Artikel "Komuniti" Terkini
'Dulu Beli Cermin Mata Kat Pasar Je'
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - "Alhamdulillah dapat bantuan cermin mata ini kalau tidak, pakai spek beli dekat pasar saja untuk mengaji, " demikian luahan penerima bantuan, Faziah Ismail, 50.
Penduduk Kampung Kedai Manir itu meluahkan rasa syukur apabila terpilih sebagai penerima sumbangan cermin mata (sesi pemeriksaan mata) anjuran Jabatan Kebajikan Malaysia JKM Daerah Kuala Terengganu dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat PKM Manir.
"Kalau nak beli sendiri memang tak mampu sebab harga beratus, kalau nak mengaji atau isi borang tu memang pakai cermin mata yang beli harga murah-murah saja sebab rabun dekat.
"Alhamdulillah, JKM Daerah Kuala Terengganu beri peluang kepada saya dan semoga sumbangan seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang," katanya kepada Media Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI.
Menurutnya, dia yang sudah kematian suami sejak lapan tahun lalu sangat terharu kerana terpilih untuk sesi bantuan kali ini diadakan di Dewan Musolla Kompleks Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, semalam.
Faziah sebahagian daripada 130 penerima yang hadir untuk sesi pemeriksaan mata bagi DUN Manir.
Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Masyarakat DUN Manir, Rozali Mamat berkata, cermin mata itu diagihkan kepada warga emas dan golongan B40 yang mengalami masalah penglihatan di kawasan ini.
“Ada yang berpendapat, pemberian ini tidak seberapa, namun ia amat bernilai kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
16 Oct 20
901
Skuad Cegah Sura, AADK Dan RELA Bekerjasama Banteras Maksiat dan Dadah
DUNGUN, 16 Oktober - Skuad Cegah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menjalin kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Dungun dan RELA dalam membanteras kegiatan maksiat dan dadah.
Ketuanya, Mahdi Hasan berkata, hampir setiap malam skuad cegah ini melakukan rondaan.
“Alhamdulillah kita dapat kerjasama dari AADK dan RELA dalam operasi kita kali ini.
"Tujuan kita buat rondaan ini adalah untuk memastikan sekitar kawasan Dungun bersih dan bebas dari maksiat serta gejala dadah,” katanya.
Beliau ditemui media selepas sesi rondaan di padang merdeka arena disini, semalam.
Tambah beliau lagi, bukan semua masyarakat suka akan skuad ini namun atas rasa tanggungjawab bersama, rondaan tetap dijalankan.
“Ada segelintir netizen yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan Skuad Cegah Sura ini.
"Mungkin bagi mereka, ini mengganggu hak asasi mereka tetapi apa yang kami buat adalah cegah dahulu sebelum terlambat," ujarnya.
16 Oct 20
577
'Cukuplah 18 Tahun Bergelumang Dengan Najis Dadah'
HULU TERENGGANU, 16 Oktober - “Cukuplah 18 tahun saya bergelumang dengan najis dadah," kata Zakri Ismail, 39, antara Orang Kena Pengawasan (OKP) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang berjaya pulih daripada masalah ketagihan dadah.
Zakri Ismail yang lebih mesra disapa Zack, berkata mujurlah sinar keinsafan itu hadir membuatkannya kembali ke pangkal jalan.
Dia wajar dijadikan contoh apabila kini mencorak langkah mengusahakan ternakan lembu di kampung Peroh , Ajil, Terengganu.
Ketika menceritakan pengalamannya, Zakri berkata, dia mula terbabit dalam penyalahgunaan dadah ketika berada di Tingkatan Empat kerana terpengaruh dengan rakan sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran.
Masih berbaki setahun untuk bebas dari pengawasan, Zakri bersyukur mempunyai keluarga terutama arwah ibu yang tidak berputus asa memberi sokongan kepadanya untuk kembali pulih dari penagihan dadah.
“Saya bukanlah pemuda yang nakal di kampung, namun mula terpengaruh untuk mengambil bahan terlarang itu secara serius apabila mula bekerja di Shah Alam apabila mula melepak bersama kawan kawan.
