Artikel "Utama" Terkini
COVID-19 : Perintah Kawalan Pergerakan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Mac-Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum tentang pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan dalam Perutusan Khas oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin semalam.Setelah mendapat titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, maka saya mengumumkan bahawa aktiviti-aktiviti keagamaan di Negeri Terengganu mesti menepati keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ketiga Penggal Ketiga Belas yang bersidang pada 17 Mac 2020.Berkaitan dengan pentadbiran, Kerajaan Negeri Terengganu menerima pakai Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020 seperti yang terkandung di dalam Perutusan Khas YAB Perdana Menteri mengenai Covid-19.Ketua Setiausaha Negara membenarkan semua penjawat awam untuk meneruskan tugas dan kekal berada di rumah.Walau bagaimanapun, bagi perkara yang melibatkan perkhidmatan penting negeri (essential services), ketua jabatan boleh mengarahkan pegawai terlibat menyelesaikan proses-proses mengikut keperluan semasa.Saya menyeru kepada semua rakyat Terengganu untuk memanfaatkan tempoh ini, ambil kesempatan untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah dan keluar apabila ada keperluan sahaja. Tidak perlu keluar secara beramai-ramai.Sila patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan amalkan langkah pencegahan seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang masa. Pencegahan wabak ini perlu bermula daripada diri sendiri. Jika kita menjaga diri sendiri, maka kita juga menjaga orang lain.Sebarang pertanyaan, sila hubungi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui talian 09-6229775 atau 09-6353752 pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang (hari bekerja) dan 9.00 pagi hingga 3.30 petang (hari minggu dan cuti umum).Akhirnya, marilah kita bermunajat dan bermohon kepada Allah S.W.T agar segala musibah yang menimpa negara kita akan segera pulih dengan izin-Nya.
17 Mar 20
60
RTB Terkilan Gantian Tasik Bungkus Terengganu Bakal Selesai
Oleh: Alfian MamadKEMAMAN, 17 Mac - Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Gantian Tasik Bungkus di Ibok sedang diusahakan bagi memenuhi keperluan rakyat.Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, RTB itu menggantikan RTB Terkilan Tasik Bungkus."Sekarang ini berjalan kerja-kerja meratakan tanah RTB Pondok Pasir bagi menggantikan RTB Terkilan Tasik Bungkus yang diambil dahulu bagi menjalankan perusahaan perlombongan Kaolin," kata beliau.Beliau berkata demikian ketika meninjau keadaan RTB di Ibok di sini semalam.Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takal, Zawawi Mohamed ketika ditemui menyatakan rasa syukur beliau di atas perjalanan kerja tersebut."Alhamdulillah dengan kerjasama Pejabat Penyelaras DUN Kijal dan Pejabat Tanah Kemaman, hal ini telah meredakan kegelisahan para peserta RTB Tasik Bungkus yang setia menunggu selama 16 tahun."Kerja meratakan tanah bagi lot perumahan sebanyak 110 lot ini dijangka siap dalam 45 hari insya-Allah."Selebihnya kita mengharapkan kerjasama dari Pejabat Tanah Kemaman bagi menyiapkan secepat mungkin untuk pembahagian lot kepada para peserta," ujar beliau.
17 Mar 20
562
Rakyat Terengganu Dinasihatkan Tidak Panik, Bekalan Makanan Cukup
Saharuddin melihat bekalan barang keperluan asas yang dijual.KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati orang awam supaya tidak panik dengan melakukan pembelian luar jangka.Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan didapati bekalan barang keperluan tidak mengalami masalah sebagaimana jaminan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa barangan keperluan harian akan mencukupi."Kita mengharapkan masyarakat terutamanya di Terengganu tidak panik dengan suasana ini kerana seperti dimaklumkan pasaraya, pasar awam, kedai serbaneka dan kedai runcit dibuka seperti biasa," katanya.Saharuddin.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan di Sabasun Hyperruncit Kuala Terengganu, hari ini.Saharuddin turut menegaskan, menjadi tugas KPDNHEP untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk semua."Jadi, kami sentiasa berhubung dengan pemborong dari masa ke masa untuk memastikan bekalan cukup dan tidak menimbulkan sebarang masalah.Respon pengguna turut diambil kira dalam tinjauan yang diadakan."Kita juga mengingatkan para peniaga agar dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini supaya tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati atau menyorokkan barang sehingga menimbulkan masalah lebih kritikal," katanya.Tambahnya, seramai 214 pegawai penguatkuasa akan di seluruh Terengganu untuk memastikan bekalan barang keperluan dapat dipenuhi.
