lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Empty Image
3,000 Daki Bukit Serentak Sambil Kibar Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos--Sempena bulan kemerdekaan, pelbagai cara dan kreativiti ditonjolkan rakyat malaysia dalam menzahirkan semangat cintakan negara dengan cara tersendiri.Di Terengganu lebih 3,000 peminat aktiviti sukan lasak menyahut cabaran  dengan melakukan pendakian di lapan bukit terpilih seluruh daerah secara serentak.Kemeriahan itu dapat disaksikan bermula dari Bukit Keluang, Besut sehingga ke Bukit Harimau Menangis di Kemaman. Bukit bukit lain yang terlibat iaitu Bukit Besar (K. Terengganu), Bukit Temiang (Marang), Bukit Maras (K.Nerus/Setiu)), Bukit Jong (K. Nerus) dan Bukit Belimbing (Hulu Terengganu).Penyelaras Program, Leftenan Kolonel  Che Adam A. Rahman berkata kesemua peserta yang terdiri dari pelbagai lapisan umur itu menakluki lapan puncak bukit serentak di seluruh negeri itu dengan semangat kemerdekaan.Menurutnya, mereka yang terlibat juga hadir dengan membawa jalur gemilang sambil mendaki bukit-bukit berkenaan."Program ini julung kali diadakan namun sambutan yang diterima oleh peserta di setiap daerah  sangat menggalakkan dan mendapat kerjasama para peserta di sepanjang pendakian." Walaupun rata-rata peserta tidak mengenali antara satu sama lain serta berbeza agama dan bangsa, sikap kerjasama yang ditunjukkan menonjolkan identiti rakyat Malaysia," katanya pemberita ketika ditemui selepas program.Majlis Perasmian Terengganu Merdeka Hike telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan NGO, negeri, Ustaz Sulaiman Sulong.Che Adam berkata, pihaknya berhasrat untuk meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang dalam usaha menyemai semangat patriotik terutama kalangan kanak-kanak dan remaja.Jelasnya,  biarpun program itu berkonsepkan santai dan riadah namun ia mampu memberikan erti tersirat kepada para peserta.Katanya lagi,  program itu dirangka menerusi gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Tac Outdoor selaku penyelaras program."Terima kasih penyelaras bukit yang bersemangat menjayakan program; Hiking Maras Community, BB Hikers, KERABAT, Geng Supik Hitam, Kaki Kabat, Ngukah Walk Fit, Bauk Hikers dan Mpkk Kg. Temiang," ujarnya.
26 Aug 19
377
Empty Image
Kad Sejahtera Mula Diedar Hari ini
Dr Ahmad Samsuri (tengah), Dr Alias (kanan) dan Dato' Bentara Dalam A Rahman di Majlis Pelancaran Kad Sejahtera di Lobi DUN Terengganu 16 Julai lalu.KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Kerajaan negeri memaklumkan bahawa Kad Sejahtera akan mula diserahkan kepada pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai hari ini untuk diagihkan kepada penerima.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kad tersebut bertujuan untuk meringankan beban rakyat yang kurang berkeupayaan untuk menanggung kos perubatan mereka."Kad itu mempunyai nilai RM500 untuk tempoh setahun. Had penggunaan adalah RM70 untuk sekali transaksi. Contoh Kad Sejahtera "Kad ini boleh diguna pakai di klinik-klinik swasta terpilih di seluruh Terengganu. Terdapat 22 klinik swasta yang menyertai program ini," jelas beliau ketika diwawancara oleh Warta Darul Iman (WDI) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.Maklumat penuh wawancara berkenaan akan disiarkan dalam WDI Terbitan Ogos ini.Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan 20,000 keluarga menerima manfaat menerusi program kad tersebut.Sebagai permulaan katanya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM10.9 juta untuk tujuan tersebut tahun ini.Terdahulu, Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah melancarkan kad itu di Lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, 16 Julai lalu.Dr Alias dan Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Dato' Bentara Dalam A Rahman Yahya turut hadir di majlis tersebut.
