lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pelita Raya Terengganu Bawa Pulangan Pelaburan Lebih RM400,000
Pelita Raya Terengganu Bawa Pulangan Pelaburan Lebih RM400,000
KUALA TERENGGANU, 20 April - Penganjuran program Pelita Raya Terengganu pada bulan Ramadan yang lalu berpotensi membawa pulangan pelaburan sebanyak RM400,000. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata pencapaian sedemikian merupakan satu pencapaian yang mampu memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat setempat. "Lebih membanggakan, penganjuran program Pelita Raya Terengganu selama empat hari ini telah mencatatkan jangkaan 'Return on Investment' (ROI) melebihi RM400,000. "Ia merangkumi aspek seperti penginapan, gerai makanan, pengangkutan dan lain-lain.  "Ini jelas menunjukkan impak limpahan ekonomi yang ketara kepada rakyat, khususnya usahawan-usahawan tempatan yang mengambil bahagian dalam program ini," katanya. Menurut beliau, berdasarkan catatan rujukan pulangan pelaburan daripada program yang telah termaktub sebagai acara tahunan 'Calender of Event' (COE) Terengganu itu, terdapat tiga penyumbang utama kepada pulangan tersebut. "Pertama, kutipan tiket masuk dengan harga yang telah ditetapkan pada RM2.00 bagi individu berumur 13 tahun dan ke atas, berjaya mencecah RM52,361.00. "Manakala hasil jualan di lokasi program pula sebanyak RM102,540.30. Selain itu, perbelanjaan lain yang melibatkan penginapan, pengangkutan dan sebagainya dianggarkan melebihi RM250,000.00. Razali berkata demikian di dalam ucapannya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, menegaskan bahawa kejayaan yang telah dicapai melalui pelaksanaan program-program seperti ini tidak dijalankan secara bersendirian. "Ia adalah hasil kolaborasi erat antara beberapa jawatankuasa utama yang merupakan rakan strategik utama kepada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam pelaksanaan setiap program yang diadakan. "Insya-Allah, kejayaan ini akan menjadi pemangkin untuk kita mengembangkan pendekatan serupa dalam pelaksanaan program utama pelancongan negeri atau 'signature events' seperti Program Candat Sotong dan Karnival Pantai Terengganu, agar terus relevan dan menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara," ujarnya.
20 Apr 25
162
Kelapa : Pekebun Kejar Untung, Santan Negara Terancam
Kelapa : Pekebun Kejar Untung, Santan Negara Terancam
KUALA TERENGGANU, 20 April – Harga kelapa muda yang melonjak tinggi mendorong pekebun memilih jalan pintas untuk meraih keuntungan segera, namun tindakan ini menjejaskan bekalan kelapa tua negara dan mengancam industri santan tempatan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, permintaan terhadap kelapa muda kini begitu tinggi sehingga menyebabkan pengeluaran kelapa tua merosot dengan ketara di pasaran. "Sebiji kelapa muda boleh dijual sehingga RM4.50, manakala kelapa tua pula sekadar RM2.50 dan semakin murah jika disimpan,” katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-bari ini. Menurut beliau, ketidakseimbangan harga ini telah mendorong pekebun lebih berminat menjual kelapa muda kerana pulangannya jauh lebih lumayan berbanding kelapa tua yang digunakan dalam pemprosesan santan. "Inilah sebabnya kelapa muda jadi pilihan utama pekebun. "Mereka kejar untung cepat, tapi kita sedang hadapi kekurangan bahan asas untuk makanan rakyat,” keluhnya. Jelasnya lagi, keadaan ini diburukkan dengan fenomena perubahan iklim yang menyebabkan ‘kepupusan mayang’, iaitu kegagalan pokok kelapa berbunga antara Jun hingga September tahun lalu. "Tiada mayang maka tiadalah buah. "Fenomena ini telah menjejaskan hasil kelapa tua secara drastik,” kata beliau. ADUN Jabi itu turut mengakui bahawa walaupun Tahap Sara Diri (SSR) bagi kelapa menunjukkan peningkatan dari 53 peratus pada 2019 kepada 74 peratus pada tahun 2023, ia belum cukup untuk menampung permintaan sekiranya trend ini berterusan. "Cadangan pembukaan ladang kelapa oleh ADUN Kuala Besut adalah satu langkah tepat dan perlu dilaksanakan segera," ujarnya.