16 Mar 20
38
COVID-19 : Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac - PM
KUALA LUMPUR, 17 Mac - Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan mulai Rabu ini, 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perintah kawalan tersebut dibuat kerana kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua.Katanya, Keutamaan Kerajaan pada masa ini adalah untuk mencegah penularan baharu wabak ini yang dibimbangi akan menjangkiti lebih ramai rakyat. Situasi semasa wabak ini memerlukan tindakan drastik diambil bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.Justeru itu, Perintah Kawalan Pergerakan ini meliputi; pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.“Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang bersidang pada 15 Mac (semalam),” kata Muhyiddin dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 pada Isnin malam.Bagi Perintah Kawalan Pergerakan kedua, beliau berkata, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.Katanya, bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela atau self quarantine selama 14 hari.“Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara. Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan prauniversiti.“Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.“Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan,” katanya.Muhyiddin berkata, beliau sedar rakyat di negara ini mungkin merasakan tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran.“Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini,” katanya.Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara di talian hotline 03-88882010 bermula jam 12 tengah hari (Selasa).Perintah kawalan pergerakan tersebut susulan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di Malaysia. Kementerian Kesihatan merekodkan 553 kes sehingga semalam.Setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang menjadi korban Covid-19 yang telah meragut 6,650 nyawa di seluruh dunia.
16 Mar 20
96
COVID-19 : Rakyat Terengganu Diseru Patuhi Langkah Pencegahan
Alias Razak.Oleh : Safwan SyakirKUALA TERENGGANU, 16 Mac – Berikutan empat rakyat Terengganu yang telah disahkan positif COVID-19 hari ini, masyarakat di negeri itu diseru untuk terus mengambil langkah pencegahan bagi menangani jangkitan.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, orang ramai juga dinasihati untuk tidak menghadiri sebarang perhimpunan besar di tempat awam, pasar raya dan pusat hiburan.“Hal ini kerana penularan wabak ini boleh berlaku sama ada melalui sentuhan atau saluran pernafasan seperti bersin dan batuk.“Orang ramai juga mesti untuk mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi iaitu mencuci tangan secara kerap dengan air dan sabun atau menggunakan ‘hand sanitizer’ khususnya sewaktu keluar rumah,” tegasnya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media mengenai perkembangan semasa kes COVID-19 di Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.Menurut beliau, pesakit dan individu disyaki dijangkiti wabak COVID-19 mestilah memakai topeng muka bagi mengelakkan penularan melalui saluran pernafasan dan sebagai langkah pencegahan penerimaan wabak kepada individu lain.“Orang yang mempunyai gejala disaran tidak melawat tempat-tempat tumpuan orang ramai dan sekurang-kurangnya menjarakkan diri satu meter ketika berurusan dengan orang lain.“Dalam pada itu, cadangan saya agar tempat-tempat awam seperti pasaraya, masjid dan surau menyediakan 'hand sanitizer" sebagai langkah awal menangani penyebaran wabak,” jelasnya yang mengharapakan kerjasama semua pihak.Terdahulu beliau turut memaklumkan, pada Sabtu seramai 87 penghuni Madrasah Kubang Bujuk dirawat dan dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebagai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) kerana disyaki dijangkiti COVID-19.HHT dijadikan sebagai pusat kuarantin dan rawatan selain Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, Scout Inn dan Pusat Latihan di Tepoh.
