lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

100 Pelajar Diraikan Wisma Darul Iman
100 Pelajar Diraikan Wisma Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 23 April - Seramai 100 pelajar-pelajar fakir miskin dan anak yatim diraikan dalam majlis Sambutan Hari Raya anjuran Kelab Wisma Darul Iman (KWDI), hari ini. Pada sambutan yang berlangsung di Dewan Besar Wisma Darul Iman itu, pelajar terpilih dari lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Cabang Tiga, SK Losong, SK Bukit Losong, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Seberang Takir menikmati sajian disediakan ahli-ahli kelab gabungan, selain turut menerima sumbangan duit raya. Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman pada sesi majlis perhimpunan bulanan Wisma Darul Iman. Pemberian sumbangan itu disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga merupakan Yang di-Pertua KWDI, Dato' Nara Setia dan isteri, To' Puan Wan Radziah Wan Mokhtar. Majlis yang berlangsung sehingga jam 2.00 petang itu dihadiri sekitar 1,000 warga Wisma Darul Iman dan kakitangan anak-anak syarikat kerajaan negeri.              
23 Apr 25
104
Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijal
Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijal
KEMAMAN, 23 April - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang berlangsung di Kompleks Paya Lasir semalam mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 5,000 orang hadir memeriahkan suasana. Pengarah Program, Aliy Zainal Abidin Hazri berkata, orang ramai mula hadir seawal jam 8.30 pagi bagi menikmati pelbagai juadah yang disediakan. Menurutnya, turut diadakan ialah agihan duit raya kepada kanak-kanak dari Sekolah Rendah dan PASTI sekitar DUN Kijal. “Petugas terdiri daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Unit Dewan Mengundi (UDM) setiap kawasan DUN Kijal, warga kerja Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) serta para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. “Terima kasih kepada semua yang hadir. Sambutan sangat hangat dan meriah. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran ADUN Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris selaku tuan rumah. Turut hadir memeriahkan majlis wakil Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, Senator, Che Alias Hamid, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta ramai lagi. Aliy berkata, ‘Photobooth Teratak Kijal’ juga menjadi tarikan utama, merakam detik-detik ceria pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar dalam suasana Aidilfitri yang penuh meriah dan mesra rakyat. “Alhamdulillah, majlis yang berlangsung seawal jam 10.30 pagi itu berakhir kira-kira jam 3 petang dengan penuh kemeriahan. Jumpa lagi tahun depan, insya-Allah,” ujarnya.  
23 Apr 25
167
PMINT Diberi Kepercayaan Sempurnakan CCC Tertangguh
PMINT Diberi Kepercayaan Sempurnakan CCC Tertangguh
KUALA TERENGGANU, 23 April - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah diberi kepercayaan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai badan pelaksana bagi projek-projek pemulihan perumahan. Juga diberikan kepercayaan untuk penyempurnaan dokumen perundangan seperti Certificate Of Fitness For Occupation (CFO) atau Certificate OF Completion and Compliance (CCC) yang tertangguh dengan peruntukan sebanyak RM3.3 juta. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, inisiatif itu bukan sahaja akan menyelamatkan projek terbengkalai tetapi juga memberi sinar harapan kepada pembeli dan menyokong aspirasi kerajaan untuk menyediakan perumahan yang selamat dan berkualiti kepada rakyat. "Skop kerja utama PMINT sebagai badan pelaksana merangkumi membuat semakan awal dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan status semasa projek serta syarat-syarat teknikal yang diperlukan bagi memperolehi CFO/CCC. "Menyemak status semasa perunding atau syarikat perunding (PSP)atau arkitek asal serta mendapatkan 'release letter' sekiranya diperlukan juga melantik PSP atau arkitek baharu bagi penyediaan pelan dan dokumen teknikal untuk kelulusan PBT. "Melaksanakan proses perolehan melalui sebut harga, inden kerja atau tender bagi pelaksanaan kerja-kerja fizikal di tapak mengikut keperluan atau komen teknikal PBT,"ujarnya semasa sidang medianya di Majlis Pelancaran Logo 60 tahun PMINT Bertemakan Membina Masa Hadapan, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar juga merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PMINT. Menurut Wan Adnan antara projek yang sedang dalam pelaksanaan pihaknya sebagai badan pelaksana membabitkan Taman Semarak (Kuala Nerus), Ibai Golf Home Resort (Kuala Terengganu), 31 unit teres setingkat Taman Mega 1 (Kertih, Kemaman).Taman Dato' Ibrahim (Marang) dan Projek Sungai Kerak ( Marang).  
