Artikel "Utama" Terkini
TFC Sangkal Dakwaan Gaji Mamut Sangkut
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Terengganu Football Club (TFC) menyangkal dakwaan berkenaan kegagalan kelab tersebut membayar gaji hampir sembilan bulan kepada penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut, yang tular di beberapa media sosial pada Ahad.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan TFC semalam, kelab gergasi pantai timur itu mendakwa isu berkenaan tidak diperolehi dari sumber yang tepat.
"Pihak TFC sentiasa menjaga kebajikan dan sentiasa memberi peluang kepada semua pemain untuk berbincang mendapatkan jalan yang terbaik demi kesejahteraan dan kebaikan pasukan.
"Jika ada sebarang perkara yang tidak dijelaskan sama ada gaji dan hal-hal lain, saluran yang betul boleh digunakan sebagaimana termaktub di dalam perjanjian kontrak yang telah dipersetujui serta menunjukkan sikap profesional.
"Pihak TFC berharap agar isu ini tidak dimainkan serta digembar gemburkan yang akhirnya memberi tanggapan negatif kepada peminat serta Liga Malaysia secara amnya.
"Pihak TFC tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang kepada laman sosial mahupun pihak yang mengeluarkan serta menyebarkan (berita) itu," jelas kenyataan itu.
Kenyataan dikeluarkan TFC itu bagaimanapun tidak menjawab secara jelas tentang isu tunggakan gaji yang berlaku dan penyelesaiannya.
Melalui pemakluman TFC yang disertakan, Ivan Mamut telah menandangani kontrak lanjutan musim 2024/2025 pada Disember 2023.
Namun, kecederaan serius Achilles Tendon sekitar Mac 2024 menyebabkan beliau tidak dapat bermain. Atas kehendaknya dan persetujuan dari TFC, Mamut melakukan rehabilitasi di negaranya iaitu Croatia dengan alasan ia lebih baik. Bagaimanapun, pihak perubatan TFC mendapati kecederaan yang dialami tidak ada perubahan setelah beliau kembali ke pasukan pada Mei 2024.
Beliau sekali lagi memohon kepada pihak TFC untuk pulang dan ingin melakukan pembedahan serta pemulihan disana pada Julai 2024 dan ketika melapor diri kepada TFC p[ada Januari 2025, beliau didapati tidak cergas sepenuhnya yang menyaksikan penyerang tersebut tidak mampu menyumbang apa-apa minit kepada perlawanan rasmi Liga Malaysia pada musim 2024/2025.
07 May 25
154
Digantung FIFA? TFC Cakap Dah Selesai
KUALA TERENGGANU, 6 Mei - Belum surut isu dakwaan tunggakan gaji Ivan Mamut, Terengganu Football Club (TFC) digemparkan lagi dengan tersebar satu tangkap layar memaparkan status semasa kelab Pantai Timur berkenaan dikatakan digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
TFC mengeluarkan kenyataan baharu tentang isu berkenaan hari ini, menggesa isu sekatan pendaftaran pemain oleh FIFA atau FIFA Transfer Ban tidak dimainkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
"Perkara ini telah diselesaikan sepenuhnya oleh pihak TFC pada April 2025 yang lalu. Ia melibatkan bekas pegawai asing pasukan dengan TFC apabila timbul sedikit pertikaian berkait bayaran elaun yang melibatkan lima angka sahaja.
"Pengesahan penyelesaian penuh telah diperakui FIFA pada 21 April 2025 dan memberi masa lima (5) hari kepada penuntut mengesahkan bayaran.
"Sepatutnya hal ini tidak timbul oleh kerana tempoh tersebut telah berlalu," jelas kenyataan itu, hari ini.
Tambah kenyatan yang disiarkan, TFC sememangnya mengambil maklum tempoh jendela perpindahan atau pendaftaran pemain Liga Malaysia belum lagi dibuka dan menegaskan tindakan segera telah dilakukan walaupun tempoh masa masih panjang dengan jangkaan kalendar musim baru dibukan pada Julai 2025 sehingga sepak mula kemungkinan awal Ogos 2025.
"Segelintir peminat di laman sosial menularkan isu ini yang seolah-olah berniat memburukan reputasi kelab TFC dan yang mengakibatkan tanggapan kurang tepat serta negatif kepada kelab TFC.
"Diharap semua pihak memahami dan jelas dengan prosedur tatacara kes apabila melibatkan FIFA serta penjelasan yang diberikan pihak TFC," katanya.
