Artikel "Utama" Terkini
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Berangkat Ke Hospital Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Hospital Kluster Setiu, Terengganu, bersempena sambutan ulang tahun ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, kelmarin.
Mengiringi baginda, paduka anakanda-anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja serta diiringi isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
Keberangkatan tiba Sultanah turut disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengarah Hospital Setiu, Dr. W. Md Shihabudin Wan Mamat.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik.
Sultanah Nur Zahirah berkenan meluangkan masa selama satu jam meninjau wad kanak-kanak dan wad bersalin di hospital berkenaan.
Dalam masa sama, baginda turut beramah mesra bersama pesakit dan kakitangan perubatan, selain menyantuni ibu-ibu yang sedang menerima rawatan selepas melahirkan anak.
Sejak penubuhannya, Hospital Setiu telah berkembang dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan, termasuk unit kecemasan dan trauma, hemodialisis, klinik pakar, serta wad bersalin dan pediatrik, menjadikannya pusat rujukan penting di kawasan tersebut, memberi akses mudah bagi penduduk tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada hospital di daerah lain
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Hospital Setiu mula dibina pada Oktober tahun 2000 di bawah Projek Rancangan Malaysia ke – 7. Ia merupakan 'Turnkey Project' dengan kos pembinaan sebanyak RM65,662,790.
Memulakan operasinya pada 7 Disember 2003 dengan pembukaan unit kecemasan, diikuti dengan pembukaan wad perempuan pada Januari 2004, wad lelaki pada April 2004 dan wad kanak-kanak pada Oktober 2004 manakala, dewan bersalin pula telah dibuka kepada pesakit mulai 9 Mei tahun yang sama.
Meliputi kawasan seluas 8.3 hektar dari 16.2 hektar luas kawasan dengan jarak dua kilometer dari Bandar Permaisuri, ia berada dengan jarak 72 kilometer dari daerah Kuala Terengganu dan 40 kilometer dari Jertih, Besut.
10 May 25
366
Warga Terengganu Dijemput Memeriahkan Karnival TIEP
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Seluruh warga Terengganu dan sekitarnya dijemput untuk memeriahkan Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP)2025.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Keputeraan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
"Akan diadakan pada 16 sehingga 18 Mei ini bertempat di Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong Setiu," ujar beliau melalui kenyataan di media sosialnya, di sini.
Menurut Ahmad Samsuri, pelbagai pengisian menanti pengunjung yang hadir.
"Termasuk pertunjukan sukan lasak, perarakan kuda berhias, aktiviti komuniti, persembahan kebudayaan dan sebagainya.
"Jumpa di sana,"ujarnya.
10 May 25
4513
Wanita Teraju Pertanian Negeri
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Kerajaan Terengganu komited memperkasa wanita, terutama suri rumah dan ibu tunggal, dengan membuka peluang menceburi bidang pertanian secara tersusun dan berfokus.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan wawasan kerajaan negeri yang ingin memartabatkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama pembangunan negeri secara lestari dan mesra alam.
“Melalui program Lamanita yang dilaksanakan di peringkat daerah, kita menyediakan ruang kepada wanita untuk menimba ilmu dan kemahiran baru dalam bidang pertanian.
"Di samping menjana pendapatan isi rumah melalui aktiviti di halaman sendiri,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Lamanita Daerah Kuala Terengganu, di Pusat Pertanian Bandar, Kuala Terengganu, pada semalam.
Menurut beliau, program Lamanita yang julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan dari kaum wanita di lapan daerah di seluruh Terengganu.
“Lamanita sangat sesuai untuk suri rumah kerana ia bukan sahaja memupuk minat dalam bidang pertanian, malah dapat meningkatkan pendapatan isi rumah melalui aktiviti pertanian di halaman kita sendiri," tambah beliau.
Tuan Roslina turut menyeru semua pihak untuk bersatu padu menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan wanita melalui ilmu, kemahiran dan akhlak terpuji.
"Program ini adalah sokongan kita kepada kerajaan negeri yang mana kerajaan sentiasa mewar-warkan membantu kerajaan dalam membangunkan sektor pertanian yang lestari dan mesra alam.
"Dengan ilmu yang kita ada dengan apa yang kita laksanakan di peringkat halaman rumah masing-masing.
"Kita mengharapkan program akan terus maju ke hadapan untuk jadi satu aktiviti keusahawan para wanita di negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau menambah, visi dan misi Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) adalah melahirkan golongan wanita berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri secara holistik.
