Artikel "Utama" Terkini
Pantai Seberang Takir Bukan 'Pantai Miami'
Ariffin Deraman.KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Kerajaan negeri tidak meletakkan nama atau gelaran 'Miami Beach' bagi lokasi peranginan di Pantai Hulu Takir, Kuala Nerus yang terletak di sepanjang laluan menghala ke Jambatan Angkat (Drawbridge) yang merupakan mercu ikonik baharu negeri Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, gelaran itu dilihat tidak sesuai kerana ia bukan menggambarkan identiti Terengganu."Gelaran itu diberikan oleh pengguna media sosial yang melihat rupa bentuk kawasan itu menyerupai pantai Miami di Florida, Amerika Syarikat."Mungkin individu yang memberikan gelaran tersebut kerana melihat kawasan itu mirip dengan lokasi peranginan di sana. Namun, nama itu bukan yang diperakui oleh kerajaan negeri. Kita tak 'endorse' pun nama tu."Setakat ini kita belum ada cadangan lagi bagi nama baharu untuk kawasan peranginan itu. Kalau diikutkan, nama bagi kawasan itu ialah Pantai Hulu Takir."Rakyat kita boleh mencadangkan nama yang sesuai untuk dipertimbangkan oleh kerajaan negeri," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas tentang isu gelaran 'Pantai Miami' yang mendapat kecaman netizen selepas Program Tazkirah Bulanan Di Jabatan Kerajaan 2019 di Wisma Darul Iman, hari ini.Sementara itu, menurut Ariffin, setakat ini tarikh pembukaan jambatan tersebut secara rasmi belum ditetapkan lagi."Ia mungkin memakan masa beberapa bulan untuk memastikan Drawbridge boleh digunakan untuk kemudahan rakyat dalam keadaan yang paling baik," ujarnya.Jambatan Angkat pertama di Asia Tenggara sepanjang 638 meter itu mempunyai dua menara berkembar setinggi 16 tingkat.Jambatan bernilai RM248 juta itu adalah yang keempat menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini melibatkan Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.Jambatan itu dibuka kepada orang ramai pada 2 hingga 17 Jun lalu untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan dari sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya serta koordinasi sistem penyuraian trafik.
19 Jun 19
136
Tidak Ambil Suntikan Antara Punca Orang Asli Dijangkiti Demam Campak
Dr Alias Razak.KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Punca wabak ‘measle’ atau demam campak di kalangan Orang Asli adalah kerana ramai di antara mereka tidak mendapat suntikan pelalian,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.Menurut beliau, hanya 61.5 peratus mendapat suntikan dos pertama dan 30 peratus suntikan dos kedua.“Ibu bapa diminta supaya memastikan anak-anak mendapat pelalian yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelakkan wabak seperti ini berlaku dalam komuniti kita,” ujarnya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika dihubungi, hari ini.Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kes kematian Orang Asli Kaum Batek Kuala Koh di Kelantan, baru-baru ini.Katanya, KKM telah mengesahkan bahawa kes kematian tersebut akibat komplikasi demam campak.Dr Alias berkata, kes demam campak yang sama dikesan di Terengganu adalah di kalangan Orang Asli yang berpindah dari Kelantan.“Denai atau laluan Orang Asli di hutan bersambung dari Gua Musang hingga ke Sungai Berua di Hulu Terengganu.“Semua kes yang dikesan di Terengganu telah dirujuk ke hospital untuk tujuan rawatan dan pengawasan serta kurantin bagi mencegah wabak dari terus merebak,” ujarnya.