07 May 25
244
Yayasan Terengganu Agih Lebih RM5 Juta Hargai Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) telah memperuntukkan lebih RM5 juta sebagai anugerah dan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sejak tahun 1979 sehingga tahun 2023.
Nilai tersebut melibatkan seramai 17,439 pelajar cemerlang SPM, 1,532 pelajar STPM dan 693 pelajar STAM dengan jumlah keseluruhan sebanyak 19,664.
Bagi penyampaian Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu kali ke-44 yang berlangsung semalam, seramai 758 penerima diberikan anugerah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM416,800.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melibatkan 527 penerima peringkat SPM dengan empat pelajar cemerlang dianugerahkan Pingat Emas yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM4,000 seorang.
Manakala, seramai 212 pelajar menerima anugerah bagi peringkat STPM dan 12 pelajar bagi peringkat STAM.
Bagi peringkat ijazah pula melibatkan tujuh orang mahasiswa.
07 May 25
722
Sultan Terengganu Santuni Warga Istimewa dan Fakir Miskin
KUALA TERENGGANU, 6 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Jamuan Bersama Warga Istimewa dan Fakir Miskin sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-63, yang berlangsung penuh istiadat di Dewan Santapan, Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka anakanda, Tengku Seri Setia Mahkota Raja Tengku Dato’ Seri Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin dalam suasana penuh tertib dan kasih rakyat.
Majlis tersebut turut diserikan kehadiran Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.
Pada majlis tersebut, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima, meliputi 200 warga istimewa daripada pelbagai kategori OKU di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 100 ibu tunggal yang diselaras Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan 100 fakir miskin di bawah penyelarasan Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM500 seorang, sebagai tanda kasih dan keprihatinan seorang raja terhadap golongan yang memerlukan perlindungan dan perhatian.
06 May 25
686
Pelajar Imtiaz Raih Anugerah Emas di Universiti Vietnam
KUALA TERENGGANU, 5 Mei - Pelajar sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut berjaya meraih pingat emas kategori Anugerah Inovasi sempena Anugerah Kreativiti dan Inovasi Antarabangsa (ICIA) 2025 yang berlangsung di University of Economics Ho Chi Minh City, Vietnam, baru-baru ini.
Kemenangan tersebut diperoleh menerusi inovasi platform pembelajaran interaktif i-Tasheel Arabic Innovation (i-TAR), hasil usaha pelajar Muhammad Hafizin Fahmi Mohd Hamdan, Ahmad Wajdan Mohd Shafiee dan Nik Muhammad Aqil Syauqi Nik Abdul Halim.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berbangga atas kejayaan mereka yang secara tidak langsung membawa nama Terengganu ke peringkat antarabangsa.
"Pencapaian cemerlang yang membanggakan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna terhadap keupayaan intelektual dan daya inovasi generasi muda Terengganu.
"Semoga menjadi inspirasi buat anak-anak pelajar yang lain serta kebanggaan seluruh warga Negeri Terengganu.
"Teruskan mengorak kejayaan dan pencapaian yang lebih gemilang pada masa akan datang. Syabas," ucapnya dalam satu hantaran yang telah dimuatnaik melalui laman sosial media rasminya, sebentar tadi.
Guru pembimbing pelajar-pelajar tersebut, Muhammad Badruzzaman Hassan berkata,
i-TAR merupakan projek perintis yang bertujuan untuk melahirkan pelajar yang menguasai bahasa al-Quran, iaitu bahasa Arab (Quranik).
"Melalui i-TAR, pelajar dapat memperoleh pengetahuan yang mendalam (Ensiklopedik) dalam mengenal pasti tanda-tanda i'rab dan seterusnya menganalisis (Ijtihadik) baris akhir perkataan dalam al-Quran.
"persembahan i-TAR yang menyusun kandungan utama daripada buku teks ke dalam bentuk jadual dan animasi membantu meningkatkan kefahaman serta minat pelajar dalam mempelajari tatabahasa Arab (nahu)," katanya kepada sebuah akhbar tempatan, dua hari yang lepas.
Tambah Badruzzaman, pasukan di bawah bimbingannya itu turut telah tersenarai dalam 'Top 10 Quality Education Challenge' anjuran Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO).
05 May 25
3638
147 Individu Terima Pingat Sempena Keputeraan Sultan Terengganu Ke- 63
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Seramai 147 individu dikurniakan pingat dalam Istiadat Pengurniaan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke-63.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat mengurniakan pingat pada upacara di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail serta paduka-paduka anakanda iaitu Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja.
