Artikel "Utama" Terkini
Gejala Rasuah Penjawat Awam Semakin Serius
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kes rasuah di kalangan penjawat awam semakin membimbangkan apabila sejumlah 46.3 peratus daripada keseluruhan 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah sejak 2014 hingga Jun tahun ini membabitkan penjawat awam dan 2,594 atau 53.4 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda.Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, antara sektor utama yang terlibat dalam gejala rasuah ialah sektor perolehan.“Jika kita lihat dalam satu kajian yang dijalankan oleh pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi, sebanyak 22.1 peratus daripada penjawat awam yang menjadi responden menyatakan kesanggupan menerima rasuah jika mereka berkuasa dalam kerajaan.“Jika di kalangan penjawat awam yang masih bekerja boleh berkata macam itu, bahaya," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, di sini semalam.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Penasihat Undang-undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar dan Pengerusi Strategic & Integrity Institude (TSIS), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.Sementara itu, mengulas tentang gejala rasuah di Terengganu, Shamshun Baharin berkata, ia tidak membimbangkan seperti yang berlaku di negeri-negeri lain."Di Terengganu, seramai 99 individu ditahan kerana terbabit rasuah sejak 2017 hingga Jun tahun ini, dengan 53 orang daripadanya adalah penjawat awam dan daripada jumlah itu, 10 individu adalah penjawat awam negeri, manakala 43 lagi adalah penjawat awam Persekutuan," katanya.Tambahnya, inisiatif kerajaan negeri melancarkan DIDI adalah sebagai satu usaha memerangi rasuah di kalangan penjawat awam di Terengganu menerusi Model Integriti Darul Iman (MIDI) dan Modul Integriti Darul Iman (MINDA-i) yang diharap mampu memperjelas dan melengkapkan maklumat berhubung pencegahan rasuah dan integriti di kalangan penjawat awam.
06 Aug 19
309
Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil, Menteri Perlu Faham Makna Keadilan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan skim bantuan penanaman semula sawit pekebun kecil akan melumpuhkan aktiviti penanaman semula dalam kalangan pekebun kecil dan tentunya ia akan memberikan kelebihan kepada syarikat perladangan besar dengan kemampuan modal yang kukuh.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembatalan bantuan tanam semula akan memberi kesan terhadap keluasan tanaman sawit oleh pekebun kecil dan seterusnya menjejaskan sumber pendapatan serta sosioekonomi mereka“Rata-rata pekebun kecil ini adalah bumiputera Melayu, Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak, sebilangan kecilnya kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah.“Oleh sebab itu, apa saja dasar yang baik untuk rakyat di bawah kerajaan sebelum ini perlu diteruskan yang mana Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK), menyediakan peruntukan khas bantuan kewangan kepada pekebun kecil sawit iaitu RM7,000 bagi setiap hektar untuk tujuan menanam semula pokok yang sudah tua dan tidak produktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Beliau berkata perkara ini sukar diterima apabila menteri terbabit memberikan alasan kononnya mahu mewujudkan keadilan kepada pekebun lain terutamanya dari Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan ( FELCRA) Katanya, majoriti pekebun kecil tidak akan mampu mengeluarkan modal sendiri bagi membiayai kos penanaman semula.“Menteri tak faham apa itu makna keadilan kerana keadilan bermakna memberi kepada mereka yang berhak. “Kedua-dua agensi besar itu sudah ada kaedahnya sendiri bagi menampung kos penanaman semula namun pekebun-pekebun kecil telah sejak sekian lama bergantung kepada bantuan kerajaan. Apatah lagi dalam situasi pendapatan dari hasil sawit sekarang tak mencukupi untuk menyara keluarga,”ujarnya.