23 Apr 25
1908
PMINT Peroleh Peruntukan RM82.1 Juta
PMINT Peroleh Peruntukan RM82.1 Juta
KUALA TERENGGANU, 23 April - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) telah berjaya mendapatkan peruntukan berjumlah RM82.1 juta daripada Kementerian Ekonomi melalui pelbagai program pembangunan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, ia juga termasuk melalui 'Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Projek 'People-Centric, inisiatif kemudahan rakyat dan projek khas. Ujarnya, antara cadangan pembangunan baharu pula membabitkan Kubang Parit (KP) Perdana fasa 8, dijangka dilancarkan pada suku ketiga 2025 merangkumi 140 unit kediaman dengan reka bentuk moden kotemporari. "Dalan pengurusan Perindustrian PMINT pula terlah berjaya memeterai 13 perjanjian pajakan tanah industri dan sedang berunding dengan pelabur berpotensi untuk pelaburan baharu bernilai RM6 bilion. "Antara pelabur termasuk Nova RE Suria (Hydrogen Plant), Eastern Steel (Hot Rod Coil0 dan JXR Manufacturing (Alumina)," ujarnya ketika ditemui pemberita semasa sidang medianya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Logo 60 Tahun bertemakan Membina Masa Hadapan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Majlis berkenaan telah diadakan di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam. Dalam pada itu, Wan Adnan turut memaklumkan sebanyak RM46 juta dana pembangunan juga telah diluluskan melalui peruntukan Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi kerja-kerja infrastruktur. "Bagi kerja-kerja infrastruktur di kawasan industri seperti Gong Medang, Bukit Labohan, Gong Badak, Kertih dan Dungun. "PMINT turut mengemudi pelaksanaan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030 bertujuan menjadikan negeri ini sebagai hab pelaburan terkemuka menjelang 2030,"jelas beliau.  
23 Apr 25
701
“Mak Lebih Penting” – Nor Ain Pulang Tinggal Kerjaya Jaga Ibu
“Mak Lebih Penting” – Nor Ain Pulang Tinggal Kerjaya Jaga Ibu
KEMAMAN, 23 April – Dua beradik di Kampung Lubuk Lesung, Kijal sanggup berhenti kerja demi menjaga ibu mereka, Rosila Noor, 54, yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima. Rosila yang juga seorang ibu tunggal, kini bergantung sepenuhnya kepada anak-anak untuk urusan harian selepas disahkan menghidap penyakit kronik itu. Anak ketiganya, Nor Ain Natasha Maae, 24, berhenti kerja sebagai pengasuh di sebuah taska di Seksyen 16, Shah Alam untuk pulang ke kampung menjaga ibunya, terutamanya semasa sesi rawatan cuci darah di hospital. “Saya tak sanggup tengok mak tanggung semua ini seorang diri. Saya ambil keputusan berhenti kerja walaupun kami tak ada pendapatan tetap,” kata Nor Ain Natasha. “Oleh kerana, hanya anak perempuan dibenarkan menemani ibu semasa rawatan, sebab itu dia pulang dan ambil tanggungjawab jaga ibunya," katanya.  Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa program Ziarah Prihatin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal semalam. Anak sulung, Ikram Nizam Maae 29, turut berhenti kerja sebagai pekerja pasar raya di Kemaman untuk membantu menjaga ibu mereka di rumah. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohd Amirudin Zakaria, mereka ada tanggungan tiga lagi adik beradik mereka yang masih belajar. “Dua orang di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seorang lagi di tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kijal. “Pihak JPKK Lubuk Lesung akan terus memantau keadaan keluarga ini dan akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya dari semasa ke semasa,” ujarnya.
