lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Empty Image
Pewartaan Taman Negeri Tunjang Pemuliharaan Habitat Setiu Wetlands
Pengurusan Taman Negeri berusaha adakan siri-siri penerangan dan pendidikan kepada masyarakat.SETIU, 20 Ogos – Perwartaan Taman Negeri bukan bererti kerajaan negeri ingin menyekat peluang komuniti setempat untuk menjana hasil melalui sumber yang ada.Timbalan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Normah Nik memaklumkan, perwartaan taman negeri bertujuan memelihara habitat dan arkeologi, flora dan fauna yang menjadi sumber pendapatan bagi komuniti setempat.“Ketika diperingkat awal kita wartakan, ia kelihatan seolah-olah kita menutup peluang mereka untuk ambil sumber yang ada. Sebenarnya lebih besar daripada itu, kita tidak melarang pengunjung yang ingin berekreasi dan penduduk tempatan yang bergantung hasil kepada hidupan di taman negeri.“Sebaliknya, pihak taman negeri mendidik mereka mengambil sumber secara lestari tanpa menjejaskan kehidupan yang ada. Secara tidak langsung kita dapat kawal kemasukan dan pencerobohan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu program Jom Kenal Taman Negeri Terengganu di Setiu Wetland, semalam.Program tersebut bertujuan memperkenalkan Enakmen Taman Negeri kepada sekitar 30 peserta dari jabatan-jabatan serta agensi kerajaan negeri serta kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai taman negeri.  Normah NikMenurut Normah, cabaran utama bagi pihak taman negeri adalah untuk mendidik masyarakat awam terutama komuniti setempat dari segi enakmen yang telah diwartakan.“Enakmen Taman Negeri telah wujud sejak tahun 1986 lagi. Bagaimanapun, kerajaan negeri bersetuju meminda enakmen yang lama dan mewartakan Enakmen Taman Negeri 2017 yang lebih progresif  merangkumi keseluruh bidang perlindungan dan pembangunan komuniti yang mula dikuatkuasakan Februari tahun lalu.“Sebenarnya, kita ketinggalan agak jauh berbanding Sabah yang sudah 55 tahun dan Johor yang melaksanakannya lebih awal. Tetapi, positifnya, apa-apa kegagalan yang berlaku sebelum ini boleh dielakkan dari pihak kita dengan wujudnya pewartaan ini,” katanya.Terengganu mewartakan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) fasa pertama seluas 432 hektar dan Tasik Kenyir seluas 30,000 hektar sebagai taman negeri.Manakala, kerajaan negeri turut bercadang mewartakan Pulau Tenggol yang berkeluasan kira-kira 2,000 hektar pada masa akan datang.Beliau turut menyatakan, kerajaan negeri proaktif dalam memulihara alam sekitar dan dengan pewartaan taman negeri, ia lebih terjamin.“Sesuatu yang mengejutkan, pewartaan Setiu Wetlands pada bulan Mei 2018 disambut majoriti penduduk setempat, kami juga menerima penyertaan yang positif dalam setiap program yang membolehkan komuniti di sini terlibat secara langsung.“Perkara ini banyak membantu pihak kami untuk menguruskan Setiu Wetlands,” katanya yang turut menjelaskan bahawa pengurusan taman negeri turut berkerjasama dengan komuniti kawasan yang dikenali sebagai ‘Sahabat Setiu’.
