Artikel "Utama" Terkini
Derita Bayi Istimewa Dapat Perhatian
MARANG, 14 Januari - Bayi pra matang, Abdul Raihan Abdul Rahim, 35 hari yang menderita pelbagai penyakit serius yang boleh mengancam nyawa mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.Anak kecil itu disahkan mengalami kecacatan dinding abdomen (major omphalocele), ginjal dan usus berada di luar badan (cloacal exstrophy), kekurangan hormon tiroid (hypothyroidism) dan pembentukan organ pembiakan lelaki yang tidak sempurna sejak dalam kandungan lagi.Menurut ibunya, Nurul Suhada Che Mahmud, 25, yang kini kesempitan dan merayu bantuan pihak berkaitan kerana anaknya memerlukan ubat-ubatan, pampers dan susu khas yang menelan kos lebih RM600 setiap bulan.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata pihaknya akan sentiasa memantau dan melihat dari semasa ke semasa bagi memastikan keluarga ini mendapat perhatian dan sumbangan dalam bentuk yang sesuai.“Alhamdulillah hari ni saya bersama-sama dengan Yang Berhormat Alur Limbat, Ariffin Deraman, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Zuhami Omar, Pengurus Tabung Darul Iman( TDI) dan wakil Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hadir ke sini bagi menziarahi adik kita ini dan menyampaikan sedikit bantuan bagi meringankan kewangan keluarga ini.“Hari ini kita menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai dan juga daripada JKM, kita hantar susu dan lampin pakai buang (pampers). Kita juga berharap keluarga dia akan isi borang Tabung Darul Iman dan juga tabung Maidam untuk sumbangan seterusnya dan saya dimaklumkan selepas daripada ini JKM akan menghulurkan sumbangan sara diri sebanyak RM350 sebulan.“Selepas ini mungkin adik ini akan menjalani pembedahan memasukkan semula buah pinggangnya yang duduk diluar untuk dimasukkan kedalam... InshaAllah kerajaan negeri akan pantau kondisi melalui TDI dan saya berharap Maidam juga membuat sesuatu bagi memastikan keluarga ini berada dalam keselesaan,” katanya kepada pemberita di kediaman keluarga ini di Kampung Binjai Bongkok di sini hari ini.Sementara itu, Nurul Suhada merasa sangat bersyukur apabila kisah anaknya mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri.“Saya gembira sangat sebab dapat bantuan daripada pihak kebajikan, ADUN dan TDI yang ringankan beban saya kerana anak kedua saya dilahirkan pramatang 33 minggu dan sering berulang alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dua kali seminggu bagi mencuci luka dan rawatan."Kos perubatan memang perlu belilah dan memang saya sangat berharap kalau ada pihak yang berwajib datang dapat membantu saya dengan keluarga ni untuk meringankan beban kami,” ujarnya lagi. Abdul Raihan juga dikatakan terpaksa membuang air besar melalui lubang yang ditebuk di bahagian abdomen kerana tidak mempunyai dubur disamping hanya satu sahaja buah pinggang yang berfungsi.Menurut Nurul Suhada, jantina anaknya terpaksa ditentukan melalui ujian deoksiribonukleik (DNA) kerana organ kelakiannya tidak terbentuk dengan lengkap dan turut mengalami masalah tulang belakang bengkok.Mana-mana pihak yang berhasrat membantu bayi malang ini boleh membuat sumbangan di akaun BANK SIMPANAN NASIONAL (BSN) milik Nurul Suhada 1110041000174344 atau menghubungi nombor 014-2546378.
13 Jan 20
43
Belanja RM30 Guna MyDebit, Dapat Hadiah!
