Artikel "Utama" Terkini
TW Bakti, Coara Solar Tandatangani Perjanjian Bagi Projek Pembangunan Solar
KUALA TERENGGANU, 1 Mei – Anak syarikat Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), TW Bakti Sdn Bhd dan Coara Solar Sdn Bhd. menandatangani perjanjian bagi projek pembangunan solar berkapasiti 250MW di Besul, Dungun.
Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengarah TW Bakti Sdn Bhd, Dato’ Dr. Alias Razak serta wakil dari Coara Solar Sdn Bhd, Mr. Harald Hemming dan Mrs. Susan Enin Dickman dalam satu majlis yang diadakan di Duyong Marina & Resort, baru-baru ini.
Alias dalam satu kenyataan yang dikeluarkan LTAWNT memaklumkan, nilai pelaburan untuk projek berkenaan dianggarkan sebanyak RM650 juta.
“Projek ini dijangka akan dimulakan pada pertengahan tahun 2026 dan diharapkan dapat memberikan impak positif yang besar kepada kerajaan negeri, ekonomi, dan masyarakat setempat.
“Selain dapat mencipta peluang pekerjaan, mengurangkan kos tenaga, meningkatkan pelaburan, serta menyumbang kepada usaha perubahan iklim, pembangunan ini bukan sahaja memberi manfaat jangka panjang kepada Terengganu, tetapi juga kepada Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya dalam kenyataan itu.
Tambah beliau, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan sektor tenaga boleh diperbaharui di Malaysia dan mendukung komitmen negara dalam mencapai matlamat perubahan iklim global.
01 May 25
854
Sultan Terengganu Dirai Majlis Jamuan Negeri
KUALA TERENGGANU, 1 Mei - DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Jamuan Negeri Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan Baginda di Wisma Darul Iman, semalam.
Baginda berangkat tiba pada jam 9.00 malam diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.
Turut mengiringi baginda ialah paduka-paduka anakanda iaitu Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Tuan Faizah Tuan Ab Rahman bersama Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia dan isteri, To' Puan Wan Radziah Wan Mokhtar.
Majlis jamuan dimulakan sekitar jam 9.15 malam dengan alunan lagu Selamat Sultan dan persembahan tarian Selamat Datang oleh pelajar-pelajar Sekolah Kebangsaan Wakaf Tapai.
Seterusnya, Sultan Mizan berkenan menerima persembahan ucapan daripada Dr. Samsuri dan memotong pulut kuning sebelum bermula santapan.
Majlis yang dihadiri 550 tetamu jemputan itu diserikan dengan persembahan nyanyian Raja Balada Malaysia, Datuk Jamal Abdillah, Noor Azmade Salleh dan Walek Rosed.
Pada jam 10.25 malam, Tuanku dan Sultanah Nur Zahirah bersama paduka-paduka anakanda berkenan mencemar duli menerima mengadap para tetamu jemputan yang hadir sebelum berangkat pulang.
01 May 25
176
Tak Sangka! Penghisap Vape ‘On’ Dengan Langkah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 30 April - Cadangan kerajaan Terengganu untuk mengharamkan penjualan dan penajaan produk vape mendapat reaksi positif daripada penghisap vape di negeri terbabit.
Menurut Aiman, 22 (bukan nama sebenar), walaupun berat untuk diterima namun ramai yang mengakui ia langkah berani demi kesihatan dan masa depan generasi akan datang.
Katanya yang telah menghisap vape sejak tiga tahun lalu, keputusan itu mungkin sukar diterima oleh penggemar vape, namun beliau yakin ia membawa kebaikan.
“Saya tak nafikan mula-mula dengar memang rasa berat hati sebab dah terbiasa dengan vape. Tapi bila fikir balik, ini mungkin peluang untuk saya berhenti.
“Kadang-kadang benda yang kita tak suka tu, sebenarnya baik untuk kita,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) malam tadi.
Dalam pada itu, bagi pekerja syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Zamri, 38, berkata, sebagai ayah kepada dua anak, dia sendiri tidak mahu anak-anaknya terdedah kepada budaya vape yang kian menular.
“Saya sendiri hisap vape, tapi kalau anak saya buat, saya pun marah.
“Jadi bila kerajaan nak haramkan, saya sokong. Demi anak-anak juga. Jangan guna alasan nak elak rokok, sebab saya tengok ada juga kawan yang hisap vape tapi rokok pun tak tinggal,” jelasnya.
Sementara itu, Hafiz Mohamad, 35, yang baru berjinak-jinak dengan vape beberapa tahun lalu turut menyatakan sokongan.
