Artikel "Utama" Terkini
Sidang DUN : 285 Jawatan Imam Dan Bilal Diisi
KUALA TERENGGANU, 2 April - Dewan Undangan Negeri (DUN) dimaklumkan bahawa jawatan imam dan bilal seluruh negeri Terengganu yang diisi di masjid kerajaan berjumlah seramai 285 orang. Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dari jumlah itu, seramai 159 imam telah berkhidmat di masjid berkenaan diikuti dengan bilal seramai 126 orang. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14, di sini hari ini. Wan Hapandi dalam soalannya ingin tahu jumlah bilangan imam dan bilal yang telah diisi mengikut daerah. Menurut Dr Ahmad Samsuri, daerah Kuala Terengganu mempunyai jumlah kakitangan masjid yang tertinggi berbanding tujuh daerah lain iaitu seramai 65 orang. Ini termasuk 36 orang imam dan bilal seramai 29 orang. Sementara itu katanya, daerah Kemaman mempunyai jumlah imam dan bilal kedua tertinggi berbanding daerah lain iaitu 45 orang termasuk imam (25) dan bilal (20). Ini diikuti oleh daerah Besut berjumlah seramai 40 orang termasuk imam (22) dan bilal (18). Katanya, daerah Dungun berjumlah 39 orang termasuk imam (24) dan bilal (15). Daerah Kuala Nerus berjumlah 31 orang termasuk bilal (16) dan imam (15). Manakala daerah Marang berjumlah 28 orang termasuk imam (15) dan bilal (13). Sementara daerah Hulu Terengganu berjumlah 26 orang termasuk imam (16) dan bilal (10). Daerah Setiu pula berjumlah 11 orang termasuk enam orang imam dan lima orang bilal.
02 Apr 19
41
Sidang DUN : Utamakan Kuota Pekerjaan Untuk Anak Terengganu
Alias Harun.KUALA TERENGGANU, 2 April - Peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan oleh kerajaan negeri menerusi beberapa platform dicadang supaya disediakan kuota khas untuk anak Terengganu.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, Terengganu adalah sebuah negeri yang mempunyai sumber ekonomi yang pelbagai dan secara tidak langsung ia akan membuka peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.Jelasnya, anak tempatan mempunyai kepakaran kerana ramai di antara mereka mempunyai kelulusan akademik yang tinggi dari pusat pengajian dan kemahiran terkemuka.“Kita mengharapkan peluang-peluang pekerjaan dibuka luas seperti yang dijanjikan walaupun tidak semudah itu kerana kebanjiran tenaga kerja dari luar.“Cuma kita mengharapkan, perlu ada kuota (pekerjaan) seperti yang disebut tadi supaya perkara ini menjadi agenda utama kita dalam menarik pelabur-pelabur luar datang ke tempat kita supaya anak tempatan tidak ketinggalan,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini semalam.Alias turut berkata, dasar yang memberikan keuntungan kepada anak tempatan perlu dirangka dan ditetapkan agar pelabur-pelabur luar dapat mengikuti syarat berkenaan.Ujarnya,perkara itu secara tidak langsung akan membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat Terengganu.“Kitalah yang meletakkan dasar ini supaya pelabur-pelabur dapat mematuhi sebahagian daripada kuota yang ditetapkan.“Kuota perlulah munasabah sesuai dengan perbincangan dua pihak (yang terlibat dalam bidang ekonomi dan pelaburan) berkenaan,” tambah beliau.
