Artikel "Utama" Terkini
RM5 Juta Bina Masjid Kem Tentera Seberang Takir
Azmin menyerahkan replika cek projek pembinaan masjid kepada Dr. Samsuri.KUALA NERUS, 14 Februari - Kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta bagi membangunkan masjid baharu Kem Seri Pantai 18 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) (Para) Seberang Takir, sebagaimana persetujuan yang dicapai Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) bersama Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada pertemuan yang berlangsung November lalu.Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau dimaklumkan kerajaan negeri akan keperluan untuk membangunkan sebuah masjid baharu di kem tersebut berikutan masjid sedia ada tidak lagi mampu untuk menampung bilangan jemaah yang semakin ramai sama ada di kalangan warga tentera mahupun orang awam.“Selaras dengan perintah Allah SWT yang menyuruh kita berlaku adil, adil perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang mana peruntukan kerajaan hari ini di peringkat Persekutuan harus diagihkan kepada semua negeri secara saksama khususnya negeri-negeri yang masih memerlukan pembangunan untuk mengangkat martabat umat.“Maka, atas semangat untuk bersama-sama membangun dan menyemarakkan syiar Islam di seluruh negara, kementerian saya telah meneliti permohonan ini dan insya-Allah kita setuju utk menunaikan janji ini,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Replika Cek bagi projek masjid tersebut di Kem Seri Pantai 18 RAMD Seberang Takir, di sini hari ini.Dr. Samsuri bersama Azmin melihat pelan pembinaan masjid baharu.Sementara itu, Dr. Samsuri yang hadir menerima replika cek berkenaan menyatakan, kehadiran hari ini secara dasarnya menunjukkan hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.“Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Azmin atas kelulusan pembinaan masjid ini. Di atas semangat menghormati konsep federalisme, kita boleh duduk berbincang dan sepakat dalam membangunkan negeri dan negara kita yang tercinta ini.“Perkara ini penting dalam usaha kita menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 terutamanya dalam aspek pembangunan wilayah yang seimbang,” katanya.Pembinaan masjid baharu tersebut dijangka dimulakan pertengahan tahun ini dan memakan masa sehingga dua tahun.Manakala, masjid lama yang terletak di kem berkenaan dicadangkan bakal menjadi ruang kelas pengajian bagi anak-anak tentera sekiranya mendapat persetujuan pihak Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu.
14 Feb 20
785
Terengganu Terima RM1.14 Bilion Peruntukan Pembangunan Infrastruktur
Azmin ketika bertemu dengan beberapa orang peniaga Pasar Payang bersama Dr. Samsuri.KUALA TERENGGANU, 14 Februari - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.14 bilion untuk pembangunan infrastruktur di negeri Terengganu bagi tahun 2020 selaras Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan negeri.Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, selain daripada peruntukan tersebut, Kerajaan Pusat turut melihat keperluan peruntukan bagi keperluan mendesak untuk memulihkan hakisan pantai yang perlu diberi pertimbangan serius.“Kerajaan negeri sudah bentang perkara ini dalam mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusikan Perdana Menteri pada November lalu, di mana sejumlah peruntukan diperlukan segera kerana hakisan semakin serius. “Keadaan ini akan menyebabkan masalah keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di sepanjang pantai serta menjejaskan sektor pelancongan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Lawatan Kerja Menteri Hal Ehwal Ekonomi ke Terengganu di Pasar Payang, hari ini. Azmin, Dr. Samsuri dan kepimpinan negeri Terengganu bergambar di hadapan Kompleks Pasar Payang.Diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Azmin meninjau beberapa projek pembangunan termasuk Kompleks Pasar Payang dan ‘Drawbridge’ yang memberi kesan ekonomi positif kepada Terengganu.Dalam kunjungan itu, beliau turut menyatakan pihak kementerian sedang berbincang dan menjangkakan proses baik pulih hakisan pantai akan menelan belanja sekitar RM80 juta.“Saya sedang teliti permohonan ini dan saya percaya selepas lawatan ini, kita dapat tengok sendiri keadaan hakisan yang berlaku. “Kita cuba mulakan projek ini pada pertengahan tahun untuk elak musim tengkujuh hujung tahun. Walaupun projek ini ambil masa, sekurang-kurangnya kerja-kerja awal itu dapat dimulakan sebelum musim tengkujuh,” katanya.Lawatan kerja sehari itu merupakan rutin Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bagi membantu pembangunan di peringkat daerah dan negeri.Selain Terengganu, pihak kementerian turut mengenal pasti lima lagi negeri yang perlu diberi perhatian untuk kemajuan pembangunan melalui WKB iaitu Kelantan, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak.
