Artikel "Utama" Terkini
Kompleks Sukan, Masjid Antara Projek Baharu Di Marang Terengganu
Program MB Maghi Kapung Kite beri peluang rakyat faham matlamat kerajaan negeri.MARANG, 24 Februari - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan sebuah masjid dan kompleks sukan mini bakal dibina di daerah Marang.Berita gembira berkenaan diumumkan beliau ketika berucap dalam program MB Maghi Kapung Kite di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.Menurut Dr. Samsuri, pembinaan kompleks sukan bernilai RM4 Juta itu merupakan satu daripada 10 projek Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang diluluskan untuk negeri Terengganu bagi tahun 2019.“Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam kunjungannya ke Terengganu baru-baru ini meluluskan sembilan projek bernilai RM60 juta iaitu bagi projek yang baharu dan projek yang tertangguh selepas pertukaran Kerajaan Pusat.“Lebih menarik, kita juga menerima tambahan satu lagi projek iaitu kompleks sukan mini buat warga Marang,” katanya.Beliau turut memaklumkan, sebuah masjid yang bakal dibina merupakan sumbangan daripada pihak persendirian.“Seorang individu Muslim bertemu kami (kerajaan negeri) dan menyatakan hasratnya untuk menyumbangkan sebuah masjid bagi negeri ini serta kami telah bersetuju, ia akan dibina di daerah Marang, tetapi lokasinya belum ditetapkan,” katanya.Kepimpinan negeri bersama penduduk Marang merakamkan gambar kenangan.Dalam program tersebut, Dr. Samsuri yang merupakan Pengerusi Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn. Bhd. turut mengumumkan kesediaan SATU menyediakan saluran paip bagi ‘mini musolla’ di kawasan nelayan Seberang Marang yang bernilai RM170,000 setelah dimaklumkan berkenaan masalah tersebut oleh penduduk yang hadir.Turut hadir dalam program tersebut ialah isteri beliau, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
24 Feb 19
263
MB Terengganu Baca 11 Naskhah Buku
Dr Ahmad Samsuri membelek sebuah naskah al-Quran di Perpustakaan Awam Kuala Terengganu.KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Memteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyenaraikan 11 naskhah buku yang sedang dibaca sekali gus mengajak rakyat untuk turut sama membudayakan amalan itu.Beliau berharap semua buku berkenaan habis dibaca sebelum Mei ini."Ada orang tanya saya, buku apa yang Dr Sam baca sekarang? Sebenarnya ada 11 buah buku yang saya sedang baca, ada yang hampir habis, ada yang baru 30 peratus dibaca dan berharap akan habis (baca) sebelum masuk bulan Mei nanti," tulisnya di status Facebook beliau hari ini.Daripada kesemua buku berkenaan, menurut beliau sembilan buah buku berbahasa Inggeris manakala selebihnya dalam bahasa Malaysia yang sedang beliau baca.Buku tersebut ialah Al-Ahkam al Sulthaniah, tulisan al-Mawardi, Sejarah Darul Iman (Misbaha), Strategies of Prophet Muhammad (Omar Khayyam Sheikh), Commanders of the Muslim Army (Mahmood Ahmad Ghadanfar), A Higher Loyalty (James Comey) Fear (Bob Woodward), Soldier Spy (Tom Marcus).Dark Actors (Dr Robert Lewis), Prisoners of Geography (Tim Marshall), Who Thought This Was A Good Idea (Alyssa Mastromonaco) dan The Fourth Industrial Revolution (Klaus Schwab)."Bukan nak kempen buku, cuma nak kempen baca buku. Jom!" kata beliau lagi.
