Artikel "Utama" Terkini
KMI Healthcare Sahkan Satu Kes COVID-19 di TDMC
KUALA LUMPUR, 6 Mac - Pusat Perubatan Taman Desa (TDMC), salah satu hospital di bawah KMI Healthcare mengesahkan satu kes COVID-19 yang membabitkan seorang perempuan Malaysia berusia 46 tahun yang baru-baru ini kembali dari Jakarta dan Bogor, Indonesia.Kes ini yang melibatkan wanita berkenaan dan keluarga termasuklah suami, anak perempuan dan anak lelakinya telah pergi ke kedua-dua destinasi tersebut dari 13 Februari 2020 hingga 19 Februari 2020.Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan KMI, pesakit telah dimasukkan pada 25 Februari untuk gejala gastrointestinal, iaitu cirit-birit tanpa tanda-tanda demam, batuk, sakit tekak atau kesukaran bernafas.Bagaimanapun, melalui hasil ujianCOVID-19, wanita berkenaan telah dilaporkan positif pada 4 Mac 2020. Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) telah dimaklumkan seperti yangdikehendaki. Pesakit kemudiannya telah dipindahkan ke HKL pada malam semalam untuk rawatan lanjut.Justeru itu, pihak hospital telah menutup semua bilik rawatan yang dijangkiti pada 4hb Mac dan mengenal pasti Pekerja Kesihatan (PK) yang telah bersentuhan dengan pesakit untuk pemeriksaan.KMI kini bekerjasama rapat dengan KKM dengan segala langkah pencegahan yang diambil untuk memerangi penyebaran penyakit ini yang mana kakitangan yang terlibat berada di bawah pemantauan yang rapi atau kuarantin rumah.Oleh kerana sesetengah kakitangan perlu dikuarantin selama 14 hari, kami menyasarkan untuk membuka semula dalam masa 48 jam atau sehingga notis lanjut bergantung kepada nombor kakitangan.Sementara itu, operasi hospital akan diteruskan seperti biasa dengan melakukan langkah-langkah pencegahan termasukpemeriksaan suhu pada semua orang yang masuk ke hospital, kaunter pemeriksaan yang ditetapkan, mengehadkan pintu masuk, maklumat dalam bentuk risalah dan poster COVID- 19 dan menggalakkan amalan kebersihan tangan yang baik.KMI akan terus mematuhi kesemua langkah-langkah pencegahan COVID-19 dan mematuhi Garis Panduan Pengurusan Novel Coronavirus (COVID-19) 2019 di Malaysia yang ditetapkan oleh KKM
05 Mar 20
32
PN Untuk Rakyat Dan Tiada Unsur Perkauman - Khairuddin
Foto Ehsan: The Malay MailOleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 6 Mac – Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali melihat ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan persepsi negatif kepada Perikatan Nasional (PN) dengan memainkan unsur perkauman dan ketidakadilan kepada semua kaum.Beliau berkata, semua pihak perlu melihat ucapan pertama Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menunjukkannya sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat dan ini merupakan satu bentuk keadilan.“Kita (rakyat Malaysia) perlu melihat ucapan Perdana Menteri yang merupakan ucapan dasar iaitu menunjukkan beliau sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan inilah bentuk keadilan.“Sebab itulah tema dalam PAS ialah keadilan untuk semua dan berkebajikan untuk semua tanpa mengira kaum dan perkara ini diterangkan dalam agama Islam,” ujar beliau sewaktu ditemuramah dalam Bernama TV baru-baru ini.Menurut Dr Khairuddin yang juga Pengarah Strategi Parti Islam SeMalaysia (PAS) Pusat, antara punca keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan ialah kegagalan mereka dalam menggambarkan keadilan untuk semua yang sebenar.Ujar beliau, adil bukan bermakna sama rata, tetapi keadilan dalam Islam ialah memberikan hak kepada orang yang berhak.“Antara sebab keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan ialah kegagalan mereka dalam menggambarkan bahawa keadilan untuk semua (keadilan yang sebenar).“Adil bukan bermakna sama rata, tetapi keadilan ialah memberikan hak kepada orang yang berhak menurut Islam,” tambah Dr Khairuddin.