06 Aug 19
41
MPKK Disaran Lebih ‘Up To Date'
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 7 Ogos - Kerajaan Negeri menyarankan agar pemilik tanah haram segera mengisi borang jadual 1 untuk permohonan tanah di Pejabat Tanah Daerah sebelum 31 Disember tahun depan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ia bagi membolehkan permohonan mereka diluluskan kerajaan.Justeru katanya, pemimpin Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memainkan peranan mereka untuk menggerakkan pemilik tanah haram segera berbuat demikian."Sekiranya ada rakyat kita yang memerintah tanah haram, tolong sampaikan maklumat ini kepada mereka supaya mengisi borang jadual 1 di Pejabat Tanah Daerah sebelum 31 Disember tahun depan."Pemohon juga boleh memohon kerajaan menaikkan tempoh pajakan dari tempoh 60 tahun kepada 99 tahun."Ia akan diproses secara berkala untuk menyelesaikan isu-isu tanah haram terutama kategori pertanian,’’ jelasnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Gotong- royong Keceriaan MPKK Apal Hilir, di sini, petang kelmarin. Seterusnya Dr Azman menyarankan agar mereka terbabit lebih peka terhadap sebarang perubahan maklumat baru supaya mereka segara menyampaikannya kepada rakyat."Ini supaya penyusunan gerakerja di peringkat bawah sebagai penyampai maklumat dan jentera Kerajaan Negeri berjalan lancar. "Setakat ini sebarang arahan yang dikeluarkan kepada MPKK dapat dilakukan dengan baik. Semua ini adalah hasil yang dilakukan secara kolektif dan segala kekurangan kita baiki bersama,’’ ujarnya.
06 Aug 19
97
Terengganu FC2 Atur Langkah Pertahan Piala Cabaran 2019
Bruno Suzuki jaring dua gol bantu Terengganu FC2 atasi Kuala Lumpur.KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Juara bertahan tahun lalu, Terengganu Football Club (TFC) 2 memulakan saingan Kumpulan B Piala Cabaran 2019 dengan kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur, semalam.Melayan kunjungan Warga Kota di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), tuan rumah mempamer aksi meyakinkan apabila kerap melakukan percubaan-percubaan merbahaya ke kubu pelawat.Penyerang dari Jepun, Bruno Suzuki pada minit ke-21 cuba menyempurnakan hantaran Marcel Dechi tetapi kuisannya hanya melepasi palang gol.Biarpun perlawanan tampak seimbang, Terengganu FC2 lebih tajam di hadapan kubu lawan dan beberapa kali mengancam benteng pelawat.Pada minit ke-28, Mohammad Ridzuan Razali berjaya mengelecek dari tengah pada sebelum rembatannya dari luar kotak penalti. Sayangnya, rembatan tersebut dinafikan palang gol.Terengganu FC2 menggandakan serangan dan Ridzuan sekali lagi berjaya meloloskan diri untuk berdepan penjaga gol lawan, tetapi rembatannya ditampan Mohamad Faridzuean.Di minit akhir separuh masa pertama, Marcel menyempurnakan sepakan percuma Terengganu FC2 dengan menghantar bola tepat kepada Bruno yang disudahkan rembatan deras menembusi gawang pelawat.Memasuki babak kedua, pasukan kendalian Tengku Hazman Raja Hassan itu mendapat peluang menjarakkan kedudukan apabila dihadiahkan penalti pada minit ke-55, namun gagal disempurnakan Bruno.Rentak perlawanan terus rancak antara kedua-dua pasukan. Pada minit ke-62, Terengganu FC2 berpeluang mengatur serangan balas dan Ashari Samsuddin melakukan lorongan cantik yang berjaya disudahkan Bruno memberikan harapan tiga mata buat pasukan.Tersentak dengan keadaan itu, Kuala Lumpur cuba menggasak kubu tuan rumah. Kesungguhan pelawat akhirnya berhasil pada mnit akhir perlawanan apabila Paulo Josue berjaya melakukan rembatan dari luar kotak penalti menebusi gawang yang dikawal Mohd Shamirza Yusoff.Bagaimanapun, kebangkitan itu tidak cukup untuk mencuri satu mata daripada Sang Penyu. Tamat perlawanan, keputusan kekal 2-1 meletakkan Terengganu FC2 berada di landasan yang betul untuk mempertahankan kejuaraannya.