19 Jun 19
121
Bukit Maras Terengganu Bakal Jadi Tumpuan Dunia
Bukit Maras bakal menjadi tumpuan dunia. Foto - Syaiful MustafaKUALA NERUS, 20 Jun - Bukit Maras bakal menjadi tumpuan apabila Persatuan Luncur Udara Negeri Terengganu (PLUT) dengan kerjasama Hiking Maras Committee menganjurkan ‘Open Fun Fly Paragliding Bukit Maras 2019’ pada 28 hingga 30 Jun ini.Pengendali acara, Anuar Ngah berkata, acara itu bakal menghimpunkan kira kira 70 peserta dari Thailand, Kanada, Singapura, Sepanyol, USA, Perancis, Iran, Indonesia, Filipina, Jerman dan Malaysia sebagai tuan rumah.Katanya, acara itu bertujuan memperkenalkan sukan luncur udara atau 'paragliding' kepada orang ramai disamping mempromosikan Bukit Maras sebagai sebuah tapak luncur udara terkenal di rantau ini.Sehubungan dengan itu, pihak penganjur menjemput orang ramai khususnya dari Kuala Nerus dan Kuala Terengganu supaya mengambil peluang untuk melihat sendiri pertunjukkan luncur udara atau 'paragliding'."Ia julung kalinya diadakan di Bukit Maras melibatkan jumlah peserta yang besar. Di samping itu, persembahan sampingan seperti silat gayung, badut dan cabutan bertuah turut diadakan bagi memeriahkan acara."Orang ramai juga diberi peluang merasai pengalaman terbang bebas seperti burung melalui slot tandem paragliding dengan harga promosi RM150 bersama dengan pilot profesional berdurasi antara 10 hingga 15 minit," katanya kepada media.Beliau berkata, salinan video juga akan diberikan secara percuma sebagai kenang-kenangan.Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan negeri mahupun Kerajaan Pusat dapat menjadikan acara itu sebagai satu produk pelancongan sukan atau ‘sport tourism’ dan diadakan pada skala lebih besar seterusnya menjadi acara tahunan."Sukan paragliding amat diminati ramai terutamanya di Eropah dan terdapat lebih 500,000 pilot paragliding di seluruh dunia dan mereka gemar melancong untuk terbang di tempat-tempat baharu."Pada ketinggian 329 meter dari aras paras laut, mempunyai permandangan cantik dengan keindahan flora dan faunanya, Bukit Maras berpotensi besar untuk menjadi popular sebagai satu destinasi sukan paragliding kerana keunikannya yang tiada di tempat-tempat lain," katanya.SUMBER: SINAR HARIAN (MOHD AZLIM ZAINURY)
19 Jun 19
540
Terengganu Adakan Solat Jenazah Ghaib Dr Mohamed Morsi Esok
KUALA TERENGGANU, 20 Jun - Solat Jenazah Ghaib akan diadakan selepas solat Jumaat di seluruh masjid negeri Terengganu pada Jumaat, 21 Jun 2019 bersamaan 17 Syawal 1440H bagi menghormati mantan Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi yang telah kembali ke rahmatullah pada Isnin, 17 Jun 2019.Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Mat Azmi Arshad memaklumkan perkara berkenaan dalam satu surat rasmi bertarikh 19 Jun 2019.Oleh itu, katanya, kerjasama semua pihak amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih.Sementara itu, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan ucapan takziah atas pemergian Dr Mohamed Morsi."Dunia Islam kehilangan seorang pejuang yang dikenang atas keberanian dan kesabaran menghadapi tekanan demi memperjuangkan keadilan rakyat Mesir serta pembebasan Palestin," kata Abdul Hadi.
19 Jun 19
378
Muktamar PAS : Dewan Pemuda Kemuka 4 Prinsip Perpaduan Masyarakat Malaysia
Muhammad Khalil (kiri) menyampaikan anugerah kepada Setiausahanya, Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden.KUANTAN, 19 Jun - Dewan Pemuda PAS Malaysia meletakkan empat prinsip kesepakatan yang perlu dicernakan bagi merealisasikan agenda perpaduan masyarakat Malayia.Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, prinsip pertama adalah kesepakatan atas dasar menegakkan keadilan Islam dengan lebih komprehensif.Katanya, prinsip kedua adalah perpaduan dan kesepakatan tidak berasaskan kepada perkauman.“Prinsip ketiga perlu kepada pemusatan untuk penyelesaian isu rakyat, merentasi sempadan ideologi. Manakala prinsip keempat adalah ikhlas,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini hari ini.Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan lebih 100 tetamu jemputan khas termasuk wakil-wakil kedutaan asing.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, keadilan dalam Islam melangkaui bangsa dan agama serta ia memberi jaminan dan menjaga hak-hak orang bukan Islam.Sementara prinsip kedua berhubung kait dengan prinsip pertama iaitu tidak disandarkan kepada perkauman.Perwakilan pemuda dari Terengganu fokus mendengar Ucaptama Muhammad Khalil.“Kita perlu membuktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa kesepakatan ini menjadikan perlembagaan sebagai dasar kontrak sosial yang disepakati bersama para pejuang kemerdekaan dari berbilang kaum,” ujarnya.Bagi prinsip ketiga katanya, pemuda perlu menfokuskan agenda penyelesaian isu rakyat yang kini semakin meruncing.Menurut beliau, Dewan Pemuda PAS Malaysia dan PAS bukan hanya mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai sebuah parti politik tetapi bergerak juga dalam bidang kebajikan dan pendidikan.“Ini dapat dilihat melalui peranan Jabatan Amal Malaysia, kolej universiti, sekolah-sekolah, kelab sukan dan jabatan profesional,” tambahnya.Menyentuh prinsip keempat, beliau berkata, setiap pihak dalam gabungan ini seharusnya berusaha memahami dasar dan perjuangan rakan yang lain sekali gus mencari titik persamaan dalam persoalan perbezaan prinsip masing-masing.
