Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Negeri Sedia Bantu Nurul Aziemah Dan Keluarga
Hanafiah menyampaikan replika cek bernilai RM8,000 dari JKM untuk kos baik pulih rumahHULU TERENGGANU, 7 Januari - Kerajaan negeri sedia membantu dan membuat pemantauan secara berkala kepada pesakit kronik Nurul Aziemah Mohd Fauzi, yang mengalami kerosakan kedua-dua buah pinggang beserta keluarganya di Kampung Tapah, Hulu Telemong.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik bagi membantu keluarga ini untuk meneruskan kehidupan mereka dari semasa ke semasa."Saya minta kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk melihat keadaan keluarga ini dari semasa ke semasa dan bantu setakat yang kita mampu."Untuk hari ini, kita memberi sedikit bantuan untuk membaiki rumah lebih kurang dalam RM8,000 melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya sebahagian bilik yang ada di belakang itu akan dibaik pulih bagi keselesaan pesakit."Mungkin pagi esok saya akan minta MPKK beli tikar getah baru dan selepas itu kita akan lihat macam mana proses perpindahan buah pinggang ibu kepada anak untuk tindakan seterusnya melalui Tabung Darul Iman," katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menziarahi Nurul Aziemah dan keluarganya di sini hari ini.Turut hadir Pengarah JKM Negeri, Zuhami Omar; Pegawai JKM Daerah, Norazemy Adenan; wakil-wakil Pejabat Daerah dan pengerusi MPKK Kg Tapah.Sementara itu, ibu kepada Nurul Aziemah, Juliani Jaafar menzahirkan perasaan terharu dan ucapan terima kasih atas kecaknaan pihak kerajaan negeri terhadap masalah yang menimpa keluarganya."Terima kasih sangat-sangat kepada yang membantu tu terutama kerajaan negeri dan bantuan yang diterima cukup meringankan beban yang ditanggung oleh kami sekeluarga," ujarnya lagi.Terdahulu, semalam tular kisah menyayat hati mengenai sebuah keluarga yang berhadapan dengan pelbagai masalah termasuk kewangan.Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, keluarga ini semakin diduga apabila anak perempuannya disahkan mengidap kegagalan kedua-dua buah pinggang tahap lima pada November 2018.Sekali lagi pada tahun lepas, tunggak keluarga, suami kepada Juliani pula disahkan mengalami masalah jantung bengkak kronik dan tidak mampu lagi mencari sesuap nasi untuk mereka.
07 Jan 20
57
Pertahan Trofi Sumbangsih, Piala TNB Sasaran Awal Terengganu
Pasukan THT bersama Ahmad Samsuri.KUALA TERENGGANU, 7 Januari - Terengganu Hockey Team (THT) meletakkan sasaran awal untuk mempertahankan Piala Sumbangsih dan Trofi TNB yang dimenangi tahun lalu.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selepas berbincang dengan pengurusan THT dan melihat kesungguhan para pemain, beliau yakin target itu akan berjaya dicapai.“Ada dua kejohanan besar yang akan disertai, pertama TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) yang dijuarai UniKL tahun lalu dan kedua, Piala TNB yang kita muncul juara tahun lalu, dan sudah tentu tahun ini kita berhasrat untuk mengekalkan kejuaraan itu termasuk Piala Sumbangsih.“Jika diikutkan semua kejohanan kita mahu letakkan sebagai juara termasuk kejuaraan TNB MHL, namun kita berhasrat untuk pertahan apa yang dimenangi tahun lalu dahulu,” ujarnya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo dan Jersi Pasukan serta Memperkenalkan Pemain THT dan Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT), di Hotel Permai semalam.Jersi baharu pasukan THT dan TLHT.Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta Penaung Persatuan Hoki Terengganu, Ir Saiful Azmi Suhaili.Menurut Ahmad Samsuri, beliau turut berbangga dengan pencapaian THT sejak ia mula ditubuhkan lebih-lebih lagi ramai anak jati Terengganu yang berada dalam skuad itu.Ujarnya, tajaan sebanyak RM2.5 juta daripada kerajaan negeri dan syarikat-syarikat besar lain pastinya merancakkan lagi perkembangan pasukan. “Musim 2020 kita mempertaruhkan 10 pemain tempatan daripada kesemua 22 pemain dalam THT, gandingan pemain tempatan dan luar ini mampu melonjakkan prestasi pasukan,” tambah beliau yang teruja dengan kehadiran Ketua Jurulatih THT yang baharu, Dhaarma Raj Abdullah.THT akan memulakan musim 2020 pada 10 Januari nanti apabila akan berhadapan dengan juara MHL 2019, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.TLHT turut tidak ketinggalan dalam menghadiahkan kejayaan buat rakyat Terengganu.
