lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Empty Image
Berita Gembira: MAIDAM Tawar Bantuan Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan bantuan zakat kepada anak Terengganu yang sedang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam dan luar negara.Menurut satu pengumuman yang dikeluarkan MAIDAM bahawa permohonan dibuka mulai 1 Januari lalu hingga 31 Mac ini. Penghantaran “hardcopy” dan dokumen berkaitan perlu dibuat sebelum atau pada 31 Mac 2020.Permohonan dalam dan luar negara perlu dicetak dan dihantar ke daerah masing-masing atau unit pendidikan dan Pengajian Tinggi (UPPT) MAIDAM Kuala Terengganu.Manakala syarat penuh, maklumat lanjut dan cara mohon boleh layari www.maidam.gov.my.Syarat umum permohonan termasuk beragama Islam, baligh dan merdeka, rakyat negeri Terengganu yang menetap di negeri Terengganu atau pemastautin tetap di negeri Terengganu tidak kurang dari tiga tahun berturut-turut sebelum melanjutkan pengajian.“Pemohon masih dalam tempoh pengajian atau penambahan semester. Sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga bulan pengajian daripada tarikh menghantar permohonan ke pejabat,” jelas pengumuman itu.Pemohon juga tidak melibatkan bidang pengajian yang berkaitan industri hiburan yang melalaikan.Pengumuman itu menyebut bahawa permohonan bantuan tidak boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat mana-mana ibu dan bapa pemohon tidak menunaikan zakat kepada MAIDAM.Syarat khusus penuntut IPT dalam negara ialah surat pengesahan pengajian tahun semasa daripada Hal Ehwal Pelajar (HEP), Pointer GPA 3.00 ke atas keputusan peperiksaan Semester 1 Sesi 2019/2020 yang wajib disahkan oleh Bahagian Akademik IPT berkenaan.Pelajar Diploma dan Ijazah boleh memohon sekiranya ada atau tiada pinjaman atau pembiayaan dan tidak bekerja.Pelajar sijil atau matrikulasi atau asasi hanya boleh memohon sekiranya tiada pinjaman atau dermasiswa atau biasiswa atau tidak bekerja. Wajib kepilkan bersama surat pengesahan tiada tajaan yang terkini.Pelajar master atau PhD hanya boleh memohon sekiranya tiada pinjaman atau penbiayaan atau dermasiswa atau biasiswa atau MyBrain atau MyPhD atau tidak bekerja.Pemohon wajib kepilkan bersama surat pengesahan akuan pendapatan yang terkini.Syarat Khusus Penuntut IPT Luar Negara ialah bahawa surat pengesahan pengajian tahun semasa daripada Attase Pendidikan Negeri Terengganu atau Jabatan Penuntut Malaysia atau Kedutaan Besar Malaysia.Pelajar tiada pinjaman atau pembiayaan atau dermasiswa atau biasiswa atau tidak bekerja dan keputusan keseluruhan semester atau tahun pengajian.Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Unit Pendidikan dan Pengajian Tinggi (UPPT) ditalian 09-6223500, Kuala Terengganu (Ibu Pejabat) 09-6303030, (Dungun) 09-8452810, (Marang) 09-6183317, (Kuala Nerus) 09-6622488, (Besut) 09-6975323, (Setiu) 09-6090307, (Hulu Terengganu) 09-6817809, (Kemaman) 09-8594545 dan (Kerteh) 09-8266463.