19 Jun 19
190
Muktamar PAS : Sedia Temui Semua Pihak
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.KUANTAN, 19 Jun - PAS menyambut baik hasrat sesetengah pihak untuk berta’awun sekali gus melihat masa depan politik negara dengan lebih berfokus supaya tidak terpalit dengan sentimen perkauman.Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS ada peranan sekali gus mengadakan pertemuan dengan MCA, MIC dan parti-parti lain.“Ada (masa) yang kita (PAS) berjumpa dengan cara berkunjung ke pejabat mereka dan ada (masa) mereka datang ke pejabat PAS.“Jadi hubungan ini kita akan teruskan,” jelasnya.Datuk Tuan Ibrahim (kanan) bersalaman dengan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia di Muktamar Dewan Pemuda PAS Ke-60 di Bukit Gambang Resort City Pahang.Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini hari ini.Mengulas ketidakhadiran wakil MCA ke muktamar tersebut, beliau berkata, PAS telah menjemput semua parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk hadir ke Muktamar PAS kali ini.“Saya dimaklumkan bahawa MCA ada mesyuarat pada hari ini, jadi parti itu tidak menghantar wakil untuk hadir,” ujarnya.Bagaimanapun, UMNO dan MIC menghantar ketua dan kepimpinan tertinggi pemuda masing-masing untuk hadir ke muktamar berkenaan.
19 Jun 19
182
Muktamar PAS : ‘Demi Islam’ Kesinambungan Prinsip Perlembagaan Parti
Muhammad Khalil Abdul Hadi.KUANTAN, 19 Jun - Dewan Pemuda PAS Malaysia mengangkat ‘Demi Islam’ sebagai tema muktamarnya kali ini bertujuan mengajak anak muda kembali semula kepada prinsip dan teras perjuangan PAS.Ketuanya, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia juga menjadi prinsip utama kepada kesepakatan yang telah dan akan diwujudkan pada masa hadapan.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia Kali Ke-60 di Bukit Gambang Resort City, di sini hari ini.Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Turut hadir, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan lebih 100 tetamu jemputan khas termasuk wakil-wakil kedutaan asing.Seorang pemimpin Jabatan Amal Terengganu menerima anugerah dari Muhammad Khalil (kanan) diperhatikan oleh Datuk Tuan Ibrahim (tengah).Katanya, sejarah politik PAS penuh warna warni dan melalui jalan penuh ranjau.“Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa PAS adalah parti politik di dalam Malaysia yang paling dinamik dan berani dalam memutuskan sesuatu berdasarkan prinsip.“PAS pernah bersama dengan UMNO dan pernah juga berseteru degan UMNO. PAS pernah berpatah arang, berkerat rotan dengan DAP, PAS juga pernah bersahabat dengan DAP.“PAS juga pernah berkawan dengan PKR dan PAS tidak ragu-ragu memutuskan hubungan dengan PKR,” jelas beliau.Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, dalam semua tindakan ini, ada ahli yang menerima dengan patuh dan taat, ada yang tidak bersetuju.Katanya, apa yang lebih penting, setiap tindakan yang PAS lakukan sepanjang sejarah politiknya sama ada bertahalluf atau berta’awun didasarkan kepada prinsip utama yang digariskan dalam perlembagaan parti iaitu demi mempertahankan Islam.
