lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Hapus Sekatan Ekonomi Syria : Strategi Politik Atau Perangkap Baharu AS?
Hapus Sekatan Ekonomi Syria : Strategi Politik Atau Perangkap Baharu AS?
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Keputusan Amerika Syarikat untuk membatalkan sekatan ekonomi terhadap Syria selepas lebih tiga dekad menimbulkan persoalan besar tentang hala tuju geopolitik baharu di Asia Barat, khususnya terhadap dunia Islam. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri. Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, langkah yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika lawatan ke Arab Saudi itu, tidak berlaku secara percuma. Sebaliknya kata beliau, ia diyakini sebagai sebahagian daripada pelan strategik yang memberi manfaat besar kepada pihak Barat dan Zionis Israel. Muhammad Khalil menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga syarat yang menjadi sebahagian daripada 'pakej' penghapusan sekatan itu "Keputusan ini bukanlah kosong dan sudah tentu mempunyai timbang balas yang mesti dibayar dengan harga yang mahal. "Sekurang-kurangnya tiga habuan yang diperolehi oleh Amerika Syarikat: pertama pemerintah Syria menerima 'Abraham Accord' dengan erti kata lain adalah keterbukaan untuk normalisasi dengan Zionis Israel.  "Kedua, "kumpulan pengganas Palestin" hendaklah dihalau keluar dari Syria dan ketiga, pembangunan infrastruktur Syria yang hancur akibat perang akan dibangunkan oleh Barat dan sekutunya," jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Tambahnya, ketiga-tiga syarat ini menzahirkan bahawa keputusan Washington lebih bersifat strategik, bukan kemanusiaan, dan mempunyai implikasi jangka panjang terhadap politik serta prinsip umat Islam di rantau itu. Jelas beliau, Presiden Syria, Ahmad Al-Shara’a dalam kenyataan berasingan menjelaskan bahawa kerajaan kini mahu memberi tumpuan kepada pemulihan negara selepas perang saudara yang bermula sejak 2012 dan meragut ribuan nyawa. Namun, Dr. Muhammad Khalil memberi peringatan bahawa cabaran yang lebih besar sedang menanti Syria, termasuk usaha menyatukan semula pelbagai kumpulan berkepentingan yang sebelum ini bertelagah serta isu penerimaan rakyat terhadap normalisasi dengan Israel. "Cabaran dalaman ialah mengembalikan kestabilan politik dengan menyatukan pelbagai kumpulan yang mempunyai kepentingan masing-masing.  "Tidak mudah untuk rakyat Syria menerima suasana baharu khususnya normalisasi dengan Zionis Israel yang merupakan musuh tradisi sejak zaman berzaman," ulasnya. Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Zionis Israel akan bersetuju untuk berundur dari kawasan yang dirampas di Syria, termasuk Bukit Golan dan wilayah selatan, jika benar terdapat rundingan antara AS dan Syria ke arah itu. Dalam pada itu, Dr Muhammad Khalil menyeru seluruh umat Islam agar terus mendoakan keselamatan bumi Syria dan sentiasa berwaspada terhadap permainan kuasa besar yang sering tampil dengan janji pembangunan tetapi hakikatnya membawa agenda terselindung. Sekatan ekonomi ke atas Syria mula dikuatkuasakan sejak awal 1990-an dan diperketat semasa konflik bersenjata bermula tahun 2012.  Ia melibatkan larangan import dan eksport, sekatan ke atas institusi kewangan, serta larangan pelaburan asing.