“Sejak itu, saya hanyut dengan rakan-rakan dan mengabaikan keluarga terutama ibu dan ayah. Setiap minggu saya habiskan RM200 hingga RM300 untuk beli dadah sedangkan saya bukan orang senang.
“Tidak cukup dengan itu, saya diberhentikan kerja walaupun sebenarnya saya menjadi antara pekerja cemerlang ketika itu. Apabila mengingat kembali semua itu, saya berasa amat malu dan menyesal,” katanya yang pernah ditahan polis dua kali.
Katanya, pengaruh rakan-rakan terlalu kuat menyebabkannya gagal untuk berhenti mengambil dadah walaupun mempunyai keinginan berhenti, namun semuanya berubah selepas dia berada di bawah pengawasan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Hulu Terengganu untuk tempoh dua tahun.
Zakri berkata, dia mengenali Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim ketika Pengerusi JKPD itu hadir setiap kali sesi kaunseling Agama bersama OKP.
“Ayah ( Ustaz Maliaman) berkongsi modal untuk diberikan kepada saya bagi memulakan penternakan.
“Allhamdullilah, syukur penternakan semakin maju dengan sokongan ayah dan saya sedang memperbesarkan perternakan ini,” katanya.
Sementara itu, Maliaman berkata, masyarakat perlu memberi ruang kepada bekas penagih untuk memperbaiki diri masing- masing.
“Program keusahawanan perlu diberikan dan peluang untuk golongan ini bagi melatih bekas penagih dengan memberikan kemahiran serta cara untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan," ujarnya.
16 Oct 20
9246
WWF, Penduduk Lupus Barangan Elektrik
SETIU, 15 Oktober - WWF Malaysia, syarikat H&M, Persatuan Wanita Kampung Mangkok (PEWANIS) dan penduduk Kampung Mangkok bertindak melupuskan barangan elektrik tidak terpakai bagi menjaga kelestarian alam sekitar.
Pegawai Program berkenaan, Nur Syahirah Wahab berkata, aktiviti itu juga sebagai tanda sokongan bagi menjayakan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik sempena Hari Alam Sekitar Negara 2020.
"Program yang diadakan pada hari ini banyak mengumpulkan barangan seperti televisyen, pencetak, radio, komputer, telefon bimbit dan banyak lagi.
"Ini usaha kita menjaga alam sekitar dan menyedarkan masyarakat bahawa barangan sisa elektrikal dan elektronik perlu dihapuskan secara terkawal dan baik," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program pelupusan di Kampung Mangkok di sini hari ini.
Program yang diadakan selama dua hari di Rumah Pink, PEWANIS Kampung Mangkok itu berjaya mengumpul lebih 100 barangan elektrikal dan elektronik.
15 Oct 20
859
Terengganu Siap Siaga Hadapi Musim Banjir Norma Baru
MARANG, 15 Oktober - Semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir kini berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal November ini sehingga penghujung Mac tahun hadapan.
Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, bermula hari ini, Terengganu telah melaksanakan Simulasi Bencana Banjir yang dimulakan dengan daerah Marang.
"Hari ini kita menjalankan proses simulasi ataupun latihan berkaitan dengan pengoperasian pusat pemindahan yang mana inisiatif daripada pihak Pengerusi Bencana Daerah iaitu Tuan DO (Pegawai Daerah) Marang untuk menjalankan program ini.
"Sangat bagus dan kita telah lihat tadi bermula daripada proses awal pemindahan, 'penduduk yang terjejas banjir' dipindahkan dengan bot dan lori. Alhamdulillah pematuhan itu berlaku dengan baik yang mana dalam bot kita telah kurangkan orang dengan agensi-agensi yang terlibat untuk membawa mangsa berkenaan ke tebing tempat selamat dan dibawa menaiki lori.
"Sama juga di dalam lori, kalau dahulu muatannya 40 orang, sekarang hanya 15 orang sahaja, tidak boleh bersesak-sesak dan sebagainya, dan terus dibawa ke pusat pemindahan yang dicadangkan. Ada dua kategori Prosedur Operasi Standard (SOP) kali ini sama ada digunakan di sekolah atau dewan.