06 Aug 19
180
Terengganu Ke Hadapan Budayakan Integriti
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri memandang serius usaha membudayakan integriti sekali gus meletakkan Terengganu sebagai negeri contoh dengan memperuntukkan RM2 juta bagi melaksanakan program latihan kakitangan kerajaan termasuklah melibatkan kursus-kursus yang berkaitan.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya amat prihatin dalam perkara melibatkan integriti, bukan sahaja atas dasar berhati-hati, bahkan menyokong sepenuhnya segala usaha penambahbaikan ke arah menjadikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang.Katanya, ini juga termasuk untuk mengadakan kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan semua pihak yang berkaitan bagi menjayakan agenda ini.“Pelaksanaan DIDI (Dasar Integriti Darul Iman) merangkumi pelbagai perkara termasuk program-program kakitangan kerajaan. Kita ada lebih kurang 1,600 orang akan terlibat dalam program berbentuk seminar, latihan, kursus dan juga program tahunan.“Inisiatif yang kita ambil ini adalah selari dan dijalankan secara 'parallel' dengan program peningkatan dan apa jua pencegahan rasuah yang telah dirangka oleh SPRM melalui inisiatif Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP). Sekiranya pelaksanaan berjalan secara berterusan, kita juga mendapat kerjasama dalam aspek pengisian termasuk aspek penceramahan maklumat-maklumat terbaru daripada pihak SPRM,” kata Ahmad Samsuri.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran DIDI di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar.Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengerusi Strategic & Integrity Institude ( TSIS), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.Sementara itu, Shamshun Baharin berkata, Terengganu merupakan negeri pertama yang mempunyai bajet khas untuk memperkasakan integriti dan usaha pencegahan rasuah itu amat baik dan diharapkan semua negeri dan agensi ada peruntukan sebegitu.“Apa yang dibuat oleh Terengganu ini, saya puji kerana dalam mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kita ada juga bawa cadangan supaya dipindahkan sebahagian dalam bajet agensi tetapi bila Terengganu kata dia sudah menyediakan RM2 juta, itu satu yang positif kerana bagi saya bukan semua agensi ada perkara itu,” katanya.DIDI menterjemahkan pekerjaan sebagai ibadah dalam konsep Amalan Tadbir Urus Rabbani (ATUR). Konsep ini selaras dengan kehendak dan tuntutan akidah, syariat dan nilai murni sejagat.Begitu juga tujuh teras utama Didi iaitu, keimanan, ketaqwaan, keikhlasan, ketelusan, kebertanggungjawaban, kecekapan dan Islah diringkaskan 6K-I yang dipupuk, disuburkan, disemai dan dibina dalam kalangan pentadbir dan kakitangan kerajaan.Oleh yang demikian, DIDI telah dirangka khusus menggunakan pendekatan yang terbaik iaitu pendekatan Islam dalam menangani isu-isu pecah amanah, rasuah, ketirisan, ketidakcekapan dan sebagainya.
05 Aug 19
155
Isytihar Harta : Terengganu Akan Beri Kerjasama - MB
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan akta yang mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam akuan berkanun.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya masih menunggu maklumat yang lengkap daripada SPRM dan akan membuat perbincangan serta penyelarasan dengan rakan-rakan dari negeri yang lain.“Jadi kita masih belum membuat keputusan akhir lagi ‘how we go about it’ tapi secara umumnya kita tidak ada sebarang masalah sebenarnya untuk pengisytiharan dan sebagainya, cuma dari segi teknikal itulah yang perlu kita selesaikan.“Kita akan bagi kerjasama tentang apa jua inisiatif, sebab itu kita juga hadir dalam pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) dan kita juga sentiasa ‘follow up’ dengan pihak SPRM dari segi pelaksanaan NACP tadi.“Ini menunjukkan komitmen kita dan ada perkara-perkara yang berkait dengan tanggungjawab pihak kerajaan dan agensi-agensi untuk melakukan penambahbaikan sendiri terutama dari segi ISO dan sebagainya termasuk jawatankuasa dari peringkat negeri dan sebagainya yang merupakan sebahagian daripada NACP,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar.Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengerusi Strategic & Intergrity Institute ( TSIS), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.Sementara itu, Shamshun Baharin berkata, SPRM menggalakkan semua ahli politik dan kerajaan negeri untuk melakukan pengisytiharan harta bagi memperlihatkan ketelusan pentadbiran kerajaan.Jelasnya, bagi kerajaan negeri satu usul perlu dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu untuk diluluskan di peringkat DUN.“Jika diterima, semua ADUN perlu melakukan pengisytiharan harta pada Yang Dipertua Dewan seterusnya salinan itu juga akan diserahkan kepada pihak SPRM.“Kita pun menjaga dari segi data dan takkan akses kepada maklumat tu sebab di peringkat ibu pejabat pun hanya di peringkat tertentu sahaja yang mengendalikan ‘event’, malah saya sebagai TKP pun tak akses pada maklumat yang ada. Yang itu kita kena bagi perhatian,” ujarnya lagi.Beliau berharap setiap kerajaan negeri mengambil langkah yang sama untuk memperlihatkan ketelusan pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri .Untuk rekod, pada 1 Julai, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk mengisytiharkan harta dan pada 22 Julai, usul sama diluluskan di Dewan Negara.