“Saya percaya langkah pengharaman ini mampu mengekang ketagihan nikotin yang kini semakin menular dalam kalangan anak muda.
“Saya tak bangga pun hisap vape. Kalau kerajaan haramkan, saya setuju, tempoh masa pun tidak secara mengejut. Dulu kita tengok orang hisap rokok pun risau, sekarang budak sekolah pun dah berani hisap vape.
“Ini bukan budaya sihat, orang lain sebagai bapa dan datuk pun saya yakin tak nak tengok cucu saya ikut jejak yang sama,” ujarnya.
Terdahlulu, beberapa hari lepas Kerajaan Negeri Terengganu memaklumkan untuk mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penajaan produk vape bermula 1 Ogos 2025.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif itu sebagai sebahagian daripada usaha menangani masalah kesihatan awam serta ketagihan nikotin.
“Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pengusaha dan pekerja di premis vape yang terjejas, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus-kursus keusahawanan serta peluang perniagaan.
"Ia bagi membantu mereka beralih kepada sektor perniagaan yang lebih mampan dan selamat," ujar beliau.
Langkah diambil Kerajaan Terengganu ini menimbulkan banyak reaksi dalam kalangan masyarakat dan golongan profesional, rata-rata menyokong penuh inisiatif itu.
30 Apr 25
369
Terengganu Tarik Pelaburan Komited RM1 bilion Sehingga Suku Pertama 2025
KUALA TERENGGANU, 29 April - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya memudahcara pelaburan komited berjumlah RM1 bilion di Terengganu setakat suku pertama tahun 2025.
ECERDC dalam kenyataan hari ini berkata, angka itu mewakili 43 peratus daripada sasaran pelaburan sebanyak RM2.4 bilion yang ditetapkan untuk negeri tersebut tahun ini.
Menurut ECERDC, sebahagian besar daripada pelaburan itu didorong oleh sektor pelancongan, yang mengukuhkan kedudukan Terengganu sebagai hab strategik untuk inisiatif pelancongan bernilai tinggi.
Selain pelancongan, pelaburan tersebut turut merangkumi sektor utama lain seperti pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.
Ia sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap kepelbagaian ekonomi dan potensi pembangunan negeri tersebut.
“Pelaburan komited ini mewakili sebuah langkah penting dalam transformasi pelancongan dan pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Antara projek di bawah pelaburan komited ini termasuklah ladang solar fotovoltaik berkapasiti 60MW yang telah diintegrasikan dengan projek pertanian, fasiliti pemprosesan Ammonium Paratungstate, serta pusat pengumpulan dan rawatan sisa.
“Projek lain yang sedang dilaksanakan adalah ladang tenusu yang disokong oleh penanaman rumput napier dan sistem biodigester, serta fasiliti pengeluaran Calcined Kaolin,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam kenyataan yang sama berkata, setakat Mac 2025, pelaburan yang telah direalisasikan di Terengganu mencecah RM729.7 juta dan berjaya mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu.
Beliau berkata negeri ini terus meletakkan kedudukannya sebagai destinasi strategik untuk pelabur selain disokong oleh kerjasama erat antara kerajaan negeri, ECERDC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
"Sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama diikuti oleh pelancongan, pertanian dan perkhidmatan.
"Kami komited untuk memajukan inovasi serta pertumbuhan mampan di seluruh sektor utama dari pertanian sehingga pembuatan berteknologi tinggi bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti, merangsang kemajuan ekonomi jangka panjang dan mengukuhkan asas ekonomi negeri," katanya.
29 Apr 25
511
Terengganu Haram Vape Demi Lindungi Generasi Masa Depan
KUALA TERENGGANU, 29 April – Kerajaan Terengganu mengambil langkah berani dan tegas apabila mengumumkan pengharaman penuh terhadap penjualan serta penajaan vape bermula 1 Ogos 2025, sebagai usaha memelihara masa depan generasi muda daripada ancaman kesihatan yang semakin membimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan bahawa kerajaan negeri beriltizam menjaga nyawa, akal dan keturunan rakyat sebagaimana yang digariskan dalam Maqasid al-Syariah.
"Kita wajib mencegah kemudaratan sebelum ia menghancurkan.
"Langkah pengharaman ini bukan bertujuan menyusahkan rakyat, tetapi sebagai rahmat untuk jangka masa panjang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu Kenyataan Media di laman sosial rasmi beliau hari ini.
Beliau menambah bahawa keputusan ini berpandukan prinsip Islam yang menuntut umatnya menghindari kebinasaan, selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 serta sabda Nabi Muhammad SAW mengenai larangan melakukan kemudaratan.