20 Apr 25
188
Sawah Tidak Lagi Dikenang Sebagai Punca Rezeki
Sawah Tidak Lagi Dikenang Sebagai Punca Rezeki
KUALA TERENGGANU, 20 April – Ladang-ladang padi di Kuala Berang dan Hulu Terengganu yang suatu ketika dahulu menjadi nadi kehidupan masyarakat luar bandar kini semakin sepi dan terbiar, bukan kerana kekurangan infrastruktur, tetapi akibat tiada kesinambungan generasi pelapis untuk mengusahakannya. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim menjelaskan bahawa isu sebenar bukan berpunca daripada kegagalan kemudahan asas, sebaliknya hilangnya minat dalam kalangan anak muda untuk menyambung usaha generasi terdahulu. "Saya ingin menjelaskan sedikit mengenai isu sawah padi yang terbiar di sekitar daerah Kuala Berang dan Hulu Terengganu, keadaannya bukan disebabkan ketiadaan infrastruktur kerana kemudahan itu sebenarnya sudah tersedia. "Masalah sebenar timbul apabila generasi baharu tidak lagi berminat meneruskan usaha mengusahakan sawah pusaka selepas pemergian ibu bapa mereka. "Anak-anak hari ini tidak lagi melihat sawah sebagai sumber rezeki, sebaliknya mewarisi tanah tanpa mewarisi semangat dan tanggungjawab untuk mengusahakannya," katanya ketika menjawab persoalan ADUN Telemong dalam sidang DUN di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Tambah beliau, meskipun terdapat cadangan untuk membuka peluang pelaburan, kekangan struktur geografi menjadikan usaha itu sukar direalisasikan secara komersial. "Kita nak buka kepada pelabur pun, kawasannya sedikit dan terpisah-pisah dan bukan sesuai dijadikan satu sektor komersial. "Jadi itu di antara situasi sebenar," ujarnya.
20 Apr 25
82
Hamzah Sahkan Dikawal TCO, Dakwa Polis Arah Tarik Balik
Hamzah Sahkan Dikawal TCO, Dakwa Polis Arah Tarik Balik
KUALA LUMPUR, 20 April - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hari ini memaklumkan bahawa kawalan Perjalanan  (TCO) yang dikenakan kepadanya bagi perjalanan baru-baru ini telah ditarik balik. ”Saya baru sahaja kembali dari luar negara atas urusan rasmi. Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara yang telah mengarahkan semua TCO ditarik balik. “Saya telah dimaklumkan oleh pegawai yang bertugas di imigresen sebelum berlepas,” katanya dalam Facebook rasminya sebentar tadi. Mengulas lanjut Ahli Parlimen Larut itu berkata, isu yang dibangkitkan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dua minggu turut dihadapi oleh beliau ”Saya ingin memaklumkan bahawa saya juga mengalaminya sejak tahun lepas. “Namun, apabila YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata beliau pun ada dalam senarai TCO ia amat mengejutkan saya. “Maka bagi pihak rakyat, saya mohon kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) jangan sesekali lakukan ini ke atas Perdana Menteri, kerana beliau bukan penjenayah dan bukan anti kerajaan,” tegasnya. Hamzah Zainuddin. Sebelum ini, Ahmad Samsuri mengatakan beliau telah dilabel dan ditandai sebagai 'TCO' dalam sistem kawalan sempadan oleh satu pihak cawangan khusus sejak pertengahan tahun 2024. Katanya, cara tersebut membuatkan beliau seolah-olah seorang penjenayah berbahaya, dikaitkan dengan satu sindiket dan gangster, atau persona non grata di tanah air sendiri. Ahmad Samsuri berkata beliau sangat kecewa dengan keadaan tersebut. "Ia bukan sekadar label, tetapi saya 'ditahan' dan dibawa ke tepi, satu panggilan akan dibuat dan perlu mendapat persetujuan satu cawangan khusus sebelum dibenarkan keluar dari kawalan sempadan, untuk setiap kali keluar-masuk sempadan, walaupun sekadar ke Sabah dan Sarawak sejak suku ketiga tahun 2024. "Ke mana saya pergi, siapa yang saya temui, dan apa yang saya perbualkan, semuanya menjadi perhatian pihak tertentu dan perlu dilaporkan oleh satu cawangan khusus kepada pihak political master atau operator utamanya. "Inilah realiti harian yang saya hadapi. Dengan perkembangan teknologi canggih hari ini, mereka mungkin juga cuba mengetahui isi perbualan saya dengan individu tertentu, terutama pimpinan politik. "Adakah telefon saya dipintas? Sudah tentu, 100 peratus," katanya.