16 Mar 20
43
COVID-19 : Empat Individu Positif Di Terengganu
Foto ihsan - Medical News Today.KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Empat individu dari Madrasah Kubang Bujuk, Terengganu telah disahkan positif COVID-19 sekali gus menjadikan kesemua negeri di Malaysia terjejas dengan wabak berkenaan.Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr Adham Baba memaklumkan, sehingga 12 tengah hari tadi, terdapat 125 kes baharu yang telah dilaporkan di Malaysia termasuk Terengganu. “Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 553 kes. “Berdasarkan siasatan awal, daripada 125 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 95 kes positif COVID-19 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.“Sehingga kini, seramai 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.Bilangan positif COVID-19 mengikut negeri.Mengulas lanjut beliau berkata, dengan pertambahan kes yang ketara sepanjang minggu lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memasuki tahap pembendungan akhir iaitu ‘late containment’.“Dalam tahap pembendungan akhir, ia bertujuan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih serius di Malaysia,” jelasnya.Adham juga menasihatkan orang ramai agar mematuhi segala arahan KKM bagi mengelakkan usaha mengekang virus tersebut berjalan lancar.“Rakyat Malaysia diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam. “KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah beliau.
16 Mar 20
85
COVID-19 : Kuliah Dhuha Masjid Rusila Dilaksana Dalam Talian
Kuliah Dhuha Masjid Rusila.KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Kuliah Dhuha di Masjid Rusila akan dijalankan secara dalam talian mulai Jumaat ini bagi membendung penularan virus COVID-19 yang telah diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat setelah Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Zahari Md Azahar mengeluarkan arahan supaya perhimpunan atau program yang melibatkan lebih daripada 100 orang ditangguhkan.“Sehubungan itu, saya bersetuju untuk menangguhkan program Kuliah Dhuha yang melibatkan kehadiran orang ramai di Masjid Rusila, namun sesi pengajian akan tetap diteruskan secara atas talian (online).“Penangguhan ini akan bermula pada hari Jumaat, 20 Mac 2020 sehingga ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” katanya dalam kenyataan itu.Tambah Abdul Hadi, penyampaian kuliah secara atas talian (online) akan disiarkan secara langsung di Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Terengganu Kini dan saluran media-media lain.
15 Mar 20
1563
COVID-19 : 87 Penghuni Madrasah Disyaki Dijangkiti
Alias Razak memaklumkan operasi menjejaki kontak rapat pesakit COVID-19 sedang berjalan.KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Seramai 87 penghuni Madrasah Kubang Bujuk di sini dirawat dan dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu sebagai Pesakit Dalam Siasatan (PUI) bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di negeri itu.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tindakan yang bermula kelmarin itu dibuat ekoran seorang peserta Himpunan Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling singgah di madrasah berkenaan baru-baru ini.“Kesemua penghuni itu adalah kontak rapat kepada tabligh terbabit, namun 87 orang ini masih diperiksa dan belum disahkan positif oleh pihak kesihatan.“Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) juga telah mengambil langkah-langkah yang sepatutnya untuk menjejaki kontak-kontak rapat suspek positif ini bagi membendung wabak ini tersebar,” jelasnya.Beliau berkata demikian pada sidang media khas COVID-19 di Tingkat 6, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Tambah Alias, hospital dan pusat yang dijadikan tempat kuarantin akan beroperasi seperti biasa untuk pesakit biasa, hanya wad-wad tertentu sahaja dibuka untuk kes COVID-19.Semalam, Harian Metro melaporkan, madrasah berkenaan ditutup dan 330 pelajar dikuarantin selama 14 hari dalam pusat tersebut bermula Sabtu lalu.Dalam pada itu, kerajaan negeri telah mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penyebaran virus COVID-19 dengan menyediakan empat pusat kuarantin di negeri itu.“Antaranya Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu sebanyak 58 katil, Hospital Hulu Terengganu 156 katil, Scout Inn dan Pusat Latihan di Tepoh di daerah Kuala Nerus masing-masing 77 dan 44 katil,” ujarnya.Tambahnya, cadangan untuk menangguhkan sementara operasi pusat hiburan seperti panggung wayang akan diteliti dan dibawa ke dalam mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.“Sekiranya tak ditutup, kita akan mohon supaya setiap pusat ini menyediakan ‘hand sanitizer’ secukupnya supaya wabak ini mampu kita tangani,” ujarnya.Orang ramai tidak perlu panik sebaliknya perlu sentiasa menjaga kebersihan diri.