07 Jan 20
39
Projek Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir Jadi Hab Pelancongan
HULU TERENGGANU, 6 Januari - Kerajaan negeri memberi jaminan Projek Zon Bebas Cukai di Pulau Bayas Tasik Kenyir di sini, tidak akan menjadi projek 'gajah putih' dan akan disiapkan sepenuhnya untuk dijadikan sebagai hab pelancongan.Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dimaklumkan terdapat 15 projek yang dirancang di bawah zon itu. Rata- rata projek telah siap melebihi 50 peratus dan ada yang mencapai 90 peratus.Katanya, manakala bagi projek jeti di Pulau Poh sudah siap sepenuhnya, hanya menunggu tarikh serahan."Kerajaan memerlukan peruntukan tambahan sekitar RM70 hingga RM80 juta untuk menyiapkan sepenuhnya keseluruhan projek itu yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang."Saya telah mengadakan perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan memberi tempoh masa sebulan untuk mereka kemukakan perancangan bagi membolehkan projek ini diteruskan."Sama ada projek itu perlu melalui beberapa pengurangan di beberapa aspek, itu kita akan pertimbangkan kemudian kerana keutamaan ialah kita mahu projek ini siap," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Tasik Kenyir, hari ini.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, apabila projek tersebut siap kelak, pihaknya menjangkakan dapat menarik seramai satu juta pelancong setahun berbanding 700,000 setahun pada tahun lalu."Pulau Poh dalam bulan Ogos atau September akan siap, Pulau Bayas pula mungkin dalam tempoh setahun setengah hingga dua tahun lagi."Kita harap apabila semua fasiliti ini siap, bilangan pengunjung ke Tasik Kenyir akan meningkat kepada satu juta orang," katanya.
06 Jan 20
628
Ibu Halalkan Buah Pinggang Ini Untukmu Sayang
Juliani menunjukkan tangan anaknya yang merupakan kawasan terbaharu ditebuk untuk rawatan hemodialisis HULU TERENGGANU, 6 Januari - Kasihnya ibu membawa ke syurga perumpamaan tepat bagi Juliani Jaafar, 42 yang rela berkorban jiwa dan raga serta bergadai nyawa apabila sanggup kehilangan salah satu buah pinggangnya untuk didermakan kepada anak tersayang Nurul Azimah Mohd Fauzi, 23.Kehebatan wanita ini, yang juga ibu kepada tujuh anak, kini dalam proses saringan empat sebagai persediaan saat-saat akhir untuk mendermakan buah pinggang kepada anak sulungnya yang juga merupakan lepasan Diploma Perladangan dan Teknologi Agro di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka, Pahang.Sebagai seorang ibu, Juliani berkata, dia sanggup berkorban mengambil segala risiko menjalani pembedahan itu untuk memastikan anaknya sembuh dan tidak lagi berulang alik ke hospital untuk rawatan walaupun dirinya bakal kehilangan sebelah buah pinggang.“Saya tidak sanggup melihat penderitaan Nurul setelah menghadapi masalah kegagalan buah pinggang sejak November 2018 dan sanggup derma buah pinggang untuk anak saya kerana perjalanan hidupnya masih jauh."Saya halalkan buah pinggang ini untuk anak saya kerana hanya itu yang mampu saya tolong untuk meringankan penderitaannya sejak kedua-dua buah pinggangnya disahkan gagal berfungsi pada tahap lima dan sedia hadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada pemberita ketika lawatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Hulu Terengganu ke rumahnya di Kampung (Kg) Tapah, semalam.Pegawai JKM Daerah, Norazemy Adenan (dua dari kiri) bertanyakan khabar serta melihat keperluan Nurul Aziemah di rumahnya semalamKeadaan suaminya, Mohd Soberi Mohd Ghazali, 46, yang sering sakit akibat kegagalan injap jantung menyebabkan dia terpaksa bertanggungjawab mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga.Dengan berpendapatan hanya RM600 sebulan hasil mengambil upah mencucuk sate, Juliani terpaksa bijak menggunakannya untuk persekolahan anak-anak, perubatan anak dan suami serta pengurusan rumahtangga."Syukurlah, JKM ada beri bantuan persekolahan sebanyak RM200 sebulan bermula tahun 2019 dan Maidam sebanyak RM1,000 secara ‘one off ’ hampir empat tahun.