02 Apr 19
267
Terengganu FC Mudah Atasi Ultimate FC
Pemain TFC meraikan kemenangan mereka dalam saingan Piala FA.KUALA TERENGGANU, 3 April - Terengganu Football Club (TFC) mencatat kemenangan mudah menewaskan pasukan Liga M3, Ultimate FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA Malaysia, semalam.Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), TFC nyata mendominasi perlawanan dan menunjukkan belangnya mengatasi lawan dengan kedudukan 5-0.Meski tanpa kelibat Lee Andrew Tuck dan Tchetche Kipre, pasukan tuan rumah bermula selesa apabila berjaya menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi Mohamad Ashari Samsudin yang menolak mudah hantaran leret Mohd Khairul Izuan Rosli.Namun, jaringan tersebut tidak mematahkan semangat Ultimate FC untuk mengatur serangan.Bagaimanapun, keputusan perlawanan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.'The Silent Killer' ledak gol pertama perlawanan.Memasuki babak kedua, TFC menggandakan asakan dengan memasukkan Muhamad Sharin Sapien pada minit ke-56'.Namun, dia digantikan dengan Ahmad Syamim Yahya seminit kemudian kerana kecederaan di kepala.Kebuntuan Sang Penyu mencari gol kedua berakhir apabila Igor Zonjic menanduk padu bola lambungan Sanjar Shaakhmedov pada minit ke 73'.Empat minit kemudian, Sanjar menambah jaringan dengan menanduk bola muntah untuk gol ketiga.Pasukan pelawat yang mula tertekan cuba melengahkan permainan, tetapi TFC mula berpesta gol setelah Khairul Anwar Saharudin dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke 84'.Nasrullah Hanif Johan kemudiannya tenang menyempurnakan sepakan penalti sekaligus melenyapkan harapan Ultimate FC.Menjelang minit-minit akhir perlawanan, Khairul Izuan Rosli menambah luka pelawat apabila menolak masuk bola ke gawang dalam keadaan kelam kabut di depan melengkapkan kemenangan besar tuan rumah.Mengulas persembahan pemain TFCketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan anak buahnya terlalu berhati-hati semasa separuh masa pertama."Aspek ini kita ubah pada babak kedua dan berhasil menambah jaringan."Bagi aksi bertemu PKNP FC selepas ini, saya tidak boleh membuat andaian lagi tetapi kehadiran Lee Tuck yang telah pulih dijangka akan memperkuatkan bahagian tengah kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.Irfan puji aksi Ultimate FC.TFC akan melayan kunjungan pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam aksi Liga Super Malaysia, Sabtu ini.
02 Apr 19
166
Sidang DUN : Terengganu Lulus 4 Projek RMM Bernilai RM10 Juta
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri meluluskan peruntukan projek Rumah Mampu Milik (RMM) sebanyak RM10 juta untuk empat kawasan di negeri Terengganu.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap kawasan masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM2.5 juta. Katanya, kawasan tersebut ialah Rancangan Perumahan Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal, Kuala Nerus, Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin, Hulu Terengganu, (RMM) Tempinis, Besut dan RMM Gong Chengal, Kemaman. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Haji Wan Hapandi Wan Nik dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14, di sini hari ini. Haji Wan Apandi ingin tahu status pembinaan RMM yang telah diputuskan pada sidang DUN lepas di empat kawasan dan jumlah peruntukan projek tersebut. Dr Ahmad Samsuri yang juga ADUN Rhu Rendang seterusnya berkata, sehingga Mac tahun ini, dua tender projek telah pun ditutup iaitu projek RPMM Tok Jembal, Kuala Nerus dan RMM Tajin, Hulu Terengganu. "Manakala RMM Tempinis, Besut berada dalam penyelaras pra-pelaksanaan dan RMM Gong Chengal (II), Kemaman akan diteliti pelaksanaannya dari semasa ke semasa," ujarnya.