26 Aug 19
894
Empty Image
Jambatan Angkat Laluan Baharu LAJSM’19 Terengganu
Wan Sukairi bersama wakil penaja LAJSM '19.KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud (LAJSM) menyajikan kelainan apabila turut memasukkan Jambatan Angkat atau Drawbridge sebagai laluan utama pada penganjuran kali ini.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, laluan tersebut akan dilalui oleh peserta larian bagi kategori 42km dan 21km sebelum ke Jambatan Sultan Mahmud yang menjadi ikon utama kejohanan.“Bagi kategori lain iaitu 12km, 8km dan 5km pula akan melalui laluan dalam bandar dan Jambatan Angkat sebelum berpatah balik ke lokasi akhir di Batu Burok.“Dalam LAJSM ’19, seramai 25,500 peserta telah mendaftar. Dari jumlah tersebut, seramai 5,000 merupakan peserta dari luar negeri termasuk 210 peserta dari luar negara,” katanya dalam sidang media kejohanan berkenaan, di Wisma Darul Iman, semalam.Turut hadir, wakil-wakil penaja iaitu Ultron, 100 Plus, Prozin, Yakults, Primula Beach Hotel dan Red Bull Malaysia. Beliau turut menyatakan, kerajaan negeri telah mengurangkan penajaan kos penganjuran kepada RM800,000 tahun ini dengan hampir 50 peratus pengurangan berbanding RM 1.5 juta tahun lalu.“Kami berterima kasih kepada para penaja yang setia dengan LAJSM ’19. Walaupun dengan kos lebih rendah, kerajaan negeri yakin Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) sebagai penganjur utama akan menyediakan kualiti terbaik dalam penganjuran ini.“Saya juga menyeru kepada para peserta untuk hadir bersama keluarga sekali gus dapat menikmati kecantikan dan keindahan budaya negeri ini serta mendapatkan barang-barang yang hanya ada di Terengganu,” katanya.LAJSM ’19 merupakan salah satu usaha kerajaan negeri menjayakan Visit Beautiful Terengganu 2020. Selain sukan itu, kerajaan negeri juga berusaha menaikkan pelbagai penganjuran sukan lain dalam usaha mempromosikan Terengganu menggunakan tema ‘Sport Tourism’.
25 Aug 19
134
Empty Image
MPPK Digesa Bersedia Hadapi Musim Tengkujuh
Oleh : Hidayah AzlinSETIU, 25 Ogos - Seluruh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi digesa bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh dengan memastikan semua kediaman penduduk tidak mengalami kerosakkan.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, proses membaik pulih kediaman rakyat mestilah dilakukan secara teliti dan bersama supaya masalah kerosakkan tidak berlaku pada musim tengkujuh nanti.Ujarnya, proses pembaikian rumah terutamanya atap akan dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung kerana ia dapat menjimatkan kos dan memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat.“Peruntukan khas daripada pejabat Exco akan disalurkan sebanyak RM5,000 untuk satu MPKK, melalui jumlah itu MPKK perlu bincangkan untuk berapa rumah yang boleh dibaiki. “Insya-Allah, kita akan cuba cari duit lagi bagi mencukupkan RM200,000 di seluruh DUN Jabi dalam tahun ini,” jelasnya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Gotong-royong Keceriaan MPKK Kerandang di Perkarangan Surau Nurul Huda, Jabi, di sini kelmarin.Ujar beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, sekitar 180 buah rumah dalam Dun Jabi akan dibaiki untuk tahun ini.“Sebenarnya apabila masuk kampung masih terdapat banyak lagi (rumah) yang tidak dibaiki. Ini yang terjadi apabila kita berfikir secara menyeluruh, satu persatu kampung,” katanya.Menurut beliau lagi, kecaknaan dan kecekapan MPKK terhadap sesuatu isu dalam kampung yang semakin menyerlah akan membawa impak positif terhadap pimpinan negeri.“Semua benda yang berkait samada bencana haruslah diselesaikan secara bersama. Bila selesaikan dengan bergotong-royong, kita tidak perlu mengeluarkan inden projek dan ia boleh cepat dan jauh lebih jimat.“Inilah kita sangat berterima kasih dan berbangga di atas kesungguhan MPKK menjaga orang kampung seperti yang kita sebut bukan semua benda perlu dikira projek,” tambah beliau.