03 Jan 20
1843
Empty Image
Abdul Hadi Kecam Serangan Ke atas Qassem Suleimani
Qassem Suleimani (kiri) dan Abu Mahdi al-Muhandis (kanan) terkorban dalam serangan udara tentera Amerika Syarikat di Baghdad, Iraq pagi ini.KUALA LUMPUR, 3 Januari – Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengecam serangan ke atas Jeneral Qassem Suleimani di bandar udara antarabangsa Baghdad Iraq.Serentak itu beliau yang juga Presiden PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Al-Marhum Jeneral Qassem Suleimani yang terbunuh dalam serangan yang dilancarkan oleh pihak Amerika Syarikat di Baghdad, pagi ini.“PAS melahirkan rasa kesal terhadap insiden 'keganasan antarabangsa' yang melampaui batas ini, dan mengecam campur tangan pihak Amerika Syarikat dalam urusan dalaman di Timur Tengah yang boleh meningkatkan ketegangan di rantau tersebut.“Semoga roh Al-Marhum Jeneral Qassem Soleimani ditempatkan di kalangan para syuhada dan hamba-Nya yang soleh,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
03 Jan 20
50
Empty Image
Mutu Perkhidmatan Kerajaan Dipertingkat Menerusi SISPAA
Suhailawati (tengah) menunjukkan aplikasi SISPAA.KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Terengganu mahu menjadikan setiap aduan dan cadangan daripada rakyat sebagai pemangkin untuk memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada masyarakat negeri itu.Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Korporat), Suhailawati Saigai berkata, kerajaan telah melaksanakan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) yang diyakini mampu meletakkan aduan rakyat sebagai keutamaan bagi mengenal pasti serta mencari penyelesaian terhadap masalah mereka.Katanya, sebagai contoh aduan seperti jalan berlubang, bantuan kewangan dan pendidikan dapat disalur dan diselesaikan dengan mudah antara kedua-dua pihak sama ada rakyat serta kerajaan negeri atau pihak berkuasa.“Melalui SISPAA ini juga, kita dapat tingkatkan keseragaman sistem di setiap jabatan, supaya maklumat dan manfaat ini boleh disusun dan sampai kepada kumpulan sasar secara teratur.“Ia adalah sistem aduan yang amat mudah digunakan, aduan yang diterima disaring sebelum diagihkan kepada jabatan yang berkaitan. Komunikasi secara dua hala antara jabatan dan pengadu dapat diwujudkan serta fungsi kerahsiaan maklumat pengadu dilindungi sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman hari ini.Mengulas lanjut, Suhailawati memaklumkan, pada tahun lalu sebanyak 97 peratus aduan yang diterima menerusi SISPAA telah berjaya diselesaikan.“Setakat ini banyak aduan berkenaan yang melibatkan isu setempat diselesaikan menerusi jabatan-jabatan yang telah diberikan kepercayaan dan berdasarkan bidang masing-masing.“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri menerima aduan tertinggi dengan 301 aduan setakat Disember 2019 berbanding Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Anak Syarikat Kerajaan Terengganu dan beberapa lagi jabatan utama lain,” tambah beliau. Sebanyak 82 jabatan dan agensi negeri Terengganu telah melaksanakan sistem tersebut bermula pada 1 Januari 2018, orang ramai boleh melayari laman web SISPAA di https://terengganu.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau muat turun aplikasi telefon pintar Reponz Rakyat untuk sebarang aduan, cadangan, pertanyaan dan penghargaan.
02 Jan 20
505
Empty Image
SRIDQ Marang, Hidupkan Budaya Islam
Oleh: Aslam WiraMARANG, 2 Januari - Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRIDQ) Marang memulakan sesi pertama persekolahan tahun baharu 2020 dengan terasnya menerapkan pendidikan Islam di kalangan pelajar.Ketua Mudir SRIDQ Marang, Najmuddin Rani, berkata, sekolah itu ditubuhkan bagi menghidupkan peranannya sebagai penyebar budaya Islam.Katanya, setakat tahun ini, kita sudah mempunyai dua buah kelas dan hanya dibuka kepada Tahun Satu sahaja.“SRIDQ menekankan  tiga sistem pendidikan utama iaitu subjek agama dan pra tahfiz tanpa mengabaikan bidang akademik bersesuaian dengan moto Membina Generasi Bertaqwa.“Semalam merupakan hari pertama persekolahan dan ianya berjalan dengan lancar," katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika meninjau sekolah berkenaan.Sementara itu, bapa pelajar, Mohd Hafizol Mohamad berkata, tujuan utamanya mendaftarkan anaknya supaya dapat menguasai al-Quran, ilmu tauhid, akhlak, sirah dan sebagainya seiring mata pelajaran akademik diterapkan dalam diri masing-masing.“Pengajian al-Quran yang diterapkan dalam sistem pendidikan memudahkan anak-anak lebih faham kepada ilmu akhirat.“Ini juga menjadi impian kepada ibu dan bapa untuk melihat anak mereka yang di dadanya dibudayakan ilmu dan akhlak yang baik,” tambahnya lagi.