13 Feb 20
64
Isteri Mangsa Langgar Lari Terima Pencen Penakat RM3,500
KUALA TERENGGANU, 13 Februari - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) cawangan Terengganu menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 kepada waris Allahyarham Mohd Nazri Yaakob, 43 yang maut dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Baru Pantai, Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu.Pengarah Perkeso negerI, Farihah Che Husin.berkata, semakan Perkeso mendapati Mohd Nazri yang bertugas sebagai Polis Bantuan Bank Negara Kuala Lumpur telah meninggalkan dua orang anak.“Seorang di antaranya adalah Orang Kurang Upaya iaitu Nurul Nabila, 14 dan Muhammad Zukarnain, 7 selain seorang balu Fadlina Abd Rahman, 39,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan cek FPM dan FOT, di rumah ibu Fadlina, di Pulau Rusa di sini hari ini.Selain FPM, isteri mangsa turut menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) berbentuk pencen bulanan sebanyak RM3,500 sebulan.Bantuan itu adalah sebahagian faedah yang diperoleh waris sekiranya caruman dibuat oleh mereka yang bekerja.Farihah berkata, diharapkan dengan pencen yang diterima dapat bantu keluarga mangsa bina kehidupan seterusnya membolehkan anak-anaknya menikmati kebajikan yang selayaknya daripada Perkeso."Dengan adanya Unit Skuad Perkeso Prihatin juga mempermudah dan mempercepatkan urusan pengagihan kepada waris," katanya.Hadir sama menyampaikan bantuan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah
13 Feb 20
607
LTdL 2020 : Harrif Saleh Menang Lagi!
Harrif membuktikan anak Terengganu mampu menewaskan jaguh lumba basikal Eropah. Foto ihsan - LTdL.KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Kehebatan jaguh pecut negara, Harrif Saleh sudah tidak dapat dibendung apabila sekali lagi mencipta sejarah dengan mengungguli peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 sebentar tadi.Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu berkata, meskipun dalam keadaan cuaca lembap dari Bagan ke Alor Setar, strategi dan kerjasama dari rakan-rakan sepasukannya berjaya meletakkan dirinya sebagai juara.“Rakan sepasukan sangat bekerja keras untuk menempatkan diri saya dalam kelompok hadapan, Carlos Quintero, Nur Amirul Fakhruddin, Metkel Eyob dan Artem Ovechkin sentiasa melindungi saya di sepanjang laluan berangin.“Dan pada satu kilometer terakhir saya mencari kedudukan pelumba Bardiani CSF Faizane, Matteo Pelucchi, saya melihat dia melakukan pecutan pada 300 meter terakhir, saya terus dapatkan dia dan memintas dia di 100 meter sebelum penamat,” katanya ketika ditemui pemberita.Tambahnya lagi, peringkat terakhir esok pastinya akan menjadi lebih mencabar kerana setiap pelumba mahu mencari mata untuk merampas dan mengekalkan jersi masing-masing.“Ditambah pula dengan laluan berbukit ia pastinya menjadi sukar buat saya, apa-apa pun kami (TSG) akan buat yang terbaik,” ujarnya yang menamatkan perlumbaan 130.4 kilometer itu dengan masa dua jam 53 minit 18 saat.Harrif muncul pelumba Asia Pertama yang memenangi tiga peringkat dalam LTdL.Pecutan Harrif ternyata gagal dicabar oleh Pelucchi apabila sekadar berada di kedudukan kedua dan Taj jones dari pasukan ARA Pro Racing melengkapkan tiga pelumba terbaik.Kemenangan Harrif turut menyaksikan TSG terus kekal sebagai pasukan kedua terbaik LTdL dengan hanya ketinggalan beberapa minit di belakang Sapura Cycling Team (TSC).Manakala, perebutan jersi pula memperlihatkan tiada perubahan apabila dua pelumba TSC Danilo Celano (TSC) dan Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff mengekalkan Jersi Kuning (keseluruhan) dan Merah (raja bukit).Di samping, Maximilian Walscheid dari pasukan NTT Pro dengan Jersi Hijau (Raja Pecut) dan Yevgeniy Fedorov dari Vino - Astana Motors Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia.Saingan peringkat kelapan yang juga terakhir akan bersambung esok iaitu bermula di Dataran Lang dan berakhir di Kuah, Langkawi dengan jarak perlumbaan sejauh 108.5 kilometer.