19 Jun 19
204
Terengganu Taja Lima Pelajar Ke Makkah Sertai Daurah Talaqi Al-Quran
Lima pelajar yang terpilih sertai Daurah Talaqqi di Makkah.KUALA NERUS, 19 Jun - Kerajaan Terengganu menghantar lima pelajar terpilih dari Sekolah-sekolah Agama Negeri menyertai Daurah Talaqi Al-Quran di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.Lima pelajar tersebut ialah Syed Muhamad Harith Syed Othman dari Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA), Ahmad Mohd Said (Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu), Muhammad Danial Aiman Mohd Sukri (Maahad Darul Bayan, Paka), Almunzir Mohd Hanafiah (Maahad Darul Quran, Rusila) dan Fakhrurazi Yahya (Maahad Darul Ansar, Kuala Berang).Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid memaklumkan, program itu merupakan projek perintis untuk memberi peluang kepada anak-anak negeri mengutip ilmu secara langsung daripada pakar-pakar al-Quran di sana.Muhyiddin (kanan) dan Mohd Zaini memberikan maklumat berkaitan perjalanan dan kos program.“Dalam lawatan kerja Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat ke Arab Saudi tahun lalu, satu persetujuan telah dicapai untuk menghantar anak-anak Terengganu menyertai program ini bagi meningkatkan kecemerlangan dalam bidang al-Quran.“Jadi, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama dan Adat Melayu Terengganu (JHEAT) telah memilih lima pelajar sekolah terbaik hafazan al-Quran dalam Terengganu dan mengadakan ujian pemilihan program ini,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam Majlis Pelepasan Pelajar Daurah Talaqi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, di sini semalam.Turut hadir, Ketua Penolong Pesuruhjaya (Pendidikan) JHEAT, Lothman Awang dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah. Dalam perkembangan sama, Penolong Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Zaini Mohd Nor memaklumkan, program tersebut mendapat tajaan keseluruhan sebanyak RM 37,500 khusus daripada Menteri Besar.“Insya-Allah, program ini akan berterusan. Kita juga dalam perancangan untuk menghantar para imam berkursus di sana, dijangkakan bermula pada tahun hadapan,” katanya.Daurah Talaqqi telah disertai oleh hampir 20,000 peserta dari 127 negara dari pelusuk dunia. Kelima-lima pelajar terbabit akan ditemani Penolong Pesuruhjaya Bahagian Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa Arab Terengganu JHEAT, Mohd Rozman Awang yang bertindak sebagai pegawai pengiring.Mereka memulakan perjalanan program Daurah Talaqi pagi ini ke Jeddah dan menyertai daurah yang diuruskan pihak pengurusan Maqraah Al-Haramain, Masjidil Haram sehingga 12 Julai 2019.Rombongan daripada SMASZA turut hadir memberi semangat kepada peserta daurah.
18 Jun 19
653
Tangani Krisis Perubahan Iklim Dan Sumber Semula Jadi Benua - Titah Sultan Mizan
Sultan Mizan prihatin masalah perubahan iklim yang turut menjejaskan rakyat Malaysia.SERDANG, 19 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah agar semua cendekiawan berusaha menangani krisis perubahan iklim dan sumber semula jadi di serantau daripada semakin membarah.Baginda bertitah, krisis tersebut juga turut memberi kesan kepada Malaysia apabila persekitaran dan cuaca negara menjadi semakin panas.Jelas baginda, keadaan itu sekali gus menjejaskan keseimbangan alam dan kehidupan rakyat Malaysia termasuk dalam bidang sosio-ekonomi dan kesihatan."Atas sebab itu, kita tiada pilihan untuk tidak ambil peduli tentang masalah (perubahan iklim) yang melanda kita dan benua serantau."Inilah cara dan masa terbaik bagi kita bersama-sama melindungi dan memelihara persekitaran serta ekosistem serantau sebelum masalah bertambah teruk," titah Sultan Mizan di hadapan 1,000 penyelidik serta saintis dalam dan luar negara.Sultan Mizan bertitah semasa berkenan merasmikan Majlis Pembukaan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia Kali Kelapan (MISA8) di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.Penyampaian geran penyelidikan YPASM.Turut hadir mengiringi keberangkatan baginda ialah Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Persekitaran dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya dan Naib Canselor UPM, Profesor Datin Paduka Dato' Dr Aini Ideris.Hadir sama, Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Dr Mohd Azhar Yahya serta Pengarah Pusat Kajian Benua, Universiti Victoria New Zealand, Profesor Timothy Naish.Baginda yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) mengharapkan tindakan terhadap isu perubahan iklim tersebut turut diambil di setiap peringkat dasar pentadbiran negara.Tambah Sultan Mizan, YPASM juga komited membantu menyelesaikan masalah itu dengan memberikan dana kepada saintis Malaysia untuk mencari solusi terbaik dalam masalah tersebut."Beta juga gembira, sejak penubuhan YPASM, yayasan ini telah menyumbangkan peruntukan geran bernilai RM4.3 juta kepada saintis Malaysia untuk menyelamatkan dunia ini."Malaysia telah berkembang dengan cemerlang dalam bidang Sains, dan beta mengucapkan tahniah kepada semua saintis daripada pelbagai univesiti Malaysia yang membantu masyarakat dunia menghadapi masalah ini," tambah baginda.Timothy Naish.Dalam majlis itu, baginda berkenan menyampaikan geran penyelidikan YPASM 2019 yang bernilai RM150,000 kepada beberapa saintis.Program MISA8 yang bermula hari ini akan berakhir pada 20 Jun nanti bertujuan untuk berkongsi dan berbincang tentang pelbagai isu alam sekitar yang berlaku sesuai dengan tema 'Polar Regions in the Global Climate System'.