20 Apr 25
638
Kerajaan Teliti Cadangan Sedia Ruang Solat di Pasar Malam
Kerajaan Teliti Cadangan Sedia Ruang Solat di Pasar Malam
KUALA TERENGGANU, 20 April – Kerajaan negeri komited memperkasa budaya solat fardu dalam kalangan masyarakat dengan menekankan kepentingan menunaikan solat walaupun dalam kesibukan urusan harian seperti di tapak pasar malam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, antara langkah yang diambil ialah menerusi perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk meneliti keperluan pemberhentian sementara operasi pasar malam ketika masuk waktu solat bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung menunaikan solat fardu. “Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah telah bermesyuarat dengan Pihak Berkuasa Tempatan untuk meneliti keperluan pemberhentian waktu operasi sementara bagi memberi ruang kepada peniaga dan pengunjung untuk solat.  "Selain itu, turut dibangkitkan berkaitan penyediaan ruang solat dan tempat wudhu bagi peniaga-peniaga dan pengunjung,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini. Dr. Muhammad Khalil berkata, agensi-agensi di bawah portfolio dakwah dan pelaksanaan syariah juga akan meneruskan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menggerakkan aktiviti dakwah secara langsung di lokasi pasar malam sebagai satu pendekatan mendekati masyarakat secara mesra dan berhemah. “Sekiranya, ada pihak dengan sengaja tidak menunaikan solat fardhu dan menghasut yang lain untuk tidak solat. Maka, Bahagian Penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001,” ujarnya.
20 Apr 25
104
Kerajaan Perkasa Pelita Raya, Tambah Baik Garis Panduan
Kerajaan Perkasa Pelita Raya, Tambah Baik Garis Panduan
KUALA TERENGGANU, 20 April - Kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan melakukan penambahbaikan terhadap penganjuran Program Pelita Raya Terengganu dan Pesta Moreh tahun ini. Hal ini adalah susulan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai kemungkinan program berkenaan mengganggu suasana ibadah sepanjang Ramadan. Dalam reaksi balas, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi memastikan program kekal selari dengan nilai-nilai Islam serta suasana Ramadan yang penuh keberkatan. "Penganjuran Program Pelita Raya Terengganu Tahun 2025 telah melalui beberapa penambahbaikan ketara, antaranya penyediaan kemudahan solat, kawasan penganjuran yang lebih luas serta parkir yang mencukupi demi keselesaan pengunjung. "Jika dahulu program ini dilangsungkan pada malam tujuh likur, kini penganjurannya dibuat lebih awal iaitu pada minggu kedua bulan Ramadan sebagai satu bentuk penghormatan kepada 10 malam terakhir bulan Ramadan, yang diketahui umum merupakan masa paling utama untuk memperbanyakkan ibadah. "Penganjuran Program Pelita Raya tahun ini turut menampilkan pengisian aktiviti keagamaan seperti ceramah agama pada malam pertama, sejajar dengan pembudayaan konsep Indahnya Hidup Bersyariat yang menjadi tonggak utama pentadbiran negeri," katanya ketika sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Menurutnya, elemen kebudayaan dan keagamaan perlu digerakkan secara seiring bagi merealisasikan hasrat menjadikan Terengganu sebagai sebuah destinasi pelancongan mesra Muslim. "Kerajaan negeri juga ingin menegaskan bahawa pelaksanaan program-program seperti ini tidak dijalankan secara bersendirian. Sebaliknya, ia adalah hasil kolaborasi erat antara beberapa jawatankuasa utama.  "Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah serta Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan merupakan rakan strategik utama kepada Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam pelaksanaan setiap program yang diadakan. "Sehubungan itu, bagi menyemarakkan lagi pelancongan mesra syariah serta terus memartabatkan pembudayaan Indahnya Hidup Bersyariat, pihak Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah dalam usaha merangka satu garis panduan khusus bagi pelaksanaan program-program sempena bulan Ramadan," jelasnya. Razali menegaskan bahawa garis panduan ini akan menjadi rujukan utama bagi memastikan semua bentuk penganjuran program kekal selari dengan nilai-nilai Islam, budaya tempatan, serta mematuhi enakmen dan garis panduan yang telah ditetapkan. Dalam perkembangan berkaitan, program Pelita Raya Terengganu yang telah memasuki edisi kelima tahun ini berjaya mencatat jangkaan pulangan pelaburan (ROI) melebihi RM400,000.00, sekali gus membuktikan impaknya terhadap ekonomi tempatan dan sektor pelancongan negeri.