20 Aug 19
1687
Empty Image
Gara-gara Pelajar Tertidur Dalam Bas, SMK Tengku Ampuan Intan Muncul Juara YIC 2019
Pasukan SMK Tengku Ampuan Intan menerima pingat dan sijil daripada Ahmad Shah.KUALA TERENGGANU, 20 Ogos – Gara-gara kecuaian pelajar yang kerap tertinggal barang dan tertidur dalam bas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Intan dari Kuala Berang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Young Innovators Challenge (YIC) Peringkat Negeri Terengganu 2019, di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini.Pasukan yang dianggotai Haris Idzham Abdul Rashid, Ahmad Haziq Akmal Ahmad Hanafi, Muhammad Zulfadhly Mohd Zulkifly yang berusia 16 tahun itu mendominasi pertandingan apabila berjaya mencipta satu alat dinamakan ‘Seat Taken Detector’ yang berfungsi membantu pemandu bas mengesan penumpang atau barangan yang masih berada di dalam bas ketika enjin dimatikan.Guru pembimbing mereka, Nor Azma Mohamed berkata, pasukannya memulakan projek berkenaan sejak Julai lalu dengan peralatan yang dibekalkan penaja Chumbaka dan barangan terpakai.“Rata-rata pemandu bas yang kami temu bual menyatakan mereka sering menghadapi masalah apabila penumpang terutamanya pelajar kerap tertidur atau tertinggal barang di dalam bas tanpa mereka sedari.“Walaupun isu itu kelihatan kecil, kami akhirnya mendapati terdapat kes-kes berat seumpamanya seperti kanak-kanak lemas dalam kereta kerana kehadiran tidak disedari ibu bapa yang memandu, lantas memutuskan inovasi ini,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penutup program berkenaan yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed.Ahmad Shah memeriksa hasil inovasi pelajar.  Menurut Normah lagi, projek inovasi itu merupakan idea yang sangat baik untuk diaplikasi secara komersial.“Alat ini berfungsi mengesan tempat duduk yang telah diisi menggunakan sensor yang terpasang dikerusi. Apabila objek dikesan berada dekat di atas kerusi, lampu yang terletak di panel pemandu akan menyala berdasarkan kedudukan tempat duduk.“Saya rasa pihak berkuasa seperti Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepatutnya mengambil inisiatif ini sebagai salah satu syarat untuk pembinaan bas kerana inovasi ini sangat membantu mencegah kes kanak-kanak tertinggal di dalam kereta yang sering berlaku,” katanya.Pertandingan berkenaan merupakan anjuran Yayasan Sime Darby sebagai penaja utama dengan kerjasama pelbagai pihak yang diadakan setiap tahun untuk mencungkil bakat serta kreativiti pelajar dalam reka cipta, sains dan teknologi.Sebanyak 16 buah sekolah menyertai pertandingan peringkat negeri yang dikelola PSKT dan SMK Tengku Ampuan Intan bakal mewakili negeri Terengganu untuk bersaing dalam YIC peringkat kebangsaan kelak.
20 Aug 19
1460
Empty Image
Terengganu Serius Mahu Jadi Negeri Pengeluar Makanan
Dr Azman Ibrahim.Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 20 Ogos - Pelaksanaan dasar baharu pertanian membuktikan kerajaan Terengganu serius untuk menjadi negeri pengeluar makanan utama di Malaysia.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 itu turut selaras dengan hasrat kerajaan pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk mengembangkan potensi pertanian negara. Jelasnya, pelan berkenaan mengariskan enam teras yang mengandungi 61 strategi dengan 128 program yang dirancang dalam tempoh lima tahun bagi meningkatkan ekonomi bumiputera Terengganu.“Bidang pertanian kontan yang mendatangkan pulangan ekonomi segera atau ‘cash crop’ akan diberikan tumpuan.“Sama ada daripada segi peruntukan pengembangan atau kelulusan tanah kerajaan bagi projek pertanian baharu,” ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya hari ini.Tambah beliau, pelan strategik tersebut turut memberi keutamaan kepada tanaman sawit dan getah yang dijangka menjana pendapatan lumayan masyarakat luar bandar negeri itu.“Ada pun untuk komoditi sawit dan getah, kita kekalkan keluasan sedia ada. Permohonan tanah kerajaan untuk pembukaan kawasan baru penanaman getah dan sawit bukan lagi keutamaan kerajaan untuk diberikan pertimbangan,” jelasnya. Dalam pada itu, Azman turut bersyukur dengan perkembangan industri pertanian di Terengganu yang mula mendapat perhatian banyak pihak termasuk kerajaan pusat.“Kedatangan dua Menteri Persekutuan ke sini yang berbincang mengenai pertanian dalam tempoh seminggu membuktikan industri berkenaan di Terengganu mula berkembang. “Berbeza parti bukan halangan untuk kita duduk bersama demi agenda rakyat atas dasar semangat federalisma,” katanya lagi.Untuk rekod, Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 telah dilancarkan pada 4 Ogos yang lalu oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.