17 May 25
132
Bidong Trail Fun Run Himpun 1,500 Pelari
Bidong Trail Fun Run Himpun 1,500 Pelari
SETIU, 17 Mei - Bidong Trail Fun Run yang berlangsung pagi tadi berjaya menghimpunkan 1,500 peserta pelbagai lapisan umur. Bermula seawal jam 8.00 pagi, acara larian anjuran Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) itu menawarkan laluan sejauh 4.2 kilometer kepada penggemar adrenalin. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, laluan tersebut menyajikan denai mencabar dikelilingi suasana alam semula jadi yang menghijau dan memukau pandangan. "Apa yang pasti, debu-debuan tak boleh dielakkan sama sekali. "Acara ini bukan sahaja berperanan mempromosikan gaya hidup sihat bahkan turut memperkenalkan keindahan khazanah alam semula jadi yang terdapat sekitar Terengganu International Endurance Park, Lembah Bidong," jelasnya menerusi satu hantaran di halaman Facebook miliknya, hari ini. Beliau yang menyempurnakan pelepasan Bidong Trail Fun Run, hadir bersama timbalannya, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya. Hishamuddin turut merakamkan ucapan terima kasih semua peserta yang menyertai acara berkenaan bagi memeriahkan sambutan Karnival TIEP sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-63 Hari Keputeraan KDYMM Al-Wathiqu Billan Sultan Mizan Zainal Abidin.  
17 May 25
173
Bidong Flora Fest 2025 Dibanjiri Peminat Bunga
Bidong Flora Fest 2025 Dibanjiri Peminat Bunga
SETIU, 17 Mei - Penganjuran Bidong Flora Fest (BFF) 2025 yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) dilihat benar-benar mendapat sambutan meriah para pengunjung. Berdasarkan tinjauan urusetia, dianggarkan malam tadi, karnival selama empat hari yang dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu itu, dibanjiri sekitar 10,000 pengunjung. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, BFF 2025 telah mencapai sasaran yang dimahukan samada dari aspek kehadiran pengunjung ataupun dari sudut persembahan peserta dalam festival berkenaan. "Penganjuran ini (festival flora) adalah kali pertama untuk kami dan kali pertama juga diadakan untuk Terengganu.  "Kalau berjaya, saya yakin pihak kerajaan negeri akan mempertimbangkan penganjuran secara tahunan. "Elemen-elemen yang diterapkan dalam reruai dan taman ini sebenarnya memang bertujuan mendidik rakyat untuk menghargai alam, mencintai tumbuhan dan keindahan yang ada dalam negeri kita. "Proses ini perlukan masa dan kita harap dengan agenda ini kita mampu terapkan pada masyarakat untuk menyantuni alam kita," katanya ketika ditemui selepas sesi walk about di sepanjang reruai BFF 2025, semalam. Tambahnya, festival flora itu disertai lapan pejabat daerah dan tiga syarikat yang bertanding merebut gelaran juara taman flora terbaik yang akan diumumkan esok. Selain itu, Karnival TIEP turut mengetengahkan pelbagai acara sukan berkuda seperti Horse Jumping, kereta kuda berhias dan Horse Show. Malam ini, pertandingan dikir barat akan meneruskan saingan dengan enam lagi pasukan akan mempersembahkan kehebatan mereka. Oleh itu, Hishamuddin menyeru masyarakat sekitar mahupun yang berkelapangan untuk hadir memeriah malam terakhir Karnival TIEP, hari ini.  
17 May 25
958
Juara Dunia, Brunei Tambah Sengat TIEP Tug Of War
Juara Dunia, Brunei Tambah Sengat TIEP Tug Of War
SETIU, 17 Mei - Blue Tiger, pasukan daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menjuarai Kuala Lumpur International Tug Of War Club Championships (Kejohanan Kelab Dunia) edisi tahun lalu, akan mempanerkan taringnya dalam Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP) 2025, hari ini. Juara dunia itu bakal bersaing dengan sembilan lagi pasukan dari seluruh negara termasuk Chainblock Tugger, juara zon Borneo dari negara Brunei Darussalam. Ketua Teknikal kejohanan, Zolkefli Ahmat berkata, kehadiran pasukan-pasukan ternama dalam negara dalam kejohanan Tug Of War kali ini menunjukkan potensi perkembangan sukan itu di pantai timur. "Ini yang saya harapkan, kalau kita hendak naikkan sukan ini perlu dan penglibatan pasukan luar. "Kalau pasukan bertaraf negara seperti Brunei turun ke kejohanan sebegini, maknanya mereka melihat Terengganu ini ada sesuatu yang istimewa. "Apa yang saya harapkan selepas ini, pihak penganjur dapat menambah hadiah kejohanan dan kategori pertandingan untuk menarik lebih banyak pasukan serta menaikkan prestij kejohanan," katanya. Beliau turut melihat penganjuran kejohanan Tug Of War dalam Karnival TIEP yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu ini dapat mencetuskan fenomena baru sukan itu di kalangan rakyat. Perlawanan pertama antara Blue Tiger dan Chainblock Tugger disaksikan oleh Exco Sukan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim ​​​​​ "Saya berharap kejohanan ini jadi platform sukan tarik tali untuk berkembang maju dan semoga Terengganu menjadi pencetus bagi zon pantai timur," katanya.  