"'Partition' dijarakkan untuk mematuhi SOP berkenaan, bermula dengan pendaftaran, penjarakan fizikal diutamakan, semua mangsa yang dipindahkan diberi 'face mask' dan sebagainya. Itu adalah SOP yang diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kita harus patuhi dari masa ke masa.
"'Food pax' juga kita sediakan yang mana kita telah disarankan oleh pihak Pengurusan Bencana Pusat, tidak ada lagi masakan secara gotong-royong dan sebagainya. Justeru bagi pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, insya-Allah kita sudah bersiap siaga untuk menghadapi musim banjir kali ini dalam norma baharu.
"Kita difahamkan ada lagi daerah lain yang akan dibuat mini latihan dan kita akan perkemaskan lagi SOP berkenaan dari masa ke masa," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Simulasi Bencana Banjir Peringkat Daerah Marang di Dewan Sivik Merchang di sini hari ini.
Hadir sama dalam program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Penolong Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara, Negeri Terengganu, Mejar Nik Hazlizam Nik Othman dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris.
Sulaiman Sulong.
Dalam pada itu, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong turut memberitahu, kerajaan negeri telah mengarahkan agar semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlibat dalam simulasi tersebut untuk memberi pendedahan dan mengadakan persiapan awal di peringkat komuniti masing-masing.
"Kita prihatin dan mengambil pendekatan melakukan satu tindakan awal bagi memastikan tidak berlaku kebimbangan di antara rakyat tentang persiapan dan persediaan menghadapi musim banjir. Saya juga mengharapkan kita semua sentiasa berhati-hati dan mendengar arahan pihak berkuasa dari masa ke masa," ujarnya.
15 Oct 20
826
Pesakit Wad Kelas Ketiga Terengganu Bakal Nikmati Caj Percuma Bila-Bila Masa
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober - Kerajaan negeri memberi jaminan pesakit wad kelas ketiga di hospital milik kerajaan di seluruh Terengganu akan menikmati caj perubatan secara percuma bila-bila masa sahaja dari sekarang bermula bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kemudahan tersebut disediakan khusus kepada rakyat Terengganu yang menjadi pesakit wad kelas itu tanpa mengira golongan.
"Persetujuan telah dicapai antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan negeri mengenai perkara ini sebelum ini. Di peringkat kita semua persiapan telah dibuat, hanya tinggal menunggu surat rasmi dari Putrajaya bagi pelaksanaan serta-merta.
"Kita jangkakan dalam masa beberapa hari lagi perkara ini akan selesai dan berjalan serta-merta insya-Allah dalam bulan ini juga," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.
Caj percuma pesakit wad kelas ketiga adalah satu daripada 20 perkara yang dijanjikan oleh PAS Terengganu dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Ia akan dilaksanakan di enam buah hospital di seluruh negeri Terengganu membabitkan Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu serta hospital di Dungun, Setiu, Besut, Kemaman dan Hulu Terengganu.
Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta setahun untuk pelaksanaan caj percuma bagi wad kelas ketiga demi meringankan beban rakyat negeri Terengganu yang berpendapatan rendah terutamanya.
Untuk rekod, caj wad kelas ketiga yang dibayar pesakit di hospital di negeri ini berjumlah RM3.89 juta dengan jumlah seramai 84,946 pesakit pada 2017 dan RM3.6 juta membabitkan 76,206 pesakit pada 2018.
15 Oct 20
2628
Ibu Enam Anak Bersyukur Terima Bantuan Basikal
DUNGUN, 15 Oktober - Seorang ibu yang mempunyai enam orang anak melahirkan kesyukuran setelah mendapat sumbangan sebuah basikal daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun.
Syarifah Maria Syed Zainordin, 33, dari Kampung Gong Pasir berkata, dia pernah menyatakan hasrat itu kepada Alias ketika kunjungan wakil rakyat itu bersama 'mobile team' ke rumahnya tempoh hari bagi memudahkannya berulang alik ke tempat kerja.
