Artikel "Utama" Terkini
Pelajar 14 Tahun Mati Lemas
KEMAMAN,14 Mei - Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika cuba melepaskan mata kail yang tersangkut.
Ketika kejadian di Kampung Padang Kemunting, Kijal, pada Isnin empat rakannya hanya mampu melihat kerana keadaan sungai yang terlalu dalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, mangsa, Mohamad Shahrizuan Hafizi Mohamad Azli, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal, disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman pada jam 7.37 malam semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama empat rakannya berusia antara 11 hingga 15 tahun keluar memancing sekitar jam 11 pagi.
“Ketika sedang memancing, mata kail milik mangsa tersangkut pada sebatang kayu di dalam sungai.
“Mangsa kemudian turun ke dalam air untuk melepaskan mata kail tersebut, namun dipercayai tergelincir dan lemas.
“Rakan-rakan mangsa yang melihat kejadian itu tidak berani terjun kerana air terlalu dalam, lalu segera meminta bantuan penduduk kampung,” katanya menurut laporan berita Sinar Harian semalam.
Tambah beliau, seorang penduduk bertindak pantas terjun ke sungai untuk menyelamatkan mangsa dan membawanya ke tebing sebelum memberikan bantuan pernafasan (CPR) sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dengan bantuan pasukan penyelamat, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada malam kejadian,” katanya lagi.
14 May 25
334
Dari Dapur ke Laut : Gadis Terengganu Turun Candat
KUALA TERENGGANU, 22 Mei – Wanita muda Terengganu terus membuktikan keupayaan mereka meneroka dunia luar dengan berani melalui program lasak terbaharu, ‘Jom Candat Pulak’. inisiatif sulung yang diperkenalkan selepas kejayaan mendaki pelbagai puncak gunung dan bukit sebelum ini.
Ketua Ameerah Fan Club (AFC) Terengganu, Asma Wahap, berkata seramai 30 peserta wanita berusia antara 18 hingga 40 tahun menyertai program yang dianjurkan bersama Ameerah Terengganu.
“Tiga buah bot telah disediakan dan dijadualkan berlayar pada petang Khamis, 22 Mei, dan pulang ke darat pada pagi Jumaat, 23 Mei, insya-Allah.
"Setiap bot dilengkapi kemudahan asas termasuk tandas dan ruang rehat bagi memastikan keselesaan peserta,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Asma, program tersebut bukan sekadar memperkenalkan aktiviti mencandat sotong sebagai hobi, tetapi sebagai medium untuk membina jati diri, daya tahan fizikal dan mental, serta memperkukuh semangat berpasukan dan ukhuwah dalam suasana yang mencabar dan luar kebiasaan.
“Kami ingin mencabar stereotaip bahawa aktiviti lasak bukan hanya milik kaum lelaki. Ini adalah ruang bagi wanita muda mengekspresikan minat mereka dalam aktiviti luar, tanpa perlu menyembunyikan kekuatan sebenar yang mereka miliki,” ujar beliau.
Jelasnya, lebih daripada sekadar program santai di laut, 'Jom Candat Pulak' membawa mesej besar wanita muda Terengganu tidak gentar untuk menongkah arus, menolak sempadan norma dan membuka jalan untuk generasi baharu lebih yakin mencabar diri dalam ruang-ruang yang jarang diteroka.
Ujar beliau, program berkenaan juga dijadikan projek rintis dengan harapan ia akan diperluas ke peringkat kawasan dan DUN pada masa akan datang.
“Kami amat mengharapkan sokongan berterusan daripada masyarakat dan kepimpinan setempat agar usaha memartabatkan peranan wanita melalui aktiviti sihat dan berimpak tinggi ini dapat diteruskan secara lebih menyeluruh,” tambah Asma.
13 May 25
1035
Terengganu Jadi Tuan Rumah SDSI 2.0 Wilayah Timur
TAWAU, 13 Mei - Terengganu bakal menjadi tuan rumah bagi program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 peringkat Wilayah Timur yang akan berlangsung pada 31 Julai hingga 2 Ogos di Terengganu Trade Centre (TTC).
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman berkata, SDSI 2.0 selama tiga hari itu merupakan inisiatif bagi mengetengahkan produk usahawan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang di bawah satu bumbung.
Katanya, program dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal menampilkan keunikan tersendiri dengan menghimpunkan pelbagai produk unik yang menjadi identiti sesebuah daerah dan negeri.
