Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Gerakkan Dakwah Tutup Aurat Secara Sempurna
KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan negeri mahu menggerakkan usaha dakwah secara berterusan dengan memberi tumpuan mengajak individu beragama Islam khususnya golongan wanita menutup aurat dengan sempurna.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, kempen menutup aurat dengan sempurna telah dimulakan dengan penganjuran program Terengganu Hijab Day pada awal Februari lalu."Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda mengenai kewajipan menutup aurat mengikut syariat Islam.“Kita juga adakan dakwah jalanan (street dakwah) dengan mengedar risalah-risalah tentang aurat, pakaian yang digariskan oleh Islam dan lain-lain lagi sebagai usaha menyampaikan tarbiyah kepada kumpulan sasaran.“Sebenarnya selain kesedaran diri sendiri, peranan ibu bapa, guru dan masyarakat sangat penting untuk mendidik anak-anak supaya menutup aurat dengan sempurna,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jelajah Untukmu Wanita Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Al-Hijrah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, hari ini.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti, Pendakwah Bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR Hiliran, Zamri Awang.Katanya, kempen-kempen menutup aurat yang diadakan lebih kepada proses mendidik masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menggalakkan rakyat agar sentiasa mematuhi ajaran agama.Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan negeri juga tidak menolak hiburan, tetapi komited memastikan bentuk hiburan di negeri ini bertepatan dengan syariat Islam bagi mencegah berlakunya perkara-perkara yang boleh mencemari nilai-nilai Islam.“Kerja dakwah adalah berterusan, dan kita akan perbanyakkan lagi program-program berbentuk ilmiah di samping tidak menyekat program yang berbentuk hiburan tetapi perlulah mematuhi syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
19 Mar 19
765
Terengganu Tubuh Institut Sukan Negeri
Kerajaan negeri berusaha kekalkan konsistensi pembangunan sukan negeri - Dr. Samsuri.KUALA NERUS, 20 Mac - Terengganu bersetuju untuk menubuhkan Institut Sukan Negeri (ISN) di bawah seliaan kerajaan negeri bagi mengekalkan konsistensi pembangunan sukan.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha tersebut perlu dilaksanakan kerana aspek sains sukan merupakan bahagian penting yang amat diperlukan oleh atlet dan persatuan sukan.“Pada asalnya, kita ada ISN di bawah seliaan Kerajaan Perseketuan melalui Institut Sukan Negara untuk setiap negeri, tetapi kini ia telah ditutup.“Ketiadaan ISN merencatkan pelbagai perancangan atlet dan pasukan lebih-lebih lagi bagi negeri Terengganu yang banyak pencapaian membanggakan dan agak terkehadapan dalam bidang ini,” katanya selepas Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) 2018 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, di sini kelmarin.Tambahnya, pertimbangan kerajaan negeri terhadap perkara itu akan diputuskan selepas perbincangan bersama Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan dijangka selesai dalam tempoh satu atau dua bulan lagi. “Sekarang, kita masih dalam proses memperkemaskan kertas penubuhan termasuk perancangan pembelian peralatan keperluan selain membawa masuk pengalaman dan kepakaran yang ada ke dalam ISN kerana ia memakan kos yang besar.“Kita akan melaksanakannya secara berperingkat dan memberi keutamaan kepada sukan-sukan utama seperti berbasikal dan olahraga,” katanya.Beliau turut memaklumkan sebahagian dana penubuhan institut berkenaan boleh disumbangkan pihak swasta bergantung kepada kewangan negeri dan rundingan bersama pihak penaja yang akan diperhalusi.Dalam majlis yang berlangsung meriah itu, Dr. Samsuri menyampaikan anugerah kepada pelumba trek kebangsaan, Mohd Azizulhasni Awang serta pesilat negara, Siti Rahmah Mohamed Nasir yang dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati AST 2018.Majlis yang diadakan sebagai penghargaan kepada atlet Terengganu atas sumbangan dan pencapaian mereka itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah dan barisan kepimpinan serta pegawai kanan negeri.
