Artikel "Komuniti" Terkini
MBKT Cantas Pokok Rhu Ancam Keselamatan
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil inisiatif memotong dahan-dahan pokok rhu di bahu Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai yang tinggi dan membahayakan orang awam.
Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Landskap MBKT, Hasrol Ferdaus Mahmod yang menyelia kerja tersebut memaklumkan, kerja-kerja berkenaan dilaksanakan selama tiga hari berakhir hari ini dan melibatkan seramai 40 orang petugas dari pelbagai jabatan di MBKT.
“Kami menerima aduan daripada orang ramai berkenaan pokok rhu ini dan beberapa hari lalu, kami telah mulakan kerja-kerja mencantas dahan pokok bagi memastikan ia tidak membahayakan pengguna jalan raya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini.
Operasi tersebut dilaksanakan secara berperingkat berikutan terjadi banyak kejadian dahan patah dan pokok tumbang yang membabitkan pengguna laluan itu.
Baru-baru ini, sebuah kereta telah terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai akibat dihempap sebatang pokok rhu yang tumbang ketika ribut melanda kawasan tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi turut memuat naik satu hantaran dalam laman Facebooknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBKT atas tindakan tersebut.
22 Oct 20
788
72 Penduduk Terima Cermin Mata Percuma
BESUT, 25 Oktober- Seramai 72 orang penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima sumbangan cermin mata secara percuma yang diadakan di Dewan Sivik kampung baharu, baru-baru ini.
Sumbangan ini disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Pusat Khidmat DUN bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh berkata bantuan ini bagi meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan kerana kos membuat cermin mata agak mahal.
“Pada tahun lepas kita sudah menyampaikan bantuan cermin mata kepada 36 orang, alhamdulillah pada tahun ini kita tambah kepada 72 orang.
“In shaa Allah kita bersama pihak JKM akan terus membantu rakyat yang memerlukan”, katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Darul Iman.
22 Oct 20
180
111 'Tok Bidan' Profesional, Program MamaCare Serampang Dua Mata
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Perkhidmatan ‘MamaCare’ dan 'myPapaCare’ di Terengganu berpotensi sebagai serampang dua mata dalam menyediakan peluang latihan profesional bagi golongan wanita sasar dan menjana pendapatan sebagai ‘Tok Bidan’ profesional.
Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Terengganu, Muhamad Noh Abdullah berkata, perkhidmatan MamaCare yang mengkhususkan kepada penjagaan ibu selepas bersalin, sehingga sekarang merekodkan seramai 111 orang ahli sedia berkhidmat dari seluruh daerah.
“Dengan latihan yang dijalankan, golongan ibu tunggal dan golongan B40 dapat menyertai dan memperoleh satu cara untuk jana pendapatan sambil berkhidmat kepada wanita selepas bersalin dengan rawatan kesejahteraan.
“Manakala myPapaCare diperkenalkan sebagai projek perintis di mana perkhidmatan tersebut memfokuskan terapi kesejahteraan buat golongan lelaki, terbuka juga latihan buat mereka daripada golongan B40 lelaki sahaja,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, pagi semalam.
Sementara itu, beliau berkata, LPPKN turut membangunkan modul pembangunan keluarga lain seperti ‘Smart Start’ yang memfokuskan kepada pasangan bakal berkahwin dalam memberi panduan tentang ilmu alam perkahwinan seperti kewangan, tanggungjawab, seksualiti dan sebagainya.
“Selain itu, kepada pasangan yang telah berkahwin tetapi ‘hilang percikan’, modul ‘Smart Start Second Honeymoon’ telah dibangunkan untuk mengimarahkan kembali pasangan lama.
“Program pengurusan kewangan keluarga ‘SMARTbelanja@LPPKN’ pula terbuka untuk semua yang berminat meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dalam keluarga.
“Bagi mereka yang ingin mempelajari teknik mengimbangi keluarga dan kerjaya serta memperoleh pengetahuan dan kemahiran keibubapaan, boleh menyertai kursus imbangi keluarga dan kerjaya ‘Parenting@Work’.