"Mencegah lebih utama daripada mengubati," jelasnya, memetik ayat Al-Quran dan hadis sebagai teras kepada dasar yang digariskan ini.
Tambah Khalil, menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 30 September 2024, sebanyak 41 kes kecederaan paru-paru berkaitan penggunaan vape (EVALI) telah dilaporkan, dengan kos rawatan dianggarkan mencecah RM150,892.11 bagi setiap pesakit.
"Tanpa pencegahan tegas, kos rawatan boleh melonjak kepada RM368 juta setahun menjelang 2030," ujar beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut berkongsi keprihatinan terhadap laporan peningkatan kes komplikasi serius seperti halusinasi dan kebocoran paru-paru dalam kalangan remaja akibat penggunaan vape secara tidak terkawal.
"Apakah kita mahu terus membiarkan racun ini berlegar bebas di tangan anak-anak kita?” soalnya.
Mengakhiri kenyataan, beliau menyeru seluruh lapisan masyarakat, termasuk ibu bapa, pendidik dan NGO, untuk bersama-sama mendukung usaha murni ini demi kebaikan ummah dan negeri tercinta.
"Marilah kita berganding bahu untuk memastikan masa depan yang lebih sihat dan sejahtera untuk semua," ujarnya.
29 Apr 25
139
Fitnah Hina Agong: ADUN Sura Hasrat Heret Zulqarnain Ke Mahkamah
DUNGUN, 29 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin hari ini berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang peguam, Zulqarnain Lukman, berikutan tuduhan liar yang mengaitkannya dengan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, tuduhan tersebut disifatkan sebagai sangat berat, tidak berasas, bersifat jahat dan berunsur niat buruk (mala fide).
"Zulqarnain Lukman secara terbuka telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan seolah-olah saya menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Sedangkan kenyataan asal saya langsung tidak menyentuh, apatah lagi menghina mana-mana Raja atau institusi DiRaja," tegas beliau dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Dr Tengku Muhammad turut menyatakan bahawa tuduhan tersebut mencemar reputasinya sebagai wakil rakyat, selain cuba mencetuskan persepsi buruk dan fitnah ke atas dirinya secara peribadi dan politik.
"Saya kini sedang mengambil langkah undang-undang terhadap Zulqarnain Lukman atas kenyataan liar ini. Jangan gunakan gelaran 'pakar perlembagaan' untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya dan membawa persepsi jahat kepada sesiapa," tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab memelihara institusi Raja-Raja Melayu, tetapi menfitnah sesama rakyat atas nama mempertahan institusi Raja jelas merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Saya akan terus bercakap tentang kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Saya tidak akan tunduk kepada taktik ugutan fitnah seperti ini," katanya.
Terdahulu, kenyataan Zulqarnain diterbitkan dalam portal berita Malaysiakini bertajuk 'ADUN Sura didakwa hasut rakyat kurangkan kepercayaan pada Agong' yang disiarkan pada jam 4.00 petang, semalam.
Zulqarnain di halaman Facebook peribadinya hari ini pula, dilihat seakan-akan menyambut baik hasrat Dr. Fakhruddin dengan hantaran 'Orang menjual kita membeli'.
29 Apr 25
676
60 NGO Sokong Terengganu Sekat Vape
KUALA TERENGGANU, 29 April- Sebanyak 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk bukan Islam seluruh Malaysia menyokong usaha Kerajaan Terengganu memperkukuhkan kawalan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terhadap vape.
Jurucakap Gabungan NGO berkenaan memaklumkan, perluasan skop penguatkuasaan yang akan berkuat kuasa 1 Ogos depan perlu disebarluaskan ke seluruh negara.
”Ini termasuk meneruskan larangan yang sedia wujud untuk tidak mengeluarkan lesen kepada penjualan vape.
”Selain tindakan tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berupa hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.
”Kerajaan tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar vape bagi apa jua penganjuran acara melibatkan kerajaan negeri dan tidak membenarkan iklan vape dipamerkan,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, gabungan NGO Seluruh Malaysia juga berpendapat peluasan skop larangan PBT ini adalah wajar mengambil kira situasi semasa yang semakin tidak terkawal.
”Ini kerana, vape mengandungi dadah sintetik berbahaya dan penyalahgunaan vape dikaitkan dengan dadah dan boleh menyebabkan kematian.