19 Mar 19
105
Terengganu Mahu Kaji Dasar Perumahan
KUALA TERENGGANU. 19 Mac- Kerajaan negeri bersedia mengkaji dasar pembangunan perumahan baharu bagi membolehkan lebih banyak Rumah Mampu Milik (RMM) di bina di negeri ini.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, kajian itu dijalankan setelah pihaknya mendapati dasar pembangunan perumahan sedia ada merugikan dan tidak memberikan pulangan kepada pelabur.“Keadaan ini menyebabkan tiada pelabur (swasta) yang sanggup untuk membina RMM dalam skala besar di Terengganu kerana dasar kita yang sedia ada agak tidak ‘mesra’ dan merugikan mereka.“Sebagai contoh, RMM jenis A bagi golongan B40 dijual pada harga RM68,000 hingga RM70,000 sedangkan kos pembinaan yang perlu ditanggung oleh pelabur ialah sekitar RM RM120,000 hingga RM140,000.“Keadaan itu sudah tentu merugikan pelabur terutama dalam kalangan pelabur swasta,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Bengkel Perumahan di sini, hari ini.Sehubungan itu, katanya, dasar baharu akan dirangka bagi mengkaji semula dasar perumahan kerajaan negeri yang telah di gubal sejak Julai 2017 itu.“Kewangan kerajaan semata-mata memang tak mampu untuk menampung pembinaan RMM yang mendapat permintaan yang tinggi, oleh itu, kita perlu kepada pelabur-pelabur swasta.“Jadi, kita akan kaji dasar baharu bagi membolehkan kita menarik lebih ramai pelabur seterusnya mencapai sasaran kita untuk membina 5,000 unit RMM dalam tempoh setahun. Perkara ini perlu dilihat secara holistik supaya mampu mencapai sasaran 20,000 unit RMM bagi tempoh sepenggal ini,” katanya.Dalam pada itu, menjawab persoalan mengenai harga jualan RMM setelah dasar baharu diputuskan, katanya, ia akan dipertimbangkan dengan mengambil kira segenap aspek termasuk harga jualan RMM.“Kita ambil keputusan mengkaji semula dasar ini supaya lebih mesra kepada pelabur dan dalam masa yang sama tidak menidakkan hak rakyat untuk memiliki kediaman. “Kita nak wujudkan win- win situation (situasi menang-menang) di mana pelabur tidak rugi dan dalam masa yang sama tidak kaut untung yang besar. Di samping membina rumah komersial, kita juga mahu supaya pelabur swasta dapat sediakan juga RMM,” katanya.
18 Mar 19
101
Azizulhasni, Siti Rahmah Dinobat Olahragawan Olahragawati AST 2018
Azizulhasni dan Siti Rahmah masing-masing raih wang tunai RM 7,000.KUALA NERUS, 18 Mac- Jaguh berbasikal trek dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan jaguh silat dunia, Siti Rahmah Mohamed Nasir dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati negeri bagi tahun 2018 dalam Majlis Anugerah Sukan Terengganu (AST) yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, malam ini.Kejayaan itu membolehkan kedua-dua atlet berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 7,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil kepujian.Manakala, persatuan yang mereka wakili menerima wang tunai berjumlah RM 2,000 sebagai penghargaan.Azizulhasni, 31, merangkul anugerah tersebut buat kali keenam apabila memenangi pingat emas dalam acara Sukan Asia Palembang 2018.Beliau turut dipilih sebagai Olimpian Lelaki Terbaik 2018 oleh Majlis Olimpik Malaysia atas kecemerlangan beliau.Siti Rahmah, 32, pula kembali merampas anugerah berkenaan daripada pemenang lima kali, Fatehah Mustapa, setelah mempertahankan pingat Emas kali keempat berturut-turut pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-18 yang diadakan di Singapura Disember lalu.Beliau memenanginya buat kali pertama pada tahun 2015/2016.Pemilihan Siti Rahmah mengenepikan olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, Azreen Nabila Alias serta Alia Sazana Azahari (atlet Menembak), Nurul Fatin Solehah Abdul Rahman (Pelayaran) dan Nur Alia Ghapar (Memanah).Penyumbang emas berbasikal SUKMA, Nur Aisyah dinobat Olahragawati Harapan.Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu serta ahli-ahli mesyuarat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.Selain anugerah utama yang disampaikan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, penjaring terbaik Kejohanan Hoki Sukan Olimpik Remaja 2018 dan Nur Aisyah Mohamad Zubir (Berbasikal) dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati harapan yang membawa pulang wang tunai RM 2,500, piala pusingan, piala iringan dan sijil.Anugerah Pasukan Lelaki Terbaik menjadi milik pasukan Bola Sepak Piala Presiden, apabila mereka mengakhiri kemarau 12 tahun dengan menjuarai Piala Presiden 2018.Manakala, pasukan Pelayaran (International 420) dipilih sebagai Pasukan Wanita Terbaik