20 Aug 19
159
Empty Image
Sultan Mizan Sempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Anakanda
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan menyempurnakan pemakaian pangkat kepada dua anakanda baginda iaitu Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua'az di padang kawad, Rejimen 512 Askar Wataniah, Padang Midin.Keberangkatan tiba baginda bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Nazir Mami, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Dato’ Mardzuki Muhammad dan Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri.Turut berangkat ke majlis tersebut ialah dua lagi anakanda baginda iaitu Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra'.Perbarisan dianggotai pegawai dan anggota dari Rejimen 512 Askar Wataniah yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Batalion Kedua Rejimen 512 Askar Wataniah iaitu Leftenan Kolonel Saifulddin Mahmod.Acara dimulakan dengan pentauliahan Tengku Muhammad Ismail ke pangkat Leftenan dan ditauliahkan ke Kor Rejimen Askar Wataniah disusuli pentauliahan Tengku Muhammad Mua'az ke pangkat Leftenan Muda dan ditauliahkan ke Kor Rejimen Askar Wataniah.Pemakaian pangkat telah disempurnakan sendiri oleh Sultan Mizan.Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Muhammad Mua'az telah menyertai latihan ketenteraan di bawah latihan Pegawai Sukarela yang bermula pada 6 Ogos lepas dan berakhir hari ini.
19 Aug 19
1154
Empty Image
RM6.8 Juta Kos Kendali 9 SRIDI Setahun
  Ustaz Satiful Bahri Mamat                                                      KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Kerajaan Negeri akan membuka Tiga buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) lagi Januari tahun depan, masing-masing sebuah di Permaisuri, Setiu, Kerteh 1, Dungun dan Kijal, Kemaman.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ini menjadikan sembilan buah SRIDI dibuka bagi menunaikan janji manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.Katanya, kos keseluruhan untuk mentadbir urus semua SRIDI berkenaan dianggarkan berjumlah RM6.8 juta setahun.Ini termasuk RM3.4 juta untuk mengendali dan menyelenggarakan tiga SRIDI baharu tersebut.Bangunan SRIDI Paka di Sekolah Agama Rakyat, Felda Kerteh 1, Dungun.Menurut beliau pelajar-pelajar baharu dan pelajar tahun satu dari SRIDI sebelum ini boleh berdaftar di sekolah berkenaan.“Pendaftaran untuk pelajar baharu boleh dibuat secara dalam talian di portal sridionline.terengganu.gov.my,” jelasnya ketika dihubungi semalam.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu berkata, setiap SRIDI akan membuka dua buah bilik kelas dengan sembilan tenaga pengajar serta pengurusan sekolah.“Kerajaan akan membuat pengambilan baru tenaga pengajar dengan sesi temuduga seterusnya kursus induksi selama dua minggu akan diadakan tidak lama lagi,” jelasnya.Katanya, Kerajaan Terengganu telah membuka enam buah SRIDI awal tahun ini masing-masing sebuah di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun; Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Hulu Terengganu) dan Kampung Raja (Besut).Katanya, SRIDI Permaisuri ditempatkan di Wisma Yayasan Islam, Bandar Permaisuri, Setiu, SRIDI Kemaman di bangunan baharu Kijal manakala SRIDI Paka di Bangunan Sekolah Agama (SA) Rakyat  Felda Kerteh 1, Dungun.Sementara itu di Setiu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Ustaz Zul Bhari A Rahman ketika ditemui pemberita berkata SRIDI Permaisuri akan ditempatkan di Bangunan Wisma Yayasan Islam Bandar Permaisuri dengan pengambilan seramai 50 orang pelajar tahun satu.Kataya, sebanyak tiga pintu bangunan pejabat akan disewa dan sedikit penambahbaikan akan dilakukan bagi memberi keselesaan dan memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin."Kita memilih Bangunan Wisma Yayasan Islam kerana lokasi yang strategik di Bandar Permaisuri, memandangkan bangunan ini masih baru dan kita telah mengadakan sesi lawat tapak baru-baru ini,” katanya lagi.Dalam pada itu, satu taklimat telah diadakan kelmarin oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Sahari Anwar Haji Ahmad menerangkan perjalanan dan pengurusan SRIDI kepada Kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat dan i-MiTS DUN Permaisuri.