05 Aug 19
56
'Tulisan Jawi Mesti Diperkasa' - Khairuddin
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.KUALA NERUS, 6 Ogos - "Orang Melayu mesti tegas memperkasakan tulisan Jawi kerana ia sebahagian hak bahasa Melayu sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967," demikian kata Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.Katanya, orang Melayu mesti tegas dan jangan berundur dari prinsip bahawa 'Unified Examination Certificate' atau Sijil Peperiksaan Bersepadu mesti ditentang daripada diiktiraf."Orang Melayu mesti tegas mempertahankan hak istimewa mereka sebagaimana diperuntukkan oleh perlembagaan."Kita mesti tegas bahawa tulisan Cina tidak boleh dibenarkan dalam penggunaan rasmi termasuk papan tanda. Hanya bahasa Melayu bahasa rasmi."Orang Melayu mesti tegas menyatakan bahawa Islam sahaja agama berdaulat dalam negara ini yang berhak diberikan peruntukan oleh kerajaan. Adapun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai," tegas beliau dalam satu kenyataan media di status Facebooknya semalam.Seksyen 9 di bawah sub tajuk Tulisan Bagi Bahasa Kebangsaan ada menyatakan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ia tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.Dalam pada itu, dilaporkan bahawa sebanyak 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil menolak keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).Dr Mohd Khairuddin berkata, lihatlah betapa yakin dan konsisten kumpulan pendesak Cina dan Tamil memperjuangkan apa yang dirasakan hak mereka iaitu menolak tulisan Jawi.Justeru katanya, orang Melayu mesti tegas bahawa mana-mana warganegara yang gagal bertutur dalam bahasa Melayu tidak layak menjadi warganegara. "Malah ahli Parlimen yang pelat dan gagap bahasa Melayu perlu diarahkan berkursus sehingga lidahnya sepetah lidahnya bertutur bahasa Inggeris yang juga bukan bahasa ibundanya," tegasnya lagi.Katanya, orang Melayu mesti tegas menyatakan hanya orang Melayu Islam wajar menjadi Perdana Menteri, bukannya bangsa lain."Sangat malang apabila Melayu pula layu dalam memperjuangkan kehendak mereka."Adapun pengkhianat Melayu, tunggulah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai hukuman," ujarnya.
05 Aug 19
338
Bar Pulau Perhentian Diserbu Polis
Oleh: Saifullah JusohBESUT, 6 Ogos - Sebuah bar di Pasir Panjang, Pulau Perhentian yang penuh dengan pengunjung di serbu polis tengah malam semalam kerana disyaki beroperasi tanpa lesen dalam satu Operasi Penguatkuasaan Polis awal pagi ini.Ketua Polis Daerah Besut, Suprintendan Mohd Zamri Mohd Rawi berkata Sewaktu diserbu bermula jam 12.30 tengah malam semalam, kebanyakan pengunjung sedang leka berhibur.Dalam satu kenyataan media beliau berkata, ketika diperiksa didapati pemilik bar terbabit gagal mengemukakan permit yang sah untuk beroperasi sebagai pusat hiburan.Katanya, polis bertindak selepas menerima maklumat orang ramai berhubung bar tersebut disyaki beroperasi secara haram."Lima unit pembesar suara, mikrofon, komputer riba, wayar dan pelbagai peralatan hiburan lain yang terdapat di dalam bar berkenaan turut dirampas dalam serbuan berkenaan," jelas beliau.Mohd Zamri berkata, polis telah menahan dua lelaki berusia 37 dan 22 tahun yang masing-masing berasal dari Kampung Beris Nail, Kuala Besut dan Kampung Bohor Tempoyak Mukim Kedawang, Pulau Langkawi, Kedah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Enakmen Hiburan Terbuka 1997.Operasi yang dinamakan Ops Noda itu dijalankan oleh seorang pegawai dan lima anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, seorang sarjan dan enam anggota dari Balai Polis Pulau Perhentian.Operasi itu turut disertai seorang pegawai dan sembilan kakitangan Majlis Daerah Besut.