setelah menyumbang pingat emas di temasya SUKMA Perak 2018 serta pingat Perak di Kejohanan Terbuka Kebangsaan.Pasukan Lelaki Terbaik milik pasukan bola sepak Piala Presiden 2018. Zuhairie Ahmad Tarmizi (Berbasikal) dan Nani Shaiera Zawawi (Olahraga) pula dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati Paralimpik atas kejayaan mereka mewakili negara di peringkat antarabangsa.Dalam pada itu, Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Zainal Abidin Hussin menerima Anugerah Kepimpinan Sukan atas kejayaan pasukan SUKMA menjadi juara berbasikal lapan edisi berturut-turut.Mantan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said turut dinobatkan sebagai Tokoh Sukan hasil usahanya menjadi tulang belakang pembangunan sukan negeri Terengganu.Seramai 22 mantan ketua kontinjen SUKMA dari tahun 2010 sehingga 2018 turut dihargai kerajaan negeri melalui Anugerah Khas atas sumbangan mereka mengangkat atlet Terengganu di persada SUKMA.Dato' Seri Ahmad Said turut terima anugerah Tokoh Sukan.
18 Mar 19
410
Kerajaan Negeri Hargai Usaha AKMAL Perkenal Kaedah ‘Fast Track’ Hafaz Al-Quran
Dr. Ahmad Samsuri bersama pelajar AKMAL yang telah berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa satu tahun atau kurang untuk sesi 2018.KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Kerajaan negeri menghargai usaha Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) dalam memperkenalkan kaedah baru yang sistematik iaitu ‘fast track’ hafazan al-Quran kepada kanak-kanak awal persekolahan yang hanya mengambil masa satu tahun atau kurang daripada itu.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri juga sentiasa terbuka dengan kaedah yang diguna pakai oleh pihak swasta itu dalam memperkasakan pendidikan al-Quran di kalangan anak-anak pada awal usia remaja walaupun tidak mengaplikasikan sistem tersebut dalam pendidikan tahfiz di bawah kelolaan kerajaan negeri.“Setakat ini belum lagi. Tengok dulu keadaan macam mana dan inisiatif yang dibuat oleh pihak swasta. Apa pun pihak kerajaan negeri sangat terbuka dengan apa jua modul yang ada dan digunapakai oleh mereka,” ujarnya.Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) Kali Pertama di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini. Turut hadir, Pengasas & Pengerusi Eksekutif AKMAL, Hussin Ismail. Seramai 20 orang pelajar AKMAL telah berjaya menyempurnakan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa satu tahun atau kurang untuk sesi 2018.Katanya, inisiatif yang dilaksanakan oleh AKMAL itu berupaya membentuk jiwa anak-anak supaya mampu berdepan dengan cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.“Jiwa al-Quran yang ada dalam jiwa mereka itu akan dapat diterjemahkan dalam tindakan mereka pada waktu akan datang."Al-Quran adalah kalamullah yang tiada sebarang kesilapan padanya, terhimpun di dalamnya segala hujah dan punca sumber segala ilmu. Membaca, menghafal memahami dan mengajarnya dijanjikan kemuliaan di sisi Allah SWT," ujarnya.
17 Mar 19
90
Balai Bomba Bakal Dibina Di Kuala Nerus
KUALA NERUS, 18 Mac- Sebuah balai bomba dan penyelamat yang baharu bakal dibina tidak lama lagi, di kawasan seluas 2.1 hektar di Kampung Padang Nenas, di sini.Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membina balai bomba berkenaan yang kini dalam proses menambun dan meratakan tanah.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus itu bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat di mana sebelum ini bergantung kepada balai bomba dan penyelamat sementara yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Katanya, sekiranya berlaku kebakaran atau bencana alam lebih serius, orang ramai terpaksa meminta bantuan dari BBP Kuala Terengganu yang mengambil masa kira-kira 1 jam pada waktu puncak.“BBP Kuala Nerus sangat diperlukan kerana banyak kawasan perumahan, kediaman yang padat, terdapat tiga Institusi Pergajian Tinggi (IPT), beberapa pasar raya dan kawasan hutan yang luas.“Atas faktor itu, Kerajaan Pusat memutuskan untuk membina sebuah balai bomba di situ (Kuala Nerus),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah BBP Kuala Nerus, di sini, petang semalam.Hadir merasmikan majlis itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.Dr Alias turut memberitahu, pada masa yang sama, pihaknya berharap permohonan tambahan bagi membina bengkel kejuruteraan di kawasan yang sama dapat dipertimbangkan.“Kemudahan sama di BBP Kuala Terengganu sudah terlalu padat dengan puluhan jentera bomba yang perlu dibaiki dan diselenggara,” katanya.
