untuk penambahbaikan juga. “Contohnya, sebuah pusat bersebelahan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai adalah kurang kondusif dan sempit dan sekarang dalam proses pemindahan ke lokasi lebih sesuai di kawasan Pekan Chukai,” ujarnya lagi. Untuk rekod, Pengoperasian PINTAR bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
14 Oct 20
308
126 Peserta Undi Lot RTB Felcra Darat Datok C Terengganu
126 Peserta Undi Lot RTB Felcra Darat Datok C Terengganu
KEMAMAN, 14 Oktober - Seramai 126 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kelapa Sawit Felcra Darat Datok C hadir dalam majlis pengundian lot tapak tanah tersebut. Tanah pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh FELCRA BERHAD dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dalam membantu rakyat menjana pendapatan. Hazri Jusoh sedang berucap Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal Ustaz Hazri Jusoh yang merasmikan majlis tersebut menegaskan agar mengsyukuri nikmat dan anugerah yang dikurniakan oleh Allah ini dan jangan mengkufurinya. "Nabi Muhammad S.A.W ada menyebut, wahai umatku aku tidak bimbang kesusahan dan kefakiran keatas umatku, tapi yang aku bimbang adalah bilamana kamu diuji dengan kemenangan, diuji dengan kebendaan, diuji dengan kesenangan. Maka kamu akan berebut, kamu akan berbalah sesama kamu dan kamu akan musnah sebagaimana umat sebelum kamu," ucapnya. Pegawai Pentadbir Tanah Kemaman Muhammad A. Rahman yang turut berucap menerangkan tentang undang-undang tanah negeri dan menasihatkan agar dijaga sebaiknya tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini. "Tanah ini adalah satu eset yang bernilai bagi kita, kerana tanah ini juga adik beradik berpecahbelah. Oleh itu hargailah ia dan jagalah sebaiknya," katanya. "Selagi tanah tersebut tidak didaftarkan diatas nama kita didalam seksyen 78 3, maka ianya masih bukan milik kita walaupun premium telah dikeluarkan," ucapnya lagi. Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Timur, Zulkifli Sidek yang juga turut berucap menyatakan pihaknya akan membayar dividen sebanyak tiga kali dalam setahun. "Pihak Felcra akan membayar dividen ke dalam akaun tuan puan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada awal persekolahan, sebelum Aidil Fitri dan pada akhir tahun," terangnya. Majlis tersebut diadakan di Dewan Badminton Pejabat Daerah Kemaman kelmarin dalam suasana kepatuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) Covid 19 yang ditetapkan oleh kerajaan. Peserta RTB tersebut masing-masing menandatangani perjanjian dengan FELCRA BERHAD diakhir majlis itu.
13 Oct 20
1244
Sasar 300 Sertai Program Derma Darah
Sasar 300 Sertai Program Derma Darah
DUNGUN, 14 Oktober - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menyasarkan seramai 300 orang yang terdiri daripada kakitangan dan pelajarnya menyertai program derma darah yang diadakan selama dua hari, mulai semalam bertempat di Dewan Dagang universiti itu.  Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar(JHEP,) Yaswadi Mat Yasim berkata, program itu bertujuan membantu Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang sentiasa memerlukan bekalan darah secara berterusan. "Ini adalah acara rutin setiap semester yang dianjurkan JHEP dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan turut mendapat kerjasama sepenuhnya Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. "Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelajar dan kakitangan kita, inilah bukti menunjukkan warga PSMZA sangat prihatin," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau perjalanan program tersebut, semalam. Katanya, dengan adanya program tersebut juga ianya memudahkan warga PSMZA untuk menderma darah kerana tidak perlu ke hospital.
13 Oct 20
310
Jalan Utama Ke Kampung Pinang Merah Dinaiktaraf
Jalan Utama Ke Kampung Pinang Merah Dinaiktaraf
DUNGUN, 14 Oktober - Jalan Mempelam yang menghubungkan jalan besar (Jalan Persekutuan) ke Kampung Pinang Merah selesai diturap. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pinang Merah, Che Wan Mustaffa Che Wan Kaman berkata, jalan itu akhirnya menjadi laluan utama penduduk sekitar setelah  dinaiktaraf.  "Pada asalnya jalan itu hanyalah berpasir tanpa batu kasaran dan tar, kerap kali dilalui lori pengusaha pasir.  "Alhamdulillah, semalam jalan itu siap diturap dan mula digunapakai oleh masyarakat setempat," katanya.   Menurut beliau, jalan utama ini menghubungkan ke Kampung Tebing Tembah, kawasan projek Jabatan Pertanian, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Baru Pinang Merah Sejahtera dan juga ke kawasan penempatan asal Kampung Pinang Merah. Mustaffa berharap agar penduduk kampung memanfaatkan jalan ini sebaiknya.  "Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ahli Parlimen Dungun, Pejabat Daerah Dungun serta seluruh agensi yang terlibat dalam meluluskan projek bagi menaiktaraf Jalan Mempelam ini," katanya. Sementara itu, salah seorang penduduk di situ, Kamal Asri meluahkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada MPKK setempat.  "Alhamdulillah, kerana ini laluan utama saya setiap hari dan hari ini telah dinaiktaraf dengan berturap tar," ujarnya. 
