Artikel "Utama" Terkini
Sultan Terengganu Kurnia Darjah Kebesaran Kepada 130 Individu
KUALA TERENGGANU, 27 April - Seramai 130 orang menerima kurniaan darjah kebesaran dan bintang sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-63 di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.
Turut berangkat Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Hadir sama Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Mendahului senarai penerima ialah Dato' Jaafar Abd Aziz yang menjunjung pengurniaan Gelaran Kebesaran Negeri yang membawa gelaran Dato' Setia Bakti.
Ia diikuti pengurniaan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SSMZ) yang membawa gelaran Dato' Seri kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Pengerusi Eksekutif Melati Ehsan Holdings BERHAD, Tan Sri Dato' Yap Suan Chee.
Baginda juga mengurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (DSMZ) Yang Amat Terpilih kepada Duta Besar Malaysia ke China, Dato' Norman Muhamad yang membawa gelaran Dato'.
Turut dianugerahkan DSMZ ialah Consultant - Perhotelan & Pelancongan Sukan dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Nur Zahirah, To' Puan Seri Nur Rahmah Mohd Zin.
Baginda turut berkenan mengurniakan DSMZ kepada Penaung Persatuan Amal & Kebajikan Bencana Malaysia, Datuk Wira Shaikh Abdul Halim Shaikh Salah Marie Alkathiri dan Pengerusi Eksekutif Medan Mutiara Sdn Bhd, Sirna Empire Sdn Bhd, Datuk Mazli Mohan Alias.
Sultan Mizan juga berkenan mengurniakan kepada 23 individu Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) Yang Amat Dihormati yang membawa gelaran Dato'.
Antara penerima DPMT ialah tiga orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Dr Azman Ibrahim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan negeri(ADUN) Jabi, Ariffin Deraman (ADUN Alor Limbat) dan Hanafiah Mat (ADUN Cukai).
Sultan Mizan turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (SMZ) Yang Amat Terpilih kepada 23 penerima, Setia Mahkota Terengganu (SMT) Yang Amat Dihormati (13 penerima), Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (AMZ) Yang Amat Terpilih (21 penerima) dan Ahli Mahkota Terengganu (AMT) Yang Amat Dihormati (42 penerima).
27 Apr 25
4319
Generasi Pertama SMIDI Dungun Catat GPS 2.50 SPM 2024
DUNGUN, 25 April - 'Anak sulung' Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) iaitu Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Dungun, mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.50 dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024.
Daripada 49 pelajar, tiga daripadanya memperoleh 10A, empat pelajar 9A, enam (8A), lima memperoleh 7A dan lapan orang meraih 6A.
Lebih menarik lagi, SMIDI itu turut meraih kedudukan pertama di daerah Dungun dalam subjek Prinsip Perakaunan dengan 0.33 pointer.
Timbalan Pengarah Akademik JPINT yang juga merupakan mantan pengetua SMIDI, Rosdi Mat Rani berkata, pencapaian diraih oleh kelompok pertama SPM itu merupakan penanda aras yang baik yang ditetapkan di sekolah berkenaan.
"Alhamdulillah, saya sasarkan GPD 3.0 pada asalnya dan penilaian yang telah dibuat menyasarkan GPS 1.8.
"Mungkin ada kekurangan sana sini yang akan disemak semula, tetapi dengan GPS 2.5 ini untuk pertama kali, Alhamdulillah ia akan menjadi penanda aras bagi kelompok pelajar seterusnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Slip Peperiksaan SPM kepada pelajar terlibat di SMIDI Dungun, semalam.
Dalam pada itu, Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hanafiah Mat yang turut hadir dalam majlis berkenaan, amat berpuas hati dengan keputusan tersebut.
"Hari ini, cerita-cerita kejayaan sangat banyak. Saya ucapkan syabas kepada semua yang terlibat iaitu guru-guru dan PIBG yang menjadikan sekolah ini terbaik.
"Inilah yang sangat menggembirakan saya, saya sangat berpuas hati dengan 'benchmark' yang dihasilkan dan berharap pada tahun hadapan akan lebih baik lagi.
"Peranan ibu bapa sangat baik, mereka setiap malam membaca Yassin sewaktu musim peperiksaan dan apabila kita minta bantuan, mereka sangat 'sporting'," katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai menyifatkan, kerjasama yang dibina antara PIBG dan guru-guru merupakan kunci dalam memastikan harapan kerajaan Terengganu untuk melihat sebuah sekolah agama kendalian kerajaan negeri mencapai kejayaan memberangsangkan walaupun masih diperingkat awal.
