lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Empty Image
Kem Cador Bakal Menjadi Pusat Pemulihan Dadah Holistik Terengganu
Seorang pemenang cabutan bertuah utama sebuah motosikal menerima kunci dari Ustaz Mohd Nor (tiga dari kanan).KEMAMAN,  18 April - Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan untuk menggunapakai Bekas Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih Cador,  Marang sebagai pusat pemulihan penagih dadah secara holistik pertama di Terengganu tahun depan.Pusat itu yang dibina di atas tanah kerajaan dalam perkiraan untuk diambilalih bagi tujuan tersebut.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri,  Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata,  modul  pelaksanaan pusat tersebut hampir 90 peratus siap.Ustaz Mohd Nor (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah di Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK)  2019 Peringkat Negeri Terengganu di Felda Kerteh 5, di  Kemaman hari ini.Kerajaan negeri katanya,  akan menyempurnakan modul tersebut berasaskan kepada modul yang baru yang disediakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kementerian Dalam Negeri dan diselaraskan dengan beberapa modul yang disediakan oleh pensyarah-pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Terengganu."Kerajaan negeri juga sedang menunggu penyediaan Unit Perancang Ekonomi (UPEN) berkenaan dengan status untuk mengambil Kem Cador termasuk kos pengambilan tanah dan bangunan."Keputusan berkaitan akan dibuat dalam mesyuarat dengan agensi berkenaan, berhubung dengan perkara tersebut tidak lama lagi, " katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK)  2019 Peringkat Negeri Terengganu di Felda Kerteh 5, di sini hari ini.Ustaz Mohd Nor berucap merasmikan Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK)  2019 Peringkat Negeri Terengganu di Felda Kerteh 5, di Kemaman hari ini.Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK,  Dato' Izhar Abu Talib dan Pengurus Besar Felda Wilayah Terengganu,  Hilmi Fahzan Abdul Wahab.Seterusnya Ustaz Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Bukit Payung berkata,  kerajaan negeri juga sedang menunggu kertas perjawatan yang akan disiapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)  dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bagi keperluan pengurusan dan pentadbiran pusat tersebut.Kerajaan negeri juga katanya,  akan melawat pusat pemulihan dadah di Thailand yang dikatakan dibuat secara perkampungan dan tarikh lawatan ke pusat itu akan dimaklum sedikit masa lagi."Kerajaan negeri turut mengkaji konsep pelaksanaan pusat-pusat pemulihan dadah dalam negeri yang dibuat oleh Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) di samping pusat pemulihan yang dibuat oleh AADK sendiri di Besut.Gimik Perasmian Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADK) 2019 Peringkat Negeri Terengganu dilaksanakan oleh Ustaz Mohd Nor (empat dari kanan) di Felda Kerteh 5, di Kemaman hari ini."Kerajaan negeri akan menggabungkan semua modul pelaksanaan pusat-pusat berkenaan untuk diadaptasikan di Kem Cador nanti, " ujarnya.Sementara itu Dato' Izhar menyokong penuh usaha kerajaan negeri untuk mewujudkan pusat tersebut di Kem Cador dan akan membantu sedaya mungkin bagi menjayakan pusat pemulihan dadah tersebut. 
17 Apr 19
750
Empty Image
Masalah Air Di Kawasan Luar Bandar Setiu Bakal Berakhir
Shaharizukirnain Abdul Kadir.KUALA TERENGGANU, 18 April - Masyarakat luar bandar di Setiu mengalu-alukan komitmen Kementerian Pembangunan Luar Bandar melaksanakan projek bekalan air di kawasan berkenaan sebagai langkah untuk membangunkan ekonomi setempat.Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, masalah bekalan air sudah lama berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan dan mata pencarian penduduk.Katanya, kerajaan bersetuju meluluskan beberapa projek bekalan air di kawasan luar bandar melibatkan Kampung Padang Serai, Beris Tokku, Setia Jaya, Che Mohid, Pak Kancil Dalam dan Pengkalan Gelap.“Masalah air rakyat di Setiu yang telah saya suarakan dalam membahaskan kajian separuh penggal RMK11 (Rancangan Malaysia Ke-11) baru-baru ini telah mendapat reaksi positif daripada pihak kerajaan.“Isu bekalan air luar bandar telah lama dialami oleh penduduk Setiu dan saya berharap agar dengan pelaksanaan projek ini dapat menyelesaikan isu bekalan air yang merupakan antara masalah utama penduduk luar bandar,” katanya.Sementara itu, beliau turut berterima kasih atas pengumuman Perdana Menteri untuk meneruskan pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).Walaubagaimanapun, Shaharizukirnain sedikit kecewa apabila stesen di Telaga Papan yang sebelum ini termasuk dalam jajaran ECRL dibatalkan.“Pembinaan ECRL ini jelas sekali mampu memberi manfaat yang besar kepada masyarakat khususnya rakyat Terengganu.“Namun begitu, saya tetap ingin menzahirkan kekecewaan saya terhadap pembatalan projek pembinaan stesen di Telaga Papan yang sebelum ini termasuk dalam jajaran ECRL," katanya.Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar Kerajaan Pusat melaksanakan beberapa projek pembangunan tambahan bagi mengembangkan ekonomi luar bandar Setiu.“Saya meminta agar Kerajaan Pusat mampu menyediakan inisiatif lain dengan menambahkan bilangan projek-projek seperti projek perumahan dan lain-lain yang berskala besar,” tambah beliau lagi. 