23 Apr 25
137
Terengganu Sedia RM19 Juta Biasiswa kepada Pelajar Cemerlang
Terengganu Sedia RM19 Juta Biasiswa kepada Pelajar Cemerlang
KUALA NERUS, 22 April – Kesungguhan kerajaan negeri dalam menyediakan laluan pendidikan terbaik kepada pelajar cemerlang terus dizahirkan apabila sejumlah RM19 juta diperuntukkan tahun ini menerusi skim biasiswa dan pinjaman pendidikan termasuk bidang pengajian Islam, sains serta kemahiran. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, skim pelajar cemerlang (SPC) yang dimulakan sejak tahun 2018 kekal menyediakan RM5 juta setahun untuk biasiswa penuh dalam dan luar negara. "Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM13 juta untuk skim pinjaman pendidikan kepada pelajar yang layak termasuk yang memilih bidang kemahiran,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam. Beliau turut memaklumkan bahawa satu lagi inisiatif baharu tahun ini ialah pemberian biasiswa tambahan sebanyak RM1 juta melalui kerjasama Yayasan Terengganu dan Terengganu Incorporated (TI) khusus bagi bidang pengajian terpilih. "Kita dalam perbincangan untuk menambah lagi jumlah biasiswa sedia ada kerana bilangan pelajar cemerlang semakin meningkat dan kita tidak mahu bakat mereka terbiar begitu sahaja," ujar beliau. Dalam majlis itu, beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri kekal menghantar pelajar ke luar negara termasuk 20 orang ke Algeria, 20 ke Tunisia (Universiti Zaituna), dan beberapa lagi ke Cape Town, Jordan, Mesir, serta negara-negara Arab lain. "Tahun ini kita juga buka peluang baharu ke Iraq, dengan 5 tempat dalam bidang pergigian dan 20 tempat untuk pengajian Islam di Universiti Baghdad dan Universiti Mosul," katanya lagi. Satiful turut menyeru agar pelajar bersiap sedia dari segi kemahiran bahasa dan sahsiah kerana sesetengah universiti luar melakukan temu duga terus sebelum menerima kemasukan. "Kemampuan berbahasa Arab dan Inggeris sangat penting, kerana Cape Town contohnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar," jelasnya.
22 Apr 25
671
Khatam 30 Juzuk, 130 Huffaz Terima RM1,000 Seorang
Khatam 30 Juzuk, 130 Huffaz Terima RM1,000 Seorang
KUALA TERENGGANU, 22 April – Kejayaan seramai 130 pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran pada tahun ini diiktiraf sebagai satu pencapaian luar biasa yang membuktikan ketekunan, disiplin dan kekuatan rohani generasi Ulul Albab. Pencapaian tersebut melayakkan setiap pelajar menerima insentif khas berjumlah RM1,000 seorang daripada Kerajaan Negeri Terengganu sebagai tanda penghargaan terhadap usaha murni mereka. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, insentif tersebut merupakan pengiktirafan kepada pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah istiqamah dalam penghafalan al-Quran sepanjang tempoh lima tahun pembelajaran mereka di Imtiaz. "Sebagai penghargaan atas usaha murni ini, setiap pelajar yang berjaya mengkhatamkan 30 juzuk al-Quran akan menerima insentif Anugerah Hafazan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000 seorang," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu kali ke-15 bagi tahun 2025, yang berlangsung di Dewan Arena, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini semalam. Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab. Menurut beliau, gelaran hafiz dan hafizah adalah amanah besar yang wajib dijaga, bukan hanya untuk diumumkan dan dilupakan, tetapi perlu dipelihara sepanjang hayat sebagai warisan ilmu dan tanggungjawab terhadap umat. "Ingatlah, ia merupakan satu amanah, bebanan yang ditinggalkan oleh Allah dan Rasulullah dan menjadi kebanggaan kita semua," ujar beliau. Tambah Satiful, seramai 384 pelajar Tingkatan Lima dan 16 pelajar Tingkatan Enam bergraduasi pada majlis tersebut, termasuk 70 pelajar yang menerima pelbagai anugerah khas atas kecemerlangan akademik dan sahsiah, antaranya Tokoh Ulul Albab dan Anugerah Pelajar Terbaik. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para guru yang menjadi tulang belakang kejayaan ini, serta ibu bapa yang mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan sokongan. "Tanpa keikhlasan para pendidik, mustahil pencapaian ini dapat dikecapi dan sesungguhnya Allah mengangkat darjat orang yang berilmu beberapa tingkat lebih tinggi," ujarnya.