19 Aug 19
595
Empty Image
Terengganu Juara Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan 2019
Pasukan Judo Terengganu mempamerkan pingat ydam piala ang dimenangi. Foto: Media MSNT.Oleh: Muhammad 'Ammaar Salehudin  KUALA NERUS, 19 Ogos – Kontinjen Terengganu berjaya memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan edisi Ke-24 yang berakhir semalam.Kejohanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak itu menyaksikan skuad Sang Penyu berjaya membawa pulang 52 pingat keseluruhan iaitu 22 pingat Emas, 12 Perak dan 18 Gangsa meninggalkan pesaing terdekat, Pulau Pinang yang mengumpul 14 Emas, 14 Perak dan 1 Gangsa manakala Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail ditempat ketiga keseluruhan dengan 8 Emas, 9 Perak dan 4 Gangsa. Ali Tengah selaku pengurus pasukan ketika dihubungi berkata, atlet Terengganu berada dalam prestasi terbaik melalui persiapan rapi yang dilakukan oleh barisan jurulatih yang diberi tanggungjawab, diketuai oleh Marjan Abdullah. “Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada semua atlet yang telah berjuang bermati-matian sehingga berjaya meletakkan nama Terengganu di tahap yang tertinggi dan merebut piala Juara Keseluruhan kejohanan ini.  Ali Tengah.“Namun begitu, kita tidak harus leka malah menjadikan kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk melipatgandakan usaha supaya mencapai prestasi terbaik di SUKMA Johor 2020 nanti,” katanya.Kejohanan berkenaan disertai  319 atlet daripada 11 pasukan pada kali ini turut mempertandingkan empat kategori umur iaitu B21, B17, B14 dan B12 tahun. Terengganu muncul juara 3 kategori manakala menduduki tangga ketiga bagi kategori B12 dengan pungutan 1 Emas dan 1 Gangsa.Antara aksi dalam kejohanan Judo Remaja Kebangsaan 2019. Foto: Media MSNT. Sementara itu Presiden Persatuan Judo Negeri Terengganu (TEJA), Wan Mohd Hamidi Wan Harun ketika mengulas pencapaian pasukanya, berbangga dengan prestasi yang dipamerkan atlet negeri. “Syukur kerana penganjuran kali ini berjaya dikelola dengan baik tanpa sebarang masalah. Terima kasih terutama kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman yang merupakan penaung  TEJA, atas sumbangan dan sokongan. Begitu juga, kepada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Majlis Sukan Negara(MSN) yang memberikan bantuan material serta khidmat nasihat penganjuran,” katanya.Foto: Media MSNT.
19 Aug 19
871
Empty Image
FAMA Bantu Pasarkan Duku Terengganu
HULU TERENGGANU, 19 Ogos-Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus membantu mempromosi dan memasarkan buah duku Terengganu bagi menjamin kestabilan harga untuk mengatasi risiko lambakan buah tersebut di pasaran.Pengarah Kanan Khidmat Pemasaran ( Segar) FAMA Ibu Pejabat, Mohd Anis Mohd Yasin berkata pihaknya mensasarkan pengeluaran hampir 5,000 tan duku tahun ini menerusi ladang seluas 404 hektar yang membabitkan lebih 1,000 petani di seluruh negeri Terengganu.Katanya, pengeluaran tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu dan perkembangan itu sedikit sebanyak dapat merealisasikan usaha untuk memartabatkan duku Terengganu antara duku terbaik di Malaysia."Selain pembelian oleh FAMA, kita juga menggalakkan petani ini terlibat sendiri dalam pemasaran supaya mereka dapat hasil yang lebih baik," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Antara FAMA dengan Usahawan Duku Terengganu di Kampung Durian Bador, di sini hari ini.Turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed.Menurutnya, pembelian buah duku berkenaan dibuat menerusi 11 pusat pembelian yang diwujudkan oleh Fama di kawasan sasaran.Jelasnya lagi, harga duku di peringkat ladang kini antara RM2.20  manakala harga runcit kira-kira RM4.00 sekilogram.Sementara itu, FAMA masih lagi membuat kajian dan mencari satu kaedah bagi membolehkan duku Terengganu yang menjadi buah pengenalan negeri ini dapat berada di pasaran sepanjang masa.Tambah Mohd Anis, duku  merupakan sejenis buah yang boleh bertahan dalam tempoh tiga hari dan ia perlu segera dipasarkan selepas dituai."Setakat ini, ia hanya dieksport ke Singapura dan Indonesia kerana jangka hayatnya yang pendek dan cepat rosak."Pelbagai usaha telah dibuat untuk komersialkan duku tetapi setakat ini belum menemui jalan penyelesaian namun kita akan usaha lagi untuk mencari kaedah alternatif bagi masalah ini," ujarnya.