17 Mar 19
1031
Sukan Patuh Syariah Pertama September Ini
Wan Sukairi (tengah) melayani anak-anak Terengganu di Sabah dalam Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet 2019 di Kota Kinabalu Sabah, semalam.KOTA KINABALU, 18 Mac - Terengganu bakal melaksanakan sukan patuh syariah pertama di Malaysia dalam penganjuran Sukan Terengganu mulai 4 hingga 9 September ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri akan menganjurkan sukan patuh syariah Terengganu 2019 yang pertama di Malaysia. "Ini adalah penambahbaikan yang kita lakukan untuk merealisasikan polisi patuh syariah setiap program kerajaan. "Saya sendiri telah mengada perbincangan dengan penggiat-penggiat sukan Terengganu termasuk dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha untuk menyediakan model sukan berkenaan, dengan persetujuan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri," jelasnya. Ustaz Wan Sukairi mengakui bahawa beliau telah menemui Menteri Besar untuk tujuan tersebut dan mendapat persetujuan bagi melaksanakan sukan patuh syariah itu. Beliau berkata demikian dalam sesi dialog dengan anak-anak Terengganu di Sabah, di sini, semalam. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Haji Ishamudin Hashim, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan kira-kira 200 anak Terengganu di Sabah.Sebelum ini, Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menjelaskan bahawa sukan berkenaan akan diadakan dua tahun sekali yang berselang-seli dengan Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal diadakan di Johor tahun depan. Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang yang agak besar untuk pembangunan sukan di Negeri Terengganu tahun ini. "Kita mengharapkan, dengan peruntukan tersebut dan dengan kerjasama semua pihak, Terengganu terus berupaya mengungguli kejuaraan sukan di Malaysia serta di peringkat antarabangsa," ujarnya.Anak-anak Terengganu memperagakan baju t-shirt sebagai kempen rakan pelancong bagi memperomosikan Terengganu di Sabah.
17 Mar 19
142
Keadilan Buat Keluarga Mangsa Keganasan Di Christchurch
Ahmad Amzad HashimOleh: Syed KamalKUALA TERENGGANU, 17 Mac - Pengganas yang membunuh orang awam di New Zealand haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman mati bagi mengadili perbuatan kejam yang telah dilakukannya.Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tindakan pengganas tersebut sangat terkutuk sehingga sanggup membunuh orang yang tidak berdosa.Jelasnya, kejadian yang mengejutkan seluruh dunia itu amat bertentangan dengan nilai kemanusiaan, lebih-lebih lagi New Zealand adalah sebuah negara yang mengutamakan keamanan.“New Zealand sebelum ini kami anggap sebagai sebuah negara yang selamat dan tidak ada ancaman yang luar biasa terhadap keselamatan anak-anak kami. “Sehinggalah bila berlaku kejadian mengejutkan tembakan yang dilakukan di masjid oleh seorang lelaki berasal dari Australia pada waktu umat Islam mahu menunaikan ibadah solat Jumaat,” katanya.Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.Tambah beliau, perbuatan keji tersebut merupakan satu provokasi yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu bagi menimbulkan permusuhan dengan umat Islam.“Ia merupakan suatu perlakuan ‘terrorisma’ dan jenayah yang terkutuk yang langsung tidak berperikemanusiaan dan kami seperti masyarakat antarabangsa mengutuknya sekeras kerasnya. “Apa yang berlaku adalah berpunca daripada agenda pihak tertentu yang mengapi-apikan kebencian secara tidak rasional terhadap Islam sedangkan Islam sangat menganjurkan pendamaian dan mengecam kezaliman dan keganasan.“Realiti yang berlaku adalah umat Islamlah mangsa yang telah dan sedang mengalami kezaliman serta keganasan yang berterusan di seluruh dunia melalui siri-siri peperangan, pencerobohan dan penjajahan yang tidak berasaskan prinsip keadilan yang betul,” tambah beliau.Dalam masa yang sama, beliau memuji usaha Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern yang ingin menanggung semua kos pengebumian serta memberi perlindungan keselamatan kepada keluarga mangsa serangan pengganas.“Kami mengalu-alukan dan memuji kenyataan Perdana Menteri New Zealand yang mahu menanggung kos pengebumian dan memberi perlindungan keselamatan kepada keluarga mangsa," ujarnya.