17 May 25
164
Marang Bawa Kuda Besi 'Berlumba' di TIEP
Marang Bawa Kuda Besi 'Berlumba' di TIEP
SETIU, 17 Mei - Memakan tempoh selama dua minggu, akhirnya kuda besi berjaya 'dijinakkan' Pejabat Daerah dan Tanah Marang di Karnival Terengganu International Endurance Park (TIEP). Menurut pegawai daerah dan tanah Marang, Zulkifly Isa, kuda besi itu diperbuat oleh warga kerja pejabat daripada bahan-bahan terbuang. "Kuda besi ini ada simboliknya, dalam Bidong Flora Fest (BFF) 2025 kita bawa tema Taman Kuda Waja, Dari Bunga ke Besi. "Orang akan masuk reruai ini dan lihat kelembutan bunga diakhiri kuda waja yang kita bina. Dari kelembutan itu akan lahirlah kekuatan.  "Kuda ini kita lambangkan sebagai kekuatan, walaupun dibuat daripada bahan terbuang, ia kukuh sehingga orang boleh naik ke atasnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penjurian reruai flora dalam BFF 2025 sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu, semalam. Pertandingan tersebut melibatkan lapan pejabat daerah dan tiga syarikat-syarikat di Terengganu. Selain BFF 2025, Karnival TIEP dipenuhi pelbagai aktiviti antaranya pertunjukan payung terjun oleh Komando VAT 69, perlumbaan motosikal lasak dan pertandingan tarik tali.  
17 May 25
169
Kuala Terengganu Saji 'Hutan Bandar' di Bidong Flora Fest 2025
Kuala Terengganu Saji 'Hutan Bandar' di Bidong Flora Fest 2025
SETIU, 16 Mei - Pokok-pokok sayuran seperti kobis merah dan Lemon Balm yang dijadikan tanaman pertanian dalam bandar menjadi pilihan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu sebagai salah satu tarikan 'Hutan Bandar' untuk bersaing dalam Bidong Flora Fest (BFF) 2025. Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Mohd Amirul Awang berkata, konsep pertanian bandar ditonjolkan menjadi salah satu dari tiga konsep flora di daerah Kuala Terengganu yang terkenal sebagai ibu negeri dan bandar raya di negeri berkenaan.  "Mengetengahkan konsep taman semula jadi bertemakan Hutan Bandar ini, kita tunjukkan spesies flora yang ada di Kuala Terengganu. "Antaranya ialah kategori pokok-pokok hutan sebagaimana yang terdapat di Taman Botani Bukit Panorama, seterusnya pokok-pokok bunga yang menghiasi landskap di bandar raya ini," katanya ketika ditemui di BFF yang merupakan tarikan utama Karnival Terengganu International Endurance Park(TIEP) di Lembah Bidong, hari ini. Karnival selama empat hari bermula semalam itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-63 Hari Keputeraan DYMM Sultan Terengganu. Karnival tersebut turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan kuda, kereta kuda berhias, pertunjukan payung terjun, perlumbaan motosikal lasak dan Fun Run. Dalam pada itu, Pegawai daerah dan pentadbir tanah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan yang hadir sama dalam program berkenaan betul-betul teruja dengan persiapan dilakukan pasukannya. "Sejujurnya pejabat daerah belum didedahkan dengan program seperti ini, ini satu keunikan baru yang perlu ditonjolkan setiap daerah dan kita perlu fikir untuk ketengahkan. "Bidong Flora Fest (BFF) merupakan satu anjakan baru dengan konsep yang perlu ditonjolkan. "Ia mengubah paradigma kita bahawa dalam membangunkan sesuatu daerah kita tidak boleh tinggalkan lanskap kerana ia paru-paru bagi bandar," katanya. Menurutnya, taman Kuala Terengganu turut mempamerkan sistem penuaian air hujan ringkas serta tanda nama setiap pokoknya, selain menampilkan kumpulan penghibur jalanan sebagai tarikan.                    