19 Aug 19
368
Empty Image
Zakir Naik : Tiga Asas Perlu Dihormati - Abdul Hadi
Abdul Hadi Awang.KUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Tiga asas perlu dihormati semua pihak dalam isu membabitkan pendakwah bebas terkenal, Dr Zakir Naik yang dikatakan telah mencetuskan ketegangan di negara ini.Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, beliau mengikuti dengan cermat perkembangan isu Zakir yang dibangkitkan oleh pihak-pihak tertentu atas tujuan mengeruhkan suasana.Jelasnya, isu tersebut harus ditangani segera dengan tiga perkara utama membabitkan ruang demokrasi seperti budaya debat dan dialog harus dihormati agar masalah tersebut berjaya menemui jalan keluar.“Semua pihak perlu bersedia untuk bersemuka dan berdialog secara ilmiah demi mencari ‘kebenaran dan kebersamaan’. Pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan kerajaan negeri wajar menyuburkan budaya ini.“Kedua, perpaduan masyarakat majmuk adalah kerukunan hidup yang perlu dipelihara. Semua pihak bertanggungjawab untuk menjaga sensitiviti pelbagai kaum dan agama dalam negara,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Tambah beliau, siasatan juga perlu dilakukan terhadap pemimpin politik dan pengamal media yang menjadi ‘makhluk perosak’ sehingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat. “Ketiga, jaminan keselamatan yang perlu dijaga tanpa mengira agama dan bangsa, sebagaimana yang terkandung dalam ajaran Islam,” katanya.Tegasnya, status penduduk tetap (PR) yang diberikan kepada Dr. Zakir Naik adalah hak asasi manusia yang diiktiraf dunia dan negara bertamadun. “Hak keselamatan ini juga adalah jaminan Islam terhadap sesiapa yang terancam keselamatannya, walaupun terhadap bukan Islam. “Kerajaan dan agensi berkaitan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertegas dalam memberi jaminan keselamatan ini,” tambah beliau.
19 Aug 19
66
Empty Image
Lima Kedai Terbakar, Babit Kerugian RM1.2 Juta
Oleh: Pok AbasKUALA TERENGGANU , 19 Ogos- Lima unit kedai di Jalan Sultan Mohamad, Kampung Gong Kapas, di sini, musnah dalam kebakaran melibatkan kerugian RM1.2 juta, malam tadi.Kejadian kira-kira jam 10 malam itu memusnahkan deretan rumah kedai termasuk tiga kedai menjual lampu hiasan dan barangan elektrik dan dua kedai menjual aksesori serta alat ganti kelengkapan motosikal.Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Shoki Hamzah berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berikutan kejadian itu.Katanya, seramai 35 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, BBP Jalan Kota dan BBP Marang bersama empat jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.33 malam."Kita mengambil masa kira-kira enam minit untuk tiba di lokasi iaitu jam 10.39 malam dan setibanya di situ, didapati bahagian belakang deretan kedai itu sudah terbakar 70 peratus."Kita percaya mungkin kejadian bermula dari bahagian belakang bangunan menyebabkan orang awam tidak menyedarinya dan lambat memaklumkan kepada pihak kami," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.Mohamad Shoki berkata, usaha memadamkan kebakaran berdepan kesukaran kerana struktur bangunan separuh kekal yang terdiri daripada batu bata dan kayu selain kedudukan bangunan yang berdekatan antara satu sama lain.Selain itu, katanya, susunan barang di dalam kedai yang didapati begitu rapat juga antara masalah yang terpaksa dihadapi pihaknya untuk mengawal api di bahagian dalam bangunan."Dalam masa sama, kami terpaksa berdepan beberapa risiko letupan semasa kerja-kerja memadamkan api memandangkan terdapat banyak bahan mudah terbakar dan bahan mudah meletup di dalam bangunan itu.Bagaimanapun, kecekapan anggota bomba berjaya menghalang api merebak kedai-kedai berdekatan dan pihaknya mengambil masa setengah jam untuk mengawal api sepenuhnya," katanya.Kata Mohamad Shoki lagi, pihaknya sedang menyiasat punca dan nilai sebenar kerugian dalam kejadian itu- Sinar Harian