22 Apr 25
1416
Universiti Antarabangsa Buka Pintu, Pelajar Terengganu Perlu Lebih Bersedia
Universiti Antarabangsa Buka Pintu, Pelajar Terengganu Perlu Lebih Bersedia
KUALA NERUS, 22 April – Kerajaan Terengganu komited melahirkan lebih ramai cendekiawan bertaraf antarabangsa dengan membuka peluang pengajian ke luar negara, namun keupayaan berbahasa dan kematangan sahsiah kini menjadi prasyarat utama untuk merebut peluang tersebut dalam persekitaran global yang semakin kompetitif. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat menegaskan bahawa para pelajar perlu melengkapkan diri dengan persediaan akademik dan peribadi kerana banyak universiti memerlukan sesi temuduga secara langsung sebelum kemasukan. "Kadang-kadang universiti akan temuduga pelajar secara terus. "Jadi pelajar mesti bersedia dari segi penguasaan bahasa, khususnya bahasa Arab dan Inggeris," katanya ketika berucap di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu kali ke-15 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab. Menurut beliau, beberapa universiti di destinasi tumpuan seperti Cape Town menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya sebagai bahasa pengantar, manakala institusi di negara-negara Arab menuntut penguasaan tinggi dalam bahasa Arab sebagai syarat kemasukan. "Tahun ini kita kekalkan penghantaran 20 pelajar ke Algeria, dan kita baru terima berita gembira Tunisia tawarkan 10 tempat di Universiti Zaituna di ibu negara Tunis dan 10 lagi di kampus cawangan mereka," tambah beliau. Beliau turut memaklumkan peluang pengajian turut dibuka di Jordan, Mesir, Oman, Cape Town dan Kuwait, namun peningkatan kos sara hidup di sesetengah negara seperti Jordan kini sedang diteliti bagi menjamin kebajikan pelajar. "Tahun ini kita juga buka laluan baharu ke Iraq, lima tempat untuk pengajian pergigian dan 20 tempat untuk pengajian Islam di Universiti Baghdad dan Universiti Mosul," jelasnya lagi. Dalam masa sama, beliau mengumumkan penempatan pelajar dalam bidang dakwah di universiti di Libya sebagai satu strategi untuk melahirkan pendakwah yang mampu menyebarkan kefahaman Islam secara global. "Selain itu, kuliah dakwah di universiti di Libya, di samping ada beberapa pelajar yang kita hantar ke Oman dan Kuwait," ujarnya.
22 Apr 25
980
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ketuai Delegasi Parlimen Malaysia Ke Jepun
Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ketuai Delegasi Parlimen Malaysia Ke Jepun
KUALA TERENGGANU, 22 April – Delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi Alam Sekitar, Sains dan Perladangan telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Jepun pada 14 hingga 18 April lepas. Misi berkenaan bertujuan meninjau pelaksanaan dasar dan teknologi berimpak tinggi dalam bidang sains, inovasi, pengurusan alam sekitar, tenaga boleh baharu serta pertanian moden, di samping memperkukuh kerjasama strategik dua hala antara Malaysia dan Jepun. Delegasi tersebut diketuai Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad Hashim,  merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Alam Sekitar, Sains dan Perladangan. Turut sama Yang Berhormat (YB) Rodiyah Sapiee (Batang Sadong), YB Larry Sng Wei Shien (Julau), YB Dato’ Azman Nasrudin (Padang Serai), dan YB Dato’ Ngeh Koo Ham (Beruas) yang kesemuanya merupakan anggota tetap jawatankuasa. Menurut Ahmad Amzad, lawatan itu bukan sahaja memperluas jaringan kerjasama dua hala, malah memperkasa kedudukan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang yang responsif terhadap cabaran global. “Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada semua pihak yang telah menjayakan misi ini dengan penuh dedikasi. "Terima kasih kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, institusi rakan di Jepun, serta seluruh ahli jawatankuasa yang menunjukkan komitmen tinggi sepanjang lawatan," ujarnya. Katanya, segala dapatan diharap dapat dimanfaat sepenuhnya untuk menyumbang kepada dasar negara yang lebih mampan dan berasaskan teknologi masa hadapan. Sepanjang lima hari lawatan, delegasi menghadiri pelbagai sesi taklimat, lawatan tapak dan perbincangan dasar bersama institusi terkemuka Jepun seperti Council for Science, Technology and Innovation (CSTI), Cabinet Office, Nippon Koei, National Research Institute for Earth Science and Disaster Resilience (NIED) serta National Agriculture and Food Research Organization (NARO). Antara perkara yang diberi penekanan termasuk inovasi pengurusan bencana, teknologi pertanian pintar, aplikasi kecerdasan buatan (AI), sistem pengangkutan bandar bersepadu serta kaedah mitigasi hakisan melalui teknologi Biological Soil Crust (BSC). Delegasi turut diberi taklimat berkenaan pelaksanaan konsep Society 5.0 dan teknologi Mobility as a Service (MaaS) yang kini diterajui secara aktif di Sarawak. Lawatan ini juga membuka ruang interaksi strategik bersama institusi penyelidikan dan agensi pelaksana Jepun, sekaligus mengukuhkan keupayaan Parlimen Malaysia dalam memainkan peranan menyelaras dasar berteraskan sains, inovasi dan kelestarian.