“Namun begitu, dengan keadaan sekarang, perbelanjaan makin besar dan saya sudah tidak mampu bertahan dan perlukan bantuan mana-mana pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” tambahnya lagi.Nurul Aziemah yang ditemui berkata, dia mula dikesan mengidap penyakit itu apabila anggota badannya membengkak di samping mengalami masalah darah tinggi ketika masih menuntut di UiTM."Bila buat pemeriksaan dekat hospital, barulah tahu yang saya menghidap kegagalan buah pinggang pada tahap lima dan sejak dari itu, saya perlu melalui proses hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu, memang menyakitkan tetapi saya redha dengan keadaan itu yang mana kehidupan saya tak sama seperti orang lain.“Rasa terharu sangat apabila mak sanggup derma sebelah buah pinggangnya kepada saya, sudah terlalu banyak dia berkorban untuk kami semua dan saya nekad akan balas jasanya dan akan ubah nasib keluarga kami setelah bekerja nanti,” katanya.Sementara itu, Pengarah JKM Negeri, Zuhami Omar berkata pihaknya melalui mesyuarat jawatankuasa penimbang bersetuju meluluskan bantuan am sebanyak RM300 di atas nama Nurul Aziemah mulai Januari 2020 dan bantuan sedia ada masih diteruskan.“Manakala bayaran rawatan Nurul Aziemah dan Mohd Soberi juga dikecualikan di hospital dan klinik kerajaan kerana mereka merupakan penerima bantuan JKM.‘”Kita juga meluluskan bantuan RM8,000 untuk membaiki rumah termasuk ruang bilik bagi pesakit (Nurul Aziemah) bagi menyediakan ruang yang lebih bersih untuk rawatan dan keselesaan penama,” katanya.Menurut Zuhami, pihak JKM juga akan memajukan nama penama untuk pendaftaran ekasih bagi penyelarasan bantuan dari agensi berkaitan.“JKM juga akan membantu pihak keluarga dengan bimbingan kaunseling dan cara bagaimana untuk meningkatkan pendapatan bagi mengurangkan bebanan keluarga.“Ini termasuk pesakit (Nurul Aziemah) yang mana kita akan beri pendedahan bagaimana menjana pendapatan walaupun mempunyai masalah kesihatan seperti menggunakan cara atas talian (online)supaya dia lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupannya,” tambahnya.
05 Jan 20
149
Tahap Kesedaran Mengenai Lembaga Rayuan Perlu Dipertingkat
KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Tahap kesedaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang awam mengenai Lembaga Rayuan perlu dipertingkatkan, ujar Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.Katanya, orang awam khususnya perlu diberi pendedahan yang lebih meluas agar mereka maklum mengenai hak mereka sekiranya mereka terkilan dengan keputusan perancangan Kebenaran Merancang (KM) yang dibuat oleh pihak PBT.“Sehingga tahun 2019 Lembaga Rayuan di Negeri Terengganu telah mengendalikan sebanyak 29 kes sejak ditubuhkan pada tahun 1995.“Daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes ditolak, 4 kes diterima dan 11 kes ditarik balik oleh perayu. Manakala sebanyak 2 kes yang didaftarkan pada tahun 2019 sedang menunggu perbicaraan,” ujarnya ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Rayuan Negeri Terengganu Sesi 2019 hingga 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, PBT juga diharap akan lebih telus dan berintergriti dalam membuat pertimbangan terhadap permohonan perancangan KM selaras dengan peruntukkan undang-undang sedia ada yang digunapakai di negeri ini.Menurut beliau, Lembaga Rayuan ditubuhkan di bawah Bahagian Enam (IV), Seksyen 36, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) yang berfungsi sebagai “Mahkamah Perancangan” untuk mendengar, mempertimbang dan membuat keputusan terhadap kes-kes berkaitan perancangan bandar dan desa.“Lembaga Rayuan merupakan satu badan berkecuali (independent body) yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri dan dilihat sebagai satu platform bagi Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan pertikaian di antara dua pihak iaitu PBT dan orang awam atau perayu yang terkilan dengan sesuatu keputusan perancangan oleh PBT.“Tujuan penubuhan Lembaga Rayuan adalah memberi peluang atau saluran kepada orang awam untuk mengemukakan rayuan sekiranya mereka terkilan atau tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan perancangan oleh PBT untuk dipertimbangkan semula,” ujarnya.Katanya, dengan adanya Lembaga Rayuan, ia akan menjadi medium dalam meningkatkan sistem penyampaian kerajaan kepada rakyat bagi menyelesaikan isu-isu yang timbul berkaitan perancangan bandar dan desa.“Justeru, semua yang dilantik diharapkan dapat menjalankan amanah dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab, seterusnya meletakkan Lembaga Rayuan Negeri Terengganu setanding dengan Lembaga Rayuan di negeri-negeri lain,” ujarnya.