18 Aug 19
77
Empty Image
Dr Zakir Naik Diprovok Kerana Kejayaan Islamkan 'Non Muslim'
 Ahmad Amzad HashimKUALA TERENGGANU, 19 Ogos - Ada segelintir pemimpin Kerajaan Pusat bimbang jika dibiarkan tinggal lama di Malaysia, Penceramah Antarabangsa Dr Zakir Naik akan berjaya mengislamkan ribuan penganut bukan Islam di seluruh negara.Justeru Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pemimpin-pemimpin bukan Islam dan ada pemimpin bernama Islam sendiri cuba menimbulkan provokasi dan menekan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar menghalau pendakwah itu keluar dari negara ini."Anda usir Zakir Naik, umat Islam akan usir kamu dari kerajaan paling lewat di pilihanraya umum akan datang," tegas Ahmad Amzad dalam satu kenyataan media mengulas perkembangan mutakhir mengenai pendakwah bebas itu hari ini.Beliau yang juga Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu memandang serius perkembangan mutakhir berkait dengan isu tersebut.Katanya, Dr Zakir Naik terkenal dengan ceramah perbandingan agama yang mendorong ribuan masuk Islam secara sukarela. "Tidak pernah ada laporan bahawa beliau memaksa orang hadir ke ceramah beliau atau memaksa sesiapa untuk masuk Islam," jelasnya.Menurut beliau Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen, kebebasan bersuara adalah satu prinsip asas dengan syarat syarat tertentu untuk menjaga kepentingan kerukunan masyarakat. Katanya, Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan yang kerana itu adalah munasabah Islam dikembangkan melalui pelbagai pendekatan dakwah yang dibenarkan oleh Islam."Islam melarang sebarang paksaan dalam soal kepercayaan. Perbincangan, perbahasan yang bersifat akademik dengan merujuk sumber sumber yang berautoriti adalah sesuatu yang diterima oleh masyarakat yang bertamadun."Anda berbahas, keluarkan hujah. Terpulang yang mendengar mahu menerima atau tidak."Yang tidak boleh diterima adalah ucapan berapi api yang bersifat menghasut kebencian, permusuhan dan pergaduhan yang membawa kepada kecederaan fizikal dan harta benda," jelas beliau lagi.Beliau mendengar ceramah Dr Zakir Naik dan mendapati di mana mana pun tiada yang berlangsung dalam suasana kebencian, pergaduhan dan permusuhan. "Memang benar ia mencabar pemikiran orang yang tidak sama kepercayaan (dengan beliau) tetapi sebagai manusia yang bertamadun masyarakat boleh menerima atau menolak hujah beliau."Tiada yang mendengar ceramah beliau kemudian menjadi seorang militan yang mengancam sesama manusia sesudah itu."Saya berkongsi keprihatinan Perdana Menteri terhadap komen beliau  yang didakwa mencampuri urusan hubungan kaum. Itu perlu ditangani dengan berhemah dan komen itu sebenarnya tidak perlu dan perlu diteliti sama ada ia didorong oleh apa dan konteks apa," katanya.Menurut beliau, Dr Zakir Naik diterima baik oleh umat Islam di Malaysia. "Yang tidak menerimanya adalah golongan tertentu yang berterusan memberi tekanan dan mereka diberi laluan oleh segelintir umat Islam yang bersifat apologetik tak kena tempat kerana jiwa kerdil yang merasa bergantung hayat kepada sokongan pihak tertentu," ujarnya lagi.
18 Aug 19
78