24 Feb 19
395
SPRM Sahkan Tiada Kemasukan RM90 Juta Ke Akaun PAS
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull ketika sidang media.KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Dakwaan PAS menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh sesetengah pihak berkepentingan adalah jelas tidak benar.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Mohd Shukri Abdull berkata, siasatan yang dilakukan oleh pihaknya terhadap PAS mendapati tiada wang daripada 1MDB disalurkan kepada parti politik berkenaan.Jelasnya, penelitian yang dijalankan tidak menemui sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan tuduhan itu.“Siasatan SPRM setakat ini memang tiada kemasukan RM90 juta duit 1MDB ke akaun PAS.“Memang tak mendapati bahawa berlakunya kemasukan,” jelasnya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Yang Dipertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan, ADUN Terengganu serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.Beliau turut berucap dalam majlis menandatangan IBR ADUN Terengganu.Terdahulu beliau menyaksikan lafaz ikrar bebas rasuah melibatkan semua wakil rakyat Terengganu yang diketuai oleh Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.Pada 6 Februari yang lalu, SPRM telah memulakan siasatan ke atas dakwaan penyaluran dana berkenaan oleh Sarawak Report (SR) selepas menerima laporan daripada orang awam.Empat individu iaitu Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, bekas Timbalan Presiden PAS, Dr. Nasharudin Mat Isa, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa dan bekas pengerusi Bersih, S. Ambiga telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.
24 Feb 19
209
Hari Sayyidatina Aisyah, Platform Perkasakan Wanita Terengganu
Oleh :Nooreni Abu BakarKUALA NERUS, 24 Februari - Hari Sayyidatina Aisyah menjadi platform bagi wanita Terengganu untuk membincangkan isu-isu pembangunan dan hal ehwal wanita serta kepentingan ummah yang diadakan sempena Hari Wanita peringkat negeri, semalam.Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Wanita negeri, Zuraida Md Noor berkata penganjurannya sebagai menghargai usaha yang dimainkan oleh wanita dengan menjadikan mereka lebih bergerak laju dan bersikap cakna pembangunan wanita di negeri ini."Umum menyedari wanita adalah nukleus di dalam sesebuah negara, keluarga, masyarakat dan bila baik wanita maka baiklah institusi keluarga itu. "Apabila institusi keluarga itu berkembang positif dan harmoni, InsyaAllah saya yakin dan percaya akan dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera," ujarnya di majlis Pelancaran Hari Sayyidatina Aisyah, Wanita Inspirasi yang diadakan di Stadium Tertutup Gong Badak. Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar itu merupakan anjuran Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri itu, akan diadakan secara tetap dan berkala pada setiap tahun.Menurut Zuraida lagi, bagi mengambil inspirasi ketokohan Sayyidatina Aisyah, Ummul Mukminin seorang yang faqeh di dalam pelbagai bidang ilmu, kunci utama untuk seseorang wanita maju adalah melalui ilmu pengetahuan yang benar dan diperakui. "Sayyidatina Aisyah lebih dahulu mempraktikkan suara-suara wanita, jauh lebih dahulu daripada kumpulan feminis yang lantang mendesak kesamaan gender akhir-akhir ini. " Sesungguhnya beliau telah meletakkan satu asas kepada kesedaran dan pendedahan kepada kemampuan wanita sebagai pemimpin politik dan kenegaraan,”ujar Zuraida.
23 Feb 19
80
Belia Beliawanis Terengganu Perlu Sumbang Idea Bangun Negeri - MB
Bual bicara kupas isu dan peluang belia Terengganu.KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Belia dan beliawanis Terengganu diseru melibatkan diri dalam pembangunan negeri kerana mereka adalah pemimpin masa depan.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berharap, belia negeri itu bangkit memainkan peranan dalam memilih pemimpin yang mampu memandu mereka ke arah lebih baik.“Sebelum ini, ada pihak selalu membangkitkan bahawa belia bermasalah. Tetapi, itu cerita negatif, jadi biarkan mereka.“Hakikatnya, belia merangkumi 45.8 peratus daripada rakyat Malaysia dan memainkan peranan menentukan kepimpinan masa depan,” katanya dalam Bual Bicara sempena Himpunan Belia & Beliawanis Negeri Terengganu (HEBAT 2019) di Stadium Negeri kelmarin.Beliau yang menjadi ahli panel bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah turut memuji para belia yang memiliki idealisma berbeza daripada generasi sebelumnya.Antara persembahan yang menghiasi HEBAT.“Belia banyak maklumat dan mereka mampu mengubah dunia.“Usia belia adalah waktu ideal untuk menyumbang sesuatu kepada negeri dan negara melalui penglibatan mereka,” katanya.Dalam pada itu, Wan Sukairi turut mengingatkan para belia supaya mengubah sikap dan cara berfikir.“Belia Terengganu harus berusaha untuk mencipta sejarah kehidupan mereka sebagaimana Wira Darul Iman yang hadir hari ini,” katanya.Dalam program tersebut, enam pemuda yang membantu menyelamatkan sebuah keluarga daripada lemas di Pulau Warisan baru-baru ini telah dianugerahkan sebagai Wira Darul Iman.Mereka masing-masing menerima sumbangan bernilai RM3,000. Manakala, keluarga almarhum Abdul Bari Mohd yang terkorban dalam kejadian itu menerima sumbangan wang tunai bernilai RM10,000 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri.Turut hadir dalam program tersebut ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Ustaz Kamaruzaman Abdullah dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).