12 Feb 20
554
Tindakan DAP Tidak Hormati Mahkamah - Dr. Khairuddin
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali At Takiri.Oleh: Mohd Irsyadi Abu BakarKUALA NERUS, 13 Februari - Tindakan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen yang menyanggah keputusan Mahkamah Persekutuan melucutkan kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut memperlihatkan kepada rakyat bahawa mereka benar-benar tidak menghormati mahkamah.Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali melalui satu hantaran di laman Facebooknya menyatakan, lebih membimbangkan lagi apabila kenyataan tersebut dibuat oleh seorang pemimpin yang menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran Kerajaan Pusat seperti Chong Chieng Jen yang merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.“Jika Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi dalam negara, maka tidakkah ini akan menjadikan rakyat biasa lebih berani untuk mempersoalkan keputusan mana-mana mahkamah selepas ini?“Chong Chieng Jen adalah seorang peguam dan patut tahu bahawa amalan tradisi Mahkamah Persekutuan adalah suara menentang (dissenting voice) akan diberikan secara individu oleh tiap-tiap hakim yang menentang manakala suara majoriti (majority voice) pula lazimnya diberikan secara bersama,” tulisnya.Jelasnya, apa yang sepatutnya pemimpin DAP lakukan adalah meminta maaf kepada pengundi Pujut khasnya dan kepada rakyat Sarawak umumnya kerana kesilapan memilih Dr Ting Tiong Choon sebagai calon di DUN Pujut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak walaupun beliau tidak layak.“Rakyat Malaysia yang menghormati undang-undang negara seharusnya beramai-ramai bersuara mendesak Chong Chieng Jen dan DAP meminta maaf atas keterlanjurannya ini,” katanya.
12 Feb 20
111
KESRA Pusat Sukan Untuk Anak Muda - MB Terengganu
Dato Seri’ Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melakukan sepak penalti sebagai merasmikan gelanggang baru Futsal KESRA.Oleh: Aslam WiraMARANG, 13 Februari - Dewan Kelab Sukan dan Rekreasi Rhu Rendang Sejahtera (KESRA) akan menjadi pusat sukan bagi anak muda di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dewan futsal yang sedia ada ini telah diubah suai dengan padang dan gelanggang baharu sebagai tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti sukan.“Saya ucapkan tahniah kepada semua yang bertungkus lumus menyiapkan dewan futsal ini bagi kemudahan orang ramai.“Walaupun asalnya tempat ini untuk anak muda, namun golongan lain termasuk orang tua, muslimat dan anak-anak juga turut dialu-alukan untuk menggunakan dewan ini," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dewan Futsal KESRA dan kejohanan sepak penalti terbuka di Kampung Paya, Kijing di sini semalam.Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ahli Majlis Daerah Marang, Yusuf Abdul Hadi, Pengarah Majlis Tindakan DUN, Hassan Awang dan Ketua Pemuda PAS DUN, Ziyad Zakaria.Kejohanan sepak penalti terbuka yang disertai oleh 36 pasukan telah dijuarai oleh pasukan Hiliran Z86.Selain itu, cabutan bertuah turut diadakan dengan hadiah menarik seperti bola, jersi dan hamper disampaikan oleh Menteri Besar kepada pemenang.