20 Apr 25
65
RM10 Juta Fokus Pelancongan Berasaskan Ekonomi Rakyat
RM10 Juta Fokus Pelancongan Berasaskan Ekonomi Rakyat
KUALA TERENGGANU, 20 April – Peruntukan sebanyak RM10 juta disalurkan bagi membangunkan fasiliti, infrastruktur serta mempromosikan destinasi pelancongan berasaskan komuniti Community-Based Tourism, (CBT) di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pendekatan diambil kerajaan negeri adalah untuk memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar memberi pulangan ekonomi dan sosial kepada rakyat. Menurutnya, sebahagian daripada dana ini telah disalurkan ke Hulu Terengganu bagi melaksanakan beberapa projek infrastruktur berskala kecil tetapi memberi impak besar kepada pelancong dan penduduk setempat. "Beberapa inisiatif telah dan sedang dilaksanakan untuk menyokong penggiat CBT di kawasan ini, antaranya bantuan kewangan dan insentif. "Antara projek yang telah diluluskan termasuk pembinaan kemudahan tandas, wakaf dan pencahayaan di CBT Kalang Rengas dengan peruntukan sebanyak RM50,000, manakala CBT Lubuk Bayas (Little Amazon, Kampung Menerong Ajil) dan CBT Bukit Jalin, Kampung Lebok Kuala masing-masing menerima RM20,000 bagi kerja-kerja pembinaan tandas. "Di Kampung Jenagor Seberang, sebuah dewan terbuka bagi persembahan budaya turut dibangunkan dengan kos RM20,000, bagi menyokong aktiviti pelancongan budaya dan warisan tempatan," jelas beliau. Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Razali turut menambah bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan latihan berkaitan hospitaliti, pemasaran digital dan pengurusan eko pelancongan kepada penggiat CBT agar mereka lebih bersedia bersaing dan menarik minat pelancong tempatan serta antarabangsa.
20 Apr 25
100
Fokus Bangunkan Zon PKS Baharu
Fokus Bangunkan Zon PKS Baharu
KUALA TERENGGANU, 20 April  – Kerajaan Negeri Terengganu komited memperkasakan pembangunan kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) dengan menumpukan kepada pelaksanaan zon perindustrian baharu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, ia akan dibangunkan melalui perancangan teratur dan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta. "Antara langkah utama ialah penetapan kawasan berpotensi sebagai pusat PKS menerusi Rancangan Tempatan Daerah yang dirancang bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.  "Pembangunan kawasan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) adalah secara 'Public Private Pannership' (PPP) yang melibatkan pembangunan secara kebaikan bersama," jelasnya. Beliau berkata demikian semasa sesi soalan lisan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini baru-baru ini. Menurutnya, antara keutamaan lain ialah usaha memperkukuh kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik, air dan jalur lebar bagi menarik lebih ramai usahawan muda untuk terlibat secara aktif dalam sektor ini. "Setakat Mac 2025, sebanyak 145 unit premis telah disediakan oleh Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) yang meliputi kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Inkubator Industri Desa (IID) serta ruang niaga, melibatkan seramai 126 usahawan PKS di seluruh negeri," ujarnya. Beliau menambah, YPU juga menyediakan kemudahan pembiayaan mesra usahawan melalui Skim Pembiayaan Tanpa Riba (TUGAS), yang memberikan keutamaan kepada penyewa premis YPU, khususnya golongan muda.  "Antara skim yang ditawarkan termasuk Skim Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T), Tabung Siti Khadijah (TSK), Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT) dan Program Peningkatan Kapasiti Perniagaan Terengganu (T'CAP)," tambah beliau lagi.
