Artikel "Komuniti" Terkini
Anak Syurga Terima Penghawa Dingin
KEMAMAN, 19 Oktober - Anak-anak syurga di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda Seberang Tayor atau nama baharunya, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Felda Seberang Tayor menerima sumbangan dua buah penghawa dingin daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih.
Pengerusinya, Safidal Shamsudin berkata, PPDK di sini mula beroperasi pada 2006 dan kini mempunyai 11 orang pelajar yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada ADUN Air Putih, Ab. Razak Ibrahim kerana menerima permohonan daripada kami untuk membeli dua buah penghawa dingin ini," katanya.
Sementara itu, menurut Penyelia PPDK Felda Seberang Tayor, Marinirma Malika, penghawa dingin itu akan digunakan dengan sebaiknya dengan sedikit sebanyak memberi keselesaan kepada pelatih-pelatih PDK ini.
Ab. Razak Ibrahim juga berkata, pihaknya di DUN Air Putih akan terus membantu golongan OKU sedaya upaya. Beliau mengharapkan agar sumbangan itu dapat memberikan keselesaan kepada pelatih-pelatih PPDK.
Untuk rekod, PPDK adalah strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.
18 Oct 20
458
ADUN Sura Bantu Persatuan Orang Pekak Terengganu
DUNGUN,19 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik terus komited membantu golongan kurang bernasib baik di negeri ini.
Katanya, sumbangan yang dihulurkan kepada mereka yang memerlukan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat pihaknya.
"Melalui peruntukan yang diberi, kita salurkan kepada semua yang layak tanpa mengira latar belakang politik mahu pun bangsa.
"Kita berusaha mengenal pasti golongan kurang bernasib baik daripada pelbagai kategori termasuk anak yatim, pesakit yang terlantar dan sebagainya.
“Semua yang mohon melalui kita dengan menepati syarat dan terma, kita akan bagi mengikut kesesuaian dan bajet yang ada,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya semalam.
Terdahulu, ADUN Sura itu menyampaikan sumbangan wang tunai kepada Persatuan Orang Pekak Terengganu di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sura.
18 Oct 20
305
'Port' Dadah Bakal Jadi Pusat Pelancongan
DUNGUN, 18 Oktober - Pantai Teluk Bidara yang sebelum ini menjadi 'port' penagihan dadah bakal menjadi pusat pelancongan untuk orang ramai bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan.
Penolong Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu, Rusmizal Ibrahim berkata mengikut faktor geografi tempat tersebut sangat cantik dan sesuai untuk menjadi destinasi pelancongan di Dungun.
"Dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Bidara, agensi-agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), kita bergotong-royong untuk membersihkan tempat ini agar bertukar daripada 'port' penagih dadah kepada salah satu pusat rekreasi di Dungun," katanya.
Rusmizal ditemui ketika di Program Bersepadu AADK Musnah Port di Kampung Teluk Bidara di sini semalam.
Turut hadir di program tersebut ialah Penghulu Mukim Abang, Abdul Ghafar Abu Bakar, Ketua Pegawai AADK Daerah Dungun, Yusri Mohd.
Manakala Yusri ketika ditemui sebelum itu memberitahu, Kampung Teluk Bidara telah terpilih sebagai 'kawasan angkat' AADK di mana pelbagai program telah dijalankan dan akan sentiasa diadakan.
"Gotong-royong ini adalah rutin bulanan bersama MPKK, selain menebas semak samun kita telah bergotong royong bina pintu gerbang.
"Teluk Bidara, sesuai sebagai tempat pelancongan dan kita perlu bersihkan daripada gejala dadah agar bila pelancong datang, mereka berasa selamat," jelasnya.
18 Oct 20
5074
Lima Keluarga Gembira Projek Baikpulih Air Rumah Siap Sepenuhnya
DUNGUN, 18 Oktober - Lima keluarga sekitar daerah ini melahirkan rasa gembira apabila projek baikpulih sistem air di rumah mereka siap sepenuhnya.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Wan Hassan Mohd Ramli berkata, projek ini merupakan hasil daripada peruntukan 'Coporate Social Responsibility' kepada pengerusi suruhanjaya berkenaan khusus bagi mengendalikan hal-hal berkaitan air.
"Dua keluarga di Kampung Alor Tembesu dan tiga lagi dari Kampung Padang Jambu, Kampung Pengkalan Jering serta Kampung Bukit Chatak yang telah dikenalpasti sebelum ini menyatakan rasa gembira apabila kerja-kerja baikpulih telah sempurna dilaksanakan.
"Kerja-kerja baikpulih ini melibatkan pelbagai bentuk masalah air yang dihadapi oleh mereka, ada diantara mereka yang tekanan air dirumahnya terlalu rendah dan ada yang hanya menggunakan air telaga sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi rumah-rumah yang telah menerima bantuan berkenaan, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun berkata, masih ada permohonan lain yang sedang diproses dan pihaknya akan mengambil langkah segera untuk cuba selesaikan kerana isu air adalah suatu masalah yang kritikal bagi penduduk.