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Rakyat negeri Terengganu yang membelanjakan minimum RM30 dalam satu resit berpeluang memenangi hadiah yang lumayan.Pembayaran melalui kad MyDebit itu, mestilah dibuat di semua Jabatan Tanah dan Galian Negeri, Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah , Pusat Urusan Zakat dan Mahkamah Syariah serta agensi yang lain.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dengan itu, secara tidak langsung ia memberi manfaat dan kesedaran serta menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan tanpa tunai.“Hari ini, kita sama-sama berkumpul bagi meraikan kejayaan para pemenang dari lima agensi yang telah mencatatkan peratusan tertinggi dalam bilangan dan nilai transaksi MyDebit di sepanjang kempen yang berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Oktober 2019.“Objektif utama kerjasama di antara Kerajaan Terengganu Darul Iman dengan Payments Network Malaysia Sdn Bhd atau PayNet bagi menjurus kepada masyarakat tanpa tunai (cashless society),” ujarnya.Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penyampaian Hadiah Kempen MyDebit anjuran Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, pada hari ini.Teks ucapan Menteri Besar itu telah dibacakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali.Beliau turut berharap agar kempen itu dapat menggalakkan dan meningkatkan jumlah penggunaan kad MyDebit.“Semoga jalinan kerjasama dan perkhidmatan yang disediakan ini akan di manfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat secara berterusan.“Marilah sama-sama kita membantu kerajaan dalam mempertingkatkan lagi penyampaian perkhidmatan berkesan dan cekap kepada rakyat selari dengan era digital pada masa kini,” tegasnya.Pada majlis tersebut, seramai tiga puluh pemenang bertuah menerima hadiah masing-masing di mana lima pemenang berjaya membawa pulang sebuah motosikal Yamaha Y15ZR.Sementara itu, sepuluh pemenang mendapat hadiah berupa baucar barangan elektrik bernilai RM5,000 setiap satu manakala sepuluh pemenang lagi menerima hadiah berupa baucar barangan elektrik bernilai RM3,000 setiap satu dan lima lain pemenang menerima baucar yang sama bernilai RM1,000 setiap satu.
13 Jan 20
208
Kebun Komuniti Bandar Permaisuri Bantu Peserta Jana Pendapatan
SETIU, 13 Januari - Projek Pertanian Bandar (Komuniti) atau lebih dikenali sebagai program kebun komuniti yang dijalankan di daerah ini telah membuahkan hasil dan menjana pendapatan sampingan kepada peserta terlibat.Pengerusi Projek Pertanian Bandar (Komuniti) Permaisuri, Shamsiah Mohamad berkata, tanah terbiar seluas 2.5 hektar milik Majlis Daerah Setiu dibersihkan dan ditanam dengan pelbagai jenis tanaman jangka pendek.“Projek ini bermula tiga bulan lalu bermodalkan sumber sendiri dan hasil pengumpulan wang secara berkumpulan berjumlah RM40,000.“Bermula dengan 200 polibeg sehinggalah sekarang mempunyai 5,000 polibeg, pelbagai tanaman boleh dinikmati seperti cili, timun, terung, petola, bayam brazil, kangkung, sawi, kailan dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Pertanian Bandar (Komuniti) Bandar Permaisuri yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, di Setiu, hari ini.Turut hadir, Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa'), To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh.Katanya, tercetusnya idea untuk mengusahakan kebun komuniti itu adalah disebabkan melihat terlalu banyak tanah kosong yang terbiar di daerah terbabit.“Mula-mula saya terfikir untuk memajukan dan mewujudkan kasih sayang di daerah Setiu ini.“Melihatkan di Setiu ini begitu banyak tanah terbiar membuatkan saya nekad membuat kertas kerja untuk melaksanakan kebun komuniti dan diangkat kepada Majlis Daerah Setiu dan alhamdulillah ianya diluluskan,” ujarnya yang merupakan seorang pengusaha perabot.Bagi Shamsiah, selain mampu menjana pendapatan sampingan, aktiviti bercucuk tanam juga merupakan salah satu terapi untuk medapatkan ketenangan.“Sebenarnya projek kebun komuniti yang dilaksanakan di atas tanah terbiar milik kerajaan ini bukan sahaja membantu peserta menjana pendapatan tetapi secara tidak langsung memupuk kasih sayang sesama peserta dan masyarakat selain kehijauan tanaman memberikan rasa tenang kepada kita,” ujarnya.Katanya, kini Projek Pertanian Bandar (Komuniti) Permaisuri yang diusahakan secara bersama oleh 10 ahli itu telah menjadi model dan rujukan kepada penduduk daerah itu.
13 Jan 20
1617
'Sayu Hati Lihat Keuzuran Adik Mohd Zafran' - Kak Zah
Tuan Faizah (kiri) ketika menziarahi Adik Mohd Zafran di Setiu.SETIU, 13 Januari - "Sayu hati semasa menziarahi adik Mohd Zafran Amsyar Zamzuri yang viral sehari dua ini dengan empat penyakit di rumahnya di Permaisuri, Setiu," kata isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.Katanya, adik Zafran Amsyar menghidap sakit jantung berlubang, uluran angin pasang dan telah menjalani pembedahan membuang hempedu ketika berusia dua bulan.Menurut Tuan Faizah, kini beliau memerlukan bantuan untuk membiayai pertukaran hati dengan kos yang agak tinggi selain kos rawatan berkala."Musibah bagi insan lain juga sebenarnya merupakan ujian bagi kita. Bagaimanakah cara kita melihat ujian yang menimpa orang lain dan bertindak balas dengannya."Bersama kita hulurkan bantuan kewangan dan doa agar keluarga ini dipermudahkan urusan," ujarnya di status Facebook miliknya hari ini.