16 May 25
2139
Tragedi FRU: 'Amaran Akhir' Buat Kementerian Pengangkutan
Tragedi FRU: 'Amaran Akhir' Buat Kementerian Pengangkutan
SETIU, 15 Mei – Tragedi menyayat hati yang mengorbankan 10 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akibat nahas melibatkan lori muatan batu perlu dilihat sebagai 'amaran terakhir' kepada Kementerian Pengangkutan untuk segera bertindak sebelum lebih banyak nyawa melayang tanpa pembelaan. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata beliau merakamkan takziah dan rasa dukacita atas insiden itu, menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar buat negara.  "Saya merakamkan ucapan takziah dan rasa dukacita atas kehilangan 10 anggota FRU dalam nahas yang membabitkan sebuah lori membawa muatan batu, semalam.  "Mereka adalah wira negara yang amat berharga," katanya dalam satu kenyataan media di laman sosial rasmi beliau hari ini. Menurut beliau, hasil siasatan awal polis pada 13 Mei 2025 mendapati kemalangan tersebut berpunca daripada kerosakan sistem stereng lori, sekali gus menyerlahkan kelemahan penguatkuasaan keselamatan jalan raya yang masih belum ditangani secara menyeluruh.  "Tragedi ini sekali lagi menzahirkan kelemahan serius dalam aspek penguatkuasaan dan keselamatan jalan raya melibatkan kenderaan berat yang sehingga kini masih belum ditangani secara menyeluruh," tegasnya, sambil mengingatkan bahawa hanya beberapa bulan lalu, tujuh nyawa turut terkorban dalam insiden hampir serupa. Beliau turut menegaskan bahawa isu keselamatan lori berat bukan perkara baharu dan telah beberapa kali dibangkitkan dalam Parlimen, namun kerajaan masih belum menunjukkan komitmen yang jelas.  "Isu kemalangan membabitkan lori ini telah saya bangkitkan beberapa kali di Parlimen, khususnya berkaitan pemanduan berbahaya oleh pemandu lori serta isu muatan berlebihan yang tidak dikawal dengan tegas.  "Namun, usaha kerajaan dalam menangani isu ini masih belum benar-benar menunjukkan komitmen yang tuntas," kata beliau. Shaharizukirnain mengakui bahawa Kementerian Pengangkutan (MOT) telah memperkenalkan beberapa langkah termasuk cadangan penubuhan pasukan khas bersama agensi seperti JPJ, namun menganggap usaha itu sekadar pengulangan dasar lama tanpa pelaksanaan yang berkesan.  "Ironinya, ‘task force’ yang sama telah ditubuhkan sejak 2024 di bawah penguatkuasaan JPJ. "Meskipun pelbagai ‘task force’ ditubuhkan, masih lagi tiada penyelarasan dasar dan penguatkuasaan yang berkesan menyebabkan tragedi terus berlaku," ujarnya. Ahli Parlimen Setiu itu turut menggesa agar Kementerian mengambil tindakan serius dan menyeluruh dengan memastikan pasukan khas itu benar-benar berfungsi serta memperketat pemantauan teknikal ke atas lori berat, termasuk mewajibkan penyelenggaraan berkala dan penggunaan sistem telemetri.  "Selain mengkoordinasikan ‘task force’ tersebut dengan baik, aspek pengurusan dan pemantauan teknikal ke atas kenderaan berat juga perlu diberi perhatian.  "Ini termasuk memastikan penyelenggaraan berkala dilakukan secara konsisten serta mewajibkan penggunaan teknologi pemantauan seperti sistem telemetri bagi kenderaan berat berisiko tinggi," tambah beliau. Beliau turut menjelaskan bahawa teknologi telemetri boleh mengesan kelajuan, gaya pemanduan dan penggunaan brek secara langsung serta telah digunakan secara berkesan di negara maju seperti Jepun.  "Telemetri ialah sistem pemantauan berasaskan teknologi yang membolehkan data seperti kelajuan, penggunaan brek, dan gaya pemanduan direkod serta dihantar secara langsung (real-time) ke pusat kawalan.  "Teknologi ini telah digunakan secara meluas di negara maju seperti Jepun bagi mengesan dan mencegah pemanduan berbahaya sebelum kemalangan berlaku," jelasnya. Akhirnya, beliau menegaskan bahawa tragedi yang meragut nyawa anggota FRU ini perlu menjadi ‘wake-up call’ yang sebenar, bukan sekadar satu lagi angka dalam statistik kematian jalan raya. "Pelaksanaan menyeluruh, penyelarasan antara agensi, serta penguatkuasaan yang benar-benar tegas serta berkesan diperlukan dengan kadar segera,” ujarnya.