Katanya, program ini menjadi platform penting dalam mendidik komuniti agar lebih aktif dan produktif, sekaligus menjadikan pertanian sebagai satu budaya baharu dalam kehidupan seharian rakyat Terengganu.
09 May 25
802
Exco, JHEAT Bincang Perkukuh Garis Panduan Syariah Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 9 Mei – Terengganu terus mengukuhkan pelancongan mesra syariah melalui kerjasama antara Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jawatankuasa Pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, dalam usaha terbabit beliau menerima kunjungan Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin.
“Pertemuan ini bertujuan bagi mengukuhkan garis panduan pelancongan negeri agar selari dengan nilai Islam dan syariah.
“Kerjasama antara JHEAT dan pengusaha pelancongan penting supaya pelancongan di Terengganu tidak bercanggah dengan budaya dan agama,” katanya pada kenyataan semalam.
Razali berkata, dasar pelancongan mesra syariah akan meningkatkan imej Terengganu dan menarik pelancong yang ingin bercuti mengikut cara Islam.
“Kerjasama yang lebih teratur antara pihak agama dan penggiat industri pelancongan perlu diwujudkan supaya pembangunan pelancongan tidak menyimpang dari budaya dan agama.
“Insya-Allah, dengan usaha bersama dan sokongan rakyat, Terengganu mampu menjadi contoh utama pelancongan Islamik di Malaysia dan rantau ini,” ujarnya.
09 May 25
258
Imtiaz Besut Rangkul Juara MASSMIYT
SETIU, 8 Mei - Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Besut dinobatkan sebagai juara keseluruhan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Yayasan Terengganu (MASSMIYT) Ke-10.
Kejayaan itu diraih selepas menewaskan tujuh sekolah lain dalam kejohanan sukan melibatkan semua sekolah menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.
Kejohanan itu membabitkan persaingan sengit merebut pingat emas melibatkan 16 acara yang dipertandingkan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, yang merasmikan majlis penutup, agenda pembangunan sukan di Imtiaz turut berkembang di kalangan murid.
"Di samping Imtiaz merekodkan kecemerlangan akademik yang sangat membanggakan," katanya.
Turut hadir dalam majlis itu, Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Megat Samsudin Megat Yusof dan Pengetua Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Setiu, Siti Halimah Sidek.
Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kuala Nerus dinobatkan sebagai juara bagi perarakan terbaik.
Sementara itu, SMIYT Besut merangkul johan keseluruhan lelaki dan johan bagi keseluruhan perempuan menjadi milik tuan rumah, SMIYT Setiu.
08 May 25
151
320 Wanita Sertai Program Tani Jana Sumber Pendapatan
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Program Lamanita yang melibatkan penyertaan seramai 320 wanita daripada 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu diyakini mampu menjadi pemangkin kepada usaha memperkasakan wanita melalui bidang pertanian.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, YB Zuraida Md Noor berkata, program anjuran Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dengan kerjasama Exco Pertanian dan Kebajikan itu bertujuan menjadikan pertanian sebagai sumber ekonomi baharu kepada golongan wanita, khususnya suri rumah, ibu tunggal dan wanita bekerjaya.
“Saya yakin program ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat. Kita tidak rugi berbudi kepada tanah kerana selain membantu menjimatkan perbelanjaan dapur, ia juga berpotensi menjana pendapatan sekiranya diusahakan secara serius dengan ilmu dan bimbingan yang betul.
“Kita mahu bantu wanita mengurus tanaman walaupun dalam kesibukan harian. Kaedah fertigasi sangat sesuai kerana tidak memerlukan masa yang banyak. Inilah sebabnya penting untuk mereka hadir kursus dan bengkel anjuran Jabatan Pertanian bagi memperoleh ilmu dan kemahiran yang tepat,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Lamanita peringkat daerah Kuala Terengganu di Pusat Pertanian Bandar, di sini hari ini.
Menurut beliau, fokus utama program Lamanita ialah menggalakkan aktiviti pertanian di halaman rumah dengan kaedah moden seperti fertigasi yang membolehkan tanaman diurus secara automatik tanpa perlu dipantau setiap masa.
Mengimbas pengalaman beliau sebagai ADUN Wanita sebelum ini, Zuraida berkata, beliau pernah memilih 10 peserta dan memperuntukkan bajet khas untuk membolehkan mereka mengusahakan tanaman fertigasi di halaman rumah masing-masing, dan hasilnya amat memberangsangkan.
Dengan sokongan padu daripada Jabatan Pertanian dan Exco Pertanian, beliau yakin program seperti ini boleh dijadikan program tahunan kerana sambutannya sangat menggalakkan.