23 Feb 19
344
10,000 Judul Tunggu Peminat Buku Di PPAT - MB Terengganu
Dr. Samsuri membelek naskhah al-Quran terjemahan yang turut dijual. KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Sebanyak 10,000 judul buku daripada 74 penerbit seluruh negara disajikan kepada penggemar buku sepanjang Pesta Buku@PPAT 2019.Pesta buku berkenaan dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) sebagai salah satu usaha penting institusi tersebut untuk memupuk budaya membaca dan melahirkan modal insan berkualiti di kalangan rakyat negeri itu.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri sedia menyambut baik mana-mana kempen yang dapat melahirkan modal insan oleh mana-mana pihak.“Pesta Buku yang diadakan bermula hari ini merupakan wadah pertemuan peminat buku yang dinanti-nantikan saban tahun.“Kita ingin menghidupkan budaya membaca yang semakin terhakis tetapi ia perlu dipertahankan supaya kekal relevan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Buku@PPAT 2019 di institusi berkenaan, hari ini.Dr. Samsuri melakukan gimik pelancaran sambil diperhatikan SUK Negeri, Dato' A. Rahman, Pengerusi PPAT, Ridzuan Hashim (tengah) dan Pengarah PPAT, Marzialina Mohamed.Beliau yang hadir bersama isteri, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri turut berkongsi pengalamannya berdamping dengan buku selain senarai buku-buku yang sedang dibacanya.“Sejak kecil lagi saya memiliki ‘passion’ terhadap buku. Tetapi, waktu itu variasi bacaan saya pelbagai dan tidak tetap kepada satu jenis seperti The Hardy Boys, siri Enid Blyton dan sebagainya.“Syabas saya ucapkan kepada PPAT atas kejayaan menganjurkan pesta buku tahun ini. Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang peminjam terbanyak tahun 2018 iaitu Fatihah Aqilah Fathi Aziz (680 buah buku) bagi kategori kanak-kanak dan Sharifah Izzati Syed Abdullah (138 buah buku) bagi kategori dewasa.Mereka berdua masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM500.Terdahulu, Dr. Samsuri sempat meluangkan masa melawat gerai-gerai jualan buku selain ruang aktiviti dan bacaan di PPAT.Pesta Buku@PPAT 2019 berlangsung selama seminggu bermula hari ini dibuka seawal jam 9.00 pagi dan berakhir pada jam 10.30 malam.Sehingga jam 12.00 tengahari ini, lebih 4,000 ulat buku telah berkunjung ke PPAT untuk menikmati bahan bacaan terbaik.Selain bahan bacaan, program berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung yang hadir.Adik Fatihah pinjam 680 buah buku, raih hadiah peminjam terbanyak 2018.