“Dengan adanya showcase ini pembeli, ejen pemasaran, stokis dan lain-lain dapat mewujudkan jaringan perniagaan, sekali gus mengembangkan lagi pasaran produk mereka.
“Saya berharap agar Showcase ini dapat dilaksanakan dengan lancar penyertaan para usahawan dan dimeriahkan dengan kehadiran segenap lapisan masyarakat.
“Semoga pelaksanaan SDSI 2.0 dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang dan melonjakkan industri-industri yang mencerminkan keistimewaan sesebuah daerah di seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran SDSI 2.0 Peringkat Wilayah Borneo di Tawau yang turut menampilkan penyertaan tiga usahawan dari Terengganu iaitu Tokku Lekor, Sutera Spa dan Azzira Craft.
Dalam masa sama, beliau berharap lebih ramai usahawan Terengganu akan menyertai program-program yang mampu mengangkat ekonomi mereka dengan lebih jauh.
Tambah Ariffin lagi, ia juga membuktikan kerajaan negeri sentiasa komited dalam membangunkan usahawan dan terus menyokong mereka menerusi pelbagai inisiatif.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Showcase SDSI 2.0 untuk merasai keunikan dan kemeriahan acara ini melalui aktiviti jualan pelbagai produk dan menu oleh usahawan SDSI daripada Wilayah Timur.
13 May 25
1033
Pengeluaran Padi: Terengganu Kedua Terbaik di Malaysia
KEMAMAN, 13 Mei – Terengganu kini semakin hampir menyaingi kawasan pengeluaran padi tertinggi negara apabila Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Bersepadu Terengganu Utara (IADA) KETARA di Besut berjaya mencapai purata 5.2 tan metrik sehektar, hanya sedikit di bawah rekod tertinggi nasional iaitu 5.6 tan metrik di Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata pencapaian ini menunjukkan potensi luar biasa sektor pertanian negeri yang sering dipandang kecil berbanding negeri pengeluar utama lain.
"5.2 ini sebenarnya angka yang tertinggi dalam negara selepas Pulau Pinang.
"Purata pengeluaran per hektar paling tinggi adalah 5.6 sahaja di IADA Pulau Pinang," katanya ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.
Menurutnya, walaupun keluasan sawah di Vietnam dan Thailand jauh lebih luas, masing-masing 7 juta dan 9 juta hektar, serta ditanam tiga kali setahun, pendekatan Terengganu tetap pragmatik demi menjaga kelestarian.
"Kita di sini nak buat Paya Dadong dan Paya Paman daripada satu kali setahun kepada dua kali setahun sahaja.
"Kita tidak berhasrat untuk jadikan tiga kali setahun kerana kita faham dengan risiko bencana banjir yang dihadapi di kawasan ini," tambah beliau lagi.
Beliau menegaskan bahawa musim tengkujuh yang menjadikan sawah “bertukar menjadi laut” adalah faktor utama yang menghalang penanaman sepanjang tahun.
"Apabila monsun datang, semua orang kena berehat, tak boleh menanam," ujarnya.
13 May 25
3386
Perantau Jadi Penghubung Kerajaan Negeri Dengan Anak Terengganu
TAWAU, 12 Mei - Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (PERANTAU) memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan antara kerajaan negeri dan anak-anak Terengganu di perantauan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Dato' Ariffin Deraman berkata melalui platform tersebut, pelbagai pencapaian terkini kerajaan negeri dapat dikongsi secara telus.
Katanya, seperti Majlis Ramah Mesra Anak Terengganu yang diadakan setiap tahun menjadi salah satu bukti keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat Terengganu bahawa mereka sentiasa dihargai walaupun berada jauh di seberang lautan.
"Majlis ramah mesra ini patut diadakan lebih kerap bagi mempereratkan lagi hubungan antara kita semua.
"Semoga ukhuwah ini terus mekar dan menjadi penghubung antara warga Terengganu di Sabah dengan tanah air tercinta," katanya kepada pemberita ketika dihubungi.
Terdahulu satu Majlis Ramah Mesra Anak Terengganu dan Warga KMI Tawau Medical Centre di Tawau telah dianjurkan baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, beliau turut meluangkan masa bersama warga KMI Tawau Medical Centre sebagai menghargai jasa serta dedikasi mereka yang gigih berbakti dalam sektor kesihatan.
Tambahnya lagi, pujian perlu diberikan atas usaha Perantau mengadakan pelbagai program yang dapat mengumpulkan anak Terengganu sekali gus bertukar pendapat idea bagi perkembangan negeri kelahiran mereka.