01 Jan 20
518
Empty Image
Hari Kedua, Anak-Anak SRIDI Bertambah Ceria
Pelajar perempuan SRIDI.KUALA TERENGGANU, 2 Januari – Sesi persekolahan yang memasuki hari kedua di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam hari ini memperlihatkan keceriaan di wajah pelajar-pelajar.Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, hasil tinjauan yang dilakukannya pagi tadi, kanak-kanak jelas sangat gembira.Katanya, hari ini juga Ibu bapa tiada masalah meninggalkan anak-anak Tahun Satu walaupun masih ada seorang pelajar yang menangis kerana berpisah seketika dengan keluarga.“Saya tinjau ruang setiap kelas memang sangat lega keluasannya. Ada ruang besar untuk aktiviti kelas masing-masing selain ruang kerusi meja pelajar dan guru.“Dan bayangkan, setiap masing-masing kelas ada bilik air dan tandas sendiri. guru kelas tidak perlu bersusah memantau pergerakan pelajar yang ke tandas kerana jauh,” katanya dalam ‘Facebook’ rasminya.Suasana dalam kelas yang dilengkapi kemudahan baharu seperti kerusi dan meja, tidak berlaku sebagaimana didakwa.Menurut beliau, isu kekurangan fasiliti serta kelengkapan yang berlaku semalam tidaklah seteruk seperti yang disangka malah ia telah berjaya diselesaikan dengan pantas.Tambah Ahmad Amzad, ia juga tidak mengganggu pembelajaran serta emosi para pelajar.“Insya-Allah semua bilik kelas pelajar akan dipasang penghawa dingin dalam minggu depan dan saya yakin dalam tempoh yang tidak lama.“Sebaik kelas dilengkapkan dan dihiaskan, ia akan menjadi antara sekolah yg paling selesa dan kurikulum yang terbaik,” jelasnya.Beliau juga memberi penghargaan kepada semua pihak yang membantu mempromosikan SRIDI ke serata negeri dan negara.Ahmad Amzad (dua dari kanan).
01 Jan 20
53
Empty Image
Tiada Kenaikan Bayaran Urusan Tanah Terengganu - Dr Azman
Dr Azman (kiri) tetap menemui rakyat dan menyantuni mereka tanpa mengira  parti mana mereka memberi sokongan. KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Tidak ada kenaikan kadar bayaran urusan tanah akan dikuatkuasakan oleh Kerajaan Terengganu dengan jumlah kenaikan sebagaimana yang diviralkan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kadar fi bayaran pejabat bagi urusan tanah yang diguna pakai oleh negeri Terengganu sekarang adalah kadar fi yang diwartakan pada tahun 1987 dan telah berusia 32 tahun. Katanya, memang ada kajian dan semakan semula kadar fi yang sedang dibuat oleh kerajaan. Jelasnya lagi, kajian semakan semula untuk mencadangkan kadar baru telah dilakukan sejak tahun 2016 lagi. "Ia perlu disemak semula bersesuaian dengan kadar harga tanah semasa sebagaimana negeri-negeri lain iaitu Kelantan (2019), Pahang (2017), Kedah (2016), Johor (2005) dan Selangor (2003)."Tetapi tentunya kepentingan rakyat adalah faktor utama yang akan diambil kira dalam menentukan kadar baru agar ia tidak membebankan," jelasnya dalam satu kenyataan media semalam.