13 Jan 20
250
Usahakan Tanah Terbiar Dengan Kaedah Pertanian Fertigasi
SETIU, 13 Januari- Semua kelompok masyarakat, termasuk graduan dan mereka yang berkerjaya boleh mengambil peluang bergelar usahawan tani dengan mengerjakan tanah terbiar menggunakan kaedah fertigasi.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahimberkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai bantuan sama ada dari segi insentif kewangan dan pemasaran produk.Katanya, mereka yang mahu menyertai perniagaan berasaskan pertanian tidak perlu terlalu bergantung kaedah konvensional, sebaliknya bertukar kepada teknologi terkini yang mampu menjana pendapatan yang lebih lumayan.“Sebagai contoh, projek pertanian bandar yang diusahakan komuniti Bandar Permaisuri menerusi kaedah fertigasi diatas tanah seluas 2.5 hektar ini telah mula menampakkan kejayaan.“Walaupun dengan keluasan yang tidak begitu besar, dalam tempoh tiga bulan projek ini dijalankan dengan tanaman pelbagai jenis sayur-sayuran tempatan secara puratanya komuniti yang mengusahakan boleh menghasilkan 20 tan metrik dengan nilai pengeluaran RM30,000,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Pertanian Bandar (Komuniti) Bandar Permaisuri di Setiu, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa'), To’ Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkepli Amin Mat Jusoh.Katanya, projek pertanian bandar adalah salah satu program yang menunjukkan teknologi pertanian pada masa kini dan akan datang yang mana teknik penanamannya lebih kepada penggunaan air baja secara fertigasi dan hidroponik.“Melalui kaedah penanaman ini, keluasan tanah yang minima boleh dimanfaatkan untuk aktiviti pertanian dan medium yang digunakan juga boleh didapati dengan kos yang agak murah.“Setakat ini medium yang banyak digunakan di Terengganu ialah sekam padi, sabut kepala dan juga sisa buangan dari kilang kelapa sawit,” ujarnya.Katanya, kerajaan negeri sememangnya menggalakkan semua kelompok masyarakat terlibat dengan aktiviti pertanian yang boleh diceburi oleh sesiapa sahaja.“Pertanian bukan setakat satu perniagaan yang menghasilkan sumber pendapatan tetapi pada masa yang sama satu usaha murni untuk kita menghasilkan satu sumber bekalan yang bukan setakat halal, berkat tetapi dalam masa yang sama bersih dan terjamin selamat,” ujarnya.
12 Jan 20
373
Sembilan Orang Dijangkiti Influenza Di Setiu, Terengganu
Foto ihsan - GoogleKUALA TERENGGANU, 13 Januari - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu merekodkan dua kluster penyakit seperti influenza (ILI) dengan seramai sembilan individu dijangkiti influenza dalam kluster itu pada 5 dan 7 Januari 2020 di daerah Setiu.Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, data itu diperoleh berdasarkan pengawasan yang dijalankan pihaknya di klinik sentinel terpilih di seluruh negeri itu.“Seramai sembilan orang dilaporkan dijangkiti influenza bagi kluster tersebut. Di mana terdapat lima kes positif influenza A dan tiga kes positif influenza B melibatkan mangsa yang berusia antara tiga dan 38 tahun yang kini dilaporkan stabil.“Kesemua kes telah disahkan oleh fasiliti swasta dan telah diberi rawatan Tamiflu.Keadaan semua kes adalah stabil dan Kluster ILI ini dalam keadaan terkawal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Daerah Setiu akan terus memantau kejadian ini.Justeru itu, orang awam dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan serta patuh kepada etika batuk dan bersin.Masyarakat juga dinasihatkan untuk segera ke hospital atau klinik berdekatan bagi mendapatkan rawatan. Manakala bagi golongan berisiko dinasihatkan untuk mendapatkan vaksin influenza di klinik swasta.