“Ketika waktu COVID-19, rancangan dan perkhidmatan yang disediakan telah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," ujarnya lagi.
Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan perkhidmatan dan program tersebut, boleh menghubungi talian 09-630 5212 ataupun berurusan di pejabat utama berhadapan Pusat Nagoya, Tingkat 1 & 2, Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu. Sebarang perkembangan terkini juga boleh mengikuti laman Facebook Lppkn Terengganu Kpwkm.
22 Oct 20
712
Sembilan Beranak Besyukur Terima Bekalan Air Bersih
DUNGUN, 21 Oktober-"Keluhan kami berhubung kesukaran mendapatkan bekalan air bersih terus ke rumah mendapat perhatian segera Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Beting," kata Mohd Nor Hadi Ishak, 36, yang menetap bersama isteri dan tujuh anaknya di kampung itu.
Menurutnya, pihak MPKK Gong Beting bersama dengan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka dan Syarikat Air Terengganu (SATU) telah mengambil inisiatif membina saliran paip air bersih secara bergotong-royong untuk menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu mereka sembilan beranak.
"Alhamdulillah, syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Pusat khidmat Masyarakat ADUN Paka, SATU, MPKK Gong Beting dan penduduk kampung yang turun mengerahkan tenaga bergotong-royong membina saliran air bersih ke rumah saya," ujarnya kepada pemberita.
Sebelum ini, mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air telaga sejauh 20 meter dari rumah untuk membersihkan diri dan membasuh pakaian.
Saya, isteri dan tujuh anak kami yang berusia antara dua hingga 13 tahun terpaksa menggunakan air telaga mandi dan kegunaan lain, hari-hari saya mengangkat air dari telaga itu untuk dibawa balik ke rumah,” katanya.
Mohd Nor Hadi berkata, telaga berkenaan akan keruh kekuningan jika airnya berkurangan.
“Air telaga itu saya tidak buat minum kerana risau akan keracunan. Saya akan menadah air tapis mesin di kedai runcit yang berdekatan untuk dibuat minum.
"Alhamdulillah, selepas ini kami tidak lagi perlu menggunakan air telaga, terima kasih kepada semua yang membantu," ujarnya.
21 Oct 20
1098
APM Kemaman Berwajah Baru
KEMAMAN, 22 Oktober - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kemaman kini berwajah baharu apabila berpindah secara rasmi ke pejabat yang baharu.
Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kemaman yang dulunya beroperasi di Kuarters Pegawai Kerajaan, Jalan Batu 2 1/2 Air Putih telah berpindah di Lot 11546, Jalan Dato' (Belakang Majlis Perbandaran Kemaman).
Pegawai Kehormat APM Terengganu, Hanafiah Mat bersyukur ke hadrat Ilahi di atas pembukaan premis APM itu.
"Saya merasakan dengan adanya pejabat yang lebih selesa beserta dengan kemudahan yang telah diberikan, ianya akan menaikkan lagi semangat yang ada kepada warga APM Kemaman supaya memberikan perkhidmatan yang lebih hebat kepada warga Kemaman," Ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
Hanafiah sebelum ini turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000.00 kepada APM Kemaman bagi menjalankan dan melancarkan kerja-kerja penambahbaikan premis APM itu.
"Jagalah kemudahan yang ada agar ianya dapat dimanfaatkan bersama bagi kepentingan masyarakat setempat di daerah Kemaman ini," katanya ketika berucap merasmikan Pejabat APM Kemaman itu, kelmarin.
Tegas Hanafiah, sudah menjadi tanggungjawab baginya untuk sama-sama membantu mana-mana agensi termasuk APM di dalam menyediakan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya mengikut kemampuan.
Katanya lagi, APM adalah salah satu agensi penting dalam pengurusan bencana dan kecemasan serta perkhidmatan penyelamat pantai. Mereka telah menjadi Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah sejak lima tahun (2015) yang lalu.