20 Apr 25
76
Pesta Moreh, Pelita Raya Perlu Kekal dalam Landasan Syariat
Pesta Moreh, Pelita Raya Perlu Kekal dalam Landasan Syariat
KUALA TERENGGANU, 20 April — Dalam mengejar arus pembangunan yang pesat, aspek pemerkasaan syariat Islam tidak boleh diketepikan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Beliau merujuk kepada isu pesta moreh dan pelita raya yang tular baru-baru ini dan mendapat perhatian masyarakat. Menurutnya, fenomena itu menjadi semakin ketara apabila ramai rakyat mengambil peluang berniaga pelbagai juadah popular sepanjang Ramadan lalu, menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Terengganu. “Tidak dinafikan aktiviti ini membantu ekonomi rakyat, namun ia perlu dipastikan kekal dalam landasan syariat,” kata Zuraida dalam sidang DUN semalam. Beliau memuji langkah proaktif Kerajaan Negeri Terengganu yang memperketat peraturan, khususnya melibatkan larangan aktiviti hiburan dalam bulan Ramadan, sebagai usaha menjaga adab dan kesucian bulan tersebut. “Sebarang bentuk persembahan seperti nyanyian, tarian, penggunaan sistem audio kuat serta muzik kontemporari yang mencetuskan suasana lalai adalah tidak dibenarkan. Kita perlu menjaga adab, bukan menyekat kegembiraan,” ujarnya. Jelas beliau, larangan ini adalah sebahagian daripada gagasan 'Indahnya Hidup Bersyariat' yang diperjuangkan oleh kerajaan negeri, menekankan keseimbangan antara budaya dan ibadah dalam masyarakat. Zuraida turut menyeru agar semua penganjur pesta moreh dan pelita raya mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa agama, termasuk menjaga adab pergaulan, mengelakkan percampuran bebas lelaki dan wanita serta memberi ruang kepada pengisian rohani seperti tazkirah dan doa. “Tahniah kepada semua pihak yang berusaha mengawal keadaan ini. Ia mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam membentuk masyarakat yang berbudaya tinggi dan berlandaskan syariat,” katanya.
20 Apr 25
83
Jangan Manipulasi Sistem Federalisme Demi Kepentingan Politik Sempit
Jangan Manipulasi Sistem Federalisme Demi Kepentingan Politik Sempit
KUALA TERENGGANU, 20 April - Terengganu memberi peringatan kepada mana-mana pihak agar tidak memanipulasikan sistem federalisme demi kepentingan politik sempit yang akan menghakis keyakinan rakyat terhadap struktur negara. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sistem federalisme yang menjadi asas hubungan antara negeri dan Persekutuan harus dikembalikan ke atas neraca keadilan sebenar. Tegasnya, saranan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tentang penubuhan suruhanjaya ke arah reformasi federalisme amat wajar. "Negara ini dibina atas asas perkongsian kuasa, bukan pemusatan kuasa mutlak. "Maka adalah menjadi kewajipan untuk memastikan tiada satu pihak pun ditindas atau dinafikan hak (royalti petroleum) hanya kerana perbezaan pentadbiran atau prinsip perjuangan," ujarnya melalui satu kenyataan semalam. Mengulas lebih lanjut, Khalil berkata umat Islam tidak pernah diajar untuk tunduk kepada kezaliman dan penindasan. "Kita diajar untuk menegakkan kebenaran dan memperjuangkan hak dengan hujah yang jelas, fakta yang kukuh dan tawakal yang penuh kepada Allah," ujarnya.
20 Apr 25
84