12 Jan 20
51
Kejayaan Tidak Datang Bergolek- MB Terengganu
MB (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (duduk) di Kuala Lumpur.KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Pencapaian negeri yang dinikmati pada hari ini adalah hasil kerjasama, usaha, tawakal dan doa dari seluruh rakyat Terengganu tercinta. Serentak itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan terima kasih untuk satu tahun pentadbiran kerajaan kepada semua rakyat Terengganu. "Mari bersama membina dan mengekalkan prestasi negeri untuk tahun-tahun mendatang," katanya dalam status 'Facebook' beliau hari ini.Kejayaan setahun pentadbiran kerajaan Terengganu dirakamkan oleh TV Darul Iman dan dimuatnaik ke laman Youtube di link https://www.youtube.com/channel/UC-kFfAkwxKH1GzPqOZlU3oQOleh itu, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang menjemput subscribes TV Darul Iman untuk menyaksikan pelbagai video menarik mengenai Terengganu.
11 Jan 20
66
G25 Sedang Mempromosi Pemikiran Sesat dan Mengelirukan
KUALA TERENGGANU, 12 Januari - Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 mengkritik undang-undang murtad, mengatakan keputusan seorang Islam untuk keluar agamanya antara individu itu dengan Tuhan.Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata G25 adalah satu kumpulan yang sedang bergerak mempromosi pemikiran yang merosakkan aqidah, syariat dan akhlak umat Islam meskipun anggotanya terdiri di kalangan orang yang mengaku Islam.Katanya, pendirian mereka yang menolak tindakan dan hukuman dikenakan kepada pesalah yang melanggar hukum agama Islam adalah jelas sesat dan tersasar. Ia lahir dari keyakinan yang salah dan songsang terhadap hakikat sebenar agama Islam yang menjadi agama bagi negara Malaysia menurut perlembagaan. Tambah beliau lagi, agama Islam bukan hanya agama yang mengandungi hukum-hakam dan peraturan yang melibatkan pahala dan dosa yang dihukum di Akhirat tetapi ia adalah agama yang mencakupi undang-undang melibatkan kehidupan manusia yang dikenakan tindakan dan hukuman di dunia. “Islam menetapkan bahawa mengambil tindakan dan hukuman atas kesalahan berlandaskan hukum agama itu adalah kewajipan dan tanggungjawab mereka yang berkuasa dalam sesebuah negara dan negeri bagi menjamin dan memelihara keselamatan agama, nyawa, jasad, harta, maruah dan akal rakyat. “Persetubuhan luar nikah dan minum arak sebagai contoh adalah kesalahan agama dan jenayah yang mesti dikenakan hukuman di dunia bukan hanya di Akhirat bagi menjamin kesucian nasab dan kesejahteraan akal manusia,” ujarnya dalam satu kenyataan dalam laman sosialnya hari ini.Jelasnya, ini termasuklah jenayah membunuh, mencederakan, mencuri dan merompak yang merupakan kesalahan agama yang mesti dikenakan hukuman di dunia bagi menjamin keselamatan nyawa, jasad dan harta manusia. Menurut Mohd Khairuddin, pemikiran G25 secara keseluruhannya bertujuan untuk membuang agama daripada kehidupan manusia dan seterusnya membuang agama daripada pengurusan bernegara. Ia pemikiran yang bahaya dan sesat bagi umat Islam. “Sebaran pemikiran mereka juga bercanggah dengan peruntukan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama negara. Ia juga bercanggah dengan undang-undang negeri-negeri dalam Malaysia yang memperuntukkan hak dan kuasa kepada kerajaan untuk mengenakan hukuman dunia terhadap pesalah-pesalah agama. “Kerajaan Persekutuan dan juga negeri di mana pemikiran mereka disebar dan diwacanakan perlu segera bertindak terhadap kumpulan ini yang dilihat semakin berani mempromosi pemikiran songsang mereka,” katanya.Untuk rekod, G25 adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyuarakan perspektif wasatiyyah dalam hal keagamaan, memperkukuh institusi perundangan serta mempertingkatkan mutu pentadbiran dan pemerintahan negara.Terbaharu, satu kertas laporan yang dibentangkan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Asiah Abu Samah yang juga merupakan wakil G25 bertajuk “Administration of Matters Pertaining to Islam” telah dibentangkanJelas G25 dalam laporan tersebut, tindakan undang-undang terhadap individu tidak bersolat jumaat misalnya adalah tidak wajar dan mengatakan perkara dilakukan seorang Islam terhadap agamanya adalah antara individu itu dengan Tuhan.Laporan itu juga mengatakan undang-undang berkenaan tidak konsisten dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan beragama.