25 Aug 19
53
Empty Image
Terengganu Perkenal Tiga Inovasi Baharu
KUALA TERENGGANU: 25 Ogos- Terengganu memperkenalkan tiga inovasi terbaharu yang dibangunkan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  yang akan digunakan pakai dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri mulai hari ini.Inovasi yang dimasudkan adalah Sistem Syit Digital, diperkenalkan Pejabat Tanah Dungun, manakala I-STAR (Pejabat Daerah Kemaman) dan Smartbin Waste Management direka  khas Majlis Daerah Kemaman.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata apa yang membanggakan ketiga-tiga inovasi yang dibangunkan itu pernah menjuarai beberapa pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan .Katanya, melihat inovasi itu dapat membantu memudahkan pelbagai perkara, menjimatkan masa dan mengurangkan kos, pihaknya mengambil keputusan mengunapakai kebaikan itu untuk kemudahan jabatan dan pelanggan.“Sebagai contoh, Sistem Syit Digital  mampu menyelesaikan masalah berkaitan penandaan permohonan tanah yang bertindih dan sukar dikesan dan  I-STAR pula  berupaya merekodkan, menerbitkan data tanah rezab kerajaan.“Manakala Smartbin Waste Management berupaya mengurus pemantauan kutipan sisa pepejaL, mengenalpasti isu kehilangan tong sampah, kutipan sisa tidak mengikut jadual dan merekodkan pelbagai data penting,”katanya.Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran ketiga-tiga inovasi itu, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.Dr Ahmad Samsuri berkata, dia bercadang mahu memperkenalkan pertandingan KIK Piala Menteri Besar bertujuan memastikan agenda inovasi menjadi keutamaan di Terengganu.“Saya percaya langkah itu bukan sahaja dapat melahirkan ketua jabatan dan kakitangan berfikiran kreatif malah membantu menaikkan imej jabatan kerajaan di mata masyarakat luar, “katanya.
25 Aug 19
249
Empty Image
Pameran LATerasi Tingkat Pengetahuan Dalam Kewangan
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Pameran LATerasi Kewangan menyediakan platform pendidikan berkaitan kewangan kepada seluruh peringkat masyarakat termasuk generasi muda.Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif yang diperkenalkan oleh Bank Negara itu merupakan ruang pendidikan terbaik kepada golongan tua, muda termasuk kanak-kanak yang harus mendapat maklumat lengkap berkait dengan kewangan.“Usaha ini sangat bermanfaat dan saya berharap orang ramai dapat meluangkan masa berkunjung ke pameran ini bagi menimba ilmu dan mengetahui tentang pengurusan kewangan yang betul.“Terima kasih kepada pihak Bank Negara dan Muzium Negeri Terengganu yang menganjurkan program ini dan sekalung penghargaan juga kepada kartunis tersohor Datuk Lat yang sudi memperagakan hasil tangan beliau untuk tatapan masyarakat di Terengganu,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran Pameran LATerasi Kewangan 2019 di Kompleks Muzium Negeri Terengganu, hari ini.Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar; Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Che Mohd Azmi Ngah dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya.Dalam perkembangan sama katanya, semua pihak harus memainkan peranan dalam usaha membanteras kegiatan penipuan kewangan.“Selain agensi penguatkuasaan, orang ramai juga perlu peka terhadap kes-kes penipuan kewangan termasuk membuat laporan kepada pihak berkaitan sekiranya melihat berlaku penyelewengan dan sebagainya,” ujarnya.Pameran bergerak anjuran Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia dengan kerjasama Kompleks Muzium Negeri Terengganu itu akan dibuka kepada orang ramai di Muzium Terengganu bermula esok sehingga 29 Februari tahun hadapan.LATerasi Kewangan bakal menggamit kenangan  kepada pengguna ‘Buku Wang Saku’ dan kepada mereka yang terlibat dalam usaha mempromosikan pengurusan kewangan sebagai kemahiran hidup yang penting sejak dari usia muda lagi.Selain menghargai karjya seni kreatif Datuk Lat, pengunjung juga akan diterapkan dengan mesej-mesej penting dalam pengurusan kewangan berhemat untuk diamalkan dalam aktiviti kewangan seharian.