25 Apr 25
1925
Exco Kerajaan Negeri Tampil Bantu Mangsa Kebakaran
HULU TERENGGANU, 26 April – Keprihatinan Kerajaan Negeri Terengganu terserlah apabila Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, turun padang menziarahi sebuah keluarga yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian kebakaran di Kampung Tualang, Manir, tengah hari tadi.
Beliau hadir bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk menyampaikan sumbangan awal serta memberi jaminan bantuan segera daripada kerajaan negeri bagi meringankan beban mangsa.
“Kita faham dugaan yang dihadapi oleh keluarga ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinan.
"Bantuan akan disalurkan segera agar mereka tidak keseorangan menghadapi musibah ini.
“Kami sangat memahami kesulitan yang dihadapi oleh keluarga ini, terutama menjelang hari perkahwinan yang sangat dinantikan. Kami akan memastikan bantuan segera disalurkan kepada mereka untuk meringankan beban yang ditanggung,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa pihak kerajaan negeri akan memberikan sokongan penuh kepada keluarga terbabit, termasuk bekerjasama dengan JPKK untuk memastikan segala bantuan yang diperlukan sampai tanpa sebarang halangan.
“Bantuan kewangan dan sokongan dalam bentuk lain akan diberikan segera, dan kami berharap agar keluarga ini tabah menghadapi ujian ini,” katanya.
Maliaman turut mengucapkan doa agar majlis akad nikah yang dirancang pada 2 Mei ini dapat berjalan lancar meskipun dalam keadaan yang serba kekurangan.
“Apa yang lebih penting adalah ketabahan keluarga ini dalam menghadapi musibah, dan kami di kerajaan negeri akan terus menyokong mereka dalam menghadapi cabaran ini,” tambahnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari 19 April lalu itu, rumah yang didiami Rohana Omar, 51, bersama keluarga musnah sepenuhnya dalam kebakaran, menyebabkan segala persiapan perkahwinan anak ketiganya, Nurayuni Mohd Azmi, 23, yang dijadual berlangsung pada 3 Mei ini hangus terbakar.
Antara barangan yang musnah termasuk pakaian pengantin, gelang, cincin dan wang hantaran, dengan anggaran kerugian sekitar RM10,000.
Turut musnah ialah barang kemas bernilai kira-kira RM50,000 serta wang tunai sebanyak RM3,000.
“Segala persiapan sudah lengkap, kami hanya tunggu hari majlis sahaja. Tetapi kini semuanya sudah tiada. Kami keluar rumah seperti biasa pagi tadi, tak sangka langsung ini yang bakal berlaku,” kata Rohana ketika ditemui.
Rohana berkata majlis akad nikah tetap akan diusahakan pada 2 Mei ini meskipun dalam keadaan serba kekurangan, bergantung kepada perbincangan keluarga kedua-dua belah pihak.
“Apa yang penting majlis akad nikah dapat dijalankan. Kami reda dengan ketentuan Allah.
"Semalam baru buat majlis doa selamat, hari ini rumah pula terbakar,” ujarnya dengan tenang.
25 Apr 25
142
Terengganu Haramkan Vape Secara Total Bermula 1 Ogos
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan negeri akan melaksanakan Larangan Penjualan Produk Rokok Elektronik (Vape) di semua premis perniagaan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, perkara tersebut diputuskan dan dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 23 April 2025 baru-baru ini.
Menurutnya, beberapa keputusan telah dipersetujui seperti kerajaan negeri kekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik atau vape, selaras dengan Undang-Undang Kecil yang berkuat kuasa di setiap PBT.
Katanya lagi, syarat-syarat lesen perniagaan akan diperkemaskan bagi memastikan larangan penjualan produk vape dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
"Mana-mana pengusaha vape yang masih menjalankan perniagaan ketika larangan ini sedang dikuatkuasakan akan dikenakan tindakan tegas mengikut UndangUndang Kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 Akta 171).
"Antaranya, tindakan kompaun akan diambil, dan barangbarang vape yang dijual oleh pengusaha terbabit akan disita.
"Sekiranya pengusaha masih lagi meneruskan perniagaan, tindakan pendakwaan selanjutnya akan diambil ke mahkamah ," ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan negeri juga memutuskan untuk tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar produk vape bagi program atau acara anjuran kerajaan termasuk mengadakan pengiklanan produk Vape sebagai komitmen tegas terhadap isu tersebut.