23 Feb 19
172
MAWADDAH Perkasa Kaum Wanita
Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Pelancaran MAWADDAH Oleh: Noraini Jusoh & Mastura Jamal DinKUALA NERUS, 23 Februari- Majlis Permuafakatan Wanita Terengganu (MAWADDAH) yang dilancarkan hari ini dibarisi wanita-wanita profesional dari pelbagai latar belakang, akan berperanan sebagai badan penasihat kerajaan dalam memperkasakan kaum wanita.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, penubuhan MAWADDAH dibawah portfolionya itu selari dengan usaha kerajaan yang berhasrat memperluas peranan dan sumbangan wanita dalam proses pembangunan negeri ini khususnya."MAWADDAH dipengerusikan oleh Zarani Othman yang merupakan isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali."Ianya dianggotai oleh 20 jawatankuasa yang terdiri daripada kalangan wanita profesional samada dalam badan bukan kerajaan (NGO), para akademik, bidang politik dan lain-lain lagi."Mereka ini (wanita profesional) dikumpulkan dalam satu jawatankuasa untuk melihat apakah portfolio wanita boleh dikembangkan lagi dalam membantu dan memartabatkan kaum wanita supaya berada di puncak kejayaan," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika pelancaran MAWADDAH di Majlis Perasmian Hari Sayyidatina Aishah Sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, hari ini.Hanafiah berkata, mesyuarat pertama Mawaddah akan diadakan dalam tempoh tiga bulan akan datang."Manakala pada 5 Mac ini, satu seminar hala tuju wanita juga akan diadakan untuk mencari satu resolusi bagi digunakan dalam menggerakkan portfolio wanita pada masa akan datang" ujarnya.
22 Feb 19
207
Dr. Wan Saleha Terima Anugerah Utama Sayyidatina Aisyah
Dr Wan SalehaOleh: Mastura Jamal Din & Noraini JusohKUALA NERUS, 23 Februari-Sekali lagi kerajaan negeri merakam sejarah mengadakan sambutan hari wanita atau lebih dikenali Hari Sayyidatina Aisyah Peringkat Negeri Terengganu.Sambutan itu merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menghargai sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh para wanita khususnya wanita Terengganu.Dalam majlis tersebut, Dr Wan Saleha Dato' Wan Ishak, 66, dinobatkan sebagai penerima anugerah utama Sayyidatina Aisyah yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM1,000 dan sijil penghargaan.Dr. Wan Saleha yang kelihatan teruja dengan penghargaan tertinggi kepada wanita melahirkan perasaan syukur dan gembira kerana terpilih memenangi anugerah srikandi yang menjadi idolanya."Memang rasa terharu dengan penghargaan tertinggi dalam hidup saya dan saya sangat menghargai anugerah ini walaupun berasa ramai lagi wanita hebat yang layak untuk dinobatkan."Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pimpinan kerajaan negeri yang sentiasa melakukan yang terbaik untuk wanita."Semoga anugerah ini memberi inspirasi untuk saya terus menyumbang bakti untuk pembangunan wanita, remaja, masyarakat dan negara insya-Allah,"katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Sayyidatina Aisyah di sini, hari ini.Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di majlis perasmian Hari Sayyidatina Aisyah, sempena Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Nerus.Dr.Wan Saleha turut menyarankan agar para wanita berusaha lebih bagi mempertingkatkan kemampuan diri dan melakukan sesuatu pekerjaan dengan bersungguh-sungguh supaya mendapat rahmat di dunia dan akhirat.“Sebagai seorang yang mendampingi Rasulullah S.A.W, kita perlu banyak belajar daripada Sayyidatina Aisyah kerana beliau bukan wanita biasa tetapi wanita yang lain pada zamannya."Kita juga perlu lebih banyak melihat kepada Sayyidatina Aisyah sebagai wanita contoh untuk mencapai kecemerlangan memandangkan banyak contoh teladan yang ada pada dirinya” ujar beliau.Dr. Wan Saleha dilahirkan pada 10 September 1953 di Kampung Raja Besut dan merupakan anak sulung dari sepuluh adik beradik.Beliau merupakan ibu kepada empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan Dr. Salehuddin Yahya.Tiga daripada anak beliau merupakan doktor dan dua daripadanya merupakan doktor pakar.Mendapat pendidikan dalam bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau mula bertugas sebagai doktor perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur, Hospital Kuala Terengganu sebelum berpindah ke Hospital Besar Kuala Besut pada tahun 1982.Pada tahun 1985, Dr. Wan Saleha mengambil keputusan untuk berhenti dan membuka klinik swasta perempuan pertama di negeri Terengganu.Hasmah Abd Rahman (Anugerah OKU Cemerlang).Sementara itu, empat lagi penerima anugerah turut diraikan dalam majlis tersebut iaitu Dr. Mariam Taib (Anugerah Ilmuan), Rosemunainah Noor Assmuni (Anugerah Bakti), Wan Nor Mafudah Wan Yusof (Anugerah Ikon Remaja) dan Hasmah Abd Rahman (Anugerah OKU Cemerlang).Anugerah-anugerah tersebut disampaikan berdasarkan kriteria-kriteria tertentu kepada individu-individu terpilih yang telah membangunkan dan mengharumkan negeri Terengganu.