05 Mar 20
49
SMK Cherul Cipta Kejutan SPM Terengganu
Salim Ab Ghani turut zahirkan kegembiraan atas kejayaan SMK Cherul.KUALA NERUS, 5 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan Cherul, Kemaman membuat kejutan apabila dipilih sebagai sekolah yang mendominasi Peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Peningkatan Semua A Terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi seluruh negeri Terengganu.Pengarah Pendidikan Negeri, Salim Ab. Ghani turut melahirkan kegembiraan atas pencapaian tersebut dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan."Kita agak teruja apabila SMK Cherul; sebuah sekolah pedalaman yang terletak di kawasan Felda di Kemaman yang mempunyai hanya 22 calon sahaja, boleh mengetengahkan tiga calon 'straight A' yang belum pernah mereka capai sebelum ini."Sekolah ini mencapai 13.64 peratus GPS yang merupakan peningkatan paling tinggi dalam negeri dan kita nobatkan sebagai sekolah yang menerima Peningkatan Semua A Terbaik," katanya.Salim menyampaikan sijil peghargaan kepada bapa Mohamad Shafiq Akram Shafee, pelajar terbaik negeri Terengganu.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman keputusan SPM 2019 di Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, hari ini.Tambahnya, sekolah berkenaan turut menerima penghargaan Peningkatan GPS Terbaik dengan peningkatan kepada 4.21 GPS berbanding 5.65 pada tahun 2018.Selain itu, sebanyak sembilan buah sekolah dipilih sebagai Sekolah Cemerlang SPM 2019 iaitu SM Sains Sultan Mahmud, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Kuala Terengganu, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kemaman, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Intrgrasi Batu Rakit, SM Sains Dungun, SM Kebangsaan Agama Durian Guling dan SM Sains Hulu Terengganu.Daripada kesembilan sekolah terbabit, sebanyak lima sekolah Lulus Semua Mata Pelajaran 100 Peratus iaitu SM Sultan Mahmud, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Kuala Terengganu, SBP Integrasi Batu Rakit dan SM Sains Dungun.
04 Mar 20
1250
Terengganu Catat Dua Rekod Baru SPM 2019
Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan semua A dari SM Sultan Mahmud meraikan kejayaan mereka. KUALA NERUS, 5 Mac - Negeri Terengganu berjaya mencatatkan rekod baharu negeri melalui Prestasi Gred Purata Negeri (GPN) dan Pencapaian Lulus Semua Mata Pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang diumumkan, hari ini.Pengarah Pendidikan Negeri, Salim Ab. Ghani memaklumkan, Terengganu mencapai gred purata 4.69, mencatatkan peningkatan prestasi gred sebanyak 0.21, sekali gus merupakan rekod baharu negeri."Bagi kita, ini rekod yang besar yang kita belum pernah capai lagi sebelum ini."Terengganu turut merekodkan pencapaian keseluruhan lulus mata pelajaran dengan peningkatan sebanyak 61.21 peratus dengan bilangan 10,510 daripada 19,550 calon yang mengambil peperiksaan tersebut," katanya.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman SPM di Sekolah Sains Sultan Mahmud, di sini.Jelasnya, Terengganu turut merekodkan peningkatan dengan seramai 293 daripada 19,550 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) Negeri Terengganu bagi tahun 2019 berjaya memperoleh pencapaian semua A dalam semua mata pelajaran.Pencapaian ini merekodkan lonjakan sebanyak 0.13 peratus bagi pencapaian semua A dengan peningkatan 293 (1.71%) pelajar pada tahun 2019, berbanding 276 (1.58%) pelajar pada 2018.