01 Jan 20
58
Empty Image
Pagar SRIDI Siap Mac, Isu Air dan Elektrik Selesai
Para pelajar SRIDI Kuala Terengganu ketika sesi taklimat.KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Kerajaan negeri memberi jaminan isu keselamatan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Kuala Terengganu akan diselia dengan baik.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat ketika mengulas penularan berita berkaitan masalah yang berlaku di SRIDI berkenaan berkata, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) menyasarkan pagar sekolah itu akan selesai dibina Mac nanti.Ketiadaan pagar tersebut dilihat sebagai antara masalah besar berkaitan keselamatan pelajar dan pengurusan SRIDI maklum akan perkara itu.Satiful dan Lothman memberi penjelasan berkenaan SRIDI Kuala Terengganu.“Buat sementara ini, JHEAT menyediakan pengawal keselamatan dan pembantu hal ehwal murid untuk mengawal pelajar-pelajar termasuk lalu lintas di kawasan sekolah itu.“Kami juga telah mewujudkan agihan tugas guru-guru kepada dua sektor tugasan iaitu giliran mengajar dan kawalan keselamatan,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, hari ini.Turut hadir, Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT (Bahagian Pendidikan), Lothman Awang.Jelasnya, prosedur keselamatan itu juga telah diamalkan di SRIDI-SRIDI lain yang diwujudkan sebelum ini sehingga kemudahan sekolah agama milik kerajaan negeri itu siap sepenuhnya.Beliau turut berterima kasih atas keprihatinan wartawan, pihak media dan orang ramai tentang masalah yang berlaku.Air dan elektrik telah disambungkan sebelum sesi persekolahan, hari ini.“Antara masalah yang dibangkitkan adalah ketiadaan air, eletrik serta kemudahan asas seperti kerusi, meja dan alat bantu mengajar.“Air dan eletrik baru hari ini dapat disambungkan sebagaimana disepakati berikutan kekangan prosedur pemilikan bangunan sebelum ini. Ini disebabkan bangunan berkenaan baru dibeli oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu daripada pihak persendirian,” katanya.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu bagaimanapun menyangkal dakwaan ketiadaan kemudahan asas pembelajaran oleh pihak terbabit.“Adapun menggambarkan pelajar yang hanya duduk di atas tikar getah, itu sebenarnya ruang surau yang digunakan untuk aktiviti berkumpulan anak-anak ini.“Sebenarnya, ada ruangan kelas yang terdapat kemudahan alat bantu mengajar iaitu kerusi, meja dan tidak dibuka kerana hari ini hanya membabitkan proses pendaftaran murid, taklimat dan aktiviti berkumpulan sempena ‘minggu transisi’ pelajar baharu,” jelasnya.Guru di SRIDI menunjukkan keadaan kelas yang tedapat kemudahan pembelajaran dan lampu yang menyala.SRIDI merupakan pelaksanaan manifesto kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.Tahun lalu, sebanyak enam SRIDI telah dibuka di enam daerah di seluruh negeri dan kini sebanyak tiga lagi SRIDI dibuka menjadikan jumlah keseluruhan sekolah tersebut yang beroperasi sebanyak sembilan buah.SRIDI juga mengetengahkan pendekatan berbeza apabila menyediakan makanan secara tempahan khas tanpa mewujudkan kantin sebagai pendekatan membekalkan makanan sihat kepada pelajar.SRIDI Kuala Terengganu menerima pendaftaran 110 pelajar tahun ini dengan pengurusan 20 orang guru diperkukuh dengan kemudahan 10 pintu lot rumah kedai yang merangkumi lima kelas, satu bilik guru dan pejabat, dewan solat serta dewan makan. Manakala, terdapat dua ruangan masih belum digunakan.