Sementara itu sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pengusaha dan pekerja di premis vape yang terjejas, Wan Sukairi berkata kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus-kursus keusahawanan serta peluang perniagaan.
"Ia bagi membantu mereka beralih kepada sektor perniagaan yang lebih mampan dan selamat,"ujar beliau.
Menurutnya, tempoh lanjutan selama tiga bulan iaitu dari 1 Mei hingga 31 Julai 2025 akan diberikan sebelum penguatkuasaan larangan ini dilaksanakan sepenuhnya bermula 1 Ogos 2025 termasuklah penguatkuasaan terhadap papan-papan iklan berkaitan perniagaan vape.
Jelasnya lagi, keputusan itu merupakan langkah proaktif Kerajaan Negeri dalam membendung penjualan dan penggunaan produk rokok elektronik atau vape yang boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda.
24 Apr 25
1685
Anak Syarikat Terengganu Terpilih Kerjasama Minyak, Gas Petronas
KUALA TERENGGANU, 24 April - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Csporation (EPIC) Berhad melalui, EPIC OG Sdn Bhd, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PETRONAS bertempat di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
MoU dalam acara Executive Annual Dialogue (AuDi) 2025 yang dianjurkan oleh Malaysia Petroleum Management (MPM) itu bertujuan untuk memajukan inisiatif 'Talent (Skilled Trade) Champions', yang memberi fokus kepada pembangunan tenaga mahir dalam sektor minyak dan gas tempatan.
Kerjasama itu yang mempromosi, menyokong, dan memperkasakan pembangunan kemahiran teknikal dalam bidang-bidang kerja berasaskan kemahiran (skilled trades) merupakan satu usaha penting dalam menyediakan sumber manusia yang berkualiti tinggi bagi memenuhi keperluan industri.
"Perkongsian ini memberi tumpuan kepada pengukuhan bidang perdagangan kritikal luar pesisir seperti kerja-kerja pengikatan (rigging), letupan dan pengecatan (blasting and painting), pembinaan perancah (scaffolding), pengelasan (welding), penyambungan paip (joint-making), dan pelayaran (seafaring).
"Inisiatif ini juga mengutamakan peningkatan kemahiran pelaut tempatan bagi melahirkan lebih ramai pegawai yang berkelayakan dalam operasi marin luar pesisir," kata PETRONAS dalam satu siaran media, semalam.
Merujuk kepada perkembangan yang sama, Naib Presiden Kanan MPM PETRONAS, Datuk Ir. Bacho Pilong, turut menyuarakan sokongannya terhadap kerjasama ini, menekankan bahawa peningkatan kemahiran tenaga kerja adalah asas kepada kejayaan jangka panjang sektor 'Oil and Gas Services and Equipment' (OGSE) di Malaysia.
"Kerjasama ini adalah manifestasi komitmen PETRONAS untuk memperkukuh ekosistem OGSE tempatan, serta menyumbang kepada pembangunan sektor ini yang mampan dan berdaya saing," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili (kanan), Pengurus Besar EPIC OG Sdn Bhd, Mohamad Irwan Abdul (kiri)
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, MoU ini turut disertai oleh beberapa syarikat besar lain dalam industri minyak dan gas, menjadikannya satu usaha kolektif yang melibatkan pemain utama.
"Selain EPIC Berhad, syarikat lain yang turut menandatangani MoU berkenaan termasuklah Malaysia OSV Owners’ Association (MOSVA), Sapura Energy, PETRA Energy, Turcomp Engineering Services dan HHA Associates.
"Sebagai simbolik, saya selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC telah bertukar-tukar dokumen dengan Encik Handan Ramli (SGM, POM, PETRONAS MPM)," ujar beliau melalui satu hantaran laman sosial media rasminya.
Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani MoU tersebut ialah Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias, Pengurus Besar Kanan RDM MPM PETRONAS, Ir. Norafizal Mat Saad serta Pengurus Besar, EPIC OG Sdn Bhd, Mohamad Irwan Abdul.
24 Apr 25
6463
Tiada Lagi Majlis Keraian Khas Untuk Pelajar Cemerlang SPM 2024
KUALA TERENGGANU, 24 April – Buat pertama kali dalam sejarah, tiada majlis keraian khas dianjurkan untuk meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mahu semua calon diraikan secara menyeluruh tanpa mengangkat hanya segelintir individu.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik menjelaskan, pendekatan ini diambil bagi mengelakkan diskriminasi terhadap calon yang tidak memperoleh keputusan cemerlang namun menunjukkan peningkatan ketara atau pencapaian peribadi yang membanggakan.