21 Apr 25
235
Salah Guna Kuasa TCO, Setiausaha Politik Dr. Sam Lapor Suhakam
Salah Guna Kuasa TCO, Setiausaha Politik Dr. Sam Lapor Suhakam
KUALA LUMPUR, 21 April - Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Mohd Soud Said menyerahkan satu memorandum rasmi kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini berhubung salah guna kuasa dan intimidasi politik yang dikenakan terhadap Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.  Ahmad Samsuri yang turut diwakili peguam, Datuk Dr. Kamilia Ibrahim menyerahkan memorandum berkenaan bagi membantah tindakan pengawasan dan tekanan melampau sekitar jam 3 petang tadi. Dr. Kamilia menegaskan, memorandum tersebut menyatakan kebimbangan serius terhadap tindakan pengawasan yang dipercayai dilakukan melalui mekanisme ‘Travel Control Order’ (TCO) secara senyap. “Ini sangat melampaui batas dan mencabul hak asasi manusia, khususnya hak kebebasan bergerak seperti yang dijamin di bawah Perkara 9(2) Perlembagaan Persekutuan terhadap YAB Menteri Besar Terengganu. “Turut didedahkan dalam memorandum itu ialah komunikasi peribadi Menteri Besar turut dipantau secara tidak sah, sekali gus mencabuli hak privasi beliau sebagai individu dan penjawat awam,” katanya dalam sidang media selepas penyerahan memorandum di Ibu Pejabat Suhakam di sini. Mohd Soud menyerahkan memorandum kepada Suhakam.  Dr. Kamilia menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk penyalahgunaan jentera kerajaan oleh pihak tertentu dalam kerajaan Persekutuan bagi menekan tokoh politik yang lantang memperjuangkan idealisme secara berprinsip. “Tindakan seperti ini berbahaya kepada amalan demokrasi dan mencipta iklim ketakutan serta tekanan terhadap tokoh pemimpin yang berbeza politik,” katanya. Dalam pada itu, Mohd Soud menyeru supaya reformasi menyeluruh terhadap institusi penguatkuasaan dan pengawasan negara dilakukan segera, agar tiada mana-mana pihak boleh menyalahgunakan kuasa untuk tujuan politik. “Malaysia hanya akan maju apabila prinsip keadilan, kebebasan dan integriti institusi dijadikan asas pentadbiran, bukan apabila kuasa digunakan untuk membungkam suara yang sah dalam demokrasi. “Memorandum ini turut menggesa kerajaan Malaysia, Suhakam dan rakyat yang prihatin supaya memperkukuh sistem akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam tindakan agensi keselamatan demi menjamin masa depan negara yang lebih adil dan beretika. “Kita tidak menuntut layanan istimewa, kita menuntut keadilan yang sewajarnya. Sudah tiba masanya untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa dan memperbetul arah tuju negara,” katanya. Sebelum ini, Ahmad Samsuri mengatakan beliau telah dilabel dan ditandai sebagai 'TCO' dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus sejak pertengahan tahun 2024. Katanya, cara tersebut membuatkan beliau seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri. "Saya 'ditahan' dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024. "Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan, semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya,” katanya. Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut mengakui beliau juga dikenakan TCO seperti dihadapi Ahmad Samsuri sejak tahun lepas.
21 Apr 25
610