02 Apr 19
40
Sidang DUN : Kos Pembangunan Tenaga Ke Lembah Silika RM311.3 Juta
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU, 2 April - Kos pembangunan tenaga ke Lembah Silika Terengganu (TSV), Jambu Bongkok Marang diumumkan berjumlah RM311.3 juta.Ini termasuk, pengambilan balik tanah (30 meter x 32 kilometer) dengan nilai RM51.3 juta dan kos projek (termasuk kos tanah sehingga 2019) sebanyak RM260 juta.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PETRONAS dengan kerjasama Terengganu Inc Sdn. Bhd. dalam peringkat penyediaan dokumen untuk dihantar kepada Suruhanjaya Tenaga bagi membangunkan pembangunan tenaga ke Lembah Silika Terengganu (TSV), Jambu Bongkok, Marang.Dr Ahmad Samsuri berkata, antara dokumen penting yang diperlukan adalah surat niat (LOI) daripada pihak pelabur yang akan membuka kilang dan beroperasi di lembah tersebut.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di DUN Terengganu, di sini hari ini.Muhammad Khalil dalam soalannya bertanyakan tentang hasil kajian dan penilaian teknikal yang telah diperoleh kerajaan berkenaan pembangunan tenaga ke TSV.Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, antara maklumat teknikal yang diperoleh termasuk jarak laluan paip gas dari Paka, Dungun iaitu sejauh 32 km.Sementara keperluan tenaga (elektrik) pula katanya, berjumlah sebanyak 150 Mega Watt, keperluan gas (kilang) sebanyak 60 juta kaki padu standard setiap hari (million standard cubic feet per day) serta diameter paip gas sepanjang 36" x 28 km dan 10" x 4 km.
02 Apr 19
46
Sidang DUN : Terengganu Sebulat Suara Kecam Tragedi Gaza Dan Bukit Golan
KUALA TERENGGANU, 2 April - Ahli sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini sebulat suara mengutuk sekeras-kerasnya dua tragedi besar yang telah menimpa umat Islam di Timur Tengah saat ini.Kedua-dua tragedi tersebut melibatkan serangan negara Israel ke atas saudara Islam di Gaza dan juga tindakan melampaui batas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan menandatangani pengisytiharan Bukit Golan yang dijajah dari tangan Syria sebagai milik negara haram Zionis.Ketetapan itu diperoleh selepas usul tergempar mengutuk serangan pengganas itu dicadangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md. Noor yang menegaskan, serangan tersebut tiada tujuan lain melainkan untuk menanam kebencian dan mendorong keganasan di serata dunia.Meskipun berbeza pandangan dan fahaman politik, namun penyokong kerajaan dan wakil pembangkang senada mengutuk keras kejadian berkenaan menerusi usul tergempar itu.Zuraida Md. Noor berkata, kedua-dua peristiwa itu sangat mencalar maruah umat Islam.“Langkah presiden Trump sama seperti sebelum ini dengan mengiktiraf Baitul Maqdis, tempat suci ketiga orang Islam sebagai ibu negara haram Israel pada Disember 2017.“Sebagaimana status Baitul Maqdis yang mana hakikatnya dijajah oleh Israel, begitu juga dengan Bukit Golan. Ibarat melakukan jenayah di siang hari,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul semasa Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini pagi tadi.Katanya, tindakan keji itu jelas melanggar dua resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Resolusi Majlis Keselamatan 497 dan Resolusi 242. “Resolusi Majlis Keselamatan 497 jelas menyatakan bahawa keputusan Israel untuk melaksanakan undang-undang bidang kuasa dan pentadbiran di bawah wilayah Bukit Golan milik Syria yang diduduki adalah batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan perundangan antarabangsa.“Manakala Resolusi Majlis Keselamatan 242 memberi panduan jelas bahawa wilayah yang dirampas melalui peperangan adalah tidak sah untuk dimasukkan sebagai wilayah milik negara yang menjajah berkenaan,” ujarnya.Zuraida berkata, alasan kononnya bakal menjadi sasaran untuk melancarkan serangan AS ke atas Israel, amat hipokrit.“Mengapa mereka tergamak berdiam diri saat Zionis Israel melakukan jenayah kemanusiaan dengan mengebom orang awam Palestin yang tidak bersalah yang dikepung di Gaza.“Sekali lagi saya menyeru agar kita seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu menunjukkan solidariti bersama-sama saudara kita di Gaza dan Bukit Golan dengan mengecam keras pencabulan hak asasi manusia dan pelanggaran undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