12 Feb 20
579
THT ‘Berpeluh’ Jinakkan TNB
TNB gagal memanfaatkan lima peluang pukulan sudut penalti.KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpaksa bermandi peluh sebelum membenam cabaran Tenaga Nasional Berhad (TNB) 1-0 dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia 2020 di Stadium Hoki Batu Buruk sebentar tadi.Pertahanan import dari Korea Selatan sekali lagi menjadi wira THT apabila berjaya merobek pintu gol TNB pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti.Jang Jong Hyun yang menerima hantaran baik dari Muhammad Umar Bhutta tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan melakukan pukulan cantik ke sudut kanan pintu gol TNB untuk menceriakan hampir 200 penyokong THT.Pelawat yang dibimbing Nor Saiful Zaini Nasiruddin berpeluang menyamakan kedudukan selepas melakukan serangan balas pada minit ke-28, tetapi pukulan Muhammad Ramadan Rosli hanya singgah di tiang gol THT.Beberapa minit berselang THT juga hadir dengan serangan cantik yang dijana oleh pasangan adik-beradik, Faizal Saari dan Fitri Saari, namun penyudah yang tumpul mengecewakan pasukan.Ketangkasan Hafizuddin menyelamatkan tiga mata THT.Perlawanan terus berlangsung sengit dengan deretan peluang yang diperoleh kedua-dua pasukan termasuk lima pukulan sudut penalti yang menjadi milik TNB.Ketangkasan penjaga gol THT, Hafizuddin Othman juga wajar dipuji setelah berjaya menidakkan beberapa peluang keemasan TNB sekali gus memberi kelebihan kepada Terengganu untuk menamatkan perlawanan dengan kedudukan 1-0.Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Jurulatih THT, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, keputusan hari ini memberi tonik terbaik kepada anak-anak buahnya menjelang pertarungan Piala TNB selepas kejuaran liga sudah terlepas ke tangan UniKL.“Perlawanan ini ibarat aksi kalah mati buat kami, kami perlukan tiga mata penuh andai ingin mengekalkan peluang untuk memintas TNB bagi kedudukan kedua liga.“Jaringan Jong Hyun beri kelebihan buat kami bermain secara taktikal, sekali gus mengecewakan lawan dan memberi tonik terbaik kepada kami sebelum saingan Piala TNB bermula,” ujar beliau.THT kini kekal berada di kedudukan ketiga dengan 27 mata yang hanya dipisahkan satu mata di belakang TNB di tempat kedua.Dhaarma memuji semangat yang ditunjukkan anak-anak buahnya.
12 Feb 20
444
Fitnah Free Malaysia Today, Terengganu Tuntut Permohonan Maaf
Oleh: Mohd Irsyadi Abu BakarKUALA TERENGGANU, 12 Februari - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook Free Malaysia Today hari ini.Ianya merujuk kepada hantaran yang menyatakan, “Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti Islam itu dan Umno tidak mengiktiraf kewujudan rakyat berbilang kaum serta agama di Malaysia.”Setiausaha Akhbarnya, Mohd Adram Musa menggesa portal berita tersebut menarik balik hantaran di facebook berkenaan dengan segera dan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri, PAS dan juga UMNO.“Kapsyen yang digunakan oleh Free Malaysia Today ini ternyata merupakan satu fitnah yang jahat kepada Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri, PAS dan UMNO. Bahkan fitnah sebegini boleh menyemarakkan lagi perpecahan kaum di Malaysia.“Tindakan yang tidak beretika daripada portal berita seperti Free Malaysia Today akan menyebabkan keharmonian kaum di Malaysia berada dalam keadaan terancam,” jelasnya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Terengganu, hari ini.Menurutnya, melalui sidang media semalam, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri menyatakan secara jelas bahawa PAS ataupun UMNO khususnya memahami dan mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum dan agama di negara sejak dari awal lagi."Semuanya ada peranan dan hak masing-masing dalam negara," tegasnya.Justeru, beliau turut menasihatkan para wartawan dan portal berita untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh beretika agar dihormati masyarakat.
12 Feb 20
91
Tujuh Perdana Menteri Hiasi Dinding Dewan Tunku Abdul Rahman Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Orang ramai yang melalui Dewan Tunku Abdul Rahman di sini, pasti terpegun melihat mural potret tujuh Perdana Menteri Malaysia menghiasi dinding bangunan itu.Potret hitam putih tujuh Perdana Menteri itu dilukis dan disiapkan empat anak jati Terengganu diketuai Raja Badruddin Hakim Shah Raja Kamarul Bahrin (Ku Bad), 34, Wan Ansri Nizam Wan Ismail (Obi Wang), 37, Zulkarnain Abd Latif (Joe Janggot), 40, dan Mohd Fahmi Abdullah Sani (Moc), 31.Potret Perdana Menteri terdiri daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad disiapkan dalam tempoh 28 hari.Ku Bad berkata, mereka rasa bertuah kerana diberi tanggungjawab menyiapkan tujuh mural potret Perdana Menteri Malaysia pada dinding bangunan berusia 47 tahun itu.“Dewan itu antara bangunan paling lama di negeri ini dan dirasmikan Perdana Menteri kedua iaitu Tun Abdul Razak pada 3 Mei 1973.“Oleh itu kerja-kerja menyiapkan potret tokoh perdana menteri di bangunan itu dijalankan dengan rasa bertanggungjawab dan penuh penghormatan.“Kami siapkan mural itu bermula jam 3 petang hingga 11 malam bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.Tambahnya, mural yang paling tinggi adalah potret Perdana Menteri keempat, Tun Mahathir Mohamad yang terletak di kedudukan paling tengah iaitu lebih 10 meter.“Potret yang paling mencabar untuk disiapkan adalah potret Tun Abdul Rahman Putra Al Haj yang mengenakan tengkolok bersongket.“Bagaimanapun semua potret mempunyai cabaran dan kesukaran tersendiri namun selepas disiapkan, kesemuanya memberi kepuasan yang paling maksimum,” katanya.Sementara itu, Penolong Jurutera Bahagian Bangunan dan Elektrikal MBKT, Mohd Tarmizi Mohd Yusof berkata, idea menghiasi dewan itu dengan mural tujuh Perdana Menteri dicetuskan oleh Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok.“Harapan MBKT supaya dengan adanya mural yang menghiasi bangunan itu akan menceriakan lagi suasana di dalam bandaraya.“Selain diharap akan menjadi penarik seterusnya merancakkan semula penggunaan dewan tertua itu dengan penganjuran pelbagai program di negeri ini,” katanya.