Ariffin turut memaklumkan berkenaan Pembiayaan Tabung Usahawan untuk anak Terengganu di perantauan yang menjalankan perusahaan atau perniagaan supaya merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan negeri.
12 May 25
350
Exco Terengganu Tamatkan MBA, Kongsi Pentas Dengan Dua Anak
SHAH ALAM, 12 Mei – Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, sekali gus membuktikan bahawa usia bukan halangan untuk terus menimba ilmu.
Lebih istimewa, beliau bergraduasi bersama dua orang anaknya, Mohd Alinur Haqqim, 36 dan Nur Aisyah Hanim, 34, yang turut menerima ijazah dalam bidang yang sama pada Majlis Konvokesyen ke-101 UiTM semalam.
Razali, 59, berkata beliau memulakan pengajian MBA pada tahun 2021 ketika masih memegang jawatan sebagai Senator di Dewan Negara.
“Walaupun ketika itu, jadual saya sangat sibuk dengan pelbagai tugas rasmi, namun dengan izin Allah SWT, saya berjaya tamatkan pengajian ini.
“Saya juga sempat menangguh satu semester untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023, di mana saya bertanding sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.
Sebagai Exco Pelancongan dan Wakil Rakyat Kijal, Razali berharap ilmu yang diperoleh dalam bidang pentadbiran perniagaan ini dapat dimanfaatkan untuk memajukan sektor pelancongan dan pembangunan negeri Terengganu secara keseluruhan.
“Saya berharap ilmu yang saya peroleh dapat digunakan untuk membantu menguruskan negeri dan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap golongan muda agar tidak berputus asa mengejar ilmu walaupun mungkin menghadapi cabaran di awal perjalanan mereka,” ujarnya.
Menurutnya, kegagalan awal tidak bermakna gagal selama-lamanya. Teruskan berusaha.
12 May 25
886
RM1.5 Juta Dibelanja Naik Taraf, Infrastruktur Sawah
KEMAMAN, 11 Mei – Lebih RM1.5 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Terengganu sejak 2019 bagi menaik taraf sistem pengairan dan infrastruktur pertanian di Paya Dadong dan Paya Paman, namun hakikatnya, jika tiada beras, tiada siapa dapat menjamah nasi, walaupun wang berbillion di tangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, keseluruhan jumlah tersebut merangkumi peruntukan dari kerajaan negeri, persekutuan dan pelbagai sumber lain bagi membina pagar, jalan ladang serta sistem pengairan moden.
"Kalau dicampur, sebanyak RM1.576 juta telah kita salurkan di Paya Dadong dalam tempoh enam tahun, dan kalau dibahagi kepada 19 orang peserta, akan jadi RM82 ribu seorang.
"Baik kita bahagi duit, tak payah tanam padi, tapi kalau tiada beras, macam mana kita nak makan nasi?,” katanya, sebagai sindiran kepada pandangan yang menganggap pertanian sebagai beban perbelanjaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini hari ini.
Turut hadir, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.
Menurut beliau, peruntukan tambahan sebanyak RM500 ribu turut disalurkan di kawasan Paya Paman yang hanya mempunyai enam peserta, menjadikan peruntukan per individu lebih tinggi, namun prinsip kerajaan tetap sama, galakkan kerja, bukan beri tunai.
"Kalau kita bahagi kepada enam peserta, setiap orang akan dapat RM83 ribu, tapi kita tak buat begitu sebab kita nak tuan puan terus berusaha," katanya.
Dr. Azman turut mendedahkan pengalaman peribadinya sewaktu mula menjadi Exco pada tahun 2018, apabila didatangi seorang penasihat kanan kepada pemimpin negara mempersoalkan keutamaan kerajaan negeri dalam sektor penanaman padi.
"Dia kata petani tetap miskin, lebih baik beli saja beras dari luar, tak perlu subsidi, tak perlu tali air, tak perlu buat empangan dan jalan ladang," katanya memetik perbualan tersebut.
Namun katanya, realiti dunia menunjukkan bahawa wang semata-mata tidak mampu menyelamatkan negara ketika krisis makanan, apatah lagi jika negara pengeluar menutup pintu eksport.
"Saya kata, kita boleh beli kalau ada orang nak jual, tapi kalau sampai masa kita ada duit tapi tiada siapa nak jual, kita boleh beli tak?" katanya tegas.
Beliau menegaskan, negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sendiri pernah menyekat eksport beras sehingga keperluan domestik mereka mencukupi.