05 Jan 20
66
JKR Serah Taska Permata Wisma Darul Iman
KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Projek Menaiktaraf Kafetaria Wisma Darul Iman kepada Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) siap sepenuhnya akhir tahun lalu dan diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu pada hari ini.Majlis penyerahan itu disempurnakan Pengarah Kerja Raya Negeri, Ir Yusof Abd Ghani kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar di Taska Permata Keluarga di Tingkat 1, Wisma Darul Iman, di sini.Mohd Zahari turut menandatangani plak peletakan nama Taska Permata Wisma Darul Iman (TPWDI).Taska di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu yang diubahsuai Jabatan Kerja Raya (JKR) daripada kafetaria kepada taska melibatkan kos RM300,000.Dengan adanya TPWDI secara tidak langsung memudahkan kakitangan WDI sekali gus merasa tenang untuk bekerja kerana tidak perlu terkejar-kejar menghantar dan mengambil anak di pusat penjagaan.Kewujudan pusat asuhan dalaman juga membolehkan sistem pemantauan dijalankan dengan baik dan selamat, selain mengurangkan risiko keselamatan kanak-kanak yang ditinggalkan kepada pengasuh sepanjang ibu bapa mereka keluar bekerja.
04 Jan 20
92
Terengganu, UMT Jalin Kerjasama Perkasa Industri Pertanian
Dr Azman (dua dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani MOU antara TADC dan UMT.KUALA TERENGGANU, 5 Januari - Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini bagi membangunkan industri pertanian dan akuakultur di negeri berkenaan.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerjasama melalui anak syarikat kerajaan negeri itu merupakan langkah permulaan kepada detik penting dalam gerak kerja untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pengeluar makanan.Katanya, persefahaman tersebut meliputi perkongsian pintar dan beberapa bidang lain yang telah dikenal pasti berpotensi untuk dimajukan bersama institusi pengajian itu.“UMT memiliki kepakaran dalam kajian, TADC pula mempunyai aset-aset dan projek-projek yang boleh dijadikan bahan kajian, sekali gus memberikan manfaat kepada semua yang terlibat.“Projek-projek seperti Melon Manis Terengganu (MMT), penyelidikan dalam sektor bekalan makanan ternakan berasaskan napier juga menjadi fokus kita, di samping Projek Rimbunan Kaseh (akuakultur) terus diperkasakan,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani MOU terbabit, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.Dr Azman percaya Terengganu mampu menjadi negeri pengeluar makanan utama di Malaysia.Hadir sama, Dekan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Prof Dr Mohd Effendy Abd Wahid dan Pengurus Besar TADC, Azhar @ Wahab Jusoh.Menurut Dr Azman yang juga Pengerusi TADC, melalui kerjasama itu pihaknya juga bercadang untuk meneroka peluang-peluang baharu yang mampu menjana ekonomi rakyat.“Kita juga sedang merangka untuk menceburi bidang ternakan ketam di kawasan Setiu Wetland dan ternakan ayam di Besut,” tambah beliau.Sementara itu, Mohd Effendy berkata, kemahiran UMT dalam sektor perikanan dan sains akuatik akan dimanfaatkan sebaik mungkin agar para petani serta nelayan tidak menghadapi banyak masalah.“UMT juga sedang berusaha untuk memperkayakan sumber-sumber berasaskan marin, contohnya kita telah melepaskan benih-benih udang di perairan Setiu, dan MoU ini adalah pertama kita buat sebagai tanda keseriusan kita,” jelasnya.Mohd Effendy (paling kiri).