18 Oct 20
507
Penyelenggaraan, Bina Jalan Di Jabi Sedang Giat Berjalan
SETIU, 18 Oktober – Penyelenggaraan dan pembinaan jalan baharu di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi sedang giat dijalankan mengikut keutamaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kerja-kerja bagi menyelesaikan masalah di lokasi dengan mengutamakan tempat yang akan dimanfaatkan secara umum berbanding kegunaan individu.
"Banyak lagi jalan di Jabi yang belum selesai dibaiki. Kita buat mengikut keutamaan. Antara penilaian keutamaan, jalan untuk kegunaan umum lebih diutamakan daripada jalan persendirian.
"Jalan untuk kegunaan 20 buah rumah lebih diutamakan dari jalan untuk kegunaan lima buah rumah. Jalan sawah padi yang dimanfaatkan berpuluh orang pesawah lebih utama daripada jalan kebun milik perseorangan," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
18 Oct 20
1296
Turap Jalan Untuk Pesawah
SETIU, 18 Oktober – Kerajaan Terengganu tidak akan meminggirkan kemudahan asas seperti penurapan jalan untuk golongan pesawah supaya pengusaha dalam bidang tersebut mampu memaksimakan potensi dengan sebaik mungkin.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun ia sekadar infrastuktur asas tetapi ia sangat penting kepada golongan petani.
"Kalau jalan nak pergi pasar raya perlu jalan berturap, kenapa pula jalan sawah padi yang merupakan periuk nasi kita perlu dipinggirkan.
"Malah, dalam sawah padi pun ada rumah penduduk. Mereka tak boleh dinafikan hak untuk turut menikmati kemudahan asas sama seperti di tempat lain," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Beliau yang juga Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Jabi turut berkata, usaha berkenaan secara tidak langsung akan menerapkan nilai-nilai positif ke dalam minda masyarakat agar mengubah sisi pandangan terhadap sektor pertanian.
"Kita nak ubah minda bahawa kerjaya petani adalah kelas ketiga dan inilah bidang tempat orang mundur dalam masyarakat. Biar kita bermentaliti, petani adalah kerjaya kelas pertama. Nak pergi ke sawah pun ada jalan berturap," tambah beliau.
18 Oct 20
644
MPKK Lot Sri Jaya Tubuh Pasukan Sukarelawan Kawal Kampung
Kemaman, 18 Oktober - Cakna akan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kampung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lot Sri Jaya telah mengambil inisiatif menubuhkan sebuah pasukan sukarelawan kawalan keselamatan di kampung berkenaan baru-baru ini.
Pengerusinya, Syed Mohamad Syed Soh menegaskan bahawa pasukan sukarelawan ini bertanggungjawab menjaga keselamatan kawasan sekitar Kampung Lot Sri Jaya seperti termasuk di laluan keluar dan masuk.
Operasi kawalan keselamatan yang bermula seawal jam 12 tengah malam akan dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim turut meluangkan masa hadir merasmikan pos kawalan keselamatan MPKK Lot Sri Jaya ini.
“Usaha seperti ini wajar dicontohi oleh banyak pihak terutama dalam membanteras kegiatan yang tidak bermoral di kampung masing-masing.
“Semoga dengan adanya inisiatif seperti ini, keselamatan penduduk kampung akan lebih terjamin selain dapat melahirkan para pemuda yang berbakti kepada masyarakat dengan menyertai pasukan keselamatan seperti ini,” tambahnya ketika berucapkan merasmikan pos tersebut di sini baru-baru ini.
Pasukan sukarelawan kawalan kampung yang terdiri daripada pemuda dan penduduk kampung berkenaan beroperasi di bawah kendalian Biro Keselamatan MPKK Lot Sri Jaya.
Operasi kawalan keselamatan yang bermula sejak 1 Jun lalu dimulakan dengan taklimat keselamatan daripada Ketua Balai Polis Chukai, Mohamad Ramizan Ramli di pos kawalan kampung tersebut.
Taklimat yang diadakan pada hari pertama operasi dijalankan turut dihadiri oleh Ketua Pondok Polis Binjai, Nasri dan tiga anggota polis yang lain.
18 Oct 20
284
Penerima Jadual 5A Dinasihat Jelaskan Bayaran Premium Segera
SETIU, 17 Oktober – Semua penerima jadual 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Terengganu dinasihat agar menjelaskan bayaran premium tanah dengan kadar segera sebelum tamat tempohnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ini kerana proses pembahagian geran akan menjadi lebih panjang sekiranya premium itu lambat dibayar.
"Jadual 5A ini ada tempohnya iaitu selama tiga bulan sahaja. Kalau tak sempat bayar, perlulah membuat rayuan untuk melanjutkan tempoh selama tiga bulan lagi. Selepas daripada itu, mengikut undang-undang apabila tamat tempoh tanah itu, ia akan menjadi milik kerajaan semula.