01 Jan 20
556
Empty Image
Sistem Perisian Direktori Jimat Wang Kerajaan RM362,442
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Kewujudan sistem perisian bagi menggantikan penggunaan direktori dalam buku harian rasmi Kerajaan Terengganu dapat menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM362,442.Menurut rekod, kos tempahan buku harian rasmi itu dari 2013 sehingga 2019 mencatatkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 31 peratus iaitu daripada RM398,445 pada 2013 sehingga RM525,442.00 pada tahun 2018 melibatkan tempahan 14,000 unit buku pada setiap tahun. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pada tahun ini, tempahan dikurangkan kepada 5,000 unit sahaja yang melibatkan kos RM163,000.Katanya, penggunaan sistem yang dibangunkan Unit Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri itu mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM362,442.“Proses pembangunan sistem yang menyediakan capaian kepada maklumat secara efisien dan tersusun ini tidak melibatkan sebarang peruntukan.“Sebaliknya  mampu menjimatkan perbelanjaan seiring prinsip perbelanjaan berhemat yang disarankan oleh pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Sistem I-Direktori Terengganu, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.Katanya, sistem i-Direktori itu boleh diakses menggunakan pautan ttel.terengganu.gov.my. Capaian kepada sistem ini juga turut terdapat dalam Portal Rasmi Kerajaan Negeri Terengganu.“Setakat hari ini, hampir 10,000 maklumat sudah dikemas kini dan dijangka meningkat sehingga 13,000 maklumat yang merangkumi semua jumlah kakitangan Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya.Maklumat yang boleh diperolehi daripada sistem termasuklah nombor telefon, nombor faks, emel jabatan dan emel peribadi kakitangan. Antara pilihan menu dalam sistem tersebut ialah Yang Berhormat, SUK Terengganu, Ketua Jabatan, Jabatan / Agensi Negeri, Jabatan / Agensi Persekutuan, Pejabat Daerah / Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri, Badan Berkanun Persekutuan, Anak Syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Universiti / Institut Pendidikan Negeri Terengganu, Hotel dan Syarikat Utama dan Media.
01 Jan 20
290
Empty Image
Skim Permata Terengganu Sejahtera 2019 Dilanjutkan Hingga 31 Mac Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Tempoh Permohonan Skim Permata Sejahtera 2019 dilanjutkan sehingga 31 Mac ini bagi membolehkan ibu bapa bayi yang dilahirkan tahun lalu membuat permohonan segera.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Hanafiah Mat berkata, borang permohonan skim itu boleh diperolehi di pejabat Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) di lapan daerah di seluruh negeri termasuk Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Besut, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.Katanya semua bayi dilahirkan bermula 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu berhak mendapat manfaat dari skim tersebut dengan syarat ibu atau bapa bayi terbabit mesti rakyat Terengganu yang lahir atau menetap melebihi 10 tahun di negeri ini."Borang permohonan hendaklah dikemukakan bersama Salinan MyKAD ibu dan bapa serta MyKID atau Sijil Lahir Bayi berkenaan," jelasnya ketika dihubungi hari ini.
01 Jan 20
396
Empty Image
Anak Terengganu KSN Baharu
Datuk Seri Mohd Zuki Ali.KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baharu dilantik, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkuatkuasa hari ini."Tahniah diucapkan kepada Yang Berbahagia Datuk Seri Mohd Zuki Ali kerana telah diperkenankan pelantikannya sebagai Ketua Setiausaha Negara yang baharu (oleh Yang Dipertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah)," ujarnya.Beliau yang merupakan anak kelahiran Terengganu amat berpengalaman dalam perkhidmatan awam."Semoga diberikan kemudahan dalam menjalankan amanah ini," tulis Dr Ahmad Samsuri di status facebooknya hari ini.Mohd Zuki sebelum ini menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, menggantikan Tan Sri Dr Ismail Bakar.Pejabat Perdana Menteri menerusi satu kenyataan hari ini, memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas perakuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, memperkenankan pelantikan itu.Mohd Zuki, 58, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura, telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dan mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam.Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.Selain itu, beliau pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Persekutuan Sarawak.Sementara itu seorang netizen, Afendi Ismail dalam komentar di status tersebut turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Zuki sambil mendoakan agar dipermudahkan segala urusan serta diberkati Allah."Hebat orang-orang ganu kite sekarang," kata seorang netizen lain Khairul Mirza.
01 Jan 20
170