04 Jan 20
826
Menteri Pendidikan Baharu Diminta Kaji Semula Penggabungan UMT Dan UniSZA
KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Individu yang bakal dilantik sebagai Menteri Pendidikan menggantikan Dr Maszlee Malik diminta mengkaji semula cadangan penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya berpandangan penggabungan universiti tersebut merupakan satu proses yang merugikan, kurang strategik serta tidak mendatangkan apa-apa faedah.Katanya, tugas sebagai Menteri Pendidikan adalah salah satu tugasan di kementerian yang paling mencabar kerana perlu berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat berbanding kementerian lain.“Oleh kerana itu kami mengharapkan Menteri Pendidikan yang baharu dan akan dilantik nanti memahami keperluan untuk meletakkan keutamaan dalam dasar pendidikan negara.“Termasuk dengan menjadikan apa yang telah ada dalam perlembagaan itu sebagai asas dari segi bahasa melayunya, dasar pendidikan kebangsaan, dan lain-lain perkara tanpa menafikan hak-hak kelompok minoriti untuk kebebasan isu pendidikan ini.“Tetapi haruslah melihat kepentingan umum dan majoriti serta mengelakkan daripada melakukan apa-apa kontrovesi,”ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatan Dr Mazlee selepas menyempurnakan majlis penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Rayuan Negeri Terengganu Sesi 2019 hingga 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, apa juga dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kementerian pendidikan haruslah dilakukan konsultasi dan perlu mendapatkan maklumat lengkap sebelum diperkenalkan untuk mengelakkan salah faham di kalangan masyarakat.
04 Jan 20
48
Kenaikan Tarif Air Tidak Bebankan Pengguna Berpendapatan Rendah
KUALA TERENGGANU, 5 Januari- Kerajaan Terengganu memberi jaminan bahawa kenaikan tarif air di negeri ini tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah.Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya masih dalam proses meneliti cadangan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dalam menentukan tarif air di Terengganu dengan mengutamakan kesan kenaikannya kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.“Tetapi kita masih lagi belum sahkan setakat mana kenaikan itu, masih ada dalam pertimbangan dan ianya akan diumumkan oleh pihak kementerian bila pelaksanaannya.“Sebelum adanya pelaksanaan itu, kita masih lagi menimbangkan perkara ini selepas mengambil kira kadar tarif di negeri ini tidak pernah disemak lebih 20 tahun lalu.“Sekiranya berlaku kenaikan, jaminan kita ialah ianya tidak membebankan kepenggunaan domestik kategori B40,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu kenaikan tarif air selepas menyempurnakan majlis penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Rayuan Negeri Terengganu Sesi 2019 hingga 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.Katanya, kenaikan tarif air di negeri ini lebih berfokus untuk kawasan industri dan beberapa penggunaan berskala besar seperti sektor perkapalan.
04 Jan 20
88
PASTI Bestari As-Siddiq Tampil Kelainan
Oleh: Aslam WiraMARANG, 5 Januari- Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Bestari As-Siddiq di Kampung Bukit Che Ali, di sini yang menekankan pembelajaran elit memulakan sesi persekolajhan pada 1 Januari lalu.PASTI yang mempunyai 50 bilangan pelajar berusia antara empat hingga enam tahun itu menjanjikan kelainan berbanding PASTI lain di negeri ini Pengurus PASTI Bestari As-Siddiq, Ahmad Nazirul Ismail berkata, kelas pengajian ditawarkan di sini adalah berbentuk PASTI Plus atau kelas petang dalam bentuk latihan membaca dan pra Tahfiz.Katanya, medium dan cara pembelajaran juga sedikit berbeza di mana ianya lebih moden dengan kaedah Media Learning dan Fun Learning.“PASTI itu akan menjadi penanda aras dalam sistem awal pendidikan kanak-kanak yang merupakan generasi penting masa hadapan.“Pasti baru ini juga, menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan selesa dan pelajar akan diajar untuk berdikari seperti membasuh pinggan sendiri.” Katanya.Beliau berkata ketika ditemubual wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman sewaktu meninjau ke PASTI tersebut di Kampung Bukit Che Ali, Marang, baru-baru ini.Menurutnya yuran yang dikenakan sangat berpatutan dan pastinya tidak membebankan ibu bapa.“Untuk sesi persekolahan 2020, kita buka kepada tiga buah kelas, masing-masing satu kelas untuk pelajar berumur empat, lima, dan enam tahun membabitkan seramai 50 pelajar.“Guru-guru kami juga adalah hasil temuduga dan mempunyai lulusan pendidikan di peringkat ijazah dan pengalaman dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak sebelum ini,” tambahnya lagi.
04 Jan 20
625