02 Apr 19
38
Sidang DUN : Pembangkang Terengganu Sahut Agenda Penyatuan Ummah
KUALA TERENGGANU, 2 April - Agenda penyatuan ummah untuk berjuang membela nasib orang Melayu dan Islam disahut baik oleh pihak pembangkang Kerajaan Terengganu.Wakil BN-Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, konsep penyatuan ummah diterima baik bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan malahan peringkat akar umbi.“Bila orang kata konsep penyatuan ummah ini dijadikan suatu gelombang dalam masyarakat kita, orang yang berbual di kedai kopi kata pemimpin atasan tidak ada masalah, kita di kampung ni rasa berat, tetapi tidak sebenarnya, di kampung pun boleh menerima penyatuan ummah.“Di kawasan saya, pemuda UMNO buat lawatan kasih rumah ke rumah bersama pemuda PAS untuk jalankan program bersama. Ini menandakan konsep penyatuan ummah ini perlu kita jadikan satu asas untuk menyatu padukan masyarakat.“Orang atas tiada masalah, orang kampung pun boleh terima, lupakan masa yang lalu. Kita bina bersama untuk masa hadapan yang lebih bersatu,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu Keempat Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
02 Apr 19
36
Pameran Kelingkan, Rahsia Di Sebalik Tudung Emas
KUALA TERENGGANU, 2 April - Hampir 200 seni sulaman kelingkan yang bernilai antara RM500 hingga RM32,000 dipamerkan pada Pameran Kelingkan, Rahsia Di Sebalik Tudung Emas anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu.Pengarahnya, Che Muhammad Azmi Ngah berkata, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program itu kerana mahu memperkenalkan kepada masyarakat setempat, selain ingin membantu mereka yang meminati seni sulaman bagi menceburi bidang itu.Katanya, beliau percaya, pastinya ramai yang tidak mengenali keunikan seni sulaman kelingkan yang hampir 300 tahun sudah bertapak di beberapa negeri termasuk Terengganu.“Malangnya di Terengganu, seni itu sudah pupus, tiada generasi yang mahu menyambungnya kecuali ada sebilangan kecil pengusaha di Kelantan, Selangor danSarawak yang masih kekal.“Menyedari hakikat itu, pihak kami terpanggil menganjur pameran itu dengan mengadakan kerjasama dengan pengumpul koleksi kelingkan, John Ang dari Amerika,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kelingkan, di Muzium Negeri, Losong, di sini hari ini. Majlis itu dirasmikan isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.Tuan Faizah berkata, hanya mereka yang mengetahui keindahan dan keunikan sulaman kelingkan sanggup menempah material berkenaan.“Ini kerana harga sehelai selendang yang telah dijahit sulaman kelingkan ialah antara RM500 sehingga RM5,000 bergantung pada ketebalan motif,” katanya.Sementara itu, John Ang berkata, terdapat beberapa motif kelingkan iaitu sembilu kasih, teratai, cempaka, bunga cengkih, cempaka hitam, bunga semangat, bunga matahari, semalu, bunga ros bersegi dan banyak lagi.Katanya, corak yang ingin disulam pada kain akan dilukis di atas kertas sebelum diletakkan di bawah kain bagi tujuan menyulam dan teknik jahitan sulaman itu dikenali sebagai tikam tembus. ''Untuk siapkan sehelai selendang mengambil masa sebulan ke atas, bergantung kepada motif. ''Sulaman akan dijahit di atas kain chiffon, kain kapas atau voile kerana kain jenis ini lembut. Pelanggan akan menempah selendang panjang hingga ke paras pinggang, selendang pendek yang menutupi bahu atau tudung berbentuk empat segi,'' katanya.