22 Feb 19
2114
Pemohon e-Perumahan Sabar Tunggu Maklum Balas
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Kerajaan negeri berharap rakyat Terengganu yang memohon Rumah Mampu Milik secara atas talian (e-Perumahan) bersabar sekiranya belum mendapat apa-apa maklum balas.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, setiap permohonan yang didaftar secara 'online' dan tidak ditolak dalam sistem tersebut bermakna ia telah diterima.“Mana-mana yang tidak ditolak (oleh sistem) komputer memang lulus dan akan direkodkan.“Kalau tak cukup syarat awal-awal lagi ditolak dalam komputer. Sekarang ini mana-mana yang diluluskan dalam online luluslah untuk permohonan dan diterima oleh pejabat kita,” jelasnya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-17 di Pejabat Khairunisa', Batu Buruk, di sini, kelmarin.Menurutnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan (Perumahan) hanya akan menghubungi pemohon untuk ditemuduga apabila terdapat rumah yang telah siap dibina.“Bila ada rumah untuk diagihkan kita akan panggil temuduga setelah kita tapis mengikut kelayakan dalam sistem.“Lepas panggil temuduga mana yang layak kita akan hubungi semula untuk buat penyerahan kunci. Kalau kita panggil sekarang, rumah tidak ada, tidak guna juga. Kita akan panggil bila rumah ada untuk diagihkan,” ujarnya.Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua warga Terengganu yang telah membuat permohonan dan memberi jaminan semua data pemohon disimpan dalam rekod.“Kita akan bertindak bila ada rumah kosong dalam daerah yang dipohon,” tambah beliau.
22 Feb 19
29
Wira Darul Iman Terima Anugerah Daripada Kerajaan Terengganu
Dr. Samsuri menyerahkan anugerah kepada Mustafa sambil diperhatikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Enam pemuda yang membantu menyelamatkan sebuah keluarga di Pulau Warisan 8 Februari lalu dianugerahkan sebagai 'Wira Darul Iman' daripada Kerajaan Terengganu.Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam program Himpunan Belia dan Beliawanis Negeri Terengganu (HEBAT) 2019 di Stadium Negeri semalam.Almarhum Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, diwakili bapanya, Mohd Mustafa, 66, menerima anugerah tersebut beserta wang tunai RM10,000 sebagai tanda penghormatan atas pengorbanannya yang tidak ternilai.Manakala, lima 'saudara' iaitu Omar Abdul Aziz Othman, 27, Saiful Anuar Mohd, 37, Shahrul Mizan Harun, 34, Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29, dan Mohd Asadullah Jamaluddin, 28, turut menerima anugerah dan wang tunai bernilai RM3,000 sumbangan kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan.Wira Darul Iman jadi tauladan belia negeri.Dr. Samsuri berharap sumbangan tersebut dapat membantu mereka dalam urusan seharian."Memang ia tidak dapat membayar nilai pengorbanan mereka, cuma ini sebagai tanda ingatan daripada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan.Mengimbas kejadian tersebut, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Storm yang dinaiki lima sekeluarga meluncur dan terjunam ke dalam sungai sebelum diselamatkan oleh keenam-enam wira berkenaan.Bagaimanapun, Abdul Bari lemas dalam kejadian itu dan ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dua hari kemudian.
22 Feb 19
140