”Kami juga menyokong usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan pengusaha dan pekerja kedai vape melalui tawaran latihan keusahawanan alternatif yang lebih selamat serta peralihan selama tiga bulan sebelum penguatkuasaan penuh,” ujarnya.
29 Apr 25
323
Sultan Mizan Sokong Penuh Usaha Kerajaan Negeri Perkasa Syariah
KUALA TERENGGANU, 27 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyokong penuh usaha kerajaan negeri dalam memperkasa syariah di negeri terbabit.
Sehubungan dengan itu, Baginda menyeru kerajaan negeri agar terus memberi penekanan kepada pemerkasaan syariah sebagai salah satu agenda utama di Terengganu.
Baginda menzahirkan sokongan terhadap inisiatif tersebut yang meliputi pemantapan undang-undang, pemerkayaan ilmu serta penambahbaikan fasiliti agar selaras dengan keperluan dan perkembangan semasa.
"Sehubungan itu, bagi memastikan peluang keadilan yang setara serta memperkasakan bidang kuasa dan fungsi kehakiman syariah yang merupakan bidang kuasa eksklusif negeri, struktur sistem kehakiman Mahkamah Syariah Terengganu akan ditambah baik.
"Daripada tiga peringkat sedia ada, sistem ini akan diperluaskan kepada empat peringkat kehakiman dengan penubuhan sebuah Mahkamah Tertinggi yang dinamakan sebagai Mahkamah Utama Syariah.
"Penambahbaikan itu akan memberi ruang kepada sistem perundangan syariah yang lebih berkesan dan berintegriti, sekali gus menjamin keadilan serta kesejahteraan rakyat," titah baginda.
Baginda bertitah demikian di Istiadat Pengurniaan Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini.
Sultan Mizan juga menzahirkan harapan agar perancangan pembinaan Mahkamah Syariah di Kemaman dan Setiu dapat dilaksanakan dengan segera demi menjamin kelancaran urusan perundangan serta memberikan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.
Baginda juga menyeru agar pentadbiran negeri terus diperkasa bagi memastikan kemajuan berkekalan dan hasil negeri dapat ditingkatkan secara mampan.
Titah baginda, pegawai yang berkaliber bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, malah berkeupayaan mengenal pasti peluang-peluang baharu bagi menjana pendapatan kepada negeri.
"Beta yakin bahawa pegawai yang cekap, berilmu dan berkemahiran tinggi mampu melaksanakan tugas dengan penuh berkesan.
"Ia termasuk dalam merancang strategi kutipan hasil, mengurus sumber negeri secara optimum serta memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan tegas dan saksama, "titah baginda.
27 Apr 25
4358
Gabungan Doktor Sokong Terengganu Larang Jual Vape
KUALA TERENGGANU, 25 April - Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Cawangan Terengganu menyambut baik keputusan kerajaan negeri untuk melarang penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Ogos 2025.
PAPISMA menegaskan bahawa langkah kontroversial tersebut amat penting bagi menyemai budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Terengganu.
Pengerusi PAPISMA, Dr. Hazizul Helmy Hamad@Ahmad berkata, langkah ini disifatkan sebagai tindakan berani dan selari dengan Kempen Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR).
"Sebagai sebuah pertubuhan profesional yang menghimpunkan para pengamal perubatan muslim, PAPISMA percaya bahawa kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama.
"PAPISMA mengajak semua pihak termasuk komuniti kesihatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakyat negeri Terengganu untuk bersama-sama menyokong dasar ini dan memperkuatkan lagi pelaksanaan TBAR, demi mencapai matlamat Terengganu Sihat, Terengganu Sejahtera.
"Menjadikan tempat awam dan kawasan komuniti bebas asap rokok dan vape dan usaha mengawal penjualan vape merupakan tindakan tepat dalam melindungi generasi muda daripada ketagihan nikotin dan risiko penyakit kronik," katanya dalam satu kenyataan melalui hantaran laman sosial media rasmi PAPISMA.
Tambahnya, PAPISMA juga menyokong sepenuhnya enam keputusan utama kerajaan negeri, seperti pengekalan dasar lesen perniagaan yang tidak meluluskan aktiviti penjualan vape, pemerkasaan syarat lesen dan penguatkuasaan terhadap premis tidak berlesen, serta penolakan tajaan dan iklan dari syarikat pengeluar produk vape dalam sebarang program kerajaan.
Beliau turut menyokong penuh sokongan kebajikan kepada pengusaha dan pekerja kedai vape menerusi latihan keusahawanan serta penawaran alternatif bisnes yang lebih selamat bagi memastikan tiada golongan terjejas secara langsung akibat larangan tersebut.