"Sebelum ini saya terpaksa bergantung kepada anak yang sulung untuk menghantar saya ke tempat kerja dengan menaiki motosikal kerana saya tidak mahir menunggang motosikal, jadi dengan adanya basikal ini dapatlah saya berulang alik ke tempat kerja tanpa menyusahkan anak," ujarnya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Maria menanggung kesemua anaknya yang berumur 15 hingga lima tahun dengan bekerja sebagai pembantu di kedai membuat kuih berhampiran tempat tinggalnya.
Katanya, selain itu dia yang mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) turut menerima tempahan popia dan menampal 'stiker'.
"Tempahan popia bergantung kalau ada tempahan, begitu juga tampal 'stiker' dan kerja buat kuih, ada kerja, adalah duit," katanya yang tinggal di rumah peninggalan arwah bapanya.
15 Oct 20
674
Meathos Malaysia Kini Di Kemaman Terengganu
KEMAMAN, 15 Oktober - Meathos Malaysia merupakan satu perniagaan yang menyediakan produk daging lembu dan bebiri yang berkualiti. Sebelum ini ianya hanya boleh didapati di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Kini, penggemarnya yang tinggal di negeri Terengganu ini boleh tersenyum dan mendapatinya dengan mudah apabila sebuah lagi cawangannya mula dibuka di sini sejak 5 September yang lalu.
Pemilik Meathos Malaysia Cawangan Kemaman, Efdzal Malaid, 39, bersyukur ke hadrat Ilahi di atas pembukaan kedainya ini.
"Pada mulanya saya bersama rakan niaga, Zulkarnain Ismail, 39, menerima banyak permintaan daripada kawan-kawan agar membuka sebuah cawangan di sini.
Kami ingin melihat masyarakat di negeri Terengganu ini khususnya di Kemaman dapat merasai keenakan "Premium Meat" ini dengan harga yang murah dan berpatutan berbanding di tempat lain".
Kami di sini turut bekerjasama dengan The Bollock Coffee untuk menarik minat pelanggan datang beramai-ramai bagi merasai keenakan kopi nisan yang tidak asing lagi beserta hidangan daging kami ini," ujarnya.
Meathos Malaysia menyediakan pelbagai menu istimewa seperti Aus Wagyu Steak, Aus Black Angus, Angus Tomahawk dan Wagyu Tomahawk. Pelbagai jenis menu lain turut disediakan di kedainya. Ianya boleh didapati dan dirasai dengan harga serendah RM60 dan ke atas.
Beliau turut mengharapkan agar perniagaannya yang dibuka dengan slogan "Hidangan Bangsawan, Harga Rakyat Jelata" ini sentiasa berada dalam keadaan baik dan berjalan lancar.
"Kita juga turut berhasrat mengembangkan lagi perniagaan ini dengan membuka serta menambah cawangan di Dungun dan Kuantan, Pahang. InsyaAllah, tahun depan (2021)," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di kedainya itu, semalam.
Kepada pelanggan atau pengunjung yang belum pernah datang ke kedainya dan ingin merasai sendiri pelbagai keenakan makanan dan minuman di sana, bolehlah ke kedai makan The Bollock Coffee, Kampung Tuan. Ianya beroperasi pada hari Sabtu hingga Khamis, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
15 Oct 20
1992
Mak Cik Maimun Sebak Kumpulan EPIC Hulur Bantuan
KUALA NERUS, 14 Oktober – Seorang Ibu Tunggal di Kampung Kubur Timah, Maimun Yunus tidak dapat menahan sebak apabila Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menyampaikan bantuan keperluan asas beserta wang tunai kepada keluarganya.
Maimun, 61, berkata setelah kehilangan suami akibat kanser paru-paru pada tahun lepas, ditambah lagi dengan kehilangan kakinya akibat kencing manis, ujian itu menyukarkan dirinya mencari nafkah buat keluarga.
“Nak bergerak pun susah, anak-anak kena dukung naik motosikal, duit untuk baiki kereta pun tidak mampu. Keluarga kami bergantung kepada pekerjaan anak dan bantuan-bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubur Timah.