“Terengganu adalah bumi yang bertuah. Ramai rakyat kita mempunyai laman rumah yang sesuai untuk bercucuk tanam. Bagi mereka yang tinggal di rumah bertingkat atau flat, kaedah tanaman yang sesuai juga ada disediakan,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh inisiatif seperti Lamanita dengan menyediakan geran, peralatan, dan yang paling penting, ilmu.
“Saya percaya jika wanita benar-benar mendalami ilmu pertanian, ia bukan sahaja boleh membantu meringankan beban kewangan keluarga, malah berupaya menjana pendapatan tetap serta menyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat dalam sektor pertanian,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap program Lamanita terus diberi sokongan dan akan menjadi salah satu inisiatif utama dalam pembangunan sosioekonomi wanita di negeri Terengganu.
08 May 25
163
Permit Khas Candat Sotong Diperkenal
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Kerajaan Negeri dalam proses mengeluarkan permit khas bagi membolehkan lebih ramai pengusaha bot nelayan terlibat dalam Program Candat Sotong Terengganu, yang semakin mendapat sambutan daripada pelancong setiap kali musimnya tiba.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, isu berkaitan pengusaha bot nelayan yang tidak memiliki lesen 'Sport Fishing' telah diberi perhatian sejak tahun lalu.
"Bagi pelaksanaan Program Candat Sotong ini, kita memperkenalkan permit khas yang terhad kepada jarak tiga hingga empat kilometer dari daratan sahaja. Permit ini hanya sah sepanjang musim mencandat iaitu dari bulan April hingga Oktober," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Jawatankuasa 1, Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.
Beliau menjelaskan, pihak kerajaan sedang berusaha untuk memastikan permit tersebut dapat dikeluarkan dengan segera bagi memudahkan penyertaan pengusaha bot di seluruh negeri.
"Lebih daripada 4,000 bot nelayan di Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut terlibat dalam program ini, kecuali bot laut dalam. Program ini penting kerana memberi peluang kepada nelayan menjana pendapatan sampingan dengan membawa pelancong merasai sendiri pengalaman mencandat sotong," tambahnya.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata, pada asalnya permit khas tersebut sepatutnya telah dikeluarkan, namun pelaksanaannya masih memerlukan sedikit masa kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan bagi memastikan program berjalan dengan lancar.
"Akan diadakan satu lagi mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan bot, yang masih dalam perbincangan antara Jabatan Laut, Jabatan Perikanan serta para pengusaha," katanya.
Tambahnya lagi, sebelum ini pihaknya telah mengadakan sesi libat urus bersama lebih 3,000 pengusaha bot yang memohon untuk mendapatkan kebenaran menyertai program ini memandangkan kebanyakan daripada mereka hanya memiliki lesen bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan secara memukat.
"Mereka yang telah memiliki lesen 'sport fishing' tidak perlu memohon permit khas kerana ia sudah termasuk dalam kebenaran mencandat sotong. Cuma bot-bot pesisir ini sahaja yang memerlukan permit khas.
"Kita wujudkan permit khas yang berbeza daripada lesen sedia ada, dan permit ini hanya terpakai untuk tempoh April hingga Oktober sahaja," katanya.
08 May 25
1319
Program Candat Sotong Kini Bertaraf Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Program Mencandat Sotong Terengganu kini melangkah ke pentas antarabangsa apabila berjaya menarik penyertaan wakil luar negara seperti dari Thailand, Singapura dan Filipina.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, promosi dilaksanakan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) mendapat sambutan amat memberangsangkan, termasuk daripada peserta antarabangsa yang akan menyertai program sepanjang musim dari April hingga Oktober.
“Lebih 3,000 bot yang dikhususkan bagi aktiviti mencandat sotong akan beroperasi di seluruh perairan Terengganu, dan dijangka menarik lebih 30,000 pelancong sepanjang musim ini.
“Ia berpotensi menjana pulangan ekonomi sekitar RM7.5 juta menerusi tempahan penginapan, pakej candat, serta limpahan ekonomi kepada komuniti tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Pelancaran Program Musim Candat Sotong yang diadakan di Bilik Mesyuarat Jawatankuasa 1, Tingkat Enam, Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Hilman Hajijan.
Tambah beliau, karnival utama yang dinamakan 'Pakat Maghi Candak Sutong' akan berlangsung pada 8 hingga 11 Mei bertempat di Tempat Letak Kereta Menara Jam, Jeti Pelancongan Marang.
“Istimewanya kali ini, program ini bukan sahaja akan dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud serta barisan EXCO Kerajaan Negeri Kelantan,” ujarnya.