18 Jun 19
294
Terengganu Bantu Suarakan Nasib Marawi
Dari kanan, Wan Sukairi, Hussin dan Misbahul Munir.KUALA TERENGGANU, 18 Jun - Kerajaan Terengganu bersetuju menyediakan ruang dan fasiliti bagi menjayakan International Conference on Marawi yang akan berlangsung pada 19 sehingga 21 Julai ini di Duyong Marina & Resort.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri melihat keperluan untuk mengangkat isu Marawi yang musnah gara-gara perperangan pada tahun 2017 memandangkan 99 peratus penduduknya merupakan masyarakat Muslim.“Kerajaan negeri bersetuju bekerjasama dengan pihak Yayasan Amal Malaysia (YAM) dengan menyediakan tempat untuk NGO mencari solusi bagi memberi sinar atas tragedi yang menimpa saudara-saudara kita di Marawi.“Ini kerana ia merupakan isu yang berkait tentang umat Islam dan kemanusiaan. Kita tidak masuk campur dalam isu berkaitan politik di sana, kita hanya sentuh isu kebajikan dan umat Islam,” katanya ketika ditemui pemberita dalam sidang media sempena program tersebut di Kediaman Seri Iman, semalam.Turut serta, Pengarah Pusat Dakwah Serantau YAM, Mohd Misbahul Munir Masduki.Sementara itu, Wan Sukairi yang juga salah seorang pengerusi bersama jawatankuasa penganjur di samping Dr. Safrullah M. Dipatuan dan Presiden YAM, Hussin Ismail melihat langkah itu sebagai usaha mengetengahkan isu Marawi.“Kita mahu masyarakat Terengganu, dalam negara dan dunia tahu serta mengambil langkah membantu mereka sebagaimana isu Palestin, Syria dan negara-negara lain."Seperti kita menangani isu lain dengan serius, maka isu ini tidak boleh dikesampingkan dan perlu diberi penekanan,” tambahnya.Dalam pada itu, Hussin memaklumkan, persidangan itu diadakan bagi mengangkat isu kebajikan rakyat Marawi di samping menarik sokongan antarabangsa untuk membantu.“Alhamdulillah, kita mendapat kerjasama daripada Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan International Federation For Relief & Development (IFRD) untuk menjayakan persidangan ini.“Lapan kertas kerja akan dibentangkan, antaranya daripada mantan Menteri Luar Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, Penasihat YAM, Tan Sri Khalid Ibrahim dan daripada United Nation-Geneva (UN),” katanya.Beliau turut melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri atas kesudian memberikan ruang dalam memperjuangkan nasib rakyat Marawi.Untuk rekod, tragedi Marawi yang berlaku pada tahun 2017 telah menyebabkan 200,000 penduduknya diarah keluar sehelai sepinggang dan tidak dibenarkan pulang.Ia berlarutan sehingga hari ini menyebabkan wilayah itu lumpuh sepenuhnya serta para penduduk kehilangan tempat tinggal, harta benda dan berdepan situasi genting sehingga kini.YAM mengambil langkah untuk mengetengahkan isu ini sebagaimana mereka mengetengahkan isu Rohingya sebelum ia mendapat perhatian antarabangsa.
18 Jun 19
33