05 Aug 19
1324
CCTV Lif Pangsapuri Ladang Tok Pelam Terengganu Sedang Dipasang
Pangsapuri Ladang Tok Pelam kini dipasang CCTV di dalam lif untuk memantau keselamatan pengguna bangunan tersebut. KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sedang giat menjalankan kerja-kerja pemasangan TV Litar Tertutup (CCTV) bagi memantau keselamatan pengguna lif Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini.Notis yang ditampal di beberapa lokasi di pangsapuri itu menyatakan bahawa kerja-kerja itu berkait dengan pemasangan kabel pembekal kuasa elektrik dari bilik motor lif ke tingkat bawah bangunan tersebut.Tempoh penambahbaikan itu berlangsung selama lebih dua minggu bermula 1 hingga 15 Ogos ini. Notis ditampal di tempat strategik di bangunan Pangsapuri ladang Tok Pelam bagi makluman orang ramai.Orang ramai diminta memberi kerjasama untuk melancarkan kerja-kerja tersebut. Kerja-kerja itu dibuat berikutan cadangan kerajaan negeri memasang CCTV di dalam lif pangsapuri berkenaan bagi mengawal keselamatan pengguna agar tiada kejadian tidak diingini berlaku di pangsapuri tersebut.PMINT ditugaskan sebagai pengurus selia lif bangunan 30 tingkat itu. Pangsapuri itu mempunyai 407 unit rumah berkeluasan 842 kaki persegi setiap unit.Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri mengesahkan tiada sebarang kejadian lif terputus seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi Kuala Lumpur di negeri Terengganu.Katanya, lif di PPR Kampung Kerichi adalah lif lama serta perumahan dan lif itu sudah wujud berpuluh-puluh tahun lalu.Sementara itu, perumahan bertingkat yang menggunakan lif di Terengganu kebanyakannya baru dibina termasuk Pangsapuri Ladang Tok Pelam dan PPR Padang Hiliran di sini.Katanya, lif di bangunan tersebut diselenggara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. "Setakat ini tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti di Kampung Kerinchi itu, namun kerajaan sentiasa memantau semua lif perumahan di negeri ini supaya diselenggara mengikut SOP yang telah ditetapkan kerajaan," katanya ketika dihubungi semalam.
05 Aug 19
1436
Tiada Arahan Bayaran Cukai Pintu Kediaman - MB Terengganu
Dr. Ahmad Samsuri.KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri konsisten dengan keputusan pengecualian cukai taksiran bagi premis kediaman serta hapus kira cukai tertunggak yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya juga tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan pembayaran cukai pintu kepada mana-mana premis kediaman setelah ia dikuatkuasakan."Hal ini di luar pengetahuan kita, jadi kita mohon individu terlibat tampil memberikan maklumat lanjut untuk memudahkan tindakan dilakukan."Kita juga kena pastikan apakah kategori premis tersebut, sama ada bayaran yang mereka perlu bayar itu melibatkan bayaran-bayaran lain dan bukan termasuk kategori cukai pintu," katanya. Dr. Samsuri ketika meraikan para penerima APC.Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan berkenaan rungutan segelintir penduduk Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini, yang menerima surat arahan supaya membayar cukai pintu berkuatkuasa 1 Julai lalu.Mengulas lanjut, beliau bersedia berunding untuk menyelesaikan perkara tersebut dan memohon kerjasama individu terlibat untuk memberikan maklumat berkenaan."Kalau ada, maklum pada kerajaan untuk kita ambil tindakan," katanya ketika ditemui media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat negeri Terengganu 2019 di Wisma Darul Iman, semalam.Majlis itu menyaksikan seramai 60 penjawat awam terpilih menerima hadiah sijil dan plak penghargaan, wang tunai RM5,000 serta pakej mengerjakan haji atau umrah daripada kerajaan negeri.
05 Aug 19
54