“Pihak sekolah perlu meraikan kesemua calon, jadi kita tidak ‘highlight’ kan pelajar cemerlang.
“Sekolah terbaik pun kita tidak isytihar di majlis ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, budaya memfokuskan kepada kelompok pelajar elit semata-mata tidak lagi relevan dengan landskap pendidikan masa kini yang lebih mementingkan nilai usaha, semangat juang dan peningkatan berterusan setiap individu.
“Mungkin pelajar itu tidak cemerlang dalam bidang akademik, mungkin masa peperiksaan percubaan dia banyak gagal, tiba peperiksaan sebenar berlaku banyak lonjakan,” jelasnya, memberi contoh pelajar yang sering terpinggir daripada radar kecemerlangan konvensional.
Beliau turut menjelaskan, KPM tidak melarang sekolah mengadakan majlis penghargaan, namun ia mestilah merangkumi semua calon tanpa pengecualian, sebagai lambang pengiktirafan kepada pelbagai bentuk kejayaan.
“Boleh sebenarnya, tapi sekolah mesti buat merangkumi kesemua kategori calon,” tegasnya.
24 Apr 25
10429
SPM 2024: 11 Calon Raih Gred A+ Semua Subjek
KUALA TERENGGANU, 24 April – Seramai 11 calon Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di Terengganu berjaya meraih keputusan tertinggi, Gred A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, peningkatan cemerlang berbanding hanya 8 orang pada tahun sebelumnya.
Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata pencapaian ini menggambarkan keupayaan luar biasa calon tahun ini.
“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang tertinggi (Gred A+) dalam semua mata pelajaran meningkat dari 8 calon pada tahun 2023 kepada 11 calon pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Beliau turut menyatakan prestasi calon secara keseluruhan turut menunjukkan peningkatan.
“Nilai Gred Purata Negeri (GPN) pada tahun 2024 adalah 4.31 mata berbanding 4.41 mata pada tahun 2023,” katanya, merujuk kepada pengurangan sebanyak 0.10 mata yang menunjukkan pencapaian lebih baik.
Menurut beliau, pencapaian Terengganu juga melepasi purata nasional.
“Gred Purata Negeri juga mengatasi Gred Purata Nasional dengan nilai 4.31 berbanding 4.49,” ujar beliau.
Tambah Rosli, jumlah calon cemerlang yang meraih A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran juga bertambah.
“Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang meningkat dari 464 calon kepada 532 calon.
“Peningkatan sebanyak 68 calon,” jelas Rosli
Tambah beliau lagi, pencapaian calon di kawasan bandar dan luar bandar masing-masing menunjukkan peningkatan, namun jurang antara kedua-duanya turut melebar.
“Pencapaian calon di bandar meningkat sebanyak 0.10 mata manakala luar bandar meningkat sebanyak 0.08 mata.
“Jurang pencapaian melebar kepada 0.70 mata,” katanya.
Rosli turut menyatakan sebahagian besar calon berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred lulus dalam semua mata pelajaran.
“Seramai 11,087 calon (66.41%) memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran
“Peningkatan berbanding 64.03 peratus tahun lalu," ujarnya.
24 Apr 25
1018
Pensijilan SPM Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 24 April – Pensijilan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa apabila ia turut mendapat pengiktirafan dan kerjasama daripada institusi penilaian terkemuka luar negara seperti Cambridge dan IAB United Kingdom.
Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rosli Chik berkata, langkah ini bertujuan memastikan mutu dan standard SPM berada pada tahap global.
“Sukacita saya ingin memaklumkan bahawa bagi tujuan penandaarasan dan penjaminan kualiti di peringkat antarabangsa, pakar pentaksiran dari luar negara terlibat sama untuk memberikan khidmat kepakaran dalam pembinaan item dan penetapan standard pensijilan SPM Tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerjasama melibatkan dua institusi profesional dari United Kingdom.
“Pakar-pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam peperiksaan SPM Tahun 2024 adalah dari Cambridge University Press and Assessment, United Kingdom dan Institute of Accountant and Bookkeepers (IAB), United Kingdom,” tambah beliau.
Rosli turut memaklumkan bahawa calon mata pelajaran Prinsip Perakaunan turut menerima manfaat tambahan berbentuk pensijilan profesional.