17 Apr 19
137
Empty Image
Chicken Cottage ‘Peremajaan Semula’ - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April - Rangkaian restoran makanan segera berjenama antarabangsa yang berpangkalan di London, Chicken Cottage dan beroperasi di cawangan Kuala Terengganu akan melalui proses rejuvenate (peremajaan semula).Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keseluruhan cawangan Chicken Cottage termasuk dalam dan luar negara kini sedang melalui proses penelitian semula terhadap segala aspek untuk mengurangkan kerugian yang dialami. “Kita akan buat proses rejuvenate di Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu termasuk akan dipindahkan ke Mayang Mall apabila siapnya tempat yang dijangka lebih menjadi tumpuan ramai itu nanti.“Buat masa ini, kita dalam proses untuk hentikan sementara operasinya sehingga dibuka kembali di Mayang Mall yang mungkin akan mengambil masa selama dua tahun sehingga pusat membeli belah baharu tersebut siap,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, dalam tempoh tersebut, semua kakitangannya akan ditempatkan secara sementara di anak syarikat kerajaan negeri yang lain dengan melihat kepada kesesuaian dan proses penempatan tersebut akan dilakukan selepas Aidilfitri nanti.“Dengan pilihan, mereka ini akan beri keutamaan untuk bekerja kembali di Chicken Cottage yang dijadualkan akan beroperasi di Payang Mall dalam masa dua tahun akan datang,” ujarnya.
17 Apr 19
188
Empty Image
Drawbridge Terengganu Beroperasi Aidilfitri Ini - MB
KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan negeri optimis jambatan angkat atau `drawbridge’ yang menghubungkan muara selatan di Kuala Terengganu (KT) dan muara utara di Seberang Takir dapat digunakan sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sekiranya tiada apa-apa halangan, drawbridge yang menjadi mercu tanda baharu bagi negeri ini dijadualkan akan beroperasi sepenuhnya awal Jun ini.“Kita jangka drawbridge akan disiapkan sepenuhnya akhir bulan ini di mana tempoh sebulan diambil sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri yang dijangka pada 30 Mei.“Buat masa ini drawbridge masih lagi di bawah pengurusan pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sebelum diserah kepada kerajaan negeri.“Sekiranya segala proses dapat disiapkan termasuklah urusan jalan raya di kawasan sebelum naik drawbridge itu (KT-Seberang Takir), kita optimis ianya boleh digunakan sebelum hari raya nanti,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, apabila siap kelak dan semuanya berjalan lancar, drawbridge diharapkan dapat mengurangkan kesesakan jalan raya pada musim perayaan.