"APM semakin matang dan cekap dalam kerja-kerja mengurus bencana terutama banjir. Malah dengan tercetusnya wabak COVID-19, APM memegang peranan lebih penting. Syabas APM!"
Turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Norhafifi Ismail, Pegawai Daerah Kemaman, Muhamad A. Rahman @ Othman, Pengarah APM Terengganu, Che Adam A Rahman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim, Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan, Pengarah CEO, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS), Professor Madya Dr Mohd Zaki Hamzah dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Kolej Universiti TATI, Syahrul Alim Baharuddin.
21 Oct 20
1038
3.8 Tan Bantuan Makanan Dihantar Ke Pulau Redang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Sebanyak 3.8 tan bantuan beras dan barangan dapur dihantar kerajaan negeri ke pangkalan hadapan di Pulau Redang, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan itu adalah persediaan awal bagi menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini.
"Kita akan menghantar bantuan ini di semua pulau yang ada di Terengganu memandangkan operasi keluar masuk di pulau-pulau telah ditutup.
"Bantuan ini akan disimpan di pangkalan hadapan dan ianya akan diagihkan kepada semua penduduk di sana pada masa yang sesuai," ujarnya.
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu telah memulakan proses penghantaran bantuan kepada 152 pangkalan hadapan melibatkan seluruh negeri sejak minggu lalu.
Jelas Hanafiah, ia bagi memastikan setiap kawasan akan menerima bantuan jika terputus bekalan makanan dan sebagainya akibat bencana banjir.
"Kita mengharapkan tidak berlaku banjir besar pada tahun ini. Namun begitu, kerajaan negeri bersama agensi kerajaan yang terlibat sentiasa bersiap sedia dalam apa jua kemungkinan yang boleh berlaku," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu.
Proses penghantaran bantuan hari ini turut mendapat kerjasama daripada APMM yang menyediakan pengangkutan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Turut hadir ketika tinjauan tersebut, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.
21 Oct 20
1277
Bekas Pramugari Kongsi Pengalaman Bawa Jemaah Haji
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober- Bekas pramugari, Wan Najwa Baharom cukup bersyukur diberikan peluang untuk menjadi salah seorang anak kapal sebuah syarikat penerbangan yang membawa jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia ke Kota Mekah.
Ketika diminta berkongsi pengalamannya yang tidak lagi bertugas sebagai kru kabin syarikat penerbangan selepas kontraknya tidak disambung majikan disebabkan pandemik COVID-19, antara yang tidak dapat dilupakan anak jati Kampung Batas Baru, Kuala Terengganu itu adalah pengorbanan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu oleh jemaah haji dari benua Afrika yang cukup menyentuh hatinya.
“Pernah dengar ke nama tempat macam Maiduguri? Freetown Lungi? Addis Abba? Djamena atau Abuja?, kalau bawa jemaah haji dari tempat ni macam-macam akan kami lalui sepanjang penerbangan.
"Kebanyakan jemaah dari tempat tersebut hidup mereka sukar bukan bertuah seperti kita di bumi Malaysia.
“Sebelum berangkat ke tanah suci segala harta, rumah, tanah digadai dan dijual atas niat dan kesungguhan hendak menunaikan ibadat haji, dan sebaik sampai ditanah suci, ada yang hanya tidur di masjid dan bukannya hotel yang selesa," ujarnya ketika dihubungi wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Selain itu katanya, lapangan terbang di tempat-tempat berkenaan tidak sebagaimana negara maju yang dilengkapi sistem serta kemudahan yang lebih baik dan moden.
"Sangat menyentuh hati semasa melihat mereka menerima hidangan yang disediakan diatas kapal, mereka sangat berbudi pekerti malah hanya tunduk dan senyum kepada kami,” ujarnya.
Katanya, sepanjang enam tahun berkhidmat, pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuhinya di awan biru dan detik itu tidak akan sesekali dilupakan.
"Antara perkara yang paling tidak dapat dilupakan ketika menjadi kru penerbangan adalah sebaik tiba di kota suci Mekah. Bilamana jemaah ucap terima kasih bersama doa adalah detik yang sangat indah.