25 Aug 19
54
Empty Image
Tiga Selebriti Dakwah Hangatkan Ambang Merdeka Terengganu
Ariffin Deraman.KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-62 tahun pada 31 Ogos, Kerajaan Terengganu akan mengadakan malam Ambang Merdeka Sayangi Malaysiaku 2019 di Dataran Shah Bandar, 30 Ogos ini.Tiga Selebriti Dakwah terkenal, Ustaz Haslin ‘Bollywood’, Ustaz Syed Kadir Al-Jofry, dan Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang bakal membuat penampilan dalam slot bicara santai pada malam merdeka tersebut.Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata pihaknya menjangkakan lebih 3,000 rakyat Terengganu akan hadir untuk menyaksikan gandingan  ketiga-tiga selebriti berkenaan.“Insya-Allah slot pengisian rohani ini, ia bakal menarik kedatangan lebih ramai rakyat Terengganu termasuk anak-anak muda.“Kita juga akan teruskan sambutan ambang kemerdekaan ini dengan persembahan bunga api sama seperti tahun-tahun sebelum ini, tahun lepas ia mendapat sambutan yang hebat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat mingguan EXCO di sini hari ini.Dalam perkembangan sama, beliau berkata sambutan Hari Kebangsaan 2019 akan menampilkan sedikit kelainan berbanding tahun sebelumnya, dengan perarakan beca oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama-sama barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMKN).Tambah beliau, jumlah penyertaan kontinjen daripada jabatan kerajaan, agensi swasta, institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah juga lebih ramai pada tahun ini, berbanding tahun lalu.“Setakat ini, hampir 100 kontinjen dengan anggaran 3,000 peserta sudah pun mendaftar untuk menyertai perarakan dan kita jangka jumlah itu akan bertambah dalam tempoh dua tiga hari lagi.“Kita juga jangkakan keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail di Batu Burok pada 9.30 pagi untuk bersama-sama meraikan sambutan hari yang penuh bersejarah ini,” katanya.
24 Aug 19
96
Empty Image
1,336 Nelayan Kuala Nerus, Setiu Terima Impak Tukun Tiruan
Azman (tengah) menyaksikan kerja menurunkan tukun dasar lembut di perairan Terengganu.Oleh : Hidayah AzlinSETIU, 25 Ogos - Sebanyak 23 unit tukun kuboid yang dilabuhkan di dua lokasi pada tahun ini berjaya memberi impak kepada 1,336 nelayan di kawasan berkenaan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek yang melibatkan kos sebanyak RM450,000 akan memberi manfaat jangka panjang masing 843 dan 493 di Setiu serta Batu Rakit, Kuala Nerus. “Daripada jumlah itu kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM150,000 selebihnya tanggungan daripada kerajaan persekutuan dengan berat hampir 19 tan metrik seunit.“Tukun yang dilabuhkan ini berfungsi untuk memperkayakan sumber dengan menarik ikan supaya datang ke kawasan perairan akhirnya menjadi sumber tangkapan nelayan-nelayan kita, ia juga boleh menjadi penampan untuk mengelakkan pencerobohan daripada pukat tunda,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Program Melabuh Tukun Negeri Terengganu 2019 di Merang, di sini baru-baru ini. Tambah beliau, pihaknya menyasarkan aktiviti berkaitan tukun tiruan dan unjang dapat dilaksanakan sebelum tiba musim tengkujuh atau selewat-lewatnya pada penghujung Oktober ini.Tukun kuboid.“Hujung bulan Ogos ini ada satu lagi program melabuhkan unjam di kawasan Setiu bermakna hanya berbaki untuk daerah Kemaman sahaja lagi yang belum ada lagi program melabuh unjam atau tukun,” tambah beliauSementara itu, menurut Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali yang turut hadir berkata, kajian Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) Terengganu mendapati lokasi tukun dilabuhkan kerajaan negeri telah memberi kesan positif kepada biodiversiti pelbagai spesies ikan.Menurutnya, spesies ikan selepas 45 bulan tukun dilabuhkan di lokasi kajian didapati bertambah dari 15 kepada 109 spesies membabitkan 76 spesies komersial dan 33 spesies batu karang.“Sebanyak 32 spesies ikan komersial dan 14 spesies ikan batu karang pula direkodkan yang aktif di tukun keluli selepas dilabuhkan perairan Terengganu,” katanya.