13 Oct 20
2678
Warga Emas Terharu Terima Sumbangan Katil Wakaf
Warga Emas Terharu Terima Sumbangan Katil Wakaf
DUNGUN, 13 Oktober - Seorang warga emas, Fatimah Abd Rahman, 61, terharu dengan sumbangan katil wakaf yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik. Fatimah yang menetap di Kampung Sura Tengah, di sini berkata, bantuan itu dapat meringankan bebannya selepas tidak mampu bergerak berikutan menghidapi sakit tulang belakang.  “Alhamdulilah, saya bersyukur, dengan adanya katil ini, ia sedikit sebanyak memudahkan saya dan keluarga untuk melakukan aktiviti harian,” katanya.  Sementara itu, Wan Hapandi memaklumkan, katil tersebut sentiasa bertukar penerima kerana ia menggunakan konsep wakaf.  “Sumbangan katil wakaf ini bertujuan memastikan pesakit selesa dan mudah diuruskan oleh anggota keluarga masing-masing. "Semoga ianya memberi manfaat kepada pesakit dan dapat membantu memudahkan urusan harian mereka,” ujarnya kepada pemberita. Katanya, melalui konsep katil wakaf ini, orang ramai boleh menyumbang dan katil ini akan diserahkan kepada pesakit yang memerlukan. 
13 Oct 20
391
Permai Hotel Lancar Kempen Kesedaran Kanser Payudara
Permai Hotel Lancar Kempen Kesedaran Kanser Payudara
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Permai Hotel Kuala Terengganu, baru-baru ini telah melancarkan Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara #PermaiPinktober 2020. Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang juga dikenali sebagai 'Pink October', bertujuan untuk meningkatkan perhatian dan sokongan bagi kesedaran awal penyakit tersebut. Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, sebagai tanda sokongan, Permai Hotel Kuala Terengganu mengadakan acara pemakaian ‘Pink Ribbon’ kepada pihak pengurusan dan warga kerja hotel. “Kami turut menggalakkan pihak pengurusan untuk memakai pakaian berwarna merah jambu pada setiap hari Rabu sepanjang bulan Oktober ini sebagai tanda sokongan terhadap Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara 2020. "Penyakit itu adalah musuh nombor satu kepada wanita seluruh dunia. Tanpa wanita, pincanglah sebuah rumah tangga. Wanita perlu kuat melawan penyakit dengan membuat saringan awal,” ujarnya. Meskipun berdepan dengan wabak COVID-19 gelombang ketiga, Permai Hotel bagamaimanapun menyasarkan kempen ini kepada warga kerjanya dan tetamu hotel. Masih mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP), Majlis Pelancaran #PermaiPinktober dimeriahkan lagi dengan acara pembahagian kek cawan kepada para tetamu hotel. 