15 Mar 20
73
TESDEC Terengganu Pusat Servis BCM Pertama Di Pantai Timur
Wan Sukairi (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian denagan Donald Choo.PETALING JAYA, 16 Mac - Kolej Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) mencipta sejarah baharu apabila menjadi pusat servis pertama di Pantai Timur bagi kenderaan keluaran Berjaya China Motors (BCM).Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah itu merupakan inisiatif terkini TESDEC setelah menjalinkan hubungan kerjasama pintar (Smart Partnership) bersama PROTON sebelum ini.“Saya dimaklumkan pihak BCM berpuas hati dengan kelengkapan yang ada di bengkel automotif TESDEC selepas melakukan beberapa lawatan dan penelitian.“Insya-Allah, sekiranya semua berjalan lancar, perkongsian kemudahan dan prasarana tersebut akan memanfaatkan kedua-dua pihak untuk kemajuan TESDEC melalui teknologi yang ada pada BCM,” jelasnya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatanganii Memorandum Persefahaman (MoU) antara TESDEC dan BCM di Pejabat BCM di sini baru-baru ini.Wan Sukairi yakin kerjasama itu akan memangkin perkembangan pelajar TESDEC.Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif BCM, Datuk Donald Choo Keng Kit, Pengarah BCM, Dato’ Amer Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Dato’ Kamaru Al-Amin Ismail.Mengulas lanjut, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah TESDEC mengatakan, pihaknya melalui unit akademik akan turut mempertimbangkan untuk memasukkan teknologi yang ditawarkan BCM ke dalam silibus pembelajaran TESDEC.“Usaha ini akan membantu TESDEC menghadapi cabaran utama 2020 iaitu untuk mewujudkan ekosistem yang mampu melahirkan tenaga mahir cekap, dinamik serta seiring keperluan zaman.“Saya turut berharap semoga perjanjian persefahaman ini akan dikembangkan lagi meliputi program pelaksanaan latihan industri dan ‘On Job Training’.“Sekali gus memastikan 100 peratus para graduan TESDEC memperoleh peluang pekerjaan dalam bidang automotif dan bidang berkaitan pembuatan automotif,” tambah beliau.
15 Mar 20
925
Hand Sanitizer Lengkapi Majlis Kesyukuran Menteri
KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Tetamu yang hadir pada Majlis Kesyukuran sempena pelantikan Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diminta menggunakan ‘hand sanitizer’ (cecair pembasmi kuman) sebaik tiba dan pulang dari majlis itu.Berdasarkan pemantauan pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman mendapati setiap tetamu yang hadir disarankan menggunakan cecair itu yang disediakan ahli keluarga Dr Zulkifli.Majlis sama turut meraikan pasangan pengantin iaitu Khadijah Munirah Suhaimi dan Muhammad Syahidan Abd Aziz yang juga anak saudara perempuan kepada Dr Zulkifli.Penggunaan hand sanitizer itu adalah hasil idea mempelai kerana mereka tidak mahu ada tetamu yang jatuh sakit susulan penularan koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat di negara ini.Sementara itu, bapa pengantin, Suhaimi Mohamad Al-Bakri berkata, lebih 1,000 jemputan hadir pada Majlis Kesyukuran bagi meraikan adiknya, Dr Zulkifli yang dilantik sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Khadijah Munirah yang menamatkan zaman bujangnya.“Hampir semua tetamu yang hadir secara sukarela menggunakan hand sanitizer, masing-masing mempunyai kesedaran yang tinggi berkaitan wabak itu,” katanya.Tetamu dari Tepoh, Amir Shahrudin Ahmad Said, 42, memuji langkah tuan rumah dengan menyediakan hand sanitizer bagi mecegah penularan wabak koronavirus yang semakin membimbangkan itu.“Walaupun di Terengganu belum ada laporan yang dijangkiti wabak itu, tidak salah orang ramai ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
15 Mar 20
528