"Apabila kita mahu balik tanah itu semula, perlu melalui prosedur yang panjang bermula daripada bawah, perlu masuk mesyuarat Tanah Daerah semula, Pejabat Tanah dan Galian dan Mesyuarat Exco yang akan memakan masa bertahun-tahun untuk mengeluarkan balik jadual 5A itu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Surau Haji Omar, Apal di sini baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, terdapat segelintir rakyat sengaja tidak membayar premium tanah kerana tidak percaya kerajaan akan memberi tanah kepada mereka.
"Beberapa bulan lepas kita bagi jadual 5A kepada lebih 150 orang untuk RTB Bukit Tasik. Namun setakat ini dimaklumkan oleh Pejabat Tanah, hanya 40 orang sahaja yang sudah membuat pembayaran. Ini bermakna masih berbaki 100 orang lebih lagi belum membayar.
"Antara sebab orang tak mahu bayar bukan sebab tiada duit tetapi tidak berapa percaya kerajaan nak beri tanah, kerana sudah dibayar tapi masih tak dapat geran lagi. Padahal sudah dimaklumkan baru-baru ini, kita tidak bagi terus geran kerana kita mahu mengadakan majlis bagi meraikannya.
"Insya-Allah, 40 orang yang membuat pembayaran itu akan mendapat geran dalam masa yang terdekat," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menghiraukan kekacauan yang ditimbulkan untuk menggugat usaha murni kerajaan negeri.
"Kita sedia maklum isu tanah Pasir Tawar ini sejak bertahun-tahun lagi. Tapi bila kita betul-betul nak bagi, orang tak berapa percaya. Mungkin juga kerana trauma terhadap pemerintahan yang lepas.
"Janganlah kita buat tak percaya tidak kena pada tempat. Berhati-hati tetap kena ada tetapi jangan buat tak percaya tidak kena tempat yang akhirnya urusan akan menjadi rumit.
"Insya-Allah dia Jabi ini saya akan pertimbangkan semua sama ada untuk lanjutan tempoh, pengurangan kadar bayaran dan sebagainya," tambah beliau.
17 Oct 20
1988
Jalan Baru Bagai Durian Runtuh Di DUN Kemasik
KEMAMAN, 17 Oktober - Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik telah menjalankan kerja-kerja menaik taraf jalan yang rosak dan jalan yang masih tiada tar melibatkan 53 buah jalan keseluruhannya.
Sebanyak kira-kira RM1.1 juta dibelanjakan bagi keseluruhan kerja untuk jalan yang perlu dinaik taraf di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dalam DUN Kemasik sepanjang tahun 2020.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili memaklumkan bahawa fasa satu bermula Januari hingga Jun yang lalu melibatkas kos sebanyak RM750 ribu. Manakala fasa dua pula bermula Julai hingga Disember nanti akan membabitkan kos sebanyak RM360 ribu.
Gambar-gambar kerja penyelenggaraan di sekitar DUN Kemasik.
"Ada 38 batang jalan yang merangkumi 22 buah kampung dalam Mukim Kemasik dan Kerteh berjaya dinaik taraf bagi fasa (1), dan fasa (2) juga sebanyak 15 buah jalan merangkumi 15 buah kampung telah dijalankan.
“Banyak permohonan dari MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), komuniti dan individu-individu setempat yang memohon untuk menyelenggara jalan di sekitar kediaman masing-masing," katanya.
Tambahnya, buat masa ini, kerajaan negeri tidak dapat menyelesaikan keseluruhan permohonan disebabkan kekangan-kekangan semasa dan peruntukan kewangan.
“Kerja-kerja menaik taraf jalan akan diteruskan seperti biasa dari semasa ke semasa, untuk kemudahan kita bersama jika terdapat peruntukan kewangan dari pihak kerajaan," ujarnya.
16 Oct 20
927
Tangki Air SMK Seri Paka Pecah Akan Dibaiki Segera
DUNGUN, 16 Oktober- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat memberi jaminan, tangki air Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Paka yang pecah semalam akan dibaiki segera.
Katanya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan.
"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan masalah ini," ujarnya kepada pemberita.
Satiful berkata, kejadian tangki pecah itu tidak melibatkan bahaya kepada pelajar dan guru.
"Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dan kerosakan fasiliti lain dilaporkan.
"Bagi sementara waktu, tangki air itu akan diganti dengan 'bypass' dahulu untuk kegunaan sementara," katanya.
Menurut Satiful, beberapa tahun sebelum ini, tangki air SMK Paka dan Sekolah Menengah Sains Dungun juga pecah setelah lebih 10 tahun penggunaannya.
"Mungkin tangki ini juga telah mencapai usia tamat tempohnya dan sebab itu ia pecah,"ujarnya.
16 Oct 20
1845