04 Mar 20
166
Nisa’ Clever Girl School Attack ‘Terjah’ Dunia Remaja Pelajar
Oleh : Syazwana M.ZohirFoto : Nisa’ News NetworkKUALA TERENGGANU, 5 Mac – Program Nisa’ Clever Girl School Attack merupakan produk yang dilahirkan oleh Nisa' Terengganu dalam memberi persediaan dan bekalan kepada pelajar-pelajar sekolah dalam menghadapi pelbagai permasalahan yang bakal mereka hadapi dalam dunia remaja.Ketua Pertubuhan Nisa’ Kuala Terengganu (Nisa’ KT), Siti Norul Aini Hasmidar Md Razali berkata pihaknya akan ‘terjah’ sekolah-sekolah mengikut parlimen masing-masing bagi memberi pendedahan kepada adik-adik pelajar tentang kepentingan memahami akil baligh dari pelbagai sudut.Katanya, terdapat tiga objektif utama NSA iaitu memberi kefahaman kepada pelajar tentang kepentingan akil baligh dari sudut fiqh Islam, akhlak dan Sains Kesihatan di samping memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara terbaik menangani isu yang berlaku harini seperti sexual grooming (dandanan seksual) serta untuk merapatkan ukhuwwah antara pihak sekolah, pelajar dengan Pertubuhan Nisa' Malaysia.“Alhamdulillah, sambutan sangat memberangsangkan daripada pelajar dan pihak sekolah kerana sebenarnya, sudah lama pihak sekolah merancang program sebegini tapi masih tidak berkesempatan untuk mengadakannya.“Pihak kami bersyukur apabila inisiatif Nisa' ini membuka peluang kepada pihak sekolah untuk memberi kefahaman tentang perkara yang sangat penting untuk remaja perempuan. Pihak sekolah mengharapkan kami untuk mengadakan NSA kali kedua, fokus kepada pelajar menengah atas pula,” ujarnya.Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.Terdahulu, 290 para pelajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah menerima kehadiran skuad Nisa’ School Attack (NSA) baru-baru dengan menampilkan tiga orang penceramah iaitu Ketua Kluster Perubatan Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Khairunnisa’) , Dr Farhaana Husainy Hasbullah, dan Ketua Unit Pendidikan & Kerjaya Nisa’ KT, Musfirah Anuar. “Kami berharap agar adik-adik dapat mengaplikasikan ilmu yang diperolehi dalam kehidupan seharian. Terima kasih kepada pihak sekolah terutamanya Ustazah Hanisah Harun yang sudi menjemput kami.“Jangan jemu, terus-menerus mengutip ilmu dan pengalaman berharga agar mampu menjadi pelajar, anak dan anggota masyarakat yang baik dari aspek sahsiah, seterusnya melahirkan hamba Allah yang hebat untuk ummah”, tambahnya lagi.Menurut Hasmidar lagi, jika ada mana-mana sekolah yang berminat untuk mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Nisa’ bagi penganjuran NSA, boleh berhubung dengan ketua Pertubuhan Nisa’ di kawasan masing-masing.
04 Mar 20
714
Dendong Mukim Tembila Projek Rumah Mampu Milik Terengganu
BESUT, 3 Mac - Projek pembangunan perumahan mampu milik dan bercampur di atas tanah kerajaan seluas 60 ekar di kawasan Dendong, Mukim Tembila di sini merupakan usaha kerajaan negeri bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana (B40) memiliki rumah pertama.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata,pihaknya telah melantik pemaju iaitu Syarikat Wanland Metro Sdn Bhd untuk melaksanakan projek berkenaan dengan mengutamakan pembinaan rumah patuh syariah.“Pembangunan perumahan mampu milik dan bercampur di kawasan ini mengandungi 200 unit rumah teres satu tingkat mampu milik jenis A, 152 unit rumah teres satu tingkat mampu milik jenis B, 237 unit rumah teres dua tingkat jenis C dan 300 unit pangsapuri lima tingkat.“Terdapat juga 18 unit rumah kedai dua tingkat serta masing-masing seunit medan selera, surau, tadika serta dewan serbaguna,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau pembinaan rumah contoh di tapak berkenaan, hari ini.Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohamed.Dr. Alias berkata, unit kediaman tersebut akan dijual pada harga antara RM80,000 hingga RM310,000 seunit kepada orang ramai.Menurut beliau, projek berkenaan akan dijalankan secara berperingkat di mana fasa pertama dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.“Kita akan adakan majlis pecah tanah pada awal April ini dan sekiranya tiada apa-apa halangan projek untuk fasa pertama akan terus berjalan dan dijangka siap 2023,” ujarnya.