24 Aug 19
1578
Empty Image
1,545 Atlet Bakal Beraksi Di SUTERA 2019
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Seramai 1,545 atlet dari lapan daerah bakal berentap untuk Sukan Negeri Terengganu (SUTERA) yang akan diadakan pada 5 hingga 9 September ini bagi mengekalkan prestasi Terengganu sebagai negeri kuasa sukan utama di negara ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia berkonsepkan sukan untuk semua, melibatkan atlet pelapis (had umur) dan juga atlet elit (terbuka) di Terengganu.Katanya, sukan ini terbuka hanya terbuka kepada rakyat negeri Terengganu sahaja  atau yang bermastautin di negeri ini serta penganjuran SUTERA yang diadakan secara dwi tahunan dan  berselang seli dengan penganjuran Sukan Malaysia(SUKMA) turut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM132,000.“SUTERA merupakan sukan yang julung kali diadakan di Terengganu dan ia akan berlangsung pada 5 hingga 9 September di Kompleks Sukan Negeri , Gong Badak selama empat hari.“Juara pasukan keseluruhan akan membawa pulang wang berjumlah RM70,000 dan naib juara sebanyak RM45,000 manakala tempat ketiga sebanyak RM15,000.Bagi Olahragawan dan olahragawati pula akan menerima RM1,000 hadiah kemenangan setiap seorang .“ katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Induk Kali Kedua Sutera 2019 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.Menurut beliau, terdapat 13 acara sukan yang akan dipertandingkan dalam SUTERA 2019 yang mana tujuh  daripadanya adalah acara wajib dan enam lagi merupakan acara pilihan daerah-daerah yang telah dipersetujui.Tambahnya lagi, SUTERA bakal menghidupkan kembali peranan Majlis Sukan Daerah yang sudah lama menyepi dengan penganjurannya termasuk menjadi medium bagi mengaktifkan atlet yang berusia 21 tahun ke atas menggunakan platform SUTERA  untuk meneruskan karier mereka.“Dalam pada masa yang sama, kita mahu membentuk masyarakat yang aktif , sihat, berdisiplin dan bersatu padu di kalangan rakyat dimana kita mensasarkan  SUTERA  2019  sebagai satu platform kepada  para belia atau remaja  dengan menjadikan sukan sebagai satu  kaedah yang terbaik bukan sahaja mengisi masa mereka  tetapi boleh dijadikan impian ataupun  mengejar cita-cita kerana kita tahu sukan pada hari ini bukan sekadar  hobi tetapi boleh dijadikan karier untuk  masa depan masing-masing,” ujarnya.
24 Aug 19
43
Empty Image
Forum Harmoni Rai Kepelbagaian Penganut Agama Terengganu
Forum harmoni bagi mencari punca dan solusi dalam isu perpaduan.KUALA NERUS, 24 Ogos – Kerajaan negeri menerusi Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) menganjurkan forum harmoni bertajuk 'Keharmonian Ejen Perpaduan Dalam Masyarakat Malaysia' hari ini.Pengarah Akademi DUAT, Muhammad Ramlan Mahmood berkata, pihaknya mengorak langkah menganjurkan program tersebut setelah menyedari masalah perpaduan kian meruncing dalam masyarakat pada masa kini.Jelasnya, forum yang menampilkan beberapa ahli panel berkaliber itu berfungsi untuk merungkai segala persoalan dan perselisihan faham dalam isu agama dan kaum.“Kita nak bagi pendedahan kepada masyarakat khususnya rakyat Terengganu melalui DUAT yang kita rasa kali pertama dianjurkan oleh badan dakwah dalam negeri ini.“Program seumpama ini mampu memberi kefahaman kepada semua rakyat terutamanya berkait dengan isu perbandingan agama seterusnya menjadi solusi agar rakyat terus berpadu tanpa mengira latar agama,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan forum tersebut di Dewan Auditorium, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong badak, di sini hari ini.Ramlan (kiri) memberi cenderamata kepada Wong Choon Kheng.Mengulas lanjut, Ramlan menegaskan, diskusi atau dialog antara agama adalah  jalan terbaik untuk memulihkan kembali perpaduan yang dirobek oleh pihak berkepentingan.Katanya, hasrat mewujudkan masyarakat yang harmoni dalam kepelbagaian agama dan kaum sememangnya menjadi keutamaan kerajaan negeri.“Berikutan keresahan-keresahan yang berlaku pada hari ini, kita (DUAT) mengambil satu pendekatan terbaik untuk mengharmonikan masyarakat dengan kita mengadakan perbincangan secara ilmu dan hujah.“Ia bukan bertujuan untuk mencari siapa betul dan siapa salah, tetapi kita mahu setiap orang walaupun berbeza agama membantu kita untuk memperkasakan masyarakat dan negeri,” tambah beliau.Kata Ramlan lagi, program mencari titik kesatuan antara setiap agama dan kaum tidak akan terhenti setakat itu, selepas ini pihaknya akan turun ke setiap persatuan agama bagi melakukan perbincangan.Forum yang dihadiri kira-kira 200 peserta itu menampilkan Presiden Persatuan Buddha Terengganu, Wong Choon Kheng, Pensyarah Pusat Pengajian Islam Kontemporari UNISZA, Prof. Dr. Engku Zaki Engku Alwi, Pensyarah Pusat Pengajian Usuluddin UNISZA, Dr. Aman Daima Md Zain dan Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran.
24 Aug 19
219