11 Jan 20
35
Ditarik Ombak Kuat, Dua Pelajar UiTM Dikhuatiri Lemas
Pasukan Bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat, tadi.KUALA TERENGGANU, 11 Januari- Dua penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Chendering, di sini, dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Pandak, di sini, petang tadi.Penuntut berkenaan, Tengku Mohd Afiq Tengku Muhazan Shah, 20, Kelantan, dan Mohd Nor Hishamudin Nor Saidi, 21, Perak difahamkan datang ke lokasi kira-kira jam 5.30 petang, untuk mandi sebagai menghabiskan cuti hujung minggu bersama-sama 16 lagi rakan mereka.Menurut sumber, ketika leka mandi, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka, Muhammad Nazrim Mat Asri, 20, Kelantan, dikatakan secara tiba-tiba ditarik ombak sebelum hilang di bawa arus.Salah seorang rakan mangsa menceritakan situasi kejadian kepada pemberita."Panik melihat situasi itu, rakan-rakan yang lain cuba menyelamatkan mereka namun gagal disebabkan arus yang kuat, sebelum meminta pertolongan penduduk yang berada berhampiran."Hanya seorang daripada mereka (Muhammad Nazrim) berjaya diselamatkan berikutan keadaan ombak yang kuat," kata Muhammad Nazrim ketika ditemui di lokasi.Penuntut berkenaan telah dihantar ke Hospital Sultanah NurZahirah (HSNZ), di sini untuk rawatan selanjutnya.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.40 petang.Keadaan di lokasi sejurus kejadian."Sejurus itu, seramai 17 anggota dikerahkan ke lokasi termasuk pasukan penyelamat di air (PPDA)," katanya.Operasi mencari dan menyelamat disambung awal pagi esok disebabkan keadaan ombak yang kuat.
11 Jan 20
349
Gagal Manfaat Peluang, THT Berputih Mata
Aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional.KUALA LUMPUR, 11 Januari - Kegagalan memanfaatkan beberapa peluang keemasan menyebabkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpaksa berputih apabila gagal mempertahankan Piala Sumbangsih yang dimenangi musim lalu.Ketua Jurulatih THT, Dhaarma Raj Abdullah berkata, anak buahnya bermain baik apabila mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol, ia terbukti dengan dua jaringan THT terhasil menerusi gerakan menarik para pemainnya."Dalam beberapa masa kita menunjukkan permainan yang cukup bagus, tetapi apa yang membezakan UniKL dan THT adalah peluang pukulan sudut penalti."UniKL cukup klinikal dalam peluang itu, manakala kita pula gagal, apa pun kita cemerlang dengan dua jaringan padang," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.Dhaarma Raj.Sementara itu, Kapten THT, Fitri Saari pula mahu rakan sepasukan terus bangkit mencari mata penuh dalam perlawanan selepas ini."Malam ini kita kehilangan piala dan mata, untuk perlawanan seterusnya menentang TNB kita harap penyudah kita akan lebih tajam," katanya.Menurut penyerang THT, Faizal Saari, beliau mengakui ketumpulan menyudahkan pukulan sudut penalti menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan."Pukulan sudut penalti hari ini kita gagal mungkin kerana pihak lawan sudah mengkaji THT punya taktikal, dan disebabkan itu kita kehilangan mata," ujar penjaring dua gol THT itu.Dalam perlawanan pembukaan TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) itu, UniKL meraih gelaran Piala Sumbangsih buat kali pertama dalam sejarah selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas THT di Stadium Hoki Nasional semalam.Fitri dan Faizal Saari.Kedua-dua pasukan tampil dengan corak permainan terbuka namun jaringan yang dinantikan hanya tiba pada minit ke-19 apabila Muhammad Razie Abd Rahim memberikan pendahuluan buat UniKL hasil pukulan sudut penalti.Faizal Saari pada minit ke-26 dan ke-36 kemudiannya menemui sentuhan jaringan apabila berjaya meletakkan THT 2-1 di hadapan.Namun ia tidak bertahan lama, seminit berselang UniKL mengikat kedudukan apabila Razie sekali lagi memanfaatkan pukulan sudut penalti sebelum Pemain import baharu UniKL dari Belanda, Roel Bovendeert melengkapkan malam gemilang UniKL minit ke-50.
10 Jan 20
152