“Pada saya doa adalah hadiah yang paling berharga dari mereka, sebab mereka ini tetamu Allah. Saya percaya kebaikan yang saya terima sekarang pun ada kaitan dari doa mereka," kongsinya.
21 Oct 20
2552
Santai Bertemu Rakyat
DUNGUN, 21 Oktober- Rutin harian menemui rakyat secara santai menjadi pilihan kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Katanya, cara berkenaan menjadikan penduduk lebih selesa serta dapat merapatkan lagi hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat setempat..
"Dengan cara demikian menjadikan rakyat tidak segan untuk bertemu dengan kita bagi merujuk permasalahan yang mereka hadapi," ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Katanya, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi juga sentiasa mengalu-alukan dan sentiasa bersedia untuk didatangi oleh rakyat mengadu pelbagai permasalahan yang mereka hadapi.
"Saya juga mempunyai kakitangan yang sentiasa bersedia untuk memberikan penerangan yang baik mengenai setiap apa jua masalah yang hendak dirujuk.
"Selain itu, sebarang permasalahan rakyat turut diperolehi melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) malah saya tidak membataskan pertemuan dengan melalui keadaan tertentu sahaja, malah turut menemui rakyat di kedai kopi atau mana-mana tempat yang menjadi tumpuan ramai, dan juga mengadakan ziarah bulanan bagi menyelami kehidupan setiap penduduk yang ditimpa nasib kurang baik agar tiada terlepas pandang bagi diberikan perhatian,"ujarnya.
21 Oct 20
198
36 Asnaf Diberi Bantuan Barangan Dapur
MARANG, 19 Oktober – Seramai 36 golongan asnaf di daerah ini menerima sumbangan berupa barangan dapur daripada Pejabat Head (Grid MaintenanceTimur) Bahagian Grid, Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Agihan berupa beras, susu, minyak, tepung, biskut, kicap dan sos itu pasti membantu meringankan beban golongan itu yang kebanyakannya terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya menitikberatkan keperluan mereka, sekurang-kurang mampu menampung perbelajaan harian.
"Sewajarnya penerima bersyukur kerana terpilih sebagai penerima bantuan ini kerana diluar sana masih ramai lagi yang masih memerlukan sumbangan ini." Katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Insan Dakwah Dan Penerangan Negeri berucap ketika merasmikan Program Penyerahan Bantuan di Dewan Serbaguna Kampung Sena Rendang, Bukit Payong, semalam.
Turut serta dalam Program tersebut, Head (Grid Maintenance - Timur) Jabatan Grid Maintenance Bahagian Grid TNB, Mohamad Mohydin Mohamed Nor, Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang, Ahmad Ridwan Abdul Rahman dan Penghulu Mukim Bukit Payung, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki
20 Oct 20
519
'Terima kasih Setiu' - Sophian
SETIU, 19 Oktober - Tiada kata-kata yang dapat dilafazkan oleh Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar selain ucapan terima kasih dalam majlis perpisahan beliau semalam.
Mohd Sophian bakal menjawat jawatan sama di Daerah Kemaman dan dijadual melaporkan diri pada 22 Oktober ini.
Beliau yang memulakan tugas sebagai Pegawai Daerah Setiu pada pertengahan Januari tahun lalu dilihat sedih ketika ucapan ringkas majis yang dijalankan di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Pantai di Kampung Padang Saujana.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang saya berada di Setiu, tentunya satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya berada di Setiu.
"Insya-Allah kalau ada kesempatan saya akan datang lagi ke Setiu dan saya mohon maaf banyak-banyak kalau ada perkara-perkara yang menyinggung perasaan tuan-tuan semua sebelum ni," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan ringkas pada majlis jamuan makan tengah hari hari dan perpisahan yang diadakan di rumah Pengerusi MPKK Kampung Padang Saujana.
Beliau turut berpesan supaya para pemimpin masyarakat terus memberikan komitmen yang jitu terhadap amanah yang dipegang.
19 Oct 20
858