12 Oct 20
1009
Miliki Anak Celebral Palsy Tidak Halang Suri Rumah Jadi Agen Kosmetik
Miliki Anak Celebral Palsy Tidak Halang Suri Rumah Jadi Agen Kosmetik
DUNGUN, 12 Oktober - Walaupun mempunyai anak istimewa yang memerlukan penjagaan rapi ianya tidak pernah menghalang seorang suri rumah untuk menjadi agen kosmetik bagi menambah pendapatan Keluarga. Muriati Abu Bakar, 33 ibu kepada Siti Nurzulaikha Mohd Zul Azri, 6, kanak-kanak yang menghidap 'Celebral Palsy' mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap permata hatinya. Bekas guru tadika itu terpaksa berjauhan dengan suami yang bertugas di Setiu dan membuat keputusan tinggal bersama ibu bapanya memandangkan kediaman keluarga berdekatan dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampung Baru, tempat Zulaikha bersekolah dan memudahkannya untuk berulang alik ke Hospital Dungun.  "Alhamdulillah sekarang Zulaikha tidak lagi mengalami sakit dan sawan, hanya ke hospital untuk fisioterapi sahaja," jelas ibu muda yang  turut dibantu oleh kedua orang tuanya menjaga anak syurga itu.  Berkongsi cerita bagaimana dia boleh  menjadi agen kosmetik, Muriati berkata,  pada mulanya dia hanya menggunakan kosmetik jenama Nuraisya itu untuk kegunaan sendiri.  "Mula-mula saya beli barang untuk pakai,  lepas tu 'promote-promote' saya  jadi 'dropship'. Bila sudah ada modal sikit-sikit, saya 'up' jadi agen," katanya.  Muriati ditemui pemberita ketika ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun yang menghantar bantuan Tabung Darul Iman (TDI) berupa susu dan lampin pakai buang di rumahnya di Kampung Rhu Batil dekat sini semalam.  Menurutnya, dia mula berjinak-jiinak dengan berniaga dari rumah sejak anak tunggalnya itu berusia dua tahun.  "Alhamdulilah, berkat kesabaran, rezeki sentiasa masuk walaupun tidak banyak," ujarnya yang sememangnya minat berniaga. 
12 Oct 20
297
DUN Air Putih Sumbang Mesin Pam Air Dan Paip Poly Kepada Peserta Tanaman Berkelompok
DUN Air Putih Sumbang Mesin Pam Air Dan Paip Poly Kepada Peserta Tanaman Berkelompok
KEMAMAN, 12 Oktober - Seramai 25 orang peserta tanaman berkelompok dari Kampung Seberang Tayur Hulu telah menerima sumbangan berupa 5 buah mesin pam air dan 2 gulung paip poly daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih baru-baru ini. Penerima sumbangan terdiri daripada peserta projek tanaman jagung, kacang dan timun halus di tapak Tanaman Berkelompok, Teluk Romania, Kampung Seberang Tayur. Mesin pam air yang berfungsi untuk menyedut air sungai ini akan menyalur dan menyiram air ke atas tanaman di tapak projek tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim turut turun padang ke tapak projek berkenaan bagi menyampaikan sumbangan kepada para peserta. “Diharapkan dengan adanya tambahan mesin pam air ini, hasil tanaman dapat dipertingkatkan memandangkan sebelum ini para peserta perlu bergilir-gilir menggunakan mesin pam air yang sedia ada dan terhad” ujar beliau sewaktu menyerahkan sumbangan. “Semoga beban para peserta sedikit sebanyak dapat diringankan kerana mesin ini juga dapat membekalkan air yang mencukupi kepada tanaman untuk bertahan lebih lama dan tidak mudah rosak,” tambah beliau lagi. Beliau juga berpeluang melihat sendiri bagaimana mesin-mesin ini berfungsi di samping mendapat serba sedikit penerangan daripada para peserta. Rata-rata para peserta menzahirkan rasa terharu atas kecaknaan YB Razak terhadap petani seperti mereka yang mana bercucuk tanam merupakan sumber rezeki mereka bagi menyara keluarga masing-masing terutama di dalam keadaan pandemik covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.
12 Oct 20
760
187 Keluarga Terima Bantuan Baiki Rumah Di Paka
187 Keluarga Terima Bantuan Baiki Rumah Di Paka
DUNGUN, 12 Oktober - Sebanyak 187 keluarga telah menerima bantuan baiki rumah menerusi Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka sejak pertukaran kerajaan dahulu.  Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Mohd Wirdan Shahidan berkata, kebanyakan yang menerima bantuan itu adalah mereka yang ditimpa musibah seperti ribut, angin kencang dan kebakaran. "Mereka yang dalam kesusahan menjadi keutamaan kita kerana mereka berhak mendapatkannya,"ujarnya kepada pemberita. Wirdan mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan keutamaan masyarakat memberi ruang kepada yang lebih layak dalam mendapat peruntukan pembaikan rumah ini. Katanya, syarat yang diutamakan adalah terhadap golongan yang tersenarai dalam sistem e-Kasih. "Pihak kami (Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Paka) sentiasa menerima borang permohonan yang dihantar melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat. "Peruntukkan ini diagihkan setiap DUN dengan jumlah yang terhad tetapi permohonan terlalu banyak. "Atas faktor ini pihak Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Paka akan melihat keutamaan yang lebih memerlukan," ujarnya.
12 Oct 20
1964