02 Apr 19
725
Sidang DUN : Kos Baik Pulih Stadium Sultan Mizan Sama Nilai Bina Stadium Baru
KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri terpaksa menangguhkan pelaksanaan fasa utama membaik pulih Stadium Sultan Mizan, Gong Badak terutama melibatkan kerosakan bumbung utamanya yang runtuh berikutan kos yang terlampau tinggi.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Hishamuddin Abd Karim berkata, kerja membaik pulih stadium pelbagai guna yang boleh menampung 50,000 penonton itu terpaksa dikaji semula berikutan kos yang terpaksa ditanggung amat besar, iaitu hampir RM100 juta dan peruntukan berkenaan bersamaan dengan pembinaan satu stadium baharu."Berdasarkan siasatan yang kita buat dengan dua kes istimewa ini termasuk isu bas amfibia, sememangnya kita terkejut dengan penemuan hasilnya.“Bila dengar tentang anggaran kos dari Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memaklumkan bahawa dengan kos baik pulih RM100 juta yang mana boleh membina sebuah stadium baru, jadi kita telah mengesyorkan kepada pihak kerajaan negeri supaya JKR memperhalusi semua sekali kos baik pulih dan selepas itu buat perbandingan dengan membina sebuah stadium baharu,’’ ujarnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Meyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Terengganu Ke-14, di Wisma Darul Iman, hari ini.Jelasnya, selepas mendapat laporan daripada JKR, pihak kerajaan negeri akan membuat keputusan terbaik mengenai stadium tersebut, namun dalam masa yang sama ia masih boleh digunakan setelah baik pulih padang bola siap pada September.‘’Namun begitu, fasiliti lain seperti tempat bermain squash, boling dan bilik VIP belum dibaik pulih kerana ia memerlukan kos yang tinggi untuk dibaiki.“Jadi kita ambil keputusan untuk hentikan baik pulih semua sekali termasuk bumbung RM30 juta dengan menamatkan kontraktor yang terlibat. Sehingga hari ini, ia masih dibekukan sementara menunggu hasrat seterusnya dari pihak kerajaan,’’ katanya lagi.Untuk rekod, stadium terbesar di Pantai Timur yang dirancang sebagai mercu tanda pembangunan sukan itu dibina dengan kos dikatakan mencecah hampir RM300 juta dan dirasmikan pada Mei 2008.Ia menjadi lokasi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun itu yang menyaksikan Terengganu selaku tuan rumah bangkit sebagai kuasa baharu sukan negara sehingga kini melalui hasil program pembangunan atletnya.Stadium yang pertama di Asia menggunakan rekaan bumbung tanpa sokongan tiang itu menyembah bumi pada 2 Jun 2009, selepas tidak sampai setahun digunakan.
02 Apr 19
687
Sidang DUN : Sasaran 5 Juta Pelancong Masih Relevan
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU, 2 April - Kerajaan negeri menyifatkan sasaran untuk mencapai 5 juta pelancong ke Terengganu menjelang tahun 2020, masih relevan.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu berdasarkan pencapaian statistik kedatangan pelancong sebanyak 4.79 juta tahun lalu."Pencapaian statistik kedatangan pelancong sebanyak 4.79 juta pada tahun 2018 menunjukkan sasaran untuk mencapai 5 juta pada tahun 2020 adalah relevan," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Keempat Belas di DUN Terengganu, di sini hari ini.Katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menjalankan aktiviti promosi seperti pengiklanan di enam lapangan terbang di semenanjung Malaysia, kerjasama bersama radio, menggalakkan penggambaran perfileman, kerjasama bersama perantau dan melantik Mat Dan sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu.Selain itu katanya, kerajaan negeri bekerjasama dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dalam program usaha sama empat negeri (Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor) iaitu East Coast Tourism Council (ECTC) dalam membangunkan dan mempakejkan produk-produk pelancongan yang terdapat di negeri Terengganu.
01 Apr 19
88