“Mak cik nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada kumpulan EPIC, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, MPKK Kampung Kubur Timah dan ramai lagi. Dengan bantuan sebegini, boleh mak cik buat makan untuk anak-anak dan cucu-cucu yang ramai,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemubual pemberita di rumahnya hari ini dalam program EPIC Cakna dan Prihatin 2020 di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Saabi Wahab berkata, program sesi kelima tersebut bertujuan untuk membantu dan mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan.
“Untuk hari ini, pihak kami telah menyampaikan bantuan katil hospital tiga fungsi kepada seorang penghidap diabetes di Tok Jembal diikuti bantuan keperluan asas serta wang sagu hati kepada Puan Maimun dan keluarga.
“Kami sentiasa mengambil berat tentang mereka yang kurang bernasib baik di dalam negeri. Program dalam masa terdekat akan melibatkan 3 hingga 4 kawasan, seperti di Ajil pada pagi esok tetapi ditangguhkan atas sebab pandemik COVID-19,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman bersama pihak MPKK turut datang melawat dan mengambil cakna tentang keadaan keluarga Maimun.
“Pihak MPKK dan DUN Batu Rakit menganggap mereka seperti keluarga angkat kerana sering melawat dan memberi bantuan keperluan harian dan dapur pada tiap-tiap musim,” katanya.
14 Oct 20
1268
Gajah Air Putih Dapat Perhatian Ahli Parlimen Kemaman
KEMAMAN, 14 OKTOBER - Gajah di Air Putih mendapat perhatian Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dalam pertemuan bersama Pegawai Perhilitan Negeri Terengganu diwakili Timbalan Pengarah, Shaary Awang Besar.
Pertemuan diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Kemaman pagi ini membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu gajah di Air Putih.
Pada Khamis lepas sekumpulan gajah liar masuk ke kawasan tanaman sawit penduduk kampung dan memusnahkan kesemua anak pokok di ladang sawit milik penduduk kampung.
Di Kemaman kumpulan gajah liar terbahagi kepada 3 kumpulan dan telah dibagi ‘ID’ oleh Pejabat Perhilitan Negeri iaitu ‘ID’ Hutan Simpanan Cherul, ‘ID’ Bandi dan ‘ID’ Tebak kesemua gajah anggaran 60 ekor atau lebih bercakap Timbalan Pengarah dalam pertemuan bersama Ahli Parlimen Kemaman.
Ujarnya lagi aduan gajah untuk di Terengganu, Kemaman adalah daerah terbanyak aduan gajah liar yang meroskkan tanaman. Ini berikutan kemerosotan hutan simpanan atau tempat tinggal habitat ini telah diganggu.
Kamarulzaman Mat Seri menunjukkan lokasi hidupan gajah di Kemaman
Berikutan pertemuan ini, Che Alias Hamid akan membawa persolan ini di parlimen yang akan mula bersidang pada 2 November dan akan mengaturkan pertemuan antara jabatan perhilitan dengan penduduk secepat mungkin bagi mendapat kerjasama yang baik.
Pihak perhilitan negeri juga telah mengadakan operasi bermula ahad dan berakhir esok dan sehingga kini belum dapat menjejaki haiwan tersebut. Dari masa kesemasa kerjasama antara penduduk kampung dan pihak jabatan adalah perlu bagi meyelesaikan masalah ini.
“Tangkapan terakhir yang telah dibuat oleh pihak jabatan sekitar Ogos 2018 dan Oktober 2020 isu gajah ini timbul kembali”, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang turut bersama dalam pertemuan pagi ini.
Kerajaan Negeri Terengganu adalah salah satu negeri yang telah menubuhkan tabung amanah perhilitan bagi membantu Jabatan Perhilitan Terengganu beroperasi di Negeri Terengganu mengikut aduan-aduan yang telah dibuat.
Turut bersama dalam pertemuan ini bagi mencari jalan penyelesaian Ketua Perhilitan Daerah Kemaman, Kamrulzaman Mat Seri dan Penyelia Pusat Khidmat Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam.
14 Oct 20
634