17 Apr 19
107
Empty Image
'Jangan Lupa Nyoblos' - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan selamat mengundi kepada semua warga Republik Indonesia (RI) dalam Pemilihan Umum 2019 (Pemilu 2019,  hari ini."Sempena Pemilu 2019 hari ini, saya ingin mengucapkan selamat mencoblos (mengundi) buat semua warga Indonesia."Pilih calon terbaik demi keadilan dan kesejahteraan rakyat Indonesia dan rantau sejagat. Jangan lupa nyoblos, jangan sampe golput (tidak mengundi) ya," kata beliau dalam status Facebook, hari ini.Sementara itu menurut sebuah portal berita Indonesia, IDN Times, pemilu kali ini menjadi sejarah pertama Pemilihan Anggota Legislatif (Pileg) dan Pemilihan Presiden (Pilpres) dibuat secara serentak.Menurut Daftar Pemilih Tetap Hasil Perbaikan 3 (DPTHP3) bertarikh Isnin, 8 April lalu sejumlah 192,866,254 orang berkelayakan untuk mengundi tahun ini .Ia bertambah sebanyak 37,734 orang pemilih berbanding DPTHP2.Pemilu itu akan memilih Calon Presiden (Capres) dan Calon Wakil Presiden (Cawapres), Anggota Dewan Pemilihan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI), Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Provinsi, Anggota DPRD Kabupaten atau Kota dan Anggota Dewan Perwakilan Daerah (DPD).Dua pasangan Capres dan Cawapres dipertandingkan termasuk Jokowi Dodo dan Prof Dr K H Ma'ruf Ami (Jokowi-Ma'ruf) sementara lawannya Prabowo Subianto Djojohardikoesoemo dan H Sandiaga Salahuddin Uno (Prabowo-Sandiaga).Pasangan Jokowi-Ma'ruf didokong oleh 10 parti termasuk PKP, PDI Perjuangan, Golongan Karya, NASDEM, Perindo, PPP, Solidaritas Indonesia, HANURA, PKP dan Bulan Bintang.Manakala pasangan Prabowo-Sandiaga didokong oleh enam parti termasuk GERINDRA, Garuda, Berkarya, Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Amanat Nasional (PAN) dan Demokrat.Seramai 7,968 Calon Anggota Legislatif (Caleg) dari 16 buah parti bertanding dalam Pemilu kali ini termasuk 4,774 calon lelaki dan wanita (3,194).Sebanyak 575 kerusi DPR dipertandingkan bertambah 15 kerusi berbanding Pemilu 2014 (560 kerusi).Lebih dari 7,000 Caleg DPR berebut kerusi parlimen manakala Lebih dari 800 Caleg bertanding merebut kerusi DPD.
16 Apr 19
203
Empty Image
Kerajaan Pusat Perlu Fokus Kerja, Kukuhkan Ekonomi - Haji Amzad
Haji Ahmad Amzad HashimKUALA TERENGGANU,  17 April - Kerajaan Persekutuan disaran supaya memberi tumpuan membangunkan ekonomi negara dan tidak lagi terus menyalahkan kerajaan terdahulu dengan apa yang berlaku dalam negara hari ini. Ahli Parlimen Kuala Terengganu,  Haji Ahmad Amzad Hashim berkata,  tindakan sedemikian menyebabkan pelabur asing tidak yakin dengan pasaran saham dan kemampuan kerajaan mengurus ekonomi negara sehingga ramai di kalangan mereka bertindak menjual saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media semalam.Haji Ahmad Amzad membaca penuh minat laporan daripada portal ekonomi antarabangsa Bloomberg semalam yang menggelarkan pasaran saham Malaysia sebagai 'World's Worst Major Stock Market 2019' (Bursa Saham Utama terburuk di dunia pada tahun 2019).Sebagai rekod, pasaran saham BSKL merosot sebanyak 14 peratus sejak Mei 2018 dan 3.5 peratus untuk 2019 sahaja. "Kemerosotan ketara ini sudah tentulah tidak baik kepada ekonomi dan memberi kesan langsung kepada Rangkaian Syarikat Kerajaan (Government Linked Company) yang membuat pelaburan aktif di dalam pasaran saham. "Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Berhad, Tabung Haji, Perbadanan National Berhad (PNB) dan lain- lain lagi," jelasnya.Kemerosotan pasaran ini katanya, sudah tentu akan menjejaskan pulangan dividen kepada pencarum dan rakyat keseluruhan pada tahun-tahun akan datang."Memburukkan lagi keadaan adalah apabila Samsung Asset Management (sebuah firma pengurusan dana terkemuka Asia) pula mengeluarkan kenyataan bahawa pasaran saham Malaysia adalah 'membosankan'."Kenyataan ini sudah tentu berdasarkan prestasi BSKL yang lemah dan akan memberi kesan kepada persepsi pelabur luar," ujarnya.Dr Nazri Khan, Naib Presiden Kanan Philip Capital Management dalam kenyataannya menyebut bahawa pelabur asing sudahpun