Razali turut menyatakan keyakinan bahawa Program Candat Sotong bakal menjadi produk pelancongan ikonik negeri yang mampu menembusi pasaran serantau secara lebih meluas pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Razali berkata antara kelainan yang turut dilakukan bagi menggandakan kemeriahan program akan ada 14 karnival yang diadakan sepanjang program selain tiada pertandingan yang akan dianjurkan.
“Sebaliknya ditekankan elemen pelancaran musim dan keterlibatan pelbagai sektor seperti komuniti, pelancong, media dan agensi pelancongan.
“Turut serta dalam liputan ialah media perdana, media sosial serta pemengaruh dari dalam dan luar Terengganu termasuk dari Thailand yang akan membantu memperluaskan capaian program ini secara digital dan nasional,” ujarnya.
Dalam pada itu katanya, bagi mempergiatkan promosi dan sokongan daripada industri perhotelan, beberapa hotel utama di Kuala Terengganu akan turut memperkenalkan menu bertemakan sotong.
08 May 25
295
16 Pelajar Politeknik Dungun Terpilih Ke China
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 8 Mei - Seramai 16 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini terpilih menyertai Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) di Liuzhou, China.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 34 pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) yang diberi kepercayaan untuk menjalani latihan intensif industri bagi fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
"Kejayaan ini membuktikan kompetensi tinggi graduan POLYCC serta mengangkat martabat PSMZA yang bukan sahaja setanding, malah berjaya mengatasi IPT lain dalam pemilihan pelatih ke luar negara.
"Ini turut mencerminkan pengiktirafan industri terhadap sistem pendidikan TVET negara yang semakin diyakini dalam melahirkan tenaga kerja mahir berteknologi tinggi, " ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman meluahkan rasa bangga diatas pemilihan pelajarnya dalam kumpulan pertama melibatkan 102 pelatih yang akan memulakan latihan di China secara berperingkat bermula 15 Mei ini.
Menurut beliau, pemilihan ini mencerminkan keupayaan teknikal dan tahap kesediaan tinggi pelajar PSMZA, hasil dari latihan berasaskan industri serta sokongan fasiliti dan tenaga pengajar yang kompeten.
“Ia juga merupakan hasil hubungan baik dan kerjasama erat yang terjalin antara PSMZA dan pihak Malaysia Rail Link (MRL) sejak sekian lama, ” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan, latihan selama setahun itu akan menjadi batu loncatan penting kepada para pelajar untuk menyumbang secara langsung dalam fasa pengoperasian ECRL yang dijangka bermula Januari 2027.
08 May 25
416
Lamanita Galak Wanita Bertani, Jana Pendapatan Dari Halaman Rumah
KUALA TERENGGANU, 7 Mei– Golongan wanita di Terengganu diseru agar mengambil peluang menceburi bidang pertanian secara lebih serius dan berterusan melalui Kursus Lamanita yang mula dianjurkan di setiap daerah negeri ini.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program itu dirangka bagi melahirkan golongan wanita berdikari yang mampu menjana pendapatan sampingan melalui kaedah pertanian moden.
Katanya, golongan sasaran utama terdiri daripada 40 orang peserta di setiap daerah terdiri ibu tunggal, suri rumah serta wanita B40 yang memiliki tanah lapang dan komitmen tinggi untuk mengikuti keseluruhan latihan serta aktiviti susulan.
“Kursus ini memberikan kemahiran dan pengetahuan baru kepada peserta dalam bidang pertanian dan meningkatkan pendapatan isi rumah melalui aktiviti pertanian bandar serta pemprosesan produk agro.
“Menyokong agenda kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pertanian lestari dan mesra alam serta mewujudkan platform keusahawanan bagi wanita dalam sektor pertanian dan perniagaan produk asas tani,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Menurutnya, program ini bukan sekadar mengajar cara bercucuk tanam, tetapi juga memupuk semangat keusahawanan serta keyakinan diri dalam kalangan wanita.
Justeru itu, beliau berharap usaha seperti ini tidak hanya menjadi 'angin pasang', tetapi diteruskan secara konsisten bagi melahirkan kelompok petani wanita yang berjaya dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri secara berkat dan lestari.
"Kami mengharapkan program seumpama ini dapat menjadikan rakyat Terengganu bukan sekadar menanam, tetapi satu usaha menjana rezeki, menjimatkan belanja, dan paling penting, menyumbang kepada keterjaminan makanan keluarga.
“Semoga setiap benih yang ditanam menjadi amal jariah, dan bukti kesungguhan kita memakmurkan bumi ini,” tambah Roslina.
07 May 25
222