17 Mar 19
17
Sekretariat Terengganu Bakal Ditubuhkan Di Sabah
Ariffin (tengah) melayani anak-anak Terengganu di Sabah dalam Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet 2019 di Kota Kinabalu Sabah, semalam.KOTA KINABALU, 18 Mac - Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) bakal menubuhkan Sekretariat Khas di Sabah bagi menyebarkan maklumat mengenai Terengganu kepada anak negeri itu khususnya. Pengerusi Perantau Negeri Sabah, Mohd Anuar Ali berkata, pertubuhan itu akan bermesyuarat tidak lama lagi di sini bagi menubuhkan sekretariat penting berkenaan sebagai pusat menyebarkan maklumat (One Stop Centre) mengenai Negeri Terengganu di Sabah."Antara maklumat penting termasuk memperkenal negeri Terengganu sebagai negeri yang melahirkan ramai ulama sejak zaman dahulu lagi."Di Terengganu pernah lahir ulama terkenal zaman dahulu iaitu Haji Abdul Rahman Limbong dan sekarang pula Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tuan Guru Haji Abdul Hadi mempunyai ilmu yang luas dalam bidang agama yang sukar dicari ganti,"katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 di sebuah hotel di sini, semalam.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Haji Ishamudin Hashim, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan kira-kira 200 anak Terengganu di Sabah. Di majlis yang sama Ustaz Ariffin dilantik sebagai ayah angkat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Universiti Malaysia Sabah (UMS).Menurut Mohd Anuar terdapat kira-kira 1,000 anak Terengganu berada di Sabah pada masa kini termasuk yang menetap dan belajar di beberapa buah universiti sekitar negeri tersebut.Anak-anak Terengganu mempromosikan Terengganu kepada rakyat Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
17 Mar 19
81
Potensi Besar Ekonomi Terengganu
Dr. Ahmad Samsuri (kanan) bersama Datuk Ignatius Darell Leiking (kiri).KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Terengganu memiliki potensi besar dalam ekonomi terutama membabitkan sektor pembangunan perindustrian, pelaburan dan perdagangan.Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking berkata, Terengganu pada tahun lalu mencatatkan jumlah perdagangan berjumlah RM24.23 bilion.Jelasnya, jumlah perdagangan itu meliputi nilai eksport sebanyak RM20.7 bilion yang melibatkan ‘mineral fuel’, ‘lubricant’ dan bahan kimia sebagai eksport utama.“Terengganu mempunyai potensi yang sangat besar. Daripada data yang kita ada di MITI, kita sangat berbangga untuk beritahu bahawa Terengganu menyumbang amaun Gross Domestic Product (GDP) yang besar kepada negara,” ujarnya.Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan Lawatan Kerja Ke Terengganu di Pejabat Menteri Besar, Tingkat 16, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Sidang media.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato' Azhar Abdul Hamid serta Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.Ignatius Darell berkata, rakyat Terengganu juga mempunyai banyak potensi dan kebolehan dalam bidang tertentu yang mampu menyumbang ke arah perkembangan ekonomi negeri.Beliau juga memuji langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan negeri sehingga menyumbang kepada pembangunan negeri yang cemerlang.Ini terbukti apabila sektor pembuatan, jumlah pelaburan yang diluluskan di Terengganu pada 2018 meningkat berlipat kali ganda dengan nilai RM4.9 bilion berbanding RM73.1 juta pada tahun sebelumnya. Mesyuarat penuh bersama MITI dipengerusikan oleh Ahmad Samsuri.“Pelaburan asing berjumlah 4.6 bilion, manakala pelaburan tempatan mencatatkan RM321 juta.“Ia melibatkan 11 projek dan berpotensi menjana hampir 2,000 peluang pekerjaan yang menjadikan produk besi, bahan kimia dan produk kayu sebagai sektor utama,” tambah beliau.
17 Mar 19
131