menjual saham tempatan mereka bernilai RM1.8 bilion untuk tahun ini sahaja.Dan terkini, FTSE Russel pula sedang menimbangkan untuk mengeluarkan bon bon Malaysia daripada indeks global. Haji Ahmad Amzad berkata, ia satu isyarat ketidakyakinan pelabur luar terhadap keteguhan ekonomi Malaysia dan kemampuan kerajaan sedia ada dalam mengurusnya."Saya berpandangan bahawa bagi memastikan ekonomi negara terus mapan, kerajaan hari ini wajar melakukan langkah langkah segera bagi menangani persepsi negatif pelabur. "Sebarang salah laku kerajaan lama sekiranya ada, wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk diadili melalui sistem keadilan yang ada dan bukannya meneruskan polemik politik kepartian yang membuang masa dan fokus dari kerja sebenar mengurus negara," tegasnya.Menurut beliau, kabinet juga seharusnya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi isyarat negatif yang mengurangkan kepercayaan pelabur.Katanya, walaupun tadbir urus yang baik adalah intipati prinsip utama kerajaan persekutuan hari ini, namun tidak semua perkara boleh diwar-warkan kepada masyarakat awam atas nama ketelusan demi menjaga sentimen pasaran."Sebagai contohnya, pengumuman mengejut pemindahan aset Tabung Haji kepada SPV pada Disember tahun lepas telah menyebabkan nilai 10 syarikat terbesar milik Tabung Haji merosot RM607 juta dalam masa seminggu sahaja. "Saya fikir pembangkang pun sedia memberi kerjasama bagi menjayakan matlamat memulihkan ekonomi negara dan membantu  Perdana Menteri dalam segala daya usaha yang baik untuk negara," ujarnya. Katanya, ini antara intipati budaya politik matang dan sejahtera yang semakin difahami oleh rakyat yang sudah mual dengan politik ala rimba yang sarat dengan fitnah dan adu domba.
16 Apr 19
159
Empty Image
Terengganu Perkasa Industri Perikanan Darat
Dr Azman Ibrahim. Foto oleh - Wan Luqmanul HakimKUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan Terengganu komited untuk  terus memperkasakan industri akuakultur perikanan darat di negeri itu.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha berkenaan akan bermula dengan melaksanakan beberapa pemurnian terhadap peraturan-peraturan sedia ada.Jelasnya, undang-undang yang ditambah baik itu bertujuan untuk menjamin kelestarian hasil perikanan darat untuk masa hadapan, mengawasi aspek keselamatan supaya tidak berlaku pemindahan wabak serta menjana pendapatan pengusaha dengan lebih baik.“Kaedah-kaedah perikanan darat ini merupakan satu undang-undang atau peraturan sebab Akta Perikanan 1985 yang ada cuma kawal untuk laut sahaja, jadi tidak ada satu peraturan untuk kita mengawal aktiviti perikanan darat.“Daripada beberapa negeri yang sudah melaksanakan kaedah-kaedah ini yang telah dibentangkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Terengganu kepada kerajaan negeri, kita tengok ada beberapa frasa-frasa yang memerlukan pemurnian, iaitu kita perlu tengok realiti di Terengganu,” ujarnya.Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu di Dewan Besar, Akademi Perikanan Terengganu, Chendering, di sini semalam.Dr Azman merasmikan Bengkel Pemurnian Kaedah-Kaedah Perikanan (Akuakultur Perikanan Darat) Negeri Terengganu.Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri, Zawawi Ali, Pengarah Akademi Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, ketua-ketua jabatan serta agensi perikanan.Dr Azman turut berkata, hasil perincian kaedah perikanan darat yang meliputi kolam, sungai dan tasik itu akan dijadikan satu pelan khas untuk dibincang bersama pihak tertinggi sebelum dilaksanakan sepenuhnya.Tambah beliau, kaedah yang telah dipersetujui tersebut akan dipraktikan kepada seluruh pengusaha industri itu di Terengganu.“Hasil daripada bengkel ini insya-Allah kita akan ada satu cadangan kaedah-kaedah perikanan darat untuk negeri Terengganu.“Kemudian akan kita bincang secara lebih lanjut sebelum dijadikan satu kaedah yang diguna pakai di negeri ini,” tambah beliau.Bengkel tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula semalam yang disertai oleh lebih 40 pegawai daripada pelbagai agensi dan pertubuhan. 