Hadir sama Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Seramai enam individu dikurniakan Pingat Jasa Cemerlang (P.J.C) dan 128 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.).
Sementara Bintang Lama Berjawatan (B.L.B) dikurniakan kepada seorang penerima dan 12 individu pula menerima Pingat Lama Berjawatan (P.L.B).
04 May 25
8301
ECE Iktiraf Terengganu Sebagai Hab Sedia Masa Depan Peralihan Tenaga
KUALA TERENGGANU, 4 Mei – East Coast Energy (ECE) 2025, sidang kemuncak peralihan tenaga untuk wilayah Pantai Timur Malaysia yang bakal diadakan buat julung kalinya meletakkan Terengganu sebagai hab peralihan tenaga masa hadapan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, inisiatif yang akan diadakan pada 23 hingga 24 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu mencerminkan komitmen proaktif kerajaan negeri dalam memposisikan Terengganu sebagai hab masa depan bagi peralihan tenaga negara.
“Kami melihat platform ini sebagai mekanisme utama untuk menyelaras dasar awam, inovasi industri dan kerjasama serantau dalam menyokong agenda transformasi tenaga negara.
“Acara ini juga menjadi peluang strategik untuk menarik pelaburan dalam sektor tenaga bersih, meningkatkan kesedaran awam terhadap aspirasi sifar bersih serta menggalakkan kerjasama lebih kukuh di seluruh koridor ekonomi Pantai Timur.
“Terengganu turut komited menerajui agenda tenaga boleh diperbaharui termasuk tenaga suria, teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), hidrogen hijau serta pembangunan infrastruktur mampan,” katanya.
Beliau yang juga Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu berkata demikian di sidang akhbar penganjuran ECE 2025: Inovasi Tenaga, Memperkasa Pantai Timur, baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc., Dato' Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, lebih 800 delegasi termasuk pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia teknologi dan pendokong kelestarian dijangka hadir di program tersebut.
“ECE 2025 bakal menjadi platform utama rantau ini untuk menjalin kerjasama, berkongsi ilmu serta meneroka peluang pelaburan, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh peranan Pantai Timur dalam strategi tenaga nasional,” ujarnya.
Dalam pada itu, Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi Petroleum Nasional Berhad (Petronas), Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, Petronas komited membuka lebih banyak peluang dengan memupuk ekosistem inovasi serta kerjasama berimpak tinggi ke arah masa depan yang mampan.
“Dalam usaha mencapai matlamat kemampanan, inovasi dan kerjasama amat penting.
“Petronas berbesar hati menjadi sebahagian daripada ECE 2025, yang merupakan platform tepat pada masanya untuk menekankan kepentingan strategik Pantai Timur dalam menyokong peralihan tenaga Malaysia,” katanya.
04 May 25
893
Sultan Mizan Minta Jemaah Haji Berdoa Agar Terengganu Terus Diberkati
KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mengharapkan semua jemaah haji dari Terengganu berdoa agar Terengganu terus diberkati, dilimpahi kesejahteraan berpanjangan serta dijauhi daripada sebarang musibah dan bencana.
Dalam titahnya, baginda turut memohon agar turut mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh negara yang diuji oleh Allah dengan musibah seperti banjir, kebakaran atau kemalangan supaya terus diberi kesabaran dalam menghadapi ujian yang pastinya ada hikmah terbaik.
"Doakan juga saudara-saudara se-Islam kita di Palestin dan negara Islam lain yang masih dalam kesukaran agar diberikan kesabaran dan semoga Allah juga memberikan mereka nikmat keamanan," titah baginda.
Titah Sultan Mizan itu dibacakan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili ayahandanya sempena Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji 2025 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, semalam.
Dalam pada itu,Sultan Mizan turut bertitah agar kesemua 142 bakal jemaah haji yang berlepas menerusi penerbangan keempat menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) agar menggunakan kesempatan melakukan ibadah yang terbaik dan sempurna agar dikurniakan haji yang mabrur.
"Ibadah haji merupakan ibadah yang memerlukan pengorbanan daripada segi wang ringgit, masa dan tenaga.
"Oleh itu, beta menasihati para jemaah untuk menggunakan kesempatan menjadi tetamu Allah dengan sebaik-baiknya penuhi masa terluang dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat seperti berzikir, memabaca al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah kerana peluang ini mungkin datang sekali seumur hidup.
"Beta berharap jemaah haji menjaga adab dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara dan hubungan baik Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi," titah baginda.
Terdahulu, Menteri Besar Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ucapannya berkata sebanyak 2,008 jemaah haji dari negeri ini berlepas ke Arab Saudi menerusi lapan penerbangan dengan 495 daripadanya telah selamat tiba di Madinah.