03 Mar 20
1992
Dua Bot Nelayan Asing Ditahan, RM 2 Juta Hasil Laut Dirampas
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua buah bot nelayan bersama-sama 23 awak-awak Vietnam termasuk tekong yang menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negeri ini, semalam.Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan di dua lokasi berbeza iaitu pada jarak 107 dan 105 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.Menurut beliau, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 50 tahun kerana tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan disyaki bot nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran tempatan.‘Kedua-dua bot tersebut berjaya ditahan oleh Kapal Maritim KM Segantang dan Bot Maritim Negeri Terengganu yang sedang melakukan rondaan OP Naga Barat dan OP Iman.“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM2 juta termasuk hasil tangkapan laut, minyak diesel, bot dan peralatan menangkap ikan,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di jeti Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.Katanya, kedua-dua bot berkenaan telah dibawa ke jeti Ibu Pejabat APMM, Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen kerana awak-awak tidak memiliki sebarang dokumen yang sah.
03 Mar 20
134
MDS Gesa Masyarakat Patuhi Amaran Obor-Obor Beracun
Obor-obor beracun. Foto ihsan - Google.Oleh : Fahmi IzzuddinSETIU, 3 Mac - Majlis Daerah Setiu (MDS) menggesa orang ramai supaya mematuhi papan tanda amaran ancaman obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese man o' war di sepanjang pantai Terengganu terutamanya di daerah ini.Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran MDS, Nurul Asmera Zamli berkata, obor-obor berkenaan dipercayai boleh mendatangkan kesan teruk kepada kesihatan orang ramai seperti badan akan mengeluarkan bintik-bintik merah, lumpuh dan kematian.“Papan tanda amaran telah diletakkan di kawasan Pantai Rhu 10 di sini, tempat itu menjadi tumpuan orang ramai terutamanya pada cuti hujung minggu,” katanya ketika dihubungi Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.Menurutnya lagi, kesedaran orang ramai mengenai ancaman obor-obor beracun itu amat penting lebih-lebih lagi bagi mereka yang melakukan aktiviti di laut dan pantai.“Semua diingatkan sekiranya terkena serangan obor-obor ini supaya mendapatkan rawatan dengan segera di hospital yang berdekatan,” tambah beliau.Pada pertengahan Februari lalu nelayan tempatan menemui obor-obor beracun di Pantai Rhu 10 dan Pantai Bari.Berikutan itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu telah mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai berhati-hati dengan kemunculan obor-obor tersebut.“Sehubungan itu, kita menasihatkan pengunjung agar tidak bermandi-manda di kawasan pantai (negeri ini) buat masa ini kerana dikhuatiri terkena sengatan obor-obor ini.“Ini kerana masih tiada anti venom untuk serangan obor-obor ini kecuali ubat penahan sakit sahaja. Menurut ahli sains, kesan serta merta yang dirasai dalam tempoh tiga minit ialah kekejangan yang menimbulkan kesakitan melampau,” katanya.