“Calon yang menduduki mata pelajaran Prinsip Perakaunan peperiksaan SPM Tahun 2024 juga berpeluang memperoleh sijil IAB LCCI Level 2 Certificate In Book-keeping and Accounts daripada London Chamber of Commerce and Industry,” katanya.
Beliau menambah, pencapaian tersebut turut membuka laluan kepada pengiktirafan dalam bidang profesional antarabangsa.
“Calon-calon juga layak mendapat pengecualian ACCA-FIA-FA1 oleh The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) sekiranya memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” jelasnya.
Di samping itu, pelajar tahfiz turut diberi perhatian dengan peluang memperoleh sijil khas sekiranya memenuhi kriteria hafazan.
“Lembaga Peperiksaan juga bekerjasama dengan Darul Quran, JAKIM bagi penganugerahan Sijil Tahfiz KPM kepada calon yang khatam hafazan 30 juzuk al-Quran,” katanya.
24 Apr 25
143
Keputusan SPM 2024 Kini Boleh Disemak
KUALA TERENGGANU, 24 April – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2024 kini boleh menyemak keputusan peperiksaan masing-masing bermula pukul 10.00 pagi hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Terengganu, Rosli Chik berkata, calon sekolah boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing manakala calon persendirian boleh berbuat demikian di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Sukacita dimaklumkan bahawa calon sekolah boleh memperoleh keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024 mulai pukul 10.00 pagi hari ini di sekolah masing-masing.
“Bagi calon persendirian pula, mereka boleh menyemak dan mendapatkan keputusan peperiksaan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun 2024, di Bilik Mesyuarat Alamanda, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Menurut Rosli, calon juga diberi pilihan untuk menyemak keputusan secara dalam talian melalui pautan rasmi myresultspm.moe.gov.my atau menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS).
“Calon juga boleh menyemak keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my.
“Semakan melalui sistem SMS juga boleh dibuat untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2024,” jelas beliau.
Tambah beliau, kemudahan semakan keputusan SPM 2024 disediakan sehingga 30 April 2025 bagi memastikan semua calon mempunyai tempoh yang mencukupi untuk mendapatkan maklumat keputusan mereka.
“Calon boleh menyemak keputusan sehingga 30 April 2025, jam 6.00 petang.
“Bagi calon yang tidak mempunyai capaian internet, mereka boleh mendapatkan keputusan secara fizikal di sekolah atau hadir ke JPN,” jelasnya.
24 Apr 25
112
UCTATI, KYT dan KQT: Terengganu Sedia Laluan Pendidikan Lanjutan
KUALA NERUS, 24 April – Kerajaan negeri terus memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak-anak negeri dengan membuka peluang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti Kolej TATI (UCTATI), Kolej Yayasan Terengganu (KYT), Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) dan Kolej al-Quran Terengganu (KQT).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, institusi-institusi ini diwujudkan bagi memastikan pelajar mempunyai pilihan lanjutan pendidikan yang berkualiti tanpa perlu keluar dari negeri sendiri.
"Kita buka ruang seluas-luasnya untuk pelajar menyambung pengajian dan kerjaya mereka, sama ada dalam bidang Islamik, kemahiran, atau teknologi," katanya dalam ucapannya di Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan al-Quran Imtiaz ke-15, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini baru-baru ini.
Beliau menekankan bahawa institusi milik kerajaan negeri bukan sahaja menawarkan yuran yang berpatutan, malah turut menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan berteraskan nilai-nilai Islam.
"Pelajar boleh memilih untuk menyambung pelajaran di mana-mana institusi ini sebelum melangkah ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam negara atau luar negara," ujarnya.
Tambah beliau, usaha ini adalah kesinambungan kepada dasar pendidikan negeri yang komited membina generasi berilmu, beriman dan berdaya saing.
"Kita tak mahu ada pelajar cemerlang yang tercicir hanya kerana tiada tempat atau kos terlalu tinggi di luar," jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan negeri akan terus menambah baik kemudahan serta memperluas kerjasama dengan institusi-institusi pendidikan tinggi lain bagi meningkatkan kapasiti penerimaan pelajar.
"Hasrat kita adalah supaya setiap anak Terengganu, tanpa mengira latar belakang, mampu memperoleh pendidikan terbaik dan menyumbang kembali kepada negeri serta negara," ujarnya.
24 Apr 25
450