"Polisi mana-mana negara mesti mencukupkan makanan untuk rakyat dulu sebelum dibenar eksport," jelasnya.
Azman menyimpulkan bahawa dalam krisis sebenar, kekayaan bukan lagi pada wang, tetapi pada makanan yang cukup untuk rakyat.
"Orang bijak pernah kata, ketika krisis makanan, orang paling kaya ialah orang yang ada makanan," ujarnya.
11 May 25
150
Lebih 200 Peserta Turut Ke Laut Candat Sotong
MARANG, 11 Mei – Lebih 200 peserta termasuk pelancong asing turun ke laut bagi menyertai Program Candat Sotong Terengganu 2025 yang berlangsung meriah di Jeti Pelancongan Marang, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program tersebut bukan sahaja menghidupkan suasana musim candat, malah turut mempromosikan budaya tradisi nelayan Terengganu kepada masyarakat luar.
"Sebanyak 21 bot nelayan digunakan bagi membawa para peserta ke perairan Marang untuk aktiviti mencandat sotong yang menjadi tarikan unik pelancongan maritim negeri ini.
"Tahun ini, tema ‘Pakat Maghi Candat Sotong 2025’ berjaya tarik ramai peserta termasuk penggiat media sosial dan wartawan luar negara,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Candat Sotong Terengganu 2025 bertempat di Jeti Marang, kelmarin.
Turut hadir, Timbalannya, Sulaiman Sulong dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan.
Razali berkata, musim candat sotong yang berlangsung dari April hingga Ogos tahun ini dijangka melibatkan lebih 3,000 bot, dengan kehadiran kira-kira 30,000 pelancong ke perairan Terengganu.
"Pogram ini mampu menjana lebih RM7.5 juta kepada ekonomi tempatan termasuk pengusaha bot, pemilik penginapan dan peniaga kecil.
"Pelancaran musim candat kali ini juga dilihat sebagai langkah awal Terengganu menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, dengan menjadikan aktiviti laut sebagai tarikan utama pelancong," ujarnya.
11 May 25
339
Sultan Mizan Berangkat Ke Forum Agama Bersama Warga Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke Majlis Forum Agama Sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-63 tahun semalam.
Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Program yang berlangsung di Tapak Pasar Pagi Bandar Permaisuri, Setiu, dihadiri peserta pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat.
Forum bertajuk 'Akidah Islamiyyah: Menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah' itu menampilkan Tuan Zakaria Othman sebagai moderator bersama tiga ahli panel terdiri daripada Zul Ramli Mohmmed Razak, Dato’ Kamarudin Abdullah, dan Prof. Dr. Sharifah Hayaati Syed Ismail al-Qudsy.
Antara intipati forum yang berlangsung selama dua jam itu ialah penekanan terhadap asas keteguhan akidah yang menjadi kunci kepada pengukuhan keimanan kepada Allah S.W.T. bagi umat Islam.
Dalam pada itu, salah seorang pengunjung yang hadir, Atiekah Ali, 27, menyatakan keterujaannya melihat penyertaan daripada penduduk daerah Setiu dalam menghadiri majlis ilmu khususnya di Bandar Permaisuri pada malam itu tadi.
"Sepanjang hidup saya di Permaisuri, ini adalah merupakan kali pertama saya merasai sendiri pengalaman di mana ramai orang berkumpul untuk menghadiri program seperti ini dan paling istimewa, Sultan sendiri turun (datang) ke sini.
"Mungkin sebelum ini saya terlepas pandang akan anjuran program sedemikian di kawasan ini (Bandar Permaisuri), namun saya masih merasa kagum melihat bilangan ramai orang bersungguh-sungguh untuk hadir.
Dia yang merupakan seorang usahawan di kawasan berhampiran tapak majlis tersebut berkata demikian ketika ditemui oleh pihak Urus Setia Darul Iman, di sini, semalam.
10 May 25
1022
Sultan Mizan Hadir Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat Di Setiu
SETIU, 10 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Teh Bersama Rakyat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Keberangkatan tiba baginda diiringi oleh Sultanah Nur Zahirah; Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka anakanda.
Turut mengiringi, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Nara Setia dan barisan-barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.
Majlis juga diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), dendangan nyanyian daripada artis tempatan serta tarian tradisional pelajar Sekolah Kebangsaan Tanjung Gelam.
Jamuan yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, Setiu itu dihadiri lebih ribuan pengunjung yang terdiri daripada penjawat awam, pelajar-pelajar serta masyarakat setempat.
10 May 25
1543