12 Feb 20
1445
Terengganu Optimis Kekal Juara SUKMA Johor - MB
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar optimis kontinjen Terengganu mampu mengukuhkan kedudukan sebagai juara bertahan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 pada kejohanan dwitahunan yang akan berlangsung di Johor bermula 11 hingga 19 Julai ini.Katanya, selain persiapan awal serta strategi yang diatur oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu bersama setiap pengurusan pasukan dan jurulatih sukan masing-masing, Terengganu turut melantik bapa dan jabatan angkat untuk setiap sukan yang disertainya.“Sasaran kita untuk kekalkan kejuaraan, kita ada strategi dan kita buat secara bertahap malah mekanisma yang kita gunakan bagi persediaan kontinjen SUKMA Terengganu pada kali ini juga telah kita laksanakan pada SUKMA 2018 yang lalu yang mana kita berjaya merampas piala kejuaraan SUKMA 2018 setelah kali terakhir kita berjaya laksanakannya pada tahun 2012 di SUKMA Pahang .“Termasuklah dengan pelantikan bapa-bapa angkat ini yang akan memainkan peranan mereka dengan memberi nasihat dan motivasi kepada ahli-ahli sukan di bawah jagaannya,” ujar beliau.Ahmad Samsuri berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pentauliahan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukma Johor 2020 di Wisma Darul Iman, hari ini.Pada majlis berkenaan, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zainal Abidin Hussin dilantik sebagai Ketua Kontinjen SUKMA Terengganu 2020.Sementara, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil sebagai Timbalan Ketua Kontinjen I dan Pengarah Pelancongan Negeri, Ab Rasid Jusoh sebagai Timbalan Ketua Kontinjen II.Mengulas mengenai pelantikan berkenaan katanya, beliau yakin hasil gandingan mantap antara ketua kontinjen dan kedua-dua timbalan yang sangat berpengalaman dalam pembangunan sukan negeri itu akan memberikan kekuatan yang luar biasa kepada kontinjen Terengganu, seterusnya mencipta rekod pencapaian terbaik.“Pertama kali bagi SUKMA, kita melantik dua orang timbalan ketua kontinjen pada satu masa, kerana kita memerlukan tumpuan yang lebih dengan pertambahan bilangan sukan serta acara, dan saingan yang sangat mencabar kali ini terutama daripada kontinjen tuan rumah,” ujarnya.Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada para atlet yang akan mengambil bahagian dalam 29 acara supaya sentiasa menjaga kesihatan.“Di samping menjaga disiplin serta solat fardu dan memperbanyakkan solat-solat sunat dan solat hajat, kekalkan semangat yang telah dipupuk, berlatihlah dengan sekuat mungkin serta mantapkan keyakinan diri supaya mendapat pingat emas di SUKMA nanti.“Berkat kerjasama semua, hasrat kepimpinan serta seluruh rakyat negeri yang ingin melihat kontinjen Terengganu mengekalkan kejuaraan di SUKMA Johor, semoga ianya mampu direalisasikan dan saya yakin harapan dan tanggungjawab yang diberikan mampu dilaksanakan dengan syarat melalui usaha yang terbaik dan sentiasa menghubungkan diri dan pengharapan kepada Allah SWT,” ujarnya.
12 Feb 20
43