Terdahulu Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu diiringi Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato' Seri Muhammad Mua'az, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Dato' Seri Nadhirah Zahrah dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Dato' Seri Fatimatuz Zahra.
Keberangkatan tiba baginda disambut Ahmad Samsuri Mokhtar dan Isteri, To' Puan Faizah Tuan Ab Rahman bersama Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' Nara Setia dan isteri, To' Puan Wan Radziah Wan Mokhtar.
Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada bakal jemaah haji dalam majlis tersebut.
04 May 25
4336
Harimau Kumbang Mati Dirempuh di LPT2
HULU TERENGGANU, 1 Mei – Detik cemas dialami seorang remaja lelaki apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya melanggar seekor harimau kumbang yang muncul secara tiba-tiba di Kilometer (KM) 387, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) berhampiran Ajil di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 1.15 pagi itu menyebabkan haiwan liar berkenaan mati di lokasi akibat kecederaan parah, manakala remaja berusia 19 tahun tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa ketika itu sedang memandu Toyota Hilux dari Kelantan ke Kemaman sebelum haiwan berkenaan melintas secara mengejut dari arah kanan jalan.
“Pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar harimau kumbang tersebut. Haiwan itu mati di tempat kejadian akibat impak kuat pelanggaran,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Tambah beliau, bangkai harimau kumbang yang merupakan spesies dilindungi itu telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu untuk tindakan selanjutnya.
“Tiada kecederaan dilaporkan terhadap pemandu, namun siasatan lanjut dijalankan di bawah laporan trafik biasa,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar lebih berwaspada terutamanya di kawasan berhampiran hutan yang berisiko menjadi laluan haiwan liar, serta mematuhi had kelajuan yang ditetapkan.
01 May 25
772
RTB Tebing Tembah Bantu Lebih 600 Rakyat Miliki Tanah
KUALA TERENGGANU, 1 Mei – Projek tanaman Kelapa Pandan di Kampung (Kg) Tebing Tembah yang dirancang sejak 2008 kini berubah haluan apabila kerajaan negeri memutuskan untuk membangunkan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah demi keutamaan generasi muda.
Langkah ini dilihat lebih praktikal dan mampu membuka ruang kepada hampir 600 pemohon memiliki rumah sendiri, berbanding meneruskan projek pertanian yang tidak lagi relevan dengan keperluan semasa dan hanya memberi 'keuntungan' kepada 96 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, projek tanaman Kelapa Pandan di tanah milik kerajaan itu sebelum ini melibatkan kawasan seluas 96 ekar dengan rancangan pemberian sekitar satu ekar seorang kepada 96 penduduk Kg Tebing Tembah.
"Pada tahun 2019, satu kertas kerja telah dibawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Tanah Daerah.
"Namun, permohonan tersebut ditangguhkan setelah mengambil kira lokasi tanah yang sangat strategik, berada di tengah kampung serta bersebelahan SMK Dato’ Engku Bijaya Sura dan masjid," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Darul Iman, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata keperluan semasa lebih mendesak kepada penyediaan tapak rumah.
"Kita dapati ramai daripada 96 pemohon asal sudah berusia dan ada yang telah memiliki tanah di lokasi lain seperti Kg. Paya Rengit dan Kg. Cerung Melintang.
"Sebaliknya, lebih 660 anak muda telah memohon untuk memiliki tapak rumah di kawasan ini,” ujar beliau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut menegaskan bahawa keputusan menukar projek itu kepada RTB tapak rumah dibuat berdasarkan realiti kehidupan hari ini.
"Mungkin pokok kelapa pandan masih boleh digunakan buat sementara waktu, tetapi untuk masa depan, tapak rumah lebih penting dan mampu menyelesaikan keperluan hampir 600 orang,” jelasnya.
Beliau turut menarik perhatian kepada kegagalan projek pertanian di kampungnya sendiri, Kampung Pinang Merah, sebagai pengajaran penting.
"Ini juga pernah berlaku di kampung saya sendiri. Rancangan tanaman mempelam seluas kira-kira 100 ekar dibahagikan kepada peserta, seorang satu ekar.
"Tapi sampai sekarang, pokok mempelam pun tidak kelihatan. Sebahagian pula sudah menjual tanah tersebut.
"Kita tidak mahu kesilapan sama berulang, tanah ini mesti beri manfaat sebenar kepada generasi akan datang,” tegasnya.
01 May 25
1853