16 Apr 19
808
Empty Image
Timbalan Menteri Kesihatan Puji Kad Sejahtera Terengganu
Dr. Lee dan Dr. Alias turut menziarahi pesakit di hospital Dungun.DUNGUN, 16 April - Pelaksanaan bantuan perubatan melalui Kad Sejahtera yang dilaksanakan Kerajaan Terengganu mendapat pujian Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Lee Boon Chye.Menurutnya, inisiatif itu dapat mengurangkan rakyat yang kurang berkemampuan."Terima kasih kepada negeri Terengganu kerana memberi perkhidmatan kepada rakyat sekali gus mengurangkan beban kepada klinik dan hospital awam kerana ia boleh digunakan untuk klinik swasta," katanya ketika ditemui pemberita.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis dialog sempena Lawatan Kerja Timbalan Menteri Kesihatan ke Fasiliti Kesihatan Dungun, di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, di sini hari ini.Dalam program berkenaan, beliau yang disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak melawat Hospital Dungun dan mengadakan pertemuan dua hala dengan pegawai-pegawai perubatan negeri. Turut hadir, Timbalan Exco, Ahmad Shah Mohamed,  Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Mohd Jusoh serta Pengarah Hospital Dungun, Dr. Farah Najwa Abdul Rahim.Lebih 300 kakitangan perubatan seluruh daerah hadir dalam majlis dialog.Dr. Lee turut melihat perjalanan projek pembinaan hospital baharu Dungun yang dijadualkan siap pada Februari 2020.Dalam pada itu, Dr. Alias memaklumkan Kad Sejahtera akan memberi manfaat kepada 20,000 rakyat negeri itu melalui subsidi perubatan bagi wad kelas ketiga dan unit pesakit luar di klinik swasta.Inisiatif berkenaan merupakan salah satu manifesto kerajaan negeri dengan sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi tahun ini dengan nilai RM500 bagi setiap kad.
16 Apr 19
757
Empty Image
Terengganu Taja Biasiswa ACCA Pertama Di Pantai Timur
Ustaz Satiful Bahri Mamat.KUCHING, 16 April - Kerajaan negeri akan memulakan program tajaan biasiswa bagi anak Terengganu mendapatkan sijil Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekali gus mempelopori program itu di pantai timur.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebanyak RM600 ribu diperuntukkan dalam Bajet 2019 untuk tujuan tersebut."Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) akan melaksanakan program ini bermula tahun ini. Kita mengharapkan dengan sijil ACCA ini dapat menghasilkan akauntan profesional yang bertauliah, yang terbaik untuk negeri Terengganu," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Penview Hotel, Kuching, Sarawak, kelmarin.Sementara itu, mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Pengarah Yayasan Terengganu, Hishamuddin Hashim berkata, kerajaan negeri telah mengumumkan empat inisiatif bagi pelajar-pelajar Terengganu untuk meneruskan pendidikan di peringkat yang paling tinggi.Hishamuddin Hashim."Salah satu program yang telah diumumkan adalah skim biasiswa ACCA di mana sebanyak RM600 ribu diperuntukkan bagi tahun ini."Program ini akan bermula pada tahun ini. Insya-Allah pada Ogos ini, batch (kumpulan) pertama akan masuk untuk menjalani program ini."Kita telah mengadakan kerjasama dengan sebuah syarikat 'chartered accountant' dan juga Universiti Malaysia Terengganu untuk memulakan program ini yang dijangka pada bulan Ogos ini."Semua persiapan telah diatur. Insya-Allah kita akan adakan satu perjanjian persefahaman (MoU) bagi tujuan program," jelasnya.Dalam perkembangan sama, ditanya tentang jangkaan peserta yang akan mengikuti program berkenaan, Hishamuddin memaklumkan, kerajaan negeri mensasarkan seramai 17 orang pelajar pada 2019."Pada tahun ini, jangkaannya kita dapat ambil seramai 17 orang. Pelaksanaan program ini melibatkan dua kategori."Pertama pengajian sepenuh masa melibatkan jumlah biasiswa sebanyak RM38,400 seorang (10 orang). Kedua separuh masa melibatkan peruntukan RM30,000 seorang (7 orang)."Bagi pelajar sepenuh masa, mereka akan ditanggung sepenuhnya yuran dan wang saku. Manakala kerajaan negeri akan menanggung yuran sahaja bagi pelajar separuh masa."Tempoh masa pengajian sepenuh masa adalah dua tahun dan separuh masa antara dua hingga empat tahun," katanya.Bagaimanapun, katanya, pelajar Terengganu yang akan memohon perlu melepasi syarat-syarat kemasukan."Anak negeri Terengganu yang akan diberi pertimbangan adalah mereka yang mendapat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya CGPA (Cumulative Grade Points Average) 3.0 dalam ijazah sarjana muda perakaunan dari IPT (Institut Pengajian Tinggi) yang diiktiraf."Pemohon hendaklah berumur tidak lebih 28 tahun bagi sepenuh masa dan tidak lebih 32 tahun untuk pengajian separuh masa dan mestilah mendapat tawaran kelayakan dari ACCA sendiri."Kita jangka pelajar yang mendapat keputusan terakhir dalam bidang perakaunan akan membuat permohonan. Permohonan telah dibuka sejak mingu lepas melalui 'online' portal YT."Sesiapa yang berminat boleh membuat permohonan. Selepas permohonan perlu mengemukakan balik dokumen-dokumen diperlukan kepada kita untuk pengesahan bagi memulakan program skim biasiswa," ucapnya.