03 Mar 20
326
Berdakwah Tanggungjawab Bersama - Mohd Nor Hamzah
MARANG, 3 Mac - Usaha menyampaikan dakwah demi meningkatkan syiar Islam adalah tanggungjawab bersama dan bukannya terletak di bahu pendakwah dan pihak tertentu sahaja.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, oleh itu wakil pemimpin terutamanya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memainkan peranan dalam setiap aspek agar niat menyampaikan dakwah benar-benar berkesan.Katanya, pihak itu perlu menjadikan slot dakwah sebagai perbincangan penting dalam mesyuarat bulanan MPKK.“’Melaluinya, MPKK perlu turun padang menyampaikan dakwah di kampung-kampung dengan menumpukan golongan belia sebagai sasaran.“Pada masa sama sewajarnya perlu menyemarakkan program Bulan Penghayatan Ibadah Solat di mana perlu menjadi contoh kepada masyarakat setempat dengan datang awal ke masjid untuk solat berjemaah.“Mengikuti kuliah-kuliah agama tanpa rasa jemu terutama di waktu Subuh,” katanya.Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Seminar Pendekatan Dakwah, di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini hari ini.Majlis itu diselitkan slot pembentangan kerja kerja bertajuk Kristian Ancaman Terbesar Melalui Gerakan Evagelist; Membudayakan Dakwah Dalam Masyarakat dan Dakwah Bukan Pilihan Tetapi Tuntutan.Mohd Nor turut memberitahu, pihaknya bercadang mahu menubuhkan Skuad Amar Maaruf Nahi Mungkar di setiap kampung agar perbuatan maksiat dapat dibanteras secara berperingkat-peringkat.“Melalui penubuhan yang dianggap cukup penting itu, ia bukan sahaja boleh menyampaikan dakwah secara bersemuka malah boleh mendidik pesalah ke jalan kebaikan,” katanya.
03 Mar 20
491
Terengganu Lancar Buku Bela Hak Keluarga Tunggal
Buku bela hak keluarga tunggal dilancar - Foto oleh - Ahmad Ezani Razali.KEMAMAN, 2 Mac - Kerajaan Terengganu mengambil langkah proaktif membela nasib keluarga tunggal dengan melancarkan Buku Panduan Hak-Hak dan Tatacara Tuntutan di Mahkamah Syariah hari ini.Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata, inisiatif bersama antara Jabatan Kehakiman Syariah dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) turut berupaya meningkatkan pengetahuan dan kesedaran masyarakat berkaitan perundangan dalam institusi kekeluargaan."Ia sangat penting dan memudahkan orang awam untuk memahami beberapa perkara yang melibatkan undang-undang substantif dan prosedur secara ringkas dan padat."Buku ini menyentuh dua skop utama penerangan, iaitu hak-hak yang boleh suami serta isteri tuntut dan prosedur-prosedur yang perlu diikuti semasa prosiding kes berjalan," ujarnya di hadapan 3,000 peserta.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Himpunan 'Siti Aisyah : Seutuh Permata Seindah Humaira' di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini.Ustazah Asma' Harun turut memeriahkan program dengan menitipkan beberapa pesanan.Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor dan Pengarah YPKT, Wan Mohd Zaki Wan Abdullah.Tambah Yahaya, Terengganu juga sedang mengorak langkah untuk merangka Dasar Wanita Terengganu bagi melahirkan golongan ibu yang berilmu dan lebih berdaya saing."Dasar berkenaan dirangka selari dengan suasana masyarakat Terengganu sendiri berlandaskan al-Quran dan hadis," katanya lagi.Sementara itu, Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Pengkalan Berangan, Wan Zaitong Wan Nik terharu dengan komitmen kerajaan negeri dalam membela nasib keluarga tunggal.Katanya, golongan terbabit sering menghadapi cabaran seperti masalah ekonomi, stigma sosial dan beban peranan dalam kehidupan seharian.Wan Zaitong (tengah) bersyukur dengan bantuan kerajaan negeri untuk setiap parlimen."Namun selepas dibantu, banyak perkembangan positif yang dicapai mereka, contohnya dalam daerah Marang ini ada antara mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan sabun."Walaupun baru di peringkat permulaan, sabun daripada madu kelulut itu telah dipilih oleh YPKT untuk dipamerkan di setiap program ibu tunggal, itu kejayaan cukup bermakna," tambah beliau.
02 Mar 20
152