15 May 25
195
Gajah : Konflik Haiwan, Manusia Perlu Diurus Dengan Bijak
Gajah : Konflik Haiwan, Manusia Perlu Diurus Dengan Bijak
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Insiden menyayat hati seekor anak gajah yang mati akibat dilanggar lori ayam, disusuli dengan tindakan si ibu meratapi kematian anaknya itu, telah mencetuskan gelombang emosi dan perbincangan hangat di media sosial. Tragedi tersebut sekali lagi menyerlahkan konflik yang semakin kerap berlaku antara manusia dan hidupan liar, terutama apabila habitat haiwan terganggu akibat pembangunan dan pembukaan tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim, mengakui simpati terhadap kejadian tersebut namun menegaskan perlunya pendekatan yang lebih rasional dan seimbang dalam menangani isu ini. “Kita sangat sedih melihat ibu gajah yang kehilangan anak dalam kemalangan tragis ini. Namun, kita juga perlu rasional antara keperluan pergerakan manusia dan kehidupan haiwan. “Manusia perlu bergerak mencari rezeki dan gajah juga perlukan habitatnya. Kadang-kadang, konflik ini tidak dapat dielakkan – tetapi ia perlu diurus dengan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial semalam. Katanya lagi, dalam kontkes Terengganu keluasan Hutan Simpan Kekal (HKS) masih pada paras 42 peratus keluasan negeri dan ia memadai untuk habitat 200 ekor gajah sebagaimana data daripada Jabatan Perhilitan. "Tetapi kewujudan kebun dan ladang di kawasan pinggir hutan menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian gajah ini keluar bagi mendapatkan sumnber makanan mudah dari kebun dan ladang. "Disediakan pula Santuari Gajah Tasik Kenyir Hulu Terengganu, Santuari Gajah Sungai Deka Hulu Terengganu dan Taman Negara Tasik Kenyir sebagai habitat pemuliharaan gajah, jutaan ringgit dibelanjakan setiap tahun untuk jaga gajah," tambah beliau.