Pemberian tempoh peralihan selama tiga bulan sebelum penguatkuasaan penuh turut dipuji kerana memberi ruang kepada semua pihak untuk menyesuaikan diri dan memastikan pematuhan menyeluruh.
Dr. Hazizul Helmy Hamad@Ahmad
27 Apr 25
649
Emy Niar Pecah Dominasi Lelaki, Menyadat Nira
HULU TERENGGANU, 27 April – Emy Niar Zurkanai, 33, ibu muda kepada tiga anak, membuktikan bahawa wanita juga mampu memecah tradisi apabila dia menjadi satu-satunya wanita tukang sadat nira di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu.
Kebolehan tersebut sekaligus menangkis stigma bahawa pekerjaan itu hanya sesuai untuk lelaki.
Keinginan untuk membantu suami dalam memenuhi keperluan keluarga mendorong Emy Niar untuk mencuba sesuatu yang baru – menyadat nira.
Walaupun kerja ini lebih sering dianggap tugas lelaki, dia tidak berputus asa dan mempelajari teknik-teknik penting untuk menjadi tukang sadat nira yang mahir.
"Saya mula-mula ragu-ragu, tetapi demi keluarga, saya tekad untuk mendalami bidang ini. Saya percaya wanita juga mampu berjaya dalam pekerjaan yang menuntut kekuatan fizikal dan ketekunan," katanya penuh semangat.
Meskipun kerja menyadat memerlukan keberanian tinggi serta risiko keselamatan, Emy Niar tidak gentar.
Dengan bantuan suami yang berpengalaman, ibu mudah itu mempelajari teknik memanjat, menyadat dan menguruskan air nira yang mudah rosak sekiranya tidak dikendalikan dengan betul.
"Mula-mula memang rasa takut, terutama ketika perlu berdiri di atas tangga dengan keadaan tanah yang tidak sekata, tetapi saya percaya dengan latihan dan berhati-hati, semua orang boleh melakukannya.
"Pada peringkat awal penglibatannya, Emy Niar mengakui sering menerima keraguan mengenai kemampuan seorang wanita untuk melakukan kerja-kerja berat ini. Namun, sejak kecil, Emy Niar memang seorang yang lasak, jadi dia tidak mudah patah semangat.
"Ada yang mempertikaikan kemampuan saya sebagai wanita untuk melakukan kerja kasar seperti ini. Namun, saya abaikan sahaja. Saya percaya, dengan usaha dan niat yang ikhlas, segala cabaran boleh diatasi," tambahnya.
Setiap hari, Emy Niar akan memanjat antara 20 hingga 25 batang pokok kelapa bermula seawal 8 pagi.
Menurutnya, kerja menyadat bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal, malah ketelitian dalam menjaga kualiti nira.
"Kalau lambat kutip, nira akan menjadi masam. Kalau tidak bersih, orang tidak mahu beli. Jadi saya jaga semua itu sebaik mungkin," jelasnya.
Selain menjual nira segar, Emy Niar turut menghasilkan produk hiliran berasaskan nira seperti kopi nisan dan nisan nira, yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tetap dan pengunjung luar kawasan.
Usaha gigih Emy Niar nyata membuahkan hasil lumayan apabila beliau dan suami kini mampu memperoleh pendapatan sekitar RM18,000 sebulan, dan angka itu boleh mencecah RM30,000 sebulan pada bulan Ramadan berikutan peningkatan permintaan terhadap produk nira.
Kini, hasil titik peluhnya bukan sahaja menjana pendapatan yang stabil, malah turut membuka mata penduduk setempat bahawa wanita juga berupaya memikul tanggungjawab berat dalam bidang kerja tradisi.
Emy Niar kini menjadi lambang kekuatan wanita luar bandar, membawa inspirasi bahawa semangat tidak mengenal batasan jantina mahupun tradisi. Beliau yakin bahawa dengan usaha dan semangat, tiada pekerjaan yang mustahil untuk wanita.
Pesanannya kepada golongan muda, terutamanya wanita, adalah agar tidak malu untuk menceburi bidang ini.
"Selain memberi sumbangan kepada warisan tradisi, ia juga menawarkan potensi pendapatan yang lumayan jika dilakukan dengan penuh komitmen dan usaha," jelasnya.
Dengan keyakinan itu, Emy Niar berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menceburi bidang penyadatan nira, memastikan warisan ini terus hidup dan berkembang.
"Saya mahu buktikan bahawa tidak ada halangan bagi wanita untuk berjaya dalam bidang ini," katanya penuh yakin.
27 Apr 25
288