16 Apr 19
697
Empty Image
ECRL Diteruskan : Kontraktor Kecil Bumiputera Disaran Tubuh Konsortium - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 April – Kontraktor kecil khususnya Bumiputera di negeri ini disaran supaya menubuhkan satu konsortium bagi merebut peluang dalam pembinaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan kerajaan meneruskan projek berkenaan akan memberi manfaat ekonomi bukan sahaja kepada usahawan, tetapi juga kepada kontraktor tempatan.Katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan Pusat untuk meneruskan ECRL dan akan memastikan kontraktor Bumiputera terutamanya dari Malaysia dan khususnya di Terengganu mendapat manfaat daripada projek mega itu.“Kita alu-alukan peningkatan dari 30 peratus kepada 40 peratus penyertaan ini dari kalangan tempatan dan kita harap kontraktor dari Terengganu khususnya dapat menyumbang walaupun kita tahu projek ini projek besar dan mungkin syarikat-syarikat kontraktor di negeri ini ada sedikit kesukaran untuk masuk dalam sistem tender pelaksanaan projek.“Saya percaya inilah masanya mereka mengambil peluang dengan mewujudkan konsortium atau perkumpulan mereka yang mempunyai kepakaran pelbagai supaya mereka dapat terlibat dalam projek ECRL walaupun tidak banyak..mungkin dalam bentuk yang kecil dan perbincangan di peringkat syarikat-syarikat perunding kontraktor Terengganu khususnya haruslah diteruskan,”ujarnya.Beliau berkata demikian di Majlis Jalinan Mesra Kelab Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Terengganu ( KUPEKMAS) dan Presiden KUPEKMAS Malaysia di kediaman Seri Iman, di sini, hari ini.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Presiden KUPEKMAS Malaysia, Dato' Omar Osman.Jelasnya lagi, pembinaan ECRL akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu dan akan mencetuskan gelombang ekonomi sekiranya diuruskan dengan baik kerana menjadi pemangkin bahan industri yang ada di negeri ini.“Dalam masa yang sama, ECRL akan melibatkan pembinaan stesen-stesen dan oleh kerana penjimatan kos, maka kita cadangkan untuk mewujudkan  stesen satelit yang menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi kepada penduduk sekitar. Contohnya, di stesen Pengkalan Berangan, stesen itu bukannya dibina dalam satu bangunan sahaja, ia perlu ada kedai, perumahan, perkhidmatan yang mana perlu direbut oleh rakyat Terengganu.“Jadi kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak yang mendapat konsesi ini bersama-sama dengan  Kerajaan Pusat, bagaimana pihak negeri boleh terlibat dalam membantu anak-anak Terengganu boleh terlibat dalam aktiviti di titik-titik  perhentian dan sebagainya,”ujar beliau.Malah katanya lagi, penduduk Terengganu tidak perlu khuatir dan keliru dengan pembaharuan jajaran yang dilakukan itu kerana negeri ini akan menerima enam stesen ECRL. Berdasarkan cadangan baru perubahan jajaran ECRL itu, enam stesen yang berkenaan akan dibina di Terengganu iaitu di Chukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja.Projek berkenaan diumum bakal diteruskan selepas kerajaan dapat mengurangkan kos keseluruhan projek sebanyak RM21.5 bilion, menjadi hanya RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion sebelum ini.Projek ECRL ini akan disambung semula selepas perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) ditandatangani.Selain pengurangan kos, jajaran baru dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan ke Port Klang juga bakal menyaksikan jarak yang lebih pendek; 648 km berbanding 688 km.ECRL akan meliputi jajaran baharu meliputi dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.
16 Apr 19
152