15 May 25
77
Pakar Perubatan Sokong Kerajaan Pasang Papan Tanda Larang Maksiat
Pakar Perubatan Sokong Kerajaan Pasang Papan Tanda Larang Maksiat
KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Suhazeli Abdullah menyambut baik inisiatif kerajaan negeri Terengganu yang memasang papan tanda larangan homoseksual dan maksiat di tempat-tempat awam di seluruh negeri ini. Menurut beliau, langkah tersebut merupakan pendekatan pencegahan awal yang wajar dipuji kerana dapat membendung pelbagai bentuk tingkah laku tidak bermoral yang berpotensi menjejaskan kesihatan masyarakat dan meruntuhkan institusi kekeluargaan. “Tindakan ini bukan soal menyekat hak asasi manusia seperti yang didakwa oleh segelintir pihak, termasuk beberapa peguam yang mempertikaikannya atas nama ‘kemanusiaan’. "Hakikatnya, pencegahan awal seperti ini adalah juga hak masyarakat secara kolektif untuk hidup dalam persekitaran yang sihat dan bermaruah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. Dr. Suhazeli menegaskan, maksiat bukan sekadar isu moral tetapi turut berkait rapat dengan kesihatan awam. “Apabila berlakunya gejala sosial dan perbuatan terkutuk seperti zina dan hubungan sejenis, ia boleh membawa kepada penularan penyakit kelamin, HIV dan pelbagai masalah kesihatan lain. Beban ini akhirnya akan ditanggung oleh seluruh masyarakat, bukan individu itu sahaja,” jelasnya. Tambah beliau, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk merawat penyakit-penyakit yang berpunca daripada keruntuhan akhlak dan amalan hidup bebas. “Masyarakat mempunyai hak untuk menolak punca kerosakan ini dari awal. Pencegahan lebih murah dan lebih berkesan daripada rawatan,” tegasnya lagi. Sebagai contoh, katanya, terdapat hotel-hotel tertentu yang tidak membenarkan pasangan bukan mahram menginap bersama, satu bentuk inisiatif kecil tetapi memberi impak besar dalam membendung salah laku moral. “Ini bukan soal mengongkong, tetapi soal tanggungjawab sosial dan usaha bersama dalam menjaga kesucian masyarakat,” katanya. Dr. Suhazeli turut menyeru agar lebih banyak pihak termasuk sektor swasta dan masyarakat sivil menyokong dasar-dasar mencegah maksiat yang digerakkan kerajaan negeri demi masa depan generasi akan datang. Tegasnya, pihak yang mempertikaikan papan tanda larangan maksiat di Terengganu merupakan mereka yang berfikir mengikut kerangka pemikiran liberal yang menyamaratakan hak individu itu tidak boleh diganggu gugat. "Sedangkan dalam norma negara Malaysia sudah pasti ada satu hak yang lebih penting, iaitu hak masyarakat mencegah sesuatu perkara yang mendatangkan kemudaratan. "Sama ada mudarat itu terhadap masyarakat atau individu itu sendiri. Keburukan dan keroasakan akibat dari masalah norma dan sosial ini yang golongan seperti mereka tidak nampak. "Memanglah kalau ikut acuan barat, semuanya tidak menjadi masalah tetapi kita mempunyai sosio-budaya dan agama yang kebanyakan masalah moral dan sosial ini boleh mendatangkan kemudaratan yang besar," jelas beliau.
14 May 25
181
Peruntukan RM200,000 Disalur Selesai Masalah Laluan Pejalan Kaki Pulau Kapas
Peruntukan RM200,000 Disalur Selesai Masalah Laluan Pejalan Kaki Pulau Kapas
MARANG, 14 Mei – Peruntukan sebanyak RM200,000 bagi membaik pulih Projek Laluan Pejalan Kaki Fasa 2 di Pulau Kapas sudah diluluskan melalui Majlis Daerah Marang (MDM). Yang Dipertua MDM, Khairil Anuar Sheikh Mahmood berkata, projek tersebut dilaksanakan di bawah inisiatif Projek Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naiktaraf (PPUN) Negeri Terengganu dalam kadar segera. "Kerja-kerja baik pulih merangkumi kerja awalan, pemulihan struktur laluan, pembaikan pagar keselamatan, kerja mengecat serta pemasangan plak projek. “Selain memastikan laluan ini lebih selamat dan selesa untuk pengunjung, projek ini juga selari dengan imej Pulau Kapas sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negeri,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja dan tinjauan projek di Pengairan Pulau Kapas baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris, serta Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Hilman Hajijan. Dalam pada itu Razali berkata, Pulau Kapas yang menerima ribuan pengunjung setiap tahun memerlukan penyelenggaraan kemudahan awam yang baik bagi memastikan pengalaman pelancongan yang berkualiti. “Projek ini dijangka memberi impak positif kepada sektor pelancongan tempatan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi komuniti setempat melalui peningkatan jumlah pelawat ke Pulau Kapas. "Selain itu, ia sebagai salah satu usